Pelaburan

Amanah Hartanah Bumiputera: Perbandingan Dengan TH & ASB

amanah hartanah bumiputera ahb th asbBaru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak ada melancarkan 500 juta unit tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi membolehkan pelabur-pelabur bumiputera merebut peluang dalam peluang pelaburan ini.

Kebetulan pula, ada pembaca yang PM saya bertanya tentang AHB ini, sama ada baik atau tidak untuk melabur di dalamnya.

Jadi, di kesempatan kali ini, elok sangatlah kalau saya tulis berkenaan AHB.

Sekadar membuka cerita, saya juga merupakan antara pelabur terawal dalam AHB; saya mula melabur pada awal pelancarannya dahulu pada tahun 2010.

Sebab berpuas hati dengan prestasi dan pulangan yang diberikan, saya kemudian menambah bilangan unit yang dipegang selepas setahun AHB dilancarkan.

Dan sehingga sekarang, saya masih merupakan salah seorang pelabur AHB.

Bagi mereka yang tak pernah tahu tentang AHB, jom teruskan membaca perkongsian saya kali ini.

Pengenalan tentang Amanah Hartanah Bumiputera

AHB merupakan dana unit amanah berpendapatan tetap yang menyandarkan asetnya kepada aset-aset hartanah.

Permodalan Hartanah Berhad (PHB) merupakan penaja kepada dana ini, manakala Maybank Asset Management Sdn. Bhd. merupakan pengurus dana dan Amanah Raya Trustees Berhad pula merupakan pemegang amanah.

amanah hartanah bumiputera ahb th asb

Menerusi AHB, modal yang diberikan dan dikumpul daripada pelabur digunakan untuk membuat pelaburan dalam hartanah-hartanah komersial di serata Malaysia, terutama di kawasan-kawasan utama atau premium.

Modal tersebut digunakan untuk membeli, memajak atau membangunkan bangunan komersial di kawasan-kawasan premium, dan hasil pendapatan daripada bangunan-bangunan tersebut seperti sewaan, pajakan dan jualan akan dikembalikan kepada pelabur dalam bentuk agihan pendapatan atau dividen.

Seperti semua sedia maklum, kebanyakan hartanah-hartanah komersial di kawasan premium adalah berharga mahal, maka agak mustahil bagi seorang individu bumiputera untuk memilikinya.

Jadi, dengan adanya AHB, akan membantu golongan bumiputera untuk meningkatkan pegangan mereka dalam pemilikan aset-aset berharga tinggi ini melalui pegangan unit dalam dana ini.

AHB telah dilancarkan pada 29 November 2010 dengan unit permulaan sebanyak 1 billion unit pada harga RM 1 seunit.

Selepas beberapa kali penambahan unit, dana AHB sekarang berkembang sehingga 4 billion unit.

Sehingga artikel ini ditulis, berdasarkan maklumat daripada laman web Permodalan Hartanah Berhad, dana AHB sekarang disokong oleh lebih 20 buah hartanah komersial yang mana semuanya memberikan pendapatan sewaan yang stabil.

Kalau anda merupakan seorang bumiputera, pada pendapat saya, amat rugi jika tidak merebut peluang untuk melabur dalam AHB.

Kelebihan Amanah Hartanah Bumiputera

Kenapa sangat digalakkan melabur dalam AHB?

Sudah tentu kerana kelebihan-kelebihannya seperti yang berikut:

#1 – Harga dana yang tetap

Harga dana AHB boleh dibeli pada harga tetap RM 1.00 seunit; contohnya jika melabur RM 1,000 maka akan dapat 1,000 unit dana.

Harga adalah tidak berubah, jadi pelaburan yang dibuat adalah berisiko rendah kerana tidak terdedah kepada volatility harga dana yang sering berubah seperti mana kebanyakan dana unit amanah lain.

#2 – Modal permulaan yang rendah

Pelabur boleh mula melabur dalam AHB pada modal permulaan serendah RM 100 sahaja bagi pelaburan tunai, dan RM 1,000 bagi pelaburan melalui KWSP.

Untuk pelaburan tambahan pula, boleh dilakukan serendah RM 50 bagi pelaburan tunai dan RM 1,000 bagi pelaburan KWSP

Pelaburan maksimum pula adalah sehingga RM 500,000 bagi setiap individu.

#3 – Patuh-syariah

Dana AHB telah diiktiraf sebagai skim pelaburan patuh-syariah.

Malah, agihan pendapatan atau dividen yang diagihkan kepada pelabur telah dibayar zakat.

#4 – Agihan pendapatan yang stabil dan konsisten

Antara objektif dana AHB adalah untuk memberikan pulangan yang stabil dan konsisten kepada para pelabur di samping mengekalkan modal pelaburan.

Malah, diletakkan sasaran pulangan minimum bagi dana AHB adalah 6% setahun.

Sehingga sekarang, pulangan yang diberikan masih memenuhi sasaran sepertimana yang berikut:

amanah hartanah bumiputera ahb th asb

Agihan pendapatan untuk dana AHB, yang kebiasaannya diberikan dalam bentuk dividen, diberikan setiap 6 bulan atau 2 kali setahun, iaitu bagi bulan Oktober-Mac dan April-September.

Selain dividen, pelabur juga berpeluang diberikan bonus sepertimana yang diberikan pada tahun 2013 dahulu iaitu sebanyak 1.00%

#5 – Kos pelaburan yang rendah

Biasanya, untuk dana unit amanah, akan ada kos tertentu seperti caj jualan, penebusan dan penukaran serta yuran pengurusan dan pemegang amanah.

Untuk dana AHB, tiada caj jualan, penebusan dan penukaran dikenakan ke atas pelabur.

Yuran pengurusan dan pemegang amanah pula adalah pada kadar yang sangat rendah; yuran pengurusan adalah pada kadar maksima 1.00% setahun dari nilai dana pada kos (VOF) manakala yuran pemegang amanah pula adalah sehingga 0.08% setahun dari VOF, tertakluk pada jumlah minima sebanyak RM18,000 setahun.

Yuran ini bukan dibayar secara terus oleh pelabur, sebaliknya dikira ke atas unit yang dipegang dan dikenakan secara automatik.

Kesimpulannya, kos pelaburan dana AHB adalah rendah.

#6 – Unit tambahan percuma untuk Akaun Remaja

Selain mengumumkan unit tambahan AHB, Perdana Menteri juga baru-baru ini mengumumkan insentif khas bagi pelabur baru Akaun Remaja Amanah Saham Bumiputera.

Bagi pelabur baru yang berusia bawah 18 tahun, pelabur akan menerima tambahan 50 unit dana percuma bagi pelaburan yang dibuat.

Tetapi, insentif ini hanya ditawarkan bagi tempoh 01 Oktober 2017 sehingga 31 Januari 2018 sahaja untuk 200,000 yang terawal sahaja, jadi kenalah cepat-cepat melabur dalam AHB jika nak dapatkan insentif ini.

Insentif ini adalah sebagai galakan kepada golongan muda untuk melabur dalam AHB.

Rugi kalau terlepas insentif ini.

Kekurangan Amanah Hartanah Bumiputera

Walaupun banyak kelebihannya, namun dana AHB tetap ada kekurangannya juga.

#1 – Bilangan unit yang terhad

Walaupun dana AHB adalah peluang pelaburan yang baik, tetapi bilangan unitnya adalah terhad dan biasanya cepat habis.

Sebagai contoh, pada tahun 2016, sebanyak 1.5 bilion unit tambahan telah diumumkan untuk AHB, tetapi telah habis dilanggan dalam tempoh setahun sahaja.

Selepas unit habis dilanggan, pelabur tak boleh menambah dana pelaburan sehinggalah unit tambahan baru diumumkan.

Jadi, kalau nak melabur dalam AHB, kenalah bertindak segera apabila ada unit tambahan diumumkan.

#2 – Pulangan tidak dilaburkan semula

Agihan pendapatan AHB tidak dilaburkan semula ke dalam dana, sebaliknya diagihkan terus ke dalam akaun bank pelabur.

Ini menyebabkan pelabur tidak mendapat pulangan terkompoun; pulangan atas pulangan, sebaliknya hanya mendapat pulangan atas modal pelaburan sahaja setiap kali agihan pendapatan diumumkan.

Ini berbeza dengan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji (TH), yang mana agihan pendapatan dilaburkan semula.

Tetapi, ini bukanlah masalah besar pun.

Pendapatan yang diperoleh daripada AHB janganlah pula dibelanjakan, tetapi lebih baik jika disimpan ke dalam Tabung Haji atau ASB untuk menikmati pulangan atas pulangan.

#3 – Ejen yang terhad

Buat masa sekarang, hanya Maybank dan AmBank sahaja dilantik sebagai ejen bagi dana AHB.

Oleh itu, bagi yang berminat nak melabur dala dana AHB, kenalah mengunjungi mana-mana cawangan Maybank dan AmBank untuk membuka akaun pelaburan.

Bagi mereka yang tinggal jauh daripada kedua-dua cawangan bank ini, memang agak sukar untuk melabur dalam dana AHB.

Ini berbeza dengan Tabung Haji dan ASB yang mempunyai banyak cawangan dan ejen yang boleh dikunjungi.

Diharapkan pada masa depan lebih banyak ejen dana AHB dilantik untuk memudahkan lagi orang ramai membuka akaun pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera.

Amanah Hartanah Bumiputera AHB) vs Amanah Saham Bumiputera (ASB) vs Tabung Haji (TH): Yang mana lebih baik?

Dalam artikel sebelum ini, saya ada tulis perbandingan antara Tabung Haji (TH) vs Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Jadi kali ini, jom kita bandingkan pula antara Amanah Hartanah Bumiputera AHB) vs Amanah Saham Bumiputera (ASB) vs Tabung Haji (TH).

Untuk mudahkan perbandingan, kita bandingkan sahaja pulangan antara semua instrumen ini.

Lagipun, memang pulangan sahaja yang dipandang ramai apabila buat perbandingan antara ketiga-tiga instrumen ini.

Untuk mudahkan lagi, kita ambil pulangan dividen sahaja tidak termasuk bonus bagi setiap instrumen, dari tahun 2011 sehingga 2016 sahaja.

Sebelum buat perbandingan, ingat 3 fakta ini:

  • Pulangan bagi ketiga-tiga AHB, TH dan ASB adalah dikecualikan cukai
  • Pulangan bagi AHB dan TH telah dibayar zakat, manakala ASB tidak
  • Pulangan bagi TH dan ASB dilaburkan semula, manakala AHB tidak

Ini adalah pulangan bagi setiap instrumen dari tahun 2011 sehingga 2016:

amanah hartanah bumiputera ahb th asb

amanah hartanah bumiputera ahb th asb

Situasi #1: Katakanlah, Amirul meletakkan RM 5,000 bagi setiap AHB, ASB dan TH pada awal tahun 2010 dan dibiarkan sahaja tanpa penambahan dan pengeluaran, jadi berapa jumlah yang dikumpulkan selepas tahun 2016?

Oleh kerana jumlah yang diletakkan adalah rendah dan tidak layak dizakatkan, anggaran jumlah yang dikumpulkan Amirul berdasarkan pengiraan mudah adalah:

  • AHB: RM 6,906.00 (pulangan 38.12%)
  • TH: RM 6,958.66 (pulangan 39.17%)
  • ASB: RM 7,687.60 (pulangan 53.75%)

Situasi #2: Jane meletakkan RM 20,000 bagi setiap AHB, ASB dan TH pada awal tahun 2010. Maka, berapa jumlah yang terkumpul selepas tahun 2016?

Jumlah yang diletakkan ini adalah layak dizakatkan, maka anggaran jumlah terkumpul selepas dizakatkan adalah:

  • AHB: RM 27,624.00 (pulangan 38.12%)
  • TH: RM 27,834.64 (pulangan 39.17%)
  • ASB: RM 26,699.09 (pulangan 33.50%)

Jadi, berdasarkan kedua-dua situasi ini, dari segi pulangan, anda rasa mana yang lebih baik antara AHB, TH dan ASB?

Anda jawab sendiri ya.

Walaubagaimanapun, sebenarnya, adalah tidak adil dan tidak lengkap jika membandingkan antara ketiga-tiga instrumen ini berdasarkan pulangan sahaja.

Kena ingat, past performance does not indicate future performance.

Prestasi dan pulangan bagi ketiga-tiga instrumen boleh sahaja berubah-ubah pada masa akan datang.

Jadi, pertimbangkan beberapa perkara lain sebelum memilih yang terbaik antara ketiga-tiga instrumen ini.

Yang terbaik, pilih sahaja ketiga-tiganya.

Tidak salah untuk mempelbagaikan tempat simpan duit dan pelaburan kita.

Kalau salah satu tempat bermasalah dan mengalami kerugian, sekurang-kurangnya keuntungan daripada yang lain boleh menampung kerugian tersebut.

Jadi, tidaklah alami kerugian yang terlalu besar.

Umpama mengagihkan telur yang banyak dan letakkan ke dalam bakul-bakul yang berbeza.

Kalau satu bakul jatuh dan telur pecah, sekurang-kurangnya ada bakul-bakul yang lain yang masih selamat.

Itu sahaja perkongsian untuk kali ini.

So, sekarang, rasa berminat nak melabur dalam AHB?

Nak tahu bagaimana cara nak buka akaun AHB?

Nantikan artikel seterusnya, insyaAllah saya tulis dalam masa terdekat.

p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN dengan yang lain ya. Klik sahaja butang-butang social media kat bawah untuk berkongsi. Terima kasih.

..

Combo Ebook Saham 101 & 201: Panduan Pelaburan Saham

combo ebook sahamApabila ada yang bertanya kepada saya cadangan panduan pelaburan saham yang perlu dibaca untuk mula belajar tentang pelaburan saham, pasti saya akan cadangkan Combo Ebook Saham 101 & 201.

Saya pernah tulis maklumat ringkas berkenaan set panduan ini di artikel-artikel saya sebelum ini, contohnya di Panduan Cara Buka Akaun CDS & Trading dan Berapa Modal Pelaburan Saham?.

Set Combo Ebook Saham 101 & 201 adalah terbitan EZAZ Wealth Management & Consultancy Sdn. Bhd. dan merupakan hasil daripada Tuan Alwi Adam.

Tak kenal siapa Tuan Alwi Adam?

Kalau nak kenal, boleh lihat FB beliau di sini FB Tuan Alwi Adam atau di sini: Biodata Tuan Alwi Adam

Tuan Alwi Adam merupakan seorang pelabur, usahawan, jurulatih dan perunding kewangan, bisnes dan motivasi sepenuh masa.

Melalui syarikatnya, beliau banyak menganjurkan seminar berkaitan pengurusan kewangan dan juga pelaburan saham seperti Seminar D.I.Y. 360 Financial Freedom, Smart Saham Masterclass dan yang terbaru Financial Freedom Blueprint 2.0

Selain mengadakan seminar, Tuan Alwi Adam juga menulis beberapa buah buku berkaitan pengurusan kewangan seperti yang disenaraikan berikut:

  • D.I.Y. 360 Mengurus Wang
  • Mini D.I.Y. 360 Mengurus Wang
  • 100 Tip Kewangan Praktikal
  • Revolusi Wang

Kalau berminat nak dapatkan buku-buku beliau, boleh dapatkan di sini: Buku Terbitan EZAZ

Dengan pengalaman, kemahiran dan pengetahuan beliau, Tuan Alwi Adam memang layak digelar ikon dalam bidang pengurusan kewangan peribadi dan pelaburan saham.

Sebagai buah tangan kepada mereka yang berminat nak mula belajar berkenaan pelaburan saham, Tuan Alwi Adam menyediakan satu panduan lengkap yang diberi nama Combo Ebook Saham 101 & 201

combo ebook sahamCombo Ebook Saham 101 & 201

(Klik di sini untuk terus dapatkan set panduan hebat ini)

Apa yang terkandung dalam set Combo Ebook Saham 101 & 201 ini?

Mesti ramai yang nak tahu, bukan?

Bagi yang mendapatkan set combo ini, mereka akan mendapat 2 ebook utama dan juga 1 ebook bonus:

  • Ebook Saham 101: Jana Untung Konsisten
  • Ebook Saham 201: Analisa Fundamental
  • Ebook Bonus: Kompilasi Tips Teknikal

Apa pula kandungan setiap ebook ini?

Jom saya tunjukkan satu per satu kandungan bagi setiap ebook dalam set Combo Ebook Saham 101 & 201 ini.

#1 Ebook Saham 101: Jana Untung Konsisten

combo ebook saham

Boleh lihat isi kandungan ebook ini dalam gambar di atas.

Ebook Saham 101 bolehlah dianggap sebagai starter kit bagi mereka yang nak belajar berkenaan pelaburan saham.

Ramai orang takut untuk mulakan pelaburan saham sebab tak biasa dengan terma-terma dan juga perkara-perkara teknikal berkaitan pelaburan saham.

Lebih-lebih lagi apabila lihat pelbagai jenis carta, produk berkaitan saham malah harga saham yang punyai pelbagai maksud.

Malah, ada yang keliru apa langkah-langkah yang perlu dibuat untuk mulakan pelaburan saham.

Maklumlah, tiada rujukan mudah yang boleh dirujuk.

Semua masalah ini dapat diatasi dengan membaca ebook pertama dalam pakej Combo Ebook Saham 101 & 201 ini.

Melalui Ebook Saham 101, pembaca akan diperkenalkan dengan terma-terma dan juga perkara-perkara asas yang perlu diketahui sebelum mula terjun ke dunia pelaburan saham.

Antara perkara-perkara penting yang pembaca dapat pelajari daripada ebook pertama ini adalah:

#1 Cara buka akaun CDS & trading – Kalau tidak ada kedua-dua akaun ini, memang tak boleh mulakan pelaburan saham. Daripada ebook ini, pembaca akan dapat belajar banyak perkara berkenaan kedua-dua akaun ini.

#2 Pasaran saham dan pasaran-pasaran kewangan yang lain – Pembaca akan dapat belajar secara ringkas perbezaan antara saham, futures, bon, ETF dan lain-lain. Nampak semua ini macam sama, tetapi sebenarnya berbeza. Penting untuk tahu supaya nanti tak tersalah melabur.

#3 Kos dan modal pelaburan saham – Melalui topik ini, akan membantu pembaca menentukan modal yang sesuai untuk mula melabur saham.

#4 Jenis saham dan peluang pendapatan – Ada pelbagai jenis saham yang terdapat di pasaran, setiap jenis adalah berbeza walaupun nama dan kod saham hampir sama. Jadi, kena tahu supaya tidak tertukar. Bagaimana pelabur mendapat pendapatan melalui saham? Pembaca akan mendapat jawapannya dalam topik ini.

#5 Panduan penggunaan platform online – Transaksi jual-beli saham adalah lebih mudah dan murah jika dilakukan melalui platform online. Sebagai bakal pelabur saham, pembaca boleh mendapat gambaran awal bagaimana cara menggunakan platform online untuk pelaburan saham.

#6 Panduan mencari kaunter saham berpotensi – Ada banyak kaunter saham yang boleh dilabur, sehingga beratus-ratus. Kalau nak analisa satu persatu, akan mengambil masa yang panjang. Dalam ebook ini, diterangkan cara screening dan menyenarai pendekkan kaunter saham yang berpotensi memberikan keuntungan. Jadi, lebih mudah untuk membuat analisa seterusnya.

Selain topik-topik di atas, ada banyak lagi topik lain yang turut diterangkan dalam ebook ini.

Boleh klik di sini untuk info lanjut berkenaan ebook ini.

Boleh dikatakan, Ebook Saham 101 ini memang lengkap untuk membantu bakal pelabur baru memulakan langkah pertama mereka dalam pelaburan saham dengan penuh yakin.

#2 Ebook Saham 201 Analisa Fundamental

combo ebook saham 101 201 panduan pelaburan saham

Ebook kedua dalam set Combo Ebook Saham 101 & 201 adalah Ebook Saham 201 Analisa Fundamental, Pilih dan Saring Saham Berkualiti.

Boleh lihat isi kandungan ebook kedua ini menerusi gambar di atas.

Dengan membaca ebook pertama, pembaca akan dapat belajar bermula dari asas pelaburan saham sehinggalah akhirnya menyenarai pendekkan kaunter-kaunter saham yang berpotensi untuk dibeli.

Untuk betul-betul memilih kaunter terbaik untuk dibeli, boleh lanjutkan lagi analisa ke atas kaunter-kaunter berpotensi tersebut sama ada menggunakan analisa fundamental, teknikal atau pun kedua-duanya.

Maka, untuk menjadi seorang pelabur saham yang berjaya, kenalah tahu cara membuat analisa fundamental dan teknikal.

Analisa fundamental menekankan aspek fundamental sesebuah syarikat; dari segi pengurusan, kedudukan kewangan, aliran tunai dan juga potensi pertumbuhan.

Bayangkan ada seseorang menawarkan kepada anda untuk membeli kedai runcitnya, sudah tentu anda akan menilai dahulu prestasi perniagaan kedai runcit tersebut, aliran tunainya, lokasi, perabot-perabot, barang-barang yang dijual, prospek pelanggan dan juga potensi jualan selepas ini.

Selepas menilai semua perkara tersebut, barulah anda buat keputusan sama ada nak beli atau tidak dan letakkan harga yang sesuai, bukan?

Itulah dia analisa fundamental.

Melabur dalam pasaran saham dengan membeli kaunter sahama adalah ibarat membeli pemilikan dalam syarikat atau perniagaan, jadi kena buat analisa terlebih dahulu sama ada syarikat itu berbaloi untuk dimiliki atau tidak.

Bagaimana nak buat analisa fundamental ke atas kaunter-kaunter saham?

Jangan risau, boleh belajar dengan membaca Ebook Saham 201.

Sebahagian topik-topik penting yang pembaca dapat pelajari daripada ebook kedua ini adalah seperti yang berikut:

#1 Asas-asas analisa fundamental – Pembaca akan diterangkan terlebih dahulu tentang perkara-perkara asas berkenaan analisa fundamental. Apabila dah faham asas, mudah untuk teruskan lagi.

#2 Analisa penyata kewangan syarikat – Kedudukan kewangan sesebuah syarikat boleh dianalisa menerusi penyata kewangan sama ada yang dikeluarkan setiap suku tahun atau tahunan. Penyata kewangan kebiasaannya dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti penyata untung-rugi, penyata imbangan dan penyata aliran tunai. Dalam ebook kedua ini, pembaca dapat belajar cara menafsir semua penyata kewangan ini.

#3 Nisbah kewangan (financial ratio) – Daripada penyata kewangan, pembaca akan ditunjukkan maksud dan cara mengira nisbah-nisbah kewangan seperti earnings per share (EPS), market capitalisation, price to earnings (PE), return on equity (ROE), dividend yield dan earnings growth rate (EGR). Semua nisbah kewangan ini menjadi indikator utama untuk memudahkan penilaian ke atas prestasi kewangan syarikat dan juga menentukan nilai syarikat tersebut.

#4 Model penilaian (valuation models) – Model penilaian seperti price earning growth ratio (PEG), book value (net tangible asset , NTA) per share, discaounted cash flow model dan model-model lain dapat digunakan untuk membandingkan nilai intrinsic syarikat dengan harga sahamnya. Misi utama adalah nak cari syarikat yang berkualiti dan beli sahamnya pada harga di bawah nilai atau harga diskaun. Bagaimana caranya? Boleh belajar daripada ebook ini.

#5 Tools analisa fundamental – Dalam ebook ini juga, pembaca akan ditunjukkan beberapa tools untuk memudahkan kerja-kerja analisa fundamental yang akan dilakukan. Antaranya, laman web, senarai semak dan short cut. Jadi, lebih mudah untuk buat analisa fundamental ke atas syarikat-syarikat berpotensi.

Selepas baca ebook kedua ini, pembaca akan dapat memilih kaunter saham terbaik yang berkualiti dan berpotensi untuk lebih untung dalam jangka masa panjang untuk dibeli.

Tertarik nak baca Ebook Saham 201 ini?

Terus dapatkan dengan klik di sini.

#3 Ebook Bonus: Kompilasi Tip Teknikal

Sebagai penghargaan kepada pembeli Combo Ebook Saham 101 & 201, pembeli akan turut mendapat sebuah Ebook Bonus: Teknikal Tip Teknikal

Ebook bonus ini bukanlah ebook sebenar seperti Ebook Saham 101 dan Ebook Saham 201, tetapi merupakan nota kompilasi tips analisa teknikal yang pernah dikongsikan di FB Page Smart Saham.

Walaupun bukan ebook sebenar, tetapi jangan pandang rendah kepada ebook bonus ini.

Isinya tetap padat dan lengkap untuk belajar berkenaan analisa teknikal dalam pelaburan saham.

Sebelum ini dalam Ebook Saham 201, pembaca belajar tentang analisa fundamental yang mana digunakan untuk mencari kaunter saham berkualiti dan bernilai yang dijual pada harga diskaun.

Tetapi, kelemahan analisa fundamental adalah tidak menganalisa sama ada harga kaunter saham tersebut sedang atau akan menaik (uptrend) atau menurun (downtrend).

Bayangkan, walau dah jumpa kaunter saham yang baik pada harga murah, tetapi selepas beli, harga sahamnya terus jatuh dan jatuh, maka di situ pelabur akan mengalami kerugian atas kertas (unrealized loss) dan perlu menunggu beberapa tempoh untuk memastikan harga saham tersebut naik dan mendapatkan keuntungan.

Sebab itulah penting untuk pelabur saham belajar berkenaan analisa teknikal supaya boleh membeli kaunter saham pada waktu yang betul.

Jadi, dalam ebook bonus ini, pembaca akan dapat belajar berkenaan analisa teknikal.

Antara isi kandungan ebook bonus ini adalah:

  • Jenis-jenis carta
  • Jenis-jenis trend
  • The power of volume
  • Divergence
  • Support & resistance
  • Volume, support & resistance
  • Trend line
  • Candlestick pattern
  • Technical indicators

Semua topik ini adalah topik-topik yang pernah dikongsikan dalam FB Page Smart Saham, tetapi dikompilasikan dan disusun semula ke dalam ebook bonus ini untuk memudahkan pembacaan dan pemahaman oleh pembaca.

Malah, beberapa input tambahan turut diberikan untuk memantapkan lagi perkongsian.

Berbaloi atau tidak?

Selepas dah tahu isi kandungan setiap ebook dalam set Combo Ebook Saham 101 & 201, persoalannya, berbaloi atau tidak untuk dapatkannya?

Jawapan saya, sudah tentu sangat berbaloi!

Dengan isi kandungan yang boleh dikatakan lengkap berkenaan banyak aspek dalam pelaburan saham, set panduan ini amat berbaloi untuk dibaca oleh mereka yang nak belajar berkenaan pelaburan saham.

Saya sendiri pun belajar daripada set panduan ini terlebih dahulu sebelum mula melabur dalam pasaran saham.

Selepas baca set panduan ini, saya dah tahu cara yang jelas untuk mulakan pelaburan saham dan bertambah yakin membeli kaunter saham yang berpotensi memberikan keuntungan.

Set panduan ini boleh dijadikan rujukan awal untuk bermula.

Apabila dah mahir dan ada modal lebih, mungkin boleh sertai seminar atau bengkel berkaitan pelaburan saham yang lebih advance untuk mantapkan lagi skil melabur dalam pasaran saham.

Kesimpulannya, kalau anda betul-betul nak belajar tentang pelaburan saham, disarankan untuk baca Combo Ebook Saham 101 & 201.

Bagaimana nak dapatkan Combo Ebook Saham 101 & 201?

Combo Ebook Saham 101 & 201 boleh didapati pada harga RM 149 sahaja.

Dengan harga RM 149, anda akan peroleh 3 buah ebook panduan pelaburan saham yang lengkap.

Boleh dikatakan harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan banyak seminar dan bengkel pelaburan saham lain yang mengenakan harga yang agak tinggi; ada yang mencecah ribuan ringgit.

Memang tak digalakkan bagi bakal pelabur baru untuk terus bayar harga yang mahal untuk belajar berkenaan pelaburan saham.

Lebih baik dapatkan panduan pada harga yang berpatutan dulu, contohnya Combo Ebook Saham 101 & 201 ini.

Anggaplah RM 149 yang dibayar sebagai modal awal untuk menambah ilmu berkenaan pelaburan saham.

Jadi sekarang, anda betul-betul berminat nak dapatkan set panduan pelaburan saham ini?

Boleh terus klik di sini, buat bayaran dan isi borang tempahan sekarang.

combo ebook sahamKlik di sini untuk tempahan

Klik di sini untuk tempahan

Klik di sini untuk tempahan


Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau menghadapi masalah semasa membuat tempahan, boleh dapatkan bantuan dengan menghubungi kami di FB Page Jom Urus Duit atau terus Whatsapp ke 013-9798719 (https://api.whatsapp.com/send?phone=60139798719)

..

8 Jenis Caj Pelaburan Unit Amanah

caj pelaburan unit amanahBerapa caj pelaburan unit amanah yang dikenakan ke atas pelabur?

Boleh dikatakan, setiap jenis pelaburan pasti akan ada kos yang tersendiri, begitu juga dengan pelaburan unit amanah.

Pelaburan unit amanah, yang lebih biasa dikenali sebagai unit trust, merupakan salah satu peluang pelaburan yang popular di Malaysia disebabkan promosi yang meluas, pilihan dana yang pelbagai dan penasihat pelaburan yang ramai.

Lihat sahaja bagaimana syarikat-syarikat pengurus dana seperti Public Mutual, CIMB Wealth Advisor (CWA) dan PMB Investment Berhad membuat promosi sehinggakan ramai yang tahu berkenaan pelaburan unit amanah.

Malah, pelaburan unit amanah boleh dimulakan dengan modal yang rendah, jadi hampir semua orang mampu melabur dalam peluang pelaburan ini.

Tambahan lagi, kebanyakan orang suka melabur dalam unit amanah kerana tidak perlu banyak berfikir, hanya perlu dengar saranan daripada penasihat pelaburan dan buat sedikit analisis sahaja.

Jadi, memang ramai yang terlibat dalam pelaburan unit amanah.

Jika anda juga merupakan salah seorang pelabur dalam unit amanah, anda perlu ambil tahu tentang caj pelaburan unit amanah yang anda bayar.

Sebabnya, caj yang dikenakan ini akan mempengaruhi juga pulangan pelaburan yang akan diperoleh nanti.

Dalam artikel kali ini, saya akan tulis berkenaan beberapa caj pelaburan unit amanah yang ada, sama ada dibayar secara terus oleh pelabur atau yang dikenakan secara tidak terus.

Saya juga akan menunjukkan contoh pengiraan bagi caj-caj yang dikenakan.

Nak tahu dengan lebih lanjut?

Teruskan baca artikel ini sampai habis.

8 jenis caj pelaburan unit amanah

caj pelaburan unit amanah

Berikut merupakan caj-caj yang dikenakan oleh satu dana unit amanah yang saya ambil daripada prospektus dana tersebut; boleh dikatakan semua dana unit amanah turut mengenakan caj-caj yang sama cuma nilainya sahaja berbeza.

caj pelaburan unit amanah

caj pelaburan unit amanah

Dapat dilihat bahawa terdapat caj-caj yang dikenakan secara terus ke atas pelabur dan ada juga yang dikenakan secara tidak terus.

Dan, jangan dilupa juga bahawa Cukai Barang & Perkhidmatan (Goods & Services Tax, GST) turut dikenakan.

Jom kita teliti secara terperinci setiap caj tersebut.

Caj #1 – Caj jualan/perkhidmatan

Caj jualan (sales charge), atau turut dikenali sebagai caj perkhidmatan (service charge), merupakan caj tertinggi yang dikenakan ke atas pelabur unit amanah, dan caj ini dikenakan setiap kali transaksi pembelian unit dilakukan.

Kadarnya adalah berbeza-beza antara setiap dana unit amanah; caj ini ditetapkan oleh syarikat pengurus dana.

Sebagai contoh, dalam gambar di atas, caj jualan yang dikenakan adalah 6%

Cara kira caj jualan

Andaikan Johan nak melabur dalam Dana A (harga semasa RM 1.20 seunit) yang mengenakan caj jualan 6% dengan modal sebanyak RM 10,000, berapakah jumlah caj jualan yang dibayar Johan?

Mungkin ada yang mengira jumlah caj jualan = 6% x RM 10,000 = RM 600, tetapi kiraan ini adalah salah.

Caj jualan adalah dikira mengikut formula yang berikut:

  • jumlah caj jualan (RM) = amaun bayaran – (amaun bayaran / 1 + kadar caj jualan)

Bagi contoh di atas, jumlah caj jualan yang akan dibayar oleh Johan adalah seperti berikut:

  • jumlah caj jualan (RM) = RM 10,000 – (RM 10,000 / 1 + 6%) = RM 10,000 – RM 4,716.98 = RM 566.04

Jadi, jumlah caj jualan yang perlu dibayar Johan bagi pelaburan ini adalah RM 566.04 yang mana caj ini akan ditolak daripada amaun yang dibayar.

Caj #2 – Caj jualan semula

Caj jualan semula (repurchase charge), ada juga dikenali sebagai caj penebusan (redeem charge), merupakan caj yang dikenakan apabila pelabur menjual semula unit yang dibeli.

Tetapi, kebanyakan dana mengenakan kadar caj jualan semula = 0% atau tiada.

Maksudnya, tiada sebarang caj dikenakan apabila pelabur menjual atau menebus unit yang dimiliki.

Caj #3 – Caj penukaran

Caj penukaran (switching fee) dikenakan apabila pelabur bertukar dana; contohnya daripada Dana A ke Dana B di bawah pengurus dana yang sama.

Kebiasaannya, penukaran dana dilakukan oleh pelabur yang mengamalkan strategi seimbang (balancing); lebihan daripada dana ekuiti yang berisiko tinggi dipindahkan ke dana bon yang berisiko rendah supaya portfolio pelaburan diseimbangkan semula, ataupun sebaliknya.

Penukaran dana juga biasa dilakukan ketika situasi ekonomi kurang baik; pelabur dana ekuiti yang bervolatiliti tinggi memindahkan pelaburan mereka ke dana bon atau pasaran wang yang lebih stabil supaya dapat preserve modal pelaburan mereka.

Jika dilakukan dengan betul, penukaran dana memang boleh membantu pelabur memaksimakan keuntungan dalam pelaburan unit amanah; malah teknik inilah yang diajar dalam ebook Rahsia Unit Trust.

Tetapi, perlu diketahui adalah ada pengurus dana yang mengenakan caj penukaran, contohnya seperti dana dalam gambar dia atas yang mengenakan caj sehingga RM 25 setiap kali transaksi penukaran disahkan.

Semakin kerap penukaran dana dilakukan, semakin tinggi caj dikenakan.

Namun, ada juga pengurus dana yang tidak mengenakan sebarang penukaran dana, atau dihadkan kepada beberapa transaksi (contohnya, percuma caj penukaran untuk 4 kali transaksi terawal)

Caj #4 – Caj pemindahan

Caj pemindahan (transfer charge) dikenakan apabila pelabur memindahkan unit yang dimiliki kepada orang lain, contohnya kepada isteri atau anak.

Kadar caj ini juga berbeza-beza antara dana dan pengurus dana.

Caj #5 – Caj/yuran pengurusan

Selain caj-caj yang dikenakan secara langsung ke atas pelabur (pelabur bayar secara terus), ada juga caj-caj yang dikenakan secara tidak langsung.

Salah satu daripadanya adalah caj pengurusan (management fee).

Caj ini telah dikira bersekali ke dalam harga unit dana tersebut dan dikenakan setiap tahun.

Caj #6 – Caj/yuran pemegang amanah

Sama seperti caj pengurusan, caj pemegang amanah (trustee charge) turut dibayar secara tidak langsung oleh pelabur, dikenakan setiap tahun dan dikira bersekali ke dalam harga unit dana.

Caj ini adalah dibayar kepada pemegang amanah dana tersebut.

Caj #7 – Cukai barang & perkhidmatan (GST)

Dalam pelaburan unit amanah, GST dikenakan ke atas caj jualan, penukaran dan penebusan, dan GST adalah dibayar oleh pelabur.

Kalau dilihat kepada contoh di atas, pelaburan yang dilakukan Johan sebanyak RM 10,000 ke atas Dana A dikenakan caj jualan sebanyak RM 566.04

Oleh itu, GST yang dikenakan adalah:

  • jumlah GST = 6% x RM 566.04 = RM 33.96

Caj #8 – Caj-caj lain

Dalam pelaburan unit amanah, ada juga caj-caj lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung seperti caj bank, caj pemindahan wang, caj audit dan caj penilaian.

Oleh kerana semua caj ini kadarnya kecil atau tidak signifikan, jadi tidak dibincangkan secara terperinci di sini.

Contoh pengiraan caj pelaburan unit amanah

caj pelaburan unit amanahSetelah memahami semua jenis caj yang terlibat dalam pelaburan unit amanah, sebagai pelabur, bolehlah mengira berapa kos pelaburan yang terlibat dan juga unit yang diperoleh.

Contoh pengiraan bagi pelaburan baru/tambahan

Khairul baru mula melabur dalam Dana XYZ (harga semasa RM 0.80 seunit) sebanyak RM 10,000. Caj jualan yang dikenakan adalah 5%.

Kos yang terlibat bagi pelaburan baru/tambahan adalah caj jualan dan GST; pengiraannya adalah seperti yang berikut:

  • jumlah caj jualan = RM 10,000 – (RM 10,000 / 1 + 5%) = RM 476.19
  • jumlah GST = 6% x RM 476.19 = RM 28.57
  • jumlah pelaburan sebenar = RM 10,000 – RM 476.10 – RM 28.57 = RM 9,495.33
  • jumlah unit yang diperoleh = RM 9,495.33 / RM 0.80 = 11,869 unit

Jadi, dengan pelaburan sebanyak RM 10,000, Khairul mengeluarkan kos sebanyak RM 504.67 (caj jualan + GST), jumlah pelaburan sebenar adalah RM 9,495.33 manakala jumlah unit yang diperoleh adalah 11,869 unit.

Daripada pengiraan di atas, ditunjukkan bahawa caj jualan menyebabkan pelabur mengalami kerugian pada peringkat awal membeli dana unit amanah.

Malah, untuk mendapatkan keuntungan, memerlukan jumlah pulangan yang mesti mengatasi caj jualan yang dikenakan terlebih dahulu.

Sebab itulah, ada yang kata, dalam pelaburan unit amanah, yang untung dahulu adalah ejen dan syarikat pengurus dana, pelabur untung kemudian (itu pun kalau prestasi dana baik)

Contoh pengiraan bagi penukaran dana unit amanah (di bawah pengurus dana sama)

Hamid mempunyai 10,000 unit Dana PQR (harga semasa RM 0.70 seunit) dan sekarang beliau bercadang untuk membuat penukaran dana (switching) ke Dana DEF (harga semasa RM 0.50 seunit)

Andaikan syarikat pengurus dana tersebut mengenakan caj penukaran sebanyak RM 25 setiap transaksi, maka pengiraan yang terlibat adalah:

  • jumlah penebusan = 10,000 unit x RM 0.70/unit = RM 7,000
  • caj penukaran = RM 25, GST = 6% x RM 25 = RM 1.50
  • jumlah penukaran sebenar = RM 7,000 – RM 25 – RM 1.50 = RM 6.973.50
  • jumlah unit diperoleh = RM 6.973.50 / RM 0.50 = 13,947 unit

Jadi, selepas penukaran dana, Hamid kini mempunyai 13,947 unit Dana DEF.

Dapat dilihat bahawa apabila penukaran dana dilakukan (di bawah pengurus dana yang sama), pelabur tidak dikenakan caj jualan, sebaliknya hanya dikenakan caj penukaran sahaja (jika ada)

Namun, tetap ada kos yang perlu dikeluarkan.

Contoh pengiraan bagi penukaran dana unit amanah (pengurus dana berbeza)

Kita ambil contoh Khairul di atas.

Setelah beberapa tahun, Khairul mendapati dana unit amanahnya tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan. Walaupun jumlah unit yang dipegang beliau bertambah ke 13,000 unit (hasil daripada dividen), tetapi harga dana tersebut jatuh ke harga RM 0.70 seunit.

Setelah disarankan rakannya, beliau bercadang untuk bertukar ke dana JKL daripada syarikat pengurus dana berbeza. Harga dana JKL adalah RM 1.20 seunit manakala caj jualan adalah 5%

Pengiraan yang terlibat adalah:

1. Penebusan unit dana XYZ

  • jumlah penebusan = 13,000 unit x RM 0.70/unit = RM 9,100

Daripada sini, kita dapat lihat bahawa Khairul telah mengalami kerugian sebanyak RM 900 (RM 10,000 – RM 9,100) bagi pelaburan beliau dalam dana XYZ.

2. Pembelian unit dana JKL

  • jumlah caj jualan = RM 9,100 – (RM 9,100 / 1 + 5%) = RM 433.33
  • jumlah GST = 6% x RM 433.33 = RM 26.00
  • jumlah pelaburan sebenar = RM 9,100 – RM 433.33 – RM 26.00 = RM 8,640.67
  • jumlah unit yang diperoleh = RM 8,640.67 / RM 1.20 = 7,200 unit

Dapat dilihat bahawa apabila Khairul bertukar dana daripada syarikat pengurus dana yang berbeza, beliau akan dikenakan sekali lagi caj jualan apabila membeli dana baru.

Ini merupakan satu kerugian.

Sebab itulah apabila melabur dalam pelaburan unit amanah, tidak digalakan untuk terlalu kerap membuat penukaran dana sama ada di bawah pengurus dana yang sama atau pengurus dana yang berbeza, kecuali atas sebab atau justifikasi yang kukuh.

Semakin kerap bertukar dana, semakin banyak kos dikeluarkan.

Penutup

Itulah sahaja penerangan ringkas berkenaan jenis-jenis caj pelaburan unit amanah yang mesti diketahui oleh pelabur dan juga bakal pelabur.

Adanya caj-caj ini tidaklah menjadikan pelaburan unit amanah sebagai peluang pelaburan yang tidak baik.

Cuma sebagai pelabur yang bijak, kita mestilah mengambil kira caj-caj ini supaya dapat memastikan pelaburan yang dibuat mendatangkan keuntungan, bukan kerugian.

Berita baik, artikel ini ada sambungannya!

Dalam artikel sambungan nanti, saya akan terangkan beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan caj pelaburan unit amanah, terutamanya caj jualan.

Apabila caj berkurang, maka kos pun berkurang, dan keuntungan makin mudah diperoleh.

Nantikan ya sambungan artikel ini.

Akhir kata, semoga artikel kali ini memberikan manfaat kepada anda.

Kalau rasa dapat pengetahuan baru daripada artikel kali ini, jangan segan silu untuk kongsikan artikel ini, boleh?

..