Panduan Pelaburan Saham: Berapa Modal Pelaburan Saham?

modal pelaburan saham“Mesti tinggi modal pelaburan saham, kan? Kau labur berapa?”

Ini soalan biasa yang saya terima apabila ada yang bertanyakan pengalaman saya dalam pelaburan saham.

Di Malaysia, terutamanya dalam kalangan Bumiputera, masih ramai yang kurang arif dan sering salah faham dengan pelaburan saham, menyebabkan mereka takut untuk turut terlibat dalam peluang pelaburan yang menguntungkan ini.

Salah satu perkara yang sering orang ramai keliru adalah berkenaan modal pelaburan saham; masih ramai yang sangka pelaburan saham perlukan modal yang tinggi untuk bermula.

Pada fikiran mereka, hanya orang kaya dan yang mempunyai modal besar sahaja yang layak melabur dalam pasaran saham.

Golongan kebanyakan (baca: pertengahan) memang tidak akan mampu untuk melabur dalam pasaran saham.

Ini sebenarnya adalah salah faham yang sangat salah!

Untuk mulakan pelaburan saham, tidak perlukan modal yang terlalu besar pun.

Baca juga:  9 Cara Beli Rumah Tanpa Modal Besar

Berapa Modal Pelaburan Saham?

Sebelum kita pergi lebih lanjut untuk jawab soalan di atas, saya nak revise balik apa perkara yang perlu dilakukan sebelum mulakan pelaburan saham bagi seorang pelabur runcit (orang awam seperti saya dan anda)

Kalau nak melabur dalam pasaran saham, wajib buka akaun CDS dan trading terlebih dahulu.

Boleh klik di sini jika nak belajar cara buka akaun CDS dan trading.

Sebagai pelabur runcit, buka sahaja akaun CDS direct dan trading tunai.

Selepas akaun CDS dan trading diaktifkan, boleh mahirkan diri sikit-sikit dengan online platform trading yang disediakan.

Kenal pasti bagaimana nak tengok harga kaunter, harga jual, harga beli, butang jual, butang beli.

Kemudian, kenal pasti dan senarai pendekkan kaunter-kaunter yang berkenan di hati yang nak dibeli.

Sekarang, bolehlah masukkan duit ke dalam akaun trading untuk dijadikan modal pelaburan saham.

Dengan modal itulah nanti akan digunakan untuk beli kaunter-kaunter yang telah disenarai pendekkan.

Tetapi, berapa modal nak letak ini?

Sebenarnya, modal pelaburan saham bergantung kepada 5 perkara, iaitu:

#1 Harga beli yang ditawarkan ke atas kaunter

Setiap kaunter saham punyai harga beli tersendiri, yang boleh berubah setiap masa pada waktu dagangan.

Sebagai contoh, untuk kaunter Petronas Dagangan di bawah, harga beli tertinggi adalah RM 24.02 seunit.

modal pelaburan saham

Contoh yang lain, untuk kaunter Tropicana di bawah, harga beli tertinggi adalah RM 0.995 seunit.

modal pelaburan saham

Harga beli, atau harga bidaan, bermaksud harga tertinggi yang ditawarkan untuk membeli sesuatu kaunter saham.

Pada setiap masa dagangan, ada banyak harga bidaan yang diletakkan ke atas sesuatu kaunter, tetapi yang dipaparkan adalah harga beli yang paling tinggi.

Jadi, jika anda nak beli kaunter tersebut, anda boleh tawarkan harga beli yang lebih rendah atau tinggi, atau sama dengan yang dipaparkan.

Membeli saham bukan seperti membeli barang di kedai runcit; bayar dan terus dapat barang.

Sebaliknya, untuk beli sesuatu kaunter saham, kena letak dulu harga beli dan kuantiti unit yang dikehendaki, jika ada unit yang dijual sepadan kuantiti dan harga yang ditawarkan, barulah anda akan dapat miliki kaunter tersebut.

Selepas semua kos dikira, barulah akan ditolak daripada modal dalam akaun trading anda.

Semakin tinggi harga beli sesuatu kaunter, maka akan semakin banyak modal diperlukan untuk dapatkan saham kaunter tersebut.

Selain daripada harga beli, akan dipaparkan juga harga jual.

Harga jual adalah harga terendah untuk menjual sesuatu saham, dan kebiasaannya adalah lebih tinggi daripada harga beli.

Jika anda terus nak dapatkan sesuatu kaunter saham, boleh tawarkan harga beli pada harga jual.

modal pelaburan saham

Keliru?

Jangan risau, saya akan tulis artikel lain berkenaan cara beli saham.

#2 Kuantiti unit kaunter yang dibeli

Sesuatu kaunter saham perlu dibeli dalam bilangan lot; pembelian minimum mestilah 1 lot.

1 lot adalah bersamaan 100 unit, jadi pembelian minimum bagi sesuatu kaunter mestilah 100 unit.

Bagi contoh kaunter Petronas Dagangan di atas, untuk pembelian minimum, jumlah harga adalah 100 unit x RM 24.02 = RM 2,402.00

Bagi kaunter Tropicana di atas pula, untuk pembelian minimum, jumlah harga adalah 100 unit x RM 0.995 = RM 99.50

Tetapi, apabila beli kaunter saham, sudah semestinya tidak dibeli pada kuantiti minimum sahaja.

Mungkin nak beli 5 lot, 10 lot atau 100 lot.

Jadi, semakin tinggi kuantiti lot atau unit yang ingin dibeli, semakin tinggi modal pelaburan saham yang diperlukan.

# 3 Caj brokeraj (brokerage fee)

Selain harga dan kuantiti unit kaunter, terdapat beberapa caj atau yuran yang perlu dimasukkan ke dalam kiraan modal pelaburan saham anda, dan salah satunya adalah caj brokeraj.

Caj brokeraj dikenakan ke atas setiap transaksi jual beli saham, dan merupakan bayaran yang dikenakan oleh syarikat broker atas perkhidmatan mereka menguruskan transaksi jual beli saham tersebut.

Kadarnya boleh jadi berbeza atau sama antara setiap syarikat broker, boleh lihat di sini (i3investor) atau di sini (iMoney) untuk perbandingan caj brokeraj bagi setiap syarikat broker di Malaysia.

Kadarnya juga berbeza antara transaksi manual dan online; jika anda minta bantuan remisier/dealer lakukan transaksi secara manual, maka kadarnya adalah berbeza berbanding jika anda buat sendiri transaksi melalui online trading platform.

Berikut adalah contoh kadar caj brokeraj yang dikenakan oleh sebuah syarikat broker:

modal pelaburan saham

Berdasarkan contoh di atas, katakanlah anda membuat transaksi belian kaunter berjumlah RM 5,000 melalui online trading platform, maka caj brokeraj adalah 0.42% x RM 5,000 = RM 21.00

Kalau transaksi belian adalah RM 2,000 melalui online trading platform, caj brokeraj adalah 0.42% x RM 2,000 = RM 8.40 (tetapi, caj brokeraj yang akan dikenakan adalah RM 12.00 iaitu caj minimum)

#4 Caj penjelasan (clearing fee)

Caj kedua yang perlu dibayar bagi setiap transaksi jual beli saham adalah caj penjelasan, yang mana dibayar kepada Bursa Malaysia atas perkhidmatan mereka menyediakan platform jual beli saham.

Buat masa sekarang, kadarnya adalah 0.03% daripada nilai transaksi.

Contoh, jika beli 100 unit saham Petronas Dagangan pada harga di atas, maka caj penjelasan adalah 0.03% x 100 unit x RM 24.02 seunit = RM 0.72

#5 Duti setem (stamping fee)

Untuk setiap transaksi jual beli saham, pihak Bursa Malaysia akan mengutip duti setem untuk dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Bayaran tersebut adalah bagi suratcara pindahmilik saham.

Kadarnya adalah RM 1 bagi setiap transaksi bernilai RM 1,000 dan kadar maksimum adalah RM 200

#6 Cukai barang & perkhidmatan (GST)

GST tidak dikenakan ke atas nilai transaksi jual beli saham, sebaliknya ke atas caj brokeraj (caj perkhidmatan syarikat broker) dan caj penjelasan (caj perkhidmatan Bursa Malaysia)

Buat masa sekarang, kadarnya adalah 6%

Baca juga:  Tahukah Anda Apakah Pelaburan Terbaik?

Contoh cara pengiraan modal pelaburan saham

Untuk lebih memudahkan pemahaman, saya berikan contoh pengiraan modal pelaburan saham

Situasi #1

Faiz berjaya membeli saham Petronas Dagangan sebanyak 300 lot pada harga RM 24.02 seunit menggunakan online trading platform. Keseluruhan kos transaksi ini adalah:

  • Nilai transaksi: 300 unit x RM 24.02 seunit = RM 7,206.00
  • Caj brokeraj: 0.42% x RM 7,206.00 = RM 30.27
  • GST caj brokeraj: 6% x RM 30.27 = RM 1.82
  • Caj penjelasan: 0.03% x RM 7,206.00 = RM 2.16
  • GST caj penjelasan: 6% x RM 2.16 = RM 0.13
  • Duti setem: Untuk nilai transaksi RM 7,206.00 = RM 8.00

Oleh itu, jumlah modal pelaburan saham yang dikeluarkan Faiz adalah:

  • RM 7,206.00 + 30.27 + 1.82 + 2.16 + 0.13 + 8.00 = RM 7,248.38

Situasi #2

Melaui remisier yang dipercayainya, Salina berjaya membeli saham Tropicana pada harga RM 0.995 seunit sebanyak 2000 unit. Keseluruhan kos transaksi adalah:

  • Nilai transaksi: 2000 unit x RM 0.995 seunit = RM 1,990.00
  • Caj brokeraj: 0.60% x RM 1,990.00 = RM 11.94 (caj yang dikenakan adalah RM 40, iaitu caj minimum)
  • GST caj brokeraj: 6% x RM 40 = RM 2.40
  • Caj penjelasan: 0.03% x RM 1,990 = RM 0.60
  • GST caj penjelasan: 6% x RM 0.60 = RM 0.04
  • Duti setem: Untuk nilai transaksi RM 1,990 = RM 2.00

Oleh itu, jumlah modal pelaburan saham yang dikeluarkan Salina adalah:

  • RM 1,990.00 + 40.00 + 2.40 + 0.60 + 0.04 + 2.00 = RM 2,035.04

Jadi sekarang, anda dah faham bagaimana modal pelaburan saham dikira?

Kalau beli kaunter saham berharga tinggi atau dalam kuantiti yang banyak, sudah semestinya jumlah modal yang tinggi diperlukan.

Sebaliknya, kalau beli kaunter berharga rendah atau dalam kuantiti sederhana, modal yang diperlukan masih lagi dalam kemampuan kita sebagai pelabur runcit biasa.

Tetapi, harus diketahui, tinggi atau rendah nilai harga sesuatu kaunter itu tidak menggambarkan ‘kualiti’ kaunter tersebut.

Banyak lagi faktor lain yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan membeli sesuatu kaunter saham.

p/s: Untuk lebih banyak artikel berkaitan pelaburan saham dalam blog ini, boleh klik di sini: Panduan Pelaburan Saham

p/p/s: Kalau nak panduan lengkap untuk yang baru mula pelaburan saham, daripada yang asas hingga kepada cara memilih kaunter terbaik berasaskan teknik fundamental, boleh dapatkan panduan ini: Combo Ebook Saham 101 & 201

cara buka akaun cdsUntuk yang dah ada pengetahuan asas dan sedikit pengalaman dalam pelaburan saham, tetapi masih kurang menjana keuntungan, mungkin boleh dapatkan ebook Panduan Sistem Saham.

Ebook ini khas untuk orang yang dah ada pengalaman dalam pelaburan saham dan akan tunjukkan cara buat pelaburan saham menggunakan analisis teknikal (baca pergerakan carta)

sistemsaham1

Baca juga:  Strategi Pelaburan Hartanah Untuk Pelabur Baru

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini