Kadar Zakat Fitrah 2020 Bagi Setiap Negeri di Malaysia

kadar zakat fitrah 2020 1441 malaysiaBulan Ramadan akan menjelang tiba, begitu juga kewajipan zakat, maka wajib untuk tahu kadar zakat fitrah 2020 untuk memudahkan persediaan mengeluarkan bayaran nanti.

Walaupun sekarang sedang diselubungi kebimbangan wabak COVID-19, namun kewajipan menjalani ibadah puasa Ramadan tetap berjalan seperti biasa.

Begitu juga dengan kewajipan menunaikan zakat fitrah.

Malah tidak lengkap ibadah puasa jika tidak mengeluarkan zakat fitrah bagi mereka yang memenuhi syarat.

Sebelum kita pergi kepada kadar zakat fitrah 2020 bagi setiap negeri di Malaysia, jom kita ulangkaji serba sedikit tentang zakat fitrah.

Definisi zakat fitrah

Zakat dari segi bahasa bermaksud menyucikan dan membersihkan diri, manakala dari segi istilah bermaksud mengeluarkan sebahagian harta pada kadar tertentu kepada golongan asnaf yang memerlukan mengikut ketetapan syariat Islam.

Zakat fitrah pula adalah zakat individu yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Hukum zakat fitrah

Hukum zakat fitrah adalah wajib ke atas umat Islam (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Syarat #1 Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya berbanding keperluan tanggungannya (berkemampuan) pada malam dan pagi Aidilfitri
  • Syarat #2 Hidup/lahir sebelum matahari jatuh dan kekal hidup selepas terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan (malam 1 Syawal)
  • Syarat #3 Kekal/memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  • Syarat #4 Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan (sempat bertemu akhir Ramadhan dan pertama Syawal)

Zakat fitrah dikeluarkan oleh ketua keluarga untuk dirinya dan juga tanggungannya (suami keluarkan zakat fitrah untuk dirinya, isteri, anak-anak, ibubapa dan sesiapa sahaja di bawah tanggungannya)

Baca juga:  Panduan Lengkap Cara Isi eFiling Bagi Pengiraan Cukai Pendapatan

Rukun-rukun zakat fitrah

  • Rukun #1 Niat ikhlas semata-mata kerana Allah
  • Rukun #2 Pemberi zakat
  • Rukun #3 Penerima/wakil penerima zakat (amil)
  • Rukun #4 Barang/item yang dizakatkan (duit, makanan asasi)
  • Rukun #5 Kadar zakat yang dikeluarkan

Kadar zakat fitrah 2020 bagi setiap negeri di Malaysia

Oleh kerana tanggungjawab mengutip dan mengagihkan zakat adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, maka kadar zakat fitrah adalah ditentukan oleh Majlis Agama Negeri masing-masing,

Seperti mana yang ditetapkan, kadar zakat fitrah adalah bersamaan satu gantang Baghdad bersamaan 2.7kg makanan ruji (di Malaysia, beras) atau senilai dengannya.

Majlis Agama Negeri kebiasaannya menentukan kadar zakat fitrah berdasarkan nilai dan gred beras yang banyak digunakan masyarakat negeri tersebut.

Sebagai contoh, jika kebanyakan rakyat negeri A makan beras gred tinggi manakala rakyat negeri B makan gred sederhana, maka kadar zakat fitrah negeri A akan lebih tinggi berbanding negeri B.

Atas sebab inilah kadar zakat fitrah 2020 bagi negeri-negeri di Malaysia, ada yang sama, ada yang berbeza, kerana mengikut nilai dan gred beras yang digunakan kebanyakan rakyat di setiap negeri.

Walaubagaimanapun, ada negeri yang mengeluarkan kadar zakat fitrah yang pelbagai sama ada mengikut jenis beras yang berbeza-beza atau kemampuan rakyatnya.

Maklumlah, bukan semua orang makan jenis beras yang sama.

Ada yang berkemampuan, makan beras yang lebih bernilai tinggi.

Ada pula yang makan beras jenis biasa sahaja.

Jadi, bagi negeri yang mempunyai pelbagai kadar, terpulang kepada pembayar untuk mengeluarkan zakat fitrah mengikut kemampuan masing-masing serta jenis beras yang sentiasa dimakan.

Jom kita lihat kadar zakat fitrah 2020 bagi setiap negeri di Malaysia.

Oh ya, saya letakkan juga kadar tahun 2019 untuk perbandingan.

Kadar zakat fitrah 2020 bagi setiap negeri di Malaysia

kadar zakat fitrah 2020 1441 malaysia

Perlis

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 7

Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)

Kedah

  • 2019: RM 7 / RM 14 / RM 21
  • 2020: RM 5 (kurang berkemampuan, tanggungan ramai) / RM 7 (beras tempatan kadar hancur 5%) / RM 14 (beras import) / RM 21 (beras basmathi)

Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman

Pulau Pinang

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 7 / RM 16 (bagi yang lebih berkemampuan)

Zakat Pulau Pinang

Perak

  • 2019: RM 7 / RM 14 / RM 21
  • 2020: RM 7 / RM 14 / RM 21

Majlis Agama Islam & Adat Melayu Perak (MAIAMP)

Selangor

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 7 (beras tempatan biasa) / RM 14 (beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi) / RM 21 (beras basmathi/beras jepun/beras merah)

Lembaga Zakat Selangor

Wilayah Persekutuan

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 5 (kurang berkemampuan) / RM 7

Pusat Pungatan Zakat MAIWP

Negeri Sembilan

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 7

Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan

Melaka

  • 2019: RM 7 / RM 14
  • 2020: RM 7 / RM 14

Pusat Zakat Melaka MAIM

Johor

  • 2019: RM 7 / RM 10
  • 2020: RM 7 (beras super tempatan biasa) / RM 10 (beras-beras lain)

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ)

Pahang

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 7

Pusat Kutipan Zakat MUIP

Terengganu

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 7

Majlis Agama Islam & Adat Melayu Terengganu

Kelantan

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 7 / RM 14 / RM 21 – mengikut harga beras yang biasa dimakan

Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan

Sabah

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 6 (kurang berkemampuan) / RM 7.50

Bahagian Zakat & Fitrah MUIS

Sarawak

  • 2019: RM 7
  • 2020: RM 7

Tabung Baitulmal Sarawak

Baca juga:  10 Jenis Zakat Harta Yang Mesti Diketahui

Cara bayar zakat fitrah

Adalah digalakkan supaya bayaran zakat fitrah disalurkan kepada Majlis Agama Negeri melalui Pusat Pungutan Zakat atau amil-amil yang dilantik.

Boleh terus pergi ke mana-mana cawangan Pusat Pungutan Zakat atau berjumpa amil-amil yang dilantik sama ada di masjid-masjid, bazar-bazar Ramadan atau di mana-mana sahaja mereka berada.

Malah, sempena PKP sekarang dan untuk mengurangkan wabak COVID-19, adalah digalakkan untuk buat bayaran zakat fitrah online sahaja.

Dengan membuat bayaran kepada Majlis Agama Negeri, bayaran zakat tadi dapat disampaikan dengan lebih sistematik dan menyeluruh kepada asnaf-asnaf yang memerlukan.

Tetapi, jika berniat untuk memberi terus kepada asnaf-asnaf, juga dibolehkan.

Namun, perlulah dipastikan orang yang diberi tersebut betul-betul merupakan golongan asnaf.

Jika orang yang menerima tersebut bukannya asnaf, dibimbangi amalan mengeluarkan zakat tadi tidak sah dan hanya menjadi sedekah/hadiah.

Sebab itulah lebih mudah membuat bayaran kepada Majlis Agama Negeri, kerana mereka mempunyai cara dan prosedur yang baik untuk mengenalpasti asnaf-asnaf yang betul-betul sah dan layak.

Waktu-waktu untuk membayar zakat fitrah

  • Waktu wajib – Bermula terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan sehingga terbit matahari pada hari pertama Syawal
  • Waktu paling afdhal – Sebelum solat sunat Aidilfitri
  • Waktu sunat – Sepanjang hari pada bulan Ramadhan
  • Waktu makruh – Selepas solat sunat Aidilfitri sehingga terbenam matahari pada 1 Syawal
  • Waktu haram – Selepas terbenam matahari pada 1 Syawal

Walaubagaimanapun, sebaik-baiknya dinasihatkan supaya menunaikan ibadat zakat fitrah seawal yang mungkin, iaitu sepanjang hari dalam bulan Ramadan.

Jika semua orang menunggu sehingga waktu wajib dan waktu paling afdhal untuk menunaikan zakat, dibimbangi berebut-rebut dan tidak sempat lalu menyebabkan ibadat zakat tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Oh ya, sebelum terlupa.

Selain daripada menunaikan kewajipan zakat fitrah, digalakkan juga untuk menyempurnakan kewajipan zakat harta dalam bulan Ramadan ini.

Maklumlah, zakat harta perlu dikeluarkan setiap tahun Hijrah, jadi mudahlah jika dikeluarkan dalam bulan Ramadan supaya senang untuk diingati.

Jadi, tunggu apa lagi, jom bayar zakat!

p/s: Jangan lupa kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

Baca juga:  Zakat Simpanan ASB: Hukum & Pengiraan

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini