Tag Archive: tempat simpan duit

Tempat Simpan Duit Terbaik: Tabung Haji VS ASB

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asbBaru-baru ini, semasa bersembang dengan seorang rakan, beliau bertanya kepada saya tentang tempat simpan duit terbaik untuk beliau menyimpan duit tabungan beliau.

Rakan saya itu hanya menyimpan duitnya di dalam akaun simpanan bank sahaja, jadi beliau bercadang untuk mencari tempat yang lebih baik untuk menyimpan duit beliau.

Di samping itu, saya juga dapati ramai yang bertandang ke blog ini dengan persoalan yang sama, “Di mana tempat simpan duit terbaik?”

Malah, ada juga yang sering membandingkan antara Tabung Haji vs ASB (Amanah Saham Bumiputera), mungkin kerana kedua-dua tempat ini merupakan tempat simpan duit yang menjadi pilihan kebanyakan orang.

Baiklah, dalam artikel kali ini, saya akan tulis berkenaan hal-hal di atas.

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Di mana tempat simpan duit terbaik?

Secara prinsipnya, tempat simpan duit yang baik haruslah mempunyai ciri-ciri yang berikut:

Ciri #1 – Selamat

Duit haruslah disimpan di tempat yang selamat daripada mudah dicuri orang.

Contohnya kalau simpan di rumah di bawah bantal atau di dalam almari sahaja, sudah tentu kurang selamat kerana sesiapa sahaja boleh terjumpa dan ambil duit tersebut.

Jadi, kenalah cari tempat simpan duit yang dijaga keselamatannya supaya kita dapat tidur lena tanpa perlu runsing memikirkan kemungkinan duit dicuri orang dengan mudah,

Ciri #2 – Modal terjamin

Tempat simpan duit terbaik haruslah memastikan modal yang disimpan adalah terjaga atau semakin bertambah, bukan semakin berkurangan.

Tiada risiko rugi.

Maksudnya, duit RM 10,000 yang disimpan hari ini, haruslah kekal dalam jumlah yang sama atau semakin bertambah walaupun selepas bertahun-tahun, dan bukan pula semakin berkurangan jumlahnya.

Ciri #3 – Mudah untuk transaksi

Sangat penting untuk memastikan tempat simpan duit yang dipilih mempunyai kemudahan transaksi yang baik; mudah untuk duit masuk, dan mudah juga untuk duit dikeluarkan.

Mudah untuk dikeluarkan bukanlah bermaksud mudah bocor dan digunakan untuk perbelanjaan yang tak perlu; ini bukan ciri tabung simpanan yang baik.

Tetapi, maksudnya adalah mudah dicairkan apabila diperlukan terutama apabila berdepan situasi-situasi kecemasan.

Ciri #4 – Kalis inflasi

Nilai duit RM 1 pada 10 tahun dulu tidak sama nilainya dengan RM 1 sekarang, dan nilai RM 1 sekarang tidak akan sama nilainya dengan RM 1 pada 10 tahun akan datang.

Ini adalah disebabkan oleh inflasi, yang mana akan menyebabkan penyusutan nilai duit.

Berapa kadar inflasi di Malaysia?

tempat simpan duit terbaik kadar inflasi

Mengikut carta di atas, kadar paling tinggi pernah dicatatkan adalah sekitar 8% pada sekitar tahun 2009 dulu, tetapi jika dilihat pada tahun-tahun terdekat, kadar inflasi Malaysia berlegar-legar sekitar 2% ke 5%

Oleh itu, adalah satu perkara yang baik jika sesuatu tempat simpan duit dapat mengurangkan penyusutan nilai duit akibat inflasi, dan ini dapat dicapai jika pulangan yang diberikan adalah melebihi kadar inflasi.

Ciri #5 – Kos rendah

Tempat simpan duit terbaik seharusnya berkos rendah atau pun lebih baik lagi jika tiada kos.

Maksudnya, tiada yuran pentadbiran, caj tersembunyi atau pun apa-apa sahaja kos yang akan dikenakan ke atas duit yang disimpan.

Jadi sekarang, selepas dah tahu ciri-ciri tempat simpan duit terbaik, timbul pula soalan lain, di manakah tempat simpan duit yang memenuhi ciri-ciri di atas.

Ada ke?

Jawapanya, mestilah ada.

Pilihan pertama, boleh sahaja simpan duit di dalam akaun simpanan atau semasa bank kerana sudah pun memenuhi hampir semua ciri di atas.

Kelemahannya, pulangan yang diberikan oleh akaun simpanan atau semasa mungkin tidak dapat mengatasi kadar inflasi, iaitu sekitar 1-2% sahaja setahun.

Akibatnya, duit yang disimpan walaupun masih kekal jumlahnya, tetapi nilainya susut akibat inflasi.

Pilihan kedua, boleh simpan duit dalam akaun simpanan tetap (fixed deposit).

Banyak bank yang menawarkan produk fixed deposit, ada yang konvensional, ada yang Islamik.

Kebiasaannya, pulangan yang ditawarkan adalah sekitar 3-4% setahun, lebih baik berbanding kadar pulangan yang diberikan kepada akaun simpanan dan semasa.

Malah, pulangan itu juga boleh mengatasi kadar inflasi, maka penyusutan nilai duit adalah kurang.

Tetapi, kelemahan fixed deposit adalah kena tunggu tempoh matang untuk dapatkan pulangan yang dijanjikan.

Jadi, dalam menunggu tempoh matang tersebut, duit yang disimpan tidak boleh dicairkan jika diperlukan.

Selain kedua-dua pilihan di atas, kita di Malaysia, terutamanya orang Islam dan bumiputera, sangat bertuah kerana ada dua instrumen yang memenuhi ciri-ciri tempat simpan duit terbaik, iaitu akaun simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Tabung Haji vs ASB: Yang mana lebih baik?

Seperti yang saya katakan di atas, Tabung Haji dan ASB merupakan dua instrumen terbaik untuk dijadikan tempat simpan duit.

Kedua-duanya memenuhi semua kriteria yang dinyatakan di atas.

Duit disimpan dengan selamat, modal adalah dijamin, tiada risiko rugi, transaksi masuk-keluar duit mudah dilakukan sama ada secara offline di banyak tempat dan online, dan tiada kos dikenakan apabila menyimpan di Tabung Haji atau ASB.

Malah, pulangan yang diberikan kedua-dua instrumen setakat ini adalah lebih baik berbanding kadar inflasi.

Sebab itulah apabila ada orang yang bertanyakan saya di mana tempat yang baik untuk simpan duit, saya akan cadangkan kedua-dua instrumen ini.

Tetapi, ada juga yang membandingkan antara kedua-duanya; Tabung Haji vs ASB, yang mana lebih baik?

Sebenarnya, agak tidak adil untuk membandingkan antara kedua-duanya, kerana masing-masing mempunyai asas dan objektif yang berlainan.

Objektif utama Tabung Haji dibina adalah sebagai tabung simpanan untuk memudahkan rakyat Malaysia beragama Islam mengumpul duit dan menunaikan ibadat Haji.

ASB pula sebenarnya adalah instrumen pelaburan; ASB adalah dana unit amanah yang mana objektif utamanya adalah meningkatkan pegangan ekonomi dan ekuiti golongan Bumiputera.

Tetapi, oleh kerana ASB memenuhi ciri-ciri tempat simpan duit terbaik, maka instrumen ini lebih dianggap sebagai instrumen simpanan berbanding pelaburan.

Kebiasaannya, orang ramai suka membandingkan Tabung Haji dan ASB dari segi hukumnya, bayaran zakat dan juga pulangan.

Tabung Haji vs ASB: Hukum

Hukum simpanan di Tabung Haji adalah harus dan patuh-syariah.

Tabung Haji mempunyai panel penasihat syariah dan pelaburannya juga dalam pelaburan patuh-syariah sahaja, jadi penyimpan tak perlu ragu-ragu tentang status patuh-syariah Tabung Haji.

Berbeza pula dengan ASB, hukum simpanan di ASB masih lagi menimbulkan polemik sehingga kini kerana umum memang mengetahui yang ASB masih melabur dalam pelaburan yang bercampur-campur patuh-syariah dan tidak patuh syariah.

Suruhanjaya Sekuriti (Security Commisioner, SC) masih melabelkan ASB sebagai instrumen tidak patuh-syariah kerana peratus pelaburan ASB dalam pelaburan tidak patuh-syariah melebihi had yang ditetapkan oleh SC

Majlis Fatwa Kebangsaan pula menyatakan simpanan, dividen dan bonus ASB adalah harus kerana mengambil kira kemaslahatan umum.

Ada juga Majlis-majlis Fatwa Negeri yang sependapat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan seperti Johor, Perak dan Sarawak.

Malah, Majlis Fatwa Negeri Selangor pun baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa hukum ASB adalah harus (sebelum ini meletakkan hukum ASB adalah haram)

Ada juga Majlis-majlis Fatwa Negeri menetapkan hukum ASB adalah haram seperti Pulau Pinang dengan hujah-hujah yang mereka nyatakan.

Sebagai orang awam, terpulang nak ikut pendapat yang mana.

Yang penting, teliti hujah setiap pihak berwajib yang mengeluarkan hukum ASB dan buat pilihan mengikut iman dan pengetahuan sendiri.

Kalau ada yang berbeza pendapat, hormatilah pandangan dan pilihan mereka.

Tabung Haji vs ASB: Bayaran zakat

Urusan pembayaran zakat bagi simpanan dalam Tabung Haji adalah diuruskan oleh pihak Tabung Haji sendiri, jadi penyimpan tidak perlulah mengeluarkan bayaran zakat lagi.

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Berbeza dengan ASB, bayaran zakat simpanan hendaklah dikeluarkan oleh penyimpan sendiri mengikut kadar yang ditetapkan setelah cukup haul (tempoh) dan nisab (jumlah minimum)

Tabung Haji vs ASB: Agihan pendapatan/pulangan

Haa, yang inilah yang orang ramai selalu pentingkan apabila membandingkan antara Tabung Haji dan ASB.

Sebenarnya, ada beza dari segi konsep agihan pendapatan bagi Tabung Haji dan ASB.

Simpanan di Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadia’ah Yad Dhamanah, di mana penyimpan memberikan duit kepada Tabung Haji untuk disimpan, dan Tabung Haji adalah bertanggungjawab untuk menjaga duit tersebut.

Penyimpan juga memberi kebenaran kepada Tabung Haji untuk menggunakan duit tersebut sama ada untuk pelaburan, perniagaan atau sebagainya, dan hasil keuntungan (jika ada) adalah hak milik Tabung Haji.

Maka, adalah menjadi hak Tabung Haji sama ada untuk mengagihkan keuntungan tersebut kepada penyimpan atau tidak.

Namun begitu, setiap tahun, Tabung Haji sentiasa mengagihkan keuntungan tersebut dalam bentuk hibah dan bonus.

Berikut merupakan agihan pendapatan (bonus) yang diberikan Tabung Haji bagi tahun 2011-2016:

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, ASB adalah instrumen pelaburan unit amanah, maka konsep simpanan dan agihan pendapatannya adalah berbeza dengan Tabung Haji.

Penyimpan di ASB adalah pelabur, ASNB adalah pengurus dana ASB manakala Amanah Raya adalah pemegang amanah.

Oleh kerana asas ASB adalah instumen pelaburan, maka ASNB sebagai pengurus dana adalah bertanggungjawab untuk menguruskan duit pelabur dengan baik mengikut objektif dana supaya dapat menjana keuntungan dan mengagihkan pendapatan kepada pelabur.

Berikut merupakan agihan pendapatan (dividen) ASB bagi tahun 2011-2016:

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Dapat dilihat bahawa agihan pendapatan yang diberikan oleh ASB adalah lebih tinggi berbanding Tabung Haji.

Tetapi, harus diingat, pulangan Tabung Haji adalah pulangan bersih manakala pulangan ASB masih belum ditolak zakat simpanan.

Baru-baru ini, Tuan Afyan Mat Rawi ada berkongsi simulasi perbandingan antara Tabung Haji dan ASB dengan mengambil kira agihan pendapatan dan zakat simpanan.

Berikut merupakan simulasi yang ditunjukkan oleh beliau:

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Mengikut simulasi ini, dengan mengambil kira agihan pendapatan selama 5 tahun dari tahun 2012 hingga 2016, dengan jumlah simpanan awal yang sama, simpanan di Tabung Haji memberikan pulangan lebih tinggi berbanding ASB.

Kesimpulan

Kesimpulan akhir, jika ada yang tanya saya di mana mereka patut simpan duit, saya akan sarankan sama ada Tabung Haji atau ASB, atau kedua-duanya.

Rugi jika tidak memanfaatkan kedua-dua instrumen yang ada ini; kedua-duanya merupakan tempat simpan duit terbaik.

Walaupun dalam simulasi di atas ditunjukkan bahawa pulangan Tabung Haji adalah lebih baik berbanding ASB, tetapi kita tidak dapat meramal masa hadapan.

Mungkin pada masa hadapan pulangan ASB akan jauh mengatasi Tabung Haji, mungkin juga sebaliknya.

Jadi, janganlah mengambil kira aspek agihan pendapatan sahaja untuk menentukan mana yang lebih baik antara Tabung Haji vs ASB, sebaliknya lihat juga aspek-aspek lain.

Buatlah pilihan yang paling sesuai dengan objektif simpanan kita.

Itu sahaja untuk kali ini, semoga bermanfaat.

Jangan lupa kongsikan artikel ini, ya!

..

 

 

10 Sebab Digalakkan Simpan Duit Dalam Tabung Haji

simpan duit tabung hajiDalam artikel Tips Simpan Duit, saya ada menyatakan bahawa antara tempat terbaik untuk simpan duit adalah dalam akaun Tabung Haji, selain daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Walaupun ada yang beranggapan kedua-dua Tabung Haji dan ASB bukanlah instrumen simpanan, sebaliknya instrumen pelaburan, namun secara peribadi saya lebih suka untuk menganggap kedua-duanya sebagai instrumen simpanan.

Maknanya, kalau nak simpan duit seperti untuk dana kecemasan, dana rizab atau simpanan perbelanjaan (duit yang disimpan untuk dibelanjakan seperti membeli barang atau pergi melancong), boleh simpan dalam Tabung Haji atau ASB.

Manakala kalau nak melabur, boleh tumpukan kepada peluang pelaburan yang lain seperti pelaburan hartanah, pelaburan unit amanah, emas perak dan pasaran saham.

Secara peribadi, saya banyak menggunakan Tabung Haji sebagai tempat simpan duit yang utama berbanding ASB.

Antara kelebihan Tabung Haji yang menyebabkan saya menganggap Tabung Haji sebagai instrumen simpanan terbaik dan memilihnya sebagai tempat simpan duit utama adalah:

Kelebihan Tabung Haji #1 – Modal awal yang rendah

Akaun simpanan Tabung Haji hanya dibuka untuk warganegara Malaysia beragama Islam, dan boleh dibuka dengan modal serendah RM 2 sahaja.

Ya, RM 2 sahaja, bukan RM 200 atau RM 2,000

Dengan modal serendah ini, tiada alasan untuk tidak membuka akaun simpanan Tabung Haji.

Kelebihan Tabung Haji #2 – Modal simpanan dijamin

Dalam Akta Tabung Haji, dinyatakan dengan jelas bahawa konsep simpanan dalam akaun Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan)

Dalam konsep ini, pendeposit atau penyimpan memberi wang kepada Tabung Haji untuk disimpan manakala Tabung Haji sebagai penjaga (custodian) bersetuju untuk menjaga wang tersebut.

Pada masa yang sama, pendeposit memberi keizinan kepada Tabung Haji untuk menggunakan atau meminjam wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.

Hasil daripada kebenaran ini, kerajaan melalui Tabung Haji menjamin setiap ringgit wang yang diletakkan oleh pendeposit dalam akaun Tabung Haji.

Tabung simpan duit yang baik sememangnya harus memastikan modal simpanan asal terjamin, sepertimana akaun simpanan Tabung Haji ini.

Kelebihan Tabung Haji #3 – Kos yang rendah

Membuka akaun simpanan Tabung Haji adalah percuma, malah tiada yuran pengurusan tahunan pun yang dikenakan ke atas pendeposit.

Jika ada kos yang terlibat pun, hanya apabila menggunakan perkhidmatan agen-agen Tabung Haji, seperti mendepositkan wang melalui perbankan internet seperti Maybank2u atau mesin deposit wang seperti Bank Islam dan Bank Rakyat.

Kelebihan Tabung Haji #4 – Pemberian dividen & bonus kompetitif

simpan duit tabung hajiMelalui kontrak Wadi’ah Yad Dhamanah yang dinyatakan sebelum ini, Tabung Haji diberi kebenaran oleh pendeposit untuk menggunakan atau meminjam wang pendeposit bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.

Dan itulah yang telah dilakukan oleh pihak Tabung Haji bagi memastikan dananya sentiasa berkembang dan kukuh bagi kemudahan umat Islam menunaikan haji.

Segala keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan yang dibuat adalah menjadi hak milik mutlak Tabung Haji dan pengagihan keuntungan tersebut adalah atas budi bicara Tabung Haji sendiri.

Namun begitu, pihak Tabung Haji setiap tahun sentiasa berkongsi keuntungan yang diperoleh dengan para pendeposit melalui pengagihan Hibbah (hadiah) dalam bentuk dividen dan bonus.

Berikut merupakan kadar dividen dan bonus yang diberikan oleh Tabung Haji dari tahun 2011 hingga 2015:

  • 2011: dividen = 6.00%; bonus = 0.00%
  • 2012: dividen = 6.50%; bonus = 1.50%
  • 2013: dividen = 6.00%; bonus = 2.00%
  • 2014: dividen = 6.25%; bonus = 2.00%
  • 2015: dividen = 5.00%; bonus = 3.00%

Dapat dilihat bahawa kadar dividen dan bonus yang diagihkan adalah sekitar 5-6% setahun, dan ini adalah lebih baik berbanding kadar dividen yang diberikan akaun simpanan tetap bank (sekitar 4.5% setahun)

Malah lebih baik berbanding kadar inflasi di Malaysia yang mana adalah sekitar 3% setahun.

Dengan adanya agihan dividen dan bonus ini yang melebihi kadar inflasi, maka boleh dikatakan simpanan dalam Tabung Haji adalah kalis inflasi.

Ini adalah ciri yang baik untuk dijadikan tabung simpan duit.

Kelebihan Tabung Haji #5 – Dividen & bonus dikecualikan cukai

Sebarang pengagihan dividen dan bonus yang diberikan Tabung Haji kepada para pendepositnya adalah dikecualikan cukai oleh kerajaan.

Maka, pendapatan yang diperoleh tersebut dikategorikan sebagai pendapatan dikecualikan cukai, dan tidak perlu diisytiharkan dalam borang taksiran cukai pendapatan.

Kelebihan Tabung Haji #6 – Zakat dibayar pihak Tabung Haji

Apabila seseorang Muslim mempunyai jumlah simpanan yang cukup nisab (jumlah) dan haul (tempoh), maka diwajibkan ke atasnya untuk mengeluarkan zakat simpanan sebanyak 2.5% daripada jumlah simpanan tersebut.

Contohnya, jika jumlah simpanan dalam akaun bank mencapai RM 15,000 dan telah mencapai tempoh 1 tahun, maka zakat simpanan sebanyak RM 375 (2.5% x RM 15,000) perlu dikeluarkan sebagai penyucian harta.

Tetapi, jika disimpan dalam akaun simpanan Tabung Haji, pendeposit tidak perlu mengeluarkan zakat simpanan kerana telah dikeluarkan oleh pihak Tabung Haji.

Untuk keterangan lanjut, boleh baca di sini atau di sini.

Kelebihan Tabung Haji #7 – Simpanan dan pengeluaran tanpa had

Tabung Haji membenarkan pendepositnya mendepositkan seberapa banyak duit yang ingin disimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing.

Tiada had simpanan.

Begitu juga dengan pengeluaran, tiada had dari segi jumlah pengeluaran dan juga kekerapan.

Itulah ciri-ciri tempat simpan duit yang baik; mudah untuk dibuat simpanan, mudah juga untuk dicairkan jika memerlukan.

Kelebihan Tabung Haji #8 – Tadbir urus yang baik

simpan duit tabung hajiUntuk membuat keputusan pelaburan atau perniagaan membabitkan wang pendeposit, Tabung Haji mempunyai sistem tadbir urus yang baik.

Sebarang keputusan perlu mendapat kelulusan Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah, yang mana anggota kedua-dua entiti tersebut adalah daripada orang yang berbeza.

Keputusan akhir pula perlu mendapat kelulusan daripada menteri yang dipertanggungjawabkan.

Proses ini penting untuk memastikan setiap keputusan pelaburan dan perniagaan yang dibuat dilakukan secara telus.

Kelebihan Tabung Haji #9 – Patuh syariah

Tabung Haji memastikan setiap pelaburan dan perniagaan yang dibuat adalah patuh syariah.

Perkara ini dikawal oleh Panel Pelaburan dan juga Jawatankuasa Penasihat Syariah yang ditubuhkan Tabung Haji.

Maka, pendeposit tidak perlu bimbang berkenaan kesucian dan status patuh syariah Tabung Haji.

Kelebihan Tabung Haji #10 – Simpanan untuk menunaikan Haji

Tujuan utama Tabung Haji ditubuhkan adalah untuk mengendalikan dan memudahkan urusan haji pendepositnya.

Maka, bagi mereka yang menyimpan dengan Tabung Haji, selain memperoleh khidmat tempat simpan duit yang baik dan agihan pendapatan setiap tahun, mereka diberi khidmat untuk menunaikan ibadah haji.

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan menyimpan duit sehingga RM 1,300 dalam akaun Tabung Haji dan membuat pendaftaran haji.

Kemudian, tambahlah simpanan dari semasa ke semasa sehingga cukup kos haji dan tiba giliran menunaikan haji.

Penutup

Itulah sahaja beberapa kelebihan akaun simpanan Tabung Haji yang menjadikan Tabung Haji sebagai tempat simpan duit yang terbaik.

Jadi, jika anda masih belum mempunyai akaun simpanan Tabung Haji, bolehlah membukanya dengan segera.

Akaun simpanan Tabung Haji bukan sahaja boleh dibuka di kaunter-kaunter Tabung Haji, malah menerusi kaunter-kaunter di Bank Islam dan Bank Rakyat.

Sebarang urusan seperti penambahan deposit dan pengeluaran daripada akaun simpanan Tabung Haji boleh dilakukan melalui pelbagai cara, samaada menerusi kaunter (Tabung Haji, Bank Islam, Bank Rakyat), mesin ATM dan CDM (Maybank, Bank Islam, Bank Rakyat) dan juga online (Tabung Haji online eTHiJARI, Maybank2u, CIMB Clicks, Bank Islam etc)

Memang mudah untuk menggunakan akaun simpanan Tabung Haji.