Tag Archive: cara jimat elektrik di rumah

Cara Jimatkan Elektrik Di Rumah

cara jimatkan elektrik di rumahKalau dalam artikel sebelum ini saya menerangkan tentang cara jimat elektrik secara umum, dalam artikel kali ini, saya nak tunjukkan bagaimana cara jimatkan elektrik bagi peralatan elektrik yang biasa dijumpai di setiap rumah.

Kiranya, artikel kali ini adalah sambungan kepada artikel sebelum ini; Cara Jimat Elektrik Untuk Kurangkan Bayaran Bil Elektrik

Sebenarnya, jika faham bagaimana bil elektrik dikira, tak kiralah datang apa jenis peralatan elektrik pun, hanya perlu amalkan konsep yang sama untuk kurangkan dan jimatkan penggunaan elektrik.

Hanya perlu pilih peralatan yang cekap tenaga, gunakan peralatan elektrik dengan betul dan hadkan tempoh penggunaan supaya dapat elakkan pembaziran elektrik.

Tanpa buang masa, jom sekarang kita lihat beberapa cara jimatkan elektrik di rumah.

Peralatan elektrik #1 – Lampu

Sebuah lampu mungkin menggunakan sedikit sahaja tenaga elektrik.

Tetapi oleh kerana bilangannya yang banyak dalam sebuah kediaman, maka apabila dijumlahkan, jumlah penggunaan tenaga elektrik boleh menjadi tinggi.

Mengikut kajian, sebanyak 20% penggunaan tenaga elektrik dalam sesebuah kediaman adalah disumbangkan oleh penggunaan lampu.

Maksudnya, jika purata bil elektrik bulanan adalah RM 100, 20% daripada jumlah tersebut bersamaan RM 20 adalah untuk membayar penggunaan lampu dalam kediaman anda.

Maka, beberapa saranan atau cara jimatkan elektrik dalam penggunaan lampu adalah seperti berikut:

  • Tutup lampu di ruang yang tidak digunakan. Ada orang kata, kalau sering buka-tutup lampu, nanti lampu akan cepat rosak pula. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini, tetapkan peraturan 1 jam; jika anda yakin ruang tersebut tidak akan digunakan dalam masa 1 jam, maka tutup sahaja lampu. Jika kurang daripada 1 jam, biarkan sahaja lampu terpasang.
  • Gunakan cahaya semula jadi. Pada waktu siang, kalau boleh banyakkan guna cahaya matahari berbanding cahaya lampu. Buka tingkap dan selak langsir supaya cahaya matahari dapat menerangi kediaman anda tanpa bantuan lampu.
  • Kurangkan bilangan lampu dalam kediaman anda. Kadang-kadang, kita tak perasan, sesetengah ruang atau bilik hanya perlukan sebuah lampu sahaja untuk capai tahap kecerahan optimum. Bagaimana sebuah lampu dapat memberikan pencahayaan yang optimum? Banyak faktor yang mempengaruhi, seperti jenis lampu, sudut pemasangan lampu, kedudukan/posisi lampu (dekat-jauh, tinggi-rendah) dan warna/cat ruang tersebut (lantai, dinding dan siling). Benda ini teknikal, kena belajar kejuruteraan elektrik pula untuk fahami semua faktor ini nanti. Buat sedikit adjustment pada faktor-faktor ini, dan anda boleh kurangkan penggunaan lampu dalam kediaman anda. Boleh baca di sini untuk lebih penerangan.
  • Gunakan mentol lampu cekap tenaga; jenis light emitting diodes (LED) adalah disarankan kerana lebih tahan lama, jimat tenaga dan mesra alam. Mentol lampu jenis LED juga boleh dibuka-tutup dengan kerap tanpa memberi kesan ke atas jangka hayatnya (maka tak perlu risau untuk sentiasa tutup lampu apabila ruang/bilik tidak digunakan)

Peralatan elektrik #2 – Peti sejuk

cara jimatkan elektrik di rumahBoleh dikatakan hampir semua kediaman pasti akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan bahan-bahan mentah, stok ais dan minuman sejuk.

Dan peti sejuk adalah peralatan yang akan dipasang 24 jam sehari secara berterusan, ditutup hanya ketika kerja-kerja penyelenggaraan atau apabila dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Pada waktu-waktu lain, peti sejuk akan berterusan dipasang.

Jadi, sudah tentunya peti sejuk akan memberi kesan yang besar ke atas penggunaan elektrik dalam rumah.

Dan, jika dapat jimatkan penggunaan eletrik pada peti sejuk, anda akan dapat mengurangkan bil elektrik dengan banyak juga.

Berikut beberapa tips dan cara jimatkan elektrik bagi peti sejuk:

  • Pastikan kedudukan peti sejuk jauh daripada cahaya matahari dan peralatan sumber haba seperti cerek, periuk nasi dan dapur memasak. Pastikan juga peti sejuk diberikan ruang pengudaraan yang mencukupi; sebaik-baiknya jarakkan peti sejuk (10-30 cm) daripada dinding di bahagian belakang, tepi dan atas. Tidak digalakkan peti sejuk diletakkan dalam kabinet dapur, lebih-lebih lagi ‘dikurung’ dalam almari. Cahaya matahari, sumber haba dan ruang pengudaraan yang tidak mencukupi akan ‘memanaskan’ peti sejuk dan menyebabkan beban kerjanya bertambah.
  • Kurangkan kekerapan buka-tutup pintu peti sejuk. Jika nak ambil barang-barang dalam peti sejuk, rancang dengan baik agar pintu tidak terlalu kerap dibuka. Terlalu kerap buka dan tutup pintu peti sejuk akan menyebabkan udara sejuk kerap keluar dan meningkatkan suhu peti sejuk. Ini juga meningkatkan beban kerja peti sejuk tersebut.
  • Tetapkan suhu peti sejuk pada suhu yang optimum; suhu yang sesuai bagi ruang biasa adalah sekitar 2-8 ºC, manakala suhu ruang sejuk beku adalah sekitar -18 ºC
  • Jika peti sejuk ada membentuk frost (dinding ais), pastikan ketebalan frost tersebut tidak melebihi 0.6-1.0 cm. Frost yang tebal bukan menyejukkan, sebaliknya akan menjadi penebat haba dan boleh meningkatkan suhu peti sejuk. Pastikan sentiasa cairkan frost dan tutup suis peti sejuk semasa proses pencairan tersebut. Selepas frost cair, buang dahulu air yang bertakung sebelum hidupkan semula peti sejuk.
  • Jangan terlalu penuhkan ruang dalam peti dengan barang-barang. Pastikan ada ruang untuk aliran udara dalam peti sejuk. Tetapi, pada masa yang sama, jangan biarkan peti sejuk terlalu kosong pula. Jika tiada barang untuk disimpan dalam peti sejuk, letakkan sahaja beberapa bekas kosong. Ini akan mengurangkan aliran keluar udara sejuk daripada peti sejuk.
  • Periksa sama ada terdapat kebocoran pada getah pintu peti sejuk. Caranya, cuba selitkan sehelai kertas melalui celahan getah tersebut. Jika kertas dapat diselitkan, maka ada kebocoran. Getah tersebut perlu diganti.

Peralatan elektrik #3 – Air-conditioner

Pada masa sekarang, banyak rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu air-conditioner atau pendingin hawa.

Tetapi, masih ramai yang tidah tahu atau buat-buat tidak tahu tentang cara jimatkan elektrik apabila menggunakan peralatan tersebut.

Akibatnya, banyak pembaziran tenaga elektrik berlaku dan bil elektrik melambung tinggi.

Berdasarkan pengalaman saya, penggunaan pendingin hawa memang memberikan kesan yang besar kepada penggunaan tenaga elektrik.

Rumah saya ada sebuah pendingin hawa berkuasa 2.0 hp; apabila dipasang walau pun sekitar 4 jam sahaja setiap hari, bil elektrik boleh mencecah RM 70 berbanding sekitar RM 30 sahaja jika peralatan tersebut tidak digunakan.

Jadi, untuk kurangkan penggunaan elektrik semasa menggunakan pendingin hawa, boleh amalkan perkara-perkara berikut:

  • Pasangkan pendingin hawa dengan kapasiti (kuasa kuda / horse power) yang sesuai untuk setiap ruang. Ukur saiz ruang dan kira kapasiti yang diperlukan. Sebagai panduan, boleh lihat jadual yang berikut:

cara jimatkan elektrik di rumah

  • Pasang pendingin hawa di lokasi yang jauh daripada sinaran cahaya matahari atau punca haba.
  • Tetapkan suhu pendingin hawa pada 24-26 ºC sahaja, tak perlu terlalu sejuk sehingga 16 ºC. Tahukah anda bahawa setiap penurunan 1 ºC yang ditetapkan pada pendingin hawa bersamaan peningkatan penggunaan elektrik sebanyak 10%. Maksudnya, semakin rendah suhu ditetapkan, semakin tinggi penggunaan elektrik.
  • Tetapkan juga kipas penyejuk (blower) pendingin hawa pada tahap kelajuan rendah sahaja. Memang betul apabila ditetapkan pada tahap tinggi, suhu akan cepat turun, tetapi penggunaan elektrik juga akan meningkat tinggi.
  • Tutup pintu dan tingkap apabila pendingin hawa dipasang. Ini untuk mengelakkan udara sejuk keluar daripada ruang tersebut.
  • Cuci penapis (filter) pendingin hawa dengan kerap, minimum sekali setiap bulan. Cuci juga kipas compressor di luar rumah. Ini akan mengurangkan beban pendingin hawa tersebut.
  • Hadkan tempoh penggunaan pendingin hawa. Contohnya pada waktu malam, boleh tetapkan supaya pendingin hawa auto-off pada jam 12.00 malam. Pada waktu tersebut, suhu persekitaran sudah pun sejuk, sekitar 23-25 ºC. Jadi, tidak perlulah dipasang lagi pendingin hawa. Boleh pasang kipas selepas pendingin hawa ditutup. Kipas akan ‘menyebarkan’ udara sejuk yang masih ada dan mengekalkan rasa nyaman dengan lebih lama.
  • Tutup pendingin hawa apabila ruang tersebut tidak digunakan. Sebagai contoh, apabila keluar daripada bilik, tutup dahulu pendingin hawa yang terpasang. Tetapi, pada masa sama, jangan terlalu kerap buka-tutup, kerana akan menyebabkan beban kerja lebih. Boleh gunakan peraturan 1-jam; jika bercadang keluar bilik lebih daripada 1 jam, lebih baik tutup pendingin hawa.

Peralatan elektrik #4 – Mesin basuh & pengering pakaian

cara jimatkan elektrik di rumah

  • Salah satu cara jimatkan elektrik semasa menggunakan mesin basuh adalah dengan mengurangkan kekerapan membasuh pakaian; kumpul terlebih dahulu pakaian sehingga muatan penuh dan basuh sekaligus. Penggunaan elektrik adalah sama antara muatan penuh dan muatan separuh. Jadi, kalau basuh pakaian sikit-sikit, memang rugi penggunaan elektrik.
  • Pada masa yang sama, jangan melebihi had muatan mesin basuh pula. Kalau had mesin basuh adalah 10kg, pastikan jumlah berat pakaian yang basuh tidak melebihi had tersebut. Muatan berlebihan akan membebankan mesin basuh, meningkatkan penggunaan elektrik dan boleh menyebabkan kerosakan pada mesin basuh.
  • Kurangkan penggunaan fungsi basuhan air panas kerana lebih banyak tenaga elektrik diperlukan untuk memanaskan air cucian tersebut. Lebih baik gunakan fungsi basuhan air biasa sahaja.
  • Kalau boleh, digalakkan untuk asingkan pakaian atau kain yang ingin dibasuh mengikut berat. Contohnya, basuh t-shirt, kemeja dan pakaian dalam bersekali dalam satu basuhan, manakala pakaian seperti denim, jaket dan linen dibasuh berasingan. Ini akan memudahkan proses basuhan dan mengurangkan beban kerja mesin basuh.
  • Kurangkan penggunaan mesin pengering pakaian. Lebih baik untuk jemur pakaian yang dibasuh berbanding menggunakan mesin pengering pakaian. Maklumlah, mesin yang menghasilkan haba, sudah semestinya banyak menggunakan tenaga elektrik. Mungkin boleh simpan dahulu mesin pengering pakaian dan guna pada musim hujan sahaja.

Peralatan elektrik #5 – Seterika

  • Sekarang, makin ramai yang menggunakan seterika jenis stim, berbanding seterika kering biasa. Tahukah anda bahawa seterika jenis stim menggunakan lebih banyak tenaga elektrik kerana perlu memanaskan air terlebih dahulu untuk menghasilkan stim. Jadi, untuk cara jimatkan elektrik, penggunaan seterika kering biasa adalah lebih digalakkan.
  • Kurangkan kekerapan penggunaan seterika dengan mengumpul terlebih dahulu pakaian untuk digosok. Seterika banyak menggunakan elektrik semasa awal dipasang, kerana perlu dipanaskan terlebih dahulu. Jika sesi menggosok terlalu kerap, maka proses pemanasan sterika pun akan menjadi kerap. Maka, tinggilah penggunaan elektrik.

Peralatan elektrik #6 – Cerek elektrik

  • Untuk cara jimatkan elektrik semasa menggunakan cerek elektrik, pertama, pastikan air diisi ke paras penuh cerek sebelum dipanaskan. Selepas siap dipanaskan, simpan air tersebut ke dalam bekas termos. Ini akan mengurangkan kekerapan penggunaan cerek elektrik.
  • Keladak boleh terbentuk pada permukaan alat pemanas cerek elektrik dan melambatkan proses pemanasan air. Oleh itu, perlu sentiasa dibersihkan keladak tersebut untuk mengelakkan pembaziran tenaga elektrik.
  • Memanaskan air menggunakan cerek biasa di atas dapur gas adalah lebih murah berbanding menggunakan cerek elektrik. jadi, tidak salah jika hendak menggunakan kaedah lama tersebut untuk memanaskan air.

Kesimpulan

Itulah sahaja beberapa cara jimatkan elektrik khusus bagi peralatan-peralatan elektrik yang terdapat di banyak rumah.

Sekali lagi diingatkan, prinsip untuk kurangkan penggunaan tenaga elektrik adalah dengan menggunakan peralatan cekap tenaga, mengendalikan peralatan dengan cara yang betul dan menghadkan tempoh penggunaan tenaga elektrik.

Dengan berpegang kepada prinsip ini, tak kisahlah peralatan elektrik apa pun, akan mudah untuk tentukan cara jimatkan penggunaan elektrik bagi peralatan tersebut.

Selepas dapat jimatkan penggunaan elektrik, maka jumlah bil elektrik pun akan dapat dikurangkan.

Perbelanjaan bulanan dapat dikurangkan dan akan ada lebihan wang untuk disimpan.

Perkara yang baik, bukan?

Oh ya, boleh tonton video berikut untuk lebih banyak penerangan berkenaan cara jimatkan elektrik di rumah:

p/s: Rasa artikel ini bermanfaat? Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini supaya lebih ramai dapat jimatkan penggunaan elektrik seterusnya mengurangkan perbelanjaan bil elektrik bulanan.