Tag Archive: urus harta pusaka tanpa wasiat

Cara Urus Harta Pusaka Tanpa Wasiat

cara urus harta pusaka tanpa wasiatAdakah anda semua pernah ambil tahu macam mana cara urus harta pusaka tanpa wasiat bagi orang Islam di Malaysia?

Bayangkan dalam masa terdekat ini, salah seorang anggota keluarga anda meninggal dunia, meninggalkan harta pusaka tetapi tidak meninggalkan wasiat.

Ditakdirkan, anda merupakan salah seorang waris kepada simati, maka menjadi tanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan tersebut.

Adakah anda tahu bagaimana nak uruskan?

Nak buat apa dahulu, kena sediakan dokumen apa, nak pergi ke mana?

Semua ini perlu difikirkan oleh waris-waris.

Apabila mati sahaja seseorang, semua harta simati sama ada harta alih seperti wang, saham, ASB, TH dan harta tak alih seperti tanah, rumah, dibekukan.

Maksud dibekukan adalah harta tersebut tidak boleh dicairkan, dijual dan dipindah nama.

Contohnya jika waris ke bank dan nak keluarkan duit simati daripada akaun beliau, bank tidak akan lepaskan.

Malah, bank mungkin tidak akan memaklumkan baki simpanan arwah pun.

Bank mungkin hanya berikan maklumat asas sahaja seperti nombor akaun simpanan simati sahaja, tiada maklumat lain.

Begitu juga jika ke pejabat tanah, hanya boleh buat carian sahaja ke atas tanah atau rumah ditinggalkan simati.

Tidak boleh dibuat pindahan nama ke mana-mana waris.

Jadi, sekarang, macam mana nak uruskan harta pusaka tanpa wasiat?

Macam mana nak cairkan semua harta pusaka ini supaya dapat diuruskan dan dibahagi kepada waris-waris.

Jom kita study.

Cara urus harta pusaka tanpa wasiat

Cara urus harta pusaka tanpa wasiat adalah berbeza dengan yang ada wasiat.

Secara ringkasnya, jika tanpa wasiat, waris-waris perlu melantik seorang pentadbir dan dapatkan Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Agreement, LA).

Dengan LA ini, barulah pentadbir boleh cairkan harta pusaka yang ditinggalkan untuk diuruskan dan dibahagi kepada waris-waris mengikut bahagian masing-masing.

Namun, proses untuk mendapatkan LA ini bukan mudah ya.

Ini yang perlu dilakukan:

#1 Kenalpasti waris-waris si mati

Waris perlu kenalpasti siapa waris-waris yang mempunyai hak ke atas harta pusaka si mati.

Di sini, pengetahuan berkaitan waris faraid perlu ada supaya dapat kenalpasti semua waris yang ada dan mengelakkan keciciran.

Sebagai panduan, boleh kenalpasti waris utama iaitu isteri, ibu, bapa dan anak.

Waris atas seperti datuk, nenek, bapa saudara dan ibu saudara, manakala waris bawah seperti cucu dan cicit.

Waris sisi pula adalah adik-beradik si mati sama ada adik-beradik kandung seibu sebapa, seibu sahaja atau sebapa sahaja.

Perlu kenalpasti juga ‘waris lapis’, maksudnya waris yang menggantikan waris asal yang telah mati selepas simati namun belum terima agihan pusaka.

#2 Kumpul maklumat semua waris

Selepas dapat jejak waris, kena kumpul maklumat dan dokumen pengenalan setiap waris.

Jika ada waris yang telah meninggal dunia, perlu dapatkan sijil kematian waris tersebut.

#3 Semua waris berkumpul dan lantik Pentadbir

Semua waris perlu berkumpul dan bersepakat untuk melantik seorang Pentadbir.

Pentadbir akan memainkan peranan besar dalam pentadbiran dan pembahagian pusaka nanti.

Jadi, perlu lantik Pentadbir yang amanah, adil dan bertanggungjawab.

#4 Kumpul maklumat dan dokumen berkaitan harta simati

Semua maklumat dan dokumen harta simati perlu dikumpulkan.

Contohnya nombor akaun bank, Tabung Haji, ASB, KWSP.

Begitu juga geran kereta, motosikal, tanah dan rumah.

Kalau perlu buat carian rasmi, kena pergi ke Pejabat Tanah untuk buat carian rasmi.

Kalau tanah berada di negeri lain, kena pergi ke Pejabat Tanah di negeri tersebut.

#5 Penilaian harta simati

Penilaian ke atas semua harta pusaka yang ditinggalkan perlu dibuat untuk tahu nilai semuanya.

Nilaian harta ini akan menentukan tempat untuk memohon LA nanti.

#6 Mohon Sijil Faraid di Mahkamah Syariah

Sebelum mohon LA, waris-waris perlu mohon Sijil Faraid terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah.

Di dalam sijil ini, akan dinyatakan siapa waris yang layak dan berapa bahagian yang patut diterima mengikut faraid.

Selain Mahkamah Syariah, Pejabat Pusaka Kecil juga boleh keluarkan Sijil Faraid jika pentadbiran harta pusaka dijalankan di sana.

#7 Mohon Surat Kuasa Mentadbir

Berdasarkan nilaian harta, boleh ke mohon Surat Kuasa Mentadbir ke tempat yang sepatutnya:

  • Harta tak alih < RM 600,000 – Amanah Raya Berhad
  • Harta alih & tak alih < RM 2 juta – Pejabat Pusaka Kecil
  • Harta alih > RM 600,000 atau harta alih & tak alih > RM 2 juta – Mahkamah Tinggi

Jika perlu ke Mahkamah Tinggi, perlu lantik peguam, cari 2 orang penjamin yang mempunyai harta bernilai lebih RM 2 juta dan sediakan bon pentadbiran.

Walaubagaimanapun, pemohon boleh memohon pengecualian penjamin dan bon pentadbiran kepada hakim.

#8 Hadir perbicaraan pada tarikh ditetapkan

Semua waris yang berkenaan perlu hadir pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan.

Jika ada waris tidak dapat hadir, perlu isi borang khas untuk memohon pengecualian kehadiran.

#9 Surat Kuasa Mentadbir dikeluarkan

Selepas perbicaraan selesai dan pihak berkenaan berpuas hati dengan segala keterangan serta dokumen yang dikemukakan, akhirnya Surat Kuasa Mentadbir dikeluarkan kepada Pentadbir yang dilantik.

Dengan surat kuasa ini, Pentadbir boleh mencairkan aset-aset simati dan menguruskannya seterusnya.

Boleh ke bank untuk memindahkan baki wang, boleh ke JPJ untuk tukar nama kereta motorsikal, boleh ke Pejabat Tanah untuk memindahkan nama pada geran tanah.

Namun, tugas Pentadbir bukan setakat mengagihkan harta sahaja.

Banyak lagi tugas lain yang perlu dilakukan ke atas harta tersebut.

urus harta pusaka

Masalah yang boleh timbul jika urus harta pusaka tanpa wasiat

Begitulah prosedur yang perlu dilalui bagi urus harta pusaka tanpa wasiat.

Panjang prosedurnya, banyak yang perlu dilalui.

Tempoh masa pun panjang, bergantung kepada kesepakatan waris-waris, kesediaan dokumen-dokumen dan kelancaran perbicaraan.

Paling singkat pun, sekitar 6 ke 12 bulan.

Kalau ada gangguan kat mana-mana, makin tertangguhlah nak dapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

Antara masalah yang boleh timbul adalah:

  • Waris tidak tahu prosedur sebenar, tak tahu nak mula dari mana
  • Waris tidak dijumpai/dokumen waris tidak lengkap
  • Waris tidak sepakat, tidak mahu beri kerjasama
  • Waris tamak, degil, tidak mahu mengalah
  • Tiada yang sudi jadi pentadbir kerana tanggungjawab berat
  • Dokumen harta tidak lengkap, hilang, tidak cukup maklumat tentang harta
  • Tiada masa untuk uruskan semua prosedur kerana sibuk bekerja
  • Tidak cukup wang untuk tampung kos mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir

Dan banyak lagi masalah yang mungkin timbul.

Maklumlah, apabila tiada wasiat, seolah-olahnya segala urusan berkaitan harta pusaka yang ditinggalkan simati diserahkan sepenuhnya kepada waris-waris.

Tiada panduan daripada pemilik asal harta iaitu simati.

Dan kerana masalah-masalah sebeginilah yang menyebabkan banyak harta pusaka umat Islam di Malaysia terbeku tidak dapat digunakan.

Yang ruginya adalah waris-waris kerana tidak dapat memanfaatkan harta pusaka yang ditinggalkan simati.

Simpati juga kepada simati kerana harta yang dikumpulnya selama hidup dengan niat untuk kegunaan waris-waris, namun tidak dapat digunakan sepertimana dikehendaki.

Bagaimana nak elakkan semua masalah berkaitan urus harta pusaka tanpa wasiat ini?

Ada caranya, iaitu dengan membuat WASIAT.

Nanti dalam artikel seterusnya saya tunjukkan apa prosedur atau cara urus harta pusaka dengan wasiat.

Boleh bandingkan dengan apa yang telah ditulis di atas.

Ramai yang sangka, sediakan wasiat adalah perkara yang rumit dan memerlukan kos yang tinggi.

Walhal, mudah dan murah sahaja.

Jika tidak tahu caranya, boleh dapatkan nasihat daripada perancang harta pusaka Islam.

Itulah sahaja untuk kali ini.

Kita jumpa di artikel seterusnya.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

Izzuddin Jaaffar
Perancang Harta Pusaka Islam
as-Salihin Trustee Berhad
013-9798719 / 010-4598719
facebook.com/jomurusduit
jomurusduit.com
wa.me/60139798719