Perbelanjaan

9 Tips Kurangkan Bajet Majlis Perkahwinan

kurangkan bajet majlis perkahwinanSempena musim majlis perkahwinan yang memang menjadi kelaziman pada setiap kali cuti sekolah, jadi untuk perkongsian kali ini, saya nak berbicara tentang tips kurangkan bajet majlis perkahwinan.

Biasalah, bagi golongan muda, selain mempunyai kerjaya yang stabil, mereka turut berimpian untuk memateri cinta dengan insan dicintai secepat mungkin dalam majlis perkahwinan yang gilang-gemilang.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang dah lama bersulam cinta dengan pasangan masing-masing.

Memang dah tak sabar nak jadikan kekasih hati sebagai pasangan yang sah.

Malangnya, hasrat ini sering tersekat dek kekangan yang ada.

Dalam Kajian Keluarga & Penduduk Malaysia Ke-5 2014 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mendapati punca utama bagi lelaki yang lambat kahwin adalah disebabkan oleh masalah kewangan (56%), tiada calon sesuai (18.4%) dan ingin fokus kepada kerjaya (9.4%)

Bagi wanita yang lambat kahwin pula, punca utama adalah disebabkan kesukaran mencari calon yang sesuai (35.7%) diikuti masalah kewangan (26%) dan kemajuan kerjaya (18.1%)

Boleh baca hasil kajian ini di sini (Berita Harian) atau di sini (Astro Awani).

Daripada kajian ini, jelas bahawa masalah kewangan menjadi antara punca utama yang menyebabkan ramai orang muda gagal mendirikan perkahwinan.

Apakah masalah kewangan yang dimaksudkan?

Senang cerita, kalau tanya kepada semua orang yang nak berkahwin, mesti akan kata mereka mengalami masalah kewangan menampung bajet majlis perkahwinan yang semakin menggila sekarang ini.

Bajet majlis perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan bajet atau kos kenduri makan minum, tetapi turut melibatkan kos wang hantaran, barang hantaran, pakaian pengantin, pelamin dan juga perkara-perkara lain berkaitan persiapan majlis perkahwinan.

Semua serba-serbi kelengkapan dan perkara berkaitan majlis perkahwinan melibatkan kos yang boleh memeningkan kepala bakal pengantin.

Berapa bajet yang diperlukan bagi sebuah majlis perkahwinan?

Bajet sebuah majlis perkahwinan boleh jadi berbeza-beza bergantung kepada banyak faktor.

Namun, mengikut kajian yang dilakukan Association of Wedding Professionals (AWP) Malaysia yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada tahun 2013, purata bajet majlis perkahwinan adalah sekitar RM 50,000

Boleh baca artikel tentang kajian ini di sini: Till debt do us part

Pecahan bajet tersebut adalah seperti di dalam gambar berikut:

kurangkan bajet majlis perkahwinan

Ini adalah bajet purata pada tahun 2013, iaitu sekitar 4 tahun dahulu.

Sebelum GST.

Jika dinilaikan pada tahun sekarang, purata bajet majlis perkahwinan sudah tentu lebih tinggi.

Memang logiklah ramai yang terpaksa menangguhkan hasrat berkahwin sebab nak kumpul modal terlebih dahulu.

Ada juga yang terpaksa meminjam duit dan membuat pinjaman peribadi semata-mata nak melangsungkan perkahwinan dengan segera.

Satu situasi yang tidak sihat untuk kewangan sendiri, sebenarnya.

Jadi raja sehari, tetapi hamba bank bertahun-tahun.

Jadi, bagaimana cara nak kurangkan bajet persediaan majlis perkahwinan agar tidak terbeban dengannya?

Jom kita lihat tips yang boleh dilakukan.

Sebelum itu, suka diingatkan, tips yang dikongsikan nanti bukan sesuai untuk semua orang dan semua situasi, tetapi sama-samalah jadikan panduan dan ubahsuai mengikut kesesuaian sendiri.

Tips #1 – Tetapkan perbelanjaan yang penting dahulu

Cuba lihat balik gambar peratus pecahan purata bajet majlis perkahwinan yang dikongsikan di atas.

Daripada bajet purata RM 50,000 yang dinyatakan, jom kita lihat nilai bagi setiap pecahan:

  • Resepsi (majlis kenduri, lokasi majlis, kek) = 42% (RM 21,000)
  • Fotografi & videografi = 13% (RM 6,500)
  • Pelamin, bunga & dekorasi = 10% (RM 5,000)
  • Baju pengantin, aksesori, solekan = 10% (RM 5,000)
  • Hiburan (DJ, lagu, PA sistem) = 6% (RM 3,000)
  • Majlis akad nikah  = 6% (RM 3,000)
  • Jemputan (kad jemputan kahwin, setem, bunting, banner) = 3% (RM 1,500)
  • Perbelanjaan-perbelanjaan lain (goodies, door gift, barang hantaran) = 10% (RM 5,000)

Kalau berkemampuan, memang tidak menjadi masalah untuk menampung semua perbelanjaan kahwin di atas.

Tetapi, jika tak mampu, sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan untuk memotong dan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan di atas.

Sebagai contoh:

  • Pilih lokasi majlis yang tidak memerlukan kos tinggi. Dewan serbaguna dan rumah sendiri (jika ada ruang luas) adalah pilihan lebih murah berbanding hotel dan restoran mewah.
  • Hadkan bilangan menu makanan kenduri. Yang penting adalah menu utama iaitu nasi, lauk pauk dan air minuman. Menu-menu tambahan lain seperti burger, murtabak, cendol, roti john, kambing bakar; pilih jika berkemampuan sahaja.
  • Pilih pakej fotografi dan videografi yang asas pun sudah memadai. Tak perlu nak pilih pakej advance yang complete 3 hari 3 malam, nanti macam nak buat filem pula.
  • Pelamin juga boleh pilih pakej yang simple. Saya dulu pun pilih pakej mini pelamin bertunang untuk majlis perkahwinan, memang lebih jimat. Untuk hiasan bunga dan dekorasi pula, sewa sekali dengan pakej pelamin. Lebih jimat berbanding beli.
  • Untuk baju pengantin, menyewa dengan butik pengantin adalah lebih murah berbanding menempah khas. Kalau nak tempah juga, pastikan baju pengantin tersebut boleh digunakan juga pada waktu dan majlis lain, bukan sekadar pada hari majlis perkahwinan sahaja.
  • DJ dan PA sistem jika tidak ada pun tidak mengapa. Boleh sahaja pasang lagu dan muzik daripada komputer atau pun laptop. Bukan semua tetamu suka muzik yang kuat dan bingit.
  • Pilih barang hantaran kahwin yang berpatutan dan praktikal. Menghadiahkan set perfume mahal kepada orang yang memang tak suka pakai perfume adalah satu pembaziran. Last-last, dibiarkan sahaja nanti sampai hilang wanginya.
  • Kad jemputan kahwin, kalau boleh buat satu untuk kedua-dua belah majlis pihak lelaki dan perempuan. Lebih jimat berbanding buat berasingan sebab kuantiti lebih banyak.

Dan banyak lagi yang boleh dilakukan untuk kurangkan bajet, cuma perlu ikut kemampuan, kehendak dan kreativiti sendiri.

Jadi, sekarang sepatutnya anda dah senarai pendekkan perbelanjaan-perbelanjaan penting untuk majlis perkahwinan nanti.

Kalau boleh, letakkan sekali anggaran kos yang mampu bagi setiap perkara tersebut, kemudian kira jumlah keseluruhan kos.

Kalau rasa mampu dengan jumlah kos tersebut, boleh teruskan.

Kalau rasa tak mampu, cuba ubah lagi sehingga dalam lingkungan kemampuan.

Tips #2 – Berbincang dengan bakal pasangan

Kalau ada ruang dan peluang, berbincanglah dengan bakal pasangan tentang bajet majlis perkahwinan.

Penting untuk kedua-dua bakal pasangan faham tentang tahap kewangan sendiri dan buat perbelanjaan persiapan majlis perkahwinan mengikut kemampuan.

Perlu bersama-sama fikir dan pikul beban untuk majlis perkahwinan sendiri.

Jangan diharapkan kepada sebelah pihak sahaja.

Apa-apa yang boleh dikongsi kosnya, berkongsilah.

Bincangkan juga tentang jumlah wang hantaran kahwin dan juga barang-barang hantaran,yang penting jangan sampai membazir dan membebankan.

Jangan demand yang bukan-bukan, kasihan nanti bakal pasangan nak sediakan semuanya.

Kata nak sehidup semati till jannah, jadi perlulah lepasi cabaran persiapan majlis perkahwinan ini terlebih dahulu.

Pesan pada bakal pasangan, majlis kahwin sehari dua sahaja, tak perlu nak habiskan banyak duit.

Nanti, lagi banyak duit diperlukan untuk teruskan kehidupan selepas berkahwin.

Tips #3 – Berterus-terang dengan ahli keluarga

Bakal pasangan dah bersepakat untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing, tetapi apabila dikhabarkan kepada ahli keluarga terdekat, mereka meminta lebih lagi.

Alasan biasa, takut malu dengan jiran tetangga, rakan taulan dan saudara mara lain sebab majlis ringkas dan sederhana.

Inilah dilema ramai bakal pasangan pengantin sekarang.

Nak diikut kehendak sendiri, tak memenuhi kehendak keluarga.

Nak diikut kehendak keluarga, tak sepadan pula dengan kemampuan sendiri.

Antara penyelesaiannya, berterus-teranglah dengan ahli keluarga tentang kemampuan kewangan sendiri.

Tunjukkan jumlah duit simpanan yang mampu diperuntukkan untuk majlis kahwin.

Berbincang baik-baik dengan ahli keluarga tentang persiapan majlis perkahwinan supaya sesuai dengan kemampuan.

Di sinilah pentingnya sikap toleransi dengan kehendak ahli keluarga, dan pada masa sama tegas dengan had kemampuan sendiri.

Kalau tak berjaya juga, boleh dapatkan bantuan orang berpengaruh ke atas keluarga anda, contohnya tok imam, tuan guru, pakcik, makcik atau sesiapa sahaja.

InsyaAllah, ahli keluarga akan dapat memahami.

Untung-untung, mereka turut sama-sama menghulurkan duit untuk menanggung kos majlis kahwin nanti.

Tips #4 – Tanya orang berpengalaman

Apabila merancang persiapan majlis perkahwinan, kalau boleh jangan syok sendiri.

Takut nanti banyak perancangan yang dibuat tidak menjadi atau menyebabkan pembaziran.

Dapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli keluarga dan saudara mara, tapi jangan sampai terikut-ikut kehendak mereka sehingga membebankan diri.

Ahli keluarga boleh memberi nasihat tentang jumlah tetamu yang patut dijemput, lokasi majlis, menu makanan kenduri yang sesuai dan juga jumlah barang-barang hantaran.

Tanya juga rakan-rakan yang baru melangsungkan perkahwinan, dapatkan pengalaman mereka menguruskan majlis mereka.

Tanya mereka perkara-perkara yang perlu dibuat dan dielakkan dalam persediaan majlis perkahwinan.

Dapatkan juga contoh bajet dan kos yang mereka keluarkan sebagai panduan untuk bajet anda pula.

Boleh juga dapatkan maklumat daripada laman-laman web dan blog-blog yang banyak memberi panduan berkenaan persiapan majlis perkahwinan.

Antaranya Pesona Pengantin, iKahwin dan Kahwin Mall.

Tips #5 – Buat bajet dan cuba patuhinya

Selepas puas berfikir, berbincang dan mendapatkan maklumat, sekarang boleh sediakan bajet majlis perkahwinan sendiri.

Senaraikan semua perkara yang diperlukan berserta anggaran kos.

Buat column kos anggaran dan sebenar untuk memudahkan pemantauan, contohnya seperti ini:

kurangkan bajet majlis perkahwinan

Patuhi bajet yang dibuat ini, dan pastikan kos sebenar tidak jauh beza dengan kos anggaran.

Setiap kali keluarkan duit untuk perbelanjaan perkara-perkara yang disenaraikan, catat dan lihat perbezaan dengan anggaran yang ditetapkan.

Dengan cara sebegini, keseluruhan bajet majlis perkahwinan anda nanti tidak akan jauh berbeza dengan kemampuan yang ditetapkan.

Tips #6 – Rajinkan diri ke ekspo perkahwinan

Kalau ada ekspo perkahwinan yang dianjurkan berdekatan dengan tempat anda, rajin-rajinkan diri untuk hadir.

Senang, ramai perancang perkahwinan, penjual dan vendor berkumpul di bawah satu bumbung, jadi mudah untuk merancang persiapan majlis perkahwinan.

Boleh survey harga, boleh survey pakej-pakej yang sesuai.

Mana tahu, boleh dapat tawaran menarik pada harga berpatutan, jadi boleh jimat banyak.

Cuma, apabila berurusan di ekspo, pastikan berurusan dengan penjual atau vendor yang betul-betul wujud dan ada kedai atau butik sendiri.

Kalau buat apa-apa bayaran, pastikan ada resit bayaran yang sah dan lebih baik lagi jika ada perjanjian bertulis.

Bukan apa, sebab ada juga terdengar ramai bakal pengantin tertipu apabila berurusan di ekspo perkahwinan.

Tawaran yang diberikan memang menarik, tetapi rupa-rupanya penjual menipu.

Jadi, hati-hati apabila berurusan di ekspo perkahwinan.

Tips #7 – Perbanyakkan D.I.Y.

Kalau nak kawal dan jimat kos majlis perkahwinan, perbanyakkan Do-It-Yourself (D.I.Y.)

Contohnya, boleh gubah barang hantaran kahwin sendiri, jadi tak perlu upah orang lain untuk gubah.

Kalau pandai menjahit, boleh jahit sendiri baju pengantin.

Kalau pandai graphic design, boleh buat sendiri kad jemputan kahwin.

Boleh buat kek sendiri sebagai kek pengantin, atau pun buat tart atau kuih-muih untuk dijadikan goodies kepada tetamu.

Boleh juga buat aiskrim Malaysia untuk diberikan kepada tetamu kanak-kanak nanti.

Gunakan kreativiti untuk buat dekorasi pada majlis perkahwinan nanti, contohnya gunakan belon, kain renda atau pun barang-barang terpakai.

Ini contoh majlis perkahwinan yang banyak gunakan elemen D.I.Y., memang boleh jimat banyak:

Majlis perkahwinan paling Rare, siap main tuju tin, semua dari hiasan ke pelamin adalah D.I.Y dan memang menggamit kenangan.. bersederhana itu indah..Barakah itu yang penting dan dicari..
kredit: ‎Yann Yanti‎

Posted by Siakap Keli on Wednesday, 13 December 2017

Tetapi, harus diingat, jangan pula nanti nak buat semua sendiri sahaja.

Nanti, penat pula, dah tak berseri muka nanti pada hari perkahwinan.

Dapatkan juga bantuan daripada hali keluaga dan juga kawan-kawan yang sudi membantu.

Hari majlis anda, orang lain yang tolong, nanti apabila majlis orang lain pula, jangan lupa untuk balas budi ya.

Tips #8 – Gabungkan majlis

Kalau pengantin lelaki dan perempuan tinggal berdekatan, boleh bincang dengan ahli keluarga untuk gabungkan majlis dan buat satu sahaja.

Bukan itu sahaja, kalau ada adik-beradik yang turut sama nak berkahwin dalam masa terdekat, boleh turut bergabung sekali.

Memang banyak boleh jimat, malah boleh buat lebih meriah dengan bajet lebih rendah.

Tips #9 – Sertai kahwin ramai-ramai

Di sesetengah negeri, terdapat agensi yang menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai.

Jadi, tidak salah untuk turut sama menyertainya.

Boleh jimat belanja kos majlis perkahwinan, malah berpeluang untuk mendapat bantuan atau hadiah daripada penganjur lagi.

Lepas dah selesai majlis perkahwinan beramai-ramai, boleh sahaja buat majlis yang sederhana untuk meraikanmereka yang tidak dapat hadir pada majlis sebelumnya.

Penutup

Dalam Islam, adalah digalakkan untuk mengadakan kenduri atau majlis perkahwinan untuk menghebahkan perkahwinan yang dilangsungkan.

Malah, majlis perkahwinan juga merupakan peluang untuk mengzahirkan rasa kesyukuran dan berkongsi rezeki dengan menjamu tetamu yang hadir.

Jadi, amat rugilah jika majlis yang baik ini dicemari dengan pembaziran serta perasaan riak dan menunjuk-nunjuk.

Oleh itu, amat baiklah untuk memastikan majlis perkahwinan yang dibuat nanti tidak membebankan bakal pengantin dan juga ahli keluarga.

Semoga anda semua mendapat manfaat daripada perkongsian kali ini.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

kurangkan bajet majlis perkahwinan

..

Cara Jimat Belanja Supaya Boleh Simpan Duit Lebih

cara jimat belanjaWalaupun dah siap-siap asingkan duit untuk simpanan sebelum dibelanjakan, masih digalakkkan supaya sentiasa amalkan cara jimat belanja yang betul supaya boleh simpan duit dengan lebih banyak.

Maksudnya, di samping amalkan konsep (pendapatan – simpanan = perbelanjaan), pada masa sama turut amalkan konsep (baki pendapatan – perbelanjaan = simpanan)

Apabila dapat gaji, asingkan siap-siap untuk simpanan, perbelanjaan, perlindungan, pelaburan dan penyucian.

Duit yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pula, gunakan dengan cermat agar tidak berlebih-lebihan.

Jika duit perbelanjaan ada lebih, boleh ditambah ke dalam tabung simpanan supaya simpanan dapat bertambah dengan lebih cepat.

Bagaimana nak pastikan duit perbelanjaan ada lebihan?

Di sinilah pentingnya mengamalkan cara jimat belanja yang betul.

Lebih-lebih lagi pada masa sekarang, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang tinggi, memang sangat digalakkan untuk berjimat-cermat dalam perbelanjaan dan memperbanyakkan simpanan.

Baru-baru ini saya ada terbaca satu artikel di sebuah blog yang menyenaraikan beberapa cara jimat belanja yang boleh dilakukan untuk kurangkan perbelanjaan supaya dapat simpan duit lebih.

Klik di sini untuk lihat artikel asal: http://tipsjimatcermat.blogspot.my/

Jom kita teliti satu persatu cara jimat belanja yang disenaraikan dalam artikel tersebut.

Cara jimat belanja bil elektrik

#1 Tutup dan cabut soket peralatan elektrik yang tidak digunakan seperti TV, Modem Internet Streamyx atau Unifi, komputer, laptop. Jimat 10%

#2 Tutup lampu atau kipas di ruang yang tidak digunakan atau tidak diperlukan. Dapat jimat sehingga 2%.

#3 Untuk peralatan yang sensitif dan mahal seperti laptop, komputer atau TV, digalakkan untuk guna Surge Protector untuk lindungi peralatan tersebut daripada kilat. Dapat elakkan daripada beli peralatan baru.

#4 Beli peralatan elektrik jenis jimat tenaga (5-star efficiency). Jom survey online di Lazada atau Senheng, tak payah susah-susah pergi satu-satu nak survey. Jimat sehingga 10%.

Jumlah penjimatan bil elektrik (umum) = 22% penjimatan

Cara jimat belanja penggunaan aircond (pendingin hawa)

#5 Beli aircond yang ada teknologi inverter. Boleh survey di Lazada. Jimat 5%.

#6 Set suhu kepada 24 °C. Jimat 5%.

#7 Sebelum tidur, tetapkan ‘timer’ ikut kesesuaian dan ‘on’ kipas. Jimat 10%.

Jumlah penjimatan bil elektrik (aircond) = 20%

Jumlah penjimatan bil elektrik (umum)  = 22%

Oleh itu, total penjimatan bil elektrik = 42%

Andaikan bil elektrik setiap bulan sekarang = RM 200

Maka, bil selepas penjimatan 42% = RM 116!

Cara jimat belanja bil air

#8 Tutup shower atau paip semasa tengah sabun atau gosok gigi. Tak perlu biarkan air mengalir begitu sahaja. Jimat 5%.

#9 Baiki paip atau tangki bocor sebab air bertitik-titik dah boleh jadi berbaldi-baldi. Jimat 10%.

#10 Isi botol minuman 1.5L dan letak dalam tangki flush toilet. Anda tak perlu guna satu tangki untuk flush sisa anda. Jimat 10%.

Jumlah penjimatan bil air = 25% jimat

Anggaran bil air bulanan sekarang = RM 100

Maka, bil selepas penjimatan = RM 75!

Cara jimat belanja penggunaan telefon

cara jimat belanja#11 Check balik penggunaan anda setiap bulan. Buat kiraan ikut kategori; Call, SMS dan Data. Adakah anda membayar servis-servis berlebihan yang anda tak perlukan?

#12 Postpaid atau prepaid? Pilih ikut penggunaan anda setiap bulan. Anda tak perlu bayar sesuatu yang anda tak perlukan.

#13 Anda nak jimat penggunaan kredit/bil telefon anda? Pastikan sentiasa guna aplikasi percuma seperti Whatsap. Nak jimat SMS/Call – guna Whatsapp. Nak jimat data, pilih ‘disable auto download media’ pada Whatsapp, kurangkan streaming video di handphone dan gunakan wifi percuma atau Unifi sahaja.

#14 Adakah anda memang perlu pakai handphone berjenama mahal seperti iPhone atau Samsung? Beli mahal-mahal, tapi last-last anda guna aplikasi yang basic juga. Sekadar untuk call, Whatsapp, guna internet, lebih baik guna handphone yang tak terlalu mahal.

#15 Data plan yang anda ada tak cukup walaupun dah ambil data plan 20GB? 30GB? Saya tak recommend pakai data di phone. Kalau setakat pakai data banyak untuk stream video, apa kata anda ambil unlimited data Unifi?

#16 Handphone yang saya guna sekarang dah lebih daripada 3 tahun. Kebanyakan orang tak sampai setahun, handphone dah rosak dan pecah skrin.

Rahsia saya ialah saya gunakan casing handphone bertutup penuh. Memang leceh nak buka, tapi berbaloi sebab saya tak perlu tanggung risiko handphone rosak setiap tahun. Boleh tengok case atau casing yang ada di Lazada.

#17 Elakkan call atau SMS, sebab anda akan dicaj apabila menggunakannya. Sebaliknya, gunakanlah Whatsapp atau Telegram. Atau apa-apa sahaja aplikasi percuma.

Cara jimat belanja shopping (beli-belah)

#18 Rancang awal harga barang-barang sehari sebelum pergi membeli-belah. Boleh guna Smart Shopper untuk semak sama ada terdapat special offer atau tidak untuk item tertentu.

#19 Apabila dah tahu apa yang nak beli, buat list barang untuk dibeli. Ikut sepenuhnya list itu. Hiraukan apa-apa promosi dan jangan beli apa-apa yang bukan ada dalam list.

#20 Makan dahulu sampai kenyang sebelum pergi shopping. Kita cenderung membeli lebih banyak kalau perut kita lapar.

#21 Pastikan perasaan kita tidak negative seperti sedang stress, marah, atau sedih ketika membeli belah. Selalunya apabila kita stress, marah atau sedih, kita cenderung membeli-belah dengan banyak dan ikut nafsu untuk lepaskan emosi.

#22 Kalau shopping list pendek, cukup ambil bakul sahaja untuk elakkan terambil banyak barang.

#23 Amalkan Teknik 30 Hari untuk item yang mahal seperti TV, handphone, perabot, laptop. Teknik ini adalah dengan menahan diri membeli sesuatu item selama 30 hari. Sekiranya dalam tempohi 30 hari anda dah lupa tentang item yang anda nak beli, maksudnya anda tak perlukan item itu. Teknik ini sangat power dan mampu menjimatkan banyak duit anda.

#24 Amalkan Teknik 30 Saat. Sama seperti teknik Teknik 30 Hari, cumanya teknik ini lebih sesuai apabila nampak sesuatu ketika membeli-belah di supermarket. Selepas 30 saat selepas anda pergi ke seksyen lain dalam supermarket, sekiranya anda dah lupa bermaksudnya anda tidak perlukan item itu. “Jimat RM10x52 minggu = RM520 setahun”.

#25 Sekali-sekala, cuba survey baju di tempat yang murah, berpatutan tapi berkualiti tinggi. Ini beberapa tempat yang saya syorkan. Berkualiti tinggi tetapi murah dan berpatutan.

Saya jimat banyak apabila membeli di tempat-tempat begini. Saya sudah jarang membeli-belah di shopping mall sebab pakaian di sana sama bagus kualitinya dengan jenama-jenama mahal.

  • Pakaian: Brands Outlet, Padini, FOS, Tesco, AEONBIG, dan GIANT
  • Kasut, selipar: Bata
  • Tudung & pakaian wanita: Masjid Jamek, PKNS Bangi, Pasar pagi Ahad di Stadium Shah Alam

#26 Suruh suami pergi beli barang dapur sebab selalunya orang lelaki jarang merayau-rayau. Mereka selalunya akan beli semua dalam list dan terus balik.

Jimat RM 5 x 52 minggu = RM 260 setahun

#27 Tunggu sehingga ada jualan murah untuk beli barang-barang yang agak mahal seperti TV, mesin basuh, aircond, dapur. Saya pernah membeli Aircond 1HP Inverter RM 1,200 sahaja termasuk pemasangan.

Harga pasaran sewaktu itu RM1,600 termasuk pemasangan. Jimat RM 400!  Semua item boleh tunggu sehingga jualan murah kerana produk-produk model lama akan dijual dengan harga lebih murah untuk clearance.

Cuma ada satu sahaja yang tidak boleh ditangguhkan. Pembelian rumah sebab rumah tidak akan pernah turun dan tidak akan ada promosi untuk harga rumah.

#28 Tak mahu bayar 20 sen untuk plastik bagi mereka di Selangor? Senang sahaja, letakkan beberapa beg dalam kereta. Tidak perlu malu kerana sudah ramai membawa beg sendiri apabila membeli belah.

Katakan anda ke supermarket 2 kali seminggu, anda sudah menghabiskan lebih RM 20 setahun. Jimat RM 20 setahun.

#29 Cuba survey Mudah.my apabila anda ada keperluan nak beli sesuatu. Kadangkala ada 2nd hand item yang masih lagi elok dan dijual dengan harga yang murah.

#30 Daftar dengan program loyalty seperti Bonuslink, Petronas Mesra, Tesco Clubcard, Watson, dan lain-lain. Pastikan anda daftar program-program yang anda rasa anda guna sahaja.

Contohnya, kalau supermarket yang dekat ialah Tesco, dan anda selalu membeli belah di sana, tak perlulah anda daftar kad AEON.  Daftarlah Tesco Clubcard.

Diingatkan ada program yang percuma, ada yang berbayar sekali seumur hidup, dan ada yang berbayar tahunan. Kalau anda sering membeli di situ, tak salah untuk bayar sedikit. Daripada pengalaman saya, setahun point yang terkumpul lebih banyak nilainya dari bayaran yang dkenakan (kalau bagi program berbayar).

Cara jimat belanja makan & minum

cara jimat belanja#31 Cuba bawa bekal ke pejabat. Elakkan makan di luar supaya kebanyakan masa kita adalah di pejabat. Jadi, dengan bawa bekal, kita bukan sahaja boleh jimat belanja makan dan minum, malah jimat minyak kenderaan sebab tak keluar pergi makan.

#32 Hadkan satu atau dua lauk sahaja setiap hidangan. Contohnya, lauk ayam dan satu jenis sayur sahaja. Atau lauk ikan dan satu jenis sayur sahaja.

#33 Hadkan kekerapan membeli makanan di restoran segera atau restoran mahal. Cuba sekali seminggu, seterusnya 2 kali seminggu, dan akhirnya sebulan sekali. Anda akan rasa nikmat makan di sana kalau-kalau jarang pergi (macam mengidam lama la).

#34 Kalau makan di luar, elakkan order air manis atau berperisa. Order air kosong sahaja. Teh O Ais RM 1. RM 1 x 365 hari = RM 365 Jimat!

#35 Berhenti minum kopi jenama mahal (contohnya Sta*buck*). Tak perlu stailo nak menunjuk pada orang yang kita ini minum air kopi mahal.

Selalunya minum kopi mahal ini nak menunjuk sahaja sebab kadang-kadang air kopi dah habis pun masih ke sana sini dengan gelas kosong tu. Satu kopi dah RM 20. RM 20 X 10 hari X 12 bulan = jimat RM 2,400!

Cara jimat belanja hiburan & riadah

#36 Adakah anda rasa anda perlu langgan rancangan TV seperti Astro/Netflix/IFLIX? Cuba kira berapa kali anda tengok rancangan TV?

  • Hari kerja – Selepas solat isyak. Pukul 8.30pm – 10pm. (1.5 jam sahaja).
  • Hari Sabtu – Tolak solat, tolak makan, tolak riadah (9am – 1pm, 2pm – 5pm, 8pm – 1am) = 12 jam sahaja.
  • Hari Ahad – Tolak solat, tolak makan, tolak riadah (9am – 1pm, 2pm – 5pm, 8pm – 10pm) = 9 jam sahaja.

Seminggu anda cuma ada 22.5 jam sahaja untuk rancangan TV. Sebulan anda cuma ada 90 jam sahaja untuk rancangan TV bersamaan dengan 3.75 hari sahaja.

Mengikut kiraan di atas, mari kita lihat berapa cas langganan sebulan dan nilai harian yang anda dapat untuk servis hiburan ini.

Astro (Pek Melayu) – RM 56.08 (RM 14.90 sehari)
Astro (Superpek Sukan) – RM 154.76 (RM 41.30 sehari)
Netflix – RM 33 (RM 8.80 sehari)
iFlix – RM 10 (RM 2.66 sehari)

Jadi, anda rasa anda boleh jimat lagi? Nak tonton TV secara free?

#37 Pilih siaran TV percuma (TV1, TV2, TV3, TV9, NTV7, 8TV, Al-Hijrah)

Analog – Boleh pakai aerial
Digital HD Kualiti – Boleh digunakan oleh TV yang ada DVB-T2.

#38 Boleh tengok cerita di Tonton.com.my – Percuma sahaja, hanya perlu daftar dan login.

#39 Astro On The Go – Cuba tanya kawan-kawan yang ada Astro, dan pinjam atau sewa murah-murah untuk guna akaun Astro mereka. Satu akaun Astro On The Go boleh digunakan maksimum pada dua device. Jimat, kan.

#40 Android Box – Boleh install KODI & beberapa app untuk tengok rancangan TV local & international. Boleh Google cari apa app nak install. Yang penting, perlu ada UNLIMITED DATA UNIFI.

#41 Terakhirnya, anda boleh tengok pelbagai rancangan TV Melayu dan English di internet terus. Cuma kena pandai cari website. Tengok di Youtube pun boleh.

#42 Jadi, adakah anda rasa anda perlu bayar untuk tengok rancangan TV selama 3.75 hari sahaja dari 30 hari sebulan? Jom tengok berapa anda boleh jimat setahun kalau anda batalkan servis-servis ini:

  • Astro (Pek Melayu) – Jimat RM 672.96!
  • Astro (Superpek Sukan) – Jimat RM 1,857.12!
  • Netflix – Jimat RM 396!
  • iFlix – Jimat RM 120!

#43 Adakah anda perlu keluar tonton wayang setiap minggu? Anda boleh cuba alternatif di atas. Tiket wayang – RM 15. RM 15 x 4 kali seminggu x 12 bulan = Jimat RM 720!

#44 Elakkan pergi ke gym yang mengenakan bayaran keahlian bulanan kalau anda pergi hanya sekali dua sahaja seminggu. Lebih baik pilih gym yang caj per entry.

#45 Cuba elakkan diri untuk release stress di shopping mall atau tempat-tempat berpotensi habis duit seperti Uptown dan pasar malam.

Sebaliknya pilih untuk ke taman tasik, masjid, perpustakaan, memancing. Cuba pilih hobi atau venue baru yang tidak perlukan kos yang tinggi atau zero kos.

#46 Batalkan langganan atau jangan beli suratkhabar atau majalah. Sebaliknya, baca sahaja secara online. Ada banyak website dan app yang anda boleh gunakan dan anda boleh pilih niche berita atau artikel yang anda minat.

  • Berita/News: Agenda Daily, The Star, Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia, Astro Awani, mStar.
  • Kewangan: The Edge, Compare Hero, iMoney, Ringgit Oh Ringgit, Ringgit Plus
  • Property: PropertyGuru News, Star Property, The Edge Property
  • Tarikh-tarikh penting & pengumuman: My Sumber, Panduan Malaysia
  • Mobile & Technology: Soya Cincau, Amanz
  • Gosip & trending terkini: Kita perlu juga JIMAT MASA dan tidak perlu ambil tahu tentang gosip tetapi perlu tambah ilmu kita dalam kewangan dan isu semasa.

Cara jimat belanja bayaran pinjaman/pembiayaan bank & bil-bil lain

cara jimat belanja#47 Bayar pinjaman atau bil kad kredit sebelum due date untuk elakkan interest. Ada 2 kesan membayar lambat atau skip bayaran:

  • Late interest charge (kebanyakan kes RM30 sekali lambat, ini average)
  • Interest boleh berubah sekiranya sering skip bayaran. Kesannya, tempoh pinjaman menjadi lebih lama daripada sepatutnya (dari 3% naik 4% naik 5% dan seterusnya)

#48 Gunakan perbankan online untuk elakkan daripada terlupa atau tak sempat nak bayar hutang dan bil. Anda boleh bayar pinjaman ke bank lain walaupun sistem online yang anda guna bukan bank yang sama. Cuba tanya bank anda bagaimana nak buat bayaran online.

#49 Tutup mana-mana akaun bank yang anda jarang pakai. Setiap bank selalunya akan kenakan cas tahunan RM 12 untuk servis kad ATM/debit.

#50 Kalau anda memang dah tak nak pakai kad kredit dan mohon pinjaman lain, anda boleh selesaikan tunggakan kad kredit dan pinjaman sedia ada dengan satukan kesemuanya dalam satu pinjaman. Lebih mudah untuk diurus.

#51 Semak bil-bil bulanan anda. Kemungkinan ada caj-caj yang anda tidak sepatutnya bayar. Saya pernah dengar ada satu kes seorang pengguna telco di caj tambahan sehingga RM300 setiap bulan untuk servis yang dia tidak guna!

#52 Anda belum ada simpanan pendidikan untuk anak-anak masuk ke universiti atau kolej? Jangan risau, mulakan secepat mungkin. Boleh daftar dengan SSPN-i.

Cara jimat belanja beli rokok

#53 Ini adalah kunci paling utama untuk jimatkan duit anda.

Sekotak rokok: RM 12 (tahan 2 hari sahaja)
Sebulan: RM 180
Setahun: RM 2,160 jimat!

Cara jimat belanja bayar ansuran rumah sendiri/sewa

#54 Anda duduk rumah sewa? Ukur jarak dari tempat tinggal anda sekarang dengan tempat kerja? Jauh atau tidak? Berapa anda sewa sekarang? Adakah anda akan lebih jimat kalau beli rumah sendiri?

Contohnya, apartment.

Anda sewa: RM800 sebulan
Harga pasaran apartment sekarang: RM 150,000

Berapa installment kalau beli apartment itu?
Cara kiraan kasar 100k = RM 500 bulanan, 200k = RM 1,000 bulanan, 300k = RM 1,500 bulanan

Jadi, untuk apartment RM 150k = RM 750 sebulan
Anda dah jimat RM 50!

Mungkin anda rasa tak banyak RM50 sebulan tetapi anda juga perlu tahu kebanyakan tuan rumah selalunya akan menaikkan kadar sewa setiap 2 tahun atau kemungkinan menjual rumahnya kepada orang lain.

Anda mungkin tak akan dapat kadar sama kalau berpindah di unit yang baru kerana owner akan kenakan penyewa baru dengan kadar sewa semasa.

Tetapi, soal membeli rumah bukan senang kerana anda perlu menyediakan duit 10% untuk deposit, 3% untuk lawyer dan stamp duty, dan 2%-3% untuk perjanjian bank dan insurans/takaful

Dalam kes di atas, anda perlu menyediakan dalam 16% = RM 24k

Cara yang saya boleh cadangkan, buat muka tebal, dan menumpang selama 2 tahun di rumah keluarga atau saudara mara berdekatan tempat kerja anda secara percuma. Beritahu masalah anda dan sponsor sedikit duit dapur atau bil elektrik atau air.

2 tahun sekejap sahaja, anda cuma perlu tahan dalam tempoh waktu itu sahaja.

Anda boleh jimat RM 800 sebulan = RM 800 x 24 = RM 19.2k

Jadi, anda cuma kurang dalam 5k sahaja yang saya pasti dengan anda berjimat kategori lain, anda boleh dapatkan 5k itu.

#55 Anda duduk rumah sendiri? Rasa installment rumah membebankan?

Anda rasa terbeban nak bayar installment tinggi setiap bulan? Contohnya RM800 sebulan

Anda sebenarnya tidak perlu gunakan duit gaji anda pun untuk membayar ansuran bulanan rumah. Sekiranya anda check duit KWSP Akaun 2 anda masuk RM 300 sebulan, anda boleh gunakan duit yang tersebut untuk membayar installment bulanan anda. Boleh check di sini.

Jadi, anda cuma perlu guna duit RM 500 sahaja sebulan berbanding RM 800.

#56 Anda juga boleh gunakan duit KWSP untuk membeli rumah tanpa menumpang rumah keluarga atau saudara mara.

Pastikan anda sudah tahu berapa harga pasaran rumah yang ada rancang nak beli. Semak berapa duit dalam KWSP Akaun 2 yang anda ada.

Kalau cukup 16% yang diperlukan untuk membeli rumah, cuba semak dengan ibubapa, atau keluarga yang ada sejumlah duit itu untuk pinjam sementara. Berikan statement KWSP anda sebagai bukti anda mampu membayar balik duit mereka.

Andai kata duit dalam KWSP belum mencukupi, anda boleh check DI SINI untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana untuk menyelesaikannya.

Cara jimat belanja kereta

#57 Rancang perjalanan anda, elakkan pandu kereta dalam kesesakan sekiranya tidak perlu.

#58 Pastikan angin tayar optimum. Buat balancing dan allignment berjadual.

#59 Elakkan isi penuh untuk kurangkan beban kereta, dan kurangkan beban dalam kereta.

#60 Pandu dengan kelajuan rata (tidak pecut) untuk jimatkan minyak.

#61 Tutup enjin sekiranya berhenti lama & tutup aircond sekiranya cuaca tidak panas.

#62 Sekiranya kereta anda kereta dah berusia, perlukan banyak penggantian alat ganti dan selalu breakdown, itu petanda anda sudah perlu bertukar kepada kereta baru.

Cara jimat belanja bayar cukai pendapatan

#63 Anda jarang dapat balik semua duit yang anda kena tolak cukai setiap bulan? Kadang-kadang selepas tolak dengan KWSP dan insurans takaful, masih ada dalam RM 1k – 2k yang anda tidak dapat claim balik.

Ya, anda memang tak boleh claim balik duit itu terus. Tetapi, anda boleh dahulukan duit anda dan bayar zakat pendapatan yang wajib atas setiap muslim.

Kemudian, anda boleh claim balik duit itu semasa isi e-filling. Sekurang-kurangnya, duit lebihan itu tidak pergi kepada kerajaan semata-mata tetapi pergi kepada bayaran zakat kita.

Jadi tiada alasan lagi untuk anda tidak menunaikan rukun islam ke-4.

Cara jimat belanja ketika di rumah

#64 Jangan buang makanan lebihan. Boleh simpan dan panaskan balik, jimat untuk sarapan.

#65 Cuba buat deko DIY sendiri untuk jimatkan kos.

#66 Jual semua barang yang anda tak perlu di Mudah.my. Jangan buang sebab kadang kala ada item tidak disangka-sangka ada orang ingin beli.

#67 Sewakan bilik yang tidak digunakan kepada tetamu sekiranya ada bilik yang tidak digunakan di AirBnB dan Mudah.my.

BONUS: Bina tabung simpanan

cara jimat belanjaBuat tabung-tabung di bawah untuk simpanan

  • Tabung 1 – Simpan duit  RM 1 sehari bila balik kerja = RM 365 setahun
  • Tabung 2 – Jangan guna duit RM 5 dan balik kerja simpan dalam tabung/sampul
  • Tabung 3 – Simpan setiap minggu tambahan RM 2 setiap minggu. Minggu 1 = RM 2, minggu 2 = RM 4, minggu 3 = RM 6, dan seterusnya = RM 2,756 setahun
  • Tabung 4 – Simpan semua syilling dalam satu tabung
  • Tabung 5 – Duit OT, Duit Bonus.

Pilih dan tandakan keempat-empat tabung itu – Kecemasan, Bercuti, Raya, Roadtax.

Jadi anda tak perlu sakit kepala sekiranya perlu duit untuk kecemasan, bercuti, raya, atau renew roadtax. Senang dan tak sakit kepala bukan?

Mari kita lihat berapa kita boleh jimat & simpan dalam masa setahun

Berdasarkan kiraan kita di atas, berikut hasilnya:

Penjimatan

  • Bil elektrik: RM 84 x 12 = RM 1,008
  • Bil air: RM 25 x 12 = RM 300
  • Astro (Pek Melayu) = RM 672.96
  • Rokok = RM 2,160
  • Tidak order air manis ketika makan = RM 365
  • Tiket wayang = RM 720
  • Guna Teknik 30 saat = RM 520
  • Tidak guna beg plastik = RM 30

Tabungan duit

  • Tabung duit RM 1 = RM 365
  • Tabung duit RM 2 berganda = RM 2,756

Kita tidak ambil kira duit OT, bonus sebab tabung itu akan digunakan untuk membayar roadtax, raya dan kecemasan.

Jadi, total penjimatan + tabungan = RM 8,896.00 setahun

Kalau anda terus berdisiplin dan amalkan semua cara jimat belanja di atas, dalam masa 5 tahun, anda akan ada = RM 44,484

Dengan simpanan sebanyak ini, anda boleh kembangkan lagi pelaburan anda.

1. Boleh pilih pelaburan selamat seperti ASB, Tabung Haji
2. Komoditi seperti beli emas
3. Equity seperti beli saham dan unit trust
4. Property

Lebih awal anda melabur, lebih cepat duit anda bekerja untuk anda, lebih cepat anda capai kebebasan kewangan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, memang ada banyak cara jimat belanja yang boleh dilakukan supaya perbelanjaan dapat dikurangkan dan simpanan dapat ditingkatkan.

Prinsipnya, ubah cara hidup, ubah gaya hidup, ubah tabiat.

Beli apa yang perlu, jual apa tidak perlu, tidak perlu menunjuk, simpan dan labur untuk masa depan.

Sekarang, terpulanglah kepada kita sama ada nak lakukan atau tidak cara jimat belanja yang diterangkan.

Semoga artikel kali ini bermanfaat untuk anda.

..

Cara Beli Rumah Pertama Bagi Pembeli Baru

cara beli rumah pertamaBagi mereka yang pertama kali nak beli rumah, sudah semestinya masih kabur tentang cara beli rumah pertama mereka.

Maklumlah, bukan selalu orang beli rumah, mungkin sekali sahaja dalam seumur hidup bagi orang biasa.

Oleh kerana kurang pengalaman, maka kebanyakan orang kurang arif dalam proses pembelian rumah yang sebenar.

Lain pula bagi mereka yang merupakan pelabur hartanah; semua selok belok cara beli rumah pertama, kedua, ketiga dan sehingga berpuluh-puluh buah rumah pun sudah mereka kuasai sepenuhnya.

Pelabur hartanah punyai pengalaman yang banyak, maka mereka ada bermacam-macam cara beli rumah dan strategi pelaburan hartanah yang telah mereka kuasai.

Membeli, memiliki dan mendiami rumah yang selesa dan memenuhi citarasa sendiri merupakan idaman semua orang.

Bagi orang biasa, pembelian rumah kebiasaannya merupakan pembelian paling besar dan penting dalam hidup mereka.

Tersilap langkah, pembelian rumah boleh menjadi mimpi ngeri.

Ditipu pemaju, rumah terbengkalai, rumah yang dibeli rosak teruk atau tidak memenuhi spesifikasi yang diingini; semua ini merupakan antara mimpi ngeri yang ditakuti mereka yang ingin membeli rumah.

Oleh itu, amat penting untuk tahu tentang perkara-perkara yang perlu dititik beratkan dalam proses membeli rumah agar mimpi ngeri seperti di atas tidak menghantui.

Jika anda merupakan salah seorang yang baru nak memiliki rumah sendiri, panduan asas cara beli rumah pertama yang akan saya terangkan nanti mungkin boleh membantu anda.

Panduan asas cara beli rumah pertama

Secara asasnya, pembelian sesebuah rumah melibatkan 3 fasa iaitu fasa pra-pembelian, pembelian dan post-pembelian.

Dalam setiap fasa ini, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan agar proses pembelian rumah anda menepati apa yang anda impikan.

Jom kita lihat satu per satu.

Fasa cara beli rumah pertama #1 – Pra-pembelian

Fasa pra-pembelian juga turut dikenali sebagai fasa penilaian.

Dalam fasa ini, penilaian yang teliti ke atas beberapa aspek perlu dibuat, antaranya:

#1 Kemampuan kewangan

cara beli rumah pertamaNak beli rumah bukannya murah, lebih-lebih lagi pada masa sekarang yang mana harga rumah seolah-olah harga mampu tengok sahaja terutama di bandar-bandar utama.

Apabila membeli rumah, banyak kos terlibat seperti bayaran tempahan (booking), wang pendahuluan, yuran guaman, duti setem dan kos-kos dokumentasi.

Setiap bulan pula, jika beli rumah melalui pembiayaan pinjaman perumahan, kena keluarkan bayaran bulanan.

Apabila rumah dah siap pula, akan ada pula kos-kos lain seperti deposit air, deposit elektrik, cukai tanah, cukai pintu dan kos-kos kelengkapan rumah seperti lampu, gril rumah, perabot, peralatan elektrik dan kerja-kerja pengubahsuaian.

Semua kos ini kebiasaannya berkadar langsung dengan harga rumah; semakin tinggi harga rumah, semakin tinggi kos yang akan terlibat.

Jadi, sebelum beli rumah, kenalah buat kira-kira tentang kemampuan kewangan sendiri untuk sediakan wang bagi membayar semua kos ini.

Daripada kira-kira itu nanti, anda akan dapat tentukan julat harga rumah yang sesuai untuk anda beli.

Untuk membantu proses kira-kira ini, boleh gunakan kalkulator pembiayaan pinjaman perumahan daripada LoanStreet di sini https://loanstreet.com.my/ms/kalkulator/kalkulator-pinjaman-perumahan

kalkulator pinjaman rumah

#2 Rumah idaman

Nak beli rumah, maka kenalah cari rumah yang nak dibeli tersebut.

Pastikan rumah yang anda nak beli tersebut memenuhi spesifikasi yang anda idamkan dan objektif yang anda ingini.

Spesifikasi rumah untuk didiami sendiri adalah sedikit berbeza dengan spesifikasi rumah untuk dijadikan aset pelaburan, maka kenal pasti tujuan anda nak beli rumah terlebih dahulu.

Untuk dapatkan rumah terbaik, boleh buat penilaian atas ciri-ciri yang berikut:

  • Harga rumah – Pastikan harga rumah tersebut mampu dimiliki
  • Jenis rumah – Banglo? Semi-D? Teres? Apartment? Kondominium?
  • Jenis geran – Pegangan bebas (freehold)? Pajakan (leasehold)? Tempoh pajakan? Sekatan kepentingan?
  • Pelan rumah – Pelan lantai, saiz ruang, jumlah bilik, jumlah bilik air dan tandas
  • Kelengkapan – Soket elektrik, punca air, tempat letak kereta, lif, kolam renang, pagar
  • Lokasi – Dalam bandar? Pinggir bandar? Luar bandar? Jarak dari tempat kerja?
  • Kemudahan – Sekolah, pusat beli-belah, bank, stesen minyak, taman awam
  • Jaringan pengangkutan – Lebuh raya, jalan raya, pengangkutan awam
  • Komuniti persekitaran – Kejiranan, pengawal keselamatan, status banjir

Bagaimana nak cari rumah yang sesuai untuk dibeli?

Anda boleh melawat ke ekspo-ekspo hartanah atau bertanya kepada syarikat-syarikat pemaju perumahan sama ada mereka mempunyai projek perumahan yang sesuai untuk anda.

Boleh juga cari melalui laman web seperti Mudah, PropertyGuru dan iProperty

Atau pun, rujuk kepada ejen-ejen hartanah berdaftar atau orang perseorangan yang nak jual rumah.

Kalau nak beli rumah lelong, boleh rujuk pada ejen rumah lelong atau syarikat-syarikat pelelong.

Apabila dah jumpa rumah yang sesuai, jangan lupa untuk melawat lokasi tapak rumah tersebut untuk menilai ciri-ciri yang disenaraikan di atas.

Dapatkan lebih banyak maklumat berkenaan rumah tersebut sebelum buat keputusan untuk beli.

Kalau beli rumah daripada pemaju, dapatkan maklumat berkenaan lesen pemaju dan permit iklan & jualan.

Semak kesahihan lesen dan permit tersebut melalui laman web Jabatan Perumahan Negara.

#3 Pembiayaan pinjaman perumahan

Oleh kerana kebanyakan harga rumah zaman sekarang adalah harga mampu tengok, maka agak mustahil untuk orang biasa beli rumah secara tunai.

Oleh itu, kemudahan pembiayaan pinjaman perumahan menjadi keperluan bagi mereka yang nak dapatkan rumah impian.

Tetapi, pembiaya-pembiaya (bank-bank, agensi-agensi) pula ada syarat dan terma mereka sendiri dalam meluluskan permohonan pembiayaan pinjaman perumahan.

Antara kriteria yang mereka akan lihat adalah jumlah pendapatan pemohon, komitmen kewangan lain, rekod bayaran kredit pemohon dan jenis rumah.

Jadi, dalam fasa pra-pembelian cara beli rumah pertama anda, amatlah penting untuk menilai kelayakan pembiayaan pinjaman perumahan anda.

Sebagai permulaan, boleh lihat dahulu perbandingan antara pakej-pakej pembiayaan pinjaman perumahan yang disediakan bank-bank di Malaysia.

Boleh lihat di iMoney, LoanStreet, BolehCompare atau RinggitPlus

Daripada perbandingan ini, anda boleh senarai pendekkan pakej-pakej terbaik daripada bank-bank tertentu.

Kemudian, dengan membawa dokumen-dokumen berkaitan kewangan anda dan rumah yang ingin dibeli, anda boleh pergi ke bank-bank yang disenaraikan tersebut untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut.

Anda boleh tanya berkenaan ciri-ciri pakej pembiayaan pinjaman perumahan tersebut di samping menilai kelayakan pinjaman anda dan juga mengira komitmen bayaran bulanan yang akan dikenakan.

Dengan cara ini, anda akan dapat memilih dan memohon pembiayaan pinjaman perumahan terbaik bagi menampung pembelian rumah yang diingini.

Kalau bimbang permohonan ditolak, belajar cara betul untuk dapatkan pembiayaan pinjaman perumahan di sini: Strategi Confirm Lulus Loan Rumah

pembiayaan pinjaman perumahan

Fasa cara beli rumah pertama #2 – Pembelian

Selepas yakin dengan kemampuan kewangan untuk beli rumah, dah jumpa rumah yang sesuai untuk dimiliki dan layak untuk memohon pembiayaan pinjaman perumahan, maka anda boleh teruskan ke fasa seterusnya dalam cara beli rumah pertama iaitu fasa pembelian rumah.

Beli rumah bukan seperti beli barang-barang biasa di kedai; beri duit terus dapat barang.

Sebaliknya, banyak proses yang perlu dilalui dalam proses membeli sebuah rumah.

Sebagai panduan, anda perlu lakukan perkara-perkara berikut semasa dalam proses membeli rumah:

#1 Fahami dokumen perjanjian jual-beli rumah (sales-and-purchase aggreement, S&P)

Pembelian rumah akan melibatkan dokumen S&P sebab akan melibatkan pindahan milik antara dua pihak; penjual dan pembeli.

Oleh itu, sebagai pembeli, anda kenalah fahami isi kandungan dokumen tersebut supaya dapat tahu tanggungjawab dan hak sebagai seorang pembeli rumah.

Selain itu, anda juga perlu semak beberapa butiran berkenaan rumah yang dibeli yang dinyatakan dalam dokumen tersebut seperti nombor lot, harga beli, saiz rumah, jenis bangunan dan pelan lantai rumah.

Oleh kerana dokumen ini adalah dokumen legal, maka ayatnya adalah ayat undang-undang yang agak sukar untuk difahami orang biasa.

Sebab itulah amat penting untuk bersemuka dan dapatkan penerangan yang jelas daripada pihak peguam berkenaan isi kandungan dokumen ini.

Dan sebab itulah juga digalakkan untuk menggunakan khidmat peguam sendiri berbanding menggunakan khidmat peguam yang disediakan penjual atau pemaju.

Yang penting, jangan sebarangan tandatangan dokumen perjanjian sebelum memahami kandungannya.

#2 Fahami dokumen perjanjian pembiayaan pinjaman perumahan

cara beli rumah pertamaApabila menggunakan pembiayaan pinjaman perumahan untuk membeli rumah, akan ada juga dokumen perjanjian yang perlu ditandatangani.

Oleh itu, kenalah juga fahami dokumen tersebut.

Semak semula jumlah pembiayaan atau pinjaman, jumlah bayaran bulanan, kadar keuntungan atau faedah yang dikenakan dan jenis takaful atau insurans yang digunakan.

Anda boleh bertanya kepada pegawai bank atau peguam yang anda lantik.

#3 Lawat lokasi rumah secara berkala

Jika rumah yang dibeli masih dalam pembinaan dan boleh dilawati, maka jangan lepaskan peluang untuk lawat tapak projek rumah secara berkala.

Lihat perkembangan pembinaan rumah impian anda, dan perhatikan jika ada apa-apa perkara yang tidak kena seperti pembinaan terhenti atau tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam dokumen perjanjian.

Sentiasa berhubung dengan pemaju atau kontraktor jika ada apa-apa perkara berbangkit.

#4 Selesaikan bayaran secara berperingkat

Jika rumah masih dalam pembinaan, pemaju atau kontraktor akan menuntut bayaran mengikut kadar kesiapan rumah tersebut.

Oleh itu, sebagai pembeli, anda perlu memastikan bayaran diselesaikan kepada pemaju dalam masa 21 hari selepas tuntutan bayaran diterima dan disahkan.

Walaupun kebiasaannya pemaju atau kontraktor menuntut terus kepada pembiaya (bank), tetapi adalah tanggungjawab anda sebagai pembeli untuk memastikan bayaran berperingkat tersebut dilakukan dalam jangka masa yang ditetapkan.

Jika bayaran tidak dilakukan mengikut jangka masa yang ditetapkan, pemaju atau kontraktor boleh kenakan denda lewat bayar ke atas pembeli.

Jadi, pembeli mestilah selalu berhubung dengan pihak pembiaya supaya bayaran diselesaikan dengan baik.

#5 Buat bayaran kepada pembiaya apabila diminta

Walaupun rumah masih belum siap, namun pihak pembiaya boleh meminta bayaran daripada anda sepertimana yang dipersetujui dalam dokumen perjanjian pembiayaan pinjaman perumahan.

Ada pembiaya yang kenakan bayaran ke atas kadar faedah atau keuntungan sahaja.

Ada pembiaya yang meminta bayaran penuh setiap bulan.

Ada pembiaya yang memberi penangguhan bayaran sehingga tempoh tertentu.

Yang penting, apabila diminta, anda kena buat bayaran kepada pembiaya.

Sebab itulah sangat penting untuk buat penilaian ke atas kemampuan kewangan semasa fasa pra-pembelian supaya anda mampu memberikan komitmen melunaskan bayaran yang diminta.

#6 Simpan semua dokumen berkaitan

Semua dokumen berkaitan pembelian rumah anda sama ada dokumen perjanjian, salinan geran dan resit bayaran perlulah disimpan dengan baik.

Semua dokumen ini akan memudahkan anda jika berlaku apa-apa masalah, atau semasa ingin menjual rumah tersebut pada masa akan datang.

Sebaik-baiknya, simpan dalam satu fail atau folder, dan letakkan di tempat yang selamat dan mudah diingati.

Fasa cara beli rumah pertama #3 – Post-pembelian

Selepas selesai urusan pembelian, masih ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan bagi melengkapkan langkah-langkah cara beli rumah pertama anda.

#1 Notis milikan kosong dan sijil perakuan siap & pematuhan

jomurusduit-cara-beli-rumah-pertama-4Apabila rumah telah siap atau selesai semua urusan berkaitan pembelian, pastikan anda menerima semua kunci pintu rumah (pintu utama, pintu bilik), surat serahan kunci atau notis milikan kosong (notice of vacant possession, VC) dan sijil perakuan siap & pematuhan (certificate of completion & compliance, CCC)

Notis milikan kosong dikeluarkan oleh pihak penjual atau pemaju selepas selesai beberapa perkara iaitu:

  • Arkitek memperakukan bangunan tersebut telah siap dengan sewajarnya dan bekalan air dan elektrik sedia untuk penyambungan ke bangunan tersebut
  • Pemaju telah memohon dan memperakui borang permohonan telah dihantar kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk dikeluarkan CCC
  • Pembeli telah membayar semua wang yang dikehendaki, membayar mengikut klausa 4(1) Jadual Ketigadan segala wang lain yang kena dibayar di bawah perjanjian
  • Pembeli telah melaksanakan dan mematuhi segala terma dan syarat dipihaknya

CCC adalah perakuan bangunan yang dikeluarkan oleh para profesional seperti arkitek, jurutera dan/atau pelukis pelan bangunan yang berdaftar dan disokong oleh Pihak Berkuasa Tempatan sebagai badan penyelia.

CCC bertindak sebagai satu perakuan mengesahkan bahawa bangunan yang dibina adalah layak dan selamat diduduki.

#2 Periksa keadaan rumah

Selepas notis milikan kosong dikeluarkan dan disampaikan kepada pembeli, maka pembeli mesti segera mengambil kunci rumah dalam tempoh 14 hari daripada tarikh makluman.

Apabila dah dapat kunci, jangan disimpan sahaja.

Sebaliknya, periksa setiap kunci sama ada padan dengan semua pintu pada rumah yang dibeli.

Pada masa sama, periksa keadaan rumah tersebut, sama ada terdapat sebarang kerosakan, kecacatan atau ketidakpatuhan spesifikasi awal sepertimana yang dijanjikan.

Dalam tempoh 24 bulan selepas tarikh notis milikan kosong, adalah menjadi tanggunjawab pemaju atau penjual untuk membaiki kerosakan/kecacatan atau menanggung kos pembaikian (sekiranya dibaiki oleh pembeli berdasarkan syarat-syarat tertentu)

Oleh itu, jika jumpa sebarang kerosakan atau kecacatan, tandakan, ambil gambar dan hantar notis kepada pemaju atau penjual dengan segera.

Pastikan pemaju atau penjual baiki kerosakan tersebut dalam masa 30 hari selepas notis dihantar

#3 Serahan lewat

Tertakluk kepada terma yang ditetapkan dalam dokumen S&P, menjadi tanggungjawab pemaju atau penjual untuk menyiapkan rumah dan menyerahkan milikan kosong dalam masa 24 bulan (hartanah hakmilik individu) atau 36 bulan (hartanah hakmilik strata) kepada pembeli.

Oleh itu, sebagai pembeli, anda perlu pastikan pemaju atau penjual mematuhi tempoh tersebut.

Jika berlaku kelewatan, anda sebagai pembeli boleh menghantar notis kepada pemaju/penjual dan juga kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT)

Anda juga boleh menuntut bayaran denda pada kadar 10% setahun daripada harga beli, dikira dari hari ke hari, mulai dari tarikh luput penyerahan pemilikan kosong sehingga tarikh sebenar pembeli mengambil pemilikan kosong rumah yang dibeli.

Sekiranya pemaju/penjual gagal menjelaskan bayaran denda yang dituntut, anda boleh failkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan kes akan didengar dan diputuskan dalam tempoh 40 hari daripada tarikh pemfailan.

Selamat mendiami rumah idaman

Sekarang, anda dah selesai baca panduan asas cara beli rumah pertama.

Kesimpulannya, dalam proses beli rumah, anda akan melalui 3 fasa utama iaitu fasa pra-pembelian, pembelian dan post-pembelian.

Dalam fasa pra-pembelian, anda perlu menilai kemampuan kewangan sendiri, mencari rumah yang sesuai dan menyemak kelayakan pembiayaan pinjaman perumahan.

Dalam fasa pembelian pula, pastikan anda memahami dokumen S&P dan perjanjian pembiayaan pinjaman perumahan, melawat tapak lokasi rumah secara berkala, menyelesaikan bayaran sepertimana dijadualkan sama ada kepada pemaju/penjual dan pembiaya, dan simpan semua dokumen berkaitan sebaik-baiknya.

Selepas selesai urusan pembelian, pastikan anda menerima rumah bersama-sama notis milikan kosong dan CCC dalam tempoh yang ditetapkan dalam dokumen S&P.

Periksa keadaan rumah dan buat aduan jika ada sebarang kerosakan, kecacatan atau ketidakpatuhan spesifikasi.

Seandainya berlaku kelewatan serahan milikan kosong, buatlah aduan dan tuntut hak anda sewajarnya.

Jika anda melalui semua proses cara beli rumah pertama ini dengan baik, insyaAllah, anda akan dapat memiliki dan mendiami rumah idaman dengan gembira 🙂

Untuk mudahkan pemahaman anda berkenaan cara beli rumah pertama, boleh tonton video daripada Jabatan Perumahan Negara yang berikut: