Simpanan

Cara Daftar iSURI KWSP Untuk Suri Rumah

daftar isuri kwspBermula 15 Ogos 2018, para suri rumah yang berkelayakan berpeluang untuk daftar skim iSURI KWSP yang disediakan kerajaan.

iSURI merupakan singkatan kepada skim Program Sukarela Insentif Suri yang mana diwujudkan bagi memenuhi manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang dinyatakan dahulu.

Jika masih ingat, salah satu daripada 10 janji utama yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang ingin dilaksanakan dalam tempoh 100 hari adalah menyediakan caruman KWSP untuk para suri rumah.

Janji ini adalah untuk menjaga kebajikan para wanita khususnya suri rumah terutama dari segi menyediakan simpanan untuk kegunaan hari tua nanti.

Pada peringkat awal pelaksanaan janji ini, pihak kerajaan bercadang untuk memindahkan 2% daripada sumbangan caruman KWSP para suami kepada para isteri.

Namun, cadangan ini agak sukar dilaksanakan dalam masa terdekat kerana memerlukan beberapa pindaan akta.

Walaubagaimanapun, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan bahawa janji ini akan tetap dilaksanakan dan melibatkan 3 fasa, iaitu:

Fasa 1 – Bermula 15 Ogos 2018

Bagi fasa 1 ini, kerajaan akan memperuntukkan caruman bulanan RM 40 kepada suri rumah yang layak yang membuat caruman minimum RM 5 sebulan ke dalam akaun KWSP masing-masing.

Maksudnya, bagi tahun 2018 bermula Ogos hingga Disember, kerajaan akan memperuntukkan caruman RM 200 untuk setiap suri rumah yang layak.

Bagi tahun-tahun seterusnya, jumlah caruman daripada pihak kerajaan adalah sehingga RM 480 setahun.

Fasa 2 – Sasaran pelaksanaan pada 2019

Dalam fasa 2, jumlah caruman bulanan oleh kerajaan akan ditingkatkan kepada RM 50 sebulan, dengan RM 40 dimasukkan ke dalam akaun KWSP manakala RM 10 lagi merupakan sumbangan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Dengan sumbangan tersebut, suri rumah akan dilindungi di bawah skim PERKESO dan mendapat manfaat-manfaat skim tersebut seperti manfaat kematian, hilang upaya dan perubatan.

Fasa 3 – Sasaran pelaksanaan pada 2020

Bagi fasa terakhir ini, beberapa pindaan akta akan dilakukan bagi membolehkan 2% daripada sumbangan KWSP suami dicarumkan ke akaun isteri, berserta tambahan caruman daripada pihak kerajaan.

Untuk bacaan lanjut, boleh baca laporan berita di sini atau di sini.

daftar isuri kwsp

Siapa golongan yang layak menyertai skim iSURI KWSP?

Untuk peringkat permulaan, skim ini hanya layak disertai oleh golongan yang memenuhi kriteria-kriteria yang berikut:

#1 – Golongan suri rumah yang berdaftar dalam sistem e-Kasih setakat 30 Jun 2018, termasuk isteri kepada ketua isi rumah, atau ketua isi rumah wanita yang berstatus balu, janda, ibu tunggal atau bujang

#2 – Warganegara Malaysia sahaja

#3 – Belum mencapai umur 60 tahun

#4 – Mempunyai akaun KWSP dan membuat caruman sekurang-kurangnya RM 5 setiap bulan atau RM 60 setahun

Bagaimana cara daftar skim iSURI KWSP?

Bagi golongan suri rumah yang berminat untuk daftar skim iSURI KWSP, boleh ikut langkah-langkah yang berikut:

#1 – Semak status di portal e-Kasih

Untuk semak sama ada anda termasuk dalam sistem e-Kasih atau tidak, boleh semak di pautan yang berikut: Semakan Daftar eKasih

semak status ekasih isuri kwsp

Hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan/MyKad, kemudian tekan ‘Klik Untuk Cari’

Ini adalah contoh bagi mereka yang berada di dalam daftar e-Kasih.

semak status ekasih isuri kwsp

Bagi yang tidak tergolong dalam daftar e-Kasih, paparan sebegini akan muncul:

semak status ekasih isuri kwsp

#2 – Daftar skim i-SURI KWSP di mana-mana kaunter KWSP

Selepas disahkan status dalam sistem e-Kasih, maka boleh berkunjung ke mana-mana kaunter KWSP untuk daftar skim i-SURI.

Hanya perlu bawa kad pengenalan/MyKad dan maklumkan pegawai bertugas tentang hasrat untuk daftar skim i-SURI.

Pegawai KWSP akan membantu untuk pendaftaran skim tersebut.

#3 – Buat caruman minimum RM 5 sebulan

Seperti yang dinyatakan di atas, caruman sukarela sebanyak minimum RM 5 sebulan diperlukan untuk layak daftar skim i-SURI KWSP.

Ini adalah sebagai galakan untuk penerima skim ini supaya mereka turut menabung untuk masa depan mereka, di samping menerima tabungan daripada caruman pihak kerajaan,

Lagipun, jumlah caruman RM 5 sebulan adalah kecil dan tidak membebankan.

Caruman bulanan boleh dilakukan melalui saluran-saluran yang berikut:

  • tunai atau cek di kaunter peresitan KWSP
  • tunai atau cek di kaunter panel bank KWSP (Maybank, Public Bank, BSN atau RHB)
  • pindahan wang melalui perbankan Internet oleh bank yang dilantik (Maybank atau Public Bank)

Apakah manfaat daftar skim iSURI KWSP?

Sebagai peserta skim iSURI KWSP, peserta juga akan turut menikmati manfaat sepertimana pencarum KWSP yang lain seperti:

  • bayaran dividen tahunan
  • bantuan hilang upaya dan kematian
  • pengeluaran simpanan
  • pengecualian cukai

Lagipun, dengan mendapat sumbangan caruman daripada kerajaan berjumlah RM 40 sebulan bersamaan RM 480 setahun, itu pun sudah dikira baik.

Bayangkan, bagi seorang wanita yang layak berumur 30 tahun, membuat caruman minima RM 5 sebulan dan menerima caruman kerajaan RM 40 sebulan, selepas 30 tahun pada usia 60 tahun, anggaran yang bakal diperoleh adalah sekitar RM 44,000 (anggaran dividen KWSP 6% setahun)

Bagi yang berumur 40 tahun pula, dengan jumlah caruman yang sama, anggaran yang bakal diperoleh pada usia 60 tahun adalah RM 20,000

Sekurang-kurangnya, pada usia tua, peserta iSURI KWSP mempunyai simpanan sendiri daripada langsung tiada simpanan.

Kalau ada rezeki lebih, boleh tambah lagi jumlah caruman sendiri supaya jumlah simpanan akhir lebih besar.

Jadi, bagi wanita yang memenuhi syarat-syarat yang melayakkan untuk sertai skim iSURI KWSP ini, secara peribadi, saya galakkan untuk rebut peluang ini.

Untuk simpanan hari tua 🙂

daftar isuri kwsp

p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan, ya. Terima kasih.

..

7 Tips Simpan Wang Daripada Syafieqah A’lya

tips simpan wangMusim pilihan raya dah habis, kehidupan perlu diteruskan, jadi kali ini saya nak kongsikan tips simpan wang daripada Cik Syafieqah Alya.

Saya pernah kongsikan tentang beliau sebelum ini di sini; Inspirasi Kisah Kejayaan Syafieqah Alya

Untuk perkongsian kali ini, kalau nak lihat posting asal, boleh baca di sini: https://www.facebook.com/syafieqah.cyka/posts/1668364416577731

Jom kita ikuti perkongsian daripada Cik Syafieah A’lya.

7 Tips Simpan Wang

Nah, seperti yang dijanjikan, simple steps untuk korang bermula untuk menyimpan wang. Save untuk pembacaan korang.

Jika tidak penting untuk korang, ianya sangat berguna untuk adik beradik, saudara dan kawan-kawan kita yang baca dan dapat manfaat dari perkongsian ini.

Semoga bermanfaat.

tips simpan wang

 

Tips simpan wang #1 – Pendapatan

Langkah awal untuk menyimpan pastinya perlu ada sumber kewangan. Kalau tak, macam mana nak simpan, kan?

Kat sini ada yang bermula dengan gaji yang rendah, namun usahakan untuk dapat extra income dengan lakukan:

  • overtime (kerja lebih masa)
  • elaun
  • commission
  • bonus*
  • kenaikan gaji @ performance yang baik di tempat kerja*

Jika pendapatan yang diperoleh masih tidak cukup untuk menampung kehidupan harian dan kehendak kita, maka perlu mula cari alternatif lain seperti:

  • bisnes kecil-kecilan
  • bisnes online
  • dropship
  • agent
  • grab car
  • REN (perunding hartanah)
  • sublet

dan banyak lagi pekerjaan yang boleh dilakukan. Cuma tunggu korang rajin atau tak je nak rebut peluang yang datang.

Janganlah tanya pekerjaan apa yang sesuai. Setiap orang punya kelebihan dan minat masing-masing.

Maka, cubalah dulu. Dah cuba, baru tahu pekerjaan tersebut sesuai atau tidak.

Sedikit pesanan saya: untuk pendapatan kedua itu, buatlah secara proper. Maksudnya, bukan sekadar ambil duit cash sahaja.

Jika korang buat bisnes, maka daftarlah perniagaan korang dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan bukalah akaun semasa di bank. Dah maju sikit, declare tax, bayar gaji pekerja, transports, kos overhead yang lain, KWSP dan SOCSO.

Jika korang hanya dapat commission saja seperti jadi agen unit umanah atau insurans/takaful, maka berdaftarlah secara sah dan dapatkan license sebelum berniaga. Commission masuk dalam akaun dan disertakan commission statement setiap bulan daripada company yang kita daftar.

Barulah boleh jadikan pendapatan kedua ini sebagai pendapatan yang sah dan membantu kita untuk mohon pinjaman bank.

Tips simpan wang #2 – Simpanan kecemasan

Ramai orang akan kantoi part ini sebab kurangnya kesedaran, komitmen tinggi dan kos sara hidup kian tinggi.

Namun, saya sering kali fikir tentang part ini dan tanya pada diri saya semula:

  • Sampai bila kita boleh beri alasan untuk tiada simpanan?
  • Susah kita nanti, siapa akan bantu?
  • Kita nak beli rumah, tapi simpanan kita masih belum capai 5 angka. Siapa akan bantu?
  • Kita mengharapkan adik beradik, mak ayah dan kawan-kawan untuk bantu kita bila kita susah, tapi sampai bila kita nak bergantung harap pada simpanan orang lain?
  • Kita mengharapkan suami/pasangan kita yang buatkan simpanan untuk keluarga. Cuba korang buat kira-kira, cukupkah sebenarnya?

Saya sendiri takut mendengarnya apabila umur dah cecah 30 tahun, simpanan 5 angka masih belum ada dalam akaun mereka.

Namun, perlahan-lahanlah untuk perbaiki kewangan kita. Kurangkan komitmen yang tidak perlu, berjimat cermat dan cipta hobi yang datangkan income.

Panjang pulak bebel, hihi.

Nah, ini cara mudah untuk korang lakukan simpanan.

Asingkan 10% ke 30% daripada gaji kita ke dalam simpanan. Tiap kali dapat gaji, tolak komitmen bulanan, tolak simpanan dan last sekali barulah berbelanja.

Cara mudah untuk kira:

  • Gaji RM2000 X 10% = RM200
  • Gaji RM3000 X 10% = RM300

Dan begitulah kiraan seterusnya.

Jika simpanan ini korang kata sukar, bermakna kewangan korang ‘tidak sihat’. Maksudnya ada komitmen atau hutang atau belanja yang korang buat menyebabkan simpanan ini tidak berjaya dilakukan.

Kat mana nak simpan ini?

Disarankan simpan seperti di bawah dengan kadar pulangan dividen yang latest:

  • ASB = 8.25%
  • ASB 2 = 6.75%
  • TH 4.5% + 1.75% = 6.25%
  • ASN, ASD, ASW = 5 – 6%
  • KWSP = Conventional 6.9%, Islamic 6.4%
  • Fixed Deposit = 3 – 4%
  • Bank  = kurang dari 1%
  • SSP Bank Simpanan Nasional

Jadi, korang pilihlah nak simpan kat mana selepas tengok kadar dividen ini.

Tips simpan wang #3 – Perbelanjaan

Biasanya, bahagian ini akan jadi banyak sampailah duit gaji habis licin, kadang sampai jadi negatif. Jadi, untuk kawal perbelanjaan kita, mulalah rekod ke mana hilang duit kita ini.

Saat ini, korang mula sedar simpanan banyak dihabiskan kat tempat yang tak perlu pun. Jadi, ubah habit kita dan mula cari hobi yang menjana pendapatan kepada kita.

Buat korang yang masih bujang, waktu ini komitmen korang tak banyak. Maka, simpanlah duit sebanyak yang boleh.

Waktu bujang ini, korang boleh plan untuk simpanan kahwin, beli rumah pertama, umrah, bawak keluarga korang bercuti sama dan banyak plan lagi yang boleh korang buat.

Waktu ini apabila korang buat kira-kira, korang akan sedar sendiri simpanan tu sangat penting untuk masa depan korang.

Buat mereka yang berkeluarga pula, jangan putus asa. Duduk discuss dengan suami/isteri untuk lakukan simpanan bersama.

Kalau pasangan korang jenis yang boros dan tak boleh dibawak bincang, maka korang simpan untuk diri korang senyap-senyap dan plan untuk masa depan korang dan anak-anak.

Tips simpan wang #4 – Perlindungan

tips simpan wangPerlindungan ini ramai orang tak ada sebab bergantung dengan company punya saja.

Sedar tak korang, diandaikan suatu hari nanti korang jatuh sakit, korang akan selalu ambil MC dan cuti tahunan.

Korang rasa boss korang suka tak? Boss akan singkirkan korang secara perlahan-lahan. Waktu itu, apabila kena berhenti kerja dan korang tidak dicover lagi dengan takaful/insurans, korang dah terlambat untuk ambil takaful/insurans dah.

Maka ambillah tahu bahawa:

  • Medical card – cover untuk kos rawatan di hospital
  • Life takaful – cover kematian/cacat kekal

Kedua-duanya penting semasa hayat kita dan selepas kita tak ada lagi di dunia.

Pilihlah company takaful/insurans yang banyak di luar sana, sekurang-kurangnya korang dah lindungi diri korang andai ditimpa musibah.

Apabila kita sakit, kita sanggup habiskan semua simpanan yang ada. Tetapi jangan lupa, kos ubat, kos dapatkan rawatan di hospital semuanya memerlukan duit untuk belanja.

Pampasan kematian/cacat kekal boleh dihibahkan pada waris kita untuk meneruskan hidup apabila kita sudah tiada. Kita nak ke lihat keluarga kita hidup susah tanpa kita lagi?

Sukar untuk mulakan hidup apabila korang adalah sumber utama pendapatan keluarga telah pergi dan ada anak-anak yang masih kecil untuk teruskan hidup mereka.

Jangan pandang sebelah mata, sakit datang tanpa kita duga, musibah datang tanpa kita bersedia.

Saya sudah, anda bila?

Tips simpan wang #5 – Pelaburan

Bagi korang yang masih baru berjinak-jinak dengan pelaburan, kena pandai jaga emosi.

Kenapa dengan emosi? Sebab waktu ini akan rasa tamak untuk dapat return banyak, maka waktu ini biasanya korang sanggup spend banyak.

Tapi, chill dulu.

Setiap pelaburan pasti ada risiko. Maka, persiapkan diri dengan exit plan jika mengalami kerugian dan tahu macam mana nak overcome balik.

Antara pelaburan yang boleh dilakukan adalah:

1. Unit trust

Ada 3 cara untuk mula pelaburan unit trust antaranya melalui KWSP Akaun 1, regular saving minimum RM 200 sebulan, dan cash lump sum minimum RM 500 ke RM 1,000.

Pelaburan unit trust tidak sama seperti ASB; setiap 1 unit harganya berubah setiap hari. Pelaburan ini adalah untuk jangka masa sederhana dan panjang iaitu 5 tahun dan ke atas.

2. ASB financing atau ASB loan

Di sini pelaburannya untuk mencipta karakter menyimpan. Jika hari ini kita kata sukar menyimpan even RM 200 sebulan, maka fikir-fikirkan bagaimana kita nak bayar untuk loan rumah kita nanti?

Melalui pelaburan ini, kita boleh kumpulkan deposit rumah kita, travel, umrah bersama keluarga, duit kahwin dan banyak lagi.

Jika hari ini korang mampu menyimpan amount seperti di bawah dengan menggunakan ASB financing, dengan average kadar dividen 7% setahun, compounding dividen @ tidak usik dividen untuk tempoh 3 tahun, profit rate 5%, anggaran hasil yang diterima adalah:

  • RM268 @ 50K = RM13,581
  • RM536 @ 100k = RM27,161
  • RM805 @ 150k =RM40,741
  • RM1073 @ 200k = RM54,321

Jadi, pilihan di tangan korang sama ada untuk bermula sekarang menyimpan, atau korang ada cara yang lebih baik? Maka, bermula lah dari sekarang.

3. Hartanah

Terdapat 3 jenis hartanah iaitu under construction, lelong dan subsale. Jadi, korang pilih nak rumah yang jenis macam mana.

Jika sekarang masih takut untuk membeli rumah, maka carilah ilmu. Terdapat banyak seminar hartanah di luar sana yang korang boleh datang dan belajar. Nak dengan tak nak sahaja.

4. Terdapat juga pelaburan emas, saham dan lain-lain pelaburan yang korang boleh laburkan.

Tips simpan wang #6 – Simpanan pencen

Kebanyakan mereka yang kerja sendiri tak ada simpanan untuk pencen. Banyak duit yang masuk dan banyak juga yang keluar. Jadi, asingkan simpanan korang siap-siap ke KWSP dengan buat contribution untuk diri sendiri.

Terbaru, dividen yang diumumkan untuk conventional adalah 6.9% dan Islamic pula 6.5%. Simpanan yang kita contributei tu akan terbahagi kepada dua iaitu akaun 1 70% dan akaun 2 30%.

Pejam mata terus tolak duit ini untuk simpanan persaraan kita. Ingat, tak ada orang yang akan simpankan simpanan pencen kita. Maka, fikir-fikirkan untuk menyimpan.

Selain daripada KWSP, kita juga boleh menyimpan ke dalam akaun PRS @ Private Retirement Scheme. Sama konsep dengan KWSP, iaitu ada akaun 1 dan akaun 2. Simpanan di sini, umur 55 tahun baru boleh bawa keluar untuk akaun 1, manakal bagi akaun 2 boleh bawa keluar selepas setahun pelaburan tetapi dikenakan penalty.

Akaun ini menggalakkan kita untuk menyimpan dan menambah simpanan persaraan.

Tips simpan wang #7 – Keberkatan rezeki

1. Zakat
Jangan lupakan zakat setiap bulan. Senang sahaja, transfer ke portal zakat dan buat transfer setiap bulan. Kiraan zakat pendapatan, secara mudahnya 2.5% daripada pendapatan kasar masuk ke zakat.

2. Duit belanja mak ayah
Setiap bulan, jangan lupakan mak ayah kita. Transfer ke akaun mereka. Walau mereka tak minta, tapi sebenarnya mereka happy sangat apabila kita dapat bantu kurangkan bebanan mereka. Jangan jadikan ini satu beban, tapi jadikan sebagai tanggungjawab.

3. Selain dua perkara di atas, kita boleh lakukan sedekah, bantu orang yang susah, dan macam-macam perkara yang membawa kepada kebaikan. Inshaa Allah.

Itu sahaja. Semoga bermanfaat!

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

tips simpan wang

..

 

ADAM50 Amanah Dana Anak Malaysia 2050

adam50Semasa pembentangan Bajet 2018 yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, ada mengumumkan tentang Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau lebih ringkas disebut sebagai ADAM50.

Mungkin ada yang tertanya-tanya atau kurang jelas tentang dana ini.

Jangan bimbang, perkongsian kali ini akan menyediakan serba-sedikit fakta tentang insentif ini.

Maklumat umum ADAM50

Secara ringkasnya, ADAM50 adalah insentif yang diberikan kepada semua bayi warganegara Malaysia yang lahir bermula 01 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Insentif ini adalah dalam bentuk dana berjumlah RM 200 yang diberi secara percuma sebagai dana permulaan tabungan sama ada di dalam dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau dana Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.

Objektif utama insentif ini adalah untuk menggalakkan ibubapa memulakan dana tabungan untuk anak-anak mereka.

Insentif yang diberikan ini, berserta agihan pendapatan dividen atau bonus ke atasnya, tidak boleh dikeluarkan atau ditebus sehingga tempoh matang bayi berumur 18 tahun.

Jadi, memang sesuailah sebagai tabungan untuk anak-anak.

Kriteria kelayakan ADAM50

ADAM50 hanya layak diberikan kepada yang memenuhi kriteria-kriteria yang berikut:

  • Bayi lahir pada 01 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022
  • Bayi merupakan warganegara Malaysia
  • Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas
  • Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar tidak diisytiharkan muflis semasa pendaftaran ADAM50 dibuat

adam50

Cara mohon ADAM50

Bagi yang memenuhi kriteria-kriteria di atas, maka boleh mulakan langkah untuk mohon ADAM50 bagi anak yang baru dilahirkan.

Tempoh permohonan adalah bermula daripada kelahiran abayi sehinggalah setahun daripada tarikh kelahiran bayi tersebut.

Sebagai contoh, jika bayi lahir pada 20 Januari 2018, maka tempoh kelayakan untuk mohon ADAM50 bagi bayi tersebut adalah sehingga 20 Januari 2019.

Selepas tempoh setahun tersebut, maka kelayakan untuk mendapatkan insentif percuma ADAM50 adalah terbatal.

Untuk mohon ADAM50, mudah sahaja.

Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar berwarganegara Malaysia hanya perlu datang ke mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara seperti Maybank, CIMB, Pos Malaysia, RHB, AmBank, Affin Bank dan Alliance Bank dan membawa dokumen-dokumen berkaitan.

Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah:

  • Dokumen pengenalan diri (MyKad) ibu atau bapa atau penjaga berdaftar
  • Dokumen pengenalan diri (MyKid) bayi atau Sijil Kelahiran (sekiranya MyKid masih belum diterima)
  • Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi

Isi borang pendaftaran dan serahkan dokumen-dokumen tersebut.

Jika semuanya memenuhi syarat, maka permohonan akan diluluskan.

Akaun untuk bayi akan diwujudkan dengan jumlah permulaan sebanyak RM 200 yang diberikan percuma.

 

Pelaburan tambahan

Selepas akaun tersebut diwujudkan, maka ibu atau bapa atau penjaga berdaftar boleh membuat pelaburan tambahan untuk bayi dari semasa ke semasa.

Contohnya, boleh buat pelaburan tambahan setiap bulan yang ditolak daripada gaji.

Setiap kali bayi mendapat hadiah wang seperti duit raya, bolehlah juga dimasukkan ke dalam akaun ini.

Dengan duit yang dimasukkan ini, berserta agihan pendapatan yang diberikan dalam bentuk dividen dan bonus, jumlah yang semakin bertambah ini boleh dijadikan dana untuk masa depan si anak, sama ada sebagai dana pendidikan atau modal memulakan bisnes kecil-kecilan nanti.

Bukankah ini sesuatu yang baik?

Jadi, kalau anda ada anak atau bayi di bawah jagaan yang dilahirkan pada tempoh 5 tahun bermula tahun 2018 ini, jangan lupa untuk dapatkan insentif ini ya.

Untuk lebih banyak maklumat berkaitan ADAM50, boleh rujuk di laman web ANSB dengan klik di sini.

Sampai di sini sahaja perkongsian ringkas kali ini.

Jumpa lagi!

p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN dengan yang lain, ya. Terima kasih.

..

adam50