Tag Archive: kwsp pencen

Pengisytiharan Kadar Dividen KWSP 2016

kadar dividen KWSP 2016Semalam, pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen KWSP 2016, iaitu sebanyak 5.70% dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM 37.08 bilion.

Walaupun kadar dividen KWSP 2016 yang diumumkan adalah lebih rendah berbanding tahun 2010-2015, namun jumlah pengagihan pendapatan adalah lebih tinggi berbanding pengagihan pada 2010-2014.

Lagipun, dengan situasi ekonomi yang masih tidak menentu, kadar dividen KWSP 2016 sebanyak 5.70% adalah dianggap baik.

Berikut merupakan berita penuh berkenaan perkara ini sepertimana yang disiarkan di laman web rasmi KWSP:

KWSP Isytihar 5.70 Peratus Untuk Dividen 2016

Prestasi mampan dalam suasana pasaran tidak menentu

KUALA LUMPUR, 18 Februari 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan kelulusan Menteri Kewangan, hari ini mengisytiharkan 5.70 peratus sebagai kadar dividen KWSP 2016 dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion.

Pengerusi Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Kami amat sukacita kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.  Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.

KWSP mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM46.56 bilion pada 2016, naik 5.25 peratus berbanding RM44.23 bilion pada 2015.  Ini merupakan pendapatan pelaburan kasar tertinggi sejak penubuhan KWSP pada 1951 dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 11.10 peratus sejak 2001

Ini merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar.  Kadar dividen KWSP 2016 yang sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran.

Dalam tahun tersebut, KWSP berhadapan dengan persekitaran pelaburan yang mencabar berikutan berlakunya peristiwa yang membimbangkan seperti Brexit dan pilihanraya Presiden di Amerika Syarikat.  Sepanjang tahun 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang tidak memberangsangkan selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak, nilai matawang domestik yang lemah serta aliran keluar modal yang tinggi dari pasaran negara membangun kepada pasaran negara maju dan kepada matawang yang lebih selamat.

“Majoriti pasaran dunia mengalami penyusutan pada awal tahun 2016 sekaligus menjejaskan prestasi KWSP.  Walau bagaimanapun, kami telah menggiatkan aktiviti pengambilan untung bermula suku tahun kedua (S2 2016) agar dapat mencapai sasaran strategik kami,” kata Tan Sri Samsudin.

Dalam tahun yang dikaji, Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pendapatan sebanyak 57.68 peratus, atau RM26.85 bilion, naik 3.23 peratus berbanding RM26.01 bilion pada 2015.  Pelaburan KWSP dalam instrumen berpendapatan tetap yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf serta Pinjaman & Bon menyumbang 34.87 peratus, atau RM16.23 bilion, daripada RM46.56 bilion pendapatan pelaburan untuk tahun tersebut.  Hartanah & Infrastruktur menyumbang RM2.49 bilion pendapatan pelaburan untuk 2016 dengan pertumbuhan tahunan 46.04 peratus berbanding 2015, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang RM982.28 juta pendapatan untuk tahun tersebut.

Pada ketika prestasi bon dan pasaran ekuti tempatan mengalami penurunan, strategi diversifikasi KWSP dalam aset dan matawang global telah membenarkan pengambilan untung dari pelbagai pasaran sepanjang tahun seterusnya membantu dalam meningkatkan prestasi.  Pelaburan luar negara, yang mewakili 29 peratus dari keseluruhan aset pelaburan, menyumbang 39 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar sepanjang tahun, seterusnya menambah nilai kepada pulangan keseluruhan pelaburan KWSP.

Tan Sri Samsudin berkata, “Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, yang mempunyai hampir 33 peratus pendedahan kepada sektor perbankan, merekodkan pulangan negatif untuk tiga tahun berturut-turut dengan pulangan tahun 2016 sebanyak -3.00 peratus. Ini memberi kesan terhadap nilai pasaran aset tersenarai yang dipegang oleh KWSP memandangkan lebih 70 peratus jumlah aset pelaburan dilabur dalam pasaran domestik.  Harga minyak mentah sedunia yang jatuh sehingga USD30 setong telah menjejaskan penilaian terhadap syarikat tersenarai dalam sektor minyak dan gas.  Oleh yang demikian, sebagai dana simpanan persaraan yang berhemah, adalah perlu untuk kami merekodkan penyusutan nilai pasaran (mark-to-market) dalam penyata kewangan kami.

Selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), KWSP dikehendaki mengisytihar rosot nilai bersih sebanyak RM8.17 bilion berbanding RM3.07 bilion pada 2015 bagi mencerminkan penurunan harga ekuiti, terutama dalam sektor perbankan domestik serta minyak dan gas bagi pasaran domestik dan luar negara.

Walau bagaimanapun, aset pelaburan KWSP yang bernilai RM731.11 bilion setakat 31 Disember 2016 berbanding jumlah simpanan ahli sebanyak  RM704.27 bilion menandakan kekukuhan portfolio pelaburan KWSP.

kadar dividen KWSP 2016Setakat 31 Disember 2016, sebanyak 48.58 peratus daripada aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap dan 42.33 peratus dalam Ekuiti, manakala selebihnya 4.03 peratus dan 5.06 peratus masing-masing dalam Hartanah & Infrastruktur dan Instrumen Pasaran Wang.  Oleh itu, secara semulajadinya prestasi pelaburan KWSP adalah menjurus ke arah pulangan instrumen berpendapatan tetap.

Bagi tahun 2016, amaun pendapatan yang diagihkan sebagai dividen adalah lebih tinggi daripada amaun yang diagihkan pada 2014 walaupun kadar dividen pada 2014 adalah lebih tinggi pada 6.75 peratus. Ini berikutan jumlah pengagihan untuk setiap satu (1) peratus kadar dividen pada 2016 adalah RM6.51 bilion berbanding RM5.43 bilion pada 2014. Jumlah yang diperlukan untuk pengagihan setiap satu (1) peratus kadar dividen terus meningkat sebanyak 9.5 peratus setahun sejak 2001 selaras dengan pertumbuhan baki simpanan ahli untuk tempoh yang sama. 

“Sejak krisis kewangan global pada 2008, KWSP telah mengagihkan RM236.07 bilion dividen kepada ahlinya,” kata Tan Sri Samsudin.

Pembayaran dividen diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Sementara itu, KWSP kekal berhemah dalam perbelanjaan seperti yang dicerminkan oleh nisbah kewangan utamanya yang konsisten, termasuk kos kepada aset di bawah pengurusan sebanyak 0.25 peratus (2015: 0.26 peratus), kos kepada pendapatan kasar pada 2.56 peratus (2015: 2.68 peratus) dan kos kepada jumlah aset pada 0.16 peratus (2015: 0.17 peratus).

Mengulas tentang keadaan ekonomi pada 2017, Tan Sri Samsudin berkata ketidaktentuan pasaran akan terus menjadi kebimbangan kerana implikasi sebenar daripada Brexit dan hala tuju polisi yang jelas di bawah pentadbiran Trump masih belum terungkai.

“Strategi diversifikasi kami telah terbukti berkesan terutamanya di waktu sukar, dan kami akan terus meningkatkan pendedahan kepada pelaburan alternatif terutama dalam Hartanah dan Infrastruktur selari dengan objektif kami sebagai pelabur jangka panjang untuk memberikan pulangan yang konsisten kepada ahli.  Kelas aset ini juga bertindak sebagai instrumen lindung nilai semulajadi terhadap inflasi.”

Bermula 2017, prestasi KWSP akan dilaporkan mengikut Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi pengumuman prestasi suku tahun dan tahunan.  Sehingga 23 Disember 2016, sebanyak 635,037 ahli telah bertukar ke Simpanan Shariah, dengan penggunaan alokasi sebanyak RM59.03 bilion daripada alokasi RM100 bilion yang ditawarkan.

Ahli boleh menyemak pengkreditan dividen 2016 melalui penyata KWSP mereka bermula Ahad, 19 Februari 2017 melalui i-Akaun di laman web KWSP. Selain itu, ahli juga boleh mendapatkan penyata KWSP melalui Kiosk KWSP atau hadir ke mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.

Nota penulis:

Mungkin ramai yang kecewa dengan pengisytiharan kadar dividen KWSP 2016 yang rendah, namun inilah lumrah pelaburan pada zaman situasi gawat sebegini.

Tambahan lagi, dengan jumlah simpanan yang besar, sudah tentu sukar bagi pihak KWSP untuk mencatatkan lebih banyak pendapatan bagi memberi pengagihan pendapatan yang lebih besar.

Diharapkan, situasi akan bertambah baik dan pihak KWSP dapat mengisytiharkan kadar dividen KWSP yang lebih baik pada masa akan datang.

Oh ya, anda dah semak pendapatan yang diperoleh hasil kadar dividen KWSP 2016 ini?

Saya dah semak, mudah sahaja melalui i-Akaun.

Bagi yang masih belum ada i-Akaun, sangat disarankan untuk mendaftar akaun online ini.

kadar dividen KWSP 2016

Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik? II

skim kwsp vs skim pencenArtikel ini adalah sambungan daripada “Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik?

Dalam artikel bahagian dua ini, saya akan menyenaraikan pro dan kontra kedua-dua skim pencen dan KWSP dari sisi pandangan saya.

Harus diingat, pandangan yang saya berikan adalah berdasarkan pengetahuan dan pemahaman saya, jadi usahlah diterima bulat-bulat kesemuanya.

Cuma, ambillah sebagai sebahagian panduan untuk memilih antara skim pencen atau skim KWSP.

Pro & Kontra Skim Pencen

Jika dilihat kepada keistimewaan-keistimewaan yang diperoleh oleh golongan skim pencen, memang akan kelihatan opsyen skim pencen adalah lebih baik.

Antara kelebihan-kelebihan memilih skim pencen adalah:

1. Jaminan bekalan kewangan selepas bersara seumur hidup

Antara sebab utama ramai ingin bekerja dengan kerajaan dan memilih skim pencen adalah kerana kelebihan ini.

Selepas bersara, golongan skim pencen akan menerima pencen bulanan pada kadar tertentu, dan meningkat pada kadar 2% setiap tahun.

Jadi, mereka tidak perlu risau tentang bekalan kewangan pada usia tua nanti.

2. Jaminan bekalan kewangan kepada waris

Dengan faedah terbitan, waris golongan skim pencen akan menerima ganjaran terbitan dan bayaran pencen setiap bulan jika penerima asal meninggal dunia samaada ketika dalam perkhidmatan atau selepas bersara.

Dengan kelebihan ini, mereka tidak perlu risaukan tentang bekalan kewangan kepada waris jika ajal tiba.

3. Ganjaran sekaligus yang tinggi

Setiap penjawat awam yang berpencen sememangnya menginginkan bayaran ganjaran sekaligus (gratuiti) kerana jumlahnya yang besar, hatta bagi golongan berjawatan rendah.

Dengan ganjaran yang diterima inilah mereka tunaikan keinginan mereka seperti memulakan perniagaan, menunaikan haji, mengubahsuai rumah dan membuat pelaburan.

4. Lebih banyak ‘disposable income

Oleh kerana golongan skim pencen tidak mencarum dalam KWSP, maka mereka mempunyai lebihan pendapatan boleh guna (disposable income) sebanyak 11% berbanding golongan skim KWSP.

Dengan lebihan ini, sudah tentunya mereka boleh berbelanja lebih banyak setiap bulan.

Bagi yang cerdik dalam pengurusan kewangan, lebihan ini kebiasaannya disimpan atau dilaburkan.

Walaupun banyak kelebihan skim pencen ini, tetapi tetap ada juga beberapa kekurangannya:

1. Bekerja dengan kerajaan dalam tempoh yang lama

Untuk mendapatkan taraf pekerja berpencen, perlu disahkan jawatan terlebih dahulu yang mana mengambil masa antara 3 ke 5 tahun selepas mula berkhidmat.

Untuk menikmati semua kelebihan skim pencen pula, perlu setia bekerja dengan kerajaan sehingga tempoh bersara.

Jika bersara pilihan pun (bersara awal dengan memenuhi syarat-syarat tertentu), keistimewaan-keistimewaan hanya akan diberikan selepas mencapai umur 55 tahun (bagi lantikan selepas 1991)

Lagipun, sesorang itu perlu berkhidmat dalam tempoh yang lama jika ingin mendapatkan keistimewaan-keistimewaan pencen dalam jumlah yang signifikan.

Bagi mereka yang sukakan cabaran dan pembaharuan, bekerja dengan majikan yang sama untuk tempoh masa lama mungkin bukan sesuatu yang digemari.

2. Risiko kehilangan keistimewaan-keistimewaan skim pencen

Segala keistimewaan skim pencen bukanlah hak mutlak seseorang pekerja awam, tetapi perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk mendapatkannya.

Bahkan, ada risiko untuk hilang atau ditarik balik segala keistimewaan tersebut.

skim kwsp vs skim pencenSeseorang penjawat awam boleh hilang keistimewaan skim pencen jika berhenti kerja, dikenakan hukuman tatatertib, diberhentikan atau dibuang kerja sebelum tempoh bersara.

Seorang pesara yang sedang menikmati keistimewaan-keistimewaan skim pencen juga boleh ditarik balik jika melanggar syarat-syarat yang ditetapkan seperti dihukum atas kesalahan jenayah.

Apabila hilang keistimewaan, mungkin sukar untuk diperoleh semula.

3. Tiada pelepasan cukai untuk caruman ke dalam KWSP

Salah satu pelepasan cukai untuk cukai pendapatan adalah caruman ke dalam KWSP iaitu sebanyak RM 6000 setahun.

Bagi golongan skim pencen yang layak membayar cukai, mereka terlepas peluang pelepasan ini.

Akibatnya, mereka perlu membayar cukai yang lebih tinggi jika tiada pelepasan-pelepasan lain.

Pro & Kontra Skim KWSP

Walaupun secara kasarnya kelihatan skim pencen lebih menguntungkan dan banyak keistimewaannya, namun skim KWSP masih tetap menjadi pilihan segenlintir penjawat awam.

Kenapa? Kerana beberapa kelebihannya:

1. Tidak terikat untuk bekerja sehingga usia persaraan

Golongan skim KWSP tidak perlu berkhidmat sehingga umur persaraan kerana mereka sememangnya tidak akan menikmati keistimewaan-keistimewaan berpencen kecuali bayaran gantian cuti rehat (GCR) dan faedah perubatan.

Jadi, sekiranya mereka mendapat tawaran yang lebih baik di sektor swasta, lebih mudah untuk mereka berhenti kerja kerana tidak kehilangan apa-apa keistimewaan.

Bahkan caruman dalam KWSP masih kekal.

2. Simpanan secara paksa-rela

Memilih opsyen skim KWSP adalah salah satu teknik/cara menyimpan duit seperti yang saya kongsikan sebelum ini dalam artikel 5 Cara Menyimpan Duit Pasti Jadi

Setiap bulan, sebanyak 23% (11% daripada pekerja dan 12% daripada kerajaan) daripada gaji disimpan ke dalam akaun KWSP; satu jumlah yang besar berbanding saranan biasa sebanyak 10%.

3. Boleh dikeluarkan untuk tujuan-tujuan tertentu

Wang dalam akaun KWSP boleh dikeluarkan sebelum tempoh persaraan untuk tujuan-tujuan tertentu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Boleh rujuk di laman web KWSP untuk jenis-jenis pengeluaran yang boleh dibuat.

Antara jenis pengeluaran yang boleh menguntungkan ahli adalah pengeluaran pelaburan ahli, mengurang/menyelesaikan baki pinjaman perumahan, membina/membeli rumah dan ansuran bulanan pinjaman perumahan.

Jika pandai manipulasi dan kena caranya, bukan sahaja boleh menambahkan tabung persaraan, bahkan dapat menjimatkan banyak wang terutama dalam membayar pembiayaan/pinjaman rumah.

4. Pemantauan lebih mudah

KWSP menyediakan portal i-Akaun untuk memudahkan pencarum melihat penyata jumlah wang yang terkumpul dalam akaun masing-masing secara online dengan mudah.

Bagi sesetengah orang, mengetahui jumlah wang yang ada secara real-time amatlah penting lebih-lebih lagi jika ingin merancang pengurusan kewangan dengan baik.

Berbeza dengan skim pencen, jika ingin mengetahui jumlah ganjaran atau pencen bulanan yang bakal diperoleh, kira-kira perlu dibuat terlebih dahulu.

5. Pelepasan cukai pendapatan

Seperti yang dinyatakan di atas, golongan skim KWSP layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM 6000 setahun ke atas caruman yang dibuat.

Jom kita lihat kekurangan-kekurangan skim KWSP pula:

1. Tidak patuh syariah

Sehingga artikel ini ditulis, akaun KWSP masih dianggap tidak patuh-syariah kerana pelaburannya yang bercampur-campur.

Namun, KWSP merancang untuk menyediakan dana patuh syariah kepada pencarumnya kelak (Boleh baca di sini)

Berkenaan dengan hukum dividen KWSP, boleh rujuk artikel ini: Hukum Dividen KWSP

2. Ketidaktentuan punca pendapatan selepas bersara

skim kwsp vs skim pencenSelepas bersara, golongan skim KWSP tidak mendapat ganjaran sekaligus dan pencen bulanan.

Oleh itu, mereka hanya bergantung kepada jumlah wang dalam akaun KWSP dan juga simpanan-simpanan atau pelaburan-pelaburan lain yang ada.

Menurut kajian, didapati kebanyakan pencarum KWSP menghabiskan wang mereka dalam masa 3 ke 5 tahun sahaja selepas bersara.

Walhal jangka hayat purata rakyat Malaysia adalah sekitar umur 70 ke 80 tahun, jadi sepatutnya duit tersebut biarlah bertahan sehingga 10 ke 20 tahun selepas bersara.

Jadi, jika tidak dibuat persediaan awal, golongan skim KWSP mungkin menghadapi penderitaan kewangan selepas bersara.

3. Tiada jaminan untuk waris

Jika terjadi kematian kepada golongan skim KWSP, waris mereka tidak akan mendapat keistimewaan sepertimana golongan skim pencen.

Hanya jumlah dalam akaun KWSP sahaja yang tersedia.

Itupun perlu melalui prosedur-prosedur tertentu sebelum diperoleh waris.

4. Gaji bersih yang kurang

Oleh kerana sebahagian gaji kasar (gaji pokok + elaun) ditolak untuk caruman KWSP, maka golongan skim KWSP mempunyai gaji bersih (gaji kasar – potongan) yang kurang berbanding golongan skim pencen.

Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan jumlah wang boleh guna, malah mungkin menjejaskan peluang untuk mendapatkan pembiayaan/pinjaman daripada bank-bank.

Ini kerana sesetengah bank melihat jumlah gaji bersih untuk dikira kelayakan meminjam.

Tambahan lagi, pekerja kerajaan hanya dibenarkan mempunyai potongan maksimum 60% sahaja daripada gaji kasar pada slip gaji.

Oleh kerana telah mempunyai 11% potongan untuk KWSP, maka hanya sejumlah 49% sahaja lagi dibenarkan untuk potongan samaada untuk pembiayaan/pinjaman rumah, loan ASB ataupun pembiayaan/pinjaman peribadi.

KWSP atau Pencen?

Jadi, setelah menilai kelebihan dan kekurangan kedua-dua skim pencen dan KWSP, seharusnya sudah boleh membuat pilihan yang sesuai untuk diri-sendiri.

Secara mudahnya, skim pencen menawarkan jaminan, manakala skim KWSP menawarkan fleksibiliti.

Untuk lebih mudah lagi, jika merancang untuk bekerja dengan kerajaan sehingga bersara, pilihlah skim pencen.

Tetapi, jika nanti merancang untuk mencuba di sektor swasta atau berniaga sendiri, maka pilihlah skim KWSP.

Sesudah buat pilihan nanti, rancanglah pengurusan kewangan peribadi dengan sebaik-baiknya.

Kedua-dua skim KWSP dan pencen mempunyai kelebihan dan kekurangannya, jadi usahlah gusar untuk membuat pilihan yang terbaik.

Nota tambahan – Untuk rujukan lebih lanjut, boleh rujuk ke:

Skim pencen: http://www.jpapencen.gov.my/

Skim KWSP: http://www.kwsp.gov.my/portal/ms/web/kwsp/home

Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik?

skim kwsp vs skim pencenBagi penjawat awam yang baru dilantik, mereka pada mulanya akan diletakkan di bawah skim KWSP yang mana sebahagian gaji (11%) akan dipotong ke akaun KWSP berserta tambahan caruman (12 @ 13%) daripada majikan.

Apabila disahkan perkhidmatan (kebiasaannya dalam masa 3 tahun selepas pengesahan lantikan), mereka perlu memilih samaada ingin kekal dalam skim KSWP atau berpindah ke skim pencen.

Dan pilihan yang dibuat nanti adalah mandatori dan tidak boleh diubah (setakat artikel ini ditulis, masih mandatori)

Jadi, memang menjadi dilema samaada nak memilih skim KWSP atau skim pencen.

Sebagai penjawat awam, dilema inilah juga yang saya alami dulu.

Hakikatnya, kedua-dua skim ada kebaikan dan keburukannya.

Membuat pilihan yang tepat boleh mempengaruhi gaya pengurusan kewangan nanti.

Jadi, membuat pilihan terbaik yang paling sesuai dengan diri kita adalah sangat penting.

Skim KWSP vs Skim Pencen

Secara asasnya, perbandingan atau perbezaan antara skim KWSP dan skim pencen adalah seperti yang berikut:

1. Asas perundangan

Skim KWSP tertakluk kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 (Akta 452).

Manakala skim pencen pula tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227), Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) dan Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

Jika ada masa, cubalah cari akta-akta ini, baca dan hadamkan untuk lebih memahami kedua-duanya.

2. Skim caruman

Jumlah caruman ke akaun KWSP bagi kedua-dua skim KWSP dan pencen adalah sama, iaitu atas kadar 12% emolumen (gaji dan imbuhan tetap) oleh Kerajaan (13% bagi mereka yang berpendapatan kurang RM 5000) dan 11% oleh penjawat awam sendiri.

Bezanya, caruman ini akan diteruskan sepanjang perkhidmatan bagi mereka yang memilih skim KWSP manakala bagi mereka yang memilih skim pencen, caruman akan dihentikan selepas pengesahan status skim pencen diberikan.

Selepas caruman dihentikan, golongan skim pencen dibenarkan mengeluarkan sebahagian duit dalam akaun KWSP mengikut perkiraan dan syarat-syarat yang ditetapkan.

3. Pemberian taraf berpencen

skim kwsp vs skim pencenUntuk skim KWSP, tiada konsep taraf berpencen.

Pemberian taraf berpencen adalah eksklusif untuk mereka yang memilih skim pencen setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Dengan taraf berpencen ini, golongan skim pencen layak untuk menerima faedah persaraan dan faedah terbitan dengan syarat-syarat tertentu.

4. Faedah persaraan/faedah terbitan

Faedah persaraan dan faedah terbitan adalah keistimewaan utama yang menyebabkan ramai pekerja kerajaan memilih skim pencen.

Faedah persaraan melibatkan bayaran gantian cuti rehat (GCR), ganjaran sekaligus (gratuiti) dan pencen bulanan mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Faedah terbitan pula adalah bayaran-bayaran yang diberikan kepada waris (balu/duda, anak dan ibu/bapa) jika penerima pencen asal meninggal dunia, samaada semasa dalam perkhidmatan ataupun setelah berpencen.

Golongan skim pencen juga menerima keistimewaan pemberian tambahan pencen hilang upaya, pencen tanggungan dan elaun tanggungan mengikut situasi-situasi tertentu.

Lebih istimewa lagi, bayaran pencen bulanan, pencen terbitan, pencen hilang upaya dan pencen tanggungan akan diselaraskan jika berlaku semakan atau pelarasan gaji sektor awam secara umum.

Untuk skim KWSP pula, tiada keistimewaan-keistimewaan ini walaupun bekerja sehingga tamat tempoh bersara wajib.

Golongan skim KWSP hanya akan menerima GCR (dengan syarat bekerja sehingga tamat tempoh bersara wajib) dan jumlah caruman dalam akaun KWSP berserta dividen-dividennya.

5. Faedah perubatan

Sebelum ini, faedah perubatan hanya diberikan kepada golongan skim berpencen.

Tetapi selepas pengumuman kerajaan pada Mac 2011, kedua-dua golongan skim berpencen dan skim KWSP layak menerima faedah perubatan dengan syarat-syarat tertentu.

Faedah perubatan membolehkan pesara dan tanggungan mereka menerima kemudahan rawatan perubatan secara percuma di hospital dan klinik kerajaan.

6. Pinjaman/pembiayaan rumah kerajaan

Semasa tempoh perkhidmatan, kedua-dua golongan skim KWSP dan skim pencen layak menerima keistimewaan pinjaman/pembiayaan rumah dari kerajaan (dikendalikan Bahagian Pinjaman Perumahan, BPP atau sekarang dikenali sebagai Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, LPPSA)

Bezanya, tempoh pembiayaan/pinjaman untuk golongan skim KWSP terhad sehingga tempoh bersara wajib/pilihan sahaja.

Jika masih ada baki pun, bayaran penuh akan dipotong dari akaun KWSP penjawat awam terlibat.

Sebagai contoh, jika mula memohon pembiayaan pada umur 35 tahun, tempoh maksimum pembiayaan yang dibenarkan adalah sehingga umur bersara wajib sahaja iaitu 60 tahun (tempoh pembiayaan 25 tahun berbanding maksimum 35 tahun)

skim kwsp vs skim pencenAkibatnya, disebabkan tempoh pembiayaan yang dihadkan, bayaran ansuran bulanan akan menjadi lebih tinggi.

Oleh kerana itu, golongan skim KWSP perlu membuat pembiayaan/pinjaman perumahan kerajaan seawal mungkin jika ingin memohon pembiayaan/pinjaman perumahan kerajaan dalam tempoh yang lama.

Berbeza untuk golongan skim pencen, tempoh pembiayaan/pinjaman boleh dilanjutkan sehingga tempoh maksimum (35 tahun) walaupun melepasi tempoh bersara.

Bayaran baki pembiayaan/pinjaman tersebut boleh diselesaikan menggunakan bayaran ganjaran sekaligus ataupun pencen bulanan.

Dengan keistimewaan ini, golongan skim pencen boleh mengurangkan bayaran ansuran bulanan kerana tempoh pembiayaan boleh dipanjangkan semaksimumnya.

7. Tamat perkhidmatan tanpa bersara

Tamat perkhidmatan tanpa bersara melibatkan pemberhentian kerja sukarela ataupun dibuang kerja kerana tindakan tatatertib yang mana berlaku sebelum tempoh bersara wajib/pilihan.

Jika hal ini terjadi kepada golongan skim KWSP, mereka tidak terjejas apa-apa kerana segala caruman samaada dari kerajaan atau sendiri berserta dividennya masih kekal dalam akaun KWSP masing-masing.

Cumanya mereka akan hilang keistimewaan faedah perubatan.

Tetapi, bagi golongan skim pencen, mereka akan terjejas kerana segala keistimewaan faedah pencen, faedah terbitan dan faedah perubatan tidak akan diterima.

Mereka hanya akan menerima baki caruman (kerajaan dan pekerja) dalam akaun KWSP yang diberikan sebelum disahkan taraf berpencen.

Artikel ini bersambung di “Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik? II”