Cara Jimat Elektrik Untuk Kurangkan Bayaran Bil Elektrik
Baru-baru ini, saya ada terbaca satu artikel dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berkenaan cara jimat elektrik untuk kurangkan bayaran bil elektrik.
Saya rasa artikel tersebut sangat bermanfaat dan ingin dikongsikan isi-isi pentingnya di sini supaya anda juga turut mendapat manfaat tersebut.
Bagi yang sering menghadapi wang tidak cukup setiap bulan, atau dalam erti kata lain sentiasa mengalami aliran tunai negatif (perbelanjaan > pendapatan), maka cara paling mudah untuk memperbetulkan keadaan tersebut adalah dengan mengurangkan perbelanjaan.
Dan salah satu komponen yang boleh dikurangkan adalah bayaran bil elektrik.
Untuk kurangkan bayaran bil elektrik, kenalah kurangkan dan jimatkan penggunaan tenaga elektrik.
Jadi, dengan tahu cara jimat elektrik yang betul, maka perbelanjaan bulanan dapat dikurangkan dan akan membantu memperbaiki aliran tunai ke arah lebih baik.
Bagaimana bil elektrik dikira?
Sebelum kita pergi lebih lanjut kepada cara jimat elektrik, mari kita belajar dahulu bagaimana cara bil elektrik dikira.
Anda juga mesti biasa terima bil elektrik setiap bulankan?
Pernah tahu bagaimana jumlah bil tersebut diperoleh?
Untuk makluman, berikut merupakan kadar harga atau tarif elektrik yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke atas setiap kediaman domestik:
Jumlah bil elektrik adalah dikira berdasarkan jumlah penggunaan tenaga elektrik dalam bulan tersebut didarab dengan kadar harga yang dikenakan TNB.
- bil elektrik = penggunaan tenaga elektrik (kWh) x tarif TNB (sen)
Katakanlah, dalam bulan tersebut kediaman anda menggunakan 275 kWh tenaga elektrik, maka jumlah bil elektrik adalah:
- bil elektrik = (200 kWh x 21.80 sen) + (75 kWh x 33.40 sen) = 6865 sen @ RM 68.65
Bagaimana pula jumlah penggunaan tenaga elektrik dikira?
Setiap peralatan elektrik mempunyai kadar penggunaan tenaga masing-masing, yang mana kebiasaannya dinyatakan dan dilabel dalam nilai Watt (W)
Contohnya, sebuah televisyen dengan nilai kuasa 300 W, maka dalam sejam penggunaan televisyen tersebut, sebanyak 300 Watt tenaga elektrik digunakan.
Jika televisyen tersebut digunakan selama 5 jam sehari, maka jumlah penggunaan sehari adalah 300 W x 5 jam = 1500 Watt @ 1.5 kWh
Untuk tempoh sebulan, penggunaan elektrik bagi televisyen tersebut adalah 1.5kW x 30 hari = 45 kWh
Jadi, kos bil elektrik untuk penggunaan televisyen itu sahaja adalah 45 kWh x 21.80 sen = 981 sen @ RM 9.81
Kenapa sangat penting untuk tahu tentang cara kira semua perkara di atas?
Sebab, apabila dah faham konsep pengiraan di atas, maka mudahlah untuk belajar dan merancang sendiri cara jimat elektrik bagi kurangkan bayaran bil elektrik.
Daripada pengiraan di atas, dapat dilihat bahawa jumlah bil elektrik adalah dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu tarif TNB dan penggunaan tenaga elektrik.
Untuk tarif TNB, kita tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengawalnya kerana ditentukan oleh kerajaan.
Walau pun berubah kerajaan, saya yakin tarif tersebut tidak akan banyak berubah kerana kos untuk menghasilkan tenaga elektrik sememangnya tinggi.
Sebaliknya, kita boleh mengawal penggunaan tenaga elektrik untuk mengawal jumlah bil elektrik bulanan.
Penggunaan tenaga elektrik adalah dipengaruhi beberapa faktor, antaranya nilai kuasa peralatan elektrik, beban kerja peralatan elektrik dan tempoh penggunaan.
Ada juga faktor-faktor lain, tetapi tiga faktor utama ini adalah yang boleh kita kawal dan kurangkan supaya dapat menurunkan jumlah bayaran bil elektrik.
Jadi, secara umumnya, cara jimat elektrik yang boleh kita amalkan adalah:
Cara #1 – Guna peralatan elektrik dengan penggunaan tenaga yang cekap
Jika anda biasa pergi ke kedai yang menjual peralatan elektrik, pasti akan terlihat label cekap tenaga (energy efficiency label) yang ditampal pada sesetengah peralatan elektrik yang dipamerkan.
Label cekap tenaga tersebut adalah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga, dan merupakan label yang menunjukkan tahap kecekapan penggunaan tenaga elektrik bagi peralatan tersebut.
Label ini wajib ditampal pada televisyen, kipas rumah, peti sejuk dan pendingin hawa.
Tahap kecekapan tenaga peralatan tersebut diberikan star-rating tertentu; semakin banyak bintang, semakin cekap penggunaan tenaga dan semakin jimat penggunaan tenaga elektrik.
Jadi, apabila nak beli peralatan elektrik, utamakan model yang mempunyai star-rating yang tinggi, iaitu 4 atau 5, supaya anda akan mendapat penjimatan elektrik kelak.
Cara #2 – Gunakan peralatan elektrik dengan spesifikasi yang sesuai
Secara umumnya, semakin tinggi spesifikasi sesuatu peralatan elektrik (bagi jenis yang sama), semakin tinggi kadar penggunaan tenaganya.
Sebagai contoh, televisyen bersaiz 48 inci sudah semestinya menggunakan tenaga elektrik yang lebih berbanding televisyen 32 inci.
Begitu juga dengan pendingin hawa, yang berkapasiti 2.0 hp mesti akan menggunakan lebih tenaga elektrik berbanding yang berkapasiti 1.0 hp.
Untuk pastikan tidak berlaku pembaziran elektrik secara berlebihan, pastikan peralatan elektrik yang digunakan adalah sesuai dari segi spesifikasi saiz, kapasiti, kuasa dan penggunaan tenaganya.
Misalnya, gunakan pendingin hawa dengan kuasa yang optimum dengan saiz ruang.
Atau pun, gunakan peti sejuk yang sesuai bergantung kepada berapa banyak bahan mentah yang disimpan (biasanya bergantung kepada bilangan anggota isi rumah)
Kena fikirkan sendiri spesifikasi peralatan elektrik yang sesuai di kediaman anda.
Ingat, peralatan dengan spesifikasi terlalu tinggi akan menyebabkan pembaziran elektrik, manakala spesifikasi terlalu rendah akan menyebabkan beban dan penggunaan elektrik yang tinggi.
Maka, carilah yang paling optimum dan sesuai dengan keperluan dan kediaman anda.
Cara #3 – Gunakan peralatan elektrik dengan betul
Untuk memastikan kurangnya pembaziran tenaga elektrik, peralatan elektrik perlulah digunakan dengan cara yang betul sepertimana spesifikasinya.
Sebagai contoh, mesin basuh yang mempunyai kapasiti 10kg, maka pastikanlah berat pakaian yang hendak dibasuh tidak melebihi berat tersebut.
Pendingin hawa, jika ditetapkan pada suhu terlalu rendah, akan menyebabkan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi.
Walhal, jika tetapkan pada suhu 25-27 °C pun sudah memadai.
Peti sejuk, jika terlalu kerap dibuka dan ditutup, juga akan menyebabkan pembaziran tenaga.
Begitu juga jika peti sejuk tersebut disumbat dengan terlalu banyak barang sehingga hampir penuh, turut akan menyebabkan peningkatan penggunaaan tenaga.
Kuncinya, cara jimat elektrik yang efektif adalah dengan menggunakan peralatan elektrik dengan betul.
Cara #4 – Hadkan penggunaan peralatan elektrik
Antara cara jimat elektrik yang mudah adalah menghadkan penggunaan peralatan elektrik.
Di sini, perlunya anda membuat kawalan dan menetapkan peraturan berkenaan tempoh penggunaan peralatan elektrik di kediaman anda.
Hadkan masa tontonan televisyen, lebih baik untuk buat aktiviti yang lebih bermanfaat seperti membaca buku dan beriadah.
Hadkan juga masa penggunaan pendingin hawa, cukup untuk sekadar hilangkan rasa panas sahaja.
Simpan air panas dalam termos, supaya air tidak perlu dipanaskan berulang-ulang kali menggunakan cerek elektrik.
Gunakan cahaya matahari semulajadi untuk menerangi rumah pada waktu siang berbanding menggunakan cahaya lampu.
Semua ini adalah contoh cara-cara untuk menghadkan penggunaan elektrik.
Cara #5 – Tutup suis dan cabut soket
Tutup suis televisyen apabila tidak ditonton lagi.
Tutup suis komputer apabila siap kerja.
Tutup suis lampu apabila keluar dari bilik atau tandas.
Tutup suis periuk nasi apabila selesai masak nasi.
Pendek cerita, untuk elakkan pembaziran tenaga elektrik, tutup suis apabila peralatan elektrik tidak digunakan.
Kalau letak pada standby atau sleep mode, tenaga elektrik masih digunakan, jadi lebih baik tutup sahaja.
Lepas tutup suis, cabut soket daripada plug sebab ada yang mendakwa kalau soket masih terpasang, tenaga elektrik masih mengalir dan tetap dibazirkan.
Itulah sahaja beberapa cara jimat elektrik secara umum.
Apabila dah dapat jimatkan penggunaan elektrik, jumlah bil elektrik bulanan juga akan berkurang.
Maka, akan berkuranglah perbelanjaan bulanan.
Saya sebenarnya nak terangkan lagi tentang cara jimat elektrik secara spesifik mengikut jenis peralatan elektrik, tetapi memandangkan artikel ini dah pun terlalu panjang, saya akan terangkan dalam artikel seterusnya nanti.
Jangan lupa untuk baca artikel seterusnya, ya!
Kemaskini: Sambungan artikel ini boleh dibaca di Cara Jimatkan Elektrik Di Rumah
Tonton juga video ini untuk lebih banyak cara jimat elektrik:
p/s: Rasa artikel ini bermanfaat? Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini supaya orang lain turut dapat menjimatkan penggunaan elektrik mereka. Cuma perlu klik pada icon di bawah. Terima kasih.