Penama Dan Pentadbir Dalam Pengurusan Harta Pusaka

pengurusan harta pusakaMeletakkan penama dan melantik pentadbir adalah perkara yang amat penting untuk memudahkan pengurusan harta pusaka orang Islam dan seterusnya proses pembahagian harta pusaka.

Apakah perbezaan antara penama dan pentadbir?

Secara mudahnya, penama adalah pemudah cara yang diberi kebenaran untuk menuntut harta-harta yang ditinggalkan si mati seperti simpanan KWSP, simpanan Tabung Haji, simpanan koperasi dan pampasan insurans/takaful (nota: simpanan ASB tidak dibuat penamaan, sebaliknya hibah amanah, akan dijelaskan dalam artikel lain)

Dengan meletakkan penama, pengurusan harta pusaka akan menjadi lebih mudah dan cepat kerana harta pusaka si mati dapat dikeluarkan tanpa perlu menunggu Sijil Faraid dan perintah pentadbiran harta pusaka.

Pentadbir pula, yang juga dikenali sebagai wasi, adalah wakil yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan; melaksanakan wasiat, melangsaikan hutang dan membahagikan harta pusaka tersebut mengikut faraid.

Nota: Pentadbir adalah yang dilantik oleh para waris jika tiada wasiat, manakala wasi dilantik melalui wasiat. Peranan pentadbir dan wasi adalah sama iaitu menguruskan harta pusaka. Untuk artikel ini, penulis menggunakan istilah pentadbir bagi mewakili pentadbir (tanpa wasiat) dan wasi (dengan wasiat).

Tetapi, jika tiada pelantikan pentadbir dalam wasiat atau tiada wasiat, maka pentadbir akan dilantik oleh mahkamah atau Pegawai Pusaka dengan mengeluarkan surat kuasa mentadbir (letter of administration, LOA) yang mana perlu mendapat persetujuan semua waris yang ada.

Sebenarnya, penama dan pentadbir boleh menjadi satu, dan boleh juga menjadi berlainan.

Penama boleh menjadi pentadbir, dan pentadbir boleh menjadi penama.

Namun, penama tidak semestinya adalah pentadbir, dan pentadbir tidak semestinya adalah penama.

Masih keliru?

Untuk memudahkan pemahaman, jom kita tengok situasi-situasi yang berikut:

Situasi #1 – Ada penamaan, ada wasiat, penama dan pentadbir orang yang sama

Tuan Haji Ahmad mempunyai simpanan yang banyak dalam KWSP dan TH beliau, di samping harta-harta lain seperti tanah dan rumah. Beliau telah meletakkan nama anaknya, Amir, sebagai penama untuk akaun simpanan KWSP dan TH beliau. Tuan Haji Ahmad juga telah menulis wasiat dan turut melantik Amir sebagai pentadbir (wasi) untuk harta-hartanya apabila beliau mati nanti.

Semasa Tuan Haji Ahmad mati, beliau meninggalkan waris iaitu isteri, 2 anak lelaki, (Amir dan Hafiz), 1 orang anak perempuan (Alisa) dan kedua-dua ibubapa beliau.

Dalam situasi ini, Amir telah dilantik sebagai penama dan pentadbir.

Maka, Amir boleh menuntut simpanan Tuan Haji Ahmad dalam KWSP dan TH beliau, memohon Sijil Faraid, pengesahan wasiat dan probet (surat warisan) untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan.

Kemudian, Amir perlu melunaskan hutang-hutang Tuan Haji Ahmad, melaksanakan wasiat yang ditinggalkan dan melakukan pembahagian harta pusaka kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid yang ditetapkan.

Nota: Boleh baca artikel ini untuk mengetahui perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam pengurusan harta pusaka: 5 Aspek Pengurusan Harta Pusaka Sebelum Pembahagian Faraid

Baca juga:  Cara Urus Harta Pusaka Tanpa Wasiat

Situasi #2 – Ada penamaan, ada wasiat, penama dan pentadbir entiti berbeza

pengurusan harta pusakaSemasa hayat Encik Kamal, beliau ada mencarum satu polisi takaful yang menyediakan pampasan jika berlaku kematian. Untuk polisi tersebut, beliau telah meletakkan nama isterinya sebagai penama. Encik Kamal juga mempunyai simpanan KWSP dan meletakkan nama ibu beliau sebagai penama kerana perkara ini dilakukan beliau semasa zaman bujang dulu.

Di samping polisi takaful dan simpanan KWSP, Encik Kamal juga mempunyai harta-harta lain seperti rumah, saham dan unit amanah. Encik Kamal ada menyediakan wasiat yang mana beliau melantik Syarikat AB Trustee sebagai pentadbir harta-harta pusakanya nanti.

Suatu hari, Encik Kamal jatuh sakit dan meninggal dunia, meninggalkan waris iaitu isteri, seorang anak lelaki dan kedua-dua ibubapa beliau.

Dalam situasi ini, penama dan pentadbir adalah entiti yang berbeza.

Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah si isteri perlu membuat tuntuan pampasan kematian daripada syarikat takaful atas polisi yang dicarum oleh Encik Kamal, manakala si ibu perlu membuat tuntutan atas simpanan KWSP yang ditinggalkan.

Kemudian, jumlah kedua-duanya perlulah diisytiharkan dan diserahkan kepada pentadbir, iaitu Syarikat AB Trustee supaya prosedur pengurusan harta pusaka dan pembahagiannya dapat diteruskan seperti mana diwasiatkan dan mengikut hukum faraid.

Situasi #3 – Ada penamaan, tiada wasiat

Kita ambil balik situasi #1 di atas, yang mana Tuan Haji Ahmad meletakkan Amir sebagai penama untuk simpanan KWSP dan TH beliau.

Bezanya dalam situasi ini, Tuan Haji Ahmad tidak meninggalkan wasiat dan tidak melantik pentadbir.

Mujurlah Amir merupakan seorang anak yang baik dan amanah, dan mempunyai pengetahuan mendalam berkenaan pengurusan harta pusaka.

Maka, Amir boleh menuntut simpanan KWSP dan TH yang ditinggalkan, mendapatkan persetujuan semua waris untuk menjadi pentadbir, memohon surat kuasa mentadbir, memohon sijil faraid, melunaskan hutang-hutang si mati dan seterusnya membuat pembahagian harta-harta pusaka Tuan Haji Ahmad sepertimana hukum faraid.

Nota: Boleh baca artikel ini untuk belajar prosedur pengurusan harta pusaka: Pengurusan Harta Puska Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat

Situasi #4 – Tiada penamaan, tiada wasiat

Kita ambil situasi #2 sebelum ini, cuma bezanya kali ini  Encik Kamal tidak membuat sebarang penamaan untuk polisi takaful dan simpanan KWSP beliau, malah tidak menyediakan wasiat untuk menguruskan harta-harta beliau.

Maka, dalam situasi ini, semua waris yang ada (dalam situasi ini adalah isteri, anak lelaki, ibu dan bapa Encik Kamal) perlu berbincang dan bersepakat untuk melantik seorang pentadbir.

Pentadbir inilah yang akan bertanggungjawab untuk memohon surat kuasa mentadbir, memohon sijil faraid, menguruskan dan membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan Encik Kamal.

Jika pentadbir tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan pengurusan harta pusaka, maka boleh dapatkan bantuan daripada peguam atau syarikat-syarikat amanah berkaitan.

Soalan-soalan Lazim Berkaitan Penama & Pentadbir

Soalan #1 – Siapakah yang boleh diletakkan sebagai penama?

Bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh organisasi akaun simpanan  (contoh KWSP, TH, koperasi, syarikat takaful) tersebut.

Ada yang membenarkan individu sahaja, ada yang membenarkan individu ataupun organisasi (peguam atau syarikat amanah).

Ada yang membenarkan individu neutral, ada yang membenarkan waris terdekat atau yang mempunyai talian persaudaraan sahaja.

Ada yang membenarkan satu penama sahaja, ada yang membenarkan lebih daripada seorang penama.

Penama yang diletakkan perlulah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan tersebut.

Soalan #2 – Siapakah yang boleh dilantik sebagai pentadbir

Jika pemilik harta masih hidup, bergantung kepada pemilik harta tersebut untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pentadbir (wasi) harta beliau sama ada waris beliau, individu neutral (bukan waris), peguam atau syarikat amanah.

Pelantikan ini sebaik-baiknya didokumenkan dalam wasiat yang sah dan disertai saksi-saksi berkelayakan.

Jika pemilik harta telah mati dan tiada wasiat, maka pentadbir boleh dilantik atas persetujuan semua waris dan kelulusan mahkamah yang akan mengeluarkan surat kuasa mentadbir.

Sebaik-baiknya, pentadbir perlulah memenuhi syarat-syarat yang berikut iaitu baligh, berakal (umur 18 tahun ke atas), merdeka, adil, jujur, mampu melaksanakan amanah, Muslim dan tidak bermusuh dengan pemilik harta dan waris-waris

Baca juga:  Pengiraan Asas Pembahagian Faraid Dalam Al-Quran

Soalan #3 – Bolehkah meletakkan penama dari kalangan anak-anak di bawah umur (18 tahun ke bawah)?

pengurusan harta pusakaBoleh jika tidak bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan organisasi simpanan tersebut.

Walaubagaimanapun, sebenarnya tidak digalakkan untuk meletakkan anak-anak atau individu di bawah umur sebagai penama.

Ini kerana, sekiranya pemilik harta tersebut mati dan penama masih lagi di bawah umur, maka perlu menunggu sehingga penama tersebut mencapai umur 18 tahun terlebih dahulu sebelum boleh menuntut harta pusaka tersebut.

Maksudnya, harta pusaka tersebut dibekukan, tidak boleh digunakan dan tidak boleh dibahagikan, perlu menunggu sehingga penama mencapai umur dahulu sebelum boleh dituntut dan diagihkan kepada waris-waris.

Boleh jadi juga harta pusaka yang dinamakan dengan anak-anak bawah umur tersebut diserahkan kepada syarikat amanah seperti Amanah Raya Berhad.

Jadi, penjaga kepada anak-anak tersebut perlu memohon kepada syarikat amanah tersebut melalui prosedur yang mungkin rumit untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan anak-anak yang dijaga.

Maka, untuk memudahkan pengurusan harta pusaka, lebih baik elakkan meletakkan nama anak-anak atau individu di bawah umur sebagai penama.

Soalan #4 – Adakah penama adalah penerima (benefisiari)?

Mengikut undang-undang sivil, bagi harta pusaka orang bukan Islam, penama yang diletakkan adalah penerima atau benefisiari bagi harta-harta tersebut dengan syarat penama tersebut mempunyai pertalian saudara dengan si mati.

Dalam erti kata lain, penama bagi harta pusaka orang bukan Islam berhak menerima harta tersebut dan menggunakannya sepertimana yang dikehendakinya.

Berbeza pula dengan penama bagi harta pusaka orang Islam.

Keputusan Persidangan Majlis Raja-raja ke-96 pada tahun 1973 telah memutuskan bahawa penama bagi harta pusaka orang Islam bertindak sebagai pemudah cara atau pentadbir sahaja, bukan sebagai penerima atau benefisiari.

Peranan penama bagi harta pusaka orang Islam adalah untuk memudahkan proses tuntutan dan pencairan harta tersebut, yang mana kemudian perlu dibahagikan kepada waris-waris mengikut hukum faraid.

Di sinilah sering berlaku kekeliruan di kalangan orang Islam, apabila ramai menyangka penama adalah penerima mutlak bagi harta pusaka yang dinamakan.

Sebab itulah berlakunya insiden menyorok harta, menyembunyikan fakta dan memberikan pelbagai alasan bagi mengelakkan pembahagian harta kepada waris-waris lain dilaksanakan.

Ketahuilah, sesungguhnya ini adalah sikap yang teruk dan zalim; menzalimi waris-waris lain yang sepatutnya mendapat hak ke atas harta tersebut.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menambah dan memantapkan pengetahuan berkenaan pengurusan harta pusaka yang sebenar agar dapat mengelakkan diri dan waris terdekat daripada menzalimi dan dizalimi orang lain.

Bagi yang nak buat perancangan harta pusaka, boleh hubungi saya.

Saya boleh sediakan khidmat penulisan wasiat, hibah, harta sepencarian, amanah, wakaf dan khidmat nasihat serta bantuan pentadbiran harta pusaka tanpa wasiat.

Rancang pusaka, tinggalkan legasi

Izzuddin Jaaffar
Perancang Harta Pusaka Islam
as-Salihin Trustee Berhad
013-9798719 / 010-4598719
facebook.com/jomurusduit
jomurusduit.com
wa.me/60139798719

Lokasi: Kelantan & Terengganu

Baca juga:  Cara Urus Harta Pusaka Dengan Wasiat

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

33 Comments

  1. Hamba

    Assalamualaikum.. Saya sudah terbaca mengenai Hak mutlak simpanan KWSP setelah pemilik meninggal dunia dan perlu difaraidkan jika ada waris simati yang menuntut. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa adalah tidak adil simpanan KWSP itu perlu difaraidkan setelah sekiranya simati hanya mempunyai anak perempuan dan tidak ada anak lelaki. Saya mempunyai anak perempuan tidak mempunyai anak lelaki. Hasrat saya untuk memiliki rumah untuk perlindungan keluarga saya belum tercapai kerana dari dulu saya masih menyewa rumah sehinggalah sekarang. Bukan saya tidak berhasrat untuk memiliki rumah secara pinjaman malahan saya mampu untuk bayar pinjaman tetapi masaalah besarnya pinjaman sekarang ini melibatkan dengan RIBA yang diharamkan oleh Allah. Walhal saya juga boleh saja membayar pinjaman bulanan sekiranya saya mahu. Sebagai manusia, saya juga bercita untuk memiliki rumah setelah umur saya telah cukup untuk melayakkan saya untuk memiliki rumah ( setelah pencen) untuk keluarga yang saya tinggalkan nanti. Tetapi andaikata umur saya tidak kesampaian dan ajal menjemput saya lebih awal sebelum pencen akan menimbulkan maasalah kepada keluarga yang ditinggalkan sekiranya ada adik beradik saya yang menuntut harta (Simpanan KWSP) yang saya tinggalkan. Memang benar sekiranya saya telahpun memiliki rumah, kereta atau sebagainya dan masih tidak dihibahkan kepada isteri atau anak perempuan saya semasa saya hidup, Saya setuju harta itu boleh difaraidkan jika ada tuntutan dari waris saya. Dari pemahaman lemah,,saya berpendapat harta itu BEBAS dan tidak terikat kerana harata itu ada ditangan saya. Tapi malangnya simpanan KWSP yang saya ada, saya beranggapan tetap terikat dan tidak boleh dikeluarkan sehinggalah saya pencen. Walhal saya juga ingin memiliki rumah untuk perlindungan keluarga saya dan saya beranggapan simapan (KWSP) saya tidak bebas. Dan mana mungkin perlunya Faraid setelah saya meninggal dunia dan akhirnya ia boleh dituntut oleh waris saya yang lain. Bukankah itu zalim namanya sekiranya saya mati hasrat untuk membela keluarga saya dengan simpanan (KWSP) terpendam begitu saja?. Sekiranya simpanan KWSP saya boleh dikeluarkan untuk membeli rumah secara tunai, bukankah mudah saya melakukan hibah kepada anak-anak perempuan dan isteri saya ketika saya masih hidup. Bahkan tentu saja saya tidak teragak-agak keluarkan simpanan KWSP saya untuk membeli rumah bagi perlindungan keluarga saya masa akan datang. Maaf dari fahaman hamba yang lemah.

    Wallahu’alam.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih atas pandangan Tuan

      Sebab itulah sangat penting untuk membuat perancangan harta pusaka semasa masih hidup. Untuk simpanan KWSP, penama adalah bertindak sebagai pentadbir, bermaksud perlu mentadbirnya mengikut hasrat/wasiat si mati (jika ada) atau jika tiada hasrat/wasiat, hendaklah membahagikannya mengikut faraid. Tuan boleh sahaja meletakkan seseorang yang dipercayai sebagai penama dan membuat dokumen wasiat yang mana menyatakan kesemua wang tersebut dihibahkan/diamanahkan untuk keperluan isteri dan anak-anak. Jadi, waris-waris yang lain tidak boleh menuntut wang tersebut kerana telah dihibahkan/diamanahkan. Bukan sahaja untuk wang KWSP, malah simpanan dan juga harta yang lain juga boleh dibuat perancangan sebaik-baiknya jika takut harta tersebut jatuh ke tangan mereka yang salah.

      Faraid tidak zalim. Faraid adalah ketetapan daripada Allah. Katakan Tuan meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa, isteri dan anak-anak. Mengikut hukum faraid, kesemua mereka berhak menerima harta pusaka yang ditinggalkan. Ibubapa adalah orang yang membesarkan kita, banyak belanja dikeluarkan sepanjang membesarkan kita, mengapa mereka tidak layak mendapat sebahagian harta yang kita tinggalkan? Ya, isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab kita, tetapi ibubapa juga adalah tanggungjawab kita walaupun kita telah berkeluarga.

      Bab adik-beradik pula, ya, mereka boleh mendapat bahagian jika ibubapa telah tiada dan tiada anak lelaki. Tetapi, mereka harus sedar, bahagian yang diperoleh datang bersama-sama tanggungjawab untuk menjaga kebajikan ipar dan anak-anak saudara yang masih ada. Jika mereka tidak bertanggungjawab, menjawablah mereka di akhirat nanti. Jika Tuan bimbang akan hal ini, boleh sahaja dibuat perancangan harta pusaka sebaik-baiknya. Dapatkan nasihat daripada Islamic Estate Planner yang berkelayakan. Kita ada hibah, wasiat, amanah, faraid; banyak instrumen boleh digunakan untuk perancangan pusaka.

      Satu lagi. Untuk pembelian rumah, sekarang sudah ada banyak produk pembiayaan yang patuh-syariah dan bebas daripada unsur-unsur riba, yang dipersetujui oleh ulama-ulama dan juga penasihat-penasihat syariah. Kenapa perlu memilih yang berunsur riba sedangkan ada yang patuh-syariah.

      Yang terakhir. Kita boleh membuat pengeluaran duit KWSP untuk pembelian rumah. Ada kemudahan ini. Tuan boleh berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP untuk pertanyaan lanjut berkenaan hal ini.

      Sekian, terima kasih. Wallahu’alam.

      Reply
  2. hamba

    Assalamualaikum,
    Terima kasih kerana memberi pencerahan. Saya mohon maaf diatas kecacatan penulisan saya yg tuan telah baca. Saya bukan seorang penulis yang mahir. Terus terang katakan saya tidak mengatakan Faraid itu ZALIM. Na’uzubilahi minzalik. Maksud saya KWSP yang menyimpan wang simpanan saya itu. Wang itu hanya boleh dikeluarkan setelah umur saya telah mencapai 55 tahun. Tapi sekiranya umur saya tidak panjang dan meninggal awal sebelum mencapai 55. Akan timbul masaalah pada keluarga yang saya tinggalkan. Itu yang saya maksudkan Zalim kepda pihak KWSP kerana saya tidak dapat keluarkan simpanan KWSP untuk membeli rumah serta untuk membuat hibah untuk keluarga saya semasa saya hidup. Seolah2 harta itu tidak bebas ditangan saya. Dari apa yang saya tahu dan pernah saya baca bahwa menurut majlis fatwa agama menerangkan ‘PENAMA” bagi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah merupakan orang yang melaksanakan Wasiat simati iaitu sebagai pemegang amanah sahaja. Selagi wang tersebut berada didalam akaun kwsp ia tertakluk kepada akta wang simpanan kwsp, Ia tidak boleh dihibahkan melainkan hanya boleh diletakkan penama sahaja (wasi). selepas ia dikeluarkan daripada akaun kwsp (biasanya apabila bersara) baru wang tersebut boleh dihibahkan. itu yang saya tahu.

    Melainkan sekiranya saya memang mempunyai simpanan didalam bank ataupun saya mempunyai Tanah, rumah atau kenderaan milik saya sendiri, sekiranya saya meninggal dunia dan saya tidak Hibahkan harta saya kepada isteri dan anak2 saya semasa hidup. Ya, itu saya setuju dan perlu di faraidkan kerana tidak dihibahkan semasa saya hidup.

    Masaalah sekarang saya tidak merasakan simpanan KWSP saya adalah harta BEBAS yang boleh saya hibahkan kepada isteri dan anak2 saya semasa hidup secuali setelah umur saya mencecah 55 tahun.

    Tentang pembelian rumah pulak, tuan memberitahu ada pembiayaan yang patuh syariah dan bebas daripada unsur2 riba. Benarkah bebas dari RIBA? apakah mengikut garis panduan hukum syarak.? Kenapa pihak KWSP tidak membenarkan pengeluaran simapanan untuk membeli rumah secara tunai dan tidak berhutang. Kenapa perlunya saya memohon pinjaman dengan apa2 bank untuk beli rumah yang akan menyusahkan hidup saya serta bergelumang dengan Dosa yang tidak akan diampun oleh Allah. Saya berpendapat tiada bezanya bank Islam dan Bank Konvensional bahkan apabila dihitung setelah habis bayaran pinjaman didapati jumlah bayaran bank Islam lebih tinggi dari bank konvensional.

    Maaf tuan saya cuma inginkan kepastian sumber hukum tentang simpanan caruman yg bagi pandangan saya tidak adil untuk keluarga setelah saya tiada nanti sebelum umur saya mencapai 55 tahun. Itu maksud saya. Saya faham tentang hukum harta baik dari segi Hibah dan Faraid. Bukannya saya menolak Faraid itu. Faraid itu benar dari Allah.

    Wallahu’alam..

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih atas komen Tuan.

      Maafkan saya kerana tersalah sangka, menganggap Tuan mengatakan faraid adalah zalim.

      Betul Tuan, bukan sahaja Tuan, malah saya sendiri dan ramai lagi turut merasakan yang syarat pengeluaran KWSP juga adalah satu syarat yang tidak adil. Namun, dari satu segi, syarat ini adalah tertakluk kepada undang-undang sedia ada seperti yang termaktub dalam Akta KWSP. Tujuan utamanya, adalah untuk memastikan simpanan itu ‘kekal’ dan dapat digunakan pada hari tua nanti. Kalau dibenarkan dibuat pengeluaran sesuka hati, bagaimana nanti pada hari tua? Adakah ada sumber kewangan untuk membiayai keperluan hidup?

      Sebelum dibenarkan dibuat pengeluaran, pencarum tidak mempunyai milikan penuh ke atas duit KWSP masing-masing. Atas sebab itulah duit tersebut tidak boleh dihibahkan kerana tidak cukup syaratnya. Apa-apa pun, jika Tuan bimbang tentang pengagihan duit KWSP kepada waris nanti, sekiranya meninggal awal, Tuan boleh buat perancangan pusaka sekarang ketika masih hidup. Boleh dapatkan nasihat daripada Islamic Planner seperti as-Salihin Trustee, Wasiyyah Shoppe dan Amanah Raya Berhad. Ada banyak lagi syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengurusan pusaka. Lantik pemegang amanah yang dipercayai, sediakan wasiat sebaik-baiknya, insyaAllah duit yang ditinggalkan akan diberikan kepada waris-waris dengan sebaik-baiknya.

      Berkenaan pembiayaan perumahan Islamik, ya, saya tahu ada pandangan yang mempertikaikan tentang status patuh-syariah produk pembiayaan yang ada sekarang. Saya menghormati pandangan-pandangan tersebut. Walaubagaimanapun, saya lebih cenderung memilih pandangan-pandangan yang menyokong.

      Wallahu’alam.

      Reply
  3. hamba

    “Tujuan utamanya, adalah untuk memastikan simpanan itu ‘kekal’ dan dapat digunakan pada hari tua nanti. Kalau dibenarkan dibuat pengeluaran sesuka hati, bagaimana nanti pada hari tua? Adakah ada sumber kewangan untuk membiayai keperluan hidup?”

    Saya setuju dengan pandangan tuan sepertimana yang tuan nyata diatas. Tetapi dalam keadaan ekonomi yang suram , pembiayaan keperluan asas semakin meningkat apatah lagi nilai hartanah semakin hari semakin meningkat yang menyukarkan lagi untuk mendapatkan harga yang berpatutan pada masa akan datang apatah lagi bagi pencarum sperti saya yang tidak seberapa dalam KWSP yang mungkin sukar untuk memperolehi rumah ketika itu nanti. Tetapi dalam keadaan sekarang ni, sekiranya ada kelonggaran dari phak KWSP yang membenarkan pengeluaran untuk beli tunai alangkah baik ketika harga rumah sekarang yng boleh dikatakan mampu untuk saya beli . Tidak begitu tuan? Tapi untuk hari mendatang harga semakin naik berbanding dengan simpanan KWSp saya. menyedihkan juga. Buat masa ini saya hanya menyewa rumah, berpindah randah. Sewa juga semakin melambung tinggi. Umur saya sekarang dah masuk ke 5 siri. Rumah yang dikatakan MAMPU MILIK, hanya saya MAMPU TENGOK jer. Ha ha. ha. Maaf tuan, saya bergurau jer. Takperlah tak dapat didunia, Insyaallah, mudah2an dapat lebih besar di Akhirat. Bebas diri kita dari RIBA.

    Wallahu’alam.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Tak mengapa Tuan. Simpanan KWSP boleh dikeluarkan semuanya sekaligus apabila umur pencarum mencapai umur 55 tahun. Kalau diikutkan kepada umur Tuan, tinggal beberapa tahun lagi untuk Tuan dapat sepenuhnya simpanan KWSP Tuan.

      Reply
    2. Azrul

      Salam…ayah saya ada meninggalkan sebuah rumah,tapi geran rumah tidak boleh dituntu kerana penama ayah dan abang saya telah meninggal dunia..jadi bagaimana cara hendak memohon pentakbir baru,kerana ayah dan abang saya telah meninggal dunia..

      Reply
      1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

        Wsalam. Boleh ke Pejabat Pusaka Kecil bersama-sama geran untuk mendapatkan kembali surat kuasa pentadbir yang baru.

        Reply
  4. didi

    kalau tiada anak lelaki..dn si mati tidak mempunyai anak lelaki dn meningglkn isteri dan 4 orang ank pompuan..dn adik beradik si mati smuanya perempuan.kalau untuk harta x alih seperti tanah akan dibahagikan melalui faraid..macam mana nak bahagikn….dan untk harta alih si mati telah ade penama iaitu ank pompuannya..perlu ke dibahagikan mengikut faraid juga??

    yg msih beljr,,

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Saya menjawab sekadar yang saya tahu.

      Untuk dibahagikan harta tak alih, setelah selesai semua proses pentadbiran harta pusaka dan penentuan bahagian setiap waris, maka harta tersebut boleh dijual terlebih dahulu, dan nilai jualan dibahagikan mengikut bahagian masing-masing. Atau pun, jika ada yang nak kepada harta tak alih tersebut, contoh si isteri, maka si isteri perlu membayar kepada waris-waris lain mengikut jumlah yang sepatutnya diterima.

      Untuk harta yang diletakkan anak sebagai penama, perlu lihat apakah fungsi penama yang diletakkan. Jika si mati meletakkan penama tersebut sebagai penerima hibah, maka tidak perlu dibahagikan mengikut faraid. Tetapi, jika penama tersebut hanya sebagai pentadbir seperti duit KWSP, Tabung Haji, maka masih perlu dibahagikan mengikut faraid.

      Wallahu’alam.

      Reply
  5. nuyull84 ain

    As salam Tuan,

    Mohon pencerahan dari tuan,jika si mati telah meletakkan penama untuk simpanan KWSPnya,tetapi hanya ada tiga penama sahaja dan jumlah pembahagian duit tersebut juga berlainan jumlahnya.Contohnya penama pertama 50%,penama kedua pula 25% dan penama ketiga 25% dari keseluruhan jumlah duit KWSP tersebut.

    Adakah adik-beradik yang lain BUKAN PENAMA layak untuk mendapatkan duit tersebut atau perlu dibahagikan mengikut faraid?

    Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Sekali lagi ditegaskan, bagi simpanan KWSP orang Islam, penama adalah pentadbir, bukan penerima.

      Walaupun pembahagian dibuat atas beberapa penama, setiap penama bertanggungjawab utk mentadbir bahagiannya mengikut faraid.

      Contoh simpanan RM100 ribu, dibuat penama A 60%, penama B 40%.

      Jadi, penama A blh tuntut RM 60k drpd KWSP dan perlu agihkannya mengikut faraid. Penama B pula boleh tuntut RM 40k, dan juga perlu agihkannya mengikut faraid.

      Dlm kes saudari, kalau adik-beradik adalah waris sah faraid, maka perlu diagihkan kpd mereka. Jika bukan waris, maka tak perlu agihkan.

      Reply
  6. Anas Affandi

    Assalamualaikum Tuan, Saya berasal dari Pahang dan harta yang menjadi masalah disini terletak diPahang. Ceritanya begini, Arwah Ayah saya ada tinggalkan rumah dan ibu kami lantik jadi penama sekaligus pentadbir pusaka. Soalan saya, Kami ibu dan adik beradik ingin menjual rumah tersebut kerana masalah logistik dan pengurusan disebabkan lokasi rumah yang jauh dan ibu yang tidak larat untuk menguruskan rumah tersebut serta ada beberapa masalah kewangan lain yang ibu hadapi dan ini memaksa kami melepaskan rumah tersebut. kami adik beradik pula bekerja jauh. Jadi masalah kami timbul kerana kami masih lagi ada dua adik (Seorang lelaki dan seorang perempuan) yang masih belum cukup umur 18 tahun menyebabkan kami tidak boleh menjual rumah tersebut. Ada tak cara untuk menjual rumah tersebut walaupun ada waris masih lagi belum cukup umur 18? Untuk pengetahuan tuan, rumah tersebut telahpun dinilai dan sudah ada pembeli yang berminat. Terima kasih atas pencerahan tuan.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wa’alaikummussalam. Saya bukanlah orang yang berkelayakan untuk memberi nasihat mendalam berkenaan masalah harta pusaka sebegini. Saya sarankan Tuan untuk dapatkan bantuan orang yang berkelayakan berkenaan hal ini, seperti peguam atau Pejabat Pusaka Kecil.

      Apa yang saya tahu, bagi waris di bawah umur, biasanya akan dilantik pemegang amanah. Kebiasaannya, adalah waris sulung lelaki (abang sulong), atau datuk atau pakcik di sebelah arwah ayah. Dengan mendapatkan kebenaran daripada pemegang amanah ini, maka rumah tersebut boleh dijual. Cumanya, kena selesaikan dahulu pembahagian rumah tersebut. Maksudnya, dalam geran, nama waris-waris dan pemegang amanah berserta bahagian masing-masing perlulah ada. Bukan lagi nama arwah ayah.

      Atau pun, semua waris bersetuju untuk mengamanahkan/memindahkan bahagian masing-masing kepada seorang waris sahaja, maka hanya satu nama waris dalam geran rumah/tanah tersebut. Selepas itu, bolehlah dijual dan hasil jualan boleh diagihkan semula kepada semua waris mengikut bahagian masing-masing.

      Sekali lagi saya nyatakan, dapatkan nasihat dan bantuan daripada mereka yang berkelayakan dan berkemahiran.

      Wallahu’alam.

      Reply
  7. Muhammad

    Assalammualaikum.. Tuan..

    Saya ada membaca artikel yang tuan tuliskan.. Terima kasih kerana dia atas tulisan tuan.. Sedikit sebanyak saya mendapat ilmu berkenaan harta pusaka.. Cuma di sini.. Saya ingin meminta pencerahan daripada tuan.. Berkenaan bapa saya telah meninggal dunia, Tanpa meninggalkan wasiat dan penama ke atas semua harta beliau sama ada yang alih dn tak alih.. Bapa saya jugak ada mempunyai anak2 dari hasil perkahwinan pertama dan isteri pertama telah meninggal dunia.. Ibu saya pula isteri kedua.. Bapa saya jugak ada berkahwin satu lagi iaitu isteri ketiga.. Semua perkahwinan ini ada mempunyai anak.. Cuma bila bapa saya meninggal dunia.. Ibu saya telah berjumpa dengan lawyer untuk menjadi pentadbir dan mendapat persetujuan daripada semua waris arwah isteri pertama dan anak2 ibu saya kecuali di sebelah isteri yang ketiga dan anak2nya.. Ini kerana isteri ketiga hendak menuntut untuk menjadi pentadbir bersama.. Persoalan saya.. Apakah kelebihan menjadi pentadbir harta secara berseorangan atau bersama? Apakah bezanya pentadbir dan waris? Adakah ada kelebihan bila menjadi pentadbir? Dalam situasi ini juga.. Adakah ibu saya ada hak untuk
    menuntut harta sepencarian kerana arwah bapa saya membeli harta tersebut sebelum berkahwin dengan isteri ketiga?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Terima kasih atas kesudian Tuan untuk singgah membaca di blog saya ini.

      Saya bukanlah orang yang berautoriti untuk memberikan penjelasan bagi masalah pengurusan harta pusaka yang kompleks, sekadar perkongsian berdasarkan sedikit ilmu yang ada.

      Setahu saya, pentadbir harta hanya boleh dilantik seorang sahaja, di kalanngan waris atau yang dipersetujui oleh semua waris. Tiada kelebihan menjadi pentadbir, hanya amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul untuk memastikan semua harta pusaka diuruskan dengan baik dan diagihkan kepada waris-waris yang layak dengan seadilnya mengikut hukum yang ditetapkan.

      Selepas harta diagihkan kepada waris-waris, bagi waris-waris yang di bawah umur, akan dilantik pentadbir/pemegang amanah.

      Nasihat saya, Tuan boleh dapatkan bantuan daripada pihak berkelayakan seperti Pejabat Pusaka Kecil, Amanah Raya, peguam, as-Salihin trustee atau syarikat-syarikat lain.

      Wallahu’alam.

      Reply
  8. Asnida

    Assalammualaikum tuan,
    Saya ingin bertanya…ibu sy sebagai pentadbir kpd harta adik lelaki saya iatu sebuah rumah..( adik meninggal ketika msh bujang ) .Ibu saya ingin menjual rumah tersebut..blh ke ibu saya menjual rumah tersebut selepas waris2 lain bersetuju dgn alasan tidak ada org utk menguruskan rumah aruah..si mati adalah anak tunggal lelaki dlm keluarga..ayah pun tlh meninggal.mohon pencerahan.sekian terima kasih

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Jika mendapat surat kuasa daripada pejabat pusaka dan atas persetujuan semua waris, sudah tentu boleh. Hasil jualan nanti perlu dibahagikan kepada waris-waris mengikut kiraan faraid atau yang dipersetujui.

      Reply
  9. Wawa Mashuri

    Assalamualaikum En Izzudin dan pembaca2 yang dihormati. Saya Wawa, perunding dari Wasiyyah Shoppe. Boleh whatsapp saya di 0199395562 untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan harta pusaka, hibah, wasiat dan mendapatkan mock up sijil pengiraan faraid secara PERCUMA! Terima kasih.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Terima kasih kerana menawarkan khidmat 🙂

      Reply
  10. yusrizal

    mohon pandangan/nasihat

    bapa sy telah meninggal dunia dan terdapat simpanan dalam Tabung Haji dan telah dinamakan penama pertama iaitu ibu dan penama kedua adalah adik. masalah disini penama pertama iaitu ibu mengalami masalah kesihatan stroke serta tidak mampu bercakap dan sebagainya(tidak boleh bergerak). saya telah ke pengurusan tabung haji untuk mendapatkan pandangan supaya penama kedua boleh membuat pengeluaran. TH meminta sy ke mahkamah untuk mendapatkan perintah yang membolehkan penama kedua membuat pwngeluaran setelah penama pertama tidak mampu untuk menjadi pentadbir. bahagian mana dimahkamah sy perlu rujuk dan bgaimana prosedurnya. sy harap dpt sedikit info agar mampu menyelesaikan pemasalahan yang dihadapi.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Maaf, saya sendiri pun tidak tahu dengan terperinci berkenaan prosedur mahkamah. Cik boleh ke pejabat mahkamah terdekat untuk dapatkan bantuan.

      Reply
  11. hamba yang berdosa

    assalamualaikum bole saya tahu ciri-ciri agen tu? berikan penjelasan secara padat dan jelas. terima kasih

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Agen apa ye?

      Reply
  12. Roslan Darus

    As salam.
    Ibu telah mnukar hak milik tanah kepada nama saya sbg pentadbir. Bagaimana utk saya masukkan nama adik bradik dalam geran tanah mgikut faraid.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Boleh ke Pejabat Tanah untuk masukkan nama adik beradik yang lain mengikut bahagian masing-masing. Kiranya, tanah tersebut nanti akan mempunyai nama-nama pewaris.

      Reply
  13. Hannah

    Assalamualaikum Tuan.

    Harap Tuan dapat meluangkan masa membaca permasalahan saya ini.

    Saya ialah perempuan bujang dewasa yang memiliki harta dari hasil titik peluh sendiri tanpa mewarisi harta peninggalan dari kedua arwah ibu bapa.

    Saya ialah anak tunggal dari perkahwinan ibu dan bapa. Sejak umur sehari saya telah dipelihara oleh datuk dan nenek saudara yang saya namakan penjaga untuk memudahkan bicara disini. Ibu dan bapa telah bercerai sebelum saya dilahirkan. Saya tidak pernah dipeduli oleh bapa (tiada satu sen dari bapa) manakala ibu saya pula ialah pesakit (tiada satu sen dari ibu). Saya telah keluar dari rumah penjaga semasa berumur 18 tahun dan sejak itu penjaga sudah tidak ada tanggungjawab keatas saya lagi dari segi perbelanjaan kerana saya telah hidup berdikari. Ayah dan ibu saya telah meninggal dunia semasa saya telah pun dewasa. Saya tidak melihat wajah terakhir kedua ibu bapa ketika mereka menghembuskan nafas terakhir dan waktu pengebumian mereka kerana saya tidak tahu mereka dimana. Berita kematian ibu diberitahu oleh saudara yang lain. Berita kematian bapa saya ketahui ketika pergi ke JPN untuk mengetahui ‘family tree’.
    Saya ada adik beradik seibu lain bapa dan adik beradik sebapa lain ibu. Hubungan kami tidak berjalan dengan baik kerana bukan dari ayah atau ibu yang sama, juga disebabkan hal harta pusaka peninggalan arwah ibu yang tidak ada jalan penyelesaian yang mana timbulnya hinaan, kebencian, dendam dari anak ibu yang lain terhadap pihak pihak tertentu. Untuk makluman, saya tidak pernah menginginkan harta pusaka ibu tersebut kerana sedar diri saya tidak layak disebabkan saya tidak membela ibu saya. Tetapi disebabkan atas arahan pemegang amanah, saya jalankan tanggungjawab saya untuk menyelesaikan hal tukaran nama tetapi akhirnya saya yang dihina seperti kain buruk, dituduh tidak malu mahukan harta arwah ibu. Maka, hal itu berakhir disitu, saya sudah tidak pedulikan hal itu lagi.
    Untuk makluman Tuan, saya telah memberikan wang yang sangat banyak disamping hadiah hadiah dan bantuan tenaga keringat kepada penjaga saya sepanjang saya hidup sehingga ke hari ini sebagai balas budi kenang jasa. Jadi saya menganggap adalah wajar saya tidak meninggalkan apa apa harta atau hadiah kepada penjaga setelah kematian saya kerana saya juga tidak mewarisi apa apa harta daripada mereka. Untuk makluman Tuan, penjaga saya ialah orang yang kaya memiliki tanah yang banyak, kebun getah, rumah sewa dan tanah juga telah diagihkan kepada anak anak kandung mereka untuk dibuat rumah.

    Masalah sekarang ialah, sebagai perempuan yang tidak pernah berkahwin dan sebatang kara yang memiliki harta, boleh kah saya melantik seseorang untuk memegang amanah menjaga kesemua harta saya dari jatuh ke tangan adik beradik tadi? Saya tidak izinkan mereka untuk mengambil harta benda saya atas nama faraid. Saya mahukan semua harta saya dijual dan hasil jualan itu disedekahkan kepada badan kebajikan memandang saya sendiri lahir tiada ayah dan ibu disisi. Bolehkah saya berbuat begitu? Siapakah yang layak saya lantik? Jika ada cara untuk berbuat begitu, kepada siapakah saya harus berurusan?
    Soalan tambahan, bolehkah saya melantik pemegang amanah dari kalangan bukan muslim kerana tiada muslim yang amanah dikalangan keluarga sendiri?

    Jawapan dari Tuan amat saya harapkan.
    Saya harap Tuan dapat bagikan pandangan dan bantu saya dalam masalah ini.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Cik boleh sediakan wasiat/surat kuasa/surat amanah untuk melaksanakan hasrat Cik ke atas harta-harta yang ada. Boleh amanahkan kepada pemegang amanah, atau wakafkan kepada pihak-pihak yang Cik pilih. Cik boleh dapatkan bantuan daripada peguam atau syarikat-syarikat pengurusan harta pusaka seperti Amanah Raya, as-Salihin Trustee etc. Boleh juga dapatkan bantuan daripada Majlis Agama Negeri jika mereka ada menyediakan perkhidmatan ini.

      Reply
      1. Hannah

        Saya mendengar boleh dibuat perlucutan hak terhadap pewaris faraid untuk tidak menununtut harta saya. betulkah itu? dimana dan siapa saya harus hubungi?

        Reply
        1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

          Saya tak pasti. Mungkin boleh rujuk kepada peguam syariah atau mahkamah syariah.

          Reply
  14. Pingback: Cara Letak Nama Waris Untuk Simpanan KWSP - Mahersaham

  15. MOHD AFFENDY

    Assalamualaikum,,ingin tahu seandainya terjadi kes dimana pentadbir(abang kandung)setelah selesai urusan mahkamah,adik beradik yang lain tidak tahu apa yang di tuntut,serta pentadbir(abang kandung)senyap tanpa menjelaskan,soalan Saya,boleh kah cara untuk mengetahui apa yang di tuntut?juga seandainya Ada penyalahgunaan kuasa pentadbir,apakah tindakan yang boleh di ambil….

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Boleh dapatkan keputusan daripada pihak mahkamah. Jika ada penyalahgunaan, juga boleh dicabar di mahkamah.

      Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini