Tag Archive: pelaburan hartanah berhad

Amanah Hartanah Bumiputera: Perbandingan Dengan TH & ASB

amanah hartanah bumiputera ahb th asbBaru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak ada melancarkan 500 juta unit tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi membolehkan pelabur-pelabur bumiputera merebut peluang dalam peluang pelaburan ini.

Kebetulan pula, ada pembaca yang PM saya bertanya tentang AHB ini, sama ada baik atau tidak untuk melabur di dalamnya.

Jadi, di kesempatan kali ini, elok sangatlah kalau saya tulis berkenaan AHB.

Sekadar membuka cerita, saya juga merupakan antara pelabur terawal dalam AHB; saya mula melabur pada awal pelancarannya dahulu pada tahun 2010.

Sebab berpuas hati dengan prestasi dan pulangan yang diberikan, saya kemudian menambah bilangan unit yang dipegang selepas setahun AHB dilancarkan.

Dan sehingga sekarang, saya masih merupakan salah seorang pelabur AHB.

Bagi mereka yang tak pernah tahu tentang AHB, jom teruskan membaca perkongsian saya kali ini.

Pengenalan tentang Amanah Hartanah Bumiputera

AHB merupakan dana unit amanah berpendapatan tetap yang menyandarkan asetnya kepada aset-aset hartanah.

Permodalan Hartanah Berhad (PHB) merupakan penaja kepada dana ini, manakala Maybank Asset Management Sdn. Bhd. merupakan pengurus dana dan Amanah Raya Trustees Berhad pula merupakan pemegang amanah.

amanah hartanah bumiputera ahb th asb

Menerusi AHB, modal yang diberikan dan dikumpul daripada pelabur digunakan untuk membuat pelaburan dalam hartanah-hartanah komersial di serata Malaysia, terutama di kawasan-kawasan utama atau premium.

Modal tersebut digunakan untuk membeli, memajak atau membangunkan bangunan komersial di kawasan-kawasan premium, dan hasil pendapatan daripada bangunan-bangunan tersebut seperti sewaan, pajakan dan jualan akan dikembalikan kepada pelabur dalam bentuk agihan pendapatan atau dividen.

Seperti semua sedia maklum, kebanyakan hartanah-hartanah komersial di kawasan premium adalah berharga mahal, maka agak mustahil bagi seorang individu bumiputera untuk memilikinya.

Jadi, dengan adanya AHB, akan membantu golongan bumiputera untuk meningkatkan pegangan mereka dalam pemilikan aset-aset berharga tinggi ini melalui pegangan unit dalam dana ini.

AHB telah dilancarkan pada 29 November 2010 dengan unit permulaan sebanyak 1 billion unit pada harga RM 1 seunit.

Selepas beberapa kali penambahan unit, dana AHB sekarang berkembang sehingga 4 billion unit.

Sehingga artikel ini ditulis, berdasarkan maklumat daripada laman web Permodalan Hartanah Berhad, dana AHB sekarang disokong oleh lebih 20 buah hartanah komersial yang mana semuanya memberikan pendapatan sewaan yang stabil.

Kalau anda merupakan seorang bumiputera, pada pendapat saya, amat rugi jika tidak merebut peluang untuk melabur dalam AHB.

Kelebihan Amanah Hartanah Bumiputera

Kenapa sangat digalakkan melabur dalam AHB?

Sudah tentu kerana kelebihan-kelebihannya seperti yang berikut:

#1 – Harga dana yang tetap

Harga dana AHB boleh dibeli pada harga tetap RM 1.00 seunit; contohnya jika melabur RM 1,000 maka akan dapat 1,000 unit dana.

Harga adalah tidak berubah, jadi pelaburan yang dibuat adalah berisiko rendah kerana tidak terdedah kepada volatility harga dana yang sering berubah seperti mana kebanyakan dana unit amanah lain.

#2 – Modal permulaan yang rendah

Pelabur boleh mula melabur dalam AHB pada modal permulaan serendah RM 100 sahaja bagi pelaburan tunai, dan RM 1,000 bagi pelaburan melalui KWSP.

Untuk pelaburan tambahan pula, boleh dilakukan serendah RM 50 bagi pelaburan tunai dan RM 1,000 bagi pelaburan KWSP

Pelaburan maksimum pula adalah sehingga RM 500,000 bagi setiap individu.

#3 – Patuh-syariah

Dana AHB telah diiktiraf sebagai skim pelaburan patuh-syariah.

Malah, agihan pendapatan atau dividen yang diagihkan kepada pelabur telah dibayar zakat.

#4 – Agihan pendapatan yang stabil dan konsisten

Antara objektif dana AHB adalah untuk memberikan pulangan yang stabil dan konsisten kepada para pelabur di samping mengekalkan modal pelaburan.

Malah, diletakkan sasaran pulangan minimum bagi dana AHB adalah 6% setahun.

Sehingga sekarang, pulangan yang diberikan masih memenuhi sasaran sepertimana yang berikut:

amanah hartanah bumiputera ahb th asb

Agihan pendapatan untuk dana AHB, yang kebiasaannya diberikan dalam bentuk dividen, diberikan setiap 6 bulan atau 2 kali setahun, iaitu bagi bulan Oktober-Mac dan April-September.

Selain dividen, pelabur juga berpeluang diberikan bonus sepertimana yang diberikan pada tahun 2013 dahulu iaitu sebanyak 1.00%

#5 – Kos pelaburan yang rendah

Biasanya, untuk dana unit amanah, akan ada kos tertentu seperti caj jualan, penebusan dan penukaran serta yuran pengurusan dan pemegang amanah.

Untuk dana AHB, tiada caj jualan, penebusan dan penukaran dikenakan ke atas pelabur.

Yuran pengurusan dan pemegang amanah pula adalah pada kadar yang sangat rendah; yuran pengurusan adalah pada kadar maksima 1.00% setahun dari nilai dana pada kos (VOF) manakala yuran pemegang amanah pula adalah sehingga 0.08% setahun dari VOF, tertakluk pada jumlah minima sebanyak RM18,000 setahun.

Yuran ini bukan dibayar secara terus oleh pelabur, sebaliknya dikira ke atas unit yang dipegang dan dikenakan secara automatik.

Kesimpulannya, kos pelaburan dana AHB adalah rendah.

#6 – Unit tambahan percuma untuk Akaun Remaja

Selain mengumumkan unit tambahan AHB, Perdana Menteri juga baru-baru ini mengumumkan insentif khas bagi pelabur baru Akaun Remaja Amanah Saham Bumiputera.

Bagi pelabur baru yang berusia bawah 18 tahun, pelabur akan menerima tambahan 50 unit dana percuma bagi pelaburan yang dibuat.

Tetapi, insentif ini hanya ditawarkan bagi tempoh 01 Oktober 2017 sehingga 31 Januari 2018 sahaja untuk 200,000 yang terawal sahaja, jadi kenalah cepat-cepat melabur dalam AHB jika nak dapatkan insentif ini.

Insentif ini adalah sebagai galakan kepada golongan muda untuk melabur dalam AHB.

Rugi kalau terlepas insentif ini.

Kekurangan Amanah Hartanah Bumiputera

Walaupun banyak kelebihannya, namun dana AHB tetap ada kekurangannya juga.

#1 – Bilangan unit yang terhad

Walaupun dana AHB adalah peluang pelaburan yang baik, tetapi bilangan unitnya adalah terhad dan biasanya cepat habis.

Sebagai contoh, pada tahun 2016, sebanyak 1.5 bilion unit tambahan telah diumumkan untuk AHB, tetapi telah habis dilanggan dalam tempoh setahun sahaja.

Selepas unit habis dilanggan, pelabur tak boleh menambah dana pelaburan sehinggalah unit tambahan baru diumumkan.

Jadi, kalau nak melabur dalam AHB, kenalah bertindak segera apabila ada unit tambahan diumumkan.

#2 – Pulangan tidak dilaburkan semula

Agihan pendapatan AHB tidak dilaburkan semula ke dalam dana, sebaliknya diagihkan terus ke dalam akaun bank pelabur.

Ini menyebabkan pelabur tidak mendapat pulangan terkompoun; pulangan atas pulangan, sebaliknya hanya mendapat pulangan atas modal pelaburan sahaja setiap kali agihan pendapatan diumumkan.

Ini berbeza dengan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji (TH), yang mana agihan pendapatan dilaburkan semula.

Tetapi, ini bukanlah masalah besar pun.

Pendapatan yang diperoleh daripada AHB janganlah pula dibelanjakan, tetapi lebih baik jika disimpan ke dalam Tabung Haji atau ASB untuk menikmati pulangan atas pulangan.

#3 – Ejen yang terhad

Buat masa sekarang, hanya Maybank dan AmBank sahaja dilantik sebagai ejen bagi dana AHB.

Oleh itu, bagi yang berminat nak melabur dala dana AHB, kenalah mengunjungi mana-mana cawangan Maybank dan AmBank untuk membuka akaun pelaburan.

Bagi mereka yang tinggal jauh daripada kedua-dua cawangan bank ini, memang agak sukar untuk melabur dalam dana AHB.

Ini berbeza dengan Tabung Haji dan ASB yang mempunyai banyak cawangan dan ejen yang boleh dikunjungi.

Diharapkan pada masa depan lebih banyak ejen dana AHB dilantik untuk memudahkan lagi orang ramai membuka akaun pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera.

Amanah Hartanah Bumiputera AHB) vs Amanah Saham Bumiputera (ASB) vs Tabung Haji (TH): Yang mana lebih baik?

Dalam artikel sebelum ini, saya ada tulis perbandingan antara Tabung Haji (TH) vs Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Jadi kali ini, jom kita bandingkan pula antara Amanah Hartanah Bumiputera AHB) vs Amanah Saham Bumiputera (ASB) vs Tabung Haji (TH).

Untuk mudahkan perbandingan, kita bandingkan sahaja pulangan antara semua instrumen ini.

Lagipun, memang pulangan sahaja yang dipandang ramai apabila buat perbandingan antara ketiga-tiga instrumen ini.

Untuk mudahkan lagi, kita ambil pulangan dividen sahaja tidak termasuk bonus bagi setiap instrumen, dari tahun 2011 sehingga 2016 sahaja.

Sebelum buat perbandingan, ingat 3 fakta ini:

  • Pulangan bagi ketiga-tiga AHB, TH dan ASB adalah dikecualikan cukai
  • Pulangan bagi AHB dan TH telah dibayar zakat, manakala ASB tidak
  • Pulangan bagi TH dan ASB dilaburkan semula, manakala AHB tidak

Ini adalah pulangan bagi setiap instrumen dari tahun 2011 sehingga 2016:

amanah hartanah bumiputera ahb th asb

amanah hartanah bumiputera ahb th asb

Situasi #1: Katakanlah, Amirul meletakkan RM 5,000 bagi setiap AHB, ASB dan TH pada awal tahun 2010 dan dibiarkan sahaja tanpa penambahan dan pengeluaran, jadi berapa jumlah yang dikumpulkan selepas tahun 2016?

Oleh kerana jumlah yang diletakkan adalah rendah dan tidak layak dizakatkan, anggaran jumlah yang dikumpulkan Amirul berdasarkan pengiraan mudah adalah:

  • AHB: RM 6,906.00 (pulangan 38.12%)
  • TH: RM 6,958.66 (pulangan 39.17%)
  • ASB: RM 7,687.60 (pulangan 53.75%)

Situasi #2: Jane meletakkan RM 20,000 bagi setiap AHB, ASB dan TH pada awal tahun 2010. Maka, berapa jumlah yang terkumpul selepas tahun 2016?

Jumlah yang diletakkan ini adalah layak dizakatkan, maka anggaran jumlah terkumpul selepas dizakatkan adalah:

  • AHB: RM 27,624.00 (pulangan 38.12%)
  • TH: RM 27,834.64 (pulangan 39.17%)
  • ASB: RM 26,699.09 (pulangan 33.50%)

Jadi, berdasarkan kedua-dua situasi ini, dari segi pulangan, anda rasa mana yang lebih baik antara AHB, TH dan ASB?

Anda jawab sendiri ya.

Walaubagaimanapun, sebenarnya, adalah tidak adil dan tidak lengkap jika membandingkan antara ketiga-tiga instrumen ini berdasarkan pulangan sahaja.

Kena ingat, past performance does not indicate future performance.

Prestasi dan pulangan bagi ketiga-tiga instrumen boleh sahaja berubah-ubah pada masa akan datang.

Jadi, pertimbangkan beberapa perkara lain sebelum memilih yang terbaik antara ketiga-tiga instrumen ini.

Yang terbaik, pilih sahaja ketiga-tiganya.

Tidak salah untuk mempelbagaikan tempat simpan duit dan pelaburan kita.

Kalau salah satu tempat bermasalah dan mengalami kerugian, sekurang-kurangnya keuntungan daripada yang lain boleh menampung kerugian tersebut.

Jadi, tidaklah alami kerugian yang terlalu besar.

Umpama mengagihkan telur yang banyak dan letakkan ke dalam bakul-bakul yang berbeza.

Kalau satu bakul jatuh dan telur pecah, sekurang-kurangnya ada bakul-bakul yang lain yang masih selamat.

Itu sahaja perkongsian untuk kali ini.

So, sekarang, rasa berminat nak melabur dalam AHB?

Nak tahu bagaimana cara nak buka akaun AHB?

Nantikan artikel seterusnya, insyaAllah saya tulis dalam masa terdekat.

p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN dengan yang lain ya. Klik sahaja butang-butang social media kat bawah untuk berkongsi. Terima kasih.

..