9 Cara Kawal Belanja Apabila Pendapatan Terjejas
Apabila pendapatan yang diterima setiap bulan terjejas, amat penting untuk tahu cara kawal belanja agar dapat gunakan wang yang ada dengan lebih baik demi meneruskan kehidupan harian.
Contohnya, macam sekarang.
Akibat penangan COVID-19, ramai yang terjejas pendapatan mereka.
Ada yang dikurangkan gaji, diminta cuti tanpa gaji malah diberhentikan kerja.
Yang buat bisnes pula, ada yang keuntungan semakin berkurangan, pada masa sama kos operasi semakin tinggi sehingga menyebabkan ada bisnes yang terpaksa ditutup.
Jadi, amat penting untuk strukturkan kembali penggunaan pendapatan sekarang agar duit yang ada diuruskan untuk perkara yang lebih penting.
Malah, waktu gawat ini pun belum tahu bila akan berkahir.
Pendapatan juga belum diketahui bila akan kembali seperti dulu.
Jadi, lebih baik buat persediaan awal.
Jom saya kongsikan beberapa cara kawal belanja yang boleh dilakukan apabila pendapatan terjejas.
Cara kawal belanja #1 – Ubahsuai bajet peribadi
Bagi yang belum pernah ada bajet peribadi, kena mula buat bajet sekarang.
Bagi yang dah ada bajet, boleh ubahsuai serba sedikit untuk disesuaikan dengan keadaan sekarang.
Kenalpasti semula ke mana pendapatan yang diperoleh digunakan setiap bulan, minggu dan hari.
Kalau boleh, senaraikan semuanya.
Daripada senarai tersebut, kategorikan penggunaan duit tersebut mengikut kategori, contohnya simpanan, perbelanjaan, pelaburan, perlindungan dan penyucian.
Untuk setiap kategori, kenalpasti mana-mana kegunaan yang boleh dikurangkan pada bulan-bulan seterusnya.
Contohnya, kalau sebelum ini banyak keluar belanja untuk makan, mungkin boleh kurangkan peruntukan makan.
Kalau banyak keluar peruntukan untuk perlindungan takaful, mungkin boleh bincang balik dengan ejen untuk ubah kepada pelan yang lebih murah dengan jumlah perlindungan hampir setara.
Kalau boleh, cuba supaya dapat kurangkan banyak peruntukan untuk perbelanjaan berbanding kategori-kategori lain.
Kemudian, strukturkan balik bajet mengikut formula urus duit gaji yang sesuai dengan pendapatan sekarang.
Dan paling penting, disiplinkan diri untuk ikut bajet yang telah ditetapkan.
Cara kawal belanja #2 – Strukturkan kembali pinjaman dan pembiayaan
Apabila pendapatan terjejas, ramai yang terkesan nak lunaskan komitmen bayaran pinjaman atau pembiayaan yang diambil.
Contohnya seperti pembiayaan rumah, kereta, peribadi dan loan ASB.
Mujurlah ada tempoh moratorium sehingga 30 September 2020, sekurang-kurangnya ringan sedikit beban yang dipikul.
Tetapi, apa akan jadi apabila moratorium tamat nanti?
Nasib baik kerajaan ada menyediakan moratorium bersasar untuk mereka yang memerlukan.
Kalau anda rasa masih terbeban untuk membayar komitmen sedia ada, inilah masanya untuk strukturkan kembali.
Boleh berjumpa dengan pihak peminjam untuk berbincang.
Pihak peminjam mungkin boleh menawarkan bayaran faedah sahaja, memanjangkan tempoh pinjaman/pembiayaan atau pun pelepasan-pelepasan lain.
Yang penting, anda berjumpa dan berbincang dengan pihak peminjam, bukan larikan diri.
Cara kawal belanja #3 – Hentikan langganan pakej mahal
Berdasarkan point #1 di atas, cuba lihat kembali snearai perbelanjaan yang dilakukan.
Ada tak bayaran komitmen untuk langganan seperti internet, saluran televisyen atau portal online?
Kalau ada, mungkin boleh dipertimbangkan kembali untuk sama ada hentikan terus langganan atau bertukar kepada pakej yang lebih murah.
Sebagai contoh, langganan saluran televisyen.
Kalau sebelum ini melanggan pakej berbayar, walhal kurang masa pun untuk tonton televisyen, mungkin boleh dihentikan terus dan bertukar kepada pakej percuma.
Begitu juga pakej internet rumah atau data telefon.
Mungkin boleh ditukar kepada pakej yang lebih murah tetapi padan dengan penggunaan.
Dengan cara sebegini, dapat kurangkan belanja untuk bayar komitmen bulanan.
Cara kawal belanja #4 – Kurangkan penggunaan elektrik
Baru-baru ini heboh apabila ramai rakyat marah sebab dikenakan bil elektrik yang tinggi.
Ya, sudahlah sumber pendapatan terjejas, dipaksa pula duduk di rumah menyebabkan penggunaan elektrik tinggi.
Tiba-tiba, dikenakan bil yang agak tak masuk akal.
Siapa yang tidak marah, bukan?
Mujurlah akhirnya pihak kerajaan dan penyedia bekalan elektrik sediakan juga diskaun dan potongan untuk kurangkan beban bil.
Daripada kejadian ini, kita boleh ambil sedikit iktibar.
Selepas ini bolehlah menggunakan elektrik dengan lebih bijak dan jimat.
Antara cara jimat elektrik yang boleh dilakukan adalah:
- Hadkan masa penggunaan pendingin hawa, televisyen dan komputer
- Tetapkan suhu pendingin hawa pada tetapan yang lebih sesuai (sekitar 23-25 C pun sudah memadai)
- Optimumkan penggunaan mesin basuh, kurangkan basuh jumlah kecil banyak kali
- Tutup lampu dan kipas di ruang yang tidak digunakan atau tiada penghuni
Untuk lebih banyak idea cara jimat elektrik, boleh rujuk artikel sebelum ini di sini:
Cara kawal belanja #5 – Banyakkan masak dan makan di rumah
Tanpa dapat dinafikan, perbelanjaan untuk membeli makanan dan makan di luar adalah lebih mahal berbanding memasak sendiri dan makan di rumah.
Jika sebelum ini anda adalah seorang yang gemar makan di luar, sekarang adalah masa terbaik untuk mengubah tabiat tersebut.
Bagi yang belum pandai memasak, boleh mula belajar memasak.
Bagi yang dah pandai memasak, boleh asah kemahiran dan bakat memasak dengan lebih baik.
Ada banyak buku-buku masakan yang boleh dijadikan panduan.
Malah di internet pun banyak blog dan video yang mengajar cara memasak, percuma sahaja.
Memasak bukan sahaja untuk dimakan di rumah, malah boleh dibawa bekal ke tempat kerja atau untuk anak-anak bawa ke sekolah.
Lebih mengujakan lagi, boleh buat bisnes kecil-kecilan pula untuk tambah pendapatan.
Tetapi, kalau nak jual makanan itu, pastikan jaga kebersihan dan keselamatan makanan tersebut.
Cara kawal belanja #6 – Kongsi sewa atau pindah tempat sewa murah
Bagi yang tinggal menyewa seorang diri sebuah rumah, selepas ini boleh cari teman serumah untuk berkongsi sewa.
Bagi yang tinggal menyewa bersama-sama keluarga, boleh difikirkan untuk berpindah ke tempat lain yang sewaannya lebih murah.
Langkah ini tidaklah sesuai untuk semua orang.
Bukan senang nak cari teman serumah yang baik.
Nak berkongsi privasi yang selama ini dinikmati.
Bukan mudah juga nak mencari tempat sewa yang memenuhi citarasa dengan bayaran murah.
Saya cadangkan ini hanya untuk yang betul-betul terkesan sumber pendapatan dan terdesak untuk kurangkan komitmen.
Cara kawal belanja #7 – Lepaskan komitmen tidak perlu
Anda ada lebih daripada sebuah kereta?
Mungkin boleh jual dan tinggalkan sebuah sahaja yang dirasakan betul-betul perlu.
Ini bukan sahaja boleh kurangkan bayaran bulanan kereta tersebut, malah kurangkan komitmen untuk bayaran minyak, tol, parking, servis dan road tax.
Anda ada lebih daripada sebuah rumah?
Kalau rumah yang tidak diduduki tersebut lebih mendatangkan kerugian berbanding keuntungan, lebih baik dilepaskan sahaja.
Anda ada bisnes atau cawangan yang kurang produktif tetapi kos tinggi?
Boleh tutup sahaja dan fokus kepada bisnes atau cawangan yang lebih produktif supaya lebih banyak hasil.
Cara kawal belanja #8 – Normal baru apabila membeli-belah
Bagi yang suka berbelanja dan sukar nak buang tabiat tersebut, masih tidak salah untuk teruskan selagi mampu.
Namun, apabila pendapatan terjejas, bukanlah masa yang sesuai untuk mengekalkan tabiat tersebut.
Jika teringin sangat nak membeli-belah, mungkin boleh kurangkan dari segi kekerapannya.
Kalau sebelum ini setiap minggu, sekarang boleh kurangkan kepada dua atau satu kali sebulan sahaja.
Hadkan jumlah perbelanjaan yang akan dilakukan apabila pergi membeli-belah dan jangan sekali-kali melepasi had tersebut.
Apabila membeli barang seperti pakaian, beg tangan, kasut dan sebagainya, utamakan kualiti berbanding jenama.
Kualiti tidak semestinya pada jenama, barang murah tidak semestinya tidak berkualiti.
Amalan sebegini bukan sahaja ketika membeli barang, malah apabila membeli makanan juga.
Kopi di kedai mewah yang berharga mahal mungkin sama sahaja dengan kopi di kedai biasa dengan harga lebih murah.
Nak lebih banyak tips jimat belanja apabila keluar membeli-belah, boleh baca di sini: Cara Jimat Belanja
Cara kawal belanja #9 – Guna semula barang-barang terpakai
Cuba pergi buka balik stor atau lihat ke dalam almari yang menyimpan pakaian-pakaian lama.
Cuba cari, ada tak barang-barang atau pakaian yang masih berkeadaan baik dan boleh digunakan.
Jika ada, gunakan sahaja.
Kalau ada yang rosak, cuba pula untuk baik pulih.
Jimat belanja tak perlu beli yang baru.
Tak perlu malu untuk guna semula barang-barang terpakai.
Guna dahulu selagi boleh guna.
Nanti apabila pendapatan dah bertambah baik, bolehlah difikirkan untuk beli yang baru pula.
Penutup
Itulah sahaja cadangan yang doleh diberikan untuk membantu golongan yang terjejas pendapatannya untuk kurangkan belanja.
Apabila belanja dapat dikurangkan, kuranglah sikit beban yang ditanggung.
Semoga pendapatan yang masih ada mampu untuk menampung kehidupan harian.
Ingatlah, langit tidak selalunya cerah.
Akan ada hari yang kelam, hujan dan ribut.
Namun akhirnya, hari akan kembali cerah semula, insyaAllah.
Begitulah juga kehidupan kita.
Jika ada di kalangan anda yang sekarang sedang menempuh tempoh sukar dari segi kewangan, semoga anda tabah dan diringankan beban suatu hari nanti.
Sekian, terima kasih.
p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.