Tag Archive: zakat asb

Zakat Simpanan ASB: Hukum & Pengiraan

zakat simpanan asbPerkongsian kali ini masih lagi tentang Amanah Simpanan Bumiputera (ASB), lebih spesifik lagi tentang zakat simpanan ASB.

Ada yang tanya, perlu ke keluarkan zakat simpanan ASB?

Apa hukumnya?

Bagaimana cara pengiraan zakat simpanan ASB yang perlu dikeluarkan?

Bagaimana pula dengan ASB financing atau loan ASB, perlu keluarkan zakat juga ke?

Untuk jawab semua persoalan ini, saya kongsikan penjelasan yang diberikan oleh Tuan Haji Ahmad Husni bin Dato’ Abd Rahman, Pemangku Penolong Pengurus, Unit Syariah & Penerangan Khas Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP)

Boleh baca penjelasan asal oleh beliau di Facebook Page Pusat Pungutan Zakat

Jom ikuti jawapan beliau.

Penjelasan berkaitan persoalan zakat simpanan ASB

Sebagaimana yang umum mengetahui, baru-baru ini Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengumumkan dividen dan bonus bagi Amanah Saham Bumiputera untuk tahun 2017, iaitu dividen sebanyak 7.00 sen seunit, bonus 0.25 sen seunit dan Bonus Khas Ulang tahun PNB Ke-40 sebanyak 1.00 sen seunit untuk baki sehingga 10,000 unit pertama.

Justeru, ramai yang bertanya khasnya mengenai zakat ke atas pelaburan ASB. Adakah dikenakan ke atas pelaburan pokok atau hasil dividen sahaja? Ataupun kedua-duanya sekali. Dalam merungkai persoalan ini elok kita merujuk kepada kebiasaan masyarakat di Malaysia dan beberapa contoh kaedah pelaburan yang dibuat agar lebih difahami satu persatu berdasarkan situasi masing-masing.

Hukum ASB: Halal atau haram?

Bagi yang telah melabur dan memilih untuk membuat pelaburan di ASB, soalan ini sepatutnya tidak lagi timbul. Ketika pelaburan dibuat, secara logiknya anda sendiri telah bersetuju dengan pandangan dan fatwa yang mengharuskan pelaburan ASB. Jika tidak, mana mungkin pelaburan itu dipilih dan diteruskan.

Bagi yang masih mempunyai keraguan dan ingin mencari maklumat tambahan serta bacaan lebih lanjut mengenai hukum pelaburan ASB dan seumpamanya, maka boleh merujuk ke pautan berikut: http://www.pnb.com.my/pdf/Bukuharus.pdf

Zakat simpanan ASB

Zakat diwajibkan ke atas pelaburan di ASB. Ini adalah bersesuaian dengan kaedah fiqh dalam ibadah zakat yang berbunyi “كل مال نام فهو وعاء للزكاة” yang bermaksud “Setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat”.

Pelaburan yang dibuat di ASB, adalah bertujuan untuk mengembangkan harta dan mendapat pulangan berupa keuntungan yang diperolehi menerusi dividen, bonus dan pendapatan ASB setiap tahun. Oleh kerana nilai unit pelaburan di ASB adalah Ringgit Malaysia, maka kadar zakatnya adalah 2.5%.

Ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu mata wang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.” (Riwayat Abu Dawud dan al-Baihaqi)

Begitu juga sebuah hadis yang lain: “Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham > 5 dirham).

zakat simpanan asb

Kaedah & cara pengiraan zakat simpanan ASB

Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham > 5 dirham).

Situasi #1 – Pelaburan dibuat menggunakan wang atau modal sendiri

Bagi situasi ini pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan dan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperolehi. Formulanya adalah seperti berikut:

  • [Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan + Dividen @ Pendapatan ASB] x 2.5% (Kadar Zakat)

Contoh (i):
RM 200,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 14,600 (Dividen / Pendapatan ASB 2017 + Bonus ASB iaitu 7.25% + 1% dari 10,000 unit pertama)
= RM 214,600 x 2.5%
= RM 5,365
Justeru, zakat yang wajib ditunaikan adalah sebanyak RM 5,365

Contoh (ii):
RM 15,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 1,187.50 (Dividen / Pendapatan ASB 2017 + Bonus ASB iaitu 7.25% + 1% dari 10,000 unit pertama)
= RM 16,187.50 x 2.5%
= RM 404.68
Justeru, zakat yang wajib ditunaikan adalah sebanyak RM 405 (setelah dibundarkan).

Situasi #2 – Pelaburan dibuat dengan fasiliti pembiayaan ASB dengan pihak bank

Bagi situasi ini, pengiraan zakat hanya akan dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperolehi sahaja. Adapun bagi modal pelaburan, tidak dikenakan zakat ke atasnya kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan. Formula kiraan adalah seperti berikut:

  • Dividen @ Pendapatan ASB x 2.5%

Contoh kaedah kiraan seterusnya cuba meraikan beberapa bentuk kaedah pelaburan yang lazimnya diamalkan oleh para pelabur ASB dengan menggunakan fasiliti pembiayaan ASB.

Kes 1: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi TIDAK DIGUNAKAN untuk membuat pembayaran semula pembiayaan.

Contoh (i):
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
(Dividen @ Pendapatan ASB 2017 + Bonus ASB iaitu 7.25% + 1% dari 10,000 unit pertama dari RM 200,000 = RM 14,600
= RM 14,600 x 2.5%
= RM 365
Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 365

Contoh (ii):
Modal Pelaburan RM 50,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen @ Pendapatan ASB 2017 + Bonus ASB iaitu 7.25% dari RM 50,000 + 1% dari 10,000 unit pertama = RM 3,725
= RM 3,725 x 2.5%
= RM 93.12
Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 93

Dalam contoh (ii), nilai dividen yang diperolehi tidak melebihi nisab tahunan zakat pada tahun 2017 iaitu RM 14,083. Mengapa dikenakan zakat juga? Hal ini memerlukan sedikit perincian. Dalam contoh (ii) di atas, pendapatan dari ASB itu dicampurkan dengan kesemua pemilikan harta individu yang telah cukup haulnya untuk dizakatkan. Maka kecukupan nisab dikira secara relatif dengan dicampurkan harta-harta lain yang berada di bawah pemilikan individu terbabit.

Namun, jika individu yang terbabit tidak mempunyai harta-harta lain yang cukup haul dan sedia dizakatkan, maka zakat *TIDAK DIKENAKAN ke atas dividen/pendapatan ASB yang tidak mencukupi nisab itu tadi.

Kes 2: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi DIGUNAKAN bagi membuat pembayaran semula pembiayaan.

Dalam kes ini, zakat hanya akan dikenakan ke atas baki atau lebihan dividen/pendapatan ASB yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.

Contoh (i):
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
(Dividen @ Pendapatan ASB 2017 + Bonus ASB iaitu 7.25% + 1% dari 10,000 unit pertama) = RM 14,600
Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama maksimum 30 tahun)
= RM 1,099 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 13,188
= RM 14,600 (dividen/pendapatan ASB) – RM 13,188 (bayaran semula pembiayaan)
= RM 1,412
= RM 1,412 x 2.5%
= RM 35.30

Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 35.30. Situasi kenaan zakat ini adalah sama seperti contoh (ii) dalam Kes 1 di atas.

Contoh (ii):
Modal Pelaburan Maksimum RM 50,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen @ Pendapatan ASB 2017 + Bonus ASB iaitu 7.25% dari RM 50,000 + 1% dari 10,000 unit pertama = RM 3,725
Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama 15 tahun)
= RM 401 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 4,812
= RM 3,725 (dividen/pendapatan ASB) – RM 4,812 (bayaran semula pembiayaan)
= (-) RM 1,087

Oleh kerana, bayaran semula pembiayaan melebihi jumlah dividen yang diterima, maka TIDAK ADA ZAKAT dikenakan. Juga tidak dikenakan zakat jika jumlah dividen menyamai jumlah pembayaran semula pembiayaan.

Situasi #3 – Perolehan selepas penyerahan semula sijil pembiayaan pelaburan ASB

Sebahagian pelabur menggunakan kaedah membuat pembiayaan pelaburan ASB dan dalam tempoh tertentu membuat penyerahan semula sijil (surrender) dan menyelesaikan bayaran baki pembiayaan untuk mendapatkan keuntungan dan pulangan.

Kes 1: Penyerahan semula sijil pelaburan lebih awal sebelum tamat tempoh pembiayaan.

Contoh (i) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun ke-5 dalam tempoh pembiayaan selama 25 tahun:

[Pulangan tunai selepas penyerahan sijil pelaburan + dividen tahun semasa ASB] x 2.5%
[RM 22,002.61 (lebihan tunai penyerahan sijil pelaburan bernilai RM 200,000) + RM 14,600 (dividen tahun semasa ASB)] = RM 36,602.61
= RM 36, 602.61 x 2.5%
= RM 915.06
Zakat dikenakan adalah RM 915

Contoh (ii) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun akhir pembiayaan / selepas tamat tempoh pembiayaan 25 tahun.
[RM 200,000 (nilai penyerahan sijil pada tahun akhir pembiayaan/selepas tamat tempoh pembiayaan) + RM 14,600 (nilai dividen semasa ASB)] = RM 214,600
= RM 214,600 x 2.5%
= RM 5,365
Zakat dikenakan adalah sebanyak RM 5,365

Dengan penjelasan ini, diharapkan agar dapat memberikan manfaat dan kefahaman yang jelas kepada para pelabur dan muzakki. Semoga Allah Ta’ala menerima segala amalan dan kebaikan yang dilakukan dan menjadikannya sebagai pemberat mizan di Hari Pembalasan.

DISCLAIMER / PERHATIAN

Kiraan berkaitan ASB (Pendapatan / Bonus / Dividen) adalah bersifat contoh kasar semata-mata. Ia bukanlah bersifat teknikal sebagaimana kiraan sebenar oleh pihak PNB. Untuk cara kiraan lebih tepat, boleh rujuk di sini: Cara pengiraan dividen ASB 2017, bonus & bonus khas. Justeru tuan/puan dinasihatkan mengemaskini pemilikan ASB masing-masing untuk mengetahui pendapatan sebenar yang wajib dizakatkan.

zakat simpanan asb

Kesimpulan

Daripada penerangan yang diberikan di atas, dapat disimpulkan beberapa perkara, iaitu:

  • Bagi yang membuat simpanan atau pelaburan dalam ASB, maka pelabur telah bersetuju dengan fatwa dan pandangan yang menyatakan hukum pelaburan ASB adalah harus
  • Zakat adalah diwajibkan ke atas pelaburan ASB apabila cukup haul (tempoh) dan nisab (jumlah)
  • Kadar zakat simpanan ASB adalah 2.5%
  • Kaedah dan cara pengiraan zakat ASb adalah berbeza mengikut situasi, sam ada pelaburan dilakukan sendiri, melalui pembiayaan bank atau semasa serahan/penebusan sijil pembiayaan ASB.
  • Bagi simpanan atau pelaburan ASB menggunakan modal sendiri, zakat dikenakan ke atas baki akhir dan juga pendapatan (dividen dan bonus) yang diperoleh.
  • Bagi yang menggunakan pembiayaan bank, zakat dikenakan ke atas hasil pendapatan sahaja, atau hasil pendapatan tolak kos pembiayaan (jika hasil pendapatan digunakan untuk membayar semula pembiayaan)
  • Semasa serahan/penebusan sijil pembiayaan ASB, zakat dikenakan ke atas nilai serahan dan juga hasil pendapatan terakhir.

Selamat mengeluarkan zakat.

Berzakat membawa berkat.

Wallahu’alam.

p/s: Jangan lupa untuk KONGSIKAN artikel ini, ya.  Terima kasih.

..

10 Jenis Zakat Harta Yang Mesti Diketahui

jenis zakat hartaTerdapat 10 jenis zakat harta yang mesti diketahui dan difahami oleh setiap orang Islam.

Selain bulan Ramadhan yang paling digalakkan untuk mengeluarkan zakat harta, bulan Disember merupakan antara bulan yang menjadi pilihan orang ramai dan syarikat-syarikat perniagaan untuk melakukan perkara yang sama.

Ini kerana, ramai yang tidak mahu terlepas mendapatkan resit yang sah agar dapat menuntut rebat cukai yang akan ditaksirkan pada tahun hadapan.

Untuk individu, bayaran zakat yang dikeluarkan dapat digunakan untuk menuntut rebat cukai pendapatan, manakala bagi syarikat-syarikat perniagaan untuk mengurangkan cukai korporat yang dikenakan.

Walaubagaimanapun, janganlah pula berniat mengeluarkan zakat sekadar untuk mendapatkan rebat cukai, sebaliknya mestilah atas niat ikhlas menunaikan kewajipan yang dituntut Islam.

Orang Islam wajib mengeluarkan dua jenis zakat setiap tahun, iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Serba-sedikit penerangan berkenaan zakat fitrah boleh dibaca di sini: Kadar Zakat Fitrah

Untuk artikel ini, saya akan memberikan penerangan ringkas berkenaan zakat harta sahaja.

Syarat-syarat wajib zakat harta

Selain syarat-syarat khas bagi setiap jenis zakat harta, syarat-syarat wajib yang umum adalah:

Syarat wajib zakat #1 – Islam

Zakat harta diwajibkan ke atas orang Islam dan harta orang Islam sahaja.

Contohnya, sekiranya sesuatu perniagaan dikongsi bersama orang bukan Islam, maka bahagian yang diambil kira untuk pengiraan zakat adalah bahagian orang Islam sahaja (peratusan ekuiti/syer/bahagian yang dipegang orang Islam)

Syarat wajib zakat #2 – Merdeka

Zakat hanya wajib ke atas orang yang merdeka, bukan hamba.

Kini, perhambaan sudah tiada, maka semua orang wajib berzakat.

Syarat wajib zakat #3 – Sempurna milik

Harta yang dimiliki adalah sempurna milik iaitu mempunyai kekuasaan penuh ke atasnya, bukan hutang dan tidak bersangkutan dengan orang lain.

Pemilik boleh melakukan apa-apa sahaja ke atas harta tersebut dan mendapatkan manfaat daripadanya.

Syarat wajib zakat #4 – Cukup nisab

Nisab adalah kadar jumlah harta minimum yang diwajibkan zakat, iaitu bersamaan 85 gram emas.

Nilainya dalam RM bergantung kepada harga emas semasa dan ditetapkan oleh Majlis Agama Negeri masing-masing.

Syarat wajib zakat #5 – Cukup haul

Haul adalah tempoh harta dimiliki, iaitu perlu genap setahun Hijrah (354 hari), bukan setahun Masihi.

Sebab itulah digalakkan mengeluarkan zakat harta pada bulan Ramadhan supaya tidak terlupa dan mudah untuk membuat kiraan setahun Hijrah.

Kadar Zakat Harta

Kadar zakat harta adalah 2.5% daripada jumlah yang diwajibkan atau layak dizakatkan jika dikira haul setahun Hijrah.

Tetapi, jika haul dikira setahun Masihi, kadar yang disarankan oleh Accounting and Auditing Organization of Islamic Financial Institutions (AAOIFI) adalah 2.577%

Jenis-jenis zakat Harta

Zakat harta termasuklah zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat KWSP, zakat saham, zakat emas, zakat perak, zakat pertanian, zakat ternakan dan zakat takaful.

Jenis zakat harta #1 – Zakat pendapatan

Zakat pendapatan dikenakan ke atas jumlah pendapatan yang diperoleh termasuklah hasil gaji, emolumen, bonus, dividen, hasil sewa, hibdah, pampasan, gratuiti pencen dan lain-lain lagi hasil yang bersumberkan pekerjaan atau perkhidmatan sebagai ahli profesional.

Pengiraan zakat pendapatan: Boleh dikira melalui dua kaedah, iaitu kaedah pendapatan penuh atau dengan pelepasan/tolakan perbelanjaan-perbelanjaan asas.

Saya dah hurai dengan panjang-lebar tentang kiraan zakat pendapatan di sini: 2 Kaedah Pengiraan Zakat Pendapatan

Jenis zakat harta #2 – Zakat wang simpanan

Zakat ini dikenakan ke atas jumlah wang simpanan yang disimpan dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan.

Pengiraan zakat wang simpanan: Kiraannya adalah mengikut dua situasi utama iaitu jika simpanan tetap sepanjang tahun atau simpanan bergerak keluar-masuk.

Untuk simpanan yang tetap sepanjang tempoh haul/setahun dan melebihi kadar nisab, maka jumlah zakat yang dikenakan adalah atas jumlah baki simpanan pada hujung haul tersebut.

  • zakat = baki simpanan pada hujung haul x 2.5%

Jika simpanan bergerak keluar masuk sepanjang tempoh haul, maka jumlah zakat wang simpanan dikira atas nilai baki terendah dalam tempoh haul tersebut, dengan syarat baki terendah tersebut adalah melebihi kadar nisab.

  • zakat = baki terendah dalam tempoh haul (mesti melebihi nisab) x 2.5%

Sekiranya mempunyai lebih daripada satu akaun simpanan, maka pengiraan zakat wang simpanan perlulah dilakukan ke atas jumlah bagi setiap akaun, samaada tetap atau baki terendah.

Jenis zakat harta #3 – Zakat perniagaan

pengiraan zakat perniagaanMengikut definisi Lembaga Zakat Selangor, zakat perniagaan adalah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan.

Zakat ini dikenakan ke atas semua bentuk perniagaan sama ada persendirian, perkongsian, syarikat, koperasi, perniagaan saham dan sebagainya.

Pengiraan zakat perniagaan: Sepertimana yang dinyatakan pada awal artikel ini, zakat perniagaan hanya dikenakan ke atas aset dan hasil daripada harta orang Islam sahaja.

Oleh itu, jika sesuatu perniagaan dikongsi atau dipunya milik oleh orang Islam dan orang bukan Islam, maka zakat perniagaan hanya dikira ke atas jumlah yang dipegang oleh orang Islam, lazimnya dalam bentuk peratusan ekuiti.

Sebagai contoh, secara mudahnya, andaikan jumlah aset dan hasil dari sebuah perniagaan yang dikongsi oleh orang Islam (60%) dan bukan Islam (40%) adalah RM 100,000 dalam rempoh haul, maka jumlah yang dikira untuk zakat perniagaan adalah RM 60,000 sahaja.

Pengiraan zakat perniagaan adalah sedikit sukar untuk saya terangkan di sini.

Secara umumnya, pengiraan zakat perniagaan boleh dilakukan menggunakan tiga kaedah; modal kerja (work capital), model berkembang (growth model) dan untung-rugi.

Kaedah modal bekerja dikira berdasarkan aset semasa bersih, kaedah model berkembang dikira berdasarkan jumlah ekuiti perniagaan dan keuntungan, manakala kaedah untung-rugi hanya mengambil kira hasil/perolehan dan kos/belanja.

Dalam pengiraan zakat perniagaan, ada elemen pelarasan yang perlu dibuat melibatkan aset perniagaan yang tidak dikenakan zakat seperti stok bahan mentah, hasil yang telah dizakatkan, hutang, pajakan, jangkaan bayaran dividen dan dana kebajikan.

Boleh rujuk di sini atau di sini untuk penerangan lanjut berkenaan zakat perniagaan.

Jenis zakat harta #4 – Zakat KWSP

Zakat KWSP perlu dikeluarkan jika melakukan pengeluaran wang daripada akaun KWSP yang mana jumlah yang dikeluarkan tersebut adalah melebihi nilai nisab zakat.

Pengeluaran KWSP boleh dilakukan selepas mencapai umur minimum yang ditetapkan atau mengikut permohonan penyimpan sepertimana syarat –syarat dibawah pelbagai Skim Pengeluaran KWSP.

Zakat KWSP perlu dilakukan sebaik sahaja wang tersebut dikeluarkan daripada akaun KWSP tanpa perlu menunggu tempoh haul setahun.

Selepas pengeluaran KWSP dilakukan, wang tersebut telah memenuhi syarat sempurna milik, maka sebab itulah perlu dikeluarkan terus zakat tanpa menunggu tempoh haul.

Sekiranya wang yang dikeluarkan itu tidak diguna dan disimpan sahaja selama setahun haul, maka zakat wang simpanan pula akan dikenakan.

Jika diniagakan, maka zakat perniagaan pula akan dikenakan.

Pengiraan zakat KWSP: Mudah sahaja, iaitu zakat = 2.5% x jumlah pengeluaran yang diluluskan (yang melebihi nilai nisab)

Jenis zakat harta #5 – Zakat saham

Zakat saham dikenakan ke atas pegangan ekuiti yang diperoleh melalui pasaran modal (saham, unit amanah, ETF, REIT, dana indeks, bon, sukuk, derivatif & produk berstruktur) dan juga ke atas syarikat persendirian dan koperasi.

Pengiraan zakat saham: Pengiraannya adalah berbeza bagi ketiga-tiga situasi berikut; ekuiti dipegang sepanjang tahun, ekuiti dijual-beli dan ekuiti syarikat persendirian/koperasi.

Bagi ekuiti dipegang sepanjang tahun, jumlah zakat saham dikira ke atas nilai ekuiti pada hujung haul (nilainya perlu melebihi nisab zakat)

  • zakat = bil. unit/lot x harga seunit/lot x 2.5%

Bagi ekuiti yang dijual beli, zakat saham dikira ke atas jumlah keuntungan yang diperoleh bagi setiap transaksi (nilai jual – modal)

  • zakat = jumlah keuntungan setiap transaksi x 2.5%

Bagi ekuiti syarikat persendirian dan koperasi, zakat saham tidak perlu dikeluarkan jika zakat perniagaan telah dikeluarkan.

Tetapi, jika zakat perniagaan tidak dikeluarkan, maka pemegang ekuiti perlu mengeluarkan zakat saham berdasarkan pegangan ekuiti masing-masing.

  • zakat = jumlah zakat perniagaan patut dikeluarkan x pegangan ekuiti x 2.5%

Jenis zakat harta #6 – Zakat emas

Zakat emas dikeluarkan ke atas emas fizikal (barang kemas, bar emas, syiling emas), emas bukan fizikal (akaun pelaburan emas) dan juga emas dalam gadaian.

Zakat emas dikenakan jika jumlah yang disimpan/dimiliki/digadai adalah melebihi 85 gram.

Pengiraan zakat emas: Kiraannya berbeza bagi empat situasi yang berikut; emas perhiasan, emas bukan perhiasan, emas bercagar dan akaun pelaburan emas.

Emas perhiasan adalah emas yang digunakan atau dipakai sebagai perhiasan sama ada sekali-sekala atau berterusan, dan jumlah zakat dikira ke atas harga semasa berat emas tolak nilai ‘uruf (nilai pemakaian emas masyarakat setempat; mengikut ketetapan Majlis Agama Negeri)

  • zakat = (berat emas – ‘uruf) x harga emas semasa x 2.5%

Emas bukan perhiasan adalah emas yang disimpan sahaja seperti barang kemas yang tidak dipakai, bar, jongkong dan syiling emas; zakat emas ini dikira berdasarkan harga semasa berat emas tersebut sahaja (tiada nilai ‘uruf)

  • zakat = berat emas x harga emas semasa x 2.5%

Emas bercagar adalah emas yang digadai dan masih dianggap sempurna milik; zakat emas ini dikira berdasarkan harga semasa berat emas tersebut tolak nilai pinjaman dan upah simpan.

  • zakat = (berat emas x harga emas semasa – nilai pinjaman – upah simpan) x 2.5%

Zakat bagi akaun pelaburan emas hanya diwajibkan ke atas akaun pelaburan patuh syariah dan tidak patuh syariah yang melibatkan proses pindah milik sahaja.

Jika terlibat dalam jual-beli atau perniagaan emas dan telah mengeluarkan zakat perniagaan ke atas perniagaan tersebut, maka zakat emas tidak perlu dikeluarkan lagi.

Jenis zakat harta #7 – Zakat perak

Zakat perak dikira ke atas logam perak yang dimiliki sama ada dalam bentuk jongkong, bar, syiling/matawang, perkakas, barang perhiasan dan barang kemas perak.

Nisab zakat perak adalah 200 dirham atau bersamaan 595 gram perak.

Pengiraan zakat perak: Tidak seperti zakat emas yang membahagikan kaedah pengiraan mengikut situasi-situasi berbeza, zakat perak cuma dikira berdasarkan satu kaedah sahaja tak kira sama ada perak tersebut digunakan sebagai perhiasan, disimpan atau dicagarkan.

Zakat perak dikira berdasarkan harga semasa logam perak yang dimiliki (jumlah zakat perak = berat perak x harga semasa x 2.5%)

Jenis zakat harta #8 – Zakat pertanian

jenis zakat hartaZakat pertanian melibatkan hasil tanaman jenis bijirin yang merupakan makanan asasi yang mengenyangkan dan boleh disimpan dalam tempoh lama seperti padi, kurma, jagung dan gandum.

Hasil tanaman tersebut hendaklah yang ditanam oleh manusia.

Nisab zakat pertanian adalah cukup atau melebihi sukatan 5 Ausuk bersamaan 363 gantang Malaysia atau 907 kg.

Hasil tanaman yang bukan makanan asasi seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam, tebu, koko dan lain-lain buah-buahan tidak dikenakan zakat pertanian, sebaliknya perlu dikeluarkan zakat perniagaan jika hasil tanaman tersebut diniagakan.

Pengiraan zakat pertanian: Kadar zakat pertanian dikira secara berbeza mengikut kaedah penghasilan atau siraman atau pengairannya.

Jika penghasilan/siraman/pengairan dilakukan manusia atau binatang ternakan atau menggunakan teknologi moden, maka kadar zakat pertanian adalah 5% atau 1/20

Jika penghasilan/siraman/pengairan menggunakan kaedah semulajadi seperti aliran sungai, parit atau hujan, maka kadar zakat pertanian adalah 10% atau 1/10

Jika menggunakan kedua-dua kaedah, maka kadar zakat pertanian adalah 7.5%

Jenis zakat harta #9 – Zakat ternakan

Zakat ternakan dikeluarkan daripada hasil ternakan binatang-binatang yang dijadikan ternakan seperti lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan unta.

Binatang-binatang ini adalah yang diternak untuk mendapatkan hasil sama ada dijual hidup, dagingnya atau hasilnya (contohnya susu), bukan digunakan untuk melakukan kerja seperti membajak sawah dan mengangkut barang.

Pengiraan zakat ternakan: Kadar zakat ternakan bergantung kepada jenis binatang, jantina dan bilangan.

Untuk lebih maklumat berkenaan kadar zakat ternakan, boleh rujuk di sini: http://zakat.com.my/info-zakat/zakat-ternakan

Jenis zakat harta #10 – Zakat takaful

Produk takaful boleh dianggap sebagai salah satu bentuk simpanan atau pelaburan yang mempunyai unsur zakawi, maka zakat perlu dikeluarkan jika memenuhi syarat-syaratnya.

Secara mudah, zakat takaful dikenakan ke atas:

  • nilai simpanan/pelaburan yang boleh dikeluarkan (cash value)
  • pulangan tunai selepas polisi matang
  • pampasan takaful (selepas ditolak hutang)
  • pulangan tunai dari dana/tabung tabarru’ (jika ada)

Untuk memahami berkenaan zakat takaful, boleh baca di sini: http://www.zakatselangor.com.my/jenis-jenis-zakat/zakat-harta/zakat-takaful/

Penutup

Umat Islam digalakkan mengembangkan harta yang ada supaya dapat mengeluarkan lebih banyak zakat.

Zakat bukan sahaja mendatangkan pahala untuk si pengeluarnya, malah memberikan manfaat kepada penerimanya.

Mengeluarkan zakat harta adalah kewajipan, dan merupakan elemen penyucian harta yang utama, maka janganlah lari atau culas untuk mengeluarkannya.

Ingat, setiap harta yang dimiliki, ada hak orang lain ke atas harta tersebut.

Nota: Jenis zakat harta yang wajib dikeluarkan, nisab, kadar dan pengiraannya adalah berbeza antara negeri-negeri di Malaysia bergantung kepada ketetapan Majlis Agama Negeri masing, masing.

Maklumat yang disediakan di atas adalah bersifat umum untuk pengetahuan asas sahaja.

Untuk maklumat lanjut dan lebih spesifik, rujuklah Majlis Agama Negeri masing-masing.