Tag Archive: takaful terbaik

Panduan Memilih Perlindungan Insurans Takaful Terbaik

pelan perlindungan insurans takaful terbaik“Kau rasa, apa pelan perlindungan insurans takaful terbaik yang aku perlu ambil untuk diri aku sendiri?”

“Nak ambil dengan syarikat Prudential ke? Zurich ke? Etiqa? AIA?”

Pernah seorang rakan bertanya kepada saya soalan di atas.

Anda pun mesti pernah bertanya soalan yang sama juga, bukan?

Kebanyakan orang memang tercari-cari produk atau pelan perlindungan insurans takaful terbaik untuk diri-sendiri.

Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan pelan perlindungan insurans takaful terbaik?

Apakah ciri-cirinya?

Sebenarnya, pelan perlindungan insurans takaful yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang berbeza adalah hampir sama sahaja secara asasnya kerana kerangkanya dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Mungkin akan ada sedikit perbezaan jika syarikat-syarikat penyedia menyediakan beberapa tawaran istimewa untuk membezakan produk mereka dengan pesaing lain, namun kerangka asasnya akan tetap sama.

Jadi, memang sukar untuk memilih pelan perlindungan insurans takaful terbaik.

Sebagai panduan, jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans takaful untuk diri-sendiri, beberapa langkah yang berikut perlu dilakukan.

Sebelum itu, ingin saya tegaskan, panduan ini adalah daripada kaca mata saya sebagai orang awam sahaja.

Mungkin jika bertanya kepada ejen-ejen insurans takaful profesional, atau penasihat kewangan bertauliah, mereka akan memberikan cadangan dan panduan yang lebih details lagi.

Langkah #1 – Kenal pasti keperluan jumlah perlindungan

Setiap orang mempunyai keperluan jumlah perlindungan yang berbeza.

Berapakah jumlah perlindungan yang sepatutnya?

Mengikut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Life Insurance Association of Malaysia, LIAM), jumlah perlindungan yang disarankan untuk setiap individu adalah 10 kali ganda pendapatan tahunan.

Jika pendapatan tahunan adalah RM 50,000, maka jumlah perlindungan yang disarankan adalah RM 500,000

Jika RM 30,000 setahun, maka jumlah perlindungan haruslah RM 300,000

Dengan jumlah perlindungan 10 kali ganda pendapatan tahunan, maka nanti jumlah pampasan yang diterima jika terjadi musibah dapat menampung perbelanjaan untuk tempoh 10 tahun; satu tempoh yang panjang sebelum dapat ‘pulih’ daripada musibah yang menimpa.

Maka, jika ingin mendapatkan produk perlindungan insurans takaful terbaik, kenalah buat kira-kira dulu berapakah jumlah perlindungan yang diperlukan.

Apabila dah tahu keperluan jumlah perlindungan diri-sendiri, senanglah apabila berbincang dengan ejen insurans takaful nanti.

Jangan sekadar biarkan ejen menentukan jumlah perlindungan yang perlu anda ambil, sebaliknya berbincanglah baik-baik agar keperluan diri dipenuhi.

Langkah #2 – Pilih manfaat atau risiko yang ingin dilindungi

pelan perlindungan insurans takaful terbaikSeperti yang saya tulis dalam artikel 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful, maka apabila mendapatkan perlindungan insurans takaful terbaik, pastikan sekurang-kurangnya kesemua manfaat asas dapat dilindungi.

Namun, apa yang perlu diketahui, mungkin tiada satu pelan pun yang boleh cover kesemua manfaat asas tersebut secara serentak dalam satu pelan.

Contohnya, untuk melindungi aset, perlu ambil pelan insurans takaful am.

Untuk manfaat kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kesihatan pula, perlu ambil pelan insurans takaful hayat/keluarga.

Untuk manfaat kesihatan bagi membayar caj rawatan dan hospital pula, perlu ambil pelan kad perubatan.

Bukan merupakan satu masalah untuk mengambil pelan insurans takaful yang berbeza-beza, asalkan kesemua risiko/manfaat asas dilindungi.

Selepas dah kenal pasti manfaat-manfaat asas yang ingin dilindungi, bolehlah juga kenal pasti manfaat-manfaat tambahan lain seperti khairat kematian, badal haji, simpanan, pelaburan, spouse contributor, waive contributor dan pelbagai lagi manfaat (rider) tambahan lain.

Tetapi, pada masa yang sama, janganlah pula sampai berlebih-lebihan sehingga terlebih perlindungan (over-insured) dan melebihi kemampuan diri untuk membayar.

Contohnya, mengambil 2 atau lebih pelan untuk melindungi satu manfaat yang sama, walhal satu pelan sahaja sudah mencukupi.

Bincang baik-baik dengan ejen insurans takaful yang anda jumpa, dan tentukan manfaat-manfaat yang paling sesuai yang memenuhi kriteria perlindungan yang anda ingini.

Langkah #3 – Fahami ciri-ciri pelan yang ingin disertai

Di Malaysia, ada banyak syarikat penyedia insurans takaful.

Dan setiap syarikat pula, menawarkan pelbagai pelan perlindungan insurans takaful.

Seperti yang ditulis pada awal artikel, walaupun kebanyakan pelan mempunyai asas atau kerangka yang sama, namun akan ada sedikit perbezaan atau keistimewaan yang ditawarkan oleh setiap syarikat bagi menonjolkan lagi pelan mereka.

Ada pelan yang disertakan sekali dengan simpanan dan pelaburan, ada yang tawarkan pelan manfaat asas sahaja tanpa simpanan.

Ada pelan yang menawarkan manfaat kad perubatan sekali dalam pelan asas, ada yang tawarkan secara stand-alone.

Ada pelan yang menawarkan pertambahan perlindungan mengikut tahun.

Ada pelan yang menawarkan kemudahan hibah untuk waris.

Macam-macam pelan, sampai boleh pening untuk pilih.

Tambah pula setiap pelan diberikan nama yang pelbagai; menambahkan lagi ‘pening’ pelanggan nak pilih.

Sebab itu kena dengar baik-baik penerangan daripada ejen insurans takaful supaya setiap ciri-ciri pelan yang dibentangkan dapat difahami.

Dah faham ciri-ciri pelan, mudah nak pilih pelan perlindungan insurans takaful terbaik.

Langkah #4 – Tentukan jumlah bayaran yang sanggup dikeluarkan

Pelan perlindungan insurans takaful yang terbaik seharusnya adalah pelan yang mampu dibayar.

Banyak faktor yang mempengaruhi harga sesuatu pelan perlindungan insurans takaful, antaranya umur, jumlah perlindungan, risiko/manfaat dilindungi, status merokok dan status kesihatan.

Untuk dapatkan jumlah perlindungan yang tinggi dan manfaat yang pelbagai, sudah semestinya bayaran juga akan tinggi.

Sebab itulah pada langkah #1 dan #2, kena kenal pasti dahulu jumlah perlindungan yang diperlukan dan tentukan manfaat/risiko yang ingin dilindungi, supaya nanti bayaran untuk pelan tersebut adalah memadai dengan bajet yang diperuntukkan.

Berapa bajet yang sesuai diperuntukkan untuk perlindungan insurans takaful?

Sebaik-baiknya, antara 10% ke 15% daripada pendapatan bulanan, maksimum pun mungkin sehingga 25%.

Yang penting, jangan sampai terbeban untuk membayar pelan yang diambil.

Sia-sia juga memilih pelan perlindungan yang sempurna, andai kata tak mampu nak bayar caruman dengan baik.

Sebabnya, jika tak bayar, manfaat yang dilindungi akan terbatal dengan sendirinya.

Langkah #5 – Dapatkan bantuan ejen insurans takaful

pelan perlindungan insurans takaful terbaikUsaha untuk mendapatkan pelan perlindungan insurans takaful terbaik sangat bergantung kepada bantuan ejen insurans takaful yang anda pilih.

Sebaik-baiknya, dapatkan bantuan daripada ejen yang lebih bertindak sebagai penasihat kewangan, bukan sebagai jurujual semata-mata.

Maksudnya, ejen tersebut mampu menasihati anda memilih manfaat perlindungan pada jumlah perlindungan yang diperlukan dan harga yang anda mampu milik, bukan sekadar ‘memaksa’ mengambil apa-apa pelan sebab beliau nak close sale.

Ejen tersebut juga perlulah mampu menjawab pertanyaan anda dan menyediakan khidmat-selepas-jualan (after sale service) yang baik.

Jangan pilih ejen yang hanya manis ketika nak mencarum, tapi hilang setelah itu.

Bagaimana nak pilih ejen insurans takaful terbaik, terpulang kepada keselesaan anda.

Mungkin anda selesa nak berurusan dengan ejen daripada saudara-mara atau rakan-rakan anda, mungkin juga anda lebih selesa berurusan dengan ejen yang anda tak kenal.

Mungkin anda lebih selesa dengan ejen senior yang dianggap lebih mahir berbanding ejen junior, atau mungkin anda yakin yang ejen junior akan memberikan perkhidmatan yang lebih bersungguh-sungguh berbanding ejen senior.

Mungkin anda lebih selesa dengan ejen yang approach kepada anda, berbanding anda sendiri yang approach ejen.

Mungkin juga anda menetapkan ejen yang dekat-dekat sahaja agar mudah berjumpa, atau anda tidak kisah pun untuk berurusan dengan ejen yang berada jauh di tempat lain.

Semuanya atas keselesaan anda.

Sekarang zaman teknologi, anda boleh cari mana-mana ejen insurans takaful di blog-blog dan media-media sosial.

Cuba hubungi mereka, beritahu semua maklumat yang anda dah kenal pasti (jumlah perlindungan, jenis manfaat, pelan dan kemampuan kewangan anda) dan tengok bagaimana mereka melayan dan memberi perkhidmatan kepada anda.

Nilaikan bagaimana mereka memberi penerangan atau cadangan berkenaan pelan terbaik untuk anda.

Apabila dah berpuas hati menilai 2, 3 atau lebih ejen, pilihlah yang terbaik.

Ingat, pilih yang mampu menjadi penasihat kewangan, bukan jurujual semata-mata.

Dengan bantuan ejen yang baik, mudah untuk kenal pasti pelan perlindungan insurans takaful terbaik yang memenuhi keperluan anda.

Pelan perlindungan insurans takaful terbaik

Akhir kata, pelan yang terbaik adalah pelan yang melindungi manfaat-manfaat/risiko-risiko yang diingini dalam jumlah perlindungan mengikut keperluan individu pada harga yang mampu dibayar.

Mendapat bantuan daripada ejen yang baik dan ikhlas berkhidmat adalah satu bonus.

Perlindungan insurans takaful adalah bersifat individualised; mengikut kepada keperluan, keinginan dan kemampuan setiap individu.

Jadi, kenalpasti apa keperluan, keinginan dan kemampuan diri sendiri, barulah akan dapat pelan perlindungan insurans takaful terbaik.

5 Salah Faham Tentang Perlindungan Insurans Takaful

perlindungan insurans takafulSalah faham tentang perlindungan insurans takaful

Perlindungan insurans/takaful merupakan elemen yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi seseorang.

Untuk mencapai pengurusan kewangan yang baik, terdapat 4 perkara yang paling kritikal yang perlukan perlindungan insurans/takaful, iaitu kematian, kecacatan/kelumpuhan, penyakit kritikal dan aset/hutang.

Jika berlaku apa-apa musibah melibatkan 4 perkara ini, sekurang-kurangnya pampasan daripada insurans/takaful yang diambil boleh menjadi ‘penyelamat’ kewangan.

Tidaklah sampai perlu mencairkan aset untuk menghadapi musibah.

Atau terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan.

Malah, waris yang ditinggalkan pun tidaklah hilang punca pendapatan sepenuhnya.

Tetapi, walaupun perlindungan insurans takaful sangat penting, masih ramai yang mempunyai kefahaman yang salah berkenaan konsep perlindungan insurans takaful yang sebenar.

Antara salah faham yang sering diperkatakan adalah:

Salah faham #1 – Saya masih muda, jadi saya tak perlukan perlindungan insurans takaful

Walaupun berusia muda, namun hakikatnya tetap berhadapan dengan risiko.

Risiko yang paling besar dihadapi ketika usia muda adalah kemalangan, yang mana boleh menyebabkan kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kecederaan (sakit)

Jadi, usia muda bukan alasan untuk mengelak daripada mengambil perlindungan insurans/takaful.

Pada usia muda, paling minimum cukup sekadar ambil perlindungan insurans takaful kemalangan dan kad perubatan stand-alone sahaja (untuk membantu menampung kos rawatan jika berlaku kecederaan akibat kemalangan dan rawatan sakit-sakit biasa)

Jika nak ambil perlindungan yang lebih menyeluruh seperti pelindungan pendapatan (income protection) adalah lebih digalakkan.

Yang penting, perlindungan insurans takaful tetap diperlukan oleh orang muda.

Lagipun, jika mengambil insurans/takaful semasa usia muda, jumlah caruman masih murah berbanding jika diambil ketika usia lebih tua.

Salah faham #2 – Saya belum berkahwin dan tiada anak, saya tidak perlukan perlindungan insurans takaful

perlindungan insurans takafulBukan status perkahwinan yang menentukan samaada anda memerlukan perlindungan insurans takaful atau tidak, sebaliknya status sebagai penanggung nafkah.

Jika anda merupakan penanggung nafkah untuk orang lain, walaupun anda masih bujang, anda tetap perlukan insurans/takaful.

Bagi yang dah berkahwin dan punyai anak, sudah tentu menjadi penanggung nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Bagi yang bujang pula, boleh jadi anda menjadi penanggung nafkah kepada ibubapa yang sudah tua atau adik-beradik yang masih bergantung harap kepada anda.

Malah, orang muda juga mungkin mempunyai komitmen hutang kereta atau pelajaran.

Jadi, dengan adanya perlindungan insurans/takaful, sekurang-kurangnya anda dan penerima nafkah anda dilindungi dari segi kewangan jika berlaku apa-apa musibah.

Hutang juga boleh dibayar menggunakan perlindungan insurans/takaful yang diambil.

Salah faham #3 – Saya taknak ambil perlindungan insurans takaful sebab mahal, lagipun komitmen saya tinggi

Pakej insurans/takaful ada dalam pelbagai bentuk dan jenis, dan semuanya disediakan mengikut keperluan individu yang berbeza pada harga yang berbeza.

Contohnya, insurans/takaful bertempoh (term) adalah jauh lebih murah berbanding insurans/takaful berkaitan pelaburan (investment-link)

Tambahan lagi, harga caruman adalah bergantung kepada banyak faktor, contohnya jumlah manfaat/pampasan, usia pencarum, tahap kesihatan, status merokok dan kelas pekerjaan.

Jika di ambil semasa masih muda dan sihat, jumlah caruman adalah lebih murah berbanding semasa lebih berusia dan sakit.

Malah, jumlah manfaat boleh diubah mengikut keperluan individu dan komitmen bayaran yang sanggup dikeluarkan.

Maka, anggapan bahawa perlindungan insurans/takaful adalah mahal dan akan menjejaskan komitmen diri adalah tidak tepat.

Sebaliknya, dengan komitmen yang rendah setiap bulan, anda boleh menyediakan perlindungan untuk jaminan kewangan yang lebih baik.

Salah faham #4 – Semua jenis polisi insurans/takaful adalah sama, ambil dari mana-mana syarikat pun sama sahaja

perlindungan insurans takafulSalah, banyak bezanya antara satu polisi dengan satu polisi yang lain.

Insurans dan takaful pun adalah dua jenis yang berbeza; insurans tidak patuh-syariah berdasarkan kontrak jual-beli, takaful pula patuh-syariah berdasarkan konsep derma-tabungan.

Dan seperti yang dinyatakan dalam poin #3 tadi, polisi insurans/takaful dipakejkan dalam banyak jenis dan setiap jenis adalah berbeza dari segi manfaat dan syaratnya.

Ramai yang menganggap, asalkan ambil mana-mana perlindungan insurans/takaful, sudahpun memadai.

Walhal, perlulah dilihat semula apakah jenis insurans/takaful yang hendak diambil, adakah sesuai dengan keperluan diri-sendiri.

Janganlah nanti apabila musibah menimpa, anda merungut kerana tidak layak menuntut apa-apa manfaat, ataupun manfaat yang diterima tidak sepertimana yang anda perlukan.

Ini biasanya terjadi kerana anda semberono sahaja ketika ambil perlindungan insurans takaful dulu; ambil sekadar ingin mencukupkan syarat bahawa anda dah ada perlindungan insurans/takaful.

Jadi, jika ingin ambil mana-mana polisi insurans/takaful, kenalah tahu perbezaan setiap jenis terutama dari segi manfaat, terma dan syarat supaya perlindungan yang diambil itu benar-benar sesuai dengan keperluan diri-sendiri.

Salah faham #5 – Saya dah ada perlindungan insurans takaful, cukuplah

Tahniah kerana anda dah ada instrumen perlindungan dalam pengurusan kewangan anda.

Tetapi, janganlah disimpan sahaja polisi yang diperoleh itu.

Sebaliknya, cuba semak kembali berkenaan manfaat-manfaat yang diberikan, dan terma-terma syarat atau pengecualian yang ada.

Amat penting untuk memahami sepenuhnya polisi perlindungan yang diambil agar tidak timbul apa-apa masalah ketika musibah menimpa nanti.

Di samping itu, semak juga keperluan kewangan anda dari semasa ke semasa, dicadangkan sekali setiap 5 tahun.

5 tahun dulu, keperluan anda mungkin tidak setinggi keperluan pada hari ini.

Dan polisi perlindungan yang anda ambil mungkin tidak mencukupi untuk melindungi sepenuhnya keperluan anda pada hari ini.

Jika ya, mungkin jumlah perlindungan perlu diubahsuai agar sesuai dengan keperluan semasa.