Penyucian

4 Jenis Riba & Contoh Situasi Yang Mesti Dijauhi

jenis riba contoh situasi ribaTahukah anda, sebagai orang Islam, kita kena jauhi beberapa jenis riba supaya tidak terjerumus ke lembah dosa.

Oleh itu, amat penting untuk tahu berkenaan jenis riba yang ada supaya tidak terlibat dengannya, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Apabila bercerita berkenaan riba, jangan pula keliru antara rasuah dan riba, dan juga antara jual-beli dan riba.

Ramai mungkin dah tahu tentang rasuah, sebab selalu sahaja keluar berita tentang kes-kes rasuah yang banyak berlaku.

Tetapi, mungkin ada yang kurang tahu berkenaan riba.

Yang penting yang perlu tahu, rasuah dan riba adalah haram, manakala jual-beli adalah halal.

Terlibat dengan riba adalah satu dosa besar, malah dikatakan seolah-olah berperang dengan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah dalam ayat 278-279, “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.”

Pada masa sekarang, banyak produk-produk kewangan yang mempunyai elemen riba terdapat di pasaran, contohnya seperti insurans konvensional, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan kad kredit.

Malah, tanpa kita sedar, perbuatan kita sendiri pun boleh menjerumuskan diri ke dalam lembah riba jika tidak berjaga-jaga.

Jadi, untuk perkongsian kali ini, saya nak berkongsi serba sedikit berkenaan riba dan jenis riba yang ada, supaya kita semua dapat berhati-hati agar tidak terlibat dengan amalan haram ini.

Perkongsian kali ini saya petik daripada buku Riba & Isu Kewangan Semasa tulisan Ustaz Dr. Zaharuddin Abd. Rahman (UZAR) terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Buku ini diterbitkan pada tahun 2010, namun isi kandungannya masih relevan untuk kita pelajari.

Maklumat lanjut tentang buku ini boleh dibaca di sini atau di sini.

Jom kita belajar tentang riba dan jenis riba yang mesti dijauhi.

jenis riba contoh situasi riba

Definisi riba

Sebelum kita pergi lebih lanjut tentang jenis riba, jom kita fahami dulu apakah maksud riba.

Dari segi bahasanya, riba bermaksud pertambahan dan peningkatan.

Manakala dari segi istilahnya pula, riba bermaksud sebarang tambahan ke atas hutang akibat tempoh dan tambahan dalam urusan melibatkan item-item tertentu (ribawi).

Item ribawi pula bermaksud item wang seperti matawang, emas dan perak dan juga makanan asasi seperti tamar, beras, garam, gandum dan barli.

Daripada definisi ini, dapat difahami bahawa riba boleh terhasil daripada hutang dan juga jual-beli item ribawi.

Bagaimana pula tu?

Kalau nak faham lagi, jom teruskan pembacaan.

Jenis riba & contoh situasi

Daripada definisi riba yang diberikan di atas, riba boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu riba al-Duyun dan riba al-Buyu’

Riba al-Duyun melibatkan urusan pinjaman dan hutang, manakala riba al-Buyu’ melibatkan urusan jual-beli item ribawi.

Riba al-Duyun melibatkan kadar lebihan faedah yang terhasil disebabkan tempoh, sama ada tempoh pemberian pinjaman mata wang atau manfaat sesuatu aset.

Dalam erti kata lain, riba al-Duyun melibatkan sebarang jenis pinjaman yang membawa manfaat tambahan kepada pemberi pinjam, dan memenuhi tiga syarat yang berikut:

  • terhad kepada manfaat material, bukan spirutual seperti pahala
  • manfaat tambahan diterima pemberi pinjam, bukan peminjam
  • manfaat disyaratkan atau dipersetujui awal

Untuk memudahkan pemahaman, riba al-Duyun dibahagikan kepada dua iaitu riba al-Qardh dan riba Jahiliah.

Riba al-Buyu’ pula melibatkan urusan berkaitan item ribawi; sama ada berlaku ketidaksamaan pada berat atau kuantiti semasa pertukaran, atau pertukarannya dilakukan secara bertangguh.

Riba al-Buyu’ juga terbahagi kepada dua iaitu riba al-Nasak/al-Nasiah dan riba al-Fadhl.

Ringkasan pemudahan bagi jenis riba boleh dilihat di dalam gambar di bawah:

jenis riba contoh situasi riba

Mari kita kenali dengan lebih jelas lagi setiap jenis riba ini berserta contoh situasi bagi setiap jenis tersebut.

Jenis riba al-Duyun #1 – Riba al-Qardh

Riba al-Qardh berlaku apabila sebarang kadar atau manfaat tambahan yang lebih daripada pinjaman pokok dikenakan ke atas pinjaman tersebut dan dipersetujui semasa pinjaman dibuat, sama ada dikenakan oleh pemberi pinjam atau ditawarkan sendiri oleh peminjam.

Dalam erti kata lain, riba al-Qardh melibatkan sebarang pinjaman yang perlu dibayar melebihi pinjaman pokok.

Riba jenis ini adalah yang paling popular dan banyak berlaku di kalangan masyarakat sekarang.

Riba ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan contoh situasi bagi riba ini adalah seperti yang berikut:

  • Contoh #1: Si A meminjamkan duit RM 1,000 kepada si B, dan meletakkan syarat si B mesti memulangkan balik sebanyak RM 1,200 nanti. Lebihan RM 200 tersebut adalah riba.
  • Contoh #2: Si B nak meminjam duit si A sebanyak RM 1,000. Untuk memastikan si A memberi pinjam duit tersebut, si B menawarkan akan memulangkan sebanyak RM 1,200 nanti. Walaupun ditawarkan sendiri oleh si peminjam, riba tetap berlaku kerana berlaku persetujuan sebelum pinjaman dibuat. Jika si B sememangnya berhasrat nak membalas budi si A dengan memberi duit lebih, janganlah diberitahu atau ditawarkan sebelum pinjaman. Sebaliknya, berikan sahaja sebagai hadiah semasa membayar pinjaman itu semula tanpa memberitahu apa-apa kepada si A.
  • Contoh #3: Si C meminjamkan duit kepada si D sebanyak RM 1,000 dan menetapkan syarat yang si D mesti memulangkan semula duit dengan jumlah yang sama dan mesti menyiapkan tugasan-tugasan si C selama seminggu. Walaupun tiada tambahan duit, namun manfaat tambahan (menyiapkan tugasan selama seminggu) juga adalah riba.
  • Contoh #4: Si E meminjamkan keretanya kepada si F, dan menyatakan bahawa si F mesti memulangkan kereta tersebut dengan minyak penuh, walhal minyak kereta tersebut adalah tidak penuh semasa diberi pinjam.
  • Contoh #5: Si G berkata kepada si H,”Lusa hari jadi kau, jadi aku akan belikan kau hadiah berharga RM 100, tetapi dengan syarat minggu depan semasa hari jadi aku, kau belikan hadiah berharga RM 150 kepada aku”. Walaupun niat asalnya adalah hadiah, tetapi oleh kerana wujud syarat meminta manfaat tambahan, maka riba berlaku.
  • Contoh #6: Pihak pengantin perempuan bersetuju untuk memberikan 9 dulang hantaran dengan nilai RM 10,000 manakala pihak lelaki bersetuju membalas 7 dulang hantaran bernilai RM 13,000. Dalam situasi ini, riba berlaku kerana persetujuan berlaku untuk manfaat dibalas manfaat yang lebih. Tidak salah untuk menetapkan bilangan dulang sahaja, tetapi apabila menetapkan nilai yang berbeza seperti ini, riba boleh berlaku.

Nak elakkan riba al-Qardh?

Pastikan sentiasa berhati-hati apabila memberi pinjam atau meminjam duit atau barang dengan pihak lain.

Kalau nak meminjam dengan bank atau institusi kewangan pula, pastikan pilih pembiayaan Islamik bukan pinjaman konvensional kerana pembiayaan Islamik menggunakan kontrak jual-beli, sewaan atau sebagainya yang berbeza dengan kontrak pinjaman konvensional.

Jenis riba al-Duyun #2 -Riba Jahiliah

Riba Jahiliah berlaku apabila sebarang manfaat atau kadar tambahan melebihi pinjaman asal dikenakan apabila bayaran pinjaman dilakukan melebihi tempoh yang ditetapkan sama ada disebabkan kelewatan atau penangguhan.

Boleh juga dikatakan riba Jahiliah adalah sebarang denda atau penalti yang dikenakan apabila peminjam lambat atau menangguhkan membayar pinjaman sepertimana tempoh yang ditetapkan.

Contohnya, si B meminjam daripada si A dan berjanji akan bayar sepenuhnya dalam tempoh 5 bulan.

Tetapi, si B gagal bayar pada bulan ke 5, sebaliknya bayar pada bulan ke 8, menyebabkan si B didenda atas kelewatan membuat bayaran tersebut.

Denda tersebut adalah riba.

Riba ini bukan sahaja berlaku apabila meminjam wang, tetapi juga apabila meminjam barang-barang.

Contohnya, apabila meminjam buku daripada perpustakaan dan lewat memulangkan buku tersebut, ada perpustakaan yang mengenakan denda dalam bentuk bayaran kepada peminjam buku tersebut.

Denda itu adalah riba.

Selain daripada denda ke atas pinjaman, riba jahiliah juga berlaku ke atas denda kerana lewat menjelaskan bayaran hutang.

Contohnya, si C membeli sofa daripada kedai perabot dan membayar secara ansuran.

Tetapi, si C terlepas bayaran beberapa bulan, menyebabkan beliau didenda, maka denda tersebut adalah riba.

Dalam contoh lain, katakankan si L membeli komputer daripada si M dengan harga RM 2,000 dan bersetuju membayar secara tunai selepas 30 hari.

Tetapi, selepas 30 hari, si L meminta penangguhan bayaran selama 30 hari lagi disebabkan masalah tertentu.

Si M bersetuju tetapi menetapkan harga baru komputer tersebut sebanyak RM 2,500.

Tambahan harga tersebut adalah riba.

Jenis riba al-Buyu’ #1 – Riba al-Nasak atau al-Nasiah

Riba ini berlaku apabila jual-beli atau pertukaran antara item ribawi berlaku secara bertangguh atau tidak serentak.

Contoh situasi-situasi yang terlibat dengan riba ini adalah:

  • Contoh #1: Membeli emas secara bertangguh atau berhutang; dapat emas hari ini, bayaran dibuat selepas beberapa hari atau buat bayaran hari ini, emas dapat minggu depan. Situasi ini juga terlibat dengan item ribawi lain seperti perak, beras, tamar dan gandum.
  • Contoh #2: Membuat pertukaran beras secara bertangguh; si K dan si L bersetuju nak bertukar beras tetapi secara bertangguh. Jadi, hari ini si K serahkan 10kg beras basmathi kepada si L, manakala si L berjanji akan memberi 10kg beras biasa pada keesokan hari. Berlainan kualiti atau jenis beras tidak mengapa, tetapi jika dilakukan secara bertangguh, adalah tidak dibenarkan.

Untuk elakkan riba al-Nasak, kena ingat perkara ini; transaksi pertukaran item ribawi mesti dilakukan serentak dalam satu masa atau majlis; kedua-dua penjual dan pembeli mesti menyerahkan item masing-masing sebelum berpisah.

Tidak boleh berhutang, tidak boleh bertangguh.

Jenis riba al-Buyu’ #2 – Riba al-Fadhl

Riba ini melibatkan jual-beli atau pertukaran antara item ribawi yang sama jenis, yang mana berlaku apabila berat dan kuantiti pertukaran tersebut adalah tidak sama.

Contohnya adalah seperti berikut:

  • Contoh #1: Menukarkan 15g emas 916 dengan 10g emas 999; walaupun kualitinya berbeza, tetapi oleh kerana kedua-duanya adalah emas, maka berat mestilah sama semasa pertukaran.
  • Contoh #2: Menukarkan 10kg beras biasa dengan 5kg beras basmathi; kedua-duanya adalah beras, walaupun berlainan kualiti, pertukaran mesti pada berat yang sama.

Untuk elakkan riba al-Fadhl, pertukaran bagi item ribawi sama jenis mesti dilakukan dalam berat atau kuantiti yang sama.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana nak tukar item ribawi yang sama jenis, tetapi berlainan kualiti atau nilai dengan berat yang berbeza.

Contoh, nak tukar 10kg beras biasa dengan 5kg beras basmathi.

Boleh, kena tukar dengan item ribawi lain jenis dulu seperti matawang.

Jual dulu 10kg beras dengan dan dapatkan wang, kemudian beli 5kg beras basmathi dengan wang tersebut.

jenis riba contoh situasi riba

Kesimpulan

Riba boleh wujud dalam banyak keadaan dan situasi, dan kita sendiri boleh terjerumus dengan amalan dosa besar ini jika kita tidak berhati-hati dan kurang ilmu tentangnya.

Diharapkan perkongsian kali ini dapat menyedarkan pembaca semua tentang riba dan membantu untuk menjauhkan dari terlibat dengannya.

Semoga berjumpa lagi di perkongsian yang lain.

p/s: Kalau rasa perkongsian kali ini bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan ya. Terima kasih.

..

Apakah Maksud Sebenar Harta Milik Sendiri?

harta milik sendiriApakah maksud sebenar harta milik sendiri?

Adakah pendapatan besar yang diperoleh?

Adakah duit menimbun yang disimpan di bank?

Adakah rumah agam yang didiami?

Atau kereta mewah yang dipandu?

Bagaimana pula dengan pelaburan-pelaburan lain yang dibuat?

Ya, semua ini adalah harta yang dimiliki, tetapi belum benar-benar dimiliki jika tidak memenuhi satu syarat utama.

Apa syarat tersebut?

Syaratnya, harta tersebut memanfaatkan diri-sendiri, bahkan juga orang lain.

Bagaimana?

Dengan membelanjakan dan menggunakan harta tersebut ke jalan yang betul seperti menyara diri-sendiri dan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Juga dengan memperbanyakkan bersedekah kepada orang lain, mengeluarkan zakat dan mewakafkan harta ke jalan yang diredhai.

Untuk lebih memahami, jom hayati satu artikel yang saya petik daripada buku “Tundukkan Hati: Rahsia Keikhlasan Hidup Di Dunia Fana” karya Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan Annual Bakri Haron.

Cintai harta milik sendiri, bukan harta milik orang lain

harta milik sendiri

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Daripada kalangan umatku ini, siapakah yang sayangkan harta saudaranya lebih daripada hartanya sendiri?”

Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih menyayangi harta orang lain melebihi hartanya sendiri?”

Baginda bersabda lagi, “Harta milik sendiri adalah harta yang didermakan dan disedekahkan kepada orang lain. Harta orang lain adalah harta yang disimpan yang tidak disedekahkan kepada sesiapa.”

Apabila diteliti daripada hadis di atas, sangat jelas kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya supaya bersedekah berbanding menyimpan harta untuk kegunaan sendiri sahaja.

Jika kita berasa hendak bersedekah, ini bermakna kita lebih menyayangi harta orang lain berbanding harta milik sendiri.

Harta milik sendiri yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah harta yang disedekahkan kepada fakir miskin, anak-anak yatim serta orang yang berjuang di jalan Allah.

Ini seumpama ‘tabungan’ kita untuk keperluan akhirat.

Semakin banyak sedekah dikeluarkan, semakin banyak harta dalam tabungan akhirat kita.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud:

“Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahnya ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu adalah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang miskin, orang yang dalam perjalanan (musafir) peminta-minta, untuk memerdekakan hamba sahaya, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, orang yang menepati janji apabila berjanji, dan orang yang sabar dalam kemalaratan, penderitaan dan pada masa peperangan.

Mereka itulah orang yang benar dan mereka itulah orang yang bertakwa.”

Ayat di atas menerangkan kepada kita siapakah yang layak untuk menerima sedekah yang mana antaranya adalah:

  • Anak-anak yatim
  • Orang miskin
  • Orang yang bermusafir
  • Fakir

Golongan ini berhak menerima sedekah dan zakat daripada orang yang berkemampuan.

Zakat dan sedekah sama ada dalam bentuk wang ringgit, makanan, pakaian atau pun barangan dalam jumlah tertentu boleh membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan memerlukan ini.

Zakat seperti zakat fitrah dan zakat harta pula sudah ditetapkan nilainya wajib dikeluarkan bagi membersihkan harta yang dimiliki kerana sebahagian daripadanya adalah milik golongan yang memerlukan ini.

Anak-anak yatim berhak menerima zakat dan sedekah kerana mereka sudah tidak ada tempat untuk bergantung.

Bagi anak-anak ini, selagi mereka belum mampu untuk berdikari, mereka berhak untuk menerima pemberian ini.

Islam juga tidak meminggirkan orang miskin.

Dengan kewajipan mengeluarkan zakat yang dikenakan kepada mereka yang mampu, sekurang-kurangnya beban yang mereka tanggung dapat dikurangkan.

Begitu juga dengan si fakir yang hidup melarat.

Dengan sedikit pemberian daripada mereka yang berkemampuan, golongan ini mungkin tidak akan kelaparan.

Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya supaya lebih mencintai harta milik sendiri berbanding harta milik orang lain kerana harta yang kita miliki secara hak itulah yang akan menjamin masa depan kita di akhirat kelak.

Perbuatan menyanjung harta yang bukan milik kita adalah sesuatu yang sia-sia kerana langsung tidak memberikan apa-apa faedah pun kepada kita.

harta milik sendiriTidak rugi sebenarnya amalan suka bersedekah ini.

Selain menanamkan bilangan harta yang kita miliki di akhirat kelak, sedekah juga menjadi penghalang daripada percikan api neraka.

Allah s.w.t. menjanjikan syurga bagi orang yang beriman yang tidak tertipu dengan harta dunia dan itu adalah sebaik-baik ganjaran kepada orang mukmin.

Sangat banyak kelebihan yang bakal diterima oleh orang mukmin yang suka bersedekah.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:

“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.

Allah melipat gandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas Maha Mengetahui.”

Bagi mereka yang sudah pun mengeluarkan harta untuk disumbangkan ke jalan Allah, suatu jaminan diberikan oleh Allah kepadanya bahawa pengorbanannya itu bukan suatu yang sia-sia.

Sebaliknya, mereka akan menerima pelbagai ganjaran yang tidak terhitung banyaknya daripada Allah di akhirat kelak.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 262:

“Orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang dia infakkan itu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka.

Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.”

Kesimpulan

Harta sebenar yang kita miliki bukanlah harta yang disimpan sahaja atau yang dimanfaatkan untuk diri-sendiri sahaja, tetapi adalah harta yang dimanfaatkan untuk orang lain.

Harta inilah yang akan menjamin kehidupan kita di dunia ini dan juga di akhirat nanti.

Oleh itu, janganlah takut dan rasa kedekut untuk mengeluarkan sedekah dan membayar zakat daripada harta yang disimpan kerana dengan cara inilah kita menjamin bahawa harta tersebut benar-benar menjadi milik sendiri.

Milik yang kekal hingga ke akhirat.

Sekian, wallahua’lam.

Semoga artikel kali ini memberi manfaat kepada kita semua.

Jangan lupa kongsikan artikel ini ya!

..