Apabila tibanya Ramadhan, selain ibadat puasa, satu lagi ibadat yang wajib dilakukan adalah mengeluarkan zakat fitrah.
Sedikit sebanyak info berkenaan zakat fitrah:
Definisi Zakat Fitrah
Zakat dari segi bahasa bermaksud menyucikan dan membersihkan diri, manakala dari segi istilah bermaksud mengeluarkan sebahagian harta pada kadar tertentu kepada golongan asnaf yang memerlukan mengikut ketetapan syariat Islam.
Hukum Zakat Fitrah
Zakat fitrah adalah wajib ke atas umat Islam (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:
1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya berbanding keperluan tanggungannya (berkemampuan) pada malam dan pagi Aidilfitri
2. Hidup/lahir sebelum matahari jatuh dan kekal hidup selepas terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan (malam 1 Syawal)
3. Kekal/memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan (sempat bertemu akhir Ramadhan dan pertama Syawal)
Zakat fitrah dikeluarkan oleh ketua keluarga untuk dirinya dan juga tanggungannya (suami keluarkan zakat fitrah untuk dirinya, isteri, anak-anak, ibubapa dan sesiapa sahaja di bawah tanggungannya)
Rukun-rukun Zakat Fitrah
1. Niat ikhlas semata-mata kerana Allah
2. Pemberi zakat
3. Penerima/wakil penerima zakat (amil)
4. Barang/item yang dizakatkan (duit, makanan asasi)
5. Kadar zakat yang dikeluarkan
Kadar Zakat Fitrah
Kadar zakat fitrah adalah bersamaan satu gantang Baghdad bersamaan 2.7kg makanan ruji (di Malaysia, beras) atau senilai dengannya.
Untuk tahun 2016 bersamaan 1437 Hijrah, kadar zakat fitrah di negeri-negeri di Malaysia adalah seperti yang berikut:
Sebaik-baiknya, bayaran zakat fitrah disalurkan melalui Pusat Pungutan Zakat atau amil-amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.
Dengan cara ini, bayaran zakat tadi dapat disampaikan dengan lebih sistematik dan menyeluruh kepada asnaf-asnaf yang memerlukan.
Tetapi, jika berniat untuk memberi terus kepada asnaf-asnaf, juga dibolehkan.
Namun, perlulah dipastikan orang yang diberi tersebut betul-betul merupakan golongan asnaf.
Waktu-waktu Untuk Membayar Zakat Fitrah
Waktu wajib – Bermula terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan sehingga terbit matahari pada hari pertama Syawal
Waktu paling afdhal – Sebelum solat sunat Aidilfitri
Waktu sunat – Sepanjang hari pada bulan Ramadhan
Waktu makruh – Selepas solat sunat Aidilfitri sehingga terbenam matahari pada 1 Syawal
Waktu haram – Selepas terbenam matahari pada 1 Syawal
Namun begitu, sebaik-baiknya dinasihatkan supaya menunaikan zakat fitrah sewala yang mungkin, iaitu sepanjang hari pada bulan Ramadhan.
Jika semua menunggu sehingga waktu wajib dan waktu paling afdhal, dibimbangi tidak sempat menyebabkan ibadat zakat tidak dapat dilakukan dengan sempurna.
Ayuh tunaikan zakat fitrah!
Jangan sampai pahala ibadat puasa kita tergantung kerana zakat fitrah tidak disempurnakan.
Pingback: Tips Simpan Duit: Berapa Banyak Nak Simpan? Simpan Kat Mana? - Loan bank centre