Tag Archive: kewangan peribadi

6 Persediaan Sebelum Mulakan Pelaburan

persediaan pelaburanKalau dilihat kepada fasa pengurusan kewangan, aktiviti pelaburan berada pada fasa ke lima iaitu selepas menjana pendapatan, menyimpan sebahagian pendapatan, mengawal perbelanjaan dan mengambil perlindungan secukupnya.

Pelaburan merupakan aktiviti untuk mengembangkan lagi duit yang ada supaya bertambah dengan lebih cepat.

Jika hanya menyimpan sahaja, duit tersebut tidak berkembang dan lebih buruk lagi boleh terhakis nilainya kerana inflasi.

Tambahan lagi, dengan aktiviti pelaburan, matlamat kewangan boleh dicapai dengan lebih cepat kerana kita memanfaatkan kuasa compound interest.

Sebelum memulakan aktiviti pelaburan, sebaik-baiknya buat beberapa persedian pelaburan ini terlebih dahulu:

1. Pastikan aliran tunai positif

Aliran tunai positif terhasil jika (pendapatan + simpanan) melebihi perbelanjaan.

Jika aliran tunai masih belum berkeadaan positif, jangan mulakan pelaburan.

Jana pendapatan tambahan dan kawal nafsu untuk kurangkan perbelanjaan terlebih dahulu.

Boleh baca artikel-artikel berikut untuk panduan:

1. 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus

2. 4 Strategi Mudah Capai Matlamat Kewangan Lebih Cepat 

Jika pengurusan aliran tunai pun masih teruk, jangan mimpi nak berjaya uruskan pelaburan dengan baik.

Lagipun, objektif utama pelaburan adalah untuk mengembangkan duit sedia ada dalam tempoh masa tertentu, bukan untuk menambah aliran pendapatan secara tetap seperti dapat gaji setiap bulan.

Sebab itulah jika terjumpa tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap setiap bulan, perlu berhati-hati.

Takut nanti bukan pelaburan, tetapi peleburan.

2. Konsisten menyimpan

“Simpan duit pendapatan, laburkan duit simpanan”

Untuk melabur, sebaik-baiknya gunakan duit lebihan simpanan.

Bukannya duit yang dipinjam, kecuali jika punyai ilmu yang cukup dan tahu teknik yang sepatutnya digunakan.

Jadi, sebaik-baiknya mulakan pelaburan dengan lebihan duit simpanan, bukan duit pinjaman.

Jika masih tidak mempunyai tabungan yang cukup, jangan mulakan pelaburan.

Orang yang masih gagal untuk konsisten dalam menyimpan, akan gagal juga untuk melabur nanti.

Untuk panduan tentang cara menyimpan duit bagi persediaan pelaburan, boleh baca artikel-artikel berikut:

1. Tips Simpan Duit: Berapa Banyak Nak Simpan? Simpan Kat Mana?

2. 5 Cara Menyimpan Duit Pasti Jadi

3. Urus hutang dengan baik

Ada penasihat kewangan mengatakan hutang boleh dikategorikan kepada dua iaitu hutang baik dan hutang jahat.

Hutang baik disandarkan kepada aset seperti tanah dan rumah, manakala hutang tidak baik tidak disandarkan kepada aset atau digunakan untuk perbelanjaan hangus, contohnya pinjaman peribadi dan kad kredit.

Walau apa pun kategori hutang tersebut, hutang tetap hutang.

Sebagai persediaan pelaburan, jika masih mempunyai hutang samaada dengan individu atau institusi kewangan, sebaik-baiknya selesaikan terlebih dahulu.

Jika tidak dapat selesaikan, paling kurang pun mestilah diuruskan dengan baik.

persediaan pelaburanMaksudnya, tidak pernah gagal untuk membayar ansuran bulanan dan mempunyai sasaran waktu untuk selesaikan semua hutang.

Jika hutang tidak diuruskan dengan baik, nanti nama dalam CCRIS dan CTOS mungkin disenaraihitamkan.

Silap haribulan, boleh diisytiharkan bankrap atau muflis.

Akhirnya, terpaksa mencairkan pelaburan yang dibuat dalam masa singkat untuk bayar semua hutang.

Ingat, aktiviti pelaburan untuk tempoh jangka masa panjang, sekurang-kurangnya tiga ke lima tahun.

Kalau dicairkan dalam masa yang singkat, dibimbangi akan kerugian pula kerana perlu membayar caj-caj tersembunyi.

4. Sediakan dana kecemasan secukupnya

Dana kecemasan penting untuk waktu-waktu kecemasan dan musibah, dan wajib disediakan sebagai persediaan pelaburan.

Apabila ditimpa musibah seperti bencana dan kemalangan, sekurang-kurangnya ada sumber untuk dapatkan duit bagi memperbaiki apa-apa yang perlu.

Tidaklah terpaksa mencairkan aset pelaburan yang dibuat, sayang matlamat pelaburan sudah terjejas.

Kalau pelaburan tersebut baru saja dimulakan, takut rugi pula.

Lagipun, proses mencairkan pelaburan mungkin mengambil masa yang lama, jadi tidak bolehlah nak dapatkan duit secara segera.

5. Ambil perlindungan insurans/takaful secukupnya

Sama seperti dana kecemasan, perlindungan insurans/takaful juga sangat penting untuk pengurusan risiko menghadapi situasi-situasi malang tidak berbau.

Dan juga sangat penting sebagai persedian pelaburan.

Boleh baca artikel-artikel berikut:

1. 7 Sebab Utama Wajib Ada Insurans/Takaful Sebagai Perlindungan

2. 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

Jadi, ambillah perlindungan secukupnya untuk empat perkara utama itu terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti pelaburan.

6. Ilmu yang mencukupi

Nak melabur, jangan main redah sahaja.

Perlu ada ilmu yang betul supaya dapat urus risiko dan jana keuntungan yang baik.

Lagipun terdapat banyak peluang pelaburan yang sah, dan setiap satunya memerlukan cara dan teknik yang berbeza.

Ilmu boleh didapati daripada buku-buku, seminar-seminar dan juga secara terus dengan berguru dengan mentor-mentor pelaburan.

Hanya perlu berusaha dan rajin mencari.

Ingat, pelaburan terbaik adalah pelaburan dalam ilmu!

4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

perlindungan insurans takafulSusulan daripada artikel sebelum ini, 7 Sebab Utama Perlu Ada Insurans/Takaful Sebagai Perlindungan, ada yang bertanya, apakah perkara-perkara utama yang perlu dilindungi?

Kalau dibaca dalam artikel yang dinyatakan tadi, sebenarnya saya telah pun menyentuh secara ringkas perkara-perkara utama yang perlu dilindungi, iaitu kematian, kelumpuhan/kecacatan, penyakit (3D; death, disability, disease) dan juga aset/harta.

1. Kematian

Mati itu pasti, cuma masanya sahaja yang kita tidak tahu.

Oleh kerana kita tidak tahu bila dan bagaimana akan mati, jadi kenalah buat persediaan secukupnya.

Bagi diri-sendiri, mestilah perlu lengkapkan dengan iman yang mantap dan amal yang ikhlas supaya bahagia di alam seterusnya nanti.

Selain persiapan untuk diri-sendiri, perlu juga buat persiapan untuk waris yang ditinggalkan.

Selain persiapan rohani, perlu juga buat persiapan jasmani untuk waris-waris.

Persiapan jasmani termasuklah tempat untuk mereka tinggal dan juga sumber kewangan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Perlindungan insurans/takaful tidak melindungi kita daripada kematian, sebaliknya membantu kita membuat persiapan kewangan untuk waris.

Bagi seorang suami atau ayah yang mempunyai tanggungan, jika berlaku kematian, beban tanggungan kini akan dipikul oleh isteri sahaja.

Walaupun isteri turut bekerja, sedikit sebanyak akan terjejas kerana beban yang dulunya dipikul bersama-sama kini dipikul seorang diri.

Lebih teruk lagi jika isteri tidak bekerja dan tidak mampu, pastinya sukar untuk meneruskan hidup.

Nak diharapkan ihsan daripada orang lain, mungkin tidak mampu berpanjangan.

Jadi, jika ada pampasan daripada insurans/takaful, sekurang-kurangnya nasib waris terbela.

Dicadangkan supaya jumlah perlindungan yang diambil adalah menyamai/melebihi 10 kali ganda jumlah keperluan kewangan tahunan.

Contohnya, jika keperluan keluarga adalah RM 36,000/tahun (RM 3,000/bulan), maka jumlah perlindungan yang dicadangkan adalah RM 360,000.

Dengan jumlah sebanyak ini, waris mampu bertahan sehingga 10 tahun dari segi kewangan, satu jangka masa yang panjang sebelum mereka dapat berusaha mencari sumber kewangan sendiri.

2. Kelumpuhan/kecacatan

Secara peribadi, kelumpuhan/kecacatan merupakan musibah kewangan yang lebih besar berbanding kematian (ditekankan sekali lagi, saya maksudkan dari segi kewangan sahaja)

Kenapa?

perlindungan insurans takafulKerana apabila ditimpa keadaan ini, lebih-lebih lagi jika kelumpuhan teruk, sumber pendapatan boleh terjejas sepenuhnya sedangkan kita masih memerlukan wang bukan sahaja untuk meneruskan hidup, malah untuk menampung kos rawatan.

Dalam erti kata lain, jika kematian, hanya perlu tinggalkan sumber kewangan untuk waris meneruskan hidup, tetapi jika kelumpuhan/kecacatan, perlu meninggalkan sumber kewangan untuk meneruskan hidup sendiri dan waris, dan pada masa yang sama menampung kos rawatan.

Kelumpuhan/kecacatan bukan sahaja boleh terjadi disebabkan kemalangan, malahan boleh juga disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu.

Jadi, perlulah juga disediakan perlindungan sebagai persediaan menghadapi keadaan ini.

Jumlah perlindungan yang disarankan?

Sama seperti perlindungan kematian, jumlahnya sekurang-kurangnya 10 kali ganda jumlah keperluan kewangan tahunan.

Lebih baik lagi jika jumlah perlindungan itu dapat menjana pendapatan pasif dengan mendapat dividen, bolehlah digunakan untuk menampung keperluan hidup.

Contohnya, jika jumlah perlindungan RM 500,000, setelah diperoleh pampasan ini, simpan di tempat yang yang memberikan dividen yang stabil seperti di Tabung Haji atau ASB.

Dengan anggaran kadar dividen antara 5% ke 8% setahun, jumlah dividen yang diperoleh adalah sebanyak RM 25,000 ke RM 40,000 setahun.

Ini bersamaan antara RM 2,000 ke RM 3,500 sebulan; satu jumlah pendapatan pasif yang boleh membantu menampung keperluan hidup nanti.

3. Penyakit kritikal

Antara penyakit-penyakit kritikal yang sering dialami rakyat Malaysia adalah sakit jantung, kanser, strok, kencing manis dan kegagalan buah pinggang.

Dengan pengamalan gaya hidup dan corak pemakanan yang tidak sihat, kadar penyakit kritikal di Malaysia semakin tinggi dari tahun ke tahun.

Apabila diserang penyakit kritikal,  dua perkara yang boleh merunsingkan iaitu pendapatan yang terjejas dan kos rawatan yang tinggi.

Walaupun masih mampu bekerja dan mencari pendapatan, sedikit sebanyak pendapatan akan terjejas jika selalu cuti sakit atau dimasukkan ke dalam hospital untuk rawatan.

Tambahan lagi, sedikit sebanyak prestasi dan keupayaan melakukan kerja akan berkurang dan ini boleh menyebabkan perasaan kurang senang kepada majikan.

Silap haribulan, dipecat oleh majikan pula.

Penyakit yang ada pula masih perlu dirawat.

Oleh kerana nak jimatkan kos rawatan, boleh cuba rawatan di hospital kerajaan, tetapi mungkin perlu menunggu masa yang lama.

Nak dapatkan rawatan di hospital swasta, kos rawatan pula terlalu mahal.

Sebab itulah perlukan perlindungan insurans/takaful untuk atasi masalah ini.

Cadangannya, ambil skim perlindungan yang memberikan pampasan apabila diserang penyakit kritikal.

Pampasan ini boleh digunakan untuk menggantikan pendapatan yang terjejas tadi.

Di samping itu, perlu juga mengambil kad perubatan, untuk menampung bil hospital dan kos rawatan.

4. Aset/harta

perlindungan insurans takafulSetiap aset yang bernilai perlu dilindungi.

Aset ini termasuklan kereta, rumah dan perniagaan.

Jika ada lagi aset-aset yang dirasakan bernilai, ambillah perlindungan sewajarnya.

Dengan adanya perlindungan ini, sekurang-kurangnya dapat pampasan jika berlaku sebarang musibah yang mana boleh mengurangkan beban dan mengelakkan kerugian besar.

Sebagai contoh, rumah.

Andai ditimpa kebakaran atau musibah banjir, boleh menuntut pampasan untuk memperbaiki keadaan rumah.

Skim perlindungan juga penting untuk aset-aset yang masih punyai hutang.

Sekurang-kurangnya jika pendapatan terputus akibat kematian atau kelumpuhan, baki hutang akan diselesaikan oleh skim perlindungan yang diambil.

Jadi, tidaklah dibebankan ke atas waris.

Itulah sahaja empat perkara utama yang perlu dilindungi oleh insurans/takaful.

Secara peribadi, sebaik-baiknya, pastikan semua perkara ini dilindungi secukupnya sebelum mengambil skim-skim perlindungan yang lain.

Skim perlindungan untuk persaraan?

Skim perlindungan untuk pendidikan anak-anak?

Tangguhkan dulu jika perlindungan untuk empat perkara di atas belum dipenuhi.

Mengambil perlindungan yang berlebihan dan tidak perlu hanya akan membebankan diri akibat komitmen yang tinggi.

Sedangkan komitmen tersebut boleh digunakan untuk perkara yang lebih penting seperti simpanan dan pelaburan.

Apa-apa pun, buatlah keputusan yang bijak.

7 Sebab Utama Wajib Ada Insurans/Takaful Sebagai Perlindungan

perlindungan insurans takafulOrang yang bijak dalam pengurusan kewangan mesti mempunyai skim perlindungan samaada insurans atau takaful.

Bagi orang Islam, sudah semestinya wajib mengambil takaful berbanding insurans.

Walaupun skim perlindungan insurans/takaful sangat penting, namun tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingannya masih rendah.

Boleh baca artikel-artikel di bawah ini sebagai bukti:

1. Utusan Malaysia – Tahap kesedaran perlindungan insurans rendah

2. Malaysiakini – Kesedaran takaful umat Islam sangat rendah

Alasan yang sering diberi orang ramai untuk tidak mengambil skim perlindungan insurans/takaful adalah kerana tidak mampu memberi komitmen kewangan, mahal dan berasa rugi kerana tidak nampak faedah-faedah yang disediakan.

Bagi mereka yang masih belum mempunyai sebarang skim perlindungan insurans/takaful, saya senaraikan sebab-sebab anda wajib memilikinya:

1. Semua orang berhadapan dengan risiko

Hakikatnya, kita semua berhadapan dengan risiko kematian, kelumpuhan dan penyakit (3D; death, diasbility & diseases).

Cuma, bila dan bagaimana sahaja yang kita tidak ketahui.

Tetapi, harus diingat, kebarangkalian untuk ketiga-tiga ini menjengah diri kita akan meningkat dari hari ke hari.

Setiap hari berlalu, kita semakin mendekat dengan kematian yang telah ditentukan-Nya.

Semakin banyak kita bergerak dengan kenderaan di atas jalan-raya, semakin tinggi kebarangkalian untuk kemalangan yang bukan sahaja boleh menyebabkan kematian, tetapi juga kelumpuhan (minta dijauhkan-Nya)

Semakin bertambah usia, semakin tinggi risiko untuk mendapat penyakit.

Jadi, perlindungan insurans/takaful boleh menyediakan diri anda dari segi kewangan untuk berhadapan dengan ketiga-tiga risiko utama ini.

Apabila kematian, sekurang-kurangnya ada pampasan untuk isteri dan anak-anak.

Apabila kelumpuhan, ada pampasan untuk menggantikan punca pendapatan yang terjejas.

Apabila diserang penyakit, ada pampasan untuk membayar bil-bil dan keperluan-keperluan rawatan.

2. Malang tidak berbau

Biasa dengar dengan pepatah “Ingat lima perkara sebelum lima perkara”?

Konsep ini juga terpakai dalam insurans/takaful.

Syarat utama untuk mendapat keistimewaan-keistimewaan skim perlindungan insurans/takaful adalah mesti dilindungi sebelum kejadian itu berlaku.

Sebagai contoh, risiko penyakit.

Seandainya kita telah diserang sesuatu penyakit, contohnya sakit jantung, dan baru mula mengambil insurans/takaful, maka penyakit ini tidak dilindungi lagi.

Maksudnya, segala bil dan bayaran berkaitan penyakit ini tidak boleh dituntut kerana tidak dilindungi.

Sebab itulah dinasihatkan untuk mengambil skim perlindungan insurans/takaful semasa sihat (sebelum sakit).

Begitu juga dengan kematian dan kelumpuhan.

perlindungan insurans takafulLagipun, malang memang tidak berbau.

Kita tidak tahu tarikh kematian kita.

Kita tidak tahu bila kemalangan boleh menimpa ke atas kita.

Kita tidak tahu bila penyakit akan datang menjengah.

Oleh kerana kita tidak tahu bila malang akan menimpa, maka perlulah sediakan perlindungan secukupnya terlebih dahulu.

3. Melindungi harta/aset

Jika kita membeli kereta baru ataupun memperbaharui cukai jalan (road tax), diwajibkan untuk mengambil insurans/takaful kenderaan.

Begitu juga jika membeli rumah menggunakan pinjaman/pembiayaan bank, diwajibkan untuk mengambil insurans/takaful tertentu.

Kenapa?

Kerana insurans/takaful ini akan melindungi harta-harta tadi jika berlaku musibah atau sesuatu perkara yang tidak diingini, contohnya kemalangan, kecurian dan kebakaran.

Insurans/takaful bukan sahaja penting untuk melindungi diri, tetapi juga harta bernilai yang kita ada.

Harta yang perlu dilindungi bukan sahaja yang berbentuk fizikal, malah yang bukan fizikal juga.

Contoh utama aset bukan fizikal adalah perniagaan yang dijalankan, mesti dilindungi dengan insurans/takaful secukupnya.

Pernah dulu diberitakan ada seorang penyampai radio menginsuranskan suara beliau, kerana bagi beliau, suaranya adalah aset bernilai.

Sekiranya berlaku sesuatu ke atas suara beliau yang boleh menjejaskan pendapatan beliau, beliau boleh mendapat pampasan sewajarnya.

Jadi, perlindungan insurans/takaful adalah sangat penting untuk melindungi aset-aset yang ada supaya kerugian yang akan dialami atas sesuatu musibah dapat dikurangkan.

4. Melindungi pelaburan

Bayangkan kita baru memulakan pelaburan dengan menggunakan duit simpanan yang ada.

Biasalah apabila baru memulakan pelaburan, kebanyakannya akan rugi sedikit terlebih dahulu.

Maklumlah, masih belum berpengalaman dan banyak caj-caj yang perlu dibayar.

Lagipun, pelaburan kebiasaannya untuk jangka masa yang panjang, barulah boleh dapatkan keuntungan yang baik.

Tetapi malangnya, ketika baru bermula ini, kita berhadapan dengan sesuatu musibah yang tidak diingini.

Contohnya kemalangan atau ditimpa penyakit yang memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Tambah malang lagi, walaupun mempunyai dana kecemasan tetapi masih tidak mencukupi, dan kita tidak mempunyai simpanan lain kecuali yang telah dilaburkan tadi.

Jadi, tidak dapat tidak, terpaksalah mencairkan pelaburan tadi untuk menampung kos yang diperlukan.

Jika ini berlaku, bukan sahaja berdepan risiko kerugian kerana tempoh pelaburan yang belum matang, malah sedikit sebanyak boleh menjejaskan perjalanan matlamat kewangan yang ingin dicapai.

Kalaulah diambil perlindungan insurans/takaful sewajarnya lebih awal, pasti situasi sebegini boleh dielakkan.

5. Wariskan harta, bukan hutang

“Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan …..?”

Apabila kita sudah tiada nanti, sebaik-baiknya janganlah ditinggalkan beban atau hutang yang banyak kepada pasangan, anak-anak atau waris-waris yang ada.

Sudahlah mereka bersedih atas pemergian kita, ditambah pula runsing dengan beban yang ditinggalkan.

Bukankah perit jika memikirkannya.

Sebaik-baiknya, tinggalkanlah legasi atau harta untuk sekurang-kurangnya menampung keperluan mereka.

Lebih-lebih lagi jika kita adalah punca pendapatan utama atau tunggal semasa hayat masih ada.

Dengan mengambil skim perlindungan insurans/takaful secukupnya, masalah ini boleh diatasi.

Ambillah perlindungan secukupnya, pastikan jumlah pampasan yang akan ditinggalkan kepada waris nanti cukup untuk menampung keperluan mereka dalam jangka masa yang panjang.

6. Jihad ekonomi Islam

perlindungan insurans takafulSebelum wujudnya skim takaful yang patuh syariah, skim perlindungan banyak dikuasai oleh produk-produk insurans konvesional yang mempunyai unsur-unsur riba.

Tetapi sekarang, banyak produk-produk takaful wujud untuk memberikan alternatif kepada umat Islam mendapatkan perlindungan sewajarnya.

Malangnya, walaupun setelah beberapa tahun skim-skim takaful muncul, kadar langganannya masih lagi rendah jika dibandingkan dengan skim insurans konvesional walaupun di kalangan umat Islam sendiri.

Bahkan, ada segelintir umat Islam sendiri yang mempunyai pandangan skeptikal dan merendah-rendahkan produk-produk takaful.

Bukan sahaja tidak menyokong, malahan diburuk-burukkan lagi dengan langsung tidak diberikan cadangan untuk penambahbaikan.

Jadi, di sinilah peranan sebagai orang Islam untuk menunjukkan sokongan kepada sistem ekonomi berteraskan Islam.

Pilihlah takaful sebagai jihad untuk ekonomi Islam.

Jika masih ada melanggan skim insurans konvesional terutamanya untuk perlindungan kereta dan rumah, bertukarlah kepada takaful.

Jika nanti bercadang untuk mengambil perlindungan untuk diri dan keluarga, pilihlah produk-produk takaful.

7. Niat murni membantu orang lain

Berbeza dengan insurans konvesional yang berteraskan kontrak jual-beli, takaful adalah berteraskan kontrak tabarru’ (derma).

Dengan mengambil takaful, peserta-peserta sebenarnya memindahkan sebahagian bayaran kepada tabung derma (tabarru’).

Syarikat takaful berperanan sebagai pengurus tabung ini.

Apabila ada peserta yang ditimpa musibah, bayaran pampasan kepada peserta tadi diambil daripada tabung derma tadi.

Kiranya, wujud konsep jamin-menjamin melalui derma.

Atas sebab inilah kita patut mengambil perlindungan melalui skim takaful.

Tanpa sedar, kita sebenarnya membantu orang lain yang ditimpa musibah.

Itulah sahaja 7 sebab utama perlu ada insurans/takaful sebagai perlindungan.

Jika anda masih belum mempunyai apa-apa perlindungan, bertindaklah segera untuk mendapatkannya.