Tag Archive: pelaburan

Kenali Skim Pelaburan Tipu Agar Tidak Mudah Terpedaya

skim pelaburan tipuPernah tak seseorang datang kepada anda dan menawarkan skim pelaburan tipu (scam)?

Kalau pernah dan anda menjauhinya, saya ucapkan syabas kerana mengambil langkah yang bijak!

Kalau pernah dan anda terpedaya lalu menyertai skim tersebut dan mengalami kerugian, saya tumpang bersimpati dan diharapkan anda dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut.

Anggaplah wang pelaburan yang hangus tersebut sebagai yuran pembelajaran dalam kehidupan agar selepas ini tidak diulangi lagi kesilapan yang sama.

Saya dan isteri juga pernah kerugian sedikit duit, gara-gara berasa segan dengan seorang rakan yang mempromosikan skim pelaburan yang disertainya.

Mujurlah saya dan isteri berkeras untuk kekal dengan pakej asas sahaja, dan tidak mengeluarkan lebih banyak modal untuk mengambil pakej advance skim pelaburan tipu tersebut.

Walaupun mengalami sedikit kerugian, namun saya dan isteri menjadikan pengalaman ini sebagai peringatan agar tidak mudah lagi terpedaya dengan skim-skim yang hampir sama.

Sekurang-kurangnya kini, saya dah tahu bagaimana golongan atau penganjur skim pelaburan tipu menjalankan operasi mereka untuk menipu duit orang ramai.

Jadi, saya akan lebih berhati-hati agar tidak terjerumus lagi dengan skim pelaburan tipu.

Baru-baru ini, saya ada terbaca satu laporan akhbar berkenaan skim pelaburan tipu yang semakin banyak muncul di Malaysia dengan pelbagai modus operasi untuk mencari mangsa-mangsanya.

Menurut laporan tersebut, pada tahun 2015, sebanyak 591 kes melibatkan skim pelaburan tipu dengan nilai kerugian RM 1.35 juta telah direkodkan.

Pada tahun 2016 pula, berlaku peningkatan sehingga 1006 kes dengan nilai kerugian RM 197.4 juta!

Boleh baca di sini http://www.sinarharian.com.my/penipuan-pelaburan-meningkat-setiap-tahun-1.626305

Fakta ini menunjukkan bahawa semakin banyak skim yang timbul di samping semakin ramai orang yang terpedaya dengan skim-skim tersebut.

Jadi, amatlah penting bagi kita untuk memahami dan mengenali tentang skim pelaburan tipu agar duit yang kita cari dan simpan dengan penat-lelah tidak ‘dileburkan’ kepada penipu-penipu skim-skim pelaburan tipu.

Ciri-ciri Asas Skim Pelaburan Tipu

Walau apa pun jenis skim pelaburan tipu, walau bagaimana pun modus operasi yang digunakan, skim pelaburan tipu mesti akan mempunyai ciri-ciri asas yang sama.

Ini adalah beberapa contoh modus operasi skim pelaburan tipu yang pernah wujud di Malaysia:

skim pelaburan tipu

skim pelaburan tipu

Untuk mudah ingat, kita gunakan akronim T.I.P.U untuk kenali ciri-ciri skim pelaburan tipu:

Ciri #1 – Tidak akan rugi, tanpa risiko

Biasanya, penganjur skim pelaburan tipu akan menawarkan skim pelaburan yang kononnya tanpa risiko.

Kiranya, memang tidak akan rugilah.

Sebenarnya, ini adalah satu taktik mudah untuk mengaburi mata dan memainkan emosi bakal mangsa.

Sebabnya, semua orang memang takut nak hadapi risiko kerugian dalam pelaburan, jadi dengan mendakwa bahawa skim yang ditawarkan adalah tanpa risiko kerugian, maka orang ramai akan mudah tertarik.

Hakikatnya, risiko dan pelaburan memang tidak boleh dipisahkan.

Semua pelaburan mesti ada risiko untuk rugi.

Malah, risiko dalam pelaburan adalah rezeki (boleh baca di sini: 5 Peraturan Melabur Yang Mesti Difahami)

Tiada pelaburan yang boleh menjamin keuntungan setiap masa.

Kalau wujud pun, mesti dah lama syarikat-syarikat dana besar seperti PNB, KWSP dan TH melabur dalam skim-skim tersebut.

Dah lama pelabur-pelabur profesional dan tersohor yang akan buat pelaburan terlebih dahulu.

Tetapi, mereka langsung tidak berminat dengan skim-skim pelaburan yang ditawarkan tersebut, sebab mereka dah tahu bahawa skim-skim tersebut adalah skim pelaburan tipu.

Jadi, kita sebagai pelabur kecil-kecilan dan amatur mestilah perlu menjauhkan diri juga daripada tawaran skim pelaburan yang menawarkan pulangan tanpa risiko rugi.

Konon tanpa risiko dan tidak akan rugi, walhal sekali penganjur lari, semua duit yang dilaburkan habis lesap hilang.

Ciri #2 – Indah khabar dari rupa

Saya dulu pernah menghadiri satu taklimat berkenaan satu skim pelaburan, kononnya duit yang dilaburkan  oleh peserta nanti akan digunakan sebagai modal untuk membeli dan menjual barang-barang keluaran syarikat tersebut.

Dipromosikan bahawa barang-barang tersebut sangat berkesan, mengandungi bahan-bahan terbaik yang sukar ditemui, telah menjalani kajian saintifik di banyak makmal luar negara dan macam-macam lagi dakwaan untuk menunjukkan kehebatan barang-barang tersebut.

Walhal, apabila diteliti, rupa-rupanya adalah barang-barang biasa sahaja seperti bedak, ubat gigi, serbuk kopi dan serbuk minuman perasa anggur.

Dan objektif syarikat bukannya nak menjual barang-barang sangat, tetapi lebih kepada mendapatkan lebih ramai ahli atau pelabur; kiranya macam sistem MLM.

Ada juga saya terbaca tentang satu skim pelaburan, yang mana pelabur-pelaburnya akan diberikan mata (points) khas untuk membeli dan menjual barang-barang di laman web yang dibina syarikat.

Ingatkan hebat dan gah sangat laman web tersebut, atau pun ada banyak barang seperti Lazada, rupa-rupanya laman web dibuat sekadar ada dengan design yang teruk dan susun atur yang berterabur.

Barang-barang yang ditawarkan pun tidaklah banyak dan bukanlah barang-barang yang mendapat permintaan tinggi pun.

Ada juga penganjur skim yang jenis menunjukkan simbol-simbol kemewahan seperti duit berkepul-kepul, kereta mewah, pergi melancong ke luar negara dan rumah yang besar.

Walhal semua itu diperoleh hasil daripada duit yang dikutip daripada mangsa, bukannya atas keuntungan perniagaan atau pelaburan.

Memang indah khabar dari rupa.

skim pelaburan tipuCiri #3 – Peluang hanya sekali

Kebanyakan skim pelaburan tipu mesti akan mendakwa bahawa pelaburan yang ditawarkan mempunyai tempoh terhad dan kuota yang sedikit

Kononnya, kalau tak sertai sekarang, tak akan ada lagi tawaran dibuka pada masa akan datang.

Atau pun, kuota dah penuh dan anda dah terlepas peluang untuk dapatkan pulangan besar daripada skim tersebut.

Sebenarnya, ini satu taktik untuk wujudkan sense of urgency atau rasa panik sahaja.

Dengan mewujudkan rasa panik sebegitu, ini akan mengganggu emosi bakal mangsa.

Bakal mangsa tidak akan sempat berfikir panjang dan ini akan memudahkan penganjur skim untuk melaksanakan tipu helah mereka.

Pelaburan yang sebenar sepatutnya tidak mempunyai tempoh terhad dan kuota yang sedikit.

Pelabur boleh melabur  dan berhenti pada bila-bila masa, dan kuota yang sangat besar membolehkan pelaburan dijalankan tanpa perlu rasa panik dan terdesak.

Dalam keadaan sebegini, pelabur punyai ruang masa yang banyak untuk meneliti dan memahami pelaburan tersebut dengan sebaik-baiknya sebelum melaburkan duit mereka.

Bagi skim pelaburan tipu, perkara sebegini tidak terjadi.

Ciri #4 – Untung yang besar

Ciri yang #4 ini sangat berkait rapat dengan ciri #1 di atas.

Untuk mewujudkan rasa tamak dalam hati bakal mangsa, penganjur skim biasanya akan menawarkan pulangan keuntungan yang besar, jauh lebih besar daripada pulangan pelaburan-pelaburan biasa seperti pelaburan ASB, pelaburan unit amanah dan pelaburan saham.

Ada juga yang menawarkan pulangan tetap setiap bulan, kononnya pulangan tersebut boleh menggantikan gaji bulanan yang diterima.

Untuk lebih mudah nak tarik bakal mangsa, kebiasaannya penganjur akan memberikan pulangan terlebih dahulu kepada pelabur-pelabur awal untuk menaruh rasa percaya terhadap skim yang ditawarkan.

Pelabur-pelabur awal ini akan memberitahu kepada orang lain, bahawa mereka memang mendapat keuntungan daripada skim yang disertai.

Maka, orang lain yang mendengarnya mesti akan mudah terpedaya.

Sebenarnya, skim pelaburan tipu sebegini mengambil duit yang dilaburkan peserta-peserta baru untuk diberikan kepada peserta-peserta awal sebagai keuntungan.

Tiada perniagaan, tiada aktiviti-aktiviti lain untuk jana keuntungan, kecuali mengharapkan duit daripada peserta-peserta baru.

Jika tiada peserta baru, maka tiada sumber pendapatan, dan akhirnya sistem akan runtuh.

Tiada lagi pulangan yang boleh diberikan kepada pelabur, dan penganjur akan mula angkat kaki bersama-sama baki duit yang masih ada.

Cara-cara Melindungi Diri

Sekarang, dah kenal ciri-ciri skim pelaburan tipu, tapi bagaimana cara nak lindungi atau elakkan diri daripada terperangkap dalam skim sebegini?

Mudah sahaja, guna C.E.L.I.K

skim pelaburan tipuCara #1 – Cepat curiga

Apabila ada seseorang datang kepada anda dan bercerita tentang skim pelaburan yang mempunyai ciri-ciri di atas, jangan mudah percaya.

Tanamkan dulu rasa curiga, dan ambil masa untuk semak semula semua maklumat berkenaan skim tersebut.

Cara #2 – Elak emosi

Seperti yang dinyatakan di atas, penganjur skim pelaburan tipu memang pandai memainkan emosi bakal mangsa supaya termakan umpan mereka.

Mereka mainkan emosi takut rugi, perasaan terdesak dan rasa tamak bakal mangsa supaya mereka tak boleh berfikir secara rasional dan akhirnya terperangkap.

Jadi, untuk elakkan ditipu dengan skim-skim sebegini, kena kawal dan elak emosi keterlaluan, sebaliknya gunakan common sense dan akal yang dikurniakan.

Cara #3 – Lesen

Sentiasa semak lesen penganjur; semak sama ada mereka punyai lesen yang sah, tulen dan daripada agensi yang betul.

Jika penganjur mendakwa mereka menjalankan jualan langsung, pastikan syarikat tersebut mempunyai lesen perniagaan jualan langsung di bawah Akta Jualan Langsung 1993 & Peraturan-peraturan Jualan Langsung 1993 yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK).

Boleh semak di sini: http://www.kpdnkk.gov.my/index.php/my/status-syarikat-jualan-langsung

Dengan lesen perniagaan jualan langsung, syarikat tersebut hanya layak menjalankan perniagaan jualan langsung, dan tidak layak menawarkan skim pelaburan.

Jika penganjur mendakwa mereka menjalankan skim pelaburan, mereka harus punyai lesen yang sah daripada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC)

Boleh semak di sini (http://www.bnm.gov.my/index.php?lang=bm&ch=bm_financialconsumeralert) atau di sini (https://www.sc.com.my/my/)

Cara #4 – Informasi

Apabila ditawarkan apa-apa skim pelaburan, sentiasa cuba dapatkan informasi yang lengkap.

Tanya pada orang lain, rujuk pada penasihat kewangan yang sah dan semak di laman-laman web seperti yang dinyatakan di atas.

Apabila dah dapat informasi daripada mereka yang berkelayakan dan agensi-agensi penguatkuasa kewangan, janganlah pula menuduh mereka sengaja nak menjatuhkan skim pelaburan yang sedang disertai.

Percaya bahawa mereka hanya dengki dengan skim tersebut, sebab itulah menentang.

Itu sebenarnya hanyalah dalih penganjur skim pelaburan tipu untuk menyembunyikan tentang penipuan mereka.

Jangan hanya dengar informasi daripada penganjur dan agennya sahaja.

Mereka dah tentu akan keluarkan informasi yang berat sebelah; semua nampak indah sahaja.

Cara #5 – Kuat semangat

Apabila berhadapan dengan golongan yang mempromosikan skim pelaburan tipu, kena kuat semangat.

Jangan mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan rentak mereka.

Kuatkan semangat, tegas dalam berkata tidak.

Kadang-kadang, ramai terjerat disebabkan susah, segan atau tak sampai hati nak berkata tidak.

Maklumlah, yang tukang promote itu ahli keluarga sendiri, atau pun kawan baik sendiri; kalau tidak sertai, dikatanya tidak sokong ahli keluarga atau kawan sendiri.

Jadi, apabila berhadapan situasi sebegini, kenalah kuat semangat.

Ingat, yang keluarkan duit adalah anda sendiri, nanti yang hangus pun, duit anda juga.

Apabila duit dah hangus nanti, tiada siapa pun yang akan tolong anda.

Kesimpulan

Kesimpulannya, skim pelaburan tipu adalah sesuatu yang boleh dielakkan dan perlu dijauhi.

Skim-skim sebegini akan sentiasa muncul dan berevolusi dengan modus operasi yang lebih canggih dan sofistikated untuk mengaburi mata bakal mangsa.

Siapa bakal mangsa tersebut?

Anda, saya dan kita semua.

Maka, sentiasalah beringat dan berhati-hati.

Oh ya, sebelum terlupa, boleh tonton video di bawah berkenaan satu skim pelaburan tipu yang digelar skim ponzi.

 

Panduan Pelaburan Saham: Cara Buka Akaun CDS & Trading

cara buka akaun cds tradingRamai yang berminat nak mulakan pelaburan saham, tetapi ramai yang masih tersekat pada langkah pertama kerana tidak tahu cara buka akaun CDS (Central Depository Service @ depositori pusat) dan trading (perdagangan @ jual-beli)

Tanpa akaun CDS dan trading, memang mustahil untuk mulakan pelaburan saham.

Sebab itulah ada orang kata, jangan sembang lebat pasal pelaburan saham kalau akaun CDS dan trading pun tiada lagi.

Jadi, nak melabur saham, kenalah buka akaun CDS dan trading terlebih dahulu.

Sebelum kita pergi lebih lanjut berkenaan cara buka akaun CDS dan trading, mari berkenalan dahulu dengan kedua-dua akaun ini.

Central Depository Service (CDS) Account @ Akaun Depositori Pusat

Akaun CDS adalah akaun yang dibuka dengan Bursa Malaysia dan merupakan tempat menyimpan saham-saham yang dibeli.

Akaun CDS boleh dibuka oleh individu berumur 18 tahun ke atas dan juga oleh syarikat, persatuan, pemegang amanah dan badan berkanun.

Kalau dulu, apabila membeli saham, pelabur akan diberi sijil yang mengandungi maklumat berkaitan saham-saham yang dibeli.

Sekarang, sijil sudah tidak wujud lagi, sebaliknya semua maklumat disimpan secara elektronik menerusi akaun CDS.

Secara umumnya, akaun CDS boleh dibahagikan kepada dua jenis; direct (terus) dan nominee (penama)

Jika membuka akaun CDS direct, nama pelabur akan terus dicatatkan pada akaun tersebut.

Dengan akaun CDS direct, dividen daripada syarikat yang dibeli akan terus dimasukkan ke dalam akaun pelabur dan pelabur boleh menghadiri mesyuarat tahunan (Annual General Meeting, AGM) yang dianjurkan syarikat tersebut.

Pelabur juga boleh terus membeli kaunter IPO (Initial Public Offering, Tawaran Permulaan Awam), yang mana merupakan kaunter-kaunter yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia.

Akaun CDS nominee pula tidak mencatatkan nama pelabur sebagai pemilik akaun, sebaliknya nama syarikat broker yang dilantik sebagai penama.

Dividen yang diberikan syarikat tidak akan dimasukkan terus ke akaun pelabur, sebaliknya akan diuruskan oleh syarikat nominee dengan mengenakan caj tertentu.

Akaun CDS nominee tidak membolehkan pemilik sebenar akaun menghadiri AGM syarikat secara terus, sebaliknya perlu memohon keizinan syarikat nominee.

IPO juga tidak boleh dibeli melalui akaun CDS nominee.

Walaupun banyak kekurangan, kenapa akaun CDS nominee diwujudkan?

Ini apa yang saya tahu; kebanyakan orang kaya yang ingin ‘menyembunyikan’ kekayaan mereka akan menggunakan akaun CDS nominee untuk menyimpan saham-saham mereka.

Saham-saham tersebut akan diletakkan atas nama syarikat penama, bukannya secara terus atas nama mereka.

Lagipun, seorang pelabur individu dibenarkan membuka hanya satu akaun CDS di bawah namanya (akaun CDS direct), tetapi boleh membuka beberapa akaun CDS lain di bawah nama syarikat penama (akaun CDS nominee)

Jika nak buka akaun CDS direct lebih dari satu akaun, kena buka dengan syarikat broker yang berasingan.

Tambahan lagi, pelabur atau spekulator yang ingin menggunakan kemudahan collateral atau margin yang lebih berisiko untuk mendapatkan keuntungan segera perlu menggunakan akaun CDS nominee.

cara buka akaun cds tradingTrading Account @ Akaun Perdagangan/Jual-beli

Akaun trading dibuka dengan syarikat broker, dan merupakan akaun yang digunakan untuk berjual-beli saham.

Modal akan dimasukkan ke dalam akaun trading terlebih dahulu, kemudian duit tersebut digunakan untuk membeli saham dan maklumat saham yang dibeli akan disimpan menerusi akaun CDS.

Apabila saham yang dibeli tadi dijual, hasil jualan akan dimasukkan semula ke dalam akaun trading; itulah fungsi asas akaun trading.

Akaun trading boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, antaranya adalah:

#1 Akaun tunai (cash upfront)

Pelabur perlu memasukkan dahulu duit ke dalam akaun ini sebelum membeli mana-mana saham, dan jumlah unit saham yang boleh dibeli dihadkan kepada jumlah duit yang ada sahaja.

Bayaran untuk pembelian saham dilakukan serta-merta dengan menolak baki duit yang ada.

Kelebihan akaun ini adalah yuran yang lebih murah dan risiko lebih rendah kerana anda dihadkan membeli unit saham mengikut baki duit yang ada sahaja.

#2 Akaun cagaran (collateral)

Akaun ini membenarkan pelabur membeli lebih daripada jumlah duit yang ada dalam akaun trading tersebut, contohnya 2 kali ganda daripada baki.

Sebagai contoh, katakanlah baki dalam akaun trading collateral ada sebanyak RM 1,000, maka pelabur dibenarkan membeli unit saham sehingga RM 2,000

Jumlah pembelian yang melebihi jumlah baki duit perlu ditambah dalam masa T+3 (trading day + 3 hari)

Contohnya duit dalam akaun RM 1,000 tetapi saham dibeli berjumlah RM 1,700, maka lebihan RM 700 perlu ditambah dalam masa T+3.

Jika tambahan tidak dilakukan, forced selling boleh berlaku; saham yang dibeli akan dijual-paksa untuk menampung tambahan tersebut walaupun harga saham tengah rugi.

#3 Akaun margin (financing)

Akaun ini membenarkan pelabur membuat financing (pinjaman) dengan menggunakan nilai saham sedia ada sebagai cagaran dan membeli saham lain mengikut jumlah margin yang ditetapkan.

Sebagai contoh, nilai saham yang telah sedia ada dimiliki berjumlah RM 50,000, dan margin yang diberikan adalah 60%, maka pelabur boleh membeli tambahan nilai saham sebanyak RM 30,000.

Yang bahayanya menggunakan hutang untuk membeli saham melalui akaun margin ini adalah margin call, apabila syarikat broker meminta untuk mengekalkan margin ketika harga saham jatuh.

Dalam contoh tadi, sekiranya nilai saham sedia ada yang digunakan sebagai cagaran jatuh kepada nilai RM 40,000, maka jumlah margin adalah 60% x RM 40,000 = RM 24,000; ada beza sebanyak RM 6,000 daripada nilai margin asal RM 30,000

Maka, untuk menjawab margin call, pelabur sama ada perlu menambah RM 6,000 secara tunai, atau menjual saham sedia ada (yang sedang rugi) untuk menampung margin call tersebut.

Sebab itulah, melakukan pelaburan saham secara hutang sama ada melalui collateral atau margin adalah lebih berisiko.

Jadi, bagi pelabur biasa, lebih baik buat pelaburan secara tunai sahaja.

Satu perkara lagi yang perlu dipertimbangkan tentang adalah sama ada nak buka akaun patuh syariah atau akaun konvensional.

Akaun patuh syariah memastikan pelabur hanya terlibat dengan urusan dan saham patuh syariah sahaja, kerana tidak dibenarkan membeli saham berstatus tidak patuh syariah.

Jika memiliki akaun konvensional pula, boleh membeli kedua-dua jenis saham patuh syariah dan tidak patuh syariah, tetapi jika tidak berhati-hati, boleh tersalah terlibat dalam urusan berkaitan riba.

Contohnya, jika membuat financing atau margin dengan akaun konvensional, sudah semestinya terlibat dengan riba walaupun membeli saham patuh syariah.

Kedua-dua akaun konvensional dan patuh-syariah ada kelebihan dan kekurangannya, nanti boleh tanya pada remisier/dealer yang anda berurusan.

Itulah serba sedikit penerangan berkenaan akaun CDS dan trading secara umum, kalau nak lebih banyak maklumat, kenalah tanya remisier/dealer yang akan dijumpai apabila buka akaun CDS dan trading nanti.

Apabila dah jelas tentang jenis-jenis akaun CDS dan trading, jadi nanti apabila nak buka kedua-duanya, digalakkan buka akaun CDS direct dan akaun trading tunai (cash)

Cara buka akaun CDS dan trading

Sekarang kita pergi ke topik sebenar artikel ini, iaitu cara buka akaun CDS dan trading bagi memulakan pelaburan saham.

Saya akan ceritakan berdasarkan pengalaman saya membuka kedua-dua akaun tersebut sebelum ini.

Untuk buka akaun CDS dan trading, boleh ikut langkah-langkah yang berikut:

Langkah #1 Kenalpasti syarikat broker

Akaun CDS dan trading perlu dibuka melalui syarikat-syarikat broker yang sah, yang mana akan melantik remisier atau dealer untuk berurusan dengan bakal pelabur.

Senarai syarikat-syarikat broker yang sah boleh dilihat di laman web Bursa Malaysia di sini: http://www.bursamalaysia.com/market/securities/equities/brokers/list-of-participating-organisations

cara buka akaun cds trading

Jika nak kenalpasti syarikat-syarikat broker yang menawarkan akaun dan perkhidmatan patuh-syariah, boleh lihat di sini: http://www.bursamalaysia.com/market/islamic-markets/products/bursa-malaysia-i

Sehingga tahun 2017 ini, terdapat 11 buah syarikat yang menawarkan akaun dan perkhidmatan patuh-syariah sama ada full-fledged atau window basis.

cara buka akaun cds trading

Pilih syarikat broker yang berkenan di hati (contoh dulu saya pilih Maybank Investment Bank, sebab dah ada akaun simpanan Maybank dan Maybank2u, maka urusan akan lebih mudah)

Langkah #2 Dapatkan maklumat berkenaan syarikat broker

Selepas kenalpasti syarikat broker yang berkenan di hati, kenalah dapatkan maklumat selanjutnya terutama lokasi dan nombor telefon.

Boleh dapatkan alamat cawangan-cawangan syarikat broker di laman web Bursa Malaysia, sepertimana pautan yang diberikan di atas.

Boleh pilih mengikut nama syarikat, ataupun nama negeri.

Tetapi, bagaimana pula kalau cawangan-cawangan syarikat broker tersebut terletak jauh daripada tempat tinggal kita?

Contohnya, cawangan-cawangan Maybank Investment Bank hanya terdapat di Kuala Lumpur, Selangor (Klang, Petaling Jaya), Perak (Ipoh), Negeri Sembilan (Seremban) dan Pulau Pinang (Penang)

Bagaimana orang di negeri-negeri lain nak buka akaun CDS dan trading dengan Maybank Investment Bank?

Jangan risau, sesetengah syarikat broker mempunyai share investment/trading center di cawangan-cawangan bank mereka seperti Maybank dan CIMB.

Boleh google dan cari laman web syarikat broker tersebut untuk lihat alamat share investment/trading center yang berdekatan, contohnya di laman web Maybank Investment (Locate us – http://www.maybank2u.com.my/Investment-bank/en/contact-support/locate-branches.page?) dan iTrade@CIMB (Locator – https://www.itradecimb.com.my/index.php?tpl=locator&tpt=itrade2)

Boleh juga telefon ke ibu pejabat syarikat broker tersebut dan tanya di mana cawangan bank yang menjadi share investment/trading center atau mempunyai remisier/dealer untuk buka akaun CDS dan trading.

Langkah #3 Berjumpa dengan remisier/dealer

Selepas dapat kenalpasti lokasi syarikat broker atau share invenstment/trading center, bolehlah pergi ke sana berjumpa dengan remisier/dealer untuk buka akaun CDS dan trading.

Sebelum pergi, boleh telefon dulu untuk buat temu janji agar nanti ada remisier/dealer yang sedia melayan anda.

Jika tak buat temujanji dan nak terus terjah pun tidak mengapa, cumanya dibimbangi remisier/dealer di tempat yang ingin dituju tersebut bercuti atau ada urusan lain, jadi nanti tak dapatlah nak buka akaun CDS dan trading.

Kalau pergi ke pejabat cawangan syarikat broker mungkin tiada masalah sebab terdapat ramai remisier/dealer, tetapi jika ke share investment/trading center, remisier/dealer yang ada mungkin tak ramai.

Jika ke share investment/trading center, perlu tahu yang biasanya remisier/dealer tidak berada di kaunter tempat buka akaun simpanan atau urusan bank biasa.

Jadi, di kaunter pertanyaan, bolehlah bagitahu yang anda nak buka akaun CDS dan trading, nanti kakitangan di situ akan tunjukkan arah untuk jumpa remisier/dealer, mungkin perlu masuk ikut pintu masuk lain atau naik ke tingkat atas.

Langkah #4 Buka akaun CDS dan trading

Apabila dah jumpa remisier/dealer, bolehlah mula buka akaun CDS dan trading.

Ikut pengalaman saya, remisier yang saya jumpa dulu berikan sedikit penerangan berkenaan pelaburan saham, akaun CDS dan akaun trading terlebih dahulu.

Kalau ada apa-apa persoalan, boleh terus tanya pada remisier/dealer yang dijumpai.

Untuk buka akaun CDS dan trading, kena bawa salinan kad pengenalan, penyata bank dan bayaran RM 10.60 (berserta GST 6%)

Selepas isi beberapa borang, serahkan dokumen dan beri bayaran yang diperlukan, maka hampir selesailah urusan buka akaun CDS dan trading.

Yang tinggal, hanya perlu tunggu akaun CDS disahkan oleh Bursa Malaysia dan pengaktifan di online trading platform.

Jangan risau, remisier/dealer akan terangkan langkah-langkah untuk mengaktifkan akaun online trading platform.

Pengesahan akaun CDS dan trading mungkin mengambil masa beberapa hari bekerja, biasanya tidak melebihi 7 hari.

Selepas akaun CDS dan trading disahkan, bolehlah aktifkan online trading platform.

Langkah #5 Mulakan pelaburan saham

Selepas pengaktifan online trading platform, sekarang bolehlah mulakan pelaburan saham.

Oleh kerana tadi buka akaun trading tunai, maka perlulah letakkan dahulu duit dalam akaun trading sebagai modal.

Boleh tanya remisier/dealer bagaimana cara untuk masukkan duit ke dalam akaun trading.

Macam saya, oleh kerana saya buka akaun trading dengan Maybank Investment Berhad, maka saya boleh gunakan Maybank2u untuk pindahkan duit daripada akaun simpanan biasa ke akaun trading.

Apabila modal dah ada dalam akaun trading, bolehlah beli kaunter saham yang dikehendaki.

Ingat, jual beli saham hanya boleh dilakukan ketika hari (Isnin – Jumaat, kecuali cuti umum) dan waktu bekerja (8.30 pagi – 4.30 petang, kecuali waktu rehat tengahari 12.30 – 2.00 petang) sahaja.

Biasa-biasakan diri menggunakan online trading platform; kenalpasti nama kaunter, kod kaunter, harga jual dan harga beli.

Kalau tak pandai nak gunakan online trading platform, boleh minta tunjuk ajar daripada remisier/dealer.

Selamat melabur!

p/s: Untuk lebih banyak artikel berkaitan pelaburan saham dalam blog ini, boleh klik di sini: Panduan Pelaburan Saham

p/p/s: Kalau nak panduan lengkap untuk yang baru mula pelaburan saham, daripada yang asas hingga kepada cara memilih kaunter terbaik berasaskan teknik fundamental, boleh dapatkan panduan ini: Combo Ebook Saham 101 & 201

combo ebook saham(Baca review & kandungan Combo Ebook Saham di sini)

Untuk yang dah ada pengetahuan asas dan sedikit pengalaman dalam pelaburan saham, tetapi masih kurang menjana keuntungan, mungkin boleh dapatkan ebook Panduan Sistem Saham.

Ebook ini khas untuk orang yang dah ada pengalaman dalam pelaburan saham dan akan tunjukkan cara buat pelaburan saham menggunakan analisis teknikal (baca pergerakan carta)

sistemsaham1

..

7 Tips Memilih Pembiayaan Pinjaman Perumahan Terbaik

pembiayaan pinjaman perumahan terbaikPada zaman sekarang, oleh kerana harga rumah yang terlalu tinggi terutama di kebanyakan bandar besar di Malaysia, ramai yang terpaksa mencari kemudahan pembiayaan pinjaman perumahan terbaik untuk membiayai pembelian rumah idaman.

Amat sedikit yang mampu membeli rumah secara tunai; situasi yang amat berbeza jika dibandingkan pada zaman mak ayah kita dahulu.

Bayangkan, harga rumah teres setingkat di kawasan luar bandar pun sudah mencecah angka ratusan ribu ringgit, apatah lagi harga rumah di kawasan bandar.

Sudah semestinya harga yang tidak mampu dibeli secara tunai.

Jadi, produk pembiayaan pinjaman perumahan sekarang sudah menjadi satu keperluan.

Mujurlah bank-bank sekarang pun banyak mengeluarkan produk-produk pembiayaan pinjaman perumahan untuk keperluan semua.

Cuma, apabila banyak produk yang tersedia, ramai pula yang menjadi pening untuk memilih yang terbaik.

Jika anda salah seorang yang sedang tercari-cari pembiayaan pinjaman perumahan terbaik, tips yang disediakan ini diharapkan boleh dijadikan rujukan:

Tips #1 – Pembiayaan Islamik vs pinjaman konvensional

Dulu, selain daripada kos membeli dan membina rumah yang masih rendah, salah satu faktor masyarakat tidak suka membuat pinjaman perumahan adalah kerana kebanyakan pinjaman yang ditawarkan adalah berkonsepkan riba.

Seiring dengan kesedaran masyarakat berkenaan soal halal-haram dalam kewangan atau muamalat dan pertambahan permintaan ke atas produk-produk kewangan Islam, maka semakin banyak produk pembiayaan perumahan Islamik disediakan oleh institusi-institusi kewangan.

Produk konvensional kebiasaannya dikenali sebagai pinjaman (loan), manakala produk Islamik dikenali sebagai pembiayaan (financing)

Yang membezakan antara pinjaman perumahan konvensional dan pembiayaan perumahan Islamik adalah kontrak yang mendasari produk tersebut; pinjaman konvensional berkonsepkan pinjaman semata-mata, manakala pembiayaan Islamik berasaskan konsep jual-beli atau sewaan seperti al-Bai Bithaman Ajil (BBA), Musharakah Mutanaqisah, Musharakah dan Ijarah.

Di samping itu, terdapat beberapa kelebihan pembiayaan perumahan Islamik yang ditawarkan oleh bank-bank bagi menarik lebih ramai orang melanggan produk tersebut.

Antaranya, diskaun 20% ke atas duit setem bagi perjanjian pembiayaan, kadar maksimum/siling keuntungan pembiayaan pada 10.75% (tiada kadar maksimum dalam pinjaman konvensional), caj penalti lewat bayar tidak dikira bersama-sama keuntungan, tiada lock-in period (kebanyakan produk pembiayaan Islamik, bukan semua) dan 100% diskaun duti-setem jika bertukar dari pinjaman konvensional sedia ada ke pembiayaan perumahan Islamik.

Oleh itu, bagi orang Islam, pembiayaan pinjaman perumahan terbaik sudah semestinya pembiayaan perumahan Islamik, manakala bagi orang bukan Islam, mereka bebas memilih sama ada ingin mengambil pinjaman perumahan konvensional atau pun pembiayaan perumahan Islamik.

pembiayaan pinjaman oerumahan terbaikTips #2 – Kadar terapung vs kadar tetap

Pembiayaan perumahan Islamik menggunakan terma kadar keuntungan, manakala pinjaman perumahan menggunakan terma kadar faedah.

Kedua-duanya terbahagi kepada dua jenis; kadar tetap atau kadar terapung

Kadar tetap bermaksud kadarnya tetap sepanjang tempoh pembiayaan, maka kadar bayaran bulanan adalah tetap walaupun berlaku perubahan polisi atau situasi ekonomi.

Berbeza pula dengan kadar terapung, kadarnya boleh berubah-ubah bergantung kepada kadar asas pinjaman (Base Rate, BR) yang ditetapkan oleh setiap bank, yang mana dipengaruhi pula oleh beberapa faktor antaranya kadar OPR yang ditetapkan Bank Negara, bank profit margin, kos pinjaman/pembiayaan dan juga profil kredit peminjam.

Kadar terapung biasanya dinyatakan dalam jumlah + atau – nilai BR, contohnya BR + 0.55%

Kebiasaannya, kadar tetap adalah lebih mahal berbanding kadar terapung kerana bank perlu mengambil kira keuntungan pada masa depan, namun kadar tetap lebih memberikan ketenangan kepada peminjam kerana bayaran yang tetap dan tidak berubah.

Nak pilih kadar tetap atau kadar terapung, itu terpilih kepada selera masing-masing.

Masing-masing punyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, yang penting, cuba dapatkan tawaran kadar faedah atau keuntungan yang paling rendah.

Tips #3 – Flexi, semi-flexi & non-flexi

Pembiayaan pinjaman perumahan turut boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu flexi, semi-flexi dan non-flexi.

Pembiayaan pinjaman perumahan jenis flexi memberikan fleksibiliti yang tinggi kepada pelanggan yang mana membolehkan pelanggan melakukan bayaran tambahan ke atas ansuran bulanan yang dikenakan.

Tambahan bayaran tersebut akan terus ditolak daripada jumlah modal asal pinjaman, yang mana seterusnya boleh mengurangkan jumlah faedah/keuntungan yang dikenakan.

Pelanggan turut boleh mengeluarkan lebihan bayaran tersebut jika diperlukan untuk perkara-perkara lain.

Jenis semi-flexi juga mempunyai ciri-ciri yang sama seperti jenis flexi, iaitu boleh membuat lebihan bayaran dan pengeluaran lebihan tersebut jika diperlukan.

Bezanya, untuk jenis semi-flexi, pelanggan perlu memaklumkan dulu kepada bank dengan memberi notis sebelum melakukan lebihan bayaran atau membuat pengeluaran, manakala pelanggan tidak perlu memberi notis bagi jenis flexi.

Di samping itu, disebabkan adanya caj permulaan dan caj bulanan, kos untuk jenis flexi adalah lebih tinggi berbanding jenis semi-flexi.

Jenis non-flexi pula tidak mempunyai keistimewaan membuat lebihan bayaran dan pengeluaran.

Maka, jika anda bercadang untuk membeli rumah dengan bantuan bank, pembiayaan pinjaman perumahan terbaik yang disarankan adalah jenis semi-flexi.

pembiayaan pinjaman perumahan terbaikTips #4 – Margin of financing

Margin of financing (MOF) merujuk kepada peratus daripada harga rumah yang ditawarkan untuk dibuat pembiayaan pinjaman perumahan.

Kebiasaannya, bank-bank menawarkan MOF antara 85, 90 dan 95% bagi pembelian rumah pertama dan kedua.

Contohnya, harga rumah adalah RM 400,000 dan bank menawarkan MOF 90%, maka pelanggan boleh memohon pembiayaan atau pinjaman sehingga RM 360,000.

Nilai MOF yang ditawarkan bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis rumah, lokasi rumah, umur pemohon, pendapatan pemohon dan rekod pinjaman pemohon sebelum ini.

Semakin tinggi nilai MOF yang diberikan, semakin tinggi jumlah pinjaman atau pembiayaan yang boleh dimohon dan semakin rendah pemohon perlu mengeluarkan wang untuk deposit pembelian rumah tersebut.

Jadi, dalam mencari pembiayaan pinjaman perumahan terbaik, cuba cari tawaran dengan nilai MOF tertinggi.

Tips #5 – Lock-in period

Lock-in period adalah tempoh yang mana peminjam tidak dibenarkan membuat full-settlement atau pembayaran penuh bagi pembiayaan pinjaman perumahan yang diambil; jika syarat ini dilanggar, maka caj penalti boleh dikenakan.

Ada bank yang menetapkan tempoh 3 ke 5 tahun, ada juga yang tidak menetapkan lock-in period.

Bagi caj penalti pula, kebiasaannya nilainya adalah antara 2% ke 5% daripada jumlah asal pinjaman atau pembiayaan.

Contoh, bagi nilai pembiayaan perumahan berjumlah RM 400,000 dengan lock-in period 5 tahun, andainya full-settlement dilakukan sebelum tempoh 5 tahun, jika caj penalti adalah 3%, maka nilai yang perlu dibayar adalah 3% x RM 400,000 = RM 12,000

Jadi, tips dalam mencari pembiayaan pinjaman perumahan terbaik, jika anda merancang membeli rumah kemudian ingin menjualnya dalam masa terdekat, maka carilah yang tidak mempunyai lock-in period, atau yang paling singkat, dan pada masa yang sama cari yang mengenakan caj penalti paling rendah.

Tips #6 – Tempoh pembiayaan/pinjaman

Semakin panjang tempoh pembiayaan pinjaman perumahan yang diambil, semakin rendah jumlah bayaran ansuran bulanan.

Tetapi, jumlah keseluruhan pembiayaan pinjaman perumahan tersebut akan menjadi lebih besar.

Bagi yang ingin meminimakan jumlah bayaran ansuran bulanan, maka perlulah mencari tawaran pembiayaan pinjaman perumahan yang mempunyai tempoh pinjaman yang panjang.

Bagi yang ingin mengurangkan jumlah bayaran keseluruhan dengan menyelesaikan pinjaman atau pembiayaan secepat mungkin, maka tempoh pembiayaan adalah kurang signifikan.

Tips #7 – Daily rest vs monthly rest

Konsep pengiraan faedah/keuntungan sama ada daily rest atau monthly rest juga perlu dititik beratkan dalam memilih pembiayaan pinjaman perumahan terbaik.

Mungkin ada yang belum memahami konsep pengiraan bagi pembiayaan pinjaman perumahan yang kebanyakannya berdasarkan konsep reducing balance.

Untuk makluman, bagi setiap bayaran ansuran bulanan yang dikeluarkan, sebahagian bayaran tersebut digunakan untuk mengurangkan baki pinjaman/pembiayaan asal, manakala sebahagian lagi digunakan untuk membayar faedah/keuntungan yang dikenakan.

Jika lebihan bayaran dilakukan, lebihan tersebut akan digunakan untuk mengurangkan baki pinjaman/pembiayaan asal, yang mana akan mengurangkan jumlah faedah/keuntungan dan seterusnya mengurangkan jumlah bayaran keseluruhan.

Bagi pengiraan daily rest, pengiraan dibuat berdasarkan baki setiap hari, manakala bagi monthly rest, pengiraan adalah berdasarkan baki bulanan.

Andainya seseorang itu membuat lebihan bayaran pada awal dan akhir bulan yang sama, akan ada kesan pada pengiraan daily rest, manakala tiada kesan bagi pengiraan monthly rest.

Memang agak sukar untuk memahami konsep ini, mungkin saya akan tuliskan artikel berasingan untuk menunjukkan pengiraan bagi daily rest dan monthly rest.

Senang kata, pembiayaan pinjaman perumahan yang menggunakan konsep daily rest adalah lebih fleksibel, dan membolehkan lebih banyak penjimatan jika peminjam membuat lebihan bayaran dengan lebih kerap.

Apakah pembiayaan pinjaman perumahan terbaik?

Memang sukar untuk memilih yang terbaik kerana setiap tawaran daripada bank-bank sudah semestinya berbeza-beza.

Mungkin tawaran yang disediakan memenuhi ciri A, tetapi kurang dari segi ciri B.

Ada tawaran yang terbaik bagi ciri C, tetapi kurang menarik pula bagi ciri D.

Bagi anda yang sedang tercari-cari pembiayaan pinjaman perumahan terbaik, mungkin boleh senaraikan dahulu ciri-ciri yang anda inginkan.

Kemudian, buatlah sedikit study tentang produk-produk yang ditawarkan oleh bank-bank.

Untuk permulaan, boleh menggunakan jadual perbandingan seperti di iMoney (https://www.imoney.my/home-loan) dan LoanStreet (https://loanstreet.com.my/home-loan)

Daripada jadual perbandingan tersebut, mungkin boleh disenarai pendekkan produk pembiayaan pinjaman perumahan yang memenuhi citarasa.

Kemudian, bolehlah dilanjutkan lagi kajian dengan pergi ke bank-bank terlibat untuk mendapatkan lebih maklumat.

Jangan lupa untuk bawa bersama-sama dokumen-dokumen yang diperlukan seperti slip gaji/pendapatan, penyata akaun, penyata aset dan penyata hutang-hutang lain bagi membolehkan pengiraan sebenar dilakukan oleh pegawai bank.

Selepas kajian menyeluruh dilakukan, bolehlah membuat pilihan pembiayaan pinjaman perumahan terbaik.

p/s: Kalau nak dapatkan panduan dan tips mudah mendapat pembiayaan pinjaman perumahan bagi membeli rumah dan memulakan pelaburan hartanah, klik pada gambar di bawah atau di sini: Strategi Confirm Lulus Loan Rumah

pembiayaan pinjaman perumahan terbaikpembiayaan pinjaman perumahan terbaik