Tag Archive: beli emas

Tips Pelaburan Emas Untuk Pemula

tips pelaburan emasKali ini saya nak tulis tentang tips pelaburan emas, sebab dapat dilihat sekarang minat terhadap pelaburan emas meningkat semula lebih-lebih lagi selepas tempoh PKP baru-baru ini.

Gelombang ini sama seperti tahun 2011 dan juga 2016; ramai minat nak buat pelaburan emas.

Mungkin disebabkan harga emas sekarang yang tinggi.

Lihat sahaja carta harga emas daripada goldprice.org di bawah, sekarang harga emas berada sekitar paras tertinggi bagi tempoh 20 tahun lepas.

harga emas 2020

Harga emas di Malaysia sekarang lebih RM 250 per gram.

Teringat saya semasa melabur emas dulu pada tahun 2011, pada waktu itu lebih kurang RM 170 per gram sahaja.

Atas sebab inilah, pelaburan emas kembali menarik minat orang ramai.

Bagi yang nak mula melabur dengan ‘besi kuning berkilau’ ini, beberapa tips pelaburan emas saya berikan:

#1 – Harga sentiasa berubah

Sama seperti pelaburan-pelaburan lain, pelaburan emas juga tidak terkecuali dengan naik turun harga.

Lihat sahaja carta harga emas di atas.

Harga emas menaik dari tahun 2000 ke 2012, kemudian menurun sedikit pada 2013 dan 2014, sebelum mendaki semula pada 2015 hingga 2017.

Kemudian harga emas menurun semula sekitar 2018 dan 2019, sebelum meroket sehingga sekarang.

Apa yang boleh disimpulkan, harga emas ada naik turunnya.

Jangan sangka akan terus naik dan naik tanpa turun.

Jadi, jika nak sertai pelaburan emas, jangan terlalu ghairah tika kenaikan harga sampai terbayangkan yang harga akan terus naik dan naik, akan terus untung dan untung.

Dan ingat juga apabila harga turun, jangan cepat gelabah sehingga jual semua emas yang ada.

Yang penting, kena ada strategi dan tetapkan objektif dalam pelaburan; yang ini kena belajar daripada sifu-sifu pelaburan emas.

#2 – Pilih cara pelaburan yang sah

Sekitar tahun 2011 dahulu, banyak skim cepat kaya yang kononnya berteraskan pelaburan emas muncul.

Macam-macam teknik yang diperkenalkan.

Malah baru-baru ini, ada berita tentang individu dan syarikat yang menganjurkan skim pelaburan emas palsu telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

Ringkasnya, jika nak buat pelaburan emas, buat secara sah dan betul.

Pastikan beli emas dapat emas, bukan sertai skim-skim yang mengarut.

Ada banyak cara untuk terlibat dalam pelaburan emas, sama ada beli emas fizikal, akaun emas atau unit amanah emas.

Emas fizikal boleh dibeli contohnya di PublicGold, Pump Suisse dan kedai-kedai emas.

Akaun simpanan emas contohnya seperti Maybank, Kuwait Finance House dan Public Bank.

Unit amanah emas contohnya AmPrecious Metal dan RHB Gold Fund.

Malah, kalau di pasaran saham, boleh beli saham syarikat-syarikat yang terlibat dalam urusniaga emas.

Semua ini adalah cara pelaburan emas yang sah.

#3 – Jenis emas fizikal

Emas fizikal boleh wujud dalam bentuk jongkong emas, syiling emas dan juga perhiasan emas seperti gelang, rantai dan cincin.

Jadi, boleh pilih mana-mana jenis emas ini sebagai alat pelaburan.

Setiapnya ada kelebihan dan kekurangannya.

Contohnya, kalau beli perhiasan emas sebagai pelaburan, memanglah seronok sebab boleh dipakai dan ditunjuk kepada orang ramai.

Tetapi, harga belinya termasuk sekali caj atau upah design perhiasan tersebut, maka harganya lebih tinggi dan perlukan modal lebih.

Kalau jongkong emas dan syiling emas pula, harganya lebih murah berbanding barang kemas yang setara, tapi tidak boleh dipakai pula.

Sebagai tips pelaburan emas, pilih jenis emas yang memenuhi objektif pelaburan kita,

Kalau nak beli emas untuk dipakai sambil melabur, pilih barang perhiasan emas.

Kalau memang nak beli emas semata-mata untuk pelaburan, pilih jongkong atau syiling emas.

#4 – Kualiti emas

Emas ada banyak kualiti, antaranya 999, 916 dan 850

Sebagai pelabur emas, kena tahu tentang kualiti emas ini.

Jangan beli semberono sahaja.

Emas 999 paling berkualiti kerana hampir 100% emas, tapi paling ‘sensitif’

Kalau terjatuh atau terhentak kuat, emas mudah rosak yang mana akan menjejaskan kualiti serta nilainya.

Malah, ada syarikat yang tidak akan beli emas yang telah rosak, tercalar atau terserpih.

Jadi, perlu diberi perhatian kepada kualiti emas yang hendak disimpan.

#5 – Spread harga

Bagi yang nak buat pelaburan emas, perlu tahu tentang spread harga beli dan jual emas.

Contohnya seperti di bawah:

pelaburan emas harga emas malaysia 2020

Jika beli 10 g jongkong emas pada waktu tersebut, harganya adalah RM 2,769

Jika terus jual emas tersebut, harganya akan menjadi lebih rendah iaitu RM 2,520

Jadi, kalau boleh, cari penjual emas yang menjual dan membeli harga dalam spread harga yang sedikit sahaja.

Senang untuk jual emas pada harga lebih baik.

#6 – Tempat simpan

Apabila terlibat dalam pelaburan emas, terutamanya emas fizikal, perlulah fikir tentang tempat penyimpanan emas tersebut.

Ya lah, apabila jumlah emas yang disimpan semakin bertambah, kenalah simpan di tempat yang selamat.

Kalau simpan sahaja di rumah di dalam almari, berisiko juga untuk hilang sekiranya rumah diceroboh.

Kalau simpan di peti keselamatan bank, perlu keluarkan kos pula.

Jadi, fikirlah cara penyimpanan emas yang terbaik.

#7 – Jual emas

Apabila buat pelaburan emas, takkanlah nak simpan emas tersebut sampai bila-bila.

Sampai satu masa, emas perlu dijual juga untuk dapatkan hasil pelaburan tersebut.

Lagipun emas tidak berikan dividen, jadi kalau nak untung, hanya dengan cara jualkannya sahaja.

Beli semasa harga rendah, jual semasa harga tinggi, barulah untung.

Tapi, bila dan di mana nak jual?

Perkara ini juga perlu difikirkan bagi yang nak terlibat dengan pelaburan emas.

Kena tetapkan objektif, berapa anggaran keuntungan yang dikehendaki sebelum emas dijual.

Kalau jual di kedai emas, ada kedai yang ambil pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Kalau jual kepada syarikat pengeluar emas, kena bandingkan harga beli mereka supaya dapat harga yang terbaik.

Tetapi, ada syarikat yang hanya menerima emas keluaran mereka sahaja.

Apa-apa pun, yang penting, jual pada dan di tempat yang memberikan keuntungan paling optimum.

#8 – Kepatuhan syariah

Emas adalah item ribawi, maka berjual beli dengan emas perlulah mematuhi syarat-syarat tertentu supaya patuh syariah.

Ringkasnya, transaksi jual beli dan pelaburan emas hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman.

Hendaklah mematuhi garis panduan muamalat emas yang dikeluarkan pihak JAKIM.

Contohnya, emas yang hendak dibeli perlulah ada dan diketahui jenis dan sifatnya, bukan baru nak ditempa/tempah.

Lagi, harga emas mestilah jelas dan tidak berubah-ubah semasa pembelian dibuat.

Pembayaran dan pemberian emas kepada pembeli pula hendaklah berlaku dalam tempoh masa yang dibenarkan.

Kiranya, urusan jual beli emas hendaklah dilakukan dengan berhati-hati agar kepatuhan syariah dipatuhi.

Kalau buat pelaburan emas melalui akaun pelaburan emas, atau unit trust emas, pastikan juga pilih akaun dan dana yang patuh syariah.

#9 – Zakat emas

Sebagai orang Islam, kita diwajibkan mengeluarkan zakat emas jika emas yang disimpan cukup tempoh (1 tahun Hijrah) dan jumlahnya.

Sebagai panduan, bagi emas yang dipakai (biasanya dalam bentuk barang kemas seperti rantai, cincin dan gelang), jumlah untuk diwajibkan zakat emas adalah 800 gram (bagi Wilayah Persekutuan, jumloah ikut negeri masing-masing)

Bagi emas yang tidak dipakai pula seperti jongkong emas dan barang kemas yang disimpan, jumlahnya adalah 85 gram.

Kadar zakat adalah 2.5% daripada jumlah emas.

Boleh rujuk pusat zakat negeri untuk cara pengiraan zakat emas.

#10 – Diversify pelaburan

Ayat cliche pelaburan, “Jangan letak semua telur dalam satu bakul, kalau jatuh, habis semua pecah”

Begitu jugalah dengan pelaburan, jangan tumpukan kepada satu jenis pelaburan sahaja.

Jangan laburkan semua duit kita kepada pelaburan emas sahaja.

Tiap-tiap masa asyik beli emas sahaja.

Pelbagaikan pelaburan; emas, saham, hartanah, unit amanah.

Tetapi, janganlah pula terlalu diversify sampai tak boleh fokus.

Nasihatnya, pelbagaikan jenis pelaburan tetapi fokus kepada pelaburan-pelaburan yang kita faham, minat dan mahir.

Dan paling penting, memberikan keuntungan.

Penutup

Itulah sahaja serba sedikit tips pelaburan emas.

Secara peribadi, saya pernah terlibat dengan pelaburan emas sekitar tahun 2011 dahulu.

Selepas beberapa tahun dan harga pasarannya dapat memberikan sedikit keuntungan, saya jual emas yang saya simpan.

Bagi saya, pelaburan emas sesuai untuk mereka yang nak melabur untuk tempoh sederhana dan panjang.

Sebabnya, seperti yang saya katakan di atas, harga emas ada naik dan turun.

Jika nak melabur dalam tempoh masa singkat, takut masa nak jual itu, harganya sedang jatuh pula.

Kan dah rugi.

Sama juga seperti pelaburan yang lain, pelaburan emas juga perlukan kesabaran dan teknik yang betul.

Kena ada ilmu, bukan setakat ikut-ikutan orang lain.

Pastikan anda memahami betul-betul tentang pelaburan emas sebelum terjebak dengannya.

Sekian.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

3 Perkara Perlu Tahu Tentang Pelaburan Emas

pelaburan emasJika dilihat sekarang, trend pelaburan emas mula mendapat perhatian semula sepertimana waktu ‘kegilaan’ pelaburan emas sekitar tahun 2011 dahulu.

Ini kerana, jika dilihat kepada pergerakan carta harga emas, didapati bahawa harga emas sekarang dalam trend menaik, dan hampir menyamai harga kemuncak pada 2011 dahulu.

Harga emas sekarang berlegar sekitar RM 170 ke RM 180/gram, yang mana sebelum ini pada 2013 hingga 2015, harga emas berlegar sekitar RM 130 ke RM 150/gram sahaja.

Boleh semak harga emas di sini: http://goldprice.org/gold-price-malaysia.html

pelaburan emas

Bagi mereka yang konsisten membeli dan menyimpan emas pada tahun-tahun kejatuhan harga emas sebelum ini, pastinya sekarang tersenyum gembira melihat nilai emas yang disimpan mencatatkan keuntungan.

Itulah untungnya ‘istiqamah’ dalam pelaburan emas.

Bagi mereka yang baru nak mulakan pelaburan emas sekarang, pastinya tertanya-tanya, adakah trend kenaikan harga emas ini akan terus kekal?

Atau dah pun capai kemuncak, dan akan mula jatuh selepas ini?

Saya tiada jawapan untuk soalan-soalan di atas, tetapi, jika anda ingin memulakan pelaburan emas sekarang, ada beberapa perkara yang perlu di beri perhatian.

1. Harga emas bukan ditentukan permintaan dan tawaran sahaja

Sebelum ini mungkin ramai yang percaya bahawa harga emas ditentukan oleh permintaan dan tawaran (demand and supply) sahaja.

Jika permintaan tinggi dan penawaran rendah, harga emas akan melonjak naik, dan begitu juga sebaliknya.

Sebenarnya, ini adalah konsep yang kurang tepat.

Banyak faktor lain yang mempengaruhi harga emas selain faktor permintaan dan tawaran, seperti sentimen pasaran yang lemah, ketidaktentuan ekonomi dan kejadian-kejadian ‘luarbiasa’ seperti perang dan bencana besar.

Semua faktor ini boleh mempengaruhi harga emas walaupun paras permintaan dan tawaran emas adalah normal.

Misalnya, semasa Brexit baru-baru ini, harga emas dunia (dalam US Dollar) meningkat dengan mendadak dalam masa sehari (sehingga 4.7%)

Harga emas juga pernah naik secara mendadak semasa krisis-krisis kewangan yang berlaku sebelum ini, iaitu sehingga 7.7% pada Dot Com Crash 2000 dan 32% pada Global Financial Crisis 2008.

pelaburan emas

Selain daripada itu, harga emas turut dipengaruhi kestabilan nilai US Dollar; dalam kebanyakan situasi, semakin stabil nilai US Dollar, semakin lemah harga emas.

Oleh itu, sebarang faktor yang memberi kesan ke atas nilai US Dollar, akan turut sama memberi kesan kepada harga emas.

jpelaburan emas

Kesimpulan yang dapat dibuat untuk poin pertama ini adalah oleh kerana harga emas boleh dipengaruhi banyak faktor, maka amat sukar untuk meramal pergerakan harga emas pada masa hadapan.

Boleh sahaja harga emas terus menaik, atau tiba-tiba turun dengan mendadak.

Oleh itu, janganlah mudah percaya jika ada yang kata harga emas akan terus naik dan naik.

2. Emas bukan penyimpan nilai terbaik

Ramai yang terlibat dalam pelaburan emas disebabkan anggapan mereka bahawa emas adalah penyimpan nilai terbaik.

Misalnya, apabila berlaku ketidaktentuan dalam pasaran saham, ramai pelabur menukar pelaburan saham mereka kepada emas, dengan harapan emas dapat menyimpan nilai pelaburan mereka.

Malah, orang yang mempromosikan pelaburan emas sering menggunakan terma “emas kalis inflasi” sebagai ungkapan popular untuk menarik orang membeli dan menyimpan emas.

Fakta yang sebenar, walaupun emas adalah penyimpan nilai yang baik, namun emas bukanlah penyimpan nilai yang terbaik.

Emas tidak kalis inflasi sepenuhnya.

Sepertimana yang dinyatakan dalam poin pertama di atas, harga emas boleh turun naik setiap masa dan dipengaruhi oleh banyak faktor.

Ada masanya harga emas akan naik, dan ada masanya harga emas akan turun malah lebih teruk daripada kenaikan inflasi.

Contohnya, bagi mereka yang membeli dan menyimpan emas pada kemuncak harga pada 2011 dahulu, jika mengikut harga sekarang selepas 5 tahun, nilai emas yang dipegang tersebut masih lebih rendah berbanding semasa di beli dulu.

Tambahan lagi, mengikut kajian, sifat turun naik harga emas (volatility) adalah lebih tinggi berbanding volatility pasaran saham/ekuiti, bagi tempoh 5, 10 dan 20 tahun terdahulu.

pelaburan emas

Oleh kerana sifat volatility yang tinggi ini, pelaburan emas juga merupakan satu pelaburan yang berisiko dan banyak perkara perlu difikirkan sebelum memulakan pelaburan emas.

Dan pelaburan emas lebih sesuai untuk tempoh jangka masa panjang supaya dapat menyerap kesan turun-naik harga emas.

Jika mahukan pelaburan yang lain sebagai alternatif untuk menyimpan nilai, pelaburan bon/sukuk adalah lebih stabil berbanding pelaburan emas.

3. Instrumen pelaburan emas adalah pelbagai

Pelaburan emas yang paling popular adalah menerusi emas fizikal, samaada dalam bentuk barang kemas, gold bar atau syiling dinar emas.

Masalah utama dengan emas fizikal adalah penyimpanannya; jika disimpan sendiri di rumah boleh terdedah kepada risiko dicuri, jika disimpan di dalam peti simpanan bank akan dikenakan caj pula.

Jadi, sebagai alternatif kepada pelaburan emas dalam bentuk fizikal, mungkin boleh dipilih instrumen-instrumen pelaburan emas yang lain.

Mungkin boleh pilih pelaburan emas dalam bentuk sijil/akaun pelaburan emas sepertimana yang ditawarkan beberapa bank (contoh boleh lihat di sini: https://www.imoney.my/invest-gold)

Sijil/akaun pelaburan emas adalah pilihan instrumen pelaburan emas yang baik, namun bilangannya adalah terhad, terdapat isu kepatuhan syariah dan caj-caj tersembunyi seperti caj servis dan caj pengeluaran.

Alternatif lain, boleh terlibat dalam pelaburan emas secara tidak langsung melalui dana unit amanah atau ETF yang melabur dalam sektor emas, seperti RHB Gold & General Fund dan Precious Metals Securities (dulu dikenali sebagai AmPrecious Metals)

Jika dilihat kepada prestasi kedua-dua dana ini, untuk tahun 2016, kedua-duanya mencatat pulangan lebih 70%.

jomurusduit-pelaburan-emas-6

Boleh juga secara tidak langsung terlibat dalam pelaburan emas melalui pasaran saham, iaitu dengan membeli saham syarikat-syarikat yang menjalankan operasi berkaitan emas seperti menjual atau melombong emas.

Tetapi, jika ingin terlibat dalam pelaburan emas melalui dana unit amanah, ETF atau pasaran saham, bukan sahaja perlu meramal harga emas pada masa hadapan, malah perlu punyai kemahiran memilih syarikat terbaik melalui analisa fundamental.

Apa yang ingin ditekankan dalam poin ketiga ini adalah, pelaburan emas boleh dilakukan dalam pelbagai cara, terpulang kepada pelabur untuk memilih cara pelaburan yang terbaik dan sesuai dengan objektif dan toleransi risiko masing-masing.

Penutup

Sama seperti peluang pelaburan yang lain, pelaburan emas tidak menjanjikan keuntungan sepanjang masa.

Ada masanya pulangan adalah baik, ada masanya akan berlaku sebaliknya.

Tambahan lagi, emas merupakan item komoditi yang mana turun-naik harganya adalah sukar diramal dan emas tidak mempunyai intrinsic value seperti aliran tunai atau hasil dividen.

Malah, trend kenaikan harga emas sekarang tidak diketahui samaada akan berterusan dalam tempoh yang panjang atau berlaku seketika sahaja.

Maka, janganlah sewenang-wenangnya terlibat dalam pelaburan emas tanpa ilmu yang mencukupi atau dengan hanya mengikut kata-kata/pujukan orang lain.

Lebih penting lagi, jangan sampai tertipu dan terjebak dengan skim-skim pelaburan emas yang menjanjikan pulangan palsu, sepertimana yang pernah terjadi beberapa tahun dahulu.

Sebaik-baiknya, peruntukkan sebahagian sahaja daripada duit yang ada, mungkin sekitar 10 ke 20%, untuk pelaburan emas.

Jadilah pelabur yang bijak, bukan yang hanya sekadar mengikut trend.

Nota kaki:

Jika berminat nak melabur dalam pelaburan emas, boleh dapatkan rujukan lebih lanjut di sini: Rahsia Pelabur Emas

Jika berminat untuk terlibat dalam perniagaan emas, boleh dapatkan rujukan lebih lanjut di sini: Rahsia Usahawan Emas

Artikel ini ditulis berdasarkan artikel asal bertajuk 3 Things You Need To Know About Gold Investments yang disiarkan pihak iFast Capital Sdn. Bhd. di fundsupermart.com.my

Boleh baca artikel asal di sini:

https://www.fundsupermart.com.my/main/research/-View-Idea-of-The-Week-3-Things-You-Need-To-Know-About-Gold-Investments-9-Sep-2016–7484