Tag Archive: simpanan asb

Pembiayaan ASB Masih Untung Ke?

pembiayaan asb masih untungMungkin ramai juga yang tertanya-tanya, pembiayaan ASB masih untung ke?

Sebelum ini saya banyak tulis tentang pembiayaan ASB.

Malah, bukan saya sahaja, ramai juga yang menulis dan bercerita tentang pembiayaan ASB yang lebih memberikan keuntungan berbanding simpan secara biasa.

Tetapi, kalau perasan, kebanyakan yang disampaikan sebelum ini menggunakan kadar dividen ASB lebih 7% setahun.

Memang untung, sebab kadar dividen ASB tinggi.

Malangnya, dengan keadaan ekonomi, politik dan situasi semasa yang mencabar, kadar dividen ASB agak menurun sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Untuk tahun 2019, kadar dividen dan bonus ASB 5.5% sahaja.

Untuk tahun 2020, belum tentu lagi.

Dengan penangan COVID-19, tak pasti sama ada kadar dividen bonus ASB 2020 akan lebih baik atau menurun berbanding 2019.

Maka menjadi persoalan, masih berbaloi ke nak buat pembiayaan ASB sekarang?

Mari kita buat beberapa kira-kira untuk jawab persoalan ini.

Bank mana yang tawarkan pembiayaan ASB sekarang?

Kalau dulu, hanya beberapa buah bank sahaja yang ada tawarkan pembiayaan ASB, tetapi sekarang semakin bertambah.

Antara bank yang ada sediakan kemudahan ini adalah Maybank, CIMB, RHB, BSN, Hong Leong, Affin, Alliance, Ambank, Bank Muamalat dan Bank Islam.

Setiap bank mungkin berbeza dari segi kadar keuntungan pembiayaan yang dikenakan, had tempoh dan umur serta syarat-syarat lain seperti tempoh lock-in, kaedah bayaran dan keperluan ambil takaful atau tidak.

Sebagai contoh, dari segi tempoh bayaran, semasa artikel ini ditulis, Maybank, RHB dan BSN hadkan tempoh pembiayaan hingga 30 tahun sahaja.

CIMB pula boleh sehingga 35 tahun atau umur 65 tahun (yang mana terdahulu)

Begitu juga Hong Leong Bank, turut benarkan sehingga 35 tahun.

Dalam erti kata lain, setiap bank punyai tawaran yang berbeza untuk produk pembiayaan ASB mereka.

Bagi yang berminat nak buat pembiayaan ASB, dinasihatkan untuk menilai tawaran-tawaran yang diberikan setiap bank supaya dapat pilih yang paling sesuai dengan kemampuan kewangan dan objektif masing-masing.

Ada juga bank yang tawarkan pinjaman ASB (tidak patuh syariah), jadi hati-hati jika nak mohon.

Bagi umat Islam, wajib ambil pembiayaan ASB yang patuh syariah.

Berapa bayaran bulanan pembiayaan ASB?

Agak susah sebenarnya nak dapatkan jadual pembayaran ASB yang terkini bagi setiap bank.

Cara yang mudah, pergi ke setiap bank atau jumpa ejen-ejen untuk dapatkan jadual bayaran bulanan tersebut.

Untuk tujuan artikel ini, saya ada dapatkan anggaran bayaran bulanan pembiayaan ASB terkini melalui carian di internet.

Untuk pembiayaan ASB daripada Maybank, ini yang saya dapat daripada laman web mereka:

jadual bayaran pembiayaan asb maybank

Daripada jadual di atas, bayaran bulanan untuk jumlah pembiayaan RM 200,000 bagi tempoh 30 tahun adalah RM 927

Ini pula yang saya dapat daripada laman web LoanStreet:

jadual bayaran pembiayaan asb masih untung

Dapat dilihat tawaran daripada BSN adalah yang paling rendah, iaitu RM 893 bagi pembiayaan RM 200,000 tempoh 30 tahun.

Ini pula yang saya dapat daripada laman web Hong Leong Bank:

jadual bayaran pembiayaan asb hing leong

Untuk jumlah pembiayaan RM 200,000 selama tempoh 35 tahun dan kadar keuntungan efektif 3.60%, bayaran bulanan adalah RM 838

(Perhatian: Ini adalah hasil carian di internet sahaja, Untuk jumlah dan jadual bayaran pembiayaan ASB sebenar, sila dapatkan info daripada bank)

Senang cerita, semakin rendah kadar keuntungan bank, semakin rendah bayaran bulanan.

Semakin panjang tempoh pembiayaan, semakin rendah juga bayaran bulanan.

Pembiayaan ASB masih untung ke?

Jom kita buat kira-kira dengan bandingkan simpan secara biasa dan bayaran pembiayaan ASB.

Contoh: J buat pembiayaan ASB RM 200,000 dengan bayaran bulanan RM 850 selama tempoh 35 tahun. Setiap bulan, J bayar pembiayaan tersebut dengan duitnya dan mengekalkan dividen bonus ASB  yang diperoleh, tidak dikeluarkan. Dengan anggaran dividen bonus ASB adalah 5.5% setiap tahun, adakah pembiayaan ASB masih untung untuk J?

Jom kita kira berapa hasil akhir pembiayaan ASB RM 200,000 dengan bayaran RM 850 setiap bulan selama 35 tahun:

pembiayaan asb masih untung

Berdasarkan kepada calculator yang ditunjukkan di atas, jika J kekalkan bayaran selama 35 tahun, pada akhir tempoh tersebut, J akan mendapat RM 1.3 juta

Jom kita lihat pula jika J buat simpanan sendiri RM 850 sebulan ke dalam ASB selama 35 tahun:

pembiayaan asb rolling dividen

Berdasarkan kepada kiraan di atas, jika J tidak buat pembiayaan ASB, sebaliknya simpan sendiri di dalam ASB RM 850 sebulan, selepas tempoh 35 tahun beliau akan dapat RM 1.05 juta

Jadi, pembiayaan ASB ‘menang’ dengan beza RM RM 250,000

Bagaimana pula kalau J buat bayaran tahun pertama sahaja, kemudian bayaran tahun-tahun seterusnya menggunakan dividen bonus ASB yang diperoleh (rolling hasil dividen bonus)?

Jom kita buat kira-kira.

  • Bayaran bulanan selama 1 tahun: RM 850 x 12 bulan = RM 10,200
  • Dividen bonus ASB tahunan 5.5% x RM 200,000 = RM 11,000

Oleh kerana jumlah dividen bonus tahunan lebih tinggi daripada jumlah bayaran bulanan selama setahun, maka J tidak perlu keluarkan bayaran tambahan untuk menampung bayaran bulanan tersebut.

Dengan anggapan J keluarkan dividen bonus RM 11,000 setiap tahun daripada ASB beliau, maka pada akhir tempoh 35 tahun, J akan dapat RM 200,000 daripada pembiayaan ASB beliau.

Jika J tidak buat pembiayaan ASB tetapi menyimpan sahaja RM 850 sebulan selama 1 tahun ke dalam ASB, kemudian biarkan tanpa tambahan simpanan dan dividen ASB tidak dikeluarkan, maka selepas 35 tahun beliau akan dapat RM 66,441

Dalam erti kata lain, dengan modal RM 10,200, J akan dapat RM 200,000 selepas 35 tahun dengan pembiayaan ASB dan dapat RM 66,441 jika duit tersebut di simpan sendiri kemudian dibiarkan sahaja di dalam ASB.

Jadi, pembiayaan ASB ‘menang’ lagi.

Kesimpulannya, berdasarkan kedua-dua situasi di atas, pembiayaan ASB masih untung berbanding buat simpanan sendiri ke dalam ASB.

Tapi, bagaimana kalau J buat pembiayaan seperti di atas, tetapi surrender awal contohnya seperti selepas 5 tahun atau 6 tahun?

Jawapannya, ya pembiayaan ASB masih untung jika buat bayaran sendiri setiap bulan.

Jika buat bayaran dengan rolling hasil dividen bonus, masih untung jika dividen bonus melebihi jumlah bayaran tahunan.

Jika hasil dividen bonus kurang, kena buat kiraan semula.

Saya tak nak tunjukkan kira-kiranya, anda boleh cuba-cuba buat kiraan sendiri berdasarkan kiraan di atas dan juga bantuan financial calculator.

Cumanya, perlu tahu berapa jumlah terkumpul dalam ASB dan juga baki pembiayaan ASB semasa surrender tersebut.

Boleh juga belajar daripada artikel saya yang terdahulu: Masih Relevankah Teknik Financing ASB?

Bagaimana pula bagi yang dah ambil pembiayaan ASB dan masih bayar lagi bayaran bulanan? Pembiayaan ASB masih untung ke untuk mereka?

Untuk yang ini, saya sukar nak jawab secara umum.

Kena lihat case by case.

Sebab kena tahu berapa jumlah pembiayaan yang diambil, berapa jumlah bayaran bulanan, berapa tempoh pembiayaan, adakah bayar sendiri atau guna hasil dividen, berapa baki pembiayaan terkini dan beberapa perkara lain lagi.

Jadi, amat sukar nak jawab secara umum.

Walaubagaimanapun, menjadi tanggungjawab masing-masing untuk membuat kiraan sendiri sama ada pembiayaan diambil menguntungkan atau tidak.

Nasihat untuk mereka yang baru nak buat pembiayaan ASB

Nasihat #1 – Belajar cara pengiraan

Pembiayaan ASB adalah salah satu alat kewangan yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat kewangan individu.

Sebagai seorang yang celik kewangan, perlu ada ilmu yang mencukupi sebelum menggunakan apa-apa alatan kewangan.

Jadi, untuk pembiayaan ASB, kenalah belajar dan fahamkan tentang cara pengiraan berkaitannya, seperti cara kira kadar keuntungan, bayaran bulanan dan nilai surrender.

Di samping itu, belajar juga cara kira dividen bonus ASB, pulangan pelaburan dan yang berkaitan.

Sebagai rujukan, boleh belajar daripada Combo ASB Genius.

set combo asb genius

Nasihat #2 – Ambil ikut kemampuan

Dinasihatkan supaya buat penilaian kewangan sendiri terlebih dahulu sebelum ambil pembiayaan ASB.

Pastikan anda mampu bayar sendiri bayaran bulanan pembiayaan tersebut setiap bulan.

Ini adalah cara yang lebih baik berbanding menggunakan hasil dividen bonus untuk menampung bayaran bulanan.

Perlu diingat, kadar keuntungan dikenakan bank boleh sentiasa berubah-ubah, maka bayaran bulanan juga akan berubah.

Kadar dividen bonus ASB juga sentiasa berubah, maka hasilnya juga tidak tetap.

Jadi, lebih selamat dan kurang berisiko jika menggunakan kaedah bayar sendiri berbanding rolling hasil dividen bonus.

Nasihat #3 – Buat perbandingan tawaran bank

Sebelum buat pembiayaan ASB, dapatkan info tawaran daripada bank-bank yang berbeza.

Nilaikan tawaran mereka dari segi kadar keuntungan, bayaran bulanan dan syarat-syarat lain.

Usah mudah cair dengan pujuk rayu ejen atau pegawai bank.

Pastikan kita buat penilaian yang adil, analisa yang mendalam dan keputusan yang bijak.

Nasihat #4 – Catat perjalanan pembiayaan ASB

Setiap bulan, setiap tahun, catatkan perjalanan pembiayaan ASB anda.

Simpan juga dokumen-dokumen yang berkaitan.

Ini akan memudahkan anda untuk membuat penilaian semula kelak.

Contohnya, pada asalnya anda buat pembiayaan ASB untuk 30 tahun, tetapi selepas 10 tahun nak berhenti kerana nak fokus kepada pelaburan lain.

Maka, pada waktu ini, semua catatan dan dokumen tadi amatlah berharga untuk anda membuat penilaian sama ada pembiayaan ASB yang dibuat selama ini berbaloi atau tidak.

Itu sahaja untuk kali ini.

Semoga bermanfaat.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

Cara Buat Pengeluaran ASB Online Guna myASNB

pengeluaran asb online myasnbTahukah anda yang sekarang pelabur ASB dah boleh buat pengeluaran ASB online sahaja?

Tak perlu pergi ke kaunter cawangan ASNB.

Tak perlu pergi ke kaunter ejen ASNB seperti Pos Malaysia dan bank-bank tempatan.

Tak perlu keluar rumah, tak perlu bersesak-sesak atas jalan raya, tak perlu nak menunggu lama-lama.

Boleh buat di hujung jari sahaja.

Boleh guna komputer, laptop atau telefon pintar.

Yang penting, ada talian Internet.

Tak perlu buku pelaburan pun.

Yang paling penting, wajib ada akaun myASNB, iaitu portal online ASNB.

Kalau belum daftar, boleh rujuk di sini: Cara Daftar Portal myASNB

Berbalik semula kepada pengeluaran ASB online.

Perkhidmatan ini baharu sahaja dilancarkan oleh pihak ASNB bagi memudahkan para pelabur atau pemegang unit amanah mereka untuk menjual balik (dalam erti kata lain, membuat pengeluaran) unit-unit yang mereka pegang.

Ini bukan sahaja untuk pelabur skim ASB, bahkan juga untuk skim-skim ASNB yang lain seperti ASB2, ASB3-Didik, ASM, ASM2-Wawasan ASM3 dan lain-lain skim kecuali ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

pengeluaran asb online myasnb

Hasil jualan balik unit atau wang yang dikeluarkan akan dipindahkan dari akaun unit amanah ASNB ke akaun bank pemegang unit.

Berapa had pengeluaran ASB online?

Ini adalah apa yang dinyatakan oleh pihak ASNB:

  • Jumlah minimum untuk sekali pengeluaran ialah RM100
  • Had maksimum pengeluaran yang dibenarkan ialah RM500 sebulan, terkumpul dari mana-mana akaun unit amanah ASNB pemegang unit
  • Jumlah transaksi dibenarkan sebanyak 3 kali sebulan
  • Pemegang unit hanya dibenarkan mengeluarkan wang dari akaun sendiri sahaja

Ada sebarang caj dikenakan?

Kemudahan pengeluaran ASB online dan juga mana-mana skim ASNB adalah percuma sahaja.

Tiada sebarang kos dikenakan.

Adakah pengeluaran ASB online boleh dilakukan setiap masa?

Tidak, hanya pada waktu urus niaga sahaja seperti yang berikut:

  • Unit Amanah Harga Tetap: 7:00 pagi-6:00 petang, Isnin – Ahad*
  • Unit Amanah Harga Berubah: 7:00 pagi-4:00 petang, Isnin- hingga Ahad*

(*kecuali cuti umum)

Bagaimana cara buat pengeluaran ASB online melalui myASNB?

Begini langkah-langkahnya:

*sumber gambar daripada Facebook Amanah Saham Nasional Berhad

Langkah #1 – Log masuk ke akaun myASNB di www.myasnb.com.my

pengeluaran asb online myasnb

Langkah #2 – Klik Portfolio, kemudian klik Transaksi pada unit amanah yang hendak dikeluarkan/jual balik, dan pilih Jualan Balik

pengeluaran asb online myasnb

Langkah #3 – Pastikan maklumat bank adalah betul. Hanya akaun bank pemilik unit sahaja dibenarkan. Jika nak ubah maklumat akaun bank, boleh kemaskini di bahagian Maklumat Peribadi.

pengeluaran asb online myasnb

Langkah #4 – Baca dan fahami Penafian dan Kriteria minimum yang dipaparkan.Tandakan kotak pengisytiharan dan klik Seterusnya.

pengeluaran asb online myasnb

Langkah #5 – Masukkan amaun yang hendak dikeluarkan. Minimum adalah RM 100 dan maksimum adalah RM 500. Tandakan kotak pengisytiharan dan klik Seterusnya.

pengeluaran asb online myasnb

Langkah #6 – Semak semula butiran bank. Jika berpuas hati, klik Teruskan.

pengeluaran asb online myasnb

Langkah #7 – Klik pada Permintaan TAC. Nombor TAC akan dihantar ke nombor telefon yang anda daftarkan di Maklumat Peribadi. Masukkan nombor TAC dan klik Seterusnya.

pengeluaran asb online myasnb

Selesai, transaksi anda berjaya!

pengeluaran asb online myasnb

Bila wang akan dikreditkan ke akaun bank?

Wang akan dikreditkan dalam tempoh satu (1) hari bekerja ke akaun bank yang didaftarkan.

Jika pengkreditan pembayaran tidak berjaya, cek akan dihantar ke alamat yang didaftarkan dengan ASNB.

Jadi, pastikan anda kemaskini maklumat yang terkini di Maklumat Peribadi.

Begitulah sahaja serba sedikit berkenaan pengeluaran ASB online menerusi myASNB.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh rujuk di sini: Pengeluaran Secara Dalam Talian di myASNB

Ingat ya!

Walaupun pengeluaran ASB online mudah dilakukan, tetapi janganglah sampai buat pengeluaran setiap masa.

Nanti tak capai pula objektif nak kukuhkan kewangan dengan simpanan ASB.

Semoga bermanfaat!

p/s: Jangan lupa kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

Cara Pengiraan Dividen ASB 2017

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khasOleh kerana ada permintaan daripada pembaca blog ini untuk saya menulis tentang cara pengiraan dividen ASB 2017 termasuk bonus dan bonus khas, maka saya gagahkan juga untuk tulis berkenaan perkara ini.

Sebenarnya, dah ada penulis blog lain yang tulis tentang cara pengiraan ini.

Malah, saya rasa ketinggalan juga sebab agihan pendapatan ASB (Amanah Saham Bumiputera) telah diumumkan minggu lepas, jadi topik ini dah pun ‘sejuk’.

Boleh baca berita pengumuman tersebut di sini.

Tetapi, tidak mengapalah.

Tidak salah juga untuk saya turut masukkan topik ini dalam senarai artikel di blog ini.

Agihan pendapatan ASB 2017

Baiklah, sebelum pergi lebih lanjut, jom kita imbau balik agihan pendapatan ASB 2017 yang diumumkan baru-baru ini.

Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, agihan pendapatan ASB 2017 kali ini terdiri daripada 3 komponen, iaitu:

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

  • Dividen sebanyak 7.00 sen sunit
  • Bonus sebanyak 0.25 sen seunit
  • Bonus khas sebanyak 1.00 sen seunit terhad bagi pegangan 10,000 unit pertama sahaja

Agihan dividen dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pelabur pada 02 Januari 2018, manakala bonus khas pula pada 01 Mac 2018

Bonus khas ini pertama kali diberikan kepada pelabur, dan diberi sempena sambutan ulang tahun ke-40 Permodalan Nasional Berhad (PNB), syarikat induk kepada Amanah Saham Nasional berhad (ASNB) yang merupakan pengurus dana bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Formula & cara pengiraan dividen ASB 2017, bonus & bonus khas

Selain daripada pengumuman 3 komponen agihan pendapatan di atas, ada satu lagi perbezaan berkenaan agihan pendapatan ASB 2017 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Perbezaan tersebut adalah berkenaan formula dan cara pengiraan agihan pendapatan ASB 2017, terutama bagi pengiraan bonus.

Untuk tahun 2017, pengiraan agihan pendapatan bagi dividen, bonus dan bonus khas adalah berdasarkan Purata Baki Minimum Bulanan (BMB) 12-Bulan daripada Januari 2017 sehingga Disember 2017.

Formula pengiraan agihan pendapatan ASB 2017 adalah seperti berikut:

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Cara pengiraan agihan pendapatan ASB 2017 adalah mengikut langkah-langkah yang berikut:

  • Baki Minimum Bulanan (BMB) = Baki terendah di antara 1 hb sehingga hujung bulan bagi setiap bulan
  • BMB baki setiap bulan akan ditentukan dahulu bermula Januari 2017 sehingga Disember 2017 (12 bulan)
  • BMB bagi setiap bulan akan dicampurkan kesemuanya dan dibahagi dengan 12 bulan (jumlah bulan dalam setahun) bagi mendapatkan Purata Baki Minimum Bulanan 12-Bulan (juga dikenali sebagai Baki Minimum Tahunan)
  • Baki Minimum Tahunan yang diperoleh kemudiannya didarabkan dengan kadar dividen/bonus/bonus khas (terhad RM 10,000 pertama) untuk mendapatkan jumlah agihan pendapatan yang diperoleh

Ini bermaksud, bagi purata BMB 12-Bulan 10,000 unit pertama, maka pelabur layak menerima agihan pendapatan sebanyak 8.25 sen seunit bersamaan RM 825

Manakala bagi purata BMB 12-Bulan selepas 10,000 unit pertama, maka layak menerima agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit.

Ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, yang mana pengiraan agihan pendapatan bagi dividen adalah berdasarkan Purata Baki Minimum Bulanan 12-Bulan, manakala agihan pendapatan bonus adalah berdasarkan Purata Baki Minimum Bulanan 10-Tahun

Sebagai contoh, lihat formula pengiraan agihan pendapatan ASB 2016 yang lepas:

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Ada perbezaan, bukan?

Tak faham cara pengiraan dividen ASB 2017 termasuk bonus dan bonus khas?

Jom kita lihat contoh situasi-situasi pengiraan untuk memudahkan pemahaman.

Contoh-contoh cara pengiraan dividen ASB 2017, bonus & bonus khas

Situasi #1 – Jumlah pelaburan tetap sepanjang tahun, kurang RM 10,000

Faizal mempunyai baki pelaburan ASB sebanyak RM 7,000 pada awal tahun 2017 dan tidak melakukan apa-apa tambahan atau pengeluaran pun. Berapa agihan pendapatan ASB 2017 yang Faizal bakal dapat?

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Daripada pengiraan di atas, anggaran jumlah agihan pendapatan yang bakal diterima Faizal adalah RM 577.50

Situasi #2 – Jumlah pelaburan tetap sepanjang tahun, lebih RM 10,000

Pada awal tahun 2017, baki pelaburan ASB yang dipunyai Wani adalah RM 15,000. Wani tidak melakukan apa-apa pengeluaran dan tambahan pelaburan sepanjang tahun 2017. Berapakah anggaran agihan pendapatan ASB 2017 yang bakal diperoleh Wani?

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Anggaran jumlah agihan pendapatan ASB 2017 yang bakal diterima Wani adalah RM 1,187.50

Situasi #3 – Jumlah pelaburan tidak tetap sepanjang tahun, kurang RM 10,000

Pada awal tahun 2017, Farah mempunyai baki pelaburan ASB sebanyak RM 3,000. Farah membuat potongan gaji sebanyak RM 300 ke akaun ASB beliau setiap bulan, dan beberapa kali juga membuat pengeluaran seperti di dalam gambar. Berapa anggaran agihan pendapatan ASB yang Farah peroleh?

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Farah dianggarkan akan mendapat pulangan sebanyak RM 341.69 daripada pelaburan ASB beliau.

Situasi #4 – Jumlah pelaburan tidak tetap sepanjang tahun, lebih RM 10,000

Baki pelaburan ASB Syakir pada awal 2017 adalah sebanyak RM 13,000. Setiap bulan, beliau membuat tambahan pelaburan sebanyak RM 300 dan juga beberapa kali membuat pengeluaran. Berapa anggaran agihan pendapatan ASB yang akan diperoleh Syakir?

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Dianggarkan Syakir akan memperoleh agihan pendapatan ASB 2017 sebanyak RM 1,107.75

Penutup

Itulah kaedah dan cara pengiraan dividen ASB 2017 termasuk bonus dan bonus khas sepertimana yang diumumkan sebelum ini.

Sebenarnya, tak perlu pun kita bersusah payah nak membuat semua pengiraan di atas.

Nanti, pihak ASNB akan kirakan untuk kita dan mengagihkan pendapatan tersebut ke akaun ASB masing-masing.

Hanya perlu semak sahaja.

Bagaimana nak semak?

Boleh pergi ke mana-mana cawangan ASNB untuk dapatkan penyata baki pelaburan.

Lebih mudah lagi, gunakan sahaja portal MyASNB untuk semak baki dan penyata ASB secara online.

Itu sahaja untuk kali ini, semoga bermanfaat untuk semua.

p/s: Jangan lupa untuk KONGSIKAN artikel ini, ya! Terima kasih.

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

..