Tag Archive: pelaburan saham

Panduan Pelaburan Saham: Cara Buka Akaun CDS & Trading

cara buka akaun cds tradingRamai yang berminat nak mulakan pelaburan saham, tetapi ramai yang masih tersekat pada langkah pertama kerana tidak tahu cara buka akaun CDS (Central Depository Service @ depositori pusat) dan trading (perdagangan @ jual-beli)

Tanpa akaun CDS dan trading, memang mustahil untuk mulakan pelaburan saham.

Sebab itulah ada orang kata, jangan sembang lebat pasal pelaburan saham kalau akaun CDS dan trading pun tiada lagi.

Jadi, nak melabur saham, kenalah buka akaun CDS dan trading terlebih dahulu.

Sebelum kita pergi lebih lanjut berkenaan cara buka akaun CDS dan trading, mari berkenalan dahulu dengan kedua-dua akaun ini.

Central Depository Service (CDS) Account @ Akaun Depositori Pusat

Akaun CDS adalah akaun yang dibuka dengan Bursa Malaysia dan merupakan tempat menyimpan saham-saham yang dibeli.

Akaun CDS boleh dibuka oleh individu berumur 18 tahun ke atas dan juga oleh syarikat, persatuan, pemegang amanah dan badan berkanun.

Kalau dulu, apabila membeli saham, pelabur akan diberi sijil yang mengandungi maklumat berkaitan saham-saham yang dibeli.

Sekarang, sijil sudah tidak wujud lagi, sebaliknya semua maklumat disimpan secara elektronik menerusi akaun CDS.

Secara umumnya, akaun CDS boleh dibahagikan kepada dua jenis; direct (terus) dan nominee (penama)

Jika membuka akaun CDS direct, nama pelabur akan terus dicatatkan pada akaun tersebut.

Dengan akaun CDS direct, dividen daripada syarikat yang dibeli akan terus dimasukkan ke dalam akaun pelabur dan pelabur boleh menghadiri mesyuarat tahunan (Annual General Meeting, AGM) yang dianjurkan syarikat tersebut.

Pelabur juga boleh terus membeli kaunter IPO (Initial Public Offering, Tawaran Permulaan Awam), yang mana merupakan kaunter-kaunter yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia.

Akaun CDS nominee pula tidak mencatatkan nama pelabur sebagai pemilik akaun, sebaliknya nama syarikat broker yang dilantik sebagai penama.

Dividen yang diberikan syarikat tidak akan dimasukkan terus ke akaun pelabur, sebaliknya akan diuruskan oleh syarikat nominee dengan mengenakan caj tertentu.

Akaun CDS nominee tidak membolehkan pemilik sebenar akaun menghadiri AGM syarikat secara terus, sebaliknya perlu memohon keizinan syarikat nominee.

IPO juga tidak boleh dibeli melalui akaun CDS nominee.

Walaupun banyak kekurangan, kenapa akaun CDS nominee diwujudkan?

Ini apa yang saya tahu; kebanyakan orang kaya yang ingin ‘menyembunyikan’ kekayaan mereka akan menggunakan akaun CDS nominee untuk menyimpan saham-saham mereka.

Saham-saham tersebut akan diletakkan atas nama syarikat penama, bukannya secara terus atas nama mereka.

Lagipun, seorang pelabur individu dibenarkan membuka hanya satu akaun CDS di bawah namanya (akaun CDS direct), tetapi boleh membuka beberapa akaun CDS lain di bawah nama syarikat penama (akaun CDS nominee)

Jika nak buka akaun CDS direct lebih dari satu akaun, kena buka dengan syarikat broker yang berasingan.

Tambahan lagi, pelabur atau spekulator yang ingin menggunakan kemudahan collateral atau margin yang lebih berisiko untuk mendapatkan keuntungan segera perlu menggunakan akaun CDS nominee.

cara buka akaun cds tradingTrading Account @ Akaun Perdagangan/Jual-beli

Akaun trading dibuka dengan syarikat broker, dan merupakan akaun yang digunakan untuk berjual-beli saham.

Modal akan dimasukkan ke dalam akaun trading terlebih dahulu, kemudian duit tersebut digunakan untuk membeli saham dan maklumat saham yang dibeli akan disimpan menerusi akaun CDS.

Apabila saham yang dibeli tadi dijual, hasil jualan akan dimasukkan semula ke dalam akaun trading; itulah fungsi asas akaun trading.

Akaun trading boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, antaranya adalah:

#1 Akaun tunai (cash upfront)

Pelabur perlu memasukkan dahulu duit ke dalam akaun ini sebelum membeli mana-mana saham, dan jumlah unit saham yang boleh dibeli dihadkan kepada jumlah duit yang ada sahaja.

Bayaran untuk pembelian saham dilakukan serta-merta dengan menolak baki duit yang ada.

Kelebihan akaun ini adalah yuran yang lebih murah dan risiko lebih rendah kerana anda dihadkan membeli unit saham mengikut baki duit yang ada sahaja.

#2 Akaun cagaran (collateral)

Akaun ini membenarkan pelabur membeli lebih daripada jumlah duit yang ada dalam akaun trading tersebut, contohnya 2 kali ganda daripada baki.

Sebagai contoh, katakanlah baki dalam akaun trading collateral ada sebanyak RM 1,000, maka pelabur dibenarkan membeli unit saham sehingga RM 2,000

Jumlah pembelian yang melebihi jumlah baki duit perlu ditambah dalam masa T+3 (trading day + 3 hari)

Contohnya duit dalam akaun RM 1,000 tetapi saham dibeli berjumlah RM 1,700, maka lebihan RM 700 perlu ditambah dalam masa T+3.

Jika tambahan tidak dilakukan, forced selling boleh berlaku; saham yang dibeli akan dijual-paksa untuk menampung tambahan tersebut walaupun harga saham tengah rugi.

#3 Akaun margin (financing)

Akaun ini membenarkan pelabur membuat financing (pinjaman) dengan menggunakan nilai saham sedia ada sebagai cagaran dan membeli saham lain mengikut jumlah margin yang ditetapkan.

Sebagai contoh, nilai saham yang telah sedia ada dimiliki berjumlah RM 50,000, dan margin yang diberikan adalah 60%, maka pelabur boleh membeli tambahan nilai saham sebanyak RM 30,000.

Yang bahayanya menggunakan hutang untuk membeli saham melalui akaun margin ini adalah margin call, apabila syarikat broker meminta untuk mengekalkan margin ketika harga saham jatuh.

Dalam contoh tadi, sekiranya nilai saham sedia ada yang digunakan sebagai cagaran jatuh kepada nilai RM 40,000, maka jumlah margin adalah 60% x RM 40,000 = RM 24,000; ada beza sebanyak RM 6,000 daripada nilai margin asal RM 30,000

Maka, untuk menjawab margin call, pelabur sama ada perlu menambah RM 6,000 secara tunai, atau menjual saham sedia ada (yang sedang rugi) untuk menampung margin call tersebut.

Sebab itulah, melakukan pelaburan saham secara hutang sama ada melalui collateral atau margin adalah lebih berisiko.

Jadi, bagi pelabur biasa, lebih baik buat pelaburan secara tunai sahaja.

Satu perkara lagi yang perlu dipertimbangkan tentang adalah sama ada nak buka akaun patuh syariah atau akaun konvensional.

Akaun patuh syariah memastikan pelabur hanya terlibat dengan urusan dan saham patuh syariah sahaja, kerana tidak dibenarkan membeli saham berstatus tidak patuh syariah.

Jika memiliki akaun konvensional pula, boleh membeli kedua-dua jenis saham patuh syariah dan tidak patuh syariah, tetapi jika tidak berhati-hati, boleh tersalah terlibat dalam urusan berkaitan riba.

Contohnya, jika membuat financing atau margin dengan akaun konvensional, sudah semestinya terlibat dengan riba walaupun membeli saham patuh syariah.

Kedua-dua akaun konvensional dan patuh-syariah ada kelebihan dan kekurangannya, nanti boleh tanya pada remisier/dealer yang anda berurusan.

Itulah serba sedikit penerangan berkenaan akaun CDS dan trading secara umum, kalau nak lebih banyak maklumat, kenalah tanya remisier/dealer yang akan dijumpai apabila buka akaun CDS dan trading nanti.

Apabila dah jelas tentang jenis-jenis akaun CDS dan trading, jadi nanti apabila nak buka kedua-duanya, digalakkan buka akaun CDS direct dan akaun trading tunai (cash)

Cara buka akaun CDS dan trading

Sekarang kita pergi ke topik sebenar artikel ini, iaitu cara buka akaun CDS dan trading bagi memulakan pelaburan saham.

Saya akan ceritakan berdasarkan pengalaman saya membuka kedua-dua akaun tersebut sebelum ini.

Untuk buka akaun CDS dan trading, boleh ikut langkah-langkah yang berikut:

Langkah #1 Kenalpasti syarikat broker

Akaun CDS dan trading perlu dibuka melalui syarikat-syarikat broker yang sah, yang mana akan melantik remisier atau dealer untuk berurusan dengan bakal pelabur.

Senarai syarikat-syarikat broker yang sah boleh dilihat di laman web Bursa Malaysia di sini: http://www.bursamalaysia.com/market/securities/equities/brokers/list-of-participating-organisations

cara buka akaun cds trading

Jika nak kenalpasti syarikat-syarikat broker yang menawarkan akaun dan perkhidmatan patuh-syariah, boleh lihat di sini: http://www.bursamalaysia.com/market/islamic-markets/products/bursa-malaysia-i

Sehingga tahun 2017 ini, terdapat 11 buah syarikat yang menawarkan akaun dan perkhidmatan patuh-syariah sama ada full-fledged atau window basis.

cara buka akaun cds trading

Pilih syarikat broker yang berkenan di hati (contoh dulu saya pilih Maybank Investment Bank, sebab dah ada akaun simpanan Maybank dan Maybank2u, maka urusan akan lebih mudah)

Langkah #2 Dapatkan maklumat berkenaan syarikat broker

Selepas kenalpasti syarikat broker yang berkenan di hati, kenalah dapatkan maklumat selanjutnya terutama lokasi dan nombor telefon.

Boleh dapatkan alamat cawangan-cawangan syarikat broker di laman web Bursa Malaysia, sepertimana pautan yang diberikan di atas.

Boleh pilih mengikut nama syarikat, ataupun nama negeri.

Tetapi, bagaimana pula kalau cawangan-cawangan syarikat broker tersebut terletak jauh daripada tempat tinggal kita?

Contohnya, cawangan-cawangan Maybank Investment Bank hanya terdapat di Kuala Lumpur, Selangor (Klang, Petaling Jaya), Perak (Ipoh), Negeri Sembilan (Seremban) dan Pulau Pinang (Penang)

Bagaimana orang di negeri-negeri lain nak buka akaun CDS dan trading dengan Maybank Investment Bank?

Jangan risau, sesetengah syarikat broker mempunyai share investment/trading center di cawangan-cawangan bank mereka seperti Maybank dan CIMB.

Boleh google dan cari laman web syarikat broker tersebut untuk lihat alamat share investment/trading center yang berdekatan, contohnya di laman web Maybank Investment (Locate us – http://www.maybank2u.com.my/Investment-bank/en/contact-support/locate-branches.page?) dan iTrade@CIMB (Locator – https://www.itradecimb.com.my/index.php?tpl=locator&tpt=itrade2)

Boleh juga telefon ke ibu pejabat syarikat broker tersebut dan tanya di mana cawangan bank yang menjadi share investment/trading center atau mempunyai remisier/dealer untuk buka akaun CDS dan trading.

Langkah #3 Berjumpa dengan remisier/dealer

Selepas dapat kenalpasti lokasi syarikat broker atau share invenstment/trading center, bolehlah pergi ke sana berjumpa dengan remisier/dealer untuk buka akaun CDS dan trading.

Sebelum pergi, boleh telefon dulu untuk buat temu janji agar nanti ada remisier/dealer yang sedia melayan anda.

Jika tak buat temujanji dan nak terus terjah pun tidak mengapa, cumanya dibimbangi remisier/dealer di tempat yang ingin dituju tersebut bercuti atau ada urusan lain, jadi nanti tak dapatlah nak buka akaun CDS dan trading.

Kalau pergi ke pejabat cawangan syarikat broker mungkin tiada masalah sebab terdapat ramai remisier/dealer, tetapi jika ke share investment/trading center, remisier/dealer yang ada mungkin tak ramai.

Jika ke share investment/trading center, perlu tahu yang biasanya remisier/dealer tidak berada di kaunter tempat buka akaun simpanan atau urusan bank biasa.

Jadi, di kaunter pertanyaan, bolehlah bagitahu yang anda nak buka akaun CDS dan trading, nanti kakitangan di situ akan tunjukkan arah untuk jumpa remisier/dealer, mungkin perlu masuk ikut pintu masuk lain atau naik ke tingkat atas.

Langkah #4 Buka akaun CDS dan trading

Apabila dah jumpa remisier/dealer, bolehlah mula buka akaun CDS dan trading.

Ikut pengalaman saya, remisier yang saya jumpa dulu berikan sedikit penerangan berkenaan pelaburan saham, akaun CDS dan akaun trading terlebih dahulu.

Kalau ada apa-apa persoalan, boleh terus tanya pada remisier/dealer yang dijumpai.

Untuk buka akaun CDS dan trading, kena bawa salinan kad pengenalan, penyata bank dan bayaran RM 10.60 (berserta GST 6%)

Selepas isi beberapa borang, serahkan dokumen dan beri bayaran yang diperlukan, maka hampir selesailah urusan buka akaun CDS dan trading.

Yang tinggal, hanya perlu tunggu akaun CDS disahkan oleh Bursa Malaysia dan pengaktifan di online trading platform.

Jangan risau, remisier/dealer akan terangkan langkah-langkah untuk mengaktifkan akaun online trading platform.

Pengesahan akaun CDS dan trading mungkin mengambil masa beberapa hari bekerja, biasanya tidak melebihi 7 hari.

Selepas akaun CDS dan trading disahkan, bolehlah aktifkan online trading platform.

Langkah #5 Mulakan pelaburan saham

Selepas pengaktifan online trading platform, sekarang bolehlah mulakan pelaburan saham.

Oleh kerana tadi buka akaun trading tunai, maka perlulah letakkan dahulu duit dalam akaun trading sebagai modal.

Boleh tanya remisier/dealer bagaimana cara untuk masukkan duit ke dalam akaun trading.

Macam saya, oleh kerana saya buka akaun trading dengan Maybank Investment Berhad, maka saya boleh gunakan Maybank2u untuk pindahkan duit daripada akaun simpanan biasa ke akaun trading.

Apabila modal dah ada dalam akaun trading, bolehlah beli kaunter saham yang dikehendaki.

Ingat, jual beli saham hanya boleh dilakukan ketika hari (Isnin – Jumaat, kecuali cuti umum) dan waktu bekerja (8.30 pagi – 4.30 petang, kecuali waktu rehat tengahari 12.30 – 2.00 petang) sahaja.

Biasa-biasakan diri menggunakan online trading platform; kenalpasti nama kaunter, kod kaunter, harga jual dan harga beli.

Kalau tak pandai nak gunakan online trading platform, boleh minta tunjuk ajar daripada remisier/dealer.

Selamat melabur!

p/s: Untuk lebih banyak artikel berkaitan pelaburan saham dalam blog ini, boleh klik di sini: Panduan Pelaburan Saham

p/p/s: Kalau nak panduan lengkap untuk yang baru mula pelaburan saham, daripada yang asas hingga kepada cara memilih kaunter terbaik berasaskan teknik fundamental, boleh dapatkan panduan ini: Combo Ebook Saham 101 & 201

combo ebook saham(Baca review & kandungan Combo Ebook Saham di sini)

Untuk yang dah ada pengetahuan asas dan sedikit pengalaman dalam pelaburan saham, tetapi masih kurang menjana keuntungan, mungkin boleh dapatkan ebook Panduan Sistem Saham.

Ebook ini khas untuk orang yang dah ada pengalaman dalam pelaburan saham dan akan tunjukkan cara buat pelaburan saham menggunakan analisis teknikal (baca pergerakan carta)

sistemsaham1

..

10 Peluang Pelaburan di Malaysia

peluang pelaburan di MalaysiaApakah peluang pelaburan sah yang menjadi di Malaysia?

Kalau nak tahu, teruskan membaca artikel ini.

Aktiviti pelaburan adalah aktiviti untuk mengembangkan duit yang ada dengan menggunakan kuasa compound interest.

Dengan melabur, kita sebenarnya mengambil risiko yang lebih tinggi berbanding membuat simpanan biasa, dengan harapan mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Selepas membuat persedian-persediaan sebelum melabur, bolehlah dengan berani dan yakinnya mulakan aktiviti pelaburan menggunakan modal yang ada.

Tapi, nak melabur di mana?

Jom kita lihat beberapa peluang pelaburan popular yang terdapat di Malaysia.

1. Pelaburan tunai tetap

Peluang pelaburan yang boleh dikatakan selamat adalah pelaburan tunai tetap.

Contoh paling utama adalah akaun simpanan tetap, atau fixed deposit.

Risikonya rendah, modal asal tidak berubah/berubah sedikit sahaja dan pulangannya lebih baik berbanding akaun simpanan biasa.

Tetapi, pelaburan wajib dibuat dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan.

Contoh pelaburan tunai tetap yang lain adalah bon/sukuk dan pasaran wang (money market)

Bon/sukuk biasanya dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang memerlukan wang sebagai modal.

Maksudnya, dengan melabur dalam bon/sukuk, kita seolah-oleh memberi pinjaman kepada pihak yang mengeluarkannya.

Sama seperti akaun pelaburan tetap, modal pelaburan tadi perlu disimpan sehingga tempoh matang untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan.

Akaun simpanan seperti Sijil Simpanan Premium BSN (SSP) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) juga boleh dikatakan pelaburan tunai tetap.

Malah, akaun Tabung Haji juga boleh dikategorikan dalam kumpulan ini, kerana modalnya dijamin dan pada masa sama turut diberikan dividen/bonus.

Melabur dalam pelaburan tunai tetap memang pilihan yang selamat, tetapi oleh kerana pulangannya yang rendah, nilai pelaburan mungkin kalah dengan inflasi.  

2. Unit amanah/amanah saham

Pelaburan dalam unit amanah (unit trust) melibatkan tiga pihak iaitu pelabur, pengurus dana dan pemegang amanah.

Pelabur mengeluarkan modal dengan harapan mendapatkan untung.

Pengurus dana menguruskan dana dan melabur mengikut objektif yang ditetapkan.

Pemegang amanah pula memastikan modal (amanah) yang diberikan pelabur diuruskan dengan cara yang betul oleh pengurus dana.

Bergantung kepada jenis dan objektif dana, pengurus dana akan melabur dalam pasaran saham, tunai tetap atau gabungan kedua-duanya dengan matlamat untuk mengatasi tanda aras (benchmark) yang ditetapkan.

Dengan melabur dalam unit amanah, pelabur boleh didedahkan kepada pasaran ekuiti dengan mudah kerana hanya perlu membuka akaun dengan syarikat pengurus dana, modal yang rendah dan dibantu oleh pengurus profesional.

Tetapi, oleh kerana dana diuruskan pengurus dana dan dijaga pemegang amanah, maka terdapat caj-caj yang perlu dibayar, dan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keuntungan yang diperoleh.

Di Malaysia, terdapat beratus-ratus dana unit amanah yang tersedia untuk dilabur yang mana melibatkan pelbagai objektif, lokasi dan sektor pelaburan.

Contoh unit amanah yang popular adalah Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional yang dikeluarkan oleh Permodalan Nasional Berhad.

Ada juga yang dikeluarkan syarikat-syarikat lain seperti Kenanga Syariah Growth Fund, PMB Shariah Aggresive Fund dan Eastspring Investment Dana al-Ilham.

Tips-tips penting untuk melabur dalam unit amanah; pastikan dana yang dipilih menepati toleransi risiko diri-sendiri, fahami objektif dana dan sentiasa pantau dana dengan membandingkan tanda aras yang ditetapkan.

Dan yang paling penting, jangan hanya bergantung seratus-peratus kepada agen, tetapi buat homework sendiri juga.

3. Pasaran saham

peluang pelaburan malaysiaMelabur dalam pasaran saham bermaksud membeli sebahagian pemilikan syarikat.

Maksudnya, pelabur yakin dengan perniagaan yang dijalankan syarikat dan mengharapkan syarikat yang dibeli akan terus berkembang sambil menjana keuntungan, supaya nilai syarikat bertambah dan dividen lumayan dapat diberikan.

Namun, ada juga yang melabur sebagai speculator, iaitu dengan hanya bersandarkan kepada pergerakan harga saham syarikat tanpa ambil kisah tentang perniagaan yang dijalankan.

Bagi yang ingin melabur dalam pasaran saham, pastikan anda mempunyai hati kering dan tidak mudah beremosi.

Pasaran saham sangat volatile, harga sesuatu kaunter boleh naik dan jatuh dengan mendadak.

Kalau tak sanggup melihat perubahan harga mendadak, jangan melabur dalam pasaran saham.

Untuk mula terlibat dalam pelaburan saham, kena ada akaun CDS dan trading terlebih dahulu.

Baca artikel ini untuk belajar cara buka akaun CDS dan tradingPanduan Pelaburan Saham: Cara Buka Akaun CDS & Trading

4. Hartanah fizikal

Beli rumah/tanah/kedai, kemudian jualkan.

Beli rumah/tanah/kedai, kemudian sewakan.

Beli rumah/tanah/kedai, kemudian usahakan atau upah orang untuk usahakan.

Sewa rumah/tanah/kedai, kemudian sewakan pula kepada pihak ketiga (sublet)

Kesemua ini adalah contoh pelaburan hartanah fizikal, yang mana melibatkan hartanah yang wujud secara nyata.

Ramai orang yang menjadi kaya kerana terlibat dalam pelaburan hartanah.

Malah, pelaburan hartanah diamalkan dari dulu sehingga sekarang dan juga dijangka akan tetap berterusan pada masa hadapan.

Kenapa?

Kerana hartanah adalah keperluan hidup, semua orang perlukan tempat berteduh.

Jika ingin terlibat dalam peluang pelaburan hartanah, pastikan anda seorang yang rajin dan sabar.

Sebabnya, pelaburan hartanah melibatkan banyak langkah, kadang-kala sangat remeh dan memakan masa yang lama.

(Baca kisah bagaimana seorang pelajar jana keuntungan RM 50,000 dengan pelaburan hartanah di sini)

buat profit rm50k dengan property5. Hartanah ‘kertas’

Pelaburan hartanah kertas turut melibatkan hartanah fizikal, tetapi transaksinya melibatkan di atas kertas sahaja.

Kiranya, pelabur tidak mendapat hak sepenuhnya ke atas hartanah, tetapi dijaga oleh pengurus dana.

Pelaburan hartanah kertas juga dikenali sebagai Real-Estate Investment Trust (REIT).

Rangka asas REIT sama seperti unit amanah, yang mana pelabur mengeluarkan modal dan pengurus dana yang akan membeli hartanah dan menguruskan pelaburan.

Bezanya, pengurus REIT hanya melabur dalam sektor hartanah sahaja, bukan pasaran ekuiti, bon dan sukuk sepertimana unit amanah biasa.

Untuk beli REIT, sama seperti pelaburan saham, perlu ada akaun trading dan CDS terlebih dahulu kerana kebanyakan REIT didagangkan di Bursa Malaysia.

Jika ingin terlibat dalam REIT tanpa melalui Bursa Malaysia, boleh melabur dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang dikeluarkan oleh Permodalan Hartanah Berhad.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 2010, AHB masih mampu memberi pulangan melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 6%/tahun.

Tetapi, jumlah dana peluang pelaburan ini adalah terhad.

6. Komoditi fizikal

Pelaburan komoditi fizikal melibatkan item fizikal seperti emas, perak, berlian, barangan dagangan, barangan koleksi dan barangan antik.

Pelaburan komoditi adalah pelaburan harta tidak produktif, maksudnya keuntungan hanya diperoleh apabila komoditi tadi dijual pada harga yang lebih tinggi daripada harga yang dibayar semasa dibeli.

Beli pada harga murah, jual pada harga mahal.

Beli pada harga mahal, jual pada harga lebih mahal.

Itu sahaja strategi untuk untung melalui pelaburan komoditi.

Adakah harga setiap komoditi akan naik setiap tahun?

Tidak semestinya, kerana harga kebiasaannya bergantung kepada bekalan dan permintaan.

Jika bekalan rendah tapi permintaan tinggi, harga akan naik.

Tapi jika bekalan tinggi tapi permintaan rendah, harga akan turun.

Jadi, dalam pelaburan komoditi, ‘timing’ ketika membeli dan menjual adalah sangat penting.

Pelaburan alternatif lain

peluang pelaburan malaysiaSelain enam peluang pelaburan popular yang dinyatakan di atas, terdapat lagi beberapa peluang pelaburan yang boleh diceburi, tetapi kurang mendapat perhatian masyarakat awam:

1. Exchange Traded Fund (ETF)

Konsep yang sama seperti unit amanah, yang mana dana diuruskan oleh pengurus dana profesional.

Bezanya, dana didagangkan di Bursa Malaysia, jadi urusniaganya lebih mirip kepada jual beli saham.

Kelebihannya berbanding unit amanah; caj yang lebih murah, fleksibel tanpa memerlukan agen dan instant access to market.

2. Komoditi ‘kertas’

Juga dikenali sebagai commodity futures (kontrak masa hadapan)

Dengan membeli commodity futures, pelabur lock harga komoditi pada masa sekarang, untuk ditebus pada masa hadapan (tidak kira samaada harga komoditi itu semakin naik atau turun).

Antara yang paling popular adalah FCPO (Crude Palm Oil Futures), komoditi kelapa sawit yang mana didagangkan di Bursa Malaysia.

(Klik di sini untuk baca bagaimana seorang lelaki jana pendapatan 5-angka sebulan dengan pelaburan FCPO)

panduan pelaburan fcpo trader elit3. Derivatif kewangan

Antara produk berkaitan derivatif kewangan adalah index futures, warrants dan options.

Produk derivatif kewangan didagangkan di Bursa Malaysia, dan kebanyakannya adalah tidak patuh-syariah.

4. Pelaburan koperasi

Saya tidak pasti samaada ini boleh dijadikan peluang pelaburan atau tidak, tetapi dengan membeli syer keanggotaan sesebuah koperasi, kita juga boleh mendapatkan keuntungan jika koperasi mengisytiharkan bonus/dividen.

Antara koperasi yang konsisten mengisytiharkan dividen untuk anggotanya adalah Bank Rakyat, Bank Persatuan dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad.

Cumanya, untuk melabur dalam koperasi, kadang-kadang terdapat syarat yang perlu dipatuhi, antaranya tapisan kelayakan keanggotaan dan jumlah belian unit yang terhad.

Yang mana satu?

Secara keseluruhannya, terdapat 10 peluang pelaburan di Malaysia yang boleh rakyat Malaysia ceburi untuk kembangkan lagi aset mereka.

Jadi, terpulanglah nak memilih yang mana satu untuk dilaburkan duit yang ada.

Yang penting, pastikan pelaburan diceburi nanti adalah bersesuaian dengan modal, toleransi risiko, minat, kefahaman dan usaha yang kita sanggup curahkan.