Cara Pengiraan Zakat Emas

cara pengiraan zakat emasAlang-alang sebelum ini saya tulis berkenaan tips pelaburan emastips pelaburan emas, rasa terpanggil pula nak tulis tentang cara pengiraan zakat emas.

Maklumlah, dalam artikel sebelum ini, saya ingatkan kepada para pelabur emas agar cakna tentang zakat emas.

Dah melabur dalam pelaburan emas, andai cukup nisab (berat atau timbangan) dan haul (tempoh), kenalah keluarkan zakat emas.

Barulah pelaburan itu diberkati.

Bagi yang tak buat pelaburan emas pun, tetapi miliki banyak emas untuk perhiasan atau simpanan semata-mata, tetap kena keluarkan zakat emas apabila cukup nisab dan haul.

Secara umumnya, jumlah nisab bagi zakat emas adalah 85 gram (kecuali emas perhiasan dipakai), tempoh haul adalah setahun Hijri dan kadar zakat adalah 2.5%

Jadi, jom kita belajar cara pengiraan zakat emas.

Untuk memudahkan pembaca, pengiraan zakat emas dikategorikan kepada beberapa situasi yang berikut:

  • Emas perhiasan (dipakai)
  • Emas perhiasan (tidak dipakai)
  • Emas fizikal untuk pelaburan
  • Akaun pelaburan emas patuh-syariah
  • Akaun pelaburan emas tidak patuh-syariah
  • Akaun emas maya
Baca juga:  Kadar Zakat Fitrah 2017 Bagi Setiap Negeri Di Malaysia

#1 – Emas perhiasan (dipakai)

Emas perhiasan yang dipakai asalnya tidak dikenakan zakat emas kerana tergolong sebagai harta yang tidak subur dan berkembang.

Emas perhiasan adalah seperti gelang, rantai, cincin,  subang dan mahkota.

Dipakai bermaksud dipakai walau sekali sekurang-kurangnya dalam setahun.

Namun, jika emas tersebut dimiliki dalam kuantiti yang banyak melebihi ‘uruf setempat, maka perlu dikeluarkan zakat.

‘Uruf bermaksud kebiasaan berat emas yang dipakai masyarakat setempat, dan kadarnya adalah berbeza antara negeri-negeri di Malaysia.

Contohnya, di Wilayah Persekutuan, ‘urufnya bersamaan 800 gram, Terengganu 850 gram dan Pulau Pinang 165 gram.

Boleh rujuk Majlis Agama Negeri masing-masing untuk lihat  kadar ‘uruf.

Untuk contoh pengiraan zakat emas perhiasan yang dipakai, andaikan seseorang menyimpan emas perhiasan yang selalu dipakai secara bergilir-gilir sebanyak 900 gram, maka jumlah zakat emas yang perlu dibayar adalah (andaikan harga semasa emas adalah RM 250/gram):

zakat emas = berat emas x harga emas semasa x 2.5% = 900 g x RM 250/g x 2.5% = RM 5,625

#2 – Emas perhiasan (tidak dipakai)

Jika emas perhiasan dimiliki tetapi tidak dipakai melebihi setahun, atau disimpan sahaja, maka nisabnya adalah 85 gram.

Ini termasuklah emas yang telah rosak, pudar atau lama

Asalkan sahaja emas tersebut tidak dipakai dan disimpan sahaja, maka emas tersebut termasuk ke dalam kategori ini.

Contoh pengiraan bagi emas perhiasan tidak disimpan, andaikan S menyimpan emas seberat 90 gram, maka kiraan zakat emas beliau adalah:

zakat emas = berat emas x harga emas semasa x 25% = 90 g x RM 250/g x 25% = RM 562.50

Bagaimana jika seseorang itu mempunyai emas perhiasan yang dipakai dan juga yang tidak dipakai?

Maka, zakat emasnya dikira berasingan bagi kedua-dua kategori emas tersebut.

#3 – Emas fizikal untuk pelaburan

Contoh emas fizikal untuk pelaburan adalah seperti jongkong, syiling, wafer dan bar.

Emas-emas ini biasanya dibeli untuk tujuan simpanan dan pelaburan sahaja.

Maka, untuk pengiraan zakatnya, nisab adalah 85 gram

Sebagai contoh, jika seseorang menyimpan emas fizikal sebanyak 100 gram,  maka zakat emas yang perlu dikeluarkan adalah:

zakat emas = berat emas x harga emas semasa x 2.5% = 100 g x RM 250/g x 2.5% = RM 625

#4 – Akaun pelaburan emas patuh-syariah

Sesetengah orang terlibat dalam pelaburan emas tanpa menyimpan emas fizikal, sebaliknya melalui akaun pelaburan emas yang ditawarkan bank-bank.

Bagi akaun pelaburan emas patuh-syariah, pembeli membeli emas fizikal yang wujud namun emas tersebut disimpan oleh bank.

Pembeli akan diberi buku akaun yang menyatakan butiran emas seperti jenis dan beratnya.

Malah, jika pembeli nak dapatkan emas dalam bentuk fizikal, pun boleh berdasarkan butiran di dalam buku akaun tersebut.

Jika emas yang dimiliki melebihi atau menyamai nisab 85 gram, maka zakat emas wajib dikeluarkan.

Contoh pengiraan bagi yang mempunyai akaun pelaburan emas sebanyak 100 gram adalah:

zakat emas = berat emas x harga emas semasa x 2.5% = 100 g x RM 250/g x 2.5% = RM 625

Bagaimana jika seseorang itu memiliki emas fizikal serta akaun emas pelaburan?

Jadi, jumlah emasnya perlu dicampurkan dan zakat dikira ke atas jumlah tersebut.

Andaikan J simpan emas fizikal 40 gram dan ada akaun pelaburan emas sebanyak 60 gram, maka jumlah emas yang dimiliki J adalah 100 gram.

Dan zakat emas dikira ke atas jumlah 100 gram tersebut.

#5 – Akaun pelaburan emas tidak patuh-syariah

Selain akaun pelaburan emas patuh syariah, ada juga akaun yang tidak patuh syariah.

Yang tidak patuh syariah biasanya tidak mempunyai emas fizikal, hanya harga belian disandarkan kepada harga emas semasa.

Contohnya, jika harga emas semasa sekarang RM 250/g, dan K buka akaun pelaburan emas dengan modal RM 5,000 tunai, maka beliau akan diberikan buku akaun dengan butiran emas sebanyak 20 gram.

Walaubagaimanapun, emas fizikal tidak wujud atau hanya akan wujud selepas sekian waktu.

Jika K ingin menebus akaunnya dengan emas fizikal, beliau mungkin tidak boleh berbuat demikian.

Katakanlah selepas setahun, harga emas semasa adalah RM 300/g, maka jika K menebus akaun pelaburan emasnya, beliau akan mendapat RM 6,000 iaitu untung sebanyak RM 1,000

Jadi, bagaimana kiraan untuk akaun pelaburan sebegini?

Mengikut Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah PersekutuanPusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, bagi akaun sebegini, zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan dan dikira mengikut formula zakat wang simpanan.

#6 – Akaun emas maya

Akaun emas maya juga merupakan akaun pelaburan tidak patuh syariah kerana emas fizikal tidak wujud.

Akaun ini melibatkan transaksi di atas talian sahaja, harga belian dan jualan ditentukan berdasarkan harga emas semasa.

Emas fizikal adalah tidak wujud dan tidak boleh dituntut.

Maka, zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan dan dikira mengikut formula zakat wang simpanan.

Katakanlah harga emas semasa RM 250 g, maka nisab wajib zakat adalah 85 g x RM 250/g = 21,250

Maka, jika seseorang mempunyai akaun pelaburan emas atau emas maya tidak patuh syariah sebanyak RM 30,000 (baki terendah dalam setahun), maka zakatnya adalah:

Zakat = pelaburan pokok @ baki terendah x kadar zakat = RM 30,000 x 2.5% = RM 750

Penutup

Itulah sahaja serba-sedikit cara pengiraan zakat emas bagi be berapa situasi lazim.

Sebagai orang Islam, mengeluarkan zakat itu adalah wajib apabila cukup syarat-syaratnya.

Semoga dengan zakat yang dikeluarkan dapat menambah berkat ke atas harta yang dimiliki.

InsyaAllah.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini, ya!

Baca juga:  Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2018 Untuk eFiling 2019

perancang harta pusaka islam islamic estate planner

Saya merupakan Perancang Harta Pusaka Islam (Islamic Estate Planner, IEP) yang bernaung di bawah syarikat as-Salihin Trustee Berhad (AST). Saya sedia membantu dalam perancangan harta pusaka anda; penulisan wasiat, pentadbiran harta pusaka, perjanjian aset perolehan bersama, deklarasi hibah, amanah hayat dan amanah insurans/takaful. Boleh hubungi saya di 013-9798719 (klik di sini untuk terus hubungi saya)

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini