Tag Archive: pengurusan kewangan

Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik?

skim kwsp vs skim pencenBagi penjawat awam yang baru dilantik, mereka pada mulanya akan diletakkan di bawah skim KWSP yang mana sebahagian gaji (11%) akan dipotong ke akaun KWSP berserta tambahan caruman (12 @ 13%) daripada majikan.

Apabila disahkan perkhidmatan (kebiasaannya dalam masa 3 tahun selepas pengesahan lantikan), mereka perlu memilih samaada ingin kekal dalam skim KSWP atau berpindah ke skim pencen.

Dan pilihan yang dibuat nanti adalah mandatori dan tidak boleh diubah (setakat artikel ini ditulis, masih mandatori)

Jadi, memang menjadi dilema samaada nak memilih skim KWSP atau skim pencen.

Sebagai penjawat awam, dilema inilah juga yang saya alami dulu.

Hakikatnya, kedua-dua skim ada kebaikan dan keburukannya.

Membuat pilihan yang tepat boleh mempengaruhi gaya pengurusan kewangan nanti.

Jadi, membuat pilihan terbaik yang paling sesuai dengan diri kita adalah sangat penting.

Skim KWSP vs Skim Pencen

Secara asasnya, perbandingan atau perbezaan antara skim KWSP dan skim pencen adalah seperti yang berikut:

1. Asas perundangan

Skim KWSP tertakluk kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 (Akta 452).

Manakala skim pencen pula tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227), Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) dan Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

Jika ada masa, cubalah cari akta-akta ini, baca dan hadamkan untuk lebih memahami kedua-duanya.

2. Skim caruman

Jumlah caruman ke akaun KWSP bagi kedua-dua skim KWSP dan pencen adalah sama, iaitu atas kadar 12% emolumen (gaji dan imbuhan tetap) oleh Kerajaan (13% bagi mereka yang berpendapatan kurang RM 5000) dan 11% oleh penjawat awam sendiri.

Bezanya, caruman ini akan diteruskan sepanjang perkhidmatan bagi mereka yang memilih skim KWSP manakala bagi mereka yang memilih skim pencen, caruman akan dihentikan selepas pengesahan status skim pencen diberikan.

Selepas caruman dihentikan, golongan skim pencen dibenarkan mengeluarkan sebahagian duit dalam akaun KWSP mengikut perkiraan dan syarat-syarat yang ditetapkan.

3. Pemberian taraf berpencen

skim kwsp vs skim pencenUntuk skim KWSP, tiada konsep taraf berpencen.

Pemberian taraf berpencen adalah eksklusif untuk mereka yang memilih skim pencen setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Dengan taraf berpencen ini, golongan skim pencen layak untuk menerima faedah persaraan dan faedah terbitan dengan syarat-syarat tertentu.

4. Faedah persaraan/faedah terbitan

Faedah persaraan dan faedah terbitan adalah keistimewaan utama yang menyebabkan ramai pekerja kerajaan memilih skim pencen.

Faedah persaraan melibatkan bayaran gantian cuti rehat (GCR), ganjaran sekaligus (gratuiti) dan pencen bulanan mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Faedah terbitan pula adalah bayaran-bayaran yang diberikan kepada waris (balu/duda, anak dan ibu/bapa) jika penerima pencen asal meninggal dunia, samaada semasa dalam perkhidmatan ataupun setelah berpencen.

Golongan skim pencen juga menerima keistimewaan pemberian tambahan pencen hilang upaya, pencen tanggungan dan elaun tanggungan mengikut situasi-situasi tertentu.

Lebih istimewa lagi, bayaran pencen bulanan, pencen terbitan, pencen hilang upaya dan pencen tanggungan akan diselaraskan jika berlaku semakan atau pelarasan gaji sektor awam secara umum.

Untuk skim KWSP pula, tiada keistimewaan-keistimewaan ini walaupun bekerja sehingga tamat tempoh bersara wajib.

Golongan skim KWSP hanya akan menerima GCR (dengan syarat bekerja sehingga tamat tempoh bersara wajib) dan jumlah caruman dalam akaun KWSP berserta dividen-dividennya.

5. Faedah perubatan

Sebelum ini, faedah perubatan hanya diberikan kepada golongan skim berpencen.

Tetapi selepas pengumuman kerajaan pada Mac 2011, kedua-dua golongan skim berpencen dan skim KWSP layak menerima faedah perubatan dengan syarat-syarat tertentu.

Faedah perubatan membolehkan pesara dan tanggungan mereka menerima kemudahan rawatan perubatan secara percuma di hospital dan klinik kerajaan.

6. Pinjaman/pembiayaan rumah kerajaan

Semasa tempoh perkhidmatan, kedua-dua golongan skim KWSP dan skim pencen layak menerima keistimewaan pinjaman/pembiayaan rumah dari kerajaan (dikendalikan Bahagian Pinjaman Perumahan, BPP atau sekarang dikenali sebagai Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, LPPSA)

Bezanya, tempoh pembiayaan/pinjaman untuk golongan skim KWSP terhad sehingga tempoh bersara wajib/pilihan sahaja.

Jika masih ada baki pun, bayaran penuh akan dipotong dari akaun KWSP penjawat awam terlibat.

Sebagai contoh, jika mula memohon pembiayaan pada umur 35 tahun, tempoh maksimum pembiayaan yang dibenarkan adalah sehingga umur bersara wajib sahaja iaitu 60 tahun (tempoh pembiayaan 25 tahun berbanding maksimum 35 tahun)

skim kwsp vs skim pencenAkibatnya, disebabkan tempoh pembiayaan yang dihadkan, bayaran ansuran bulanan akan menjadi lebih tinggi.

Oleh kerana itu, golongan skim KWSP perlu membuat pembiayaan/pinjaman perumahan kerajaan seawal mungkin jika ingin memohon pembiayaan/pinjaman perumahan kerajaan dalam tempoh yang lama.

Berbeza untuk golongan skim pencen, tempoh pembiayaan/pinjaman boleh dilanjutkan sehingga tempoh maksimum (35 tahun) walaupun melepasi tempoh bersara.

Bayaran baki pembiayaan/pinjaman tersebut boleh diselesaikan menggunakan bayaran ganjaran sekaligus ataupun pencen bulanan.

Dengan keistimewaan ini, golongan skim pencen boleh mengurangkan bayaran ansuran bulanan kerana tempoh pembiayaan boleh dipanjangkan semaksimumnya.

7. Tamat perkhidmatan tanpa bersara

Tamat perkhidmatan tanpa bersara melibatkan pemberhentian kerja sukarela ataupun dibuang kerja kerana tindakan tatatertib yang mana berlaku sebelum tempoh bersara wajib/pilihan.

Jika hal ini terjadi kepada golongan skim KWSP, mereka tidak terjejas apa-apa kerana segala caruman samaada dari kerajaan atau sendiri berserta dividennya masih kekal dalam akaun KWSP masing-masing.

Cumanya mereka akan hilang keistimewaan faedah perubatan.

Tetapi, bagi golongan skim pencen, mereka akan terjejas kerana segala keistimewaan faedah pencen, faedah terbitan dan faedah perubatan tidak akan diterima.

Mereka hanya akan menerima baki caruman (kerajaan dan pekerja) dalam akaun KWSP yang diberikan sebelum disahkan taraf berpencen.

Artikel ini bersambung di “Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik? II”

3 Jenis Dana Kecemasan Untuk Situasi Luar Dugaan

dana kecemasanMatlamat awal menyimpan untuk dana kecemasan

Dana kecemasan.

Ada yang memanggilnya dana rizab.

Tak kisahlah yang mana satu, yang penting fungsinya adalah sama.

Sebagai bekalan tika waktu-waktu kecemasan atau luar dugaan.

Kereta rosak, kemalangan, bencana, jatuh sakit mahupun apabila pendapatan terhenti.

Dana kecemasan akan bertindak untuk menampung perbelanjaan situasi-situasi luar dugaan ini.

Jadi, tidaklah terjejas tabung simpanan atau pelaburan lain.

Perbelanjaan harian dan keperluan yang lain pun tidak terganggu.

Juga dapat elakkan daripada terjebak dengan hutang tidak baik (produktif).

Seseorang yang inginkan pengurusan kewangan yang baik pasti akan sediakan dana kecemasan secukupnya.

Bahkan, matlamat menyimpan duit yang pertama sebaik-baiknya bertujuan untuk membina dana kecemasan terlebih dahulu sebelum disimpan untuk tujuan lain.

Sesetengah orang berpendapat tidak perlu untuk membina dana kecemasan kerana ada kemudahan kad kredit yang boleh digunakan apabila memerlukan duit dalam situasi kecemasan.

Ya, kad kredit memang boleh membantu ketika situasi-situasi tersebut.

Tetapi, apabila kad kredit digunakan, kita sebenarnya sedang berhutang.

Jika tersilap langkah, misalnya terlupa membuat bayaran semula atau tidak berkemampuan untuk membayar, mungkin boleh terperangkap dengan hutang yang tinggi.

Jadi, sebaik-baiknya sediakan dana kecemasan secukupnya.

Bak kata orang, “Sediakan payung sebelum hujan”

3 Jenis Dana Kecemasan

Berapa banyak dana kecemasan yang perlu dibina?

Jawapannya, terpulang kepada diri-sendiri.

Satu dana kecemasan sahaja sudah mencukupi.

Jika terjadi apa-apa kemalangan atau situasi luar dugaan, duit yang diperlukan boleh diambil dari dana kecemasan yang disediakan tadi.

Selepas keadaan pulih, jangan pula lupa untuk menggantikan semula duit yang telah diambil tadi.

Dana kecemasan sebaik-baiknya sentiasa dikekalkan pada paras minimum yang telah kita tetapkan supaya sentiasa bersedia untuk digunakan.

Berdasarkan kepada pengalaman saya, menyediakan satu sahaja dana kecemasan adalah tidak mencukupi.

Tidak mencukupi di sini bukanlah bermaksud duit yang disimpan itu sedikit, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi situasi-situasi luar dugaan yang berbeza.

Secara peribadi, saya menyarankan untuk mewujudkan tiga (3) jenis dana kecemasan atau dana rizab.

dana kecemasan1. Dana kecemasan fast-track

2. Dana kecemasan medium-track

3. Dana kecemasan slow-track

(Nama-nama yang diberikan di atas adalah nama yang saya fikirkan sahaja, bukannya nama-nama yang diiktiraf untuk tujuan akademik mahupun komersial)

1. Dana kecemasan fast-track

Bayangkan anda sedang memandu kereta, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil.

Kereta sedikit terhuyung-hayang dan bergerak semakin perlahan dan ‘berat’.

Selepas berhenti di tempat selamat dan diperiksa, rupa-rupanya sebiji tayar telah pecah.

Apabila dibawa ke bengkel, tayar yang pecah tadi perlu ditukar dengan yang baru.

Tetapi, bukan hanya sebiji, tetapi dua biji supaya seimbang dikedua-dua belah kiri dan kanan (jika anda pandai berdalih dengan pekerja bengkel, menukar sebiji tayar pun tiada masalah)

Menukar tayar kereta baru sudah semestinya melibatkan kos yang agak tinggi, bergantung kepada jenis dan saiz tayar.

Jadi, dalam situasi ini, andai kata anda tidak membawa duit yang banyak dalam dompet, di mana hendak cari duit untuk bayar kepada bengkel nanti?

Berhutang? Minta tolong orang lain bayarkan?

Jika ada pilihan lain, mungkin masih selamat dari dimarahi pemilik bengkel (sebab tak mampu bayar)

Tapi kalau dalam situasi tiada pilihan, bagaimana?

Saya pernah terlibat dalam situasi begini, dan dana kecemasan fast-track yang saya wujudkan memang sangat membantu.

Dana kecemasan fast-track hanya memerlukan duit tunai dalam jumlah yang rendah, contohnya sekitar RM 200 ke RM 500.

Oleh kerana duit ini diperlukan dalam situasi-situasi kecemasan yang memerlukan duit dengan segera, maka dana kecemasan ini sebaik-baiknya disimpan di tempat yang mudah diambil.

Sebagai contoh, dalam dashboard kereta atau diselit dalam dompet (tidak dicampur dengan duit perbelanjaan harian).

Jadi, apabila diperlukan, tidaklah tergagau-gagau mencari duit.

Walaupun duit dana kecemasan ini sudah tersedia dan mudah diambil, tetapi janganlah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian biasa pula.

Selagi tiada kes-kes kecemasan yang memerlukan duit ini digunakan, lebih baik biarkan sahaja.

2. Dana kecemasan medium-track

Sama seperti dana kecemasan fast-track, dana kecemasan kedua ini turut diperlukan dalam masa segera tetapi tidaklah terlalu segera.

Dana ini disediakan khas untuk menampung keperluan duit jika dana fast-track tadi tidak mencukupi.

Contohnya ketika anda perlu dimasukkan ke hospital swasta, walaupun telah mempunyai kad perubatan, mungkin anda perlu membayar deposit atau caj ko-takaful terlebih dahulu.

Ataupun anda terlibat dengan kemalangan yang agak teruk (minta dijauhkan), dan pembaikian kenderaan anda melibatkan kos yang agak tinggi.

Dalam situasi-situasi sebegini, dana kecemasan medium-track boleh membantu.

Jumlah cadangan adalah sekitar RM 1,000 ke RM 2,000

Boleh disediakan secara tunai atau pun lebih baik disimpan dalam satu akaun simpanan bank khas.

Untuk akaun simpanan bank tersebut, buatlah kad debit supaya memudahkan duit tersebut untuk digunakan.

Kiranya, kad debit ini akan menggantikan fungsi kad kredit ketika situasi-situasi kecemasan

Bezanya, kita tidak terjebak dengan hutang, malahan membayar dengan duit sendiri.

dana kecemasan3. Dana kecemasan slow-track

Dana kecemasan ini diwujudkan lebih kepada fungsi sebagai dana rizab yang mana bukan sahaja digunakan dalam situasi-situasi kecemasan jangka pendek, malahan untuk jangka masa panjang juga.

Disarankan jumlahnya menyamai jumlah tiga ke enam bulan keperluan perbelanjaan, ataupun sebaik-baiknya tiga ke enam bulan jumlah pendapatan.

Jika jumlah keperluan perbelanjaan atau pendapatan anda RM 3,000 sebulan, maka jumlah untuk dana ini seharusnya antara RM 9,000 ke RM 18,000

Dana ini akan digunakan untuk menampung keperluan perbelanjaan apabila terjadi situasi-situasi di mana pendapatan terhenti atau terganggu.

Contohnya jatuh sakit menyebabkan cuti panjang atau diberhentikan kerja.

Jadi, dana ini dapat membantu untuk menampung kehidupan tanpa menjejaskan perbelanjaan keperluan-keperluan asas sementara pendapatan dipulihkan atau diperoleh semula.

Seperti yang saya sarankan dalam artikel Tips Simpan Duit sebelum ini, duit untuk dana ini sebaik-baiknya disimpan dalam Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB) sahaja.

Bukan sahaja kurang terkesan dengan inflasi kerana diberi dividen/bonus setiap tahun, tetapi turut mudah dicairkan apabila diperlukan nanti.

Urus risiko dengan dana kecemasan

Disamping mengambil perlindungan takaful untuk diri dan aset, mewujudkan dana kecemasan juga adalah salah satu elemen pengurusan risiko dalam pengurusan kewangan.

Dana kecemasan bukan sahaja dapat membantu kita dalam situasi-situasi luar dugaan, malahan menyelamatkan kita daripada bencana kewangan akibat tidak bersedia awal.

Tambahan lagi, dana kecemasan melindungi pelaburan-pelaburan kita daripada terganggu.

Contohnya, anda baru sahaja memperuntukkan wang yang ada untuk pelaburan hartanah atau saham.

Tetapi tiba-tiba berdepan situasi yang memerlukan duit yang banyak.

Adakah anda perlu menjual atau mencairkan pelaburan yang baru dibuat tadi?

Jika ini terjadi, anda berkemungkinan berdepan kerugian.

Jika ada dana kecemasan, pelaburan-pelaburan anda tadi tidaklah terganggu.

Jadi, jangan lupa untuk bina dana kecemasan ya!

8 Teknik Pembiayaan/Pinjaman ASB (Loan ASB) Supaya Untung Berganda II

loan asb financing asb(Artikel ini adalah sambungan daripada 8 Teknik Pembiayaan/Pinjaman ASB (Loan ASB) Supaya Untung Berganda)

4. Teknik Pintas

Teknik pintas sesuai untuk golongan yang hanya mampu memberikan komitmen bulanan yang rendah sahaja, contohnya kurang RM 200 sebulan.

Dalam teknik ini, Tuan Key menyarankan untuk menggabungkan pembiayaan peribadi dan pembiayaan/pinjaman ASB.

Sebaik-baiknya, pilih pembiayaan peribadi yang mempunyai kadar dividen yang rendah sahaja.

Teknik ini menyarankan supaya membuat pembiayaan peribadi terlebih dahulu sebanyak RM 15,000 yang mana bayaran bulanan adalah sekitar RM 175.

Kemudian dibuka satu akaun loan ASB sebanyak RM 200,000 dengan anggaran bayaran bulanan sebanyak RM 1,200 sebulan.

Duit daripada pembiayaan peribadi tadi akan digunakan untuk membayar bayaran bulanan bagi tahun pertama loan ASB yang dibuat tadi.

Kemudian, dividen tahunan yang diperoleh akan dipusing untuk membayar bayaran bulanan untuk tahun-tahun seterusnya.

Jadi, komitmen bulanan kekal sebanyak RM 175 yang mana digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi sahaja.

Selepas 5 tahun, kedua-dua pembiayaan peribadi dan loan ASB boleh ditamatkan.

Keuntungan bersih yang dianggarkan adalah sebanyak RM 30,000.

5. Teknik Pengubahan Berganda

Teknik ini adalah sama dengan teknik pertama (teknik pengubahan), tetapi melibatkan jumlah modal tunai yang lebih besar.

Dengan modal tunai yang lebih besar dan menggunakan proksi (pasangan, anak atau adik-beradik), teknik ini melibatkan akaun loan ASB yang banyak secara serentak (multiple accounts).

Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai RM 75,000 tunai.

Modal asal ini akan dipecahkan kepada lima, iaitu sebanyak RM 15,000 setiap satu.

Dengan menggunakan proksi, lima akaun loan ASB sebanyak RM 200,000 setiap satu dibuat serentak yang mana bayaran tahun pertama menggunakan modal asal manakala bayaran tahun-tahun seterusnya dibayar menggunakan dividen yang diperoleh.

Sepertimana teknik pertama, setiap akaun dianggarkan menjana hasil lebih kurang RM 44, 000 selepas lima tahun.

Jadi, dengan lima akaun serentak, boleh menjana lebih kurang RM 220,000!

6. Teknik Pintas Pengubahan Berganda

loan asb financing asbTeknik ini menggabungkan teknik pertama, keempat dan kelima yang mana melibatkan pembiayaan peribadi, multiple accounts dan proksi.

Teknik ini sesuai untuk golongan yang mampu memberikan komitmen bulanan sederhana tetapi pada masa yang sama ingin menjana keuntungan yang berganda melalui multiple accounts sepertimana teknik kelima.

Caranya, dengan membuat pembiayaan peribadi terlebih dahulu sebanyak RM 75,000 dengan bayaran bulanan sekitar RM 875 sebulan.

Sepertimana teknik keempat, hasil pembiayaan peribadi yang diperoleh tadi akan digunakan untuk membayar bayaran bulanan lima akaun loan ASB untuk tahun pertama seperti yang diterangkan dalam teknik kelima.

Hasilnya, dengan komitmen bulanan serendah RM 875, boleh menggandakan duit sehingga RM 220,000.

(Klik di sini untuk terus dapatkan Combo ASB Genius atau baca dahulu ulasan penuh di sini: Combo ASB Genius)

7. Teknik Serap Interest Rumah

Teknik ini sesuai untuk mereka yang masih mempunyai pembiayaan/pinjaman rumah tetapi ingin memendekkan tempoh pembayaran dan melangsaikannya secepat mungkin.

Dengan teknik ini, bukan sahaja tempoh pembiayaan/pinjaman rumah boleh dipendekkan, malahan boleh menjana sedikit keuntungan selepas habis bayaran nanti.

Lebih menarik lagi, kedua-dua keistimewaan ini boleh dicapai tanpa menjejaskan komitmen bulanan asal.

Untuk penerangan dan pengiraan bagi teknik ini, saya sarankan untuk fahamkan sendiri daripada Tuan Key melalui ebook dan video beliau kerana agak rumit untuk ditunjukkan di sini.

8. Teknik OD Rumah VS ASB

Kebiasaannya, orang mendapatkan keuntungan daripada rumah melalui jualan, sewaan atau dibuat homestay.

Tetapi, melalui teknik terakhir yang Tuan Key tunjukkan ini, potensi sebuah rumah yang dimiliki (dengan syarat tanpa atau telah habis pembiayaan/pinjaman rumah) boleh dihidupkan semula untuk menjana keuntungan melalui gabungan overdarf (OD) dan loan ASB.

Dan ini dicapai tanpa melibatkan sebarang komitmen bulanan.

Oleh kerana pengiraannya agak rumit, jadi saya sarankan baca sendiri ebook dan tonton video penerangan dari Tuan Key.

loan asb financing asbSecara peribadi, saya berpandangan teknik-teknik yang ditunjukkan oleh Tuan Key memang boleh dianggap ‘genius’.

Dengan modal yang kecil atau komitmen bulanan yang rendah, loan ASB dimanipulasi dengan bijak untuk menjana simpanan yang banyak dalam tempoh yang singkat.

Seterusnya dapat membantu untuk mencapai matlamat pengurusan kewangan yang telah ditetapkan.

Kunci utamanya adalah ilmu, teknik yang betul dan disiplin yang tinggi.

Bagi mereka yang ingin mengambil atau telah terlibat dengan pembiayaan/pinjaman ASB (loan ASB), sememangnya disarankan untuk mendapatkan pakej Combo ASB Genius ini.

Namun, harus diingat, Tuan Key membuat pengiraan berdasarkan kadar dividen ASB antara 7.5 – 8% setahun.

Jadi, jika kadar dividen yang diumumkan pada masa datang kurang dari yang dianggarkan, keuntungan yang dijana mungkin tidak sepertimana yang dijelaskan Tuan Key.

Apa-apa pun, seperti yang saya katakan, teknik simpanan paksa-rela sebegini memang mempunyai risiko, maka terpulanglah kepada kebijaksanaan kita sendiri untuk menilai dan mengambil langkah seterusnya.

(Klik di sini untuk terus dapatkan Combo ASB Genius atau baca dahulu ulasan penuh di sini: Combo ASB Genius)

set combo asb genius

..