Pengisytiharan Kadar Dividen KWSP 2016

kadar dividen KWSP 2016Semalam, pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen KWSP 2016, iaitu sebanyak 5.70% dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM 37.08 bilion.

Walaupun kadar dividen KWSP 2016 yang diumumkan adalah lebih rendah berbanding tahun 2010-2015, namun jumlah pengagihan pendapatan adalah lebih tinggi berbanding pengagihan pada 2010-2014.

Lagipun, dengan situasi ekonomi yang masih tidak menentu, kadar dividen KWSP 2016 sebanyak 5.70% adalah dianggap baik.

Berikut merupakan berita penuh berkenaan perkara ini sepertimana yang disiarkan di laman web rasmi KWSP:

KWSP Isytihar 5.70 Peratus Untuk Dividen 2016

Prestasi mampan dalam suasana pasaran tidak menentu

KUALA LUMPUR, 18 Februari 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan kelulusan Menteri Kewangan, hari ini mengisytiharkan 5.70 peratus sebagai kadar dividen KWSP 2016 dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion.

Pengerusi Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Kami amat sukacita kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.  Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.

KWSP mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM46.56 bilion pada 2016, naik 5.25 peratus berbanding RM44.23 bilion pada 2015.  Ini merupakan pendapatan pelaburan kasar tertinggi sejak penubuhan KWSP pada 1951 dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 11.10 peratus sejak 2001

Ini merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar.  Kadar dividen KWSP 2016 yang sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran.

Dalam tahun tersebut, KWSP berhadapan dengan persekitaran pelaburan yang mencabar berikutan berlakunya peristiwa yang membimbangkan seperti Brexit dan pilihanraya Presiden di Amerika Syarikat.  Sepanjang tahun 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang tidak memberangsangkan selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak, nilai matawang domestik yang lemah serta aliran keluar modal yang tinggi dari pasaran negara membangun kepada pasaran negara maju dan kepada matawang yang lebih selamat.

Baca juga:  Portal Tabung Haji Online THiJARI

“Majoriti pasaran dunia mengalami penyusutan pada awal tahun 2016 sekaligus menjejaskan prestasi KWSP.  Walau bagaimanapun, kami telah menggiatkan aktiviti pengambilan untung bermula suku tahun kedua (S2 2016) agar dapat mencapai sasaran strategik kami,” kata Tan Sri Samsudin.

Dalam tahun yang dikaji, Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pendapatan sebanyak 57.68 peratus, atau RM26.85 bilion, naik 3.23 peratus berbanding RM26.01 bilion pada 2015.  Pelaburan KWSP dalam instrumen berpendapatan tetap yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf serta Pinjaman & Bon menyumbang 34.87 peratus, atau RM16.23 bilion, daripada RM46.56 bilion pendapatan pelaburan untuk tahun tersebut.  Hartanah & Infrastruktur menyumbang RM2.49 bilion pendapatan pelaburan untuk 2016 dengan pertumbuhan tahunan 46.04 peratus berbanding 2015, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang RM982.28 juta pendapatan untuk tahun tersebut.

Pada ketika prestasi bon dan pasaran ekuti tempatan mengalami penurunan, strategi diversifikasi KWSP dalam aset dan matawang global telah membenarkan pengambilan untung dari pelbagai pasaran sepanjang tahun seterusnya membantu dalam meningkatkan prestasi.  Pelaburan luar negara, yang mewakili 29 peratus dari keseluruhan aset pelaburan, menyumbang 39 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar sepanjang tahun, seterusnya menambah nilai kepada pulangan keseluruhan pelaburan KWSP.

Tan Sri Samsudin berkata, “Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, yang mempunyai hampir 33 peratus pendedahan kepada sektor perbankan, merekodkan pulangan negatif untuk tiga tahun berturut-turut dengan pulangan tahun 2016 sebanyak -3.00 peratus. Ini memberi kesan terhadap nilai pasaran aset tersenarai yang dipegang oleh KWSP memandangkan lebih 70 peratus jumlah aset pelaburan dilabur dalam pasaran domestik.  Harga minyak mentah sedunia yang jatuh sehingga USD30 setong telah menjejaskan penilaian terhadap syarikat tersenarai dalam sektor minyak dan gas.  Oleh yang demikian, sebagai dana simpanan persaraan yang berhemah, adalah perlu untuk kami merekodkan penyusutan nilai pasaran (mark-to-market) dalam penyata kewangan kami.

Selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), KWSP dikehendaki mengisytihar rosot nilai bersih sebanyak RM8.17 bilion berbanding RM3.07 bilion pada 2015 bagi mencerminkan penurunan harga ekuiti, terutama dalam sektor perbankan domestik serta minyak dan gas bagi pasaran domestik dan luar negara.

Walau bagaimanapun, aset pelaburan KWSP yang bernilai RM731.11 bilion setakat 31 Disember 2016 berbanding jumlah simpanan ahli sebanyak  RM704.27 bilion menandakan kekukuhan portfolio pelaburan KWSP.

kadar dividen KWSP 2016Setakat 31 Disember 2016, sebanyak 48.58 peratus daripada aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap dan 42.33 peratus dalam Ekuiti, manakala selebihnya 4.03 peratus dan 5.06 peratus masing-masing dalam Hartanah & Infrastruktur dan Instrumen Pasaran Wang.  Oleh itu, secara semulajadinya prestasi pelaburan KWSP adalah menjurus ke arah pulangan instrumen berpendapatan tetap.

Bagi tahun 2016, amaun pendapatan yang diagihkan sebagai dividen adalah lebih tinggi daripada amaun yang diagihkan pada 2014 walaupun kadar dividen pada 2014 adalah lebih tinggi pada 6.75 peratus. Ini berikutan jumlah pengagihan untuk setiap satu (1) peratus kadar dividen pada 2016 adalah RM6.51 bilion berbanding RM5.43 bilion pada 2014. Jumlah yang diperlukan untuk pengagihan setiap satu (1) peratus kadar dividen terus meningkat sebanyak 9.5 peratus setahun sejak 2001 selaras dengan pertumbuhan baki simpanan ahli untuk tempoh yang sama. 

“Sejak krisis kewangan global pada 2008, KWSP telah mengagihkan RM236.07 bilion dividen kepada ahlinya,” kata Tan Sri Samsudin.

Pembayaran dividen diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Baca juga:  [VIDEO] 5 Cara Simpan Duit Untuk Yang Sering Gagal Menyimpan

Sementara itu, KWSP kekal berhemah dalam perbelanjaan seperti yang dicerminkan oleh nisbah kewangan utamanya yang konsisten, termasuk kos kepada aset di bawah pengurusan sebanyak 0.25 peratus (2015: 0.26 peratus), kos kepada pendapatan kasar pada 2.56 peratus (2015: 2.68 peratus) dan kos kepada jumlah aset pada 0.16 peratus (2015: 0.17 peratus).

Mengulas tentang keadaan ekonomi pada 2017, Tan Sri Samsudin berkata ketidaktentuan pasaran akan terus menjadi kebimbangan kerana implikasi sebenar daripada Brexit dan hala tuju polisi yang jelas di bawah pentadbiran Trump masih belum terungkai.

“Strategi diversifikasi kami telah terbukti berkesan terutamanya di waktu sukar, dan kami akan terus meningkatkan pendedahan kepada pelaburan alternatif terutama dalam Hartanah dan Infrastruktur selari dengan objektif kami sebagai pelabur jangka panjang untuk memberikan pulangan yang konsisten kepada ahli.  Kelas aset ini juga bertindak sebagai instrumen lindung nilai semulajadi terhadap inflasi.”

Bermula 2017, prestasi KWSP akan dilaporkan mengikut Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi pengumuman prestasi suku tahun dan tahunan.  Sehingga 23 Disember 2016, sebanyak 635,037 ahli telah bertukar ke Simpanan Shariah, dengan penggunaan alokasi sebanyak RM59.03 bilion daripada alokasi RM100 bilion yang ditawarkan.

Ahli boleh menyemak pengkreditan dividen 2016 melalui penyata KWSP mereka bermula Ahad, 19 Februari 2017 melalui i-Akaun di laman web KWSP. Selain itu, ahli juga boleh mendapatkan penyata KWSP melalui Kiosk KWSP atau hadir ke mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.

Nota penulis:

Mungkin ramai yang kecewa dengan pengisytiharan kadar dividen KWSP 2016 yang rendah, namun inilah lumrah pelaburan pada zaman situasi gawat sebegini.

Tambahan lagi, dengan jumlah simpanan yang besar, sudah tentu sukar bagi pihak KWSP untuk mencatatkan lebih banyak pendapatan bagi memberi pengagihan pendapatan yang lebih besar.

Diharapkan, situasi akan bertambah baik dan pihak KWSP dapat mengisytiharkan kadar dividen KWSP yang lebih baik pada masa akan datang.

Oh ya, anda dah semak pendapatan yang diperoleh hasil kadar dividen KWSP 2016 ini?

Saya dah semak, mudah sahaja melalui i-Akaun.

Bagi yang masih belum ada i-Akaun, sangat disarankan untuk mendaftar akaun online ini.

kadar dividen KWSP 2016

Baca juga:  Portal Tabung Haji Online eTHiJARI

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

1 Comment

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini