5 Formula Urus Duit Gaji Yang Mudah Dilakukan
Adakah anda tergolong dalam golongan yang mempunyai masalah untuk urus duit gaji dengan baik?
Masih tak tahu cara-cara nak buat pembahagian duit gaji anda?
Jika anda sering kehabisan duit gaji sebelum dapat duit gaji seterusnya, ya, memang sah anda punyai masalah untuk uruskan duit gaji dengan baik.
Sebenarnya, matlamat utama untuk urus duit gaji adalah supaya perbelanjaan yang dilakukan tidak melebihi pendapatan yang diperoleh.
Kenapa penting untuk pastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan?
Sebab yang pertama kerana ingin mengelakkan daripada membuat hutang-hutang jahat semata-mata kerana ingin menampung keinginan perbelanjaan yang tinggi.
Hutang-hutang jahat seperti kad kredit dan pembiayaan peribadi, kesan jangka masa pendek memanglah menyeronokkan kerana dapat berbelanja kepada perkara-perkara yang diingini walaupun pendapatan tidak mencukupi.
Tetapi, untuk jangka masa panjang, hutang-hutang jahat ini boleh memberi kesan yang memudaratkan kepada kedudukan kewangan seseorang.
Boleh juga menjadi punca bermasam muka dengan orang lain sekiranya hutang-hutang tadi dibuat dengan rakan atau ahli keluarga, tetapi tidak membayarnya sepertimana dijanjikan.
Sebab yang kedua pula adalah supaya dapat mencipta aliran tunai positif, iaitu pendapatan > simpanan + perbelanjaan.
Apabila aliran tunai adalah positif, maka ada sejumlah duit gaji dapat disimpan untuk membina dana rizab dan dana kecemasan.
Selepas dibina kedua-dua dana tesebut, lebihan simpanan boleh digunakan untuk pelaburan supaya dapat mengukuhkan lagi kedudukan kewangan diri-sendiri.
Jadi, bagaimana caranya untuk urus duit gaji dengan baik?
Nak uruskan duit gaji tidaklah sesukar mana, yang penting kita kenal pasti terlebih dahulu apakah perbelanjaan-perbelanjaan yang akan dilakukan dengan duit gaji tersebut.
Contohnya, nak gunakan duit gaji untuk pembayaran hutang, makan minum, barang dapur, bil-bil utiliti dan lain-lain.
Kemudian, untuk setiap perkara tersebut, kita peruntukkan jumlah yang secukupnya dan kawal supaya tidak melebihi jumlah tersebut.
Kalau tak tahu berapa banyak nak peruntukkan untuk setiap perkara, boleh guna formula urus duit gaji seperti yang berikut:
Formula urus duit gaji #1 – Formula 30/10
Formula 30/10 melibatkan pembahagian duit gaji kepada 4 bahagian, iaitu 30%, 30%, 30% dan 10%
Contohnya, mereka yang bergaji bersih RM 2,000, maka duit tersebut dibahagikan kepada RM 600, RM 600, RM 600 dan RM 200
Untuk 30% pertama, peruntukkan bahagian tersebut untuk kesenangan masa depan iaitu untuk simpanan, perlindungan insurans takaful dan pelaburan.
30% kedua pula adalah untuk hutang dan simpanan perbelanjaan.
Jadi, jika ingin membuat hutang contohnya pembiayaan rumah atau kereta, pastikan jumlah hutang tersebut dihadkan kepada 30% sahaja daripada jumlah gaji.
30% yang ketiga pula adalah untuk semua jenis perbelanjaan lain; makan-minum, nafkah, barang dapur, keperluan peribadi, sewa, bil-bil utiliti, tol, minyak kereta dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang dibuat setiap bulan.
Bahagian 10% yang terakhir pula adalah untuk penyucian, iaitu untuk zakat pendapatan (jika cukup nisab), sedekah dan hadiah kepada ibu bapa.
Formula 30/10 boleh dianggap formula urus duit gaji terbaik kerana menyeimbangkan semua elemen utama pengurusan kewangan peribadi, iaitu simpanan, perbelanjaan, perlindungan, pelaburan dan penyucian.
Bagi yang baru mula kerja atau kurang komitmen, disarankan untuk mengaplikasikan terus formula ini.
Saya ada menulis satu artikel tentang formula 30/10 di sini: Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja
Formula urus duit gaji#2 – Formula 50/30/20
Sama seperti formula 30/10 di atas, formula 50/30/20 juga membahagikan duit gaji kepada beberapa bahagian mengikut peratusan tertentu, iaitu 50%, 30% dan 20%
Bahagian 50% adalah untuk membayar komitmen tetap bulanan seperti pinjaman pembiayaan rumah, kereta, sewaan dan bil-bil utiliti.
Bahagian ini juga untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan asas seperti makan-minum, barang dapur, minyak kereta dan tol.
Bahagian 30% pula dikhususkan untuk komitmen tidak tetap atau perbelanjaan yang berubah-ubah dan kurang penting seperti keperluan diri, pakaian, hiburan, melancong, bayaran internet, membeli barang-barang idaman dan sebagainya.
Bahagian 20% terakhir pula adalah untuk simpanan, pelaburan dan perlindungan insurans takaful.
Kunci utama dalam menggunakan formula ini adalah kebolehan membezakan antara perbelanjaan asas atau keperluan dan perbelanjaan kehendak; perbelanjaan asas hendaklah diutamakan manakala perbelanjaan kehendak perlulah dikawal.
Formula 50/30/20 adalah sesuai untuk golongan yang mempunyai pendapatan sederhana dan sebagai permulaan bagi yang baru mula berjinak-jinak untuk urus duit gaji dengan baik.
Selepas dapat urus dengan baik menggunakan formula 50/30/20, seterusnya boleh cuba mengaplikasikan formula 30/10
Formula urus duit gaji #3 – Formula 90/10
Formula 90/10 adalah untuk golongan yang tidak mahu membahagikan dan menghadkan duit gaji mereka kepada banyak bahagian atau perkara.
Dalam formula ini, duit gaji dibahagikan kepada dua bahagian sahaja iaitu 90% dan 10%.
10% daripada duit gaji dikhaskan untuk simpanan atau pelaburan.
Baki 90% digunakan untuk menampung semua perbelanjaan lain, sama ada perbelanjaan tetap atau berubah-ubah, dan perbelanjaan keperluan atau kehendak.
Duit daripada bahagian inilah digunakan untuk membayar hutang, bil-bil, makan-minum, keperluan diri, hiburan, membeli barang idaman dan sebagainya.
Senang kata, daripada 90% duit gaji tadi, berbelanjalah sesuka hati asalkan segala komitmen tetap dibayar (hutang, sewaan, bil) dan tidak melebihi jumlah yang diperuntukkan.
Formula urus duit gaji #4 – Formula 30/20/10
Formula ini adalah untuk mereka yang nak urus duit gaji atau kawal belanja ikut minggu.
Apabila dapat duit gaji, asingkan dahulu 10% untuk simpanan dan pelaburan.
Baki 90% lagi akan dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu 30%, 20%, 20% dan 20%
Untuk minggu pertama, akan gunakan bahagian 30% kerana kebiasaannya pada minggu ini banyak duit diperlukan untuk membayar komitmen tetap seperti hutang, sewa dan bil.
Untuk minggu-minggu seterusnya, gunakan setiap bahagian 20% tadi.
Kawal perbelanjaan setiap minggu agar tidak melebihi daripada apa yang diperuntukkan untuk minggu tersebut.
Jika ada lebihan, digalakkan untuk dimasukkan ke dalam tabung simpanan.
Boleh juga kalau nak gunakan lebihan daripada munggu-minggu lain untuk reward diri-sendiri dengan berbelanja lebih sedikit pada minggu terakhir.
Formula urus duit gaji #5 – Formula 90/10 asas
Formula ini sesuai untuk golongan yang berpendapatan tidak tetap atau yang berpendapatan kecil sahaja.
Bak kata orang, duit gaji hanya cukup untuk cukup-cukup makan.
Formula terakhir ini adalah sama seperti formula #3 di atas, yang mana duit gaji dibahagikan kepada 10% untuk simpanan dan 90% untuk perbelanjaan.
Bezanya, bahagian 90% untuk perbelanjaan jangan dibelanjakan sesuka hati, sebaliknya utamakan untuk bayar komitmen tetap dahulu.
Selepas bayar komitmen tetap, bakinya, jika ada barulah dibelanjakan untuk perkara-perkara lain.
Kesimpulan
Setiap formula urus duit gaji yang diberikan di atas adalah sebagai panduan asas sahaja.
Boleh pilih formula mana yang nak diikuti, dan ubahsuai ikut kesesuaian sendiri.
Boleh juga gabungkan beberapa formula dan buat ikut formula sendiri.
Macam saya, saya gunakan formula 30/10 untuk urus duit keseluruhan gaji.
Untuk 30% bahagian perbelanjaan, saya gunakan pula formula 30/20/10 supaya bahagian perbelanjaan tersebut dibahagikan mengikut minggu.
Yang penting, dalam mengurus duit gaji, ingat kepada beberapa perkara yang berikut:
#1 – Simpan sebahagian duit gaji sebelum dibelanjakan, minimum adalah 10%, lebih banyak lebih baik
#2 – Hidup di bawah kemampuan gaji, maksudnya jika mampu beli barang berharga RM 100, cuba cari dan dapatkan barang lain yang setara yang berharga lebih rendah daripada itu
#3 – Kawal nafsu supaya dapat kawal belanja tidak melebihi pendapatan; gaya hidup mestilah ikut kemampuan sendiri, bukan ikut pandangan orang lain
#4 – Setiap orang wajib buat bajet sendiri untuk pastikan formula urus duit gaji yang digunakan berjaya, kalau nak belajar boleh baca artikel ini: 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus
Jom urus duit gaji!