Tag Archive: pembahagian harta pusaka

5 Aspek Pengurusan Harta Pusaka Sebelum Pembahagian Faraid

pengurusan harta pusakaSelepas kematian, terdapat beberapa aspek pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan si mati perlu dilunaskan terlebih dahulu sebelum pembahagian dilakukan kepada waris-waris.

Perkara ini amat penting supaya proses pembahagian nanti dapat berjalan lancar dengan melibatkan harta yang ‘bersih’ sahaja dan dapat mengelakkan pertikaian yang boleh melambatkan proses pembahagian.

Umum mengetahui, selepas sesuatu kematian disahkan, semua harta si mati samaada harta alih (wang tunai, simpanan di bank, saham) atau harta tidak alih (tanah, bangunan) adalah berstatus harta pusaka dan akan dibekukan.

Harta-harta pusaka tersebut hanya boleh dicairkan setelah melalui proses-proses tertentu, bergantung sama ada si mati ada meninggalkan dokumen wasiat atau tidak.

Boleh baca tentang proses-proses yang terlibat dalam pencairan atau pengurusan harta pusaka di sini: Pengurusan Harta Pusaka Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat

Selepas harta-harta tersebut dicairkan dan diperoleh, maka waris-waris yang ada atau pentadbir yang dilantik perlu bertanggungjawab untuk menunaikan beberapa perkara/hak yang berikut dahulu:

#1 Membiayai pengurusan jenazah

Pengurusan jenazah melibatkan perkara-perkara seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan si mati, dan semua ini memerlukan kos yang agak tinggi (boleh mencecah ribuan ringgit pada zaman sekarang).

Kos-kos ini sememangnya diperlukan segera supaya pengurusan jenazah tidak dilambatkan-lambatkan.

Walaupun harta pusaka yang ditinggalkan si mati boleh digunakan untuk menampung kos-kos ini, namun proses untuk mencairkan harta-harta tersebut boleh memakan masa yang lama.

Oleh itu, untuk mendapatkan wang dengan segera, waris-waris bolehlah menggunakan wang tunai yang ditinggalkan si mati, atau mengeluarkan wang daripada akaun simpanan si mati menerusi mesin ATM atau perbankan internet (sebelum akaun tersebut dibekukan pihak bank) untuk menampung kos pengurusan jenazah si mati.

Jika si mati ada menyertai khairat kematian sama ada di tempat kerja atau di kawasan kariah (kampung/taman perumahan/masjid/surau), bolehlah berhubung dengan pihak yang bertanggungjawab untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Sebab itulah penting untuk bergaul dengan masyarakat setempat dan menyertai khairat kematian yang dianjurkan agar nanti pengurusan jenazah boleh diuruskan dengan baik.

Boleh juga semak samaada si mati ada mencarum polisi insurans/takaful yang membayar manfaat khairat kematian, jika ada maka bolehlah dihubungi agen terlibat untuk menuntut manfaat yang sepatutnya.

Andai kata si mati tidak meninggalkan sebarang wang tunai dan tidak menyertai mana-mana skim khairat kematian, maka waris-warislah yang perlu bersepakat dan keluarkan kos untuk menampung kos pengurusan jenazah tersebut.

Kos ini boleh dituntut semula selepas harta pusaka si mati dicairkan semula.

Jika tiada waris atau waris pun tidak mampu (fakir), maka tanggungjawab pengurusan jenazah tersebut patut disempurnakan pihak Baitulmal atau masyarakat setempat yang kaya.

#2 Menyelesaikan hutang si mati

pengurusan harta pusakaHutang tetap hutang, dan hutang tetap perlu diselesaikan walaupun penghutang telah mati.

Oleh itu, pentadbir harta pusaka atau waris-waris perlulah mengenalpasti hutang-hutang si mati dan berusaha untuk menyelesaikan hutang-hutang tersebut menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan si mati.

Hutang-hutang yang dimaksudkan di sini bukan sahaja hutang sesama manusia, malah hutang dengan Allah.

Hutang sesama manusia adalah seperti hutang wang dengan individu, hutang perumahan dengan bank dan hutang pembelian dengan kedai perabot.

Manakala hutang dengan Allah adalah perkara-perkara seperti zakat, fidyah, kaffarah, nazar dan badal haji yang tidak sempat ditunaikan si mati semasa hayatnya.

Contohnya, si mati semasa hayatnya tidak sempat menunaikan ibadat haji, maka waris boleh menggunakan harta pusaka si mati untuk menunaikan badal haji (upah haji) bagi si mati.

Hutang-hutang si mati wajib ditunaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta pusaka di buat.

Maka, sebab itulah amat penting bagi setiap orang untuk menyimpan rekod hutang-hutang yang dilakukan; pemiutang, jumlah hutang, jumlah bayaran, baki hutang, supaya memudahkan waris-waris mengesan dan menyelesaikan hutang-hutang tersebut.

Malah, digalakkan untuk menyediakan dana khas samaada dalam bentuk wang simpanan atau polisi insurans/takaful untuk membayar hutang-hutang yang masih berbaki apabila telah meninggal dunia nanti.

#3 Menyelesaikan tuntutan harta sepencarian dan hibah

Selepas hutang-hutang si mati diselesaikan, harta pusaka si mati hendaklah disempurnakan dahulu tuntutan harta sepencarian dan pemberian hibah ke atasnya.

Harta sepencarian melibatkan hak pasangan yang sah, manakala hibah adalah pemberian yang dilakukan si mati kepada pihak lain yang dibuat semasa masih hidup.

Pembahagian harta sepencarian boleh dilakukan mengikut pengisytiharan harta sepencarian yang dilakukan secara bersama-sama dan mengikut persetujuan pasangan semasa masih hidup.

Jika tiada pengisytiharan dibuat, tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan pasangan dan mahkamah akan menentukan jumlah yang layak dituntut berdasarkan bukti-bukti yang dikemukan dan sumbangan yang telah diberikan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Hibah merupakan pemberian atau hadiah yang diisytiharkan oleh si mati kepada penerima dengan tujuan kasih sayang atau tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Sesiapa sahaja boleh menjadi penerima, bergantung kepada siapa yang ditentukan si mati, namun beberapa syarat perlu dipenuhi seperti pemberi, penerima, akad dan harta yang dihibahkan.

Harta pusaka yang terlibat dalam kategori harta sepencarian dan hibah tidak termasuk dalam bahagian harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris secara faraid.

#4 Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan

pengurusan harta pusakaWasiat adalah amanat pemberian kepada bukan waris dengan syarat jumlahnya tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan harta pusaka yang ditinggalkan.

Jika si mati ada meninggalkan wasiat yang sah, maka jumlah yang diperuntukkan untuk wasiat tersebut hendaklah dilaksanakan terlebih dahulu.

Wasiat kebiasaannya diberi kepada waris yang bukan faraid, seperti ahli keluarga terhalang waris, ahli keluarga angkat, ahli keluarga bukan Islam dan badan kebajikan.

Wasiat, walaupun masih boleh dicabar di mahkamah jika waris-waris tidak berpuas hati, merupakan amanat terakhir si mati dan sebaik-baiknya dilaksanakan sepenuhnya walaupun terasa berat.

Sebagai contoh, si mati mewasiatkan sebahagian hartanya kepada ahli keluarga bukan waris, walaupun sukar untuk menerima hakikat bahawa penerima tersebut layak mendapat pembahagian harta pusaka yang dibuat, namun atas kehendak si mati, wasiat tersebut hendaklah dilaksanakan juga.

Waris-waris perlulah menerima dengan hati yang terbuka atas wasiat yang telah dibuat si mati.

#5 Pembahagian harta pusaka secara faraid

Selepas dilaksanakan semua perkara #1 hingga #4 di atas, barulah baki harta pusaka yang tinggal dibahagikan kepada waris-waris yang layak mengikut kiraan faraid yang ditetapkan.

Pembahagian harta pusaka secara faraid adalah adil dan memberi jaminan bahawa setiap waris yang layak akan menerima bahagian masing-masing.

Jumlah bahagian yang ditentukan pula adalah berbeza, dan semuanya ditentukan olah Allah yang mana mempunyai hikmah dan manfaat di sebaliknya.

Sebaik-baiknya, setiap orang wajar mempunyai asas pengetahuan berkenaan pembahagian secara faraid seperti jenis-jenis waris yang layak, bahagian yang layak diterima dan kiraan pembahagian yang sepatutnya.

Dalam pembahagian harta pusaka secara faraid, yang penting adalah sifat berlapang dada dan sikap terbuka setiap waris supaya pembahagian dapat dijalankan dengan mudah dan lancar tanpa sebarang masalah atau pertikaian.

Sesungguhnya, faraid merupakan instrumen terbaik dan adil untuk memastikan semua waris mendapat bahagian harta pusaka yang sewajarnya.

Pengurusan Harta Pusaka Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat

pengurusan harta pusakaKepentingan Wasiat – Pengurusan Harta Pusaka Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat

Dalam artikel sebelum ini, saya ada kongsikan beberapa kepentingan menyediakan pelan pewarisan harta ataupun dokumen wasiat semasa hidup.

Antara kepentingan utama yang dinyatakan adalah memudahkan pengurusan harta pusaka selepas kematian, menjimatkan masa dan mengurangkan kos.

Jadi, untuk artikel kali ini, saya ingin berkongsi berkenaan proses tuntutan harta pusaka dengan wasiat dan tanpa wasiat.

Dengan itu, kita akan dapat meneliti mengapa pentingnya membuat urusan pewarisan harta semasa masih hidup.

Pengurusan Harta Pusaka Tanpa Wasiat

Apabila berlaku sahaja kematian, semua harta si mati samaada harta alih dan tak alih diletakkan sebagai status harta beku.

Jadi, untuk mencairkannya, perlu melalui proses-proses yang berikut:

1. Waris-waris perlu berkumpul dan melantik seorang pentadbir. Pelantikan pentadbir hendaklah secara bertulis, disahkan dan dipersetujui semua waris.

2. Kumpul maklumat berkenaan semua harta yang ditinggalkan. Oleh kerana si mati tidak membuat wasiat, kemungkinan dokumen-dokumen berkaitan hartanya juga tidak disimpan dengan baik. Maka, pentadbir perlu mendapatkan semua dokumen tersebut.

3. Kumpul maklumat berkenaan semua waris. Semua waris perlu dikenalpasti dan dijejaki. Jika waris telah mati, dapatkan sijil kematian. Bagi waris yang hilang, perlu mendapatkan Perintah Anggapan Kematian daripada Mahkamah Tinggi.

4. Buat penilaian ke atas harta pusaka. Nilai harta akan menentukan ke mana tempat untuk memohon Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration, LA). LA boleh dimohon di:

– Mahkamah Tinggi – Harta alih dan tak alih melebihi RM 2 juta / Harta alih sahaja melebihi RM 600,000

– Pejabat Pusaka Kecil – Harta alih dan tak alih bersamaan atau kurang RM 2 juta

– Amanah Raya Berhad – Harta alih sahaja bersamaan atau kurang RM 600,000

5. Bagi orang Islam, perlu memohon Sijil Faraid di Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Sijil Faraid mengandungi maklumat berkenaan nilai harta pusaka, nama waris-waris yang berhak dan kadar bahagian setiap waris. Sijil Faraid memastikan tiada kezaliman dan keciciran ke atas setiap waris yang berhak.

6. Selepas mendapatkan Sijil Faraid, perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration, LA) di mana-mana institusi bergantung kepada nilai harta pusaka. Jika melibatkan Mahkamah Tinggi, dua orang penjamin yang memenuhi syarat tertentu dan peguam diperlukan untuk memudahkan proses permohonan.

7. Selepas mendapatkan LA, barulah pemegang LA boleh mencairkan harta pusaka, membayar hutang si mati dan membahagikan kepada waris-waris mengikut kadar yang ditentukan. Pemegang LA juga boleh melakukan permohonan pindahmilik di semua institusi yang berkaitan.

Pengurusan harta pusaka tanpa wasiat memang satu proses yang panjang dan memakan masa, boleh menjangkau sehingga 3 ke 5 tahun.

Proses yang panjang ini juga boleh menyebabkan kos yang lebih tinggi.

Lebih parah lagi jika ada masalah-masalah seperti yang berikut:

– Waris tidak sepakat untuk melantik pentadbir/dalam pembahagian harta

– Waris hilang tidak dapat dijejaki

– Dokumen-dokumen tidak lengkap

– Waris tidak punyai masa/sibuk untuk menguruskan proses tuntutan

– Waris tidak tahu cara/proses membuat tuntutan harta pusaka

– Terdapat tuntutan daripada pihak lain

Sebab itulah pentingnya wasiat disediakan semasa hidup, supaya proses tuntutan yang panjang ini tidak dilalui dan masalah-masalah lain tidak timbul.

pengurusan harta pusaka

Pengurusan Harta Pusaka Dengan Wasiat

Orang yang menyediakan wasiat sebelum mati kebiasaanya akan melakukan dua perkara penting, iaitu mengumpul semua dokumen yang diperlukan (berkaitan harta dan waris) dan melantik pentadbir (wasi).

Pentadbir yang dilantik boleh terdiri daripada waris, bukan waris, peguam atau institusi pengurusan harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad dan as-Salihin  Trustee Berhad.

Dengan adanya dua perkara ini, proses tuntutan harta pusaka akan menjadi lebih mudah.

1. Pentadbir (wasi) yang dinamakan dalam wasiat membuat permohonan Geran Probet di Mahkamah Tinggi. Geran Probet ini seolah-olah LA yang membolehkan pentadbir menguruskan harta pusaka tersebut.

2. Pentadbir juga boleh memohon pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk mengesahkan sesuatu dokumen pewarisan seperti wasiat, hibah, deklarasi harta sepencarian, penyerahan amanah dan pengisytiharan wakaf. 

3. Selepas Geran Probet diperoleh, pentadbir boleh mencairkan harta pusaka tersebut dan menggunakannya untuk membayar hutang-hutang si mati.

4. Pentadbir juga boleh membahagikan harta pusaka mengikut wasiat yang ditinggalkan atau mengikut faraid dan memohon pindahmilik di institusi berkaitan.

Proses tuntutan harta pusaka yang mempunyai wasiat boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat dalam masa sekitar setahun sahaja.

Bahkan, kosnya lebih murah.

Walaupun, proses tuntutan dengan wasiat lebih mudah dan murah, namun masih tidak terlepas daripada masalah (terutamanya untuk orang Islam) yang mungkin timbul seperti:

– Wasiat melibatkan jumlah harta melebihi 1/3 daripada nilai keseluruhan harta pusaka

– Wasiat tidak dipersetujui oleh waris-waris yang berhak

– Wasiat tidak memenuhi syarat seperti tidak mempunyai dua saksi

– Wasiat diragui kerana pembahagian tidak munasabah atau disediakan dalam keadaan tenat/hampir mati

Maka, di sinilah peranan Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan masalah-masalah seperti ini.

Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk mengesahkan wasiat yang dilakukan oleh orang Islam.

Sekiranya wasiat tersebut disahkan, Perintah Pembahagian akan dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil atau Pejabat Pusaka Kecil sepertimana peruntukan dalam wasiat.

Namun, jika Mahkamah Syariah mendapati wasiat tidak sah atau dipertikaikan, maka wasiat boleh terbatal dan harta akan dibahagikan mengikut hukum faraid.

Penutup

pengurusan harta pusakaBegitulah secara ringkasnya proses-proses yang terlibat dalam tuntutan harta pusaka.

Secara jelas dapat dilihat wasiat boleh membantu menjadikan proses tuntutan harta pusaka menjadi lebih mudah dan cepat.

Maka, marilah sama-sama kita berusaha untuk menguruskan pewarisan harta dengan baik selagi hayat masih dikandung badan.

10 Langkah Merancang Pembahagian Harta Pusaka Semasa Hidup

pembahagian harta pusakaApabila membicarakan tentang pewarisan harta, orang ramai sering menganggap yang proses ini hanya melibatkan harta pusaka yang ditinggalkan si mati.

Maksudnya, waris yang masih hidup menguruskan pembahagian harta pusaka peninggalan si mati, tidak kira samaada harta alih (duit, barang-barang berharga) atau harta tidak alih (bangunan, rumah, tanah)

Sebenarnya, topik pewarisan harta tidak dikecilkan kepada harta pusaka si mati sahaja, bahkan sebenarnya digalakkan untuk merancang pembahagian harta pusaka semasa masih hidup lagi.

Si pemilik harta semasa masih hidup sebaik-baiknya menyediakan semua keperluan terutamanya dari segi dokumentasi supaya waris-waris dapat mewarisi harta yang ditinggalkan dengan mudah dan cepat selepas si pemilik harta tadi meninggal dunia.

Kenapa perlu uruskan pembahagian harta pusaka semasa hidup?

1. Mengelakkan harta dibeku

Sehingga kini, terdapat berbilion harta pusaka yang tertunggak, beku dan tidak diketahui pemiliknya.

Puncanya, kerana pewarisan harta tidak dilakukan dengan baik.

Pewaris malas melalui proses yang panjang membuat tuntutan atau terdapat dokumen-dokumen yang hilang atau tidak lengkap menyebabkan pewarisan harta tidak dapat diteruskan kepada yang berhak.

Akibatnya, banyak harta pusaka yang beku dan tidak dapat dimanfaatkan.

2. Harta pusaka boleh digunakan segera

Jika proses pewarisan dan pembahagian harta diuruskan dengan baik semasa masih hiudp, proses tuntutan yang panjang dan rumit dapat dielakkan.

Maka, pewaris-pewaris akan dapat menggunakan harta yang ditinggalkan dengan segera.

Bolehlah harta-harta ini digunakan untuk menguruskan jenazah si mati, membayar hutangnya, menunaikan wasiat yang ditinggalkan dan akhirnya dibahagi-bahagikan kepada waris yang layak untuk dimanfaatkan mereka.

3. Menjimatkan kos

Proses tuntutan harta pusaka kebiasaannya memakan masa dan melibatkan kos yang tinggi.

Pewarisan harta yang dilakukan semasa masih hidup boleh memudahkan pewaris untuk menikmati harta peninggalan dan pada masa yang sama menjimatkan kos.

Walaupun merancang pewarisan semasa hidup turut melibatkan kos, tetapi kosnya kebiasaannya lebih murah berbanding jika dibiarkan untuk diurus selepas kematian.

4. Memastikan pembahagian seadilnya

Walaupun Islam mempunyai hukum faraid yang secara adil membahagikan harta pusaka kepada waris-waris yang layak, tetapi sebagai seorang ayah atau penjaga, kita semestinya tahu siapa dikalangan pewaris (anak, isteri dan ibubapa) yang lebih memerlukan harta berbanding yang lain.

Di kalangan waris yang ditinggalkan, mesti ada yang kaya, mesti juga ada yang miskin.

Jadi dengan menggunakan instrumen seperti hibah dan wasiat, bolehlah harta diberikan lebih kepada yang memerlukan.

5. Mengelakkan pertelingkahan sesama waris

Biasa bukan terdengar waris-waris bergaduh kerana berebutkan harta pusaka?

Puncanya adalah kerana sifat tamak dan hasad dengki; tidak berpuas hati melihat waris yang lain mendapat harta yang lebih.

Jadi, untuk elakkan perkara sebegini, rancanglah pewarisan harta semasa masih hidup lagi.

Bahagikan seadil-adilnya kepada waris-waris yang layak.

Pada masa sama, didiklah waris-waris dengan ilmu yang mencukupi supaya tidak mempunyai sifat tamak dan hasad dengki.

Bagaimana membuat pewarisan harta semasa hidup?

pembahagian harta pusakaBoleh ikuti langkah-langkah yang berikut:

1. Kumpul maklumat berkaitan harta

Langkah pertama adalah dengan menyenaraikan semua harta yang kita ada.

Harta ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu harta tak alih dan harta alih.

Harta tak alih termasuklah tanah, rumah dan bangunan.

Senaraikan harta tak alih yang ada, simpan semua geran atau perjanjian sewaan yang ada.

Jika masih ada hutang pembiayaan, pastikan semua resit bayaran, penyata pembiayaan tahunan dan penjanjian pembiayaan disimpan dengan baik.

Simpan juga ‘cover note’ atau polisi takaful/insurans yang melindungi pembiayaan ke atas harta tak alih tadi, ini penting supaya baki hutang pembiayaan tadi dapat diselesaikan jika terjadi sebarang musibah.

Harta tak alih yang masih punyai hutang tidak boleh diwariskan secara wasiat atau hibah, sebaliknya akan diletakkan sebagai harta pusaka dan dibahagikan secara faraid.

Harta alih pula melibatkan akaun simpanan, pelaburan kertas seperti unit amanah dan saham, polisi takaful/insurans, dan juga simpanan aset seperti emas dan perak.

Semua dokumen yang berkaitan harta alih tersebut perlulah didokumentasikan seperti buku akaun, penyata pelaburan, polisi dan ‘sijil beranak’ emas dan perak.

Kalau ada nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang sering dihubungi, catatkan supaya memudahkan waris membuat sebarang tuntutan atau urusan.

Untuk akaun simpanan, jika ada kad ATM, bolehlah dicatatkan nombor pin setiap kad ATM yang ada.

2. Kumpul berkaitan hutang

Selain maklumat berkenaan harta, jangan dilupa juga untuk mengenalpasti semua hutang yang masih ada.

Tidak kiralah samaada hutang dengan individu atau dengan bank/institusi kewangan.

Semua perjanjian pembiayaan, resit bayaran dan penyata pembiayaan perlu disimpan dengan baik.

Hutang tetap hutang, dan mesti diselesaikan.

Sebaik-baiknya, hutang diselesaikan semasa hayat masih ada.

Tetapi, jika ajal sudah menjemput, menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan hutang yang masih berbaki.

Jika menjadi pemiutang (pemberi hutang) dan penjamin, semua dokumen berkaitan juga perlu didokumenkan.

3. Kumpul maklumat berkenaan waris

Selepas mengenalpasti semua harta dan hutang, perlu juga menyenaraikan semua waris yang ada.

Waris-waris yang perlu disenaraikan adalah anak, isteri, ibu dan bapa.

Waris ini termasuklah waris yang dekat dan jauh, yang masih berhubung dan yang telah terputus hubungan.

Jika sebelum ini pernah berkahwin lain, mempunyai anak dan bercerai, perlulah dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut.

Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari, walaupun jauh mereka masih mempunyai hak ke atas harta pusaka yang akan ditinggalkan.

Dapatkan dan simpan salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia)

Jika ada perkahwinan yang belum didaftarkan, daftarkan segera supaya tidak berlaku drama-drama pertikaian selepas kematian nanti.

Begitu juga dengan anak-anak yang tidak didaftarkan, pastikan semuanya berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan.

Setiap waris adalah berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan.

Jika ada masalah dari segi menghubungi atau mendapatkan persetujuan semua waris, urusan pewarisan harta pusaka kelak akan menjadi sukar.

4. Analisis semua maklumat yang diperoleh

Selepas semua maklumat berkaitan harta, hutang dan waris diperoleh, ambillah masa untuk membuat sedikit analisis.

Kenalpasti kedudukan kewangan semasa dan jangkaan pada masa akan datang.

Kenalpasti harta mana yang sesuai diisytiharkan sebagai harta sepencarian, dihibahkan, diwasiatkan atau difaraidkan.

Kenalpasti mana-mana hutang yang dilindungi oleh takaful dan yang mana yang perlu diselesaikan oleh waris-waris.

Analisis juga keperluan setiap waris, mungkin ada waris yang sedikit susah maka memerlukan harta pusaka yang lebih berbanding yang lain.

Analisis ini akan membantu ketika membuat draf pembahagian harta nanti.

5. Drafkan pembahagian harta

Tibalah ke langkah yang paling penting, di mana kita akan menggunakan instrumen-isntrumen tertentu untuk membuat pewarisan dan pembahagian harta pusaka.

Antara instrumen-intrumen yang boleh digunakan adalah:

pembahagian harta pusakaWasi/penama – Melantik wasi/penama yang mana akan bertindak sebagai pentadbir dan bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka selepas kematian nanti sepertimana yang telah diwasiatkan.

Harta sepencarian – Mengisytiharkan harta-harta sebagai hasil usahasama dengan pasangan yang sah. Dengan mengisytiharkan harta sepencarian, si suami boleh mewariskan sebahagian harta secara terus kepada isteri (dan juga sebaliknya) tanpa perlu diagihkan melalui faraid.

Hibah – Memindahmilik/menghadiahkan harta kepada mana-mana individu atau organisasi samaada waris atau bukan waris. Dengan hibah, si pemilik harta boleh mewariskan harta kepada bukan waris seperti anak angkat atau mana-mana waris yang dirasakan lebih memerlukan berbanding yang lain. Kebiasaannya, hibah diberikan atas dasar kasih-sayang.

Wasiat – Wasiat membolehkan si pemilik harta mewariskan harta kepada bukan waris atau waris tanpa melalui pembahagian faraid. Namun, jumlahnya terhad kepada nilai 1/3 harta sahaja dan perlu kepada persetujuan semua waris.

Amanah – Menyerahkan harta kepada pihak ketiga iaitu pemegang amanah yang akan bertanggungjawab mengurus dan melindungi harta pusaka daripada tuntutan pihak lain. Sebagai contoh, mengamanahkan bendang sawah kepada persatuan, dan sebahagian hasilnya hendaklah diberi kepada waris-waris yang ditinggalkan.

Wakaf – Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan ke arah jalan kebaikan dan kegunaan umum, contohnya mewakafkan tanah untuk dibina masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Sebaik-baiknya, jumlah harta yang diwakafkan tidak melebihi 1/3 nilai kesemua harta yang ditinggalkan.

Faraid – Kedah pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum Islam. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada.

6. Dapatkan bantuan profesional

Selepas membuat draf pewarisan harta dan memilih instrumen-instrumen yang sesuai, draf tadi perlulah didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat yang sah.

Untuk menghasilkan dokumen wasiat yang sah, memang memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang.

Di sinilah perlu kita melantik peguam berkelayakan atau mana-mana organisasi seperti Amanah Raya Berhad dan As-Salihin Trustee Berhad.

Menghasilkan dokumen wasiat bukan satu tugas yang mudah seperti menulis karangan, maka dapatkanlah bantuan dan nasihat sewajarnya.

7. Sediakan peruntukan kewangan

Apabila memerlukan bantuan peguam atau organisasi untuk menyediakan dokumen wasiat, sudah semestinya memerlukan kos.

Oleh itu, sediakanlah peruntukan kewangan secukupnya.

Walaupun kos terpaksa dikeluarkan, ketahuilah bahawa kos yang dikeluarkan ini mungkin lebih rendah jika dibandingkan dengan kos mengurus harta pusaka yang terpaksa waris-waris keluarkan jika dokumen wasiat tidak disediakan lebih awal.

8. Dokumentasi

Semua dokumen yang dikumpul dari langkah 1 hingga 7 di atas, perlulah didokumentasikan, disimpan dan dipelihara dengan baik.

Simpan dalam satu fail atau folder khas untuk memudahkan waris mencari selepas kematian nanti.

Terpulanglah samaada mahu simpan sendiri atau serahkan kepada peguam/organisasi yang dilantik.

9. Semak dari semasa ke semasa

Dokumen wasiat yang disediakan tidaklah statik, masih boleh dipinda dari semasa ke semasa.

Jumlah harta mungkin bertambah atau berkurang, begitu juga bilangan dan keperluan waris.

Matlamat pewarisan juga mungkin berubah, jika dulu ingin mewasiatkan rumah kepada waris A, sekarang mungkin terasa ingin mewasiatkan kepada waris B.

Maklumlah, hati manusia sering berubah-ubah.

Jadi, semak dan pindalah dari semasa ke semasa jika ada keperluan.

10. Maklumkan dan didik waris-waris

Langkah terakhir ini adalah pilihan sahaja, kalau tidak mahu dimaklumkan kepada waris-waris pun tidak mengapa.

Cuma perlu diberitahu kepada waris supaya menghubungi siapa (peguam/organisasi yang dilantik) untuk mendapatkan dokumen wasiat yang disediakan.

Pada masa yang sama, didiklah waris-waris berkenaan pembahagian harta-harta yang dibuat supaya mereka boleh bertolak ansur, tidak berdendam dan tiada rasa hasad dengki sesama mereka.

Dengan itu, mudah-mudahan bolehlah bersemadi dengan aman di alam sana nanti.