Tag Archive: insurans terbaik

19 Tips Langgan Perlindungan Insurans Takaful

tips langgan perlindungan insurans takafulRasanya rugi pula kalau Jom Urus Duit tidak berkongsikan tips langgan perlindungan insurans takaful yang ditulis oleh Tuan Afyan ini.

Kalau nak baca tulisan asal di blog beliau, boleh klik di sini.

Kalau nak baca tulisan asal di Facebook beliau, klik di sini.

Tips yang ringkas dan padat tapi menusuk kalbu ini memang patut dibaca dan dihadam oleh sesiapa yang berhajat nak langgan perlindungan insurans takaful.

Bagi yang dah langgan pun, perlu baca dan fahamkan juga.

Jom kita teliti satu per satu tips langgan perlindungan insurans takaful yang dikongsikan oleh Tuan Afyan.

Saya juga akan berikan ulasan mengikut kefahaman saya bagi setiap tips yang diberikan.

Tips #1 – JANGAN langgan takaful sebab ejen semata-mata. Kawan saya ejen, ejen tu cantik, ejen tu bagi hadiah setiap tahun dan lain-lain. Pilih takaful berdasarkan keperluan kewangan sendiri.

Ulasan: Ejen yang baik adalah ejen yang mampu menasihati dan menyediakan pelan perlindungan yang sesuai dengan profile kewangan dan keperluan pelanggan, bukan keperluan ejen itu sendiri.

Maksudnya, ejen tersebut bukan sekadar nak kejar target jualan dan close sale untuk keuntungan diri- sendiri, tetapi lebih mengutamakan keperluan pelanggan agar dapat menjaga kesejahteraan pelanggan.

Di samping itu, ejen yang baik juga sentiasa berhubung dengan pelanggan secara berkala di kala senang mahu pun susah, bukan sekadar bermanis kata sebelum close sale sahaja.

Bagi pelanggan pula, jangan mudah terpukau dengan ejen, tetapi nilaikan nasihat yang diberi ejen dan pilih pelan yang paling menepati keperluan kewangan sendiri.

Tips #2 – JANGAN langgan takaful utk diri sendiri melebihi 10% daripada pendapatan. Itu sudah overpaid. Paling banyak pun 15%, itu pun untuk yang berusia emas.

Ulasan: Selain menilai keperluan kewangan, ambil kira juga komitmen kewangan apabila nak langgan perlindungan insurans takaful.

Melanggan perlindungan insurans takaful adalah elemen penting dalam pengurusan kewangan peribadi, tetapi jangan pula sampai membebankan diri-sendiri.

Tips #3 – JANGAN langgan medical card tanpa life protection untuk income protection. Jika tiada medical card, masih ada alternatif di hospital kerajaan jika jatuh sakit. Tapi jika tiada life takaful untuk income protection, akan memberi kesan besar dalam kewangan keluarga apabila ditimpa musibah kematian, lumpuh dan sakit kritikal.

Ulasan: Saya juga rasa pelik, ramai orang lebih mengejar untuk langgan medical card berbanding pelan life protection atau income protection.

Sepatutnya, yang perlu diutamakan terlebih dahulu apabila nak langgan perlindungan insurans takaful adalah income protection dengan nilai perlindungan 10 kali ganda pendapatan tahunan.

Kalau ada duit lebih, boleh langgan medical card.

Nak langgan pelan life protection yang ada add-on medical card?

Boleh sahaja, asalkan jumlah perlindungan adalah sesuai dengan keperluan kewangan dan mampu bayar komitmen setiap bulan.

tips langgan perlindungan insurans takafulTips #4 – JANGAN risau kalau ada ejen burukkan syarikat takaful lain susah bayar claim. Semua syarikat takaful berada di bawah kawal-selia oleh Bank Negara Malaysia, dan tertakluk kepada undang-undang Islamic Financial Services Act. Jika ada pelanggan yg teraniaya, boleh buat laporan. Jika kes genuine, undang-undang berpihak kepada pelanggan.

Ulasan: Berkaitan dengan claim ini, nasihat saya kepada bakal pelanggan yang nak ambil perlindungan insurans takaful, pastikan anda tahu apa yang boleh dituntut, situasi yang bagaimana dan prosedur yang perlu dilakukan.

Bonus juga kalau belajar cara-cara buat claim secara terus dengan syarikat tanpa melalui ejen, supaya nanti jika ejen ada masalah, anda boleh buat tuntutan sendiri.

Minta ejen jelaskan semua perkara di atas supaya nanti jika berlaku situasi claim ditolak, anda tahu apa hak anda.

Tips #5 – JANGAN sembunyikan maklumat-maklumat penting terutama kesihatan ketika tanda tangan polisi. Dedahkan semua maklumat diminta, sekalipun penyakit yang sudah sembuh atau penyakit 10-20 tahun lepas. Jika tidak, akan ada risiko besar untuk tuntutan ditolak apabila berlaku musibah. Banyak kes claim ditolak disebabkan “undiscloser fact” atau ketidakdedahan fakta.

Ulasan: Kalau tidak dedahkan maklumat sebenar, jangan pula salahkan syarikat dan ejen apabila claim ditolak.

Sebaliknya, salahkan diri-sendiri sebab tak jujur.

Lagi satu, kalau boleh langgan perlindungan insurans takaful sebelum mempunyai apa-apa rekod kesihatan yang tak baik, maksudnya langgan semasa sihat.

Sebabnya, kalau dah ada rekod kesihatan tak baik, polisi boleh menjadi mahal atau pun tidak diluluskan.

Malah, tuntutan berkaitan masalah kesihatan yang dialami boleh ditolak.

Tips #6 – JANGAN buat-buat lupa bayaran bulanan. Ini akan menyebabkan polisi menjadi “lapse” dan tidak lagi berkuatkuasa. Polisi takaful yang baik ialah polisi yg dibayar sumbangannya setiap bulan.

Ulasan: Biasa juga berlaku apabila menghadapi masalah kewangan atau perlukan duit tambahan, bayaran bulanan perlindungan insurans takaful yang sering dikorbankan.

Ada juga yang sengaja tak buat bayaran bulanan sebab rasa tidak ada keperluan, maklumlah belum ditimpa musibah lagi.

Apabila dah ditimpa musibah dan buat claim, barulah menyesal sebab polisi dan tak valid sebab terlalu lama bayaran tak dibuat.

Pada masa itu, mulah salahkan syarikat dan ejen, padahal masalah sebenar berpunca dari diri-sendiri.

Tips #7 – JANGAN tandatangan borang kosong. Pastikan borang diisi terlebih dahulu sebelum tanda tangan. Semak borang sebelum tandatangan untuk memastikan borang diisi dengan maklumat lengkap dan betul.

Ulasan: Yang ini sangat penting untuk diingati.

Saya juga pernah mengalami situasi di mana ejen meminta saya menandatangani dahulu borang kosong yang mana beliau katakan akan diisi apabila beliau pulang ke pejabat nanti.

Saya menolak dan meminta borang tersebut diisi terlebih dahulu, dan ejen tersebut menuruti.

Walaupun ejen yang dijumpai adalah seorang yang boleh dipercayai, amat penting untuk tidak tandatangan pada borang kosong, kerana boleh sahaja ejen tersebut nanti tersalah isi maklumat yang akan menyebabkan masalah pada kemudian hari.

Tips #8 – JANGAN mudah-mudah batalkan polisi apabila ada ejen takaful lain memburuk-burukkan polisi takaful anda. Buat semakan kembali dan dapatkan pandangan kedua. Ejen yg suka batalkan polisi klien boleh diadukan kepada Bank Negara Malaysia (BNM)

Ulasan: Jika anda ikut kata-kata ejen supaya membatalkan polisi lama dan ambil polisi baru, ketahuilah bahawa anda sebenarnya perlu mengeluarkan kos yang lebih (walaupun anda tidak menyedari kos tersebut)

Apa yang lebih baik adalah review balik polisi lama dan upgrade sahaja manfaat yang perlu ditambah.

Tak perlu pun batalkan polisi dan ambil polisi baru.

Tips #9 – JANGAN tandatangan borang cadangan takaful sebelum anda baca Product Disclosure Sheet (PDS). Boleh minta PDS daripada ejen atau lihat dalam website syarikat. PDS adalah dokumen penting produk takaful yg diwajibkan oleh BNM kpd semua syarikat takaful. Ejen wajib tunjukkan dan terangkan kepada bakal pelanggan.

Ulasan: Tidak salahkan untuk anda, sebagai pelanggan, untuk memahami secara mendalam berkenaan pelan perlindungan yang nak diambil.

Oleh itu, jangan malas untuk baca PDS.

Kalau tak faham, boleh tanya ejen.

Tips #10 – JANGAN bayar mahal tapi coverage sedikit untuk takaful. Fungsi utama takaful adalah untuk perlindungan, bukan untuk simpanan atau pelaburan. Sebaiknya-baiknya, 5-6% daripada pendapatan untuk perlindungan bersamaan 10 tahun pendapatan. Contoh, gaji RM 3,000 sebulan, caruman RM 150 ke RM 170 sebulan bersamaan RM 360,000 utk kematian, lumpuh dan sakit kritikal.

Ulasan: Seperti tips #1 dan #2, apabila langgan perlindungan insurans takaful, seimbangkan antara keperluan dan komitmen kewangan.

Pilih manfaat yang perlu dan penting sahaja supaya bayaran tidak menjadi terlalu mahal.

Tak bolehkah ambil perlindungan insurans takaful bersekali dengan manfaat simpanan dan pelaburan?

Boleh, dengan syarat anda tahu kelebihan dan kekurangan pelan sebegitu berbanding pelan perlindungan biasa.

Dan sekali lagi yang penting, pastikan perlindungannya memenuhi keperluan dan bayarannya mampu dipenuhi setiap bulan.

tips langgan perlindungan insurans takafulTips #11 – JANGAN langgan takaful untuk hibah sahaja tanpa coverage critical illness. Produk takaful untuk hibah sahaja, tidak membantu sekiranya berlaku penyakit kritikal sedangkan 70% kematian berpunca dari sakit kritikal. Jika sudah sign-up, boleh tambah coverage baru untuk sakit kritikal.

Ulasan: Apabila langgan perlindungan insurans takaful, pastikan perlindungan-perlindungan asas diambil iaitu perlindungan kematian, kecacatan/kelumpuhan dan sakit kritikal.

Perlindungan sakit kritikal adalah supaya pendapatan tidak terjejas apabila anda diserang sebarang penyakit yang disenaraikan.

Pampasan yang diperoleh juga boleh membantu membiayai kos rawatan jika diperlukan.

Oh ya, pastikan anda tahu beza antara perlindungan sakit kritikal dan manfaat kad perubatan, ya.

Tips #12 – JANGAN lupa baca polisi sebaik sahaja terima. Ia sangat penting utk memahami kembali apa yg diterangkan oleh ejen dan pastikan ia terkandung di dalam polisi. Jika ejen beritahu polisi ada simpanan sekian-sekian, minta ejen tunjukkan maklumat tersebut.

Ulasan: Polisi boleh dianggap sebagai kitab rujukan dan kontrak untuk pelan perlindungan yang anda ambil.

Pastikan anda tahu manfaat apa yang dilindungi dan hak-hak anda sebagai pemilik polisi.

Ya, polisi memang kebiasaannya tebal dan ayat-ayatnya mungkin sukar difahami, tetapi anda tetap perlu baca dan fahamkan.

Tips #13 – JANGAN malas untuk buat perbandingan proposal takaful. Di Malaysia, ada lebih kurang 10 syarikat takaful. Jadi, selaku pelanggan, adalah satu kelebihan untuk mendapatkan produk yang paling baik dan paling sesuai berdasarkan kewangan diri-sendiri.

Ulasan: Ramai yang beranggapan, apabila berurusan dengan seseorang ejen, maka memang perlu langgan dengan ejen tersebut.

Sebab itulah ramai yang malas nak jumpa ramai ejen dan buat perbandingan proposal.

Sebenarnya, boleh sahaja minta quotation daripada beberapa ejen daripada syarikat berlainan dan nilaikan pelan perlindungan yang dicadangkan.

Ambil yang mana paling sesuai, dan tolak dengan baik cadangan yang tidak berkenan.

Tips mudah untuk buat perkara ini, berurusanlah dengan ejen yang tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan anda; ejen yang anda tak kenal.

Kalau berurusan dengan ejen daripada kalangan adik-beradik atau rakan-rakan, nanti akan rasa segan pula nak tolak cadangan mereka.

Tips #14 – JANGAN buat perbandingan lama sangat sampai 3-4 tahun tak habis-habis minta quotation tapi tak sign-up sebarang polisi. Sakit, mati, lumpuh tidak menunggu kita ada polisi takaful baru datang menyinggah. Mereka datang tanpa memberi salam.

Ulasan: Betul, apabila dah jumpa pelan yang sesuai, komitmen kewangan pun diyakini dapat dipenuhi, maka cepat-cepatlah langgan perlindungan insurans takaful tersebut.

Tips #15 – JANGAN terpengaruh dengan ejen yang desprate nak dapatkan sales. Pilih ejen yang mampu memberikan khidmat nasihat berdasarkan keperluan kewangan anda. Mereka golongan rare dalam industri takaful dan tidak ramai.

Ulasan: Sama seperti tips #1, mendapatkan khidmat daripada ejen yang baik adalah sangat penting.

Tips #16 – JANGAN batalkan polisi hanya semata-mata anda tak puas hati kepada ejen. Kembali kepada objektif asal anda melanggan polisi sebab apa? Jika tak puas hati dengan ejen, anda boleh hantar surat kepada syarikat takaful untuk menukar ejen lain.

Ulasan: Seperti yang ditulis di tips #8, ada kos yang perlu anda bayar jika anda batalkan polisi dengan sewenang-wenangnya.

Tips #17 – JANGAN mengharapkan produk takaful yang sempurna. Tiada produk seumpama itu. Produk takaful boleh diambil sedikit demi sedikit. Boleh ambil lebih daripada satu polisi untuk sesuaikan dengan keperluan kewangan kita.

Ulasan: Setiap pelan dan polisi perlindungan insurans takaful ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Sebagai pengguna, fahami terlebih dahulu kelebihan dan kekurangan setiap polisi dan buat penilaian dengan sebaik-baiknya.

Yang penting, pilih yang paling memenuhi objektif, keperluan dan kemampuan sendiri.

Tips #18 – JANGAN baca sekerat-sekerat panduan ini. Baca keseluruhannya dan setiap satu berkaitan antara satu sama lain.

Tips #19 – JANGAN lupa untuk tag pasangan, keluarga dan kawan-kawan lain yg patut tahu tips ini dan JANGAN lupa utk LIKE dan SHARE selepas baca habis tip-tip ini.

Itulah sahaja tips langgan perlindungan insurans takaful yang dikongsikan oleh Tuan Afyan.

Memang betul-betul makan dalam dan bermanfaat untuk kita semua.

Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya!

tips langgan perlindungan insurans takaful

..

Cara Dapatkan Perlindungan Insurans Takaful Murah

perlindungan insurans takaful murahNak dapatkan perlindungan insurans takaful murah untuk diri-sendiri?

Semua orang sudah semestinya mahukan perlindungan insurans takaful yang menyediakan jumlah perlindungan yang tinggi, tetapi pada masa yang sama turut mahukan bayaran yang rendah.

Bayar rendah, tetapi jumlah perlindungan tinggi.

Memang best, bukan?

Tetapi, wujudkah perlindungan insurans takaful murah sebegitu?

Sebenarnya, sukar untuk menentukan sama ada sesuatu pelan perlindungan insurans takaful itu murah atau mahal.

Sebabnya, kadar bayaran bagi sesuatu pelan perlindungan insurans takaful adalah berbeza antara setiap orang.

Individualized.

Bayaran yang dikenakan dipengaruhi oleh banyak faktor yang disumbangkan oleh setiap individu.

Faktor-faktor ini pula akan menentukan risiko-risiko yang ditanggung oleh syarikat penyedia.

Apabila kita mengambil perlindungan insurans takaful, kita sebenarnya ‘memindahkan’ risiko yang ditanggung diri-sendiri kepada syarikat penyedia insurans takaful.

Syarikat penyedia yang menerima risiko tersebut akan menyediakan perlindungan jika sebarang musibah menimpa.

Semakin banyak risiko yang dipindahkan, atau semakin banyak risiko yang ditanggung oleh syarikat penyedia insurans takaful, maka sudah tentu semakin tinggi kadar bayaran yang dikenakan.

Jadi, ada atau tidak cara untuk dapatkan perlindungan insurans takaful murah tanpa menyebabkan komitmen bayaran yang tinggi?

Ya, ada caranya, iaitu dengan ‘mengawal’ faktor-faktor yang mempengaruhi kadar bayaran pelan perlindungan insurans takaful yang ingin diambil.

Apakah faktor-faktor tersebut?

Jom kita lihat satu per satu.

Faktor #1 – Jumlah perlindungan

Semakin tinggi jumlah perlindungan yang diambil, sudah tentu semakin tinggi bayaran yang perlu dikeluarkan.

Simple.

Bagi pelan yang sama, kadar bayaran perlindungan sebanyak RM 1 juta mesti lebih tinggi berbanding perlindungan RM 500,000

Maka, untuk dapatkan perlindungan insurans takaful murah, kenalah buat kira-kira dahulu berapa jumlah perlindungan optima yang diperlukan supaya tidak terlebih mengambil perlindungan (over-insured)

Pada masa yang sama juga, janganlah terlalu mengharapkan bayaran yang murah sehingga mengambil jumlah perlindungan yang terlalu rendah (under-insured)

Over-insured menyebabkan pembaziran, under-insured menyebabkan perlindungan yang diambil tidak mencukupi.

Bagaimana nak tahu jumlah perlindungan optima yang diperlukan?

Ada banyak cara kiraan, tetapi yang paling mudah adalah dengan mendarabkan jumlah pendapatan tahunan dengan 10.

Contohnya, andai kata jumlah pendapatan adalah RM 50,000 setahun, maka jumlah perlindungan optima yang diperlukan adalah RM 500,000

Dengan jumlah perlindungan sebanyak itu, sekurang-kurangnya jumlah pampasan yang diperoleh adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan selama 10 tahun sekiranya berlaku apa-apa musibah.

Faktor #2 – Jenis risiko yang dilindungi

perlindungan insurans takaful murahInsurans takaful diwujudkan sebagai instrumen perlindungan, dan risiko-risiko asas yang perlu dilindungi adalah kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kesihatan.

Jika anda merancang untuk mengambil perlindungan insurans takaful murah, cukup sekadar ambil perlindungan atas risiko-risiko asas ini sahaja.

Boleh baca artikel ini untuk keterangan lebih lanjut: 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

Pada masa yang sama, kebanyakan pelan perlindungan insurans takaful turut menyediakan manfaat-manfaat tambahan yang boleh diambil pelanggan.

Contohnya, manfaat waiver of controbution, spouse contribution, khairat kematian, badal haji, simpanan dan pelaburan.

Tidak salah untuk mengambil manfaat-manfaat tambahan ini, tetapi pastikan yang betul-betul penting dan sesuai dengan keperluan anda sahaja.

Jangan berlebih-lebihan.

Ingat, semakin banyak manfaat yang diambil, semakin tinggi juga bayaran yang akan dikenakan nanti.

Boleh baca artikel ini juga untuk keterangan lebih lanjut: 5 Peraturan Asas Berkaitan Perlindungan Insurans Takaful

Faktor #3 – Umur

Umur memainkan peranan besar dalam menentukan jumlah bayaran perlindungan insurans takaful.

Semakin berusia umur seseorang, semakin tinggi risiko yang dihadapi orang tersebut sama ada dari segi kematian dan kesihatan (Peringatan! Mati dan sakit tidak mengenal usia)

Oleh itu, jika nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, kenalah dapatkan semasa umur masih muda.

Pada usia berapa yang sesuai untuk ambil perlindungan insurans takaful?

Jika ditanya kepada saya, saya akan cadangkan untuk menilai lagi beberapa faktor selain daripada umur seperti tahap pendedahan risiko, status penanggung nafkah dan kemampuan kewangan.

Boleh baca dengan lebih jelas di sini: Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans Takaful?

Saranan lebih mudah, digalakkan ambil sebelum umur 30 tahun kerana banyak pelan perlindungan yang saya pernah kaji, harga akan menjadi mahal jika diambil selepas umur 30 tahun.

Bagi lelaki yang belum berkahwin dan tidak mempunyai tanggungan, saya galakkan ambil segera selepas berkahwin atau dalam masa terdekat sebelum berkahwin, tetapi pastikan sebelum berumur 30 tahun.

Senang cerita, ambil segera perlindungan insurans takaful pada usia muda jika tidak mahu membayar terlalu tinggi.

Faktor #4 – Tahap kesihatan

Apabila anda ingin mengambil perlindungan insurans takaful untuk diri-sendiri, ejen pasti akan bertanya sama ada anda ada mengalami masalah kesihatan atau tidak (mempunyai sebarang penyakit atau tidak)

Anda juga mungkin perlu menjalani pemeriksaan kesihatan atau menyerahkan laporan perubatan terkini (jika ada) semasa menghantar borang permohonan.

Maklumat ini sangat penting bagi syarikat penyedia menentukan tahap risiko anda, dan seterusnya mempengaruhi harga yang akan dikenakan nanti.

Jika anda telah pun ada sebarang masalah kesihatan, harga yang dikenakan nanti boleh menjadi mahal.

Boleh jadi juga penyakit yang sedang dialami dan komplikasinya tidak akan dilindungi lagi.

Malah, ada juga kemungkinan permohonan tidak diluluskan dan anda tidak layak untuk mengambil sebarang pelan perlindungan insurans takaful.

Oleh itu, jika nak pastikan anda mendapat pelan perlindungan insurans takaful murah dan diterima sepenuhnya, pastikan ambil perlindungan semasa sihat.

Faktor #5 – Status merokok

perlindungan insurans takaful murahPerokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi masalah kesihatan seperti sakit jantung, kanser paru-paru dan strok.

Malah, perokok mempunyai jangka hayat yang lebih pendek; hanya 50% perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun.

Boleh baca lebih banyak info berkenaan bahaya merokok di sini: Bahaya Merokok

Bagi perokok, bayaran perlindungan insurans takaful akan dikenakan harga yang lebih tinggi disebabkan oleh risiko-risiko yang ditanggung oleh seorang perokok.

Kalau nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, pastikan anda menjauhi rokok.

Berhenti merokok, kerana merokok bukan sahaja membahayakan diri-sendiri, malah menyebabkan pembaziran duit.

Faktor #6 – Kelas pekerjaan

Kelas atau jenis pekerjaan seseorang juga akan diambil kira bagi menentukan kadar bayaran pelan insurans atakful yang ingin diambil.

Pekerjaan dikelaskan mengikut keadaan tempat, tugasan yang dilaksanakan dan aktiviti yang dilakukan yang mana semua ini akan menentukan tahap risiko atau bahaya pekerjaan tersebut.

Sebagai contoh, seorang pemandu sudah tentu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kemalangan berbanding pekerja pejabat.

Begitu juga seorang pekerja di tapak pembinaan mempunyai risiko yang lebih tinggi menghadapi masalah kesihatan disebabkan banyak tenaga digunakan dan sering berhadapan dengan debu berbanding mereka yang bekerja di dalam bilik pejabat yang dilengkapi pendingin hawa.

Ini sudah semestinya akan mempengaruhi kadar bayaran pelan perlindungan yang akan dikenakan.

Kesimpulan

Selain faktor-faktor yang dinyatakan di atas, ada lagi faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kadar bayaran sesuatu pelan perlindungan insurans takaful seperti jenis pelan dan kos syarikat penyedia.

Walaubagaimana pun, oleh kerana faktor-faktor tersebut tidak dapat kita kawal, maka tidaklah saya terangkan di sini.

Kesimpulannya, jika nak dapatkan perlindungan insurans takaful murah, pastikan anda ambil pada jumlah perlindungan yang optima, lindungi risiko atau manfaat yang penting sahaja, mula awal pada usia muda, ketika masih belum punyai masalah kesihatan dan tidak merokok.

Cuba dapatkan beberapa sebutharga (quotation) daripada beberapa syarikat penyedia bagi beberapa pelan perlindungan, dan pilih yang terbaik yang memenuhi keperluan sendiri.

Ingat, jangan kejar yang murah sahaja, tetapi pilih yang terbaik yang memenuhi keperluan sendiri.

Boleh baca artikel ini sebagai panduan: Panduan Memilih Perlindungan Insurans Takaful Terbaik

p/s: Rasa artikel ini bermanfaat? Jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan supaya lebih ramai dapat tahu cara dapatkan perlindungan insurans takaful murah.

Panduan Memilih Perlindungan Insurans Takaful Terbaik

pelan perlindungan insurans takaful terbaik“Kau rasa, apa pelan perlindungan insurans takaful terbaik yang aku perlu ambil untuk diri aku sendiri?”

“Nak ambil dengan syarikat Prudential ke? Zurich ke? Etiqa? AIA?”

Pernah seorang rakan bertanya kepada saya soalan di atas.

Anda pun mesti pernah bertanya soalan yang sama juga, bukan?

Kebanyakan orang memang tercari-cari produk atau pelan perlindungan insurans takaful terbaik untuk diri-sendiri.

Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan pelan perlindungan insurans takaful terbaik?

Apakah ciri-cirinya?

Sebenarnya, pelan perlindungan insurans takaful yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang berbeza adalah hampir sama sahaja secara asasnya kerana kerangkanya dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Mungkin akan ada sedikit perbezaan jika syarikat-syarikat penyedia menyediakan beberapa tawaran istimewa untuk membezakan produk mereka dengan pesaing lain, namun kerangka asasnya akan tetap sama.

Jadi, memang sukar untuk memilih pelan perlindungan insurans takaful terbaik.

Sebagai panduan, jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans takaful untuk diri-sendiri, beberapa langkah yang berikut perlu dilakukan.

Sebelum itu, ingin saya tegaskan, panduan ini adalah daripada kaca mata saya sebagai orang awam sahaja.

Mungkin jika bertanya kepada ejen-ejen insurans takaful profesional, atau penasihat kewangan bertauliah, mereka akan memberikan cadangan dan panduan yang lebih details lagi.

Langkah #1 – Kenal pasti keperluan jumlah perlindungan

Setiap orang mempunyai keperluan jumlah perlindungan yang berbeza.

Berapakah jumlah perlindungan yang sepatutnya?

Mengikut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Life Insurance Association of Malaysia, LIAM), jumlah perlindungan yang disarankan untuk setiap individu adalah 10 kali ganda pendapatan tahunan.

Jika pendapatan tahunan adalah RM 50,000, maka jumlah perlindungan yang disarankan adalah RM 500,000

Jika RM 30,000 setahun, maka jumlah perlindungan haruslah RM 300,000

Dengan jumlah perlindungan 10 kali ganda pendapatan tahunan, maka nanti jumlah pampasan yang diterima jika terjadi musibah dapat menampung perbelanjaan untuk tempoh 10 tahun; satu tempoh yang panjang sebelum dapat ‘pulih’ daripada musibah yang menimpa.

Maka, jika ingin mendapatkan produk perlindungan insurans takaful terbaik, kenalah buat kira-kira dulu berapakah jumlah perlindungan yang diperlukan.

Apabila dah tahu keperluan jumlah perlindungan diri-sendiri, senanglah apabila berbincang dengan ejen insurans takaful nanti.

Jangan sekadar biarkan ejen menentukan jumlah perlindungan yang perlu anda ambil, sebaliknya berbincanglah baik-baik agar keperluan diri dipenuhi.

Langkah #2 – Pilih manfaat atau risiko yang ingin dilindungi

pelan perlindungan insurans takaful terbaikSeperti yang saya tulis dalam artikel 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful, maka apabila mendapatkan perlindungan insurans takaful terbaik, pastikan sekurang-kurangnya kesemua manfaat asas dapat dilindungi.

Namun, apa yang perlu diketahui, mungkin tiada satu pelan pun yang boleh cover kesemua manfaat asas tersebut secara serentak dalam satu pelan.

Contohnya, untuk melindungi aset, perlu ambil pelan insurans takaful am.

Untuk manfaat kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kesihatan pula, perlu ambil pelan insurans takaful hayat/keluarga.

Untuk manfaat kesihatan bagi membayar caj rawatan dan hospital pula, perlu ambil pelan kad perubatan.

Bukan merupakan satu masalah untuk mengambil pelan insurans takaful yang berbeza-beza, asalkan kesemua risiko/manfaat asas dilindungi.

Selepas dah kenal pasti manfaat-manfaat asas yang ingin dilindungi, bolehlah juga kenal pasti manfaat-manfaat tambahan lain seperti khairat kematian, badal haji, simpanan, pelaburan, spouse contributor, waive contributor dan pelbagai lagi manfaat (rider) tambahan lain.

Tetapi, pada masa yang sama, janganlah pula sampai berlebih-lebihan sehingga terlebih perlindungan (over-insured) dan melebihi kemampuan diri untuk membayar.

Contohnya, mengambil 2 atau lebih pelan untuk melindungi satu manfaat yang sama, walhal satu pelan sahaja sudah mencukupi.

Bincang baik-baik dengan ejen insurans takaful yang anda jumpa, dan tentukan manfaat-manfaat yang paling sesuai yang memenuhi kriteria perlindungan yang anda ingini.

Langkah #3 – Fahami ciri-ciri pelan yang ingin disertai

Di Malaysia, ada banyak syarikat penyedia insurans takaful.

Dan setiap syarikat pula, menawarkan pelbagai pelan perlindungan insurans takaful.

Seperti yang ditulis pada awal artikel, walaupun kebanyakan pelan mempunyai asas atau kerangka yang sama, namun akan ada sedikit perbezaan atau keistimewaan yang ditawarkan oleh setiap syarikat bagi menonjolkan lagi pelan mereka.

Ada pelan yang disertakan sekali dengan simpanan dan pelaburan, ada yang tawarkan pelan manfaat asas sahaja tanpa simpanan.

Ada pelan yang menawarkan manfaat kad perubatan sekali dalam pelan asas, ada yang tawarkan secara stand-alone.

Ada pelan yang menawarkan pertambahan perlindungan mengikut tahun.

Ada pelan yang menawarkan kemudahan hibah untuk waris.

Macam-macam pelan, sampai boleh pening untuk pilih.

Tambah pula setiap pelan diberikan nama yang pelbagai; menambahkan lagi ‘pening’ pelanggan nak pilih.

Sebab itu kena dengar baik-baik penerangan daripada ejen insurans takaful supaya setiap ciri-ciri pelan yang dibentangkan dapat difahami.

Dah faham ciri-ciri pelan, mudah nak pilih pelan perlindungan insurans takaful terbaik.

Langkah #4 – Tentukan jumlah bayaran yang sanggup dikeluarkan

Pelan perlindungan insurans takaful yang terbaik seharusnya adalah pelan yang mampu dibayar.

Banyak faktor yang mempengaruhi harga sesuatu pelan perlindungan insurans takaful, antaranya umur, jumlah perlindungan, risiko/manfaat dilindungi, status merokok dan status kesihatan.

Untuk dapatkan jumlah perlindungan yang tinggi dan manfaat yang pelbagai, sudah semestinya bayaran juga akan tinggi.

Sebab itulah pada langkah #1 dan #2, kena kenal pasti dahulu jumlah perlindungan yang diperlukan dan tentukan manfaat/risiko yang ingin dilindungi, supaya nanti bayaran untuk pelan tersebut adalah memadai dengan bajet yang diperuntukkan.

Berapa bajet yang sesuai diperuntukkan untuk perlindungan insurans takaful?

Sebaik-baiknya, antara 10% ke 15% daripada pendapatan bulanan, maksimum pun mungkin sehingga 25%.

Yang penting, jangan sampai terbeban untuk membayar pelan yang diambil.

Sia-sia juga memilih pelan perlindungan yang sempurna, andai kata tak mampu nak bayar caruman dengan baik.

Sebabnya, jika tak bayar, manfaat yang dilindungi akan terbatal dengan sendirinya.

Langkah #5 – Dapatkan bantuan ejen insurans takaful

pelan perlindungan insurans takaful terbaikUsaha untuk mendapatkan pelan perlindungan insurans takaful terbaik sangat bergantung kepada bantuan ejen insurans takaful yang anda pilih.

Sebaik-baiknya, dapatkan bantuan daripada ejen yang lebih bertindak sebagai penasihat kewangan, bukan sebagai jurujual semata-mata.

Maksudnya, ejen tersebut mampu menasihati anda memilih manfaat perlindungan pada jumlah perlindungan yang diperlukan dan harga yang anda mampu milik, bukan sekadar ‘memaksa’ mengambil apa-apa pelan sebab beliau nak close sale.

Ejen tersebut juga perlulah mampu menjawab pertanyaan anda dan menyediakan khidmat-selepas-jualan (after sale service) yang baik.

Jangan pilih ejen yang hanya manis ketika nak mencarum, tapi hilang setelah itu.

Bagaimana nak pilih ejen insurans takaful terbaik, terpulang kepada keselesaan anda.

Mungkin anda selesa nak berurusan dengan ejen daripada saudara-mara atau rakan-rakan anda, mungkin juga anda lebih selesa berurusan dengan ejen yang anda tak kenal.

Mungkin anda lebih selesa dengan ejen senior yang dianggap lebih mahir berbanding ejen junior, atau mungkin anda yakin yang ejen junior akan memberikan perkhidmatan yang lebih bersungguh-sungguh berbanding ejen senior.

Mungkin anda lebih selesa dengan ejen yang approach kepada anda, berbanding anda sendiri yang approach ejen.

Mungkin juga anda menetapkan ejen yang dekat-dekat sahaja agar mudah berjumpa, atau anda tidak kisah pun untuk berurusan dengan ejen yang berada jauh di tempat lain.

Semuanya atas keselesaan anda.

Sekarang zaman teknologi, anda boleh cari mana-mana ejen insurans takaful di blog-blog dan media-media sosial.

Cuba hubungi mereka, beritahu semua maklumat yang anda dah kenal pasti (jumlah perlindungan, jenis manfaat, pelan dan kemampuan kewangan anda) dan tengok bagaimana mereka melayan dan memberi perkhidmatan kepada anda.

Nilaikan bagaimana mereka memberi penerangan atau cadangan berkenaan pelan terbaik untuk anda.

Apabila dah berpuas hati menilai 2, 3 atau lebih ejen, pilihlah yang terbaik.

Ingat, pilih yang mampu menjadi penasihat kewangan, bukan jurujual semata-mata.

Dengan bantuan ejen yang baik, mudah untuk kenal pasti pelan perlindungan insurans takaful terbaik yang memenuhi keperluan anda.

Pelan perlindungan insurans takaful terbaik

Akhir kata, pelan yang terbaik adalah pelan yang melindungi manfaat-manfaat/risiko-risiko yang diingini dalam jumlah perlindungan mengikut keperluan individu pada harga yang mampu dibayar.

Mendapat bantuan daripada ejen yang baik dan ikhlas berkhidmat adalah satu bonus.

Perlindungan insurans takaful adalah bersifat individualised; mengikut kepada keperluan, keinginan dan kemampuan setiap individu.

Jadi, kenalpasti apa keperluan, keinginan dan kemampuan diri sendiri, barulah akan dapat pelan perlindungan insurans takaful terbaik.