Tag Archive: pengiraan zakat pendapatan

2 Kaedah Pengiraan Zakat Pendapatan di Malaysia

pengiraan zakat pendapatanPengiraan zakat pendapatan individu adalah amat penting untuk diketahui selain daripada pengiraan cukai pendapatan.

Zakat pendapatan adalah merupakan salah satu kategori dalam zakat harta selain daripada zakat emas perak, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat ternakan, zakat pertanian dan zakat galian/rikaz.

Mengeluarkan zakat adalah tuntutan ke atas orang Islam, maka bagi mereka yang cukup haul dan nisabnya, perlulah dikeluarkan zakat sebagai elemen penyucian harta.

Kategori pendapatan yang dikenakan zakat pendapatan

Zakat pendapatan dikeluarkan ke atas segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup, bersara atau mati dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya atau sebagai ahli profesional.

Untuk lebih memudahkan pemahaman, pengiraan zakat pendapatan perlulah dilakukan ke atas setiap kategori pendapatan yang berikut:

#1 Hasil penggajian dan upah tahunan

  • gaji, elaun, bonus dan tuntutan lebih masa
  • ganjaran pencen, bayaran gratuiti dan keuntungan ESOS (Skim Pilihan Saham Pekerja)

#2 Hasil kerja bebas dan profesional tahunan

  • perkhidmatan konsultansi profesional seperti doktor, peguam dan mekanik
  • komisyen dan residual income seperti jualan insuran, takaful, unit amanah, brokeraj dan seumpamanya
  • bayaran royalti dan honorarium seperti penulisan buku, penerbitan, aktiviti seni dan sebagainya
  • hasil projek bermusim seperti bayaran atau keuntungan projek yang diterima daripada kontraktor
  • hasil tunai sekali-sekala seperti hasil pembiayaan semula aset atau hasil jualan aset tetap atau pinjaman bank yang tiada tujuan dan lain-lain

#3 Hasil daripada harta yang mendatangkan pendapatan (al-Mustaghallat)

  • hasil sewaan tanah/bangunan/kenderaan/pengangkutan
  • hasil pertanian kekal seperti getah, kelapa sawit, durian dan sebagainya yang mana pokok dan tapaknya tidak dijual
  • hasil perusahaan dan ternakan seperti susu, telur, madu dan sebagainya yang mana aset tetapnya atau induk betinanya tidak dijual

#4 Hasil sumbangan atau pemberian seperti tajaan, derma dan sebagainya

Kiranya, apa-apa sahaja yang mendatangkan pendapatan selain perniagaan, perlu diambil kira untuk kiraan zakat pendapatan.

Dan hasil pendapatan bagi kategori #2 dan #3 di atas hendaklah dikira sebagai hasil bersih iaitu selepas ditolak kos-kos yang terlibat.

Manakala pendapatan yang tidak dikira untuk zakat pendapatan pula adalah tuntutan lojing, tuntuan ke luar negara, tuntutan keraian, tuntutan perbatuan dan tuntutan lain-lain (selain tuntutan kerja lebih masa)

Pendapatan daripada sumber haram dan syubhah (meragukan) seperti wang rasuah, judi, riba dan seumpamanya adalah tidak diwajibkan dikeluarkan zakat kerana tidak memenuhi syarat sumber pendapatan yang halal (mendapatkan wang daripada sumber haram adalah satu dosa)

Haul, nisab dan kadar bagi zakat pendapatan

pengiraan zakat pendapatanHaul (tempoh) bagi zakat pendapatan adalah setahun Hijrah bersamaan 354 hari manakala nisab (had) adalah bersamaan nilai 85g emas.

Nisab sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun kerana mengikut harga emas semasa, maka perlulah dirujuk kepada Majlis Agama Negeri masing-masing.

Sebagi contoh, untuk tahun 2016, nisab zakat pendapatan adalah sekitar RM 12,000 hingga RM 13,500 (bergantung kepada Majlis Agama Negeri masing-masing)

Jika dalam tempoh setahun Hijrah, jumlah pendapatan yang diperoleh (samaada pendapatan penuh atau ditolak dengan pelepasan zakat yang dibenarkan) menyamai atau melebihi nisab yang ditetapkan, maka perlulah dibuat kiraan zakat pendapatan dan keluarkan jumlah yang sepatutnya.

Kadar zakat pendapatan yang dikenakan adalah 2.5% daripada jumlah pendapatan yang layak dizakat.

Kaedah pengiraan zakat pendapatan

Terdapat 2 kaedah kiraan zakat pendapatan yang boleh dilakukan, iaitu kaedah tanpa tolakan dan dengan tolakan.

Kaedah #1 – Pengiraan zakat pendapatan tanpa tolakan

Kaedah ini adalah lebih mudah, hanya perlu mengambil kira jumlah pendapatan yang diperoleh.

Sebagai contoh, katakanlah Siti memperoleh pendapatan sebanyak RM 2,000 setiap bulan, maka jumlah pendapatan tahunan beliau adalah RM 24,000 (RM 2,000 x 12 bulan)

Maka, jumlah zakat pendapatan yang perlu dikeluarkan Siti adalah 2.5% x RM 24,000 = RM 600/tahun (RM 50/bulan)

Kaedah #2 – Pengiraan zakat pendapatan dengan tolakan

Untuk kaedah ini, pengiraan zakat pendapatan dikira ke atas jumlah pendapatan bersih selepas ditolak jumlah pelepasan zakat pendapatan (sama konsep seperti pelepasan cukai pendapatan)

Untuk makluman, jenis-jenis dan jumlah pelepasan zakat pendapatan adalah berbeza antara negeri-negeri di Malaysia, bergantung kepada ketetapan Majlis Agama Negeri masing-masing.

Antara jenis-jenis pelepasan zakat pendapatan yang dibenarkan adalah:

  • perbelanjaan asas diri sendiri
  • nafkah/perbelanjaan asas isteri
  • nafkah/perbelanjaan asas anak-anak
  • pemberian kepada ibubapa
  • caruman KWSP
  • caruman ke organisasi/koperasi/institut kewangan yang membayar zakat bagi pihak pencarum dan pendeposit seperti Tabung Haji

Untuk contoh pengiraan zakat pendapatan dengan tolakan, saya mengambil kira nisab (RM 12,335) dan pelepasan zakat pendapatan yang dibenarkan Pusat PPZ Wilayah Persekutuan (boleh lihat di sini)

Situasi: Abu berpendapatan RM 3,000 sebulan. Beliau mempunyai 1 orang isteri dan 2 anak. Setiap bulan, beliau memberikan RM 200 kepada ibubapanya, mencarum KWSP 11% (RM 330) dan menyimpan di Tabung Haji RM 200.

Oleh itu:

jumlah pendapatan tahunan = RM 3,000 x 12 = RM 36,000

jumlah pelepasan zakat pendapatan = RM 22,760 yang merangkumi perbelanjaan:

  • diri-sendiri: RM 9,000
  • isteri: 1 orang x RM 3,000 = RM 3,000
  • anak-anak: 2 orang x RM 1,000 =  RM 2,000
  • ibubapa: RM 200 x 12 bulan = RM 2,400
  • KWSP: RM 330 x 12 bulan = RM 3,960
  • Tabung Haji: RM 200 x 12 bulan = RM 2,400

jumlah pendapatan layak di zakat =  RM 36,000 – RM 22,760 = RM 13,240

jumlah zakat pendapatan = 2.5% x RM 13,240 = RM 331/tahun @ RM 27.60/bulan

Sekiranya jumlah pendapatan layak di zakat (jumlah pendapatan – jumlah pelepasan zakat) adalah kurang daripada nisab yang ditetapkan, maka pendapatan tersebut adalah tidak layak dikeluarkan zakat pendapatan.

Untuk membuat kiraan zakat pendapatan dengan lebih mudah, boleh gunakan kalkulator pengiraan zakat pendapatan yang disediakan kebanyakan portal atau laman web setiap Majlis Agama Negeri.

Contohnya, kalkulator pengiraan zakat pendapatan bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Apakah hukum zakat pendapatan?

Mengeluarkan zakat adalah salah satu rukun Islam, maka mengeluarkan zakat pendapatan (jika layak mengikut haul dan nisab) adalah wajib ke atas orang Islam.

Zakat pendapatan wajib dibayar dimana?

pengiraan zakat pendapatanSaya pernah mendengar ceramah daripada seorang ustaz yang mangatakan bahawa bagi zakat harta (zakat pendapatan adalah salah satu daripada zakat harta), lebih afdhal untuk dikeluarkan di tempat harta itu dikeluarkan atau dijana.

Misalnya, Abu berasal daripada Kelantan, tetapi bekerja di Kuala Lumpur, maka lebih baik jika zakat pendapatannya dikeluarkan dan dibayar di Kuala Lumpur.

Boleh rujuk di sini: http://muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/al-kafili-al-fatawi/812-di-mana-bayar-zakat-pendapatan

Walaubagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan atau berdosa sekiranya ingin membayar zakat di negeri asal, jika diketahui negeri asal mempunyai lebih ramai asnaf (penerima) zakat yang lebih memerlukan.

Bagaimana cara bayar zakat pendapatan?

Selepas membuat pengiraan zakat pendapatan dan memperoleh jumlah zakat yang perlu dikeluarkan, zakat tersebut boleh dibayar secara tahunan ataupun bulanan.

Zakat boleh dibayar terus kepada asnaf-asnaf yang layak jika mereka dapat ditemui dan disahkan sendiri kelayakan mereka.

Tetapi, adalah lebih baik jika dibayar melalui Majlis Agama Negeri kerana pengagihannya akan lebih adil, telus, meluas dan tepat ke penerima yang selayaknya.

Untuk pembayaran kepada Majlis Agama Negeri, kini terdapat banyak cara boleh dilakukan selain bayaran tunai seperti pengeluaran cek, perbankan internet, portal pembayaran internet seperti e-zakatpay dan potongan gaji bulanan.

Jika dibayar secara tahunan dan sekaligus, sebaik-baiknya dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana di samping mengambil semangat kelebihan bulan tersebut, adalah lebih mudah untuk ingat kewajipan mengeluarkan zakat setiap kali tibanya bulan puasa.

Jika ingin dibayar secara bulanan, boleh dilakukan pemotongan gaji dengan mengisi borang dan menghantarnya kepada majikan supaya tidak lupa.

Rebat cukai pendapatan

Selain mendapat pahala, orang yang mengeluarkan zakat pendapatan turut layak menuntut rebat cukai pendapatan ke atas jumlah yang dikeluarkan zakat.

Sebagai contoh, selepas dibuat pengiraan cukai pendapatan, didapati Abu (dalam contoh di atas) perlu membayar cukai pendapatan sebanyak RM 500.

Tetapi, oleh kerana Abu telah mengeluarkan zakat pendapatan sebanyak RM 331, maka baki cukai pendapatan yang perlu Abu bayar adalah RM 169 (RM 500 – RM 331)

Rebat ini dberikan untuk mengelakkan pembayar terbeban dengan 2 jenis pembayaran untuk ‘penyucian’ harta; cukai dan zakat.

Untuk melayakkan diri menuntut rebat cukai pendapatan seperti di atas, resit atau penyata pembayaran zakat pendapatan perlulah disimpan.

Inilah salah satu sebab lagi digalakkan mengeluarkan zakat pendapatan melalui Majlis Agama Negeri kerana penyata zakat pendapatan dapat dikeluarkan.

Untuk lebih maklumat berkenaan zakat pendapatan dan kalkulator pengiraan zakat pendapatan, bolehlah dirujuk kepada Majlis Agama Negeri masing-masing.