6 Tips Penting Beli Rumah Subsale Secondhand
Baru-baru ini saya mendapat satu soalan daripada pembaca blog JomUrusDuit.com menerusi emel, yang mana beliau bertanya tentang tips dan cara beli rumah subsale atau secondhand daripada pemilik rumah untuk elakkan daripada tertipu.
Ini adalah soalan yang ditanyakan:
“Salam, Tuan. Saya ingin bertanyakan tentang langkah-langkah membeli rumah kediaman dengan pemilik rumah/orang perseorangan, supaya dapat mengelakkan dari unsur-unsur penipuan, sehingga kita sah (secara undang-undang) telah membeli/memiliki rumah tersebut.
Terima kasih.”
Saya telah pun jawab soalan beliau secara ringkas, dan saya yakin ramai juga yang bertanyakan soalan yang sama.
Jadi, kali ini saya nak kongsikan tips dan cara beli rumah subsale secondhand agar tidak tertipu.
Apa itu rumah subsale?
Secara asasnya, rumah subsale adalah rumah yang dibeli daripada pihak kedua atau ketiga selepas pihak pemaju asal.
Dalam bahasa yang lebih mudah, rumah subsale adalah rumah secondhand.
Si A beli rumah under construction daripada pemaju.
Selepas rumah siap, si A tinggal di rumah tersebut, atau sewakan kepada orang lain.
Selepas suatu tempoh, si A berhasrat nak jual rumah tersebut, maka rumah itu adalah rumah subsale.
Apa yang best dengan beli rumah subsale?
Beli rumah subsale ada kelebihan-kelebihan yang tersendiri.
Antaranya, kurang risiko rumah terbengkalai atau tak siap, sebab rumah subsale sudah tentu rumah yang dah siap.
Malah, pembeli boleh periksa dulu keadaan rumah dan juga persekitaran, untuk pastikan rumah tersebut memang dalam keadaan yang baik dan selamat untuk diduduki.
Lagi, kebiasaannya rumah subsale ini dijual pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran atau rumah baru.
Jadi, bagi yang nak beli rumah pada harga murah,mencari rumah subsale adalah pilihan yang baik.
Tambahan lagi, pembeli boleh berunding lagi dengan tuan rumah untuk dapatkan harga yang lebih rendah.
Boleh jimat kos beli rumah lagi.
Bagaimana cara beli rumah subsale secondhand?
Cara beli rumah subsale sebenarnya lebih kurang sama sahaja dengan cara beli rumah baru under construction.
Secara ringkasnya, proses-proses yang terlibat adalah:
- Mencari rumah yang sesuai yang memenuhi citarasa
- Membayar bayaran booking atau deposit
- Sediakan dokumen-dokumen berkaitan
- Menandatangani perjanjian jual-beli (sale-purchase agreement)
- Memohon pembiayaan pinjaman perumahan (jika tidak bercadang beli secara tunai)
- Selesaikan urusan-urusan pemindahan nama dan gadaian kepada peminjam
Ada risiko ke beli rumah subsale atau secondhand?
Sudah tentu.
Beli rumah subsale tetap ada risikonya.
Risiko yang paling besar, ditipu.
Dikatanya rumah adalah miliknya, walhal milik pihak lain.
Apabila bayaran diterima, duit dibawa lari.
Pembeli pula melopong; duit habis, rumah tak dapat.
Jadi, bagaimana nak elakkan daripada ditipu apabila beli rumah subsale secondhand?
Ada beberapa perkara yang perlu dititik beratkan.
Tips beli rumah subsale secondhand
Tips #1 – Dapatkan khidmat peguam hartanah
Jika dilihat semula kepada cara beli rumah subsale yang saya nyatakan di atas tadi, pembelian rumah akan melibatkan banyak dokumen, perjanjian dan juga pindahan hakmilik rumah.
Jadi, amat penting untuk dapatkan khidmat daripada peguam hartanah yang sah agar semua proses dapat berjalan dengan lancar.
Malah, peguam juga dapat membantu pembeli untuk memahami terma-terma yang ditetapkan pihak penjual dan juga pihak pembiaya, supaya terma-terma yang dikenakan tidak menindas pembeli.
Memang mendapatkan khidmat peguam akan melibatkan kos, tetapi berbaloi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Walaupun pihak penjual ada sediakan peguam, lebih baik untuk dapatkan khidmat peguam berasingan yang mewakili pihak pembeli.
Untuk dapatkan peguam pula, pastikan peguam tersebut mempunyai lesen praktis yang sah dan berdaftar dengan Badan Peguam Malaysia (The Malaysian Bar)
Boleh semak di laman web mereka.
Yang penting, jangan tandatangan apa-apa dokumen perjanjian tanpa memahami terma-terma yang dinyatakan.
Dapatkan nasihat daripada peguam terlebih dahulu.
Dah faham, setuju, baru tandatangan.
Tips #2 – Berurusan dengan agen/perunding hartanah yang sah
Dalam banyak situasi, tuan rumah menyerahkan semua urusan penjualan rumah mereka kepada perunding hartanah.
Jika anda sebagai bakal pembeli berurusan dengan perunding hartanah, pastikan perunding hartanah tersebut adalah sah dan berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, dan Ejen Harta Tanah Malaysia (LPPEH)
Bagaimana nak pastikan mereka adalah sah dan berdaftar?
Apabila berurusan dengan mereka, pastikan mereka mempunyai tag/kad nama dan dapatkan nombor pendaftaran mereka.
Kemudian, boleh semak nombor pendaftaran tersebut di sini: http://search.lppeh.gov.my/
Jika tak ada, atau keluar maklumat yang berlainan, maka berhati-hati.
Di samping itu, dapatkan juga maklumat berkaitan syarikat atau firma di mana perunding tersebut berkhidmat.
Boleh semak sama ada syarikat tersebut betul-betul wujud atau tidak dan pastikan lokasinya dengan tepat.
Tips #3 – Lawat dan periksa rumah yang hendak dibeli
Saya pernah mempunyai pengalaman hampir ditipu semasa hendak membeli rumah subsale.
Selepas melihat satu iklan jualan rumah dan tertarik dengan harganya yang lebih murah berbanding harga pasaran, saya menghubungi perunding hartanah yang mengiklankan rumah tersebut.
Saya diberi gambar-gambar rumah tersebut, dan dimaklumkan bahawa rumah tersebut adalah rumah baru yang mana tuan rumahnya tak jadi nak duduk, berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecacatan major.
Memang saya cukup tertarik untuk dapatkan rumah tersebut, sebab lokasinya pun strategik.
Mujurlah saya pergi melawat ke rumah tersebut untuk meninjau dahulu keadaan dan sekitarnya.
Rupa-rupanya, rumah tersebut mempunyai banyak kerosakan dan kecacatan, malah merupakan rumah terbengkalai yang baru siap selepas hampir 10 tahun.
Susun atur bilik dan ruang pun memang pelik dan tidak kena.
Akhirnya, saya batalkan hasrat membeli rumah tersebut.
Oleh itu, sebagai nasihat kepada yang nak beli rumah subsale, luangkan masa untuk melihat sendiri rumah yang hendak dibeli.
Periksa keadaan rumah, aksesori, kelengkapan elektrik, bekalan air dan semua ruang yang ada di rumah tersebut.
Kalau ada sebarang kerosakan, minta dibaiki terlebih dahulu atau minta diskaun.
Periksa juga kejiranan dan kawasan sekitarnya dari segi kemudahan, keselesaan, trafik, suasana dan keselamatan.
Biar betul-betul puas hati, baru buat keputusan untuk beli.
Tips #4 – Buat kajian pasaran harga rumah
Tak semestinya rumah subsale dijual pada harga lebih murah daripada harga pasaran.
Kadang-kadang, tuan rumah mark-up harga sebab ambil kira pengubahsuaian yang telah dilakukan atau kelengkapan rumah yang telah ada.
Kadang-kadang juga, perunding hartanah yang mark-up harga untuk menampung kos operasi mereka dan mendapatkan lebih pendapatan.
Oleh itu, sebagai bakal pembeli, boleh buat kajian pasaran dahulu tentang harga rumah di kawasan sekitar tersebut.
Boleh buat anggaran harga pasaran dengan membuat analisa melalui laman-laman web jualan rumah seperti Mudah.my, iProperty, PropertyGuru dan StarProperty
Nak lebih mudah lagi, dapatkan khimat penilai hartanah untuk tentukan harga rumah yang dijual tersebut berbaloi untuk dimiliki atau tidak.
Kalau harganya terlalu tinggi, boleh berunding untuk dapatkan harga yang lebih baik.
Tips #5 – Semak dan sahkan semua dokumen berkaitan
Sebelum beli rumah subsale, dapatkan semua dokumen berkaitan seperti geran atau dokumen hakmilik dan salinan kad pengenalan pemilik rumah.
Periksa supaya nama pada dokumen hakmilik dan kad pengenalan adalah sama.
Sahkan juga kesahihan dokumen tersebut dengan pihak berwajib seperti pejabat tanah.
Kalau tak ada masa, boleh minta bantuan daripada peguam hartanah yang dilantik.
Ini penting untuk betul-betul pastikan bahawa rumah tersebut adalah milik tuan rumah yang dinyatakan.
Sebab pernah berlaku kes, ada pembeli membeli rumah daripada seseorang yang mengaku sebagai pemilik rumah, walhal dirinya bukan pemilik sebenar.
Pembeli ditipu dengan dokumen-dokumen palsu yang sengaja direka.
Akibatnya, duit hilang, rumah tak dapat.
Tips #6 – Berhati-hati membuat sebarang bayaran
Apabila membeli rumah, sudah pasti akan melibatkan sejumlah wang yang besar.
Tak kira sama ada untuk bayar booking fee, deposit atau bayaran penuh harga rumah tersebut, semua ini melibatkan pemindahan wang daripada pembeli atau pembiaya kepada penjual atau wakilnya.
Jika tersilap langkah, senang-senang sahaja boleh ditipu.
Duit diberi, tetapi dibawa lari.
Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati, pastikan segala bayaran dibuat melalui peguam hartanah yang dilantik
Jika dibuat bayaran terus kepada penjual atau wakilnya pun, pastikan disokong dengan dokumen yang sah seperti resit atau invois.
Pastikan resit tersebut mempunyai maklumat yang lengkap seperti tarikh, jumlah bayaran, nama penerima, nama pemberi dan tandatangan.
Dan lebih baik lagi jika ada saksi yang menyaksikan pembayaran tersebut.
Jika bayaran dibuat kepada perunding hartanah, lebih baik dilakukan di pejabat syarikat perunding hartanah tersebut.
Penutup
Membeli rumah subsale secondhand adalah salah satu pilihan yang baik bagi orang ramai untuk mendapatkan rumah idaman.
Walaubagaimanapun, jangan biarkan emosi dan sikap terburu-buru mempengaruhi sebarang keputusan dan tindakan semasa membuat pembelian rumah.
Pastikan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga untuk mengelakkan ditipu dan mengalami kerugian.
Itu sahaja untuk kali ini, semoga bermanfaat.
Jumpa lagi!
p/s: Jika ada sebarang soalan berkenaan topik pengurusan kewangan peribadi atau yang barkaitan, boleh ajukan kepada kami di sini: Hubungi Penulis
p/p/s: Jangan lupa untuk share artikel ini, ya. Terima kasih.
..