Tag Archive: cara jimat elektrik

Cara Jimat Belanja Supaya Boleh Simpan Duit Lebih

cara jimat belanjaWalaupun dah siap-siap asingkan duit untuk simpanan sebelum dibelanjakan, masih digalakkkan supaya sentiasa amalkan cara jimat belanja yang betul supaya boleh simpan duit dengan lebih banyak.

Maksudnya, di samping amalkan konsep (pendapatan – simpanan = perbelanjaan), pada masa sama turut amalkan konsep (baki pendapatan – perbelanjaan = simpanan)

Apabila dapat gaji, asingkan siap-siap untuk simpanan, perbelanjaan, perlindungan, pelaburan dan penyucian.

Duit yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pula, gunakan dengan cermat agar tidak berlebih-lebihan.

Jika duit perbelanjaan ada lebih, boleh ditambah ke dalam tabung simpanan supaya simpanan dapat bertambah dengan lebih cepat.

Bagaimana nak pastikan duit perbelanjaan ada lebihan?

Di sinilah pentingnya mengamalkan cara jimat belanja yang betul.

Lebih-lebih lagi pada masa sekarang, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang tinggi, memang sangat digalakkan untuk berjimat-cermat dalam perbelanjaan dan memperbanyakkan simpanan.

Baru-baru ini saya ada terbaca satu artikel di sebuah blog yang menyenaraikan beberapa cara jimat belanja yang boleh dilakukan untuk kurangkan perbelanjaan supaya dapat simpan duit lebih.

Klik di sini untuk lihat artikel asal: http://tipsjimatcermat.blogspot.my/

Jom kita teliti satu persatu cara jimat belanja yang disenaraikan dalam artikel tersebut.

Cara jimat belanja bil elektrik

#1 Tutup dan cabut soket peralatan elektrik yang tidak digunakan seperti TV, Modem Internet Streamyx atau Unifi, komputer, laptop. Jimat 10%

#2 Tutup lampu atau kipas di ruang yang tidak digunakan atau tidak diperlukan. Dapat jimat sehingga 2%.

#3 Untuk peralatan yang sensitif dan mahal seperti laptop, komputer atau TV, digalakkan untuk guna Surge Protector untuk lindungi peralatan tersebut daripada kilat. Dapat elakkan daripada beli peralatan baru.

#4 Beli peralatan elektrik jenis jimat tenaga (5-star efficiency). Jom survey online di Lazada atau Senheng, tak payah susah-susah pergi satu-satu nak survey. Jimat sehingga 10%.

Jumlah penjimatan bil elektrik (umum) = 22% penjimatan

Cara jimat belanja penggunaan aircond (pendingin hawa)

#5 Beli aircond yang ada teknologi inverter. Boleh survey di Lazada. Jimat 5%.

#6 Set suhu kepada 24 °C. Jimat 5%.

#7 Sebelum tidur, tetapkan ‘timer’ ikut kesesuaian dan ‘on’ kipas. Jimat 10%.

Jumlah penjimatan bil elektrik (aircond) = 20%

Jumlah penjimatan bil elektrik (umum)  = 22%

Oleh itu, total penjimatan bil elektrik = 42%

Andaikan bil elektrik setiap bulan sekarang = RM 200

Maka, bil selepas penjimatan 42% = RM 116!

Cara jimat belanja bil air

#8 Tutup shower atau paip semasa tengah sabun atau gosok gigi. Tak perlu biarkan air mengalir begitu sahaja. Jimat 5%.

#9 Baiki paip atau tangki bocor sebab air bertitik-titik dah boleh jadi berbaldi-baldi. Jimat 10%.

#10 Isi botol minuman 1.5L dan letak dalam tangki flush toilet. Anda tak perlu guna satu tangki untuk flush sisa anda. Jimat 10%.

Jumlah penjimatan bil air = 25% jimat

Anggaran bil air bulanan sekarang = RM 100

Maka, bil selepas penjimatan = RM 75!

Cara jimat belanja penggunaan telefon

cara jimat belanja#11 Check balik penggunaan anda setiap bulan. Buat kiraan ikut kategori; Call, SMS dan Data. Adakah anda membayar servis-servis berlebihan yang anda tak perlukan?

#12 Postpaid atau prepaid? Pilih ikut penggunaan anda setiap bulan. Anda tak perlu bayar sesuatu yang anda tak perlukan.

#13 Anda nak jimat penggunaan kredit/bil telefon anda? Pastikan sentiasa guna aplikasi percuma seperti Whatsap. Nak jimat SMS/Call – guna Whatsapp. Nak jimat data, pilih ‘disable auto download media’ pada Whatsapp, kurangkan streaming video di handphone dan gunakan wifi percuma atau Unifi sahaja.

#14 Adakah anda memang perlu pakai handphone berjenama mahal seperti iPhone atau Samsung? Beli mahal-mahal, tapi last-last anda guna aplikasi yang basic juga. Sekadar untuk call, Whatsapp, guna internet, lebih baik guna handphone yang tak terlalu mahal.

#15 Data plan yang anda ada tak cukup walaupun dah ambil data plan 20GB? 30GB? Saya tak recommend pakai data di phone. Kalau setakat pakai data banyak untuk stream video, apa kata anda ambil unlimited data Unifi?

#16 Handphone yang saya guna sekarang dah lebih daripada 3 tahun. Kebanyakan orang tak sampai setahun, handphone dah rosak dan pecah skrin.

Rahsia saya ialah saya gunakan casing handphone bertutup penuh. Memang leceh nak buka, tapi berbaloi sebab saya tak perlu tanggung risiko handphone rosak setiap tahun. Boleh tengok case atau casing yang ada di Lazada.

#17 Elakkan call atau SMS, sebab anda akan dicaj apabila menggunakannya. Sebaliknya, gunakanlah Whatsapp atau Telegram. Atau apa-apa sahaja aplikasi percuma.

Cara jimat belanja shopping (beli-belah)

#18 Rancang awal harga barang-barang sehari sebelum pergi membeli-belah. Boleh guna Smart Shopper untuk semak sama ada terdapat special offer atau tidak untuk item tertentu.

#19 Apabila dah tahu apa yang nak beli, buat list barang untuk dibeli. Ikut sepenuhnya list itu. Hiraukan apa-apa promosi dan jangan beli apa-apa yang bukan ada dalam list.

#20 Makan dahulu sampai kenyang sebelum pergi shopping. Kita cenderung membeli lebih banyak kalau perut kita lapar.

#21 Pastikan perasaan kita tidak negative seperti sedang stress, marah, atau sedih ketika membeli belah. Selalunya apabila kita stress, marah atau sedih, kita cenderung membeli-belah dengan banyak dan ikut nafsu untuk lepaskan emosi.

#22 Kalau shopping list pendek, cukup ambil bakul sahaja untuk elakkan terambil banyak barang.

#23 Amalkan Teknik 30 Hari untuk item yang mahal seperti TV, handphone, perabot, laptop. Teknik ini adalah dengan menahan diri membeli sesuatu item selama 30 hari. Sekiranya dalam tempohi 30 hari anda dah lupa tentang item yang anda nak beli, maksudnya anda tak perlukan item itu. Teknik ini sangat power dan mampu menjimatkan banyak duit anda.

#24 Amalkan Teknik 30 Saat. Sama seperti teknik Teknik 30 Hari, cumanya teknik ini lebih sesuai apabila nampak sesuatu ketika membeli-belah di supermarket. Selepas 30 saat selepas anda pergi ke seksyen lain dalam supermarket, sekiranya anda dah lupa bermaksudnya anda tidak perlukan item itu. “Jimat RM10x52 minggu = RM520 setahun”.

#25 Sekali-sekala, cuba survey baju di tempat yang murah, berpatutan tapi berkualiti tinggi. Ini beberapa tempat yang saya syorkan. Berkualiti tinggi tetapi murah dan berpatutan.

Saya jimat banyak apabila membeli di tempat-tempat begini. Saya sudah jarang membeli-belah di shopping mall sebab pakaian di sana sama bagus kualitinya dengan jenama-jenama mahal.

  • Pakaian: Brands Outlet, Padini, FOS, Tesco, AEONBIG, dan GIANT
  • Kasut, selipar: Bata
  • Tudung & pakaian wanita: Masjid Jamek, PKNS Bangi, Pasar pagi Ahad di Stadium Shah Alam

#26 Suruh suami pergi beli barang dapur sebab selalunya orang lelaki jarang merayau-rayau. Mereka selalunya akan beli semua dalam list dan terus balik.

Jimat RM 5 x 52 minggu = RM 260 setahun

#27 Tunggu sehingga ada jualan murah untuk beli barang-barang yang agak mahal seperti TV, mesin basuh, aircond, dapur. Saya pernah membeli Aircond 1HP Inverter RM 1,200 sahaja termasuk pemasangan.

Harga pasaran sewaktu itu RM1,600 termasuk pemasangan. Jimat RM 400!  Semua item boleh tunggu sehingga jualan murah kerana produk-produk model lama akan dijual dengan harga lebih murah untuk clearance.

Cuma ada satu sahaja yang tidak boleh ditangguhkan. Pembelian rumah sebab rumah tidak akan pernah turun dan tidak akan ada promosi untuk harga rumah.

#28 Tak mahu bayar 20 sen untuk plastik bagi mereka di Selangor? Senang sahaja, letakkan beberapa beg dalam kereta. Tidak perlu malu kerana sudah ramai membawa beg sendiri apabila membeli belah.

Katakan anda ke supermarket 2 kali seminggu, anda sudah menghabiskan lebih RM 20 setahun. Jimat RM 20 setahun.

#29 Cuba survey Mudah.my apabila anda ada keperluan nak beli sesuatu. Kadangkala ada 2nd hand item yang masih lagi elok dan dijual dengan harga yang murah.

#30 Daftar dengan program loyalty seperti Bonuslink, Petronas Mesra, Tesco Clubcard, Watson, dan lain-lain. Pastikan anda daftar program-program yang anda rasa anda guna sahaja.

Contohnya, kalau supermarket yang dekat ialah Tesco, dan anda selalu membeli belah di sana, tak perlulah anda daftar kad AEON.  Daftarlah Tesco Clubcard.

Diingatkan ada program yang percuma, ada yang berbayar sekali seumur hidup, dan ada yang berbayar tahunan. Kalau anda sering membeli di situ, tak salah untuk bayar sedikit. Daripada pengalaman saya, setahun point yang terkumpul lebih banyak nilainya dari bayaran yang dkenakan (kalau bagi program berbayar).

Cara jimat belanja makan & minum

cara jimat belanja#31 Cuba bawa bekal ke pejabat. Elakkan makan di luar supaya kebanyakan masa kita adalah di pejabat. Jadi, dengan bawa bekal, kita bukan sahaja boleh jimat belanja makan dan minum, malah jimat minyak kenderaan sebab tak keluar pergi makan.

#32 Hadkan satu atau dua lauk sahaja setiap hidangan. Contohnya, lauk ayam dan satu jenis sayur sahaja. Atau lauk ikan dan satu jenis sayur sahaja.

#33 Hadkan kekerapan membeli makanan di restoran segera atau restoran mahal. Cuba sekali seminggu, seterusnya 2 kali seminggu, dan akhirnya sebulan sekali. Anda akan rasa nikmat makan di sana kalau-kalau jarang pergi (macam mengidam lama la).

#34 Kalau makan di luar, elakkan order air manis atau berperisa. Order air kosong sahaja. Teh O Ais RM 1. RM 1 x 365 hari = RM 365 Jimat!

#35 Berhenti minum kopi jenama mahal (contohnya Sta*buck*). Tak perlu stailo nak menunjuk pada orang yang kita ini minum air kopi mahal.

Selalunya minum kopi mahal ini nak menunjuk sahaja sebab kadang-kadang air kopi dah habis pun masih ke sana sini dengan gelas kosong tu. Satu kopi dah RM 20. RM 20 X 10 hari X 12 bulan = jimat RM 2,400!

Cara jimat belanja hiburan & riadah

#36 Adakah anda rasa anda perlu langgan rancangan TV seperti Astro/Netflix/IFLIX? Cuba kira berapa kali anda tengok rancangan TV?

  • Hari kerja – Selepas solat isyak. Pukul 8.30pm – 10pm. (1.5 jam sahaja).
  • Hari Sabtu – Tolak solat, tolak makan, tolak riadah (9am – 1pm, 2pm – 5pm, 8pm – 1am) = 12 jam sahaja.
  • Hari Ahad – Tolak solat, tolak makan, tolak riadah (9am – 1pm, 2pm – 5pm, 8pm – 10pm) = 9 jam sahaja.

Seminggu anda cuma ada 22.5 jam sahaja untuk rancangan TV. Sebulan anda cuma ada 90 jam sahaja untuk rancangan TV bersamaan dengan 3.75 hari sahaja.

Mengikut kiraan di atas, mari kita lihat berapa cas langganan sebulan dan nilai harian yang anda dapat untuk servis hiburan ini.

Astro (Pek Melayu) – RM 56.08 (RM 14.90 sehari)
Astro (Superpek Sukan) – RM 154.76 (RM 41.30 sehari)
Netflix – RM 33 (RM 8.80 sehari)
iFlix – RM 10 (RM 2.66 sehari)

Jadi, anda rasa anda boleh jimat lagi? Nak tonton TV secara free?

#37 Pilih siaran TV percuma (TV1, TV2, TV3, TV9, NTV7, 8TV, Al-Hijrah)

Analog – Boleh pakai aerial
Digital HD Kualiti – Boleh digunakan oleh TV yang ada DVB-T2.

#38 Boleh tengok cerita di Tonton.com.my – Percuma sahaja, hanya perlu daftar dan login.

#39 Astro On The Go – Cuba tanya kawan-kawan yang ada Astro, dan pinjam atau sewa murah-murah untuk guna akaun Astro mereka. Satu akaun Astro On The Go boleh digunakan maksimum pada dua device. Jimat, kan.

#40 Android Box – Boleh install KODI & beberapa app untuk tengok rancangan TV local & international. Boleh Google cari apa app nak install. Yang penting, perlu ada UNLIMITED DATA UNIFI.

#41 Terakhirnya, anda boleh tengok pelbagai rancangan TV Melayu dan English di internet terus. Cuma kena pandai cari website. Tengok di Youtube pun boleh.

#42 Jadi, adakah anda rasa anda perlu bayar untuk tengok rancangan TV selama 3.75 hari sahaja dari 30 hari sebulan? Jom tengok berapa anda boleh jimat setahun kalau anda batalkan servis-servis ini:

  • Astro (Pek Melayu) – Jimat RM 672.96!
  • Astro (Superpek Sukan) – Jimat RM 1,857.12!
  • Netflix – Jimat RM 396!
  • iFlix – Jimat RM 120!

#43 Adakah anda perlu keluar tonton wayang setiap minggu? Anda boleh cuba alternatif di atas. Tiket wayang – RM 15. RM 15 x 4 kali seminggu x 12 bulan = Jimat RM 720!

#44 Elakkan pergi ke gym yang mengenakan bayaran keahlian bulanan kalau anda pergi hanya sekali dua sahaja seminggu. Lebih baik pilih gym yang caj per entry.

#45 Cuba elakkan diri untuk release stress di shopping mall atau tempat-tempat berpotensi habis duit seperti Uptown dan pasar malam.

Sebaliknya pilih untuk ke taman tasik, masjid, perpustakaan, memancing. Cuba pilih hobi atau venue baru yang tidak perlukan kos yang tinggi atau zero kos.

#46 Batalkan langganan atau jangan beli suratkhabar atau majalah. Sebaliknya, baca sahaja secara online. Ada banyak website dan app yang anda boleh gunakan dan anda boleh pilih niche berita atau artikel yang anda minat.

  • Berita/News: Agenda Daily, The Star, Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia, Astro Awani, mStar.
  • Kewangan: The Edge, Compare Hero, iMoney, Ringgit Oh Ringgit, Ringgit Plus
  • Property: PropertyGuru News, Star Property, The Edge Property
  • Tarikh-tarikh penting & pengumuman: My Sumber, Panduan Malaysia
  • Mobile & Technology: Soya Cincau, Amanz
  • Gosip & trending terkini: Kita perlu juga JIMAT MASA dan tidak perlu ambil tahu tentang gosip tetapi perlu tambah ilmu kita dalam kewangan dan isu semasa.

Cara jimat belanja bayaran pinjaman/pembiayaan bank & bil-bil lain

cara jimat belanja#47 Bayar pinjaman atau bil kad kredit sebelum due date untuk elakkan interest. Ada 2 kesan membayar lambat atau skip bayaran:

  • Late interest charge (kebanyakan kes RM30 sekali lambat, ini average)
  • Interest boleh berubah sekiranya sering skip bayaran. Kesannya, tempoh pinjaman menjadi lebih lama daripada sepatutnya (dari 3% naik 4% naik 5% dan seterusnya)

#48 Gunakan perbankan online untuk elakkan daripada terlupa atau tak sempat nak bayar hutang dan bil. Anda boleh bayar pinjaman ke bank lain walaupun sistem online yang anda guna bukan bank yang sama. Cuba tanya bank anda bagaimana nak buat bayaran online.

#49 Tutup mana-mana akaun bank yang anda jarang pakai. Setiap bank selalunya akan kenakan cas tahunan RM 12 untuk servis kad ATM/debit.

#50 Kalau anda memang dah tak nak pakai kad kredit dan mohon pinjaman lain, anda boleh selesaikan tunggakan kad kredit dan pinjaman sedia ada dengan satukan kesemuanya dalam satu pinjaman. Lebih mudah untuk diurus.

#51 Semak bil-bil bulanan anda. Kemungkinan ada caj-caj yang anda tidak sepatutnya bayar. Saya pernah dengar ada satu kes seorang pengguna telco di caj tambahan sehingga RM300 setiap bulan untuk servis yang dia tidak guna!

#52 Anda belum ada simpanan pendidikan untuk anak-anak masuk ke universiti atau kolej? Jangan risau, mulakan secepat mungkin. Boleh daftar dengan SSPN-i.

Cara jimat belanja beli rokok

#53 Ini adalah kunci paling utama untuk jimatkan duit anda.

Sekotak rokok: RM 12 (tahan 2 hari sahaja)
Sebulan: RM 180
Setahun: RM 2,160 jimat!

Cara jimat belanja bayar ansuran rumah sendiri/sewa

#54 Anda duduk rumah sewa? Ukur jarak dari tempat tinggal anda sekarang dengan tempat kerja? Jauh atau tidak? Berapa anda sewa sekarang? Adakah anda akan lebih jimat kalau beli rumah sendiri?

Contohnya, apartment.

Anda sewa: RM800 sebulan
Harga pasaran apartment sekarang: RM 150,000

Berapa installment kalau beli apartment itu?
Cara kiraan kasar 100k = RM 500 bulanan, 200k = RM 1,000 bulanan, 300k = RM 1,500 bulanan

Jadi, untuk apartment RM 150k = RM 750 sebulan
Anda dah jimat RM 50!

Mungkin anda rasa tak banyak RM50 sebulan tetapi anda juga perlu tahu kebanyakan tuan rumah selalunya akan menaikkan kadar sewa setiap 2 tahun atau kemungkinan menjual rumahnya kepada orang lain.

Anda mungkin tak akan dapat kadar sama kalau berpindah di unit yang baru kerana owner akan kenakan penyewa baru dengan kadar sewa semasa.

Tetapi, soal membeli rumah bukan senang kerana anda perlu menyediakan duit 10% untuk deposit, 3% untuk lawyer dan stamp duty, dan 2%-3% untuk perjanjian bank dan insurans/takaful

Dalam kes di atas, anda perlu menyediakan dalam 16% = RM 24k

Cara yang saya boleh cadangkan, buat muka tebal, dan menumpang selama 2 tahun di rumah keluarga atau saudara mara berdekatan tempat kerja anda secara percuma. Beritahu masalah anda dan sponsor sedikit duit dapur atau bil elektrik atau air.

2 tahun sekejap sahaja, anda cuma perlu tahan dalam tempoh waktu itu sahaja.

Anda boleh jimat RM 800 sebulan = RM 800 x 24 = RM 19.2k

Jadi, anda cuma kurang dalam 5k sahaja yang saya pasti dengan anda berjimat kategori lain, anda boleh dapatkan 5k itu.

#55 Anda duduk rumah sendiri? Rasa installment rumah membebankan?

Anda rasa terbeban nak bayar installment tinggi setiap bulan? Contohnya RM800 sebulan

Anda sebenarnya tidak perlu gunakan duit gaji anda pun untuk membayar ansuran bulanan rumah. Sekiranya anda check duit KWSP Akaun 2 anda masuk RM 300 sebulan, anda boleh gunakan duit yang tersebut untuk membayar installment bulanan anda. Boleh check di sini.

Jadi, anda cuma perlu guna duit RM 500 sahaja sebulan berbanding RM 800.

#56 Anda juga boleh gunakan duit KWSP untuk membeli rumah tanpa menumpang rumah keluarga atau saudara mara.

Pastikan anda sudah tahu berapa harga pasaran rumah yang ada rancang nak beli. Semak berapa duit dalam KWSP Akaun 2 yang anda ada.

Kalau cukup 16% yang diperlukan untuk membeli rumah, cuba semak dengan ibubapa, atau keluarga yang ada sejumlah duit itu untuk pinjam sementara. Berikan statement KWSP anda sebagai bukti anda mampu membayar balik duit mereka.

Andai kata duit dalam KWSP belum mencukupi, anda boleh check DI SINI untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana untuk menyelesaikannya.

Cara jimat belanja kereta

#57 Rancang perjalanan anda, elakkan pandu kereta dalam kesesakan sekiranya tidak perlu.

#58 Pastikan angin tayar optimum. Buat balancing dan allignment berjadual.

#59 Elakkan isi penuh untuk kurangkan beban kereta, dan kurangkan beban dalam kereta.

#60 Pandu dengan kelajuan rata (tidak pecut) untuk jimatkan minyak.

#61 Tutup enjin sekiranya berhenti lama & tutup aircond sekiranya cuaca tidak panas.

#62 Sekiranya kereta anda kereta dah berusia, perlukan banyak penggantian alat ganti dan selalu breakdown, itu petanda anda sudah perlu bertukar kepada kereta baru.

Cara jimat belanja bayar cukai pendapatan

#63 Anda jarang dapat balik semua duit yang anda kena tolak cukai setiap bulan? Kadang-kadang selepas tolak dengan KWSP dan insurans takaful, masih ada dalam RM 1k – 2k yang anda tidak dapat claim balik.

Ya, anda memang tak boleh claim balik duit itu terus. Tetapi, anda boleh dahulukan duit anda dan bayar zakat pendapatan yang wajib atas setiap muslim.

Kemudian, anda boleh claim balik duit itu semasa isi e-filling. Sekurang-kurangnya, duit lebihan itu tidak pergi kepada kerajaan semata-mata tetapi pergi kepada bayaran zakat kita.

Jadi tiada alasan lagi untuk anda tidak menunaikan rukun islam ke-4.

Cara jimat belanja ketika di rumah

#64 Jangan buang makanan lebihan. Boleh simpan dan panaskan balik, jimat untuk sarapan.

#65 Cuba buat deko DIY sendiri untuk jimatkan kos.

#66 Jual semua barang yang anda tak perlu di Mudah.my. Jangan buang sebab kadang kala ada item tidak disangka-sangka ada orang ingin beli.

#67 Sewakan bilik yang tidak digunakan kepada tetamu sekiranya ada bilik yang tidak digunakan di AirBnB dan Mudah.my.

BONUS: Bina tabung simpanan

cara jimat belanjaBuat tabung-tabung di bawah untuk simpanan

  • Tabung 1 – Simpan duit  RM 1 sehari bila balik kerja = RM 365 setahun
  • Tabung 2 – Jangan guna duit RM 5 dan balik kerja simpan dalam tabung/sampul
  • Tabung 3 – Simpan setiap minggu tambahan RM 2 setiap minggu. Minggu 1 = RM 2, minggu 2 = RM 4, minggu 3 = RM 6, dan seterusnya = RM 2,756 setahun
  • Tabung 4 – Simpan semua syilling dalam satu tabung
  • Tabung 5 – Duit OT, Duit Bonus.

Pilih dan tandakan keempat-empat tabung itu – Kecemasan, Bercuti, Raya, Roadtax.

Jadi anda tak perlu sakit kepala sekiranya perlu duit untuk kecemasan, bercuti, raya, atau renew roadtax. Senang dan tak sakit kepala bukan?

Mari kita lihat berapa kita boleh jimat & simpan dalam masa setahun

Berdasarkan kiraan kita di atas, berikut hasilnya:

Penjimatan

  • Bil elektrik: RM 84 x 12 = RM 1,008
  • Bil air: RM 25 x 12 = RM 300
  • Astro (Pek Melayu) = RM 672.96
  • Rokok = RM 2,160
  • Tidak order air manis ketika makan = RM 365
  • Tiket wayang = RM 720
  • Guna Teknik 30 saat = RM 520
  • Tidak guna beg plastik = RM 30

Tabungan duit

  • Tabung duit RM 1 = RM 365
  • Tabung duit RM 2 berganda = RM 2,756

Kita tidak ambil kira duit OT, bonus sebab tabung itu akan digunakan untuk membayar roadtax, raya dan kecemasan.

Jadi, total penjimatan + tabungan = RM 8,896.00 setahun

Kalau anda terus berdisiplin dan amalkan semua cara jimat belanja di atas, dalam masa 5 tahun, anda akan ada = RM 44,484

Dengan simpanan sebanyak ini, anda boleh kembangkan lagi pelaburan anda.

1. Boleh pilih pelaburan selamat seperti ASB, Tabung Haji
2. Komoditi seperti beli emas
3. Equity seperti beli saham dan unit trust
4. Property

Lebih awal anda melabur, lebih cepat duit anda bekerja untuk anda, lebih cepat anda capai kebebasan kewangan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, memang ada banyak cara jimat belanja yang boleh dilakukan supaya perbelanjaan dapat dikurangkan dan simpanan dapat ditingkatkan.

Prinsipnya, ubah cara hidup, ubah gaya hidup, ubah tabiat.

Beli apa yang perlu, jual apa tidak perlu, tidak perlu menunjuk, simpan dan labur untuk masa depan.

Sekarang, terpulanglah kepada kita sama ada nak lakukan atau tidak cara jimat belanja yang diterangkan.

Semoga artikel kali ini bermanfaat untuk anda.

..

Cara Jimatkan Elektrik Di Rumah

cara jimatkan elektrik di rumahKalau dalam artikel sebelum ini saya menerangkan tentang cara jimat elektrik secara umum, dalam artikel kali ini, saya nak tunjukkan bagaimana cara jimatkan elektrik bagi peralatan elektrik yang biasa dijumpai di setiap rumah.

Kiranya, artikel kali ini adalah sambungan kepada artikel sebelum ini; Cara Jimat Elektrik Untuk Kurangkan Bayaran Bil Elektrik

Sebenarnya, jika faham bagaimana bil elektrik dikira, tak kiralah datang apa jenis peralatan elektrik pun, hanya perlu amalkan konsep yang sama untuk kurangkan dan jimatkan penggunaan elektrik.

Hanya perlu pilih peralatan yang cekap tenaga, gunakan peralatan elektrik dengan betul dan hadkan tempoh penggunaan supaya dapat elakkan pembaziran elektrik.

Tanpa buang masa, jom sekarang kita lihat beberapa cara jimatkan elektrik di rumah.

Peralatan elektrik #1 – Lampu

Sebuah lampu mungkin menggunakan sedikit sahaja tenaga elektrik.

Tetapi oleh kerana bilangannya yang banyak dalam sebuah kediaman, maka apabila dijumlahkan, jumlah penggunaan tenaga elektrik boleh menjadi tinggi.

Mengikut kajian, sebanyak 20% penggunaan tenaga elektrik dalam sesebuah kediaman adalah disumbangkan oleh penggunaan lampu.

Maksudnya, jika purata bil elektrik bulanan adalah RM 100, 20% daripada jumlah tersebut bersamaan RM 20 adalah untuk membayar penggunaan lampu dalam kediaman anda.

Maka, beberapa saranan atau cara jimatkan elektrik dalam penggunaan lampu adalah seperti berikut:

  • Tutup lampu di ruang yang tidak digunakan. Ada orang kata, kalau sering buka-tutup lampu, nanti lampu akan cepat rosak pula. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini, tetapkan peraturan 1 jam; jika anda yakin ruang tersebut tidak akan digunakan dalam masa 1 jam, maka tutup sahaja lampu. Jika kurang daripada 1 jam, biarkan sahaja lampu terpasang.
  • Gunakan cahaya semula jadi. Pada waktu siang, kalau boleh banyakkan guna cahaya matahari berbanding cahaya lampu. Buka tingkap dan selak langsir supaya cahaya matahari dapat menerangi kediaman anda tanpa bantuan lampu.
  • Kurangkan bilangan lampu dalam kediaman anda. Kadang-kadang, kita tak perasan, sesetengah ruang atau bilik hanya perlukan sebuah lampu sahaja untuk capai tahap kecerahan optimum. Bagaimana sebuah lampu dapat memberikan pencahayaan yang optimum? Banyak faktor yang mempengaruhi, seperti jenis lampu, sudut pemasangan lampu, kedudukan/posisi lampu (dekat-jauh, tinggi-rendah) dan warna/cat ruang tersebut (lantai, dinding dan siling). Benda ini teknikal, kena belajar kejuruteraan elektrik pula untuk fahami semua faktor ini nanti. Buat sedikit adjustment pada faktor-faktor ini, dan anda boleh kurangkan penggunaan lampu dalam kediaman anda. Boleh baca di sini untuk lebih penerangan.
  • Gunakan mentol lampu cekap tenaga; jenis light emitting diodes (LED) adalah disarankan kerana lebih tahan lama, jimat tenaga dan mesra alam. Mentol lampu jenis LED juga boleh dibuka-tutup dengan kerap tanpa memberi kesan ke atas jangka hayatnya (maka tak perlu risau untuk sentiasa tutup lampu apabila ruang/bilik tidak digunakan)

Peralatan elektrik #2 – Peti sejuk

cara jimatkan elektrik di rumahBoleh dikatakan hampir semua kediaman pasti akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan bahan-bahan mentah, stok ais dan minuman sejuk.

Dan peti sejuk adalah peralatan yang akan dipasang 24 jam sehari secara berterusan, ditutup hanya ketika kerja-kerja penyelenggaraan atau apabila dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Pada waktu-waktu lain, peti sejuk akan berterusan dipasang.

Jadi, sudah tentunya peti sejuk akan memberi kesan yang besar ke atas penggunaan elektrik dalam rumah.

Dan, jika dapat jimatkan penggunaan eletrik pada peti sejuk, anda akan dapat mengurangkan bil elektrik dengan banyak juga.

Berikut beberapa tips dan cara jimatkan elektrik bagi peti sejuk:

  • Pastikan kedudukan peti sejuk jauh daripada cahaya matahari dan peralatan sumber haba seperti cerek, periuk nasi dan dapur memasak. Pastikan juga peti sejuk diberikan ruang pengudaraan yang mencukupi; sebaik-baiknya jarakkan peti sejuk (10-30 cm) daripada dinding di bahagian belakang, tepi dan atas. Tidak digalakkan peti sejuk diletakkan dalam kabinet dapur, lebih-lebih lagi ‘dikurung’ dalam almari. Cahaya matahari, sumber haba dan ruang pengudaraan yang tidak mencukupi akan ‘memanaskan’ peti sejuk dan menyebabkan beban kerjanya bertambah.
  • Kurangkan kekerapan buka-tutup pintu peti sejuk. Jika nak ambil barang-barang dalam peti sejuk, rancang dengan baik agar pintu tidak terlalu kerap dibuka. Terlalu kerap buka dan tutup pintu peti sejuk akan menyebabkan udara sejuk kerap keluar dan meningkatkan suhu peti sejuk. Ini juga meningkatkan beban kerja peti sejuk tersebut.
  • Tetapkan suhu peti sejuk pada suhu yang optimum; suhu yang sesuai bagi ruang biasa adalah sekitar 2-8 ºC, manakala suhu ruang sejuk beku adalah sekitar -18 ºC
  • Jika peti sejuk ada membentuk frost (dinding ais), pastikan ketebalan frost tersebut tidak melebihi 0.6-1.0 cm. Frost yang tebal bukan menyejukkan, sebaliknya akan menjadi penebat haba dan boleh meningkatkan suhu peti sejuk. Pastikan sentiasa cairkan frost dan tutup suis peti sejuk semasa proses pencairan tersebut. Selepas frost cair, buang dahulu air yang bertakung sebelum hidupkan semula peti sejuk.
  • Jangan terlalu penuhkan ruang dalam peti dengan barang-barang. Pastikan ada ruang untuk aliran udara dalam peti sejuk. Tetapi, pada masa yang sama, jangan biarkan peti sejuk terlalu kosong pula. Jika tiada barang untuk disimpan dalam peti sejuk, letakkan sahaja beberapa bekas kosong. Ini akan mengurangkan aliran keluar udara sejuk daripada peti sejuk.
  • Periksa sama ada terdapat kebocoran pada getah pintu peti sejuk. Caranya, cuba selitkan sehelai kertas melalui celahan getah tersebut. Jika kertas dapat diselitkan, maka ada kebocoran. Getah tersebut perlu diganti.

Peralatan elektrik #3 – Air-conditioner

Pada masa sekarang, banyak rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu air-conditioner atau pendingin hawa.

Tetapi, masih ramai yang tidah tahu atau buat-buat tidak tahu tentang cara jimatkan elektrik apabila menggunakan peralatan tersebut.

Akibatnya, banyak pembaziran tenaga elektrik berlaku dan bil elektrik melambung tinggi.

Berdasarkan pengalaman saya, penggunaan pendingin hawa memang memberikan kesan yang besar kepada penggunaan tenaga elektrik.

Rumah saya ada sebuah pendingin hawa berkuasa 2.0 hp; apabila dipasang walau pun sekitar 4 jam sahaja setiap hari, bil elektrik boleh mencecah RM 70 berbanding sekitar RM 30 sahaja jika peralatan tersebut tidak digunakan.

Jadi, untuk kurangkan penggunaan elektrik semasa menggunakan pendingin hawa, boleh amalkan perkara-perkara berikut:

  • Pasangkan pendingin hawa dengan kapasiti (kuasa kuda / horse power) yang sesuai untuk setiap ruang. Ukur saiz ruang dan kira kapasiti yang diperlukan. Sebagai panduan, boleh lihat jadual yang berikut:

cara jimatkan elektrik di rumah

  • Pasang pendingin hawa di lokasi yang jauh daripada sinaran cahaya matahari atau punca haba.
  • Tetapkan suhu pendingin hawa pada 24-26 ºC sahaja, tak perlu terlalu sejuk sehingga 16 ºC. Tahukah anda bahawa setiap penurunan 1 ºC yang ditetapkan pada pendingin hawa bersamaan peningkatan penggunaan elektrik sebanyak 10%. Maksudnya, semakin rendah suhu ditetapkan, semakin tinggi penggunaan elektrik.
  • Tetapkan juga kipas penyejuk (blower) pendingin hawa pada tahap kelajuan rendah sahaja. Memang betul apabila ditetapkan pada tahap tinggi, suhu akan cepat turun, tetapi penggunaan elektrik juga akan meningkat tinggi.
  • Tutup pintu dan tingkap apabila pendingin hawa dipasang. Ini untuk mengelakkan udara sejuk keluar daripada ruang tersebut.
  • Cuci penapis (filter) pendingin hawa dengan kerap, minimum sekali setiap bulan. Cuci juga kipas compressor di luar rumah. Ini akan mengurangkan beban pendingin hawa tersebut.
  • Hadkan tempoh penggunaan pendingin hawa. Contohnya pada waktu malam, boleh tetapkan supaya pendingin hawa auto-off pada jam 12.00 malam. Pada waktu tersebut, suhu persekitaran sudah pun sejuk, sekitar 23-25 ºC. Jadi, tidak perlulah dipasang lagi pendingin hawa. Boleh pasang kipas selepas pendingin hawa ditutup. Kipas akan ‘menyebarkan’ udara sejuk yang masih ada dan mengekalkan rasa nyaman dengan lebih lama.
  • Tutup pendingin hawa apabila ruang tersebut tidak digunakan. Sebagai contoh, apabila keluar daripada bilik, tutup dahulu pendingin hawa yang terpasang. Tetapi, pada masa sama, jangan terlalu kerap buka-tutup, kerana akan menyebabkan beban kerja lebih. Boleh gunakan peraturan 1-jam; jika bercadang keluar bilik lebih daripada 1 jam, lebih baik tutup pendingin hawa.

Peralatan elektrik #4 – Mesin basuh & pengering pakaian

cara jimatkan elektrik di rumah

  • Salah satu cara jimatkan elektrik semasa menggunakan mesin basuh adalah dengan mengurangkan kekerapan membasuh pakaian; kumpul terlebih dahulu pakaian sehingga muatan penuh dan basuh sekaligus. Penggunaan elektrik adalah sama antara muatan penuh dan muatan separuh. Jadi, kalau basuh pakaian sikit-sikit, memang rugi penggunaan elektrik.
  • Pada masa yang sama, jangan melebihi had muatan mesin basuh pula. Kalau had mesin basuh adalah 10kg, pastikan jumlah berat pakaian yang basuh tidak melebihi had tersebut. Muatan berlebihan akan membebankan mesin basuh, meningkatkan penggunaan elektrik dan boleh menyebabkan kerosakan pada mesin basuh.
  • Kurangkan penggunaan fungsi basuhan air panas kerana lebih banyak tenaga elektrik diperlukan untuk memanaskan air cucian tersebut. Lebih baik gunakan fungsi basuhan air biasa sahaja.
  • Kalau boleh, digalakkan untuk asingkan pakaian atau kain yang ingin dibasuh mengikut berat. Contohnya, basuh t-shirt, kemeja dan pakaian dalam bersekali dalam satu basuhan, manakala pakaian seperti denim, jaket dan linen dibasuh berasingan. Ini akan memudahkan proses basuhan dan mengurangkan beban kerja mesin basuh.
  • Kurangkan penggunaan mesin pengering pakaian. Lebih baik untuk jemur pakaian yang dibasuh berbanding menggunakan mesin pengering pakaian. Maklumlah, mesin yang menghasilkan haba, sudah semestinya banyak menggunakan tenaga elektrik. Mungkin boleh simpan dahulu mesin pengering pakaian dan guna pada musim hujan sahaja.

Peralatan elektrik #5 – Seterika

  • Sekarang, makin ramai yang menggunakan seterika jenis stim, berbanding seterika kering biasa. Tahukah anda bahawa seterika jenis stim menggunakan lebih banyak tenaga elektrik kerana perlu memanaskan air terlebih dahulu untuk menghasilkan stim. Jadi, untuk cara jimatkan elektrik, penggunaan seterika kering biasa adalah lebih digalakkan.
  • Kurangkan kekerapan penggunaan seterika dengan mengumpul terlebih dahulu pakaian untuk digosok. Seterika banyak menggunakan elektrik semasa awal dipasang, kerana perlu dipanaskan terlebih dahulu. Jika sesi menggosok terlalu kerap, maka proses pemanasan sterika pun akan menjadi kerap. Maka, tinggilah penggunaan elektrik.

Peralatan elektrik #6 – Cerek elektrik

  • Untuk cara jimatkan elektrik semasa menggunakan cerek elektrik, pertama, pastikan air diisi ke paras penuh cerek sebelum dipanaskan. Selepas siap dipanaskan, simpan air tersebut ke dalam bekas termos. Ini akan mengurangkan kekerapan penggunaan cerek elektrik.
  • Keladak boleh terbentuk pada permukaan alat pemanas cerek elektrik dan melambatkan proses pemanasan air. Oleh itu, perlu sentiasa dibersihkan keladak tersebut untuk mengelakkan pembaziran tenaga elektrik.
  • Memanaskan air menggunakan cerek biasa di atas dapur gas adalah lebih murah berbanding menggunakan cerek elektrik. jadi, tidak salah jika hendak menggunakan kaedah lama tersebut untuk memanaskan air.

Kesimpulan

Itulah sahaja beberapa cara jimatkan elektrik khusus bagi peralatan-peralatan elektrik yang terdapat di banyak rumah.

Sekali lagi diingatkan, prinsip untuk kurangkan penggunaan tenaga elektrik adalah dengan menggunakan peralatan cekap tenaga, mengendalikan peralatan dengan cara yang betul dan menghadkan tempoh penggunaan tenaga elektrik.

Dengan berpegang kepada prinsip ini, tak kisahlah peralatan elektrik apa pun, akan mudah untuk tentukan cara jimatkan penggunaan elektrik bagi peralatan tersebut.

Selepas dapat jimatkan penggunaan elektrik, maka jumlah bil elektrik pun akan dapat dikurangkan.

Perbelanjaan bulanan dapat dikurangkan dan akan ada lebihan wang untuk disimpan.

Perkara yang baik, bukan?

Oh ya, boleh tonton video berikut untuk lebih banyak penerangan berkenaan cara jimatkan elektrik di rumah:

p/s: Rasa artikel ini bermanfaat? Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini supaya lebih ramai dapat jimatkan penggunaan elektrik seterusnya mengurangkan perbelanjaan bil elektrik bulanan.

Cara Jimat Elektrik Untuk Kurangkan Bayaran Bil Elektrik

cara jimat elektrikBaru-baru ini, saya ada terbaca satu artikel dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berkenaan cara jimat elektrik untuk kurangkan bayaran bil elektrik.

Saya rasa artikel tersebut sangat bermanfaat dan ingin dikongsikan isi-isi pentingnya di sini supaya anda juga turut mendapat manfaat tersebut.

Bagi yang sering menghadapi wang tidak cukup setiap bulan, atau dalam erti kata lain sentiasa mengalami aliran tunai negatif (perbelanjaan > pendapatan), maka cara paling mudah untuk memperbetulkan keadaan tersebut adalah dengan mengurangkan perbelanjaan.

Dan salah satu komponen yang boleh dikurangkan adalah bayaran bil elektrik.

Untuk kurangkan bayaran bil elektrik, kenalah kurangkan dan jimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Jadi, dengan tahu cara jimat elektrik yang betul, maka perbelanjaan bulanan dapat dikurangkan dan akan membantu memperbaiki aliran tunai ke arah lebih baik.

Bagaimana bil elektrik dikira?

Sebelum kita pergi lebih lanjut kepada cara jimat elektrik, mari kita belajar dahulu bagaimana cara bil elektrik dikira.

Anda juga mesti biasa terima bil elektrik setiap bulankan?

Pernah tahu bagaimana jumlah bil tersebut diperoleh?

Untuk makluman, berikut merupakan kadar harga atau tarif elektrik yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke atas setiap kediaman domestik:

cara jimat elektrik

Jumlah bil elektrik adalah dikira berdasarkan jumlah penggunaan tenaga elektrik dalam bulan tersebut didarab dengan kadar harga yang dikenakan TNB.

  • bil elektrik = penggunaan tenaga elektrik  (kWh) x  tarif TNB (sen)

Katakanlah, dalam bulan tersebut kediaman anda menggunakan 275 kWh tenaga elektrik, maka jumlah bil elektrik adalah:

  • bil elektrik = (200 kWh x 21.80 sen) + (75 kWh x 33.40 sen) = 6865 sen @ RM 68.65

Bagaimana pula jumlah penggunaan tenaga elektrik dikira?

Setiap peralatan elektrik mempunyai kadar penggunaan tenaga masing-masing, yang mana kebiasaannya dinyatakan dan dilabel dalam nilai Watt (W)

Contohnya, sebuah televisyen dengan nilai kuasa 300 W, maka dalam sejam penggunaan televisyen tersebut, sebanyak 300 Watt tenaga elektrik digunakan.

Jika televisyen tersebut digunakan selama 5 jam sehari, maka jumlah penggunaan sehari adalah 300 W x 5 jam = 1500 Watt @ 1.5 kWh

Untuk tempoh sebulan, penggunaan elektrik bagi televisyen tersebut adalah 1.5kW x 30 hari = 45 kWh

Jadi, kos bil elektrik untuk penggunaan televisyen itu sahaja adalah 45 kWh x 21.80 sen = 981 sen @ RM 9.81

Kenapa sangat penting untuk tahu tentang cara kira semua perkara di atas?

cara jimat elektrikSebab, apabila dah faham konsep pengiraan di atas, maka mudahlah untuk belajar dan merancang sendiri cara jimat elektrik bagi kurangkan bayaran bil elektrik.

Daripada pengiraan di atas, dapat dilihat bahawa jumlah bil elektrik adalah dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu tarif TNB dan penggunaan tenaga elektrik.

Untuk tarif TNB, kita tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengawalnya kerana ditentukan oleh kerajaan.

Walau pun berubah kerajaan, saya yakin tarif tersebut tidak akan banyak berubah kerana kos untuk menghasilkan tenaga elektrik sememangnya tinggi.

Sebaliknya, kita boleh mengawal penggunaan tenaga elektrik untuk mengawal jumlah bil elektrik bulanan.

Penggunaan tenaga elektrik adalah dipengaruhi beberapa faktor, antaranya nilai kuasa peralatan elektrik, beban kerja peralatan elektrik dan tempoh penggunaan.

Ada juga faktor-faktor lain, tetapi tiga faktor utama ini adalah yang boleh kita kawal dan kurangkan supaya dapat menurunkan jumlah bayaran bil elektrik.

Jadi, secara umumnya, cara jimat elektrik yang boleh kita amalkan adalah:

Cara #1 – Guna peralatan elektrik dengan penggunaan tenaga yang cekap

Jika anda biasa pergi ke kedai yang menjual peralatan elektrik, pasti akan terlihat label cekap tenaga (energy efficiency label) yang ditampal pada sesetengah peralatan elektrik yang dipamerkan.

cara jimat elektrik

Label cekap tenaga tersebut adalah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga, dan merupakan label yang menunjukkan tahap kecekapan penggunaan tenaga elektrik bagi peralatan tersebut.

Label ini wajib ditampal pada televisyen, kipas rumah, peti sejuk dan pendingin hawa.

Tahap kecekapan tenaga peralatan tersebut diberikan star-rating tertentu; semakin banyak bintang, semakin cekap penggunaan tenaga dan semakin jimat penggunaan tenaga elektrik.

Jadi, apabila nak beli peralatan elektrik, utamakan model yang mempunyai star-rating yang tinggi, iaitu 4 atau 5, supaya anda akan mendapat penjimatan elektrik kelak.

Cara #2 – Gunakan peralatan elektrik dengan spesifikasi yang sesuai

Secara umumnya, semakin tinggi spesifikasi sesuatu peralatan elektrik (bagi jenis yang sama), semakin tinggi kadar penggunaan tenaganya.

Sebagai contoh, televisyen bersaiz 48 inci sudah semestinya menggunakan tenaga elektrik yang lebih berbanding televisyen 32 inci.

Begitu juga dengan pendingin hawa, yang berkapasiti 2.0 hp mesti akan menggunakan lebih tenaga elektrik berbanding yang berkapasiti 1.0 hp.

Untuk pastikan tidak berlaku pembaziran elektrik secara berlebihan, pastikan peralatan elektrik yang digunakan adalah sesuai dari segi spesifikasi saiz, kapasiti, kuasa dan penggunaan tenaganya.

Misalnya, gunakan pendingin hawa dengan kuasa yang optimum dengan saiz ruang.

Atau pun, gunakan peti sejuk yang sesuai bergantung kepada berapa banyak bahan mentah yang disimpan (biasanya bergantung kepada bilangan anggota isi rumah)

Kena fikirkan sendiri spesifikasi peralatan elektrik yang sesuai di kediaman anda.

Ingat, peralatan dengan spesifikasi terlalu tinggi akan menyebabkan pembaziran elektrik, manakala spesifikasi terlalu rendah akan menyebabkan beban dan penggunaan elektrik yang tinggi.

Maka, carilah yang paling optimum dan sesuai dengan keperluan dan kediaman anda.

Cara #3 – Gunakan peralatan elektrik dengan betul

cara jimat elektrikUntuk memastikan kurangnya pembaziran tenaga elektrik, peralatan elektrik perlulah digunakan dengan cara yang betul sepertimana spesifikasinya.

Sebagai contoh, mesin basuh yang mempunyai kapasiti 10kg, maka pastikanlah berat pakaian yang hendak dibasuh tidak melebihi berat tersebut.

Pendingin hawa, jika ditetapkan pada suhu terlalu rendah, akan menyebabkan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi.

Walhal, jika tetapkan pada suhu 25-27 °C pun sudah memadai.

Peti sejuk, jika terlalu kerap dibuka dan ditutup, juga akan menyebabkan pembaziran tenaga.

Begitu juga jika peti sejuk tersebut disumbat dengan terlalu banyak barang sehingga hampir penuh, turut akan menyebabkan peningkatan penggunaaan tenaga.

Kuncinya, cara jimat elektrik yang efektif adalah dengan menggunakan peralatan elektrik dengan betul.

Cara #4 – Hadkan penggunaan peralatan elektrik

Antara cara jimat elektrik yang mudah adalah menghadkan penggunaan peralatan elektrik.

Di sini, perlunya anda membuat kawalan dan menetapkan peraturan berkenaan tempoh penggunaan peralatan elektrik di kediaman anda.

Hadkan masa tontonan televisyen, lebih baik untuk buat aktiviti yang lebih bermanfaat seperti membaca buku dan beriadah.

Hadkan juga masa penggunaan pendingin hawa, cukup untuk sekadar hilangkan rasa panas sahaja.

Simpan air panas dalam termos, supaya air tidak perlu dipanaskan berulang-ulang kali menggunakan cerek elektrik.

Gunakan cahaya matahari semulajadi untuk menerangi rumah pada waktu siang berbanding menggunakan cahaya lampu.

Semua ini adalah contoh cara-cara untuk menghadkan penggunaan elektrik.

Cara #5 – Tutup suis dan cabut soket

Tutup suis televisyen apabila tidak ditonton lagi.

Tutup suis komputer apabila siap kerja.

Tutup suis lampu apabila keluar dari bilik atau tandas.

Tutup suis periuk nasi apabila selesai masak nasi.

Pendek cerita, untuk elakkan pembaziran tenaga elektrik, tutup suis apabila peralatan elektrik tidak digunakan.

Kalau letak pada standby atau sleep mode, tenaga elektrik masih digunakan, jadi lebih baik tutup sahaja.

Lepas tutup suis, cabut soket daripada plug sebab ada yang mendakwa kalau soket masih terpasang, tenaga elektrik masih mengalir dan tetap dibazirkan.

Itulah sahaja beberapa cara jimat elektrik secara umum.

Apabila dah dapat jimatkan penggunaan elektrik, jumlah bil elektrik bulanan juga akan berkurang.

Maka, akan berkuranglah perbelanjaan bulanan.

Saya sebenarnya nak terangkan lagi tentang cara jimat elektrik secara spesifik mengikut jenis peralatan elektrik, tetapi memandangkan artikel ini dah pun terlalu panjang, saya akan terangkan dalam artikel seterusnya nanti.

Jangan lupa untuk baca artikel seterusnya, ya!

Kemaskini: Sambungan artikel ini boleh dibaca di Cara Jimatkan Elektrik Di Rumah

Tonton juga video ini untuk lebih banyak cara jimat elektrik:

p/s: Rasa artikel ini bermanfaat? Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini supaya orang lain turut dapat menjimatkan penggunaan elektrik mereka. Cuma perlu klik pada icon di bawah. Terima kasih.