Penama Dan Pentadbir Dalam Pengurusan Harta Pusaka
Meletakkan penama dan melantik pentadbir adalah perkara yang amat penting untuk memudahkan pengurusan harta pusaka orang Islam dan seterusnya proses pembahagian harta pusaka.
Apakah perbezaan antara penama dan pentadbir?
Secara mudahnya, penama adalah pemudah cara yang diberi kebenaran untuk menuntut harta-harta yang ditinggalkan si mati seperti simpanan KWSP, simpanan Tabung Haji, simpanan koperasi dan pampasan insurans/takaful (nota: simpanan ASB tidak dibuat penamaan, sebaliknya hibah amanah, akan dijelaskan dalam artikel lain)
Dengan meletakkan penama, pengurusan harta pusaka akan menjadi lebih mudah dan cepat kerana harta pusaka si mati dapat dikeluarkan tanpa perlu menunggu Sijil Faraid dan perintah pentadbiran harta pusaka.
Pentadbir pula, yang juga dikenali sebagai wasi, adalah wakil yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan; melaksanakan wasiat, melangsaikan hutang dan membahagikan harta pusaka tersebut mengikut faraid.
Nota: Pentadbir adalah yang dilantik oleh para waris jika tiada wasiat, manakala wasi dilantik melalui wasiat. Peranan pentadbir dan wasi adalah sama iaitu menguruskan harta pusaka. Untuk artikel ini, penulis menggunakan istilah pentadbir bagi mewakili pentadbir (tanpa wasiat) dan wasi (dengan wasiat).
Tetapi, jika tiada pelantikan pentadbir dalam wasiat atau tiada wasiat, maka pentadbir akan dilantik oleh mahkamah atau Pegawai Pusaka dengan mengeluarkan surat kuasa mentadbir (letter of administration, LOA) yang mana perlu mendapat persetujuan semua waris yang ada.
Sebenarnya, penama dan pentadbir boleh menjadi satu, dan boleh juga menjadi berlainan.
Penama boleh menjadi pentadbir, dan pentadbir boleh menjadi penama.
Namun, penama tidak semestinya adalah pentadbir, dan pentadbir tidak semestinya adalah penama.
Masih keliru?
Untuk memudahkan pemahaman, jom kita tengok situasi-situasi yang berikut:
Situasi #1 – Ada penamaan, ada wasiat, penama dan pentadbir orang yang sama
Tuan Haji Ahmad mempunyai simpanan yang banyak dalam KWSP dan TH beliau, di samping harta-harta lain seperti tanah dan rumah. Beliau telah meletakkan nama anaknya, Amir, sebagai penama untuk akaun simpanan KWSP dan TH beliau. Tuan Haji Ahmad juga telah menulis wasiat dan turut melantik Amir sebagai pentadbir (wasi) untuk harta-hartanya apabila beliau mati nanti.
Semasa Tuan Haji Ahmad mati, beliau meninggalkan waris iaitu isteri, 2 anak lelaki, (Amir dan Hafiz), 1 orang anak perempuan (Alisa) dan kedua-dua ibubapa beliau.
Dalam situasi ini, Amir telah dilantik sebagai penama dan pentadbir.
Maka, Amir boleh menuntut simpanan Tuan Haji Ahmad dalam KWSP dan TH beliau, memohon Sijil Faraid, pengesahan wasiat dan probet (surat warisan) untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan.
Kemudian, Amir perlu melunaskan hutang-hutang Tuan Haji Ahmad, melaksanakan wasiat yang ditinggalkan dan melakukan pembahagian harta pusaka kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid yang ditetapkan.
Nota: Boleh baca artikel ini untuk mengetahui perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam pengurusan harta pusaka: 5 Aspek Pengurusan Harta Pusaka Sebelum Pembahagian Faraid
Situasi #2 – Ada penamaan, ada wasiat, penama dan pentadbir entiti berbeza
Semasa hayat Encik Kamal, beliau ada mencarum satu polisi takaful yang menyediakan pampasan jika berlaku kematian. Untuk polisi tersebut, beliau telah meletakkan nama isterinya sebagai penama. Encik Kamal juga mempunyai simpanan KWSP dan meletakkan nama ibu beliau sebagai penama kerana perkara ini dilakukan beliau semasa zaman bujang dulu.
Di samping polisi takaful dan simpanan KWSP, Encik Kamal juga mempunyai harta-harta lain seperti rumah, saham dan unit amanah. Encik Kamal ada menyediakan wasiat yang mana beliau melantik Syarikat AB Trustee sebagai pentadbir harta-harta pusakanya nanti.
Suatu hari, Encik Kamal jatuh sakit dan meninggal dunia, meninggalkan waris iaitu isteri, seorang anak lelaki dan kedua-dua ibubapa beliau.
Dalam situasi ini, penama dan pentadbir adalah entiti yang berbeza.
Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah si isteri perlu membuat tuntuan pampasan kematian daripada syarikat takaful atas polisi yang dicarum oleh Encik Kamal, manakala si ibu perlu membuat tuntutan atas simpanan KWSP yang ditinggalkan.
Kemudian, jumlah kedua-duanya perlulah diisytiharkan dan diserahkan kepada pentadbir, iaitu Syarikat AB Trustee supaya prosedur pengurusan harta pusaka dan pembahagiannya dapat diteruskan seperti mana diwasiatkan dan mengikut hukum faraid.
Situasi #3 – Ada penamaan, tiada wasiat
Kita ambil balik situasi #1 di atas, yang mana Tuan Haji Ahmad meletakkan Amir sebagai penama untuk simpanan KWSP dan TH beliau.
Bezanya dalam situasi ini, Tuan Haji Ahmad tidak meninggalkan wasiat dan tidak melantik pentadbir.
Mujurlah Amir merupakan seorang anak yang baik dan amanah, dan mempunyai pengetahuan mendalam berkenaan pengurusan harta pusaka.
Maka, Amir boleh menuntut simpanan KWSP dan TH yang ditinggalkan, mendapatkan persetujuan semua waris untuk menjadi pentadbir, memohon surat kuasa mentadbir, memohon sijil faraid, melunaskan hutang-hutang si mati dan seterusnya membuat pembahagian harta-harta pusaka Tuan Haji Ahmad sepertimana hukum faraid.
Nota: Boleh baca artikel ini untuk belajar prosedur pengurusan harta pusaka: Pengurusan Harta Puska Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat
Situasi #4 – Tiada penamaan, tiada wasiat
Kita ambil situasi #2 sebelum ini, cuma bezanya kali ini Encik Kamal tidak membuat sebarang penamaan untuk polisi takaful dan simpanan KWSP beliau, malah tidak menyediakan wasiat untuk menguruskan harta-harta beliau.
Maka, dalam situasi ini, semua waris yang ada (dalam situasi ini adalah isteri, anak lelaki, ibu dan bapa Encik Kamal) perlu berbincang dan bersepakat untuk melantik seorang pentadbir.
Pentadbir inilah yang akan bertanggungjawab untuk memohon surat kuasa mentadbir, memohon sijil faraid, menguruskan dan membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan Encik Kamal.
Jika pentadbir tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan pengurusan harta pusaka, maka boleh dapatkan bantuan daripada peguam atau syarikat-syarikat amanah berkaitan.
Soalan-soalan Lazim Berkaitan Penama & Pentadbir
Soalan #1 – Siapakah yang boleh diletakkan sebagai penama?
Bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh organisasi akaun simpanan (contoh KWSP, TH, koperasi, syarikat takaful) tersebut.
Ada yang membenarkan individu sahaja, ada yang membenarkan individu ataupun organisasi (peguam atau syarikat amanah).
Ada yang membenarkan individu neutral, ada yang membenarkan waris terdekat atau yang mempunyai talian persaudaraan sahaja.
Ada yang membenarkan satu penama sahaja, ada yang membenarkan lebih daripada seorang penama.
Penama yang diletakkan perlulah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan tersebut.
Soalan #2 – Siapakah yang boleh dilantik sebagai pentadbir
Jika pemilik harta masih hidup, bergantung kepada pemilik harta tersebut untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pentadbir (wasi) harta beliau sama ada waris beliau, individu neutral (bukan waris), peguam atau syarikat amanah.
Pelantikan ini sebaik-baiknya didokumenkan dalam wasiat yang sah dan disertai saksi-saksi berkelayakan.
Jika pemilik harta telah mati dan tiada wasiat, maka pentadbir boleh dilantik atas persetujuan semua waris dan kelulusan mahkamah yang akan mengeluarkan surat kuasa mentadbir.
Sebaik-baiknya, pentadbir perlulah memenuhi syarat-syarat yang berikut iaitu baligh, berakal (umur 18 tahun ke atas), merdeka, adil, jujur, mampu melaksanakan amanah, Muslim dan tidak bermusuh dengan pemilik harta dan waris-waris
Soalan #3 – Bolehkah meletakkan penama dari kalangan anak-anak di bawah umur (18 tahun ke bawah)?
Boleh jika tidak bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan organisasi simpanan tersebut.
Walaubagaimanapun, sebenarnya tidak digalakkan untuk meletakkan anak-anak atau individu di bawah umur sebagai penama.
Ini kerana, sekiranya pemilik harta tersebut mati dan penama masih lagi di bawah umur, maka perlu menunggu sehingga penama tersebut mencapai umur 18 tahun terlebih dahulu sebelum boleh menuntut harta pusaka tersebut.
Maksudnya, harta pusaka tersebut dibekukan, tidak boleh digunakan dan tidak boleh dibahagikan, perlu menunggu sehingga penama mencapai umur dahulu sebelum boleh dituntut dan diagihkan kepada waris-waris.
Boleh jadi juga harta pusaka yang dinamakan dengan anak-anak bawah umur tersebut diserahkan kepada syarikat amanah seperti Amanah Raya Berhad.
Jadi, penjaga kepada anak-anak tersebut perlu memohon kepada syarikat amanah tersebut melalui prosedur yang mungkin rumit untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan anak-anak yang dijaga.
Maka, untuk memudahkan pengurusan harta pusaka, lebih baik elakkan meletakkan nama anak-anak atau individu di bawah umur sebagai penama.
Soalan #4 – Adakah penama adalah penerima (benefisiari)?
Mengikut undang-undang sivil, bagi harta pusaka orang bukan Islam, penama yang diletakkan adalah penerima atau benefisiari bagi harta-harta tersebut dengan syarat penama tersebut mempunyai pertalian saudara dengan si mati.
Dalam erti kata lain, penama bagi harta pusaka orang bukan Islam berhak menerima harta tersebut dan menggunakannya sepertimana yang dikehendakinya.
Berbeza pula dengan penama bagi harta pusaka orang Islam.
Keputusan Persidangan Majlis Raja-raja ke-96 pada tahun 1973 telah memutuskan bahawa penama bagi harta pusaka orang Islam bertindak sebagai pemudah cara atau pentadbir sahaja, bukan sebagai penerima atau benefisiari.
Peranan penama bagi harta pusaka orang Islam adalah untuk memudahkan proses tuntutan dan pencairan harta tersebut, yang mana kemudian perlu dibahagikan kepada waris-waris mengikut hukum faraid.
Di sinilah sering berlaku kekeliruan di kalangan orang Islam, apabila ramai menyangka penama adalah penerima mutlak bagi harta pusaka yang dinamakan.
Sebab itulah berlakunya insiden menyorok harta, menyembunyikan fakta dan memberikan pelbagai alasan bagi mengelakkan pembahagian harta kepada waris-waris lain dilaksanakan.
Ketahuilah, sesungguhnya ini adalah sikap yang teruk dan zalim; menzalimi waris-waris lain yang sepatutnya mendapat hak ke atas harta tersebut.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menambah dan memantapkan pengetahuan berkenaan pengurusan harta pusaka yang sebenar agar dapat mengelakkan diri dan waris terdekat daripada menzalimi dan dizalimi orang lain.
Bagi yang nak buat perancangan harta pusaka, boleh hubungi saya.
Saya boleh sediakan khidmat penulisan wasiat, hibah, harta sepencarian, amanah, wakaf dan khidmat nasihat serta bantuan pentadbiran harta pusaka tanpa wasiat.
Rancang pusaka, tinggalkan legasi
Izzuddin Jaaffar
Perancang Harta Pusaka Islam
as-Salihin Trustee Berhad
013-9798719 / 010-4598719
facebook.com/jomurusduit
jomurusduit.com
wa.me/60139798719
Lokasi: Kelantan & Terengganu