Semasa pembentangan Bajet 2018 yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, ada mengumumkan tentang Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau lebih ringkas disebut sebagai ADAM50.
Mungkin ada yang tertanya-tanya atau kurang jelas tentang dana ini.
Jangan bimbang, perkongsian kali ini akan menyediakan serba-sedikit fakta tentang insentif ini.
Maklumat umum ADAM50
Secara ringkasnya, ADAM50 adalah insentif yang diberikan kepada semua bayi warganegara Malaysia yang lahir bermula 01 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.
Insentif ini adalah dalam bentuk dana berjumlah RM 200 yang diberi secara percuma sebagai dana permulaan tabungan sama ada di dalam dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau dana Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.
Objektif utama insentif ini adalah untuk menggalakkan ibubapa memulakan dana tabungan untuk anak-anak mereka.
Insentif yang diberikan ini, berserta agihan pendapatan dividen atau bonus ke atasnya, tidak boleh dikeluarkan atau ditebus sehingga tempoh matang bayi berumur 18 tahun.
Jadi, memang sesuailah sebagai tabungan untuk anak-anak.
Kriteria kelayakan ADAM50
ADAM50 hanya layak diberikan kepada yang memenuhi kriteria-kriteria yang berikut:
- Bayi lahir pada 01 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022
- Bayi merupakan warganegara Malaysia
- Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas
- Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar tidak diisytiharkan muflis semasa pendaftaran ADAM50 dibuat
Cara mohon ADAM50
Bagi yang memenuhi kriteria-kriteria di atas, maka boleh mulakan langkah untuk mohon ADAM50 bagi anak yang baru dilahirkan.
Tempoh permohonan adalah bermula daripada kelahiran abayi sehinggalah setahun daripada tarikh kelahiran bayi tersebut.
Sebagai contoh, jika bayi lahir pada 20 Januari 2018, maka tempoh kelayakan untuk mohon ADAM50 bagi bayi tersebut adalah sehingga 20 Januari 2019.
Selepas tempoh setahun tersebut, maka kelayakan untuk mendapatkan insentif percuma ADAM50 adalah terbatal.
Untuk mohon ADAM50, mudah sahaja.
Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar berwarganegara Malaysia hanya perlu datang ke mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara seperti Maybank, CIMB, Pos Malaysia, RHB, AmBank, Affin Bank dan Alliance Bank dan membawa dokumen-dokumen berkaitan.
Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah:
- Dokumen pengenalan diri (MyKad) ibu atau bapa atau penjaga berdaftar
- Dokumen pengenalan diri (MyKid) bayi atau Sijil Kelahiran (sekiranya MyKid masih belum diterima)
- Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi
Isi borang pendaftaran dan serahkan dokumen-dokumen tersebut.
Jika semuanya memenuhi syarat, maka permohonan akan diluluskan.
Akaun untuk bayi akan diwujudkan dengan jumlah permulaan sebanyak RM 200 yang diberikan percuma.
Pelaburan tambahan
Selepas akaun tersebut diwujudkan, maka ibu atau bapa atau penjaga berdaftar boleh membuat pelaburan tambahan untuk bayi dari semasa ke semasa.
Contohnya, boleh buat pelaburan tambahan setiap bulan yang ditolak daripada gaji.
Setiap kali bayi mendapat hadiah wang seperti duit raya, bolehlah juga dimasukkan ke dalam akaun ini.
Dengan duit yang dimasukkan ini, berserta agihan pendapatan yang diberikan dalam bentuk dividen dan bonus, jumlah yang semakin bertambah ini boleh dijadikan dana untuk masa depan si anak, sama ada sebagai dana pendidikan atau modal memulakan bisnes kecil-kecilan nanti.
Bukankah ini sesuatu yang baik?
Jadi, kalau anda ada anak atau bayi di bawah jagaan yang dilahirkan pada tempoh 5 tahun bermula tahun 2018 ini, jangan lupa untuk dapatkan insentif ini ya.
Untuk lebih banyak maklumat berkaitan ADAM50, boleh rujuk di laman web ANSB dengan klik di sini.
Sampai di sini sahaja perkongsian ringkas kali ini.
Jumpa lagi!
p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN dengan yang lain, ya. Terima kasih.
..