Tag Archive: kewangan peribadi

5 Tahap Kewangan Peribadi: Anda Di Mana?

tahap kewangan peribadiSetiap kemunculan awal tahun merupakan waktu yang sesuai untuk menilai semula di manakah tahap kewangan peribadi masing-masing.

Adakah bertambah baik dari tahun sebelumnya, masih di tahap lama atau semakin teruk?

Adakah pelan kewangan yang dirancang berjalan dengan baik?

Adakah matlamat kewangan yang diingini masih dalam jangkauan?

Semua soalan-soalan ini perlu dijawab dalam menilai pengurusan kewangan peribadi masing-masing.

Daripada jawapan yang diperoleh, bolehlah dibuat adjustment kepada pelan kewangan masing-masing agar tahap kewangan peribadi bertambah baik dan matlamat kewangan dapat dicapai.

Untuk menilai tahap kewangan peribadi masing-masing, boleh fokus kepada dua perkara utama, iaitu aliran tunai (pendapatan vs perbelanjaan) dan kedudukan kewangan (aset vs liabiliti)

Tahap kewangan peribadi seseorang boleh dikelaskan kepada lima tahap yang berikut:

Tahap kewangan peribadi #1 – Financial instability

Tahap pertama ini menggambarkan golongan yang mempunyai aliran tunai negatif, iaitu perbelanjaan lebih banyak berbanding pendapatan.

Tak kisah sebesar mana pun pendapatan yang diperoleh, jika jumlah perbelanjaan lebih besar, golongan ini sedang menghadapi masalah aliran tunai.

Bak kata orang, besar periuk, besarlah keraknya.

Golongan ini kebiasaannya lebih mengutamakan gaya dan kemewahan, walaupun sebenarnya mereka tidak mampu pun untuk bergaya dan hidup dalam kemewahan tersebut.

Lebih teruk lagi, akibat perbelanjaan yang sentiasa melebihi pendapatan, golongan yang berada pada tahap ini terpaksa membuat hutang-hutang jahat atau tidak produktif yang berlebihan, seperti kad kredit dan pembiayaan peribadi.

Sudahlah pendapatan tidak mencukupi, aset tidak dapat dibina, hutang pula keliling-pinggang.

Akibatnya, golongan ini mempunyai tahap kewangan peribadi yang tidak stabil.

Tahap kewangan peribadi #2 – Financial stability/sufficiency

tahap kewangan peribadiGolongan yang berada pada tahap kedua ini boleh dikatakan menghabiskan semua pendapatan yang diperoleh untuk menampung semua perbelanjaan mereka.

Tiada simpanan dibuat, tiada aset dibina; jika ada pun, jumlahnya adalah sedikit.

Hampir semua pendapatan dibelanjakan, pendapatan hanya cukup-cukup untuk dibelanjakan.

Jika ada hutang pun, hutang-hutang tersebut masih mencukupi ditampung dengan pendapatan yang diperoleh.

Mereka tidak terbeban dengan hutang, tetapi pada masa yang sama mereka tidak mempunyai banyak simpanan dan aset.

Tahap kewangan peribadi #3 – Financial security

Apabila berada pada tahap ketiga ini, golongan ini kebiasaannya mempunyai pengurusan kewangan yang baik.

Pendapatan diagihkan sebaik-baiknya untuk simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan.

Simpanan asas mencecah 3 ke 6 bulan pendapatan sebagai dana rizab, lebihan simpanan dilaburkan sebaik-baiknya ke dalam peluang pelaburan terbaik yang mereka pilih untuk memantapkan kedudukan kewangan mereka.

Dari semasa ke semasa, simpanan dan aset tersebut sentiasa ditambah.

Mereka mengawal perbelanjaan sebaik-baiknya, mereka hidup di bawah kemampuan dan sentiasa mengikut bajet yang dibuat supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.

Hutang-hutang pula diambil untuk perkara-perkara penting sahaja dan dikawal pada paras minimum, antara 30% ke 50% sahaja daripada pendapatan.

Jika berada pada tahap ini pun, sudah satu pencapaian yang membanggakan.

Tahap kewangan peribadi #4 – Financial freedom

Mencapai tahap financial freedom adalah impian ramai orang, termasuklah saya sendiri.

Sama seperti golongan pada tahap ketiga (financial security), mereka yang berada pada tahap financial freedom turut mengawal pendapatan yang diperoleh supaya simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan dilakukan dengan baik.

Mereka juga mempunyai simpanan asas sebagai dana rizab, dan menambah aset dari semasa ke semasa.

Mereka juga mungkin turut mempunyai hutang, tetapi masih pada perkara-perkara penting dan dikawal pada paras minimum juga.

Bezanya, pendapatan yang mereka peroleh adalah daripada pendapatan pasif, sama ada daripada sistem bisnes atau pelaburan yang mereka lakukan.

Manakala golongan pada tahap ketiga bergantung kepada pendapatan aktif, sama ada daripada kerjaya atau perniagaan mereka.

Kiranya, mereka yang mencapai financial freedom mampu menampung keperluan hidup mereka walaupun tidak bekerja kerana pendapatan pasif mereka adalah mencukupi.

Tahap kewangan peribadi #5 – Financial wealth

tahap kewangan peribadiGolongan yang berada pada tahap teratas ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan duit, kecuali satu sahaja.

Apakah masalah tersebut?

Masalah mereka adalah duit yang terlalu banyak.

Golongan ini mempunyai duit yang banyak hasil daripada pendapatan aktif dan pasif, yang mana mereka gunakan untuk berbelanja ke mana sahaja yang mereka kehendaki.

Mereka mempunyai simpanan yang banyak, dan jumlah aset yang menjana pendapatan yang stabil untuk mereka.

Mereka boleh hidup mewah dengan pendapatan yang diperoleh, bukan setakat menampung keperluan asas sahaja.

Senang kata, mereka adalah orang kaya!

Di Mana Tahap Kewangan Peribadi Anda?

Setelah meneliti kelima-lima tahap kewangan di atas, adakah sekarang anda dapat mengenalpasti di mana tahap anda sekarang?

Adakah masih terkial-kial di tahap pertama?

Stabil di tahap kedua?

Selesa di tahap ketiga?

Bebas di tahap keempat?

Atau mewah di tahap kelima?

Dari semasa ke semasa, perbaikilah tahap kewangan masing-masing.

Bagaimana nak baiki tahap kewangan sendiri?

Pertama, banyakkan tambah ilmu tentang pengurusan kewangan peribadi.

Kedua, tetapkan matlamat dan tahap kewangan yang dikehendaki.

Kemudian, rangka pelan (roadmap) untuk mencapai matlamat yang ditetapkan tersebut.

Akhir sekali, laksanakan pelan tersebut dan buat analisa dari semasa ke semasa.

Seperti yang ditulis pada awal artikel tadi, tahap kewangan seseorang dinilai berdasarkan dua perkara utama iaitu aliran tunai dan kedudukan kewangan.

Jadi, jika nak tambah baik tahap kewangan, fokus kepada dua perkara tersebut.

Tambah pendapatan dan kurangkan perbelanjaan supaya aliran tunai menjadi positif.

Tambah aset dan kurangkan hutang supaya kedudukan kewangan kukuh.

Jika ini dilakukan secara berterusan, percayalah, tahap kewangan anda akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Penyelesaian yang klise, bukan?

Ya, memang klise.

Tetapi, yang klise inilah yang ramai abaikan.

Sudahnya, tahap kewangan kekal seperti dulu, langsung tiada perubahan.

Sebenarnya, yang klise inilah penyelesaian asas dan umum yang perlu dilakukan.

Apabila dah nampak jalan, bolehlah spesifikkan penyelesaian tersebut khas untuk diri anda.

4 Model Bisnes Mudah Tanpa Modal Besar Untuk Jana Pendapatan Tambahan

bisnes mudahApabila terasa pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi, langkah pertama yang perlu diambil adalah dengan mengawal perbelanjaan.

Kena kurangkan perbelanjaan kehendak dan utamakan perbelanjaan keperluan terlebih dahulu.

Sehinggalah sampai satu tahap, walaupun telah potong hampir kesemua perbelanjaan kehendak dan sedaya upaya berjimat-cermat, namun pendapatan yang diperoleh dirasakan masih tidak mencukupi.

Masih tidak mampu untuk menyimpan, mengambil perlindungan insurans/takaful dan membuat pelaburan.

Malah, untuk perbelanjaan keperluan pun masih terasa sesak.

Apabila tiba ke tahap ini, tiada cara lain yang boleh dilakukan melainkan perlu lakukan sesuatu untuk jana pendapatan tambahan.

Antara cara untuk tambah pendapatan adalah dengan berniaga atau memulakan bisnes.

Tetapi, alasan atau halangan terbesar yang sering orang berikan untuk tidak mula berniaga adalah tidak tahu cara dan tiada modal.

Pada zaman sekarang, dengan kecanggihan teknologi dan lambakan informasi yang mudah dicapai, kedua-dua alasan ini tidak sepatutnya diberikan.

Ada banyak cara untuk mulakan bisnes dengan mudah dan tanpa perlukan modal yang besar.

Antara model bisnes mudah tanpa modal besar yang boleh dilakukan untuk jana pendapatan tambahan adalah:

1. Buat duit dengan affiliate

bisnes mudahDengan affiliate, anda perlu mendaftar dengan penjual atau vendor melalui laman web khas yang disediakan mereka.

Antara vendor yang menyediakan platform affiliate adalah Lazada, Zalora dan Bookcafe untuk produk fizikal, manakala Klikjer, Tim Infokerjaya, Aztetic dan OnPay adalah untuk produk digital.

Selepas mendaftar, setiap affiliater akan diberikan link khas dan beberapa tools promosi, seperti gambar, ayat-ayat ringkas, artikel-artikel promosi dan video.

Tugas affiliater, anda perlu mempromosikan produk vendor tersebut, samaada produk digital atau fizikal, menggunakan link dan tools yang diberikan.

Boleh promosikan di blog, laman sosial malah menerusi emel dan Whatsapp, bergantung kepada kreativiti masing-masing.

Jika ada yang berminat untuk dapatkan produk tersebut, boleh minta prospek tersebut dapatkan melalui link yang disediakan.

Sistem akan ‘capture’ pembeli tersebut dan apabila bayaran disahkan, affiliater akan diberikan komisen.

Kelebihan buat duit dengan affiliate, anda tidak perlu hasilkan produk dan bangunkan sistem, hanya perlu gunakan sistem sedia ada yang dibangunkan vendor.

Tugas affiliater hanya perlu buat promosi; segala bayaran, penghantaran, dispute dan refund akan dikendalikan oleh vendor.

Jadi, anda boleh mulakan bisnes sebagai affiliater dengan mudah dan tanpa perlukan modal besar untuk tambah pendapatan.

Namun, kelemahan utama buat duit dengan affiliate adalah sukar untuk ‘secure’ komisen disebabkan sukar untuk memastikan prospek membeli melalui link yang anda berikan.

Boleh sahaja prospek ignore link anda, dan terus pergi ke laman web vendor dan buat pembelian.

Akibatnya, anda akan terlepas komisen walaupun prospek tadi dapat tahu berkenaan tawaran vendor melalui promosi yang anda lakukan.

Untuk panduan lengkap berkenaan cara sebenar buat bisnes mudah dengan affiliate, boleh download panduan percuma di sini: Hero Affiliate

2. Buat duit dengan dropship

bisnes mudahMelalui bisnes dropship, anda perlu juga mendaftar dengan vendor dan selepas disahkan, anda akan dikenali sebagai agen dropship.

Antara vendor yang mempunyai sistem dropship yang baik adalah Pusat Borong, Dropship IM, Yosh, Malaya Street dan Dropship Malaysia.

Sebagai agen, anda akan diberi harga yang lebih murah berbanding harga pasaran bagi setiap produk yang vendor jual.

Contohnya, vendor jual sehelai kain pasang pada harga RM 80/pasang, tetapi untuk agen diberikan harga RM 60/pasang.

Sebagai agen dropship, tugas anda adalah mempromosikan dan menjual produk tersebut kepada orang lain pada harga yang ditetapkan vendor atau mark-up lagi untuk lebih keuntungan.

Apabila pelanggan membeli, anda perlu terima bayaran daripada pelanggan, kemudian bayarkan kepada vendor pada harga agen dan vendor akan poskan barang tersebut kepada pelanggan anda.

Keuntungan daripada hasil jualan tersebut anda sendiri ambil dan simpan, bukan dibayar oleh vendor.

Sama seperti bisnes affiliate, kelebihan buat duit dengan dropship ini adalah tidak memerlukan anda menghasilkan atau mempunyai produk sendiri dan tidak perlu pegang stok.

Namun, anda perlu mempunyai sistem jualan sendiri dan bekerja lebih sedikit (terima bayaran daripada pelanggan dan buat bayaran kepada vendor)

Di samping itu, kelemahan bisnes dropship juga adalah persaingan yang tinggi daripada agen dropship lain dan yang paling teruk, risiko pelanggan ‘dicuri’ oleh vendor.

Bayangkan, anda penat-penat buat promosi dan tarik pelanggan untuk beli, apabila pelanggan beli dan anda berikan details kepada vendor, vendor simpan maklumat pelanggan dan kemudian buat promosi terus kepada pelanggan pada masa depan.

Akibatnya, pelanggan akan membeli terus daripada vendor selepas ini, bukan lagi daripada anda.

Untuk elakkan masalah ini, perlulah cari vendor dropship yang baik dan profesional.

Untuk panduan lengkap berkenaan bisnes dropship, boleh dapatkan lebih banyak maklumat di sini: Bisnes Dropship FB dan Pro Spy FB

3. Bisnes mudah dengan arbitrage

bisnes mudahMelalui model bisnes arbitrage, anda tidak perlu mendaftar menjadi agen kepada mana-mana vendor.

Sebaliknya, anda cuma promosikan produk-produk yang dijual di laman-laman web e-commerce atau kedai-kedai berdekatan anda, dan jual pada harga yang di mark-up.

Contohnya, anda jumpa satu produk A di laman web Lelong berharga RM 50, anda ambil gambar dan spesifikasi produk tersebut lalu promosikan kepada orang lain melalui media sosial atau Whatsapp.

Tetapi, harga yang anda tawarkan adalah RM 70, bermaksud anda akan dapat keuntungan sebanyak RM 20 jika produk tersebut dijual.

Apabila ada pembeli, anda terima bayaran, kemudian buat pesanan di laman web tadi.

Untuk pastikan pembeli tidak tahu harga sebenar produk tersebut, pastikan anda memasukkan alamat yang berasingan untuk penghantaran produk dan bil, atau hantar mesej kepada penjual mengatakan bahawa produk tersebut dibeli sebagai hadiah, tidak perlu diletakkan tanda harga.

Dengan teknik ini, anda seolah-olah tolong belikan barang kepada pelanggan anda sahaja, dengan ambil sedikit upah.

Kelemahan teknik ini, pelanggan mungkin marah atau tidak berpuas hati jika mereka akhirnya dapat tahu harga sebenar produk yang dibeli tersebut.

Untuk pastikan teknik arbitrage ini berjaya, anda dinasihatkan untuk menjual dan mempromosikan produk-produk hot sahaja.

Boleh dapatkan di sini senarai produk-produk hot yang mudah dijual: Produk Hot FB

4. Bisnes mudah dengan consignment

bisnes mudahModel bisnes consignment adalah model bisnes old-school dan evergreen; diamalkan dari dulu dan akan tetap diamalkan sekarang dan pada masa akan datang.

Kalau ikut kepada definisi, consignment bermaksud memberikan produk kepada orang lain, tetapi masih mengekalkan pemilikan ke atas produk tersebut sehinggalah terjual.

Dalam teknik consignment, anda perlu berjumpa dengan pembekal dan dapatkan stok barang secara percuma terlebih dahulu, dengan mengikat perjanjian yang bayaran akan dibuat selepas barang terjual.

Mungkin untuk mengelakkan kerugian, pembekal akan meminta sedikit bayaran deposit atau cagaran terlebih dahulu.

Selepas dapat barang, anda jualkan barang tersebut dengan mengambil kira margin keuntungan yang dikehendaki.

Bayaran akan dibuat kepada pembekal selepas barang terjual dalam jangka masa 1 minggu sekali, 2 minggu sekali atau sebulan sekali, bergantung kepada perjanjian dengan pembekal.

Jika ada barang yang tidak terjual, boleh hantar semula kepada pembekal dan tukarkan dengan barang atau stok baru.

Kiranya, anda cuma perlu tolong jualkan barang pembekal, dan ambil upah sendiri (keuntungan) jika barang tersebut berjaya dijual.

Kelebihan utama taknik ini adalah dapat stok secara percuma/murah, sentiasa dapat stok baru dan risiko kerugian yang rendah akibat stok tidak terjual.

Tetapi, untuk lakukan bisnes mudah tanpa modal besar sebegini, perlulah mempunyai dan menjaga hubungan yang baik dengan pembekal.

3 Perkara Perlu Tahu Tentang Pelaburan Emas

pelaburan emasJika dilihat sekarang, trend pelaburan emas mula mendapat perhatian semula sepertimana waktu ‘kegilaan’ pelaburan emas sekitar tahun 2011 dahulu.

Ini kerana, jika dilihat kepada pergerakan carta harga emas, didapati bahawa harga emas sekarang dalam trend menaik, dan hampir menyamai harga kemuncak pada 2011 dahulu.

Harga emas sekarang berlegar sekitar RM 170 ke RM 180/gram, yang mana sebelum ini pada 2013 hingga 2015, harga emas berlegar sekitar RM 130 ke RM 150/gram sahaja.

Boleh semak harga emas di sini: http://goldprice.org/gold-price-malaysia.html

pelaburan emas

Bagi mereka yang konsisten membeli dan menyimpan emas pada tahun-tahun kejatuhan harga emas sebelum ini, pastinya sekarang tersenyum gembira melihat nilai emas yang disimpan mencatatkan keuntungan.

Itulah untungnya ‘istiqamah’ dalam pelaburan emas.

Bagi mereka yang baru nak mulakan pelaburan emas sekarang, pastinya tertanya-tanya, adakah trend kenaikan harga emas ini akan terus kekal?

Atau dah pun capai kemuncak, dan akan mula jatuh selepas ini?

Saya tiada jawapan untuk soalan-soalan di atas, tetapi, jika anda ingin memulakan pelaburan emas sekarang, ada beberapa perkara yang perlu di beri perhatian.

1. Harga emas bukan ditentukan permintaan dan tawaran sahaja

Sebelum ini mungkin ramai yang percaya bahawa harga emas ditentukan oleh permintaan dan tawaran (demand and supply) sahaja.

Jika permintaan tinggi dan penawaran rendah, harga emas akan melonjak naik, dan begitu juga sebaliknya.

Sebenarnya, ini adalah konsep yang kurang tepat.

Banyak faktor lain yang mempengaruhi harga emas selain faktor permintaan dan tawaran, seperti sentimen pasaran yang lemah, ketidaktentuan ekonomi dan kejadian-kejadian ‘luarbiasa’ seperti perang dan bencana besar.

Semua faktor ini boleh mempengaruhi harga emas walaupun paras permintaan dan tawaran emas adalah normal.

Misalnya, semasa Brexit baru-baru ini, harga emas dunia (dalam US Dollar) meningkat dengan mendadak dalam masa sehari (sehingga 4.7%)

Harga emas juga pernah naik secara mendadak semasa krisis-krisis kewangan yang berlaku sebelum ini, iaitu sehingga 7.7% pada Dot Com Crash 2000 dan 32% pada Global Financial Crisis 2008.

pelaburan emas

Selain daripada itu, harga emas turut dipengaruhi kestabilan nilai US Dollar; dalam kebanyakan situasi, semakin stabil nilai US Dollar, semakin lemah harga emas.

Oleh itu, sebarang faktor yang memberi kesan ke atas nilai US Dollar, akan turut sama memberi kesan kepada harga emas.

jpelaburan emas

Kesimpulan yang dapat dibuat untuk poin pertama ini adalah oleh kerana harga emas boleh dipengaruhi banyak faktor, maka amat sukar untuk meramal pergerakan harga emas pada masa hadapan.

Boleh sahaja harga emas terus menaik, atau tiba-tiba turun dengan mendadak.

Oleh itu, janganlah mudah percaya jika ada yang kata harga emas akan terus naik dan naik.

2. Emas bukan penyimpan nilai terbaik

Ramai yang terlibat dalam pelaburan emas disebabkan anggapan mereka bahawa emas adalah penyimpan nilai terbaik.

Misalnya, apabila berlaku ketidaktentuan dalam pasaran saham, ramai pelabur menukar pelaburan saham mereka kepada emas, dengan harapan emas dapat menyimpan nilai pelaburan mereka.

Malah, orang yang mempromosikan pelaburan emas sering menggunakan terma “emas kalis inflasi” sebagai ungkapan popular untuk menarik orang membeli dan menyimpan emas.

Fakta yang sebenar, walaupun emas adalah penyimpan nilai yang baik, namun emas bukanlah penyimpan nilai yang terbaik.

Emas tidak kalis inflasi sepenuhnya.

Sepertimana yang dinyatakan dalam poin pertama di atas, harga emas boleh turun naik setiap masa dan dipengaruhi oleh banyak faktor.

Ada masanya harga emas akan naik, dan ada masanya harga emas akan turun malah lebih teruk daripada kenaikan inflasi.

Contohnya, bagi mereka yang membeli dan menyimpan emas pada kemuncak harga pada 2011 dahulu, jika mengikut harga sekarang selepas 5 tahun, nilai emas yang dipegang tersebut masih lebih rendah berbanding semasa di beli dulu.

Tambahan lagi, mengikut kajian, sifat turun naik harga emas (volatility) adalah lebih tinggi berbanding volatility pasaran saham/ekuiti, bagi tempoh 5, 10 dan 20 tahun terdahulu.

pelaburan emas

Oleh kerana sifat volatility yang tinggi ini, pelaburan emas juga merupakan satu pelaburan yang berisiko dan banyak perkara perlu difikirkan sebelum memulakan pelaburan emas.

Dan pelaburan emas lebih sesuai untuk tempoh jangka masa panjang supaya dapat menyerap kesan turun-naik harga emas.

Jika mahukan pelaburan yang lain sebagai alternatif untuk menyimpan nilai, pelaburan bon/sukuk adalah lebih stabil berbanding pelaburan emas.

3. Instrumen pelaburan emas adalah pelbagai

Pelaburan emas yang paling popular adalah menerusi emas fizikal, samaada dalam bentuk barang kemas, gold bar atau syiling dinar emas.

Masalah utama dengan emas fizikal adalah penyimpanannya; jika disimpan sendiri di rumah boleh terdedah kepada risiko dicuri, jika disimpan di dalam peti simpanan bank akan dikenakan caj pula.

Jadi, sebagai alternatif kepada pelaburan emas dalam bentuk fizikal, mungkin boleh dipilih instrumen-instrumen pelaburan emas yang lain.

Mungkin boleh pilih pelaburan emas dalam bentuk sijil/akaun pelaburan emas sepertimana yang ditawarkan beberapa bank (contoh boleh lihat di sini: https://www.imoney.my/invest-gold)

Sijil/akaun pelaburan emas adalah pilihan instrumen pelaburan emas yang baik, namun bilangannya adalah terhad, terdapat isu kepatuhan syariah dan caj-caj tersembunyi seperti caj servis dan caj pengeluaran.

Alternatif lain, boleh terlibat dalam pelaburan emas secara tidak langsung melalui dana unit amanah atau ETF yang melabur dalam sektor emas, seperti RHB Gold & General Fund dan Precious Metals Securities (dulu dikenali sebagai AmPrecious Metals)

Jika dilihat kepada prestasi kedua-dua dana ini, untuk tahun 2016, kedua-duanya mencatat pulangan lebih 70%.

jomurusduit-pelaburan-emas-6

Boleh juga secara tidak langsung terlibat dalam pelaburan emas melalui pasaran saham, iaitu dengan membeli saham syarikat-syarikat yang menjalankan operasi berkaitan emas seperti menjual atau melombong emas.

Tetapi, jika ingin terlibat dalam pelaburan emas melalui dana unit amanah, ETF atau pasaran saham, bukan sahaja perlu meramal harga emas pada masa hadapan, malah perlu punyai kemahiran memilih syarikat terbaik melalui analisa fundamental.

Apa yang ingin ditekankan dalam poin ketiga ini adalah, pelaburan emas boleh dilakukan dalam pelbagai cara, terpulang kepada pelabur untuk memilih cara pelaburan yang terbaik dan sesuai dengan objektif dan toleransi risiko masing-masing.

Penutup

Sama seperti peluang pelaburan yang lain, pelaburan emas tidak menjanjikan keuntungan sepanjang masa.

Ada masanya pulangan adalah baik, ada masanya akan berlaku sebaliknya.

Tambahan lagi, emas merupakan item komoditi yang mana turun-naik harganya adalah sukar diramal dan emas tidak mempunyai intrinsic value seperti aliran tunai atau hasil dividen.

Malah, trend kenaikan harga emas sekarang tidak diketahui samaada akan berterusan dalam tempoh yang panjang atau berlaku seketika sahaja.

Maka, janganlah sewenang-wenangnya terlibat dalam pelaburan emas tanpa ilmu yang mencukupi atau dengan hanya mengikut kata-kata/pujukan orang lain.

Lebih penting lagi, jangan sampai tertipu dan terjebak dengan skim-skim pelaburan emas yang menjanjikan pulangan palsu, sepertimana yang pernah terjadi beberapa tahun dahulu.

Sebaik-baiknya, peruntukkan sebahagian sahaja daripada duit yang ada, mungkin sekitar 10 ke 20%, untuk pelaburan emas.

Jadilah pelabur yang bijak, bukan yang hanya sekadar mengikut trend.

Nota kaki:

Jika berminat nak melabur dalam pelaburan emas, boleh dapatkan rujukan lebih lanjut di sini: Rahsia Pelabur Emas

Jika berminat untuk terlibat dalam perniagaan emas, boleh dapatkan rujukan lebih lanjut di sini: Rahsia Usahawan Emas

Artikel ini ditulis berdasarkan artikel asal bertajuk 3 Things You Need To Know About Gold Investments yang disiarkan pihak iFast Capital Sdn. Bhd. di fundsupermart.com.my

Boleh baca artikel asal di sini:

https://www.fundsupermart.com.my/main/research/-View-Idea-of-The-Week-3-Things-You-Need-To-Know-About-Gold-Investments-9-Sep-2016–7484