Tahap Literasi Pengurusan Kewangan Rakyat Malaysia
Pada 23 Julai 2019 baru-baru ini, pihak Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan (MoF) telah membentangkan hasil kajian tahap pengurusan kewangan rakyat Malaysia dan seterusnya melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023.
Kenapa pelancaran ini dibuat?
Pelancaran ini adalah bermatlamat untuk meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia dan menggalakkan tabiat kewangan yang bertanggungjawab, seterusnya mensejahterakan tahap kewangan rakyat Malaysia.
Secara peribadi, saya rasa pelancaran ini adalah satu usaha yang murni daripada pihak kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran pengurusan kewangan rakyat Malaysia.
Lagipun, mengikut kajian yang dibentangkan semasa pelancaran strategi tersebut, tahap literasi pengurusan kewangan rakyat Malaysia masih sederhana dan boleh ditambah baik.
Saya sebenarnya rasa amat tertarik dengan hasil kajian yang dibentangkan tersebut kerana terdapat beberapa penemuan yang amat ‘menarik’.
Nak tahu bagaimana tahap literasi kewangan rakyat Malaysia?
Jom kita lihat satu per satu.
Tahap semasa literasi kewangan rakyat Malaysia
Tahap pengetahuan kewangan
#1 – Rakyat Malaysia memiliki tahap keyakinan yang rendah terhadap pengetahuan kewangan mereka sendiri. 1 daripada 3 rakyat Malaysia merasakan mereka mempunyai pengetahuan kewangan yang rendah.
Ulasan: Maka, strategi yang dilancarkan kerajaan adalah langkah yang penting untuk meningkatkan keyakinan dan pengetahuan pengurusan kewangan rakyat Malaysia. Dan rakyat Malaysia pula, seharusnya mengambil peluang untuk sentiasa belajar bagi meningkatkan literasi pengurusan kewangan mereka sendiri.
#2 – Isi rumah yang berpendapatan rendah cenderung untuk memiliki tahap pengetahuan kewangan yang rendah.
Ulasan: Mungkin mereka yang berpendapatan rendah berpendapat bahawa mereka sentiasa kekurangan wang, maka tidak perlu untuk mereka belajar cara urus wang. Sebenarnya, tak kira anda berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi, semua perlu mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang baik supaya duit yang diperoleh dapat diuruskan dengan baik.
#3 – 75% rakyat Malaysia memahami bahawa inflasi bermaksud kos sara hidup akan meningkat, tetapi hanya 38% dapat mengaitkan kesan inflasi kepada kuasa beli mereka sendiri.
Ulasan: Suka atau tidak, inflasi akan tetap berlaku sepanjang masa disebabkan oleh banyak faktor. Kita sendiri pun boleh rasa kan, bagaimana harga barang meningkat dari semasa ke semasa. Amaun duit yang dulu dirasakan mewah, sekarang boleh habis dalam masa sekejap sahaja. Inflasi memang akan menjejaskan kuasa beli kita. Oleh itu, kita perlu bijak untuk mengurus wang kita agar tidak terjejas teruk dengan inflasi.
#4 – 43% rakyat Malaysia memahami bahawa wang bertambah pada asas kompaun mengikut peredaran masa, sementara 22% percaya bahawa wang bertambah secara malar.
Ulasan: Ini adalah pengetahuan asas berkaitan pelaburan wang. Bagi mereka yang melabur, adalah digalakkan untuk memahami tentang pertambahan kompaun dan seterusnya memanfaatkannya, agar pulangan yang diperoleh adalah lebih baik.
#5 – 92% rakyat Malaysia mempunyai produk deposit. Tidak ramai mempunyai produk pelaburan.
Ulasan: Produk deposit adalah seperti akaun simpanan, manakala produk pelaburan adalah seperti deposit tetap, unit amanah, bon dan saham. Nampaknya, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak melaburkan wang mereka. Mungkin kurang ilmu dan pendedahan, mungkin juga takut nak melabur. Agak rugi sebenarnya jika tidak melabur, lagi-lagi di Malaysia ini banyak produk pelaburan yang baik. Anda sendiri, dah melabur?
Simpanan & belanjawan
#1 – 1 daripada 10 rakyat Malaysia mempercayai bahawa mereka tidak berdisiplin dalam mengurus kewangan mereka.
Ulasan: Nak urus kewangan dengan lebih baik, wajib ada disiplin yang tinggi.
#2 – 84% rakyat Malaysia mendakwa mereka menyimpan secara tetap hanya untuk jangka masa terdekat, iaitu simpanan tersebut kebiasaannya dikeluarkan pada akhir bulan untuk menampung perbelanjaan harian.
Ulasan: Yang baiknya, kalau wujudkan tabung simpanan yang berbeza dengan matlamat yang berbeza. Contohnya tabung melancong, tabung barang idaman, tabung kecemasan, tabung pendidikan anak dan tabung persaraan. Tetapkan matlamat tabung untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
#3 – 76% rakyat Malaysia mempunyai bajet untuk berbelanja, tetapi 2 daripada 5 mendapati sukar untuk mengikutinya.
Ulasan: Merancang bajet belanja sendiri adalah perkara yang sangat baik. Tetapi, berbalik kepada poin #1 di atas, disiplin sangat penting.
#4 – 1 daripada 5 orang dewasa Malaysia yang bekerja tidak membuat simpanan dalam tempoh enam bulan sebelumnya.
Ulasan: Minima simpanan yang perlu dibuat sebaik-baiknya 10% daripada pendapatan bulanan. Simpan setiap bulan, jangan keluarkan untuk dibelanjakan.
#5 – 3 daripada 10 orang dewasa Malaysia yang bekerja perlu meminjam wang untuk membeli barangan keperluan asas.
Ulasan: Apakah puncanya? Adakah kerana pendapatan yang tidak cukup? Atau perbelanjaan yang tidak terkawal? Adakah anda juga mengalami masalah ini? Selain meminjam, ada solusi lain tak? Bagi saya, lebih baik berusaha lakukan kerja tambahan untuk tambah pendapatan.
Kesediaan untuk menghadapi situasi luar jangkaan
#1 – 52% rakyat Malaysia berasa sukar untuk menyediakan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.
#2 – Hanya 24% rakyat Malaysia dapat menampung perbelanjaan sara hidup untuk sekurang-kurangnya 3 bulan atau lebih sekiranya kehilangan sumber pendapatan utama mereka (10% boleh bertahan untuk lebih daripada 6 bulan).
Ulasan: Untuk poin #1 dan #2 ini, berkait dengan dana kecemasan. Setiap orang kena ada dana kecemasan untuk menghadapi situasi-situasi yang di luar jangkaan.
#3 – Hanya 17% rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat dan perlindungan takaful.
Ulasan: Andai ditimpa musibah seperti kematian, kemalangan, kelumpuhan, sakit, insurans hayat dan perlindungan takaful dapat membantu. Jadi, ambillah insurans hayat dan perlindungan takaful mengikut keperluan dan kemampuan sendiri.
Merancang untuk persaraan
#1 – 41% rakyat Malaysia bergantung pada simpanan KWSP mereka sebagai sumber pendapatan utama untuk persaraan.
Ulasan: Usahlah hanya bergantung kepada simpanan KWSP atau bayaran pencen (bagi kakitangan kerajaan) sahaja apabil bersara nanti. Rancang dari sekarang untuk wujudkan juga tabung persaraan sendiri di samping simpanan KWSP dan bayaran pencen. Tabung persaraan tersebut boleh sahaja dalam bentuk pelaburan, bisnes sendiri atau pun hartanah yang disewakan. Tak kisah, yang penting ada sumber pendapatan tambahan yang boleh digunakan semasa bersara nanti.
#2 – Hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak yakin mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk persaraan.
#3 – 16% rakyat Malaysia sangat bimbang tentang perbelanjaan isi rumah pada usia tua mereka.
Ulasan: Untuk poin #2 dan #3, kalau tak nak alami situasi sebegini, bina tabung persaraan secepat mungkin. Seawal hari pertama bekerja lagi.
#4 – 68% daripada ahli KWSP yang aktif tidak mencapai Simpanan Asas yang disyorkan mengikut kumpulan umur. Jumlah Simpanan Asas yang disyorkan pada umur 55 tahun ialah RM240,000, yang membolehkan pengeluaran bulanan sebanyak RM1,000 untuk tempoh 20 tahun selepas bersara.
Ulasan: Maksudnya lebih daripada separuh tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk menampung perbelanjaan asas apabila bersara nanti, jika hanya bergantung kepada simpanan KWSP. Nak harapkan anak-anak? Takut anak-anak nanti pun terbeban dengan perbelanjaan mereka sendiri.
#5 – 6 daripada 10 pekerja Malaysia bekerja sendiri dan tidak tergolong sebagai tenaga kerja dan tidak dilindungi oleh sebarang sistem persaraan atau pencen yang formal.
Ulasan: Walaupun bekerja sendiri, janganlah lupa untuk membina tabung persaraan sendiri. Takkanlah nak bekerja sehingga usia tua sehingga akhir hayat. Sampai masa, berehatlah dan nikmati hasil yang disimpan selama ini. Lagi cepat lagi baik. Bak kata orang, retire young retire rich.
Kesedaran tentang risiko dan pulangan pelaburan
#1 – Pelabur didapati mempunyai jangkaan yang tidak realistik terhadap pulangan tahunan daripada pelaburan di dalam produk pasaran modal.
#2 – Persepsi pelabur tentang jumlah kerugian yang sanggup mereka terima menunjukkan kekurangan pengetahuan mereka tentang tahap risiko pelaburan dalam pasaran modal.
Ulasan: Jika dilihatkan kepada graf yang ditunjukkan, ramai percaya yang pulangan tahunan pelaburan yang tinggi haruslah 42% ke atas. Pulangan tahunan 12% dianggap rendah sahaja. Ini memang sesuatu yang mengejutkan. Jangkaan rakyat Malaysia memang tidak realistik. Agak sukar untuk mencari pelaburan yang boleh beri keuntungan lebih daripada 12% setahun, lebih-lebih lagi yang berisiko rendah.
Lihat sahaja Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang antara berisiko rendah, pulangan tahunan pun sekitar 7% sahaja. Unit amanah ekuiti pula ada yang sekitar 10% sahaja, itu pun dengan risiko kerugian yang lebih tinggi berbanding ASB. Begitu juga dengan pelaburan saham.
Melihatkan kepada statistik ini, tidak hairanlah ramai yang terjebak dengan skim pelaburan tipu yang menjanjikan pulangan pelaburan yang tinggi. Sebab ramai rakyat Malaysia yang tidak realistik, mengharapkan pulangan pelaburan yang tinggi dengan risiko yang rendah.
Kesimpulan
Seperti yang saya katakan di awal artikel tadi, berdasarkan dapatan yang diperoleh ini, amat tepatlah Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan dilancarkan untuk meningkatkan tahap literasi pengurusan kewangan rakyat Malaysia agar dapat mencapai pengurusan kewangan peribadi yang baik.
Antara strategi yang dirancang adalah seperti peningkatan kerjasama awam-swasta, penerapan nilai murni sedari kecil, pendidikan kewangan kepada semua, promosi pengurusan kewangan bijak dan banyak lagi.
Diharapkan, segala strategi dan pelan tindakan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.
Dan yang lebih penting, rakyat Malaysia mengambil peluang untuk memanfaatkan segala perancangan yang dilaksanakan tersebut.
Apalah gunanya merancang strategi dan melaksanakan pelan tetapi kumpulan sasarannya tidak memberikan kerjasama untuk menjayakannya.
Oleh itu, marilah kita sama-sama terlibat secara aktif dengan segala aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah strategi ini agar dapat meningkatkan pengetahuan dan seterusnya membantu menguruskan kewangan peribadi dengan lebih baik.
Sekian.
Nota kaki: Sumber termasuk FCI 2018, AFBES 2018, ACM 2018, Statistik KWSP. Simpanan Asas akan disemak semula berdasarkan kadar pencen minimum kakitangan sektor awam atau pada setiap tiga tahun mengikut mana yang terdahulu.
Rujukan: Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023
p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya. Terima kasih.