Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2016 Untuk e-Filing 2017

pelepasan cukai pendapatan 2016Jika dilihat di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak LHDN baru sahaja mengemaskini senarai pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi individu warganegara/pemastautin Malaysia.

Bermula 01 Mac 2017 nanti, semua individu warganegara/pemastautin Malaysia yang memenuhi syarat dikehendaki menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2016 dengan mengisi e-Filing.

Taksiran 2016 diisi pada tahun 2017, taksiran 2017 akan diisi pada tahun 2018.

Maka, senarai pelepasan cukai pendapatan terbaru ini akan digunakan ketika isi e-Filing nanti, supaya jumlah pendapatan bercukai dapat dan jumlah cukai kena bayar dapat dikurangkan.

Untuk lihat senarai tersebut, boleh ke laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/, klik pada Individu, kemudian klik pada Pelepasan Cukai.

Terdapat 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016 yang disenaraikan, sepertimana yang berikut:

pelepasan cukai pendapatan 2016

Jika diteliti, ada beberapa perubahan berbanding senarai pelepasan cukai tahun-tahun sebelumnya.

Jom kita teliti satu per satu.

Pelepasan #1 – Individu dan saudara tanggungan

Yang ini sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pelepasan ini diberikan kepada semua individu, dan jumlahnya masih sama iaitu RM 9,000

Pelepasan #2 – Penjagaan ibu bapa

Untuk jenis ini, ada sedikit penambahbaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum ini, pelepasan hanya dibenarkan untuk perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibubapa yang mempunyai masalah kesihatan yang disahkan pengamal perubatan sahaja.

Pelepasan ini masih diteruskan untuk tahun 2016, dan jumlahnya juga masih sama iaitu RM 5,000

Tambahan untuk pelepasan cukai pendapatan 2016, pelepasan juga diberikan bagi perbelanjaan menyara ibubapa meskipun mereka tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak tinggal bersama-sama.

Inisiatif ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak yang mengambil berat berkenaan kebajikan ibubapa mereka dan sokongan kerajaan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 1,500 bagi ibu (jika bapa telah tiada), RM 1,500 bagi bapa (jika ibu telah tiada) atau RM 3,000 bagi kedua-dua ibubapa (kedua-duanya masih ada)

Walaubagaimanapun, pelepasan ini ada syaratnya iaitu ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.

Pelepasan #3 – Peralatan sokongan khas

Pelepasan ini hanya khas bagi individu kelainan upaya (OKU) atau untuk suami/isteri, anak atau ibubapa kelainan upaya.

Pelepasan diberikan bagi perolehan atau perbelanjaan peralatan sokongan khas yang dieprlukan dan jumlahnya terhad kepada RM 6,000

Pelepasan #4 – Individu kelainan upaya (OKU)

Bagi individu OKU, mereka mendapat pelepasan tambahan sebanyak RM 6,000 selain daripada pelepasan individu di atas (#1)

Baca juga:  3 Cara Utama Penyucian Harta

Pelepasan #5 – Yuran pendidikan sendiri

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi yang sedang melanjutkan pelajaran, berhak untuk menuntut pelepasan yuran pendidikan sendiri.

Walaubagaimanapun, bagi peringkat Sijil, Diploma atau Sarjana Muda, kursus yang layak dihadkan kepada Undang-undang, Perakaunan, Kewangan Islam, Teknikal, Vokasional, Industri, Saintifik atau Teknologi sahaja.

Bagi peringkat Sarjana dan PhD pula, sebarang bidang atau kursus pengajian adalah layak menuntut pelepasan ini.

Bagi yang menerima biasiswa bagi pengajian yang sedang diikuti adalah tidak layak menuntut pelepasan ini.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 7,000 (sebelum ini RM 5,000 sahaja)

Pelepasan #6 – Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati

Bagi meringankan beban individu yang mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan penyakit kritikal sama ada melibatkan diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan diberikan sebanyak RM 6,000

Antara penyakit kritikal yang dibenarkan pelepasan adalah kanser, serangan jantung, pulmonary hypertension, sakit buah pinggang kronik, sakit hati (liver/hepatic) kronik, fulminant viral hepatitis, tumor & kecacatan pembuluh darah di otak, melepuh & melecur kebakaran yang keterlaluan, pemindahan organ utama, sindrom Parkinson, HIV & AIDS, pemotongan kaki/tangan, kecederaan kepala akibat kemalangan, penyakit kulit kronik, penyakit mental, diabetes mellitus, talasemia major, rheumatology dan leukemia.

Pelepasan #7 – Pemeriksaan perubatan penuh

Bagi pemeriksaan perubatan penuh untuk diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 500 diberikan.

Pelepasan #8 – Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan

Pelepasan sebanyak RM 1,000 diberikan bagi perbelanjaan melibatkan pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan sama ada secara hardcopy atau elektronik.

Perbelanjaan bagi pembelian surat khabar dan bahan bacaan terlarang adalah tidak dibenarkan untuk pelepasan ini.

Pelepasan #9 – Pembelian komputer peribadi untuk individu

Pelepasan ini layak untuk pembelian komputer meja (desktop), komputer riba (laptop), notebook dan ultrabook, dan tidak layak untuk pembelian tablet, telefon pintar dan komputer hybrid.

Pelepasan ini dibenarkan 3 tahun sekali sahaja, maksudnya jika pernah menuntut pada tahun 2015 atau 2014, maka tidak layak untuk tahun 2016.

Dan jika tuntut pada tahun 2016, maka tidak layak untuk tuntut pada tahun 2017 atau 2018 kelak.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 3,000

Pelepasan #10 – Tabungan bersih dalam skim SSPN

Pelepasan ini melibatkan tabungan bersih dalam skim SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Tabungan bersih adalah berdasarkan jumlah simpanan sepanjang 2016 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2016 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi tabungan bersih dalam SSPN dihadkan kepada RM 6,000

Pelepasan #11 – Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan

Perbelanjaan bagi pembelian peralatan sukan adalah diberi pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 300

Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah yang tersenarai di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 sahaja; terdapat lebih kurang 39 aktiviti sukan yang tersenarai di bawah akta (boleh lihat senarai lengkap dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html)

Pembelian pakaian sukan dan kasut sukan adalah tidak layak untuk pelepasan ini, hanya untuk peralatan sukan.

Pelepasan #12 – Faedah pembelian rumah

Pelepasan cukai pendapatan bagi faedah pembelian rumah adalah terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.

Untuk syarat kelayakan dan formula pengiraan, boleh rujuk dalam gambar di atas.

Pelepasan #13 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada isteri

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi jenis ini ditingkatkan kepada RM 4,000 (sebelum ini adalah RM 3,000)

Jadi, jika mempunyai pasangan (suami/isteri) yang tidak mempunyai pendapatan, boleh menuntut pelepasan ini.

Bayaran alimoni merujuk kepada bayaran nafkah yang diberikan kepada bekas isteri sepertimana yang ditetapkan mahkamah.

Pelepasan #14 – Suami/isteri kelainan upaya

Jika mempunyai dan menjaga suami/isteri kurang upaya, maka diberikan keistimewaan menuntut pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500

Baca juga:  Kisah Harta Wakaf Saidina Uthman ibn Affan

Pelepasan #15 – Anak di bawah umur 18 tahun

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi pelepasan cukai pendapatan 2016, jumlah layak tuntut telah ditingkatkan bagi kategori ini.

Jika mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan belum berkahwin, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 atas seorang anak.

Tiada had bilangan anak; jika punyai 10 orang anak berumur bawah 18 tahun dan belum berkahwin, maka boleh tuntut atas kesemua mereka.

Jika suami dan isteri isi e-Filing secara berasingan melalui taksiran individu (bukan taksiran bersama), maka setiap seorang layak menuntut RM 1,000 sahaja atas seorang anak (kelayakan 50% dalam e-Filing)

Pelepasan #16 & #17 – Anak berumur 18 tahun ke atas

Bagi kategori ini, jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 turut ditingkatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 seorang.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang mengikuti pengajian peringkat diploma atau ke atas di mana-mana institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (bagi institusi pengajian tinggi luar Malaysia, kursus ijazah atau ke atas sahaja), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 8,000 seorang.

Pelepasan ini hanya terpakai bagi kursus dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan sahaja.

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #18 – Anak kelainan upaya

Untuk setiap anak kandung kelainan upaya yang dijaga, layak untuk menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 seorang.

Bagi anak kelainan upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan, maka layak menuntut pelepasan tambahan lagi sebanyak RM 8,000

Ini bermakna, sekiranya anak kelainan upaya ini melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya adalah sebanyak RM14,000

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #19 – Insuran/takaful nyawa dan caruman KWSP

Untuk jumlah campuran antara bayaran caruman insuran/takaful nyawa dan KWSP (caruman dari bahagian sendiri), jumlah pelepasan adalah dihadkan kepada RM 6,000

Maksudnya, andaikata anda membayar caruman takaful nyawa sebanyak RM 3,000 setahun dan KWSP sebanyak RM 5,000 setahun, maka anda hanya layak menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 sahaja.

Pelepasan #20 – Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda

Jika ada menyimpan dengan Skim Persaraan Swasta (Private Retrement Scheme, PRS) atau mencarum Anuiti Tertunda (skim insurans/takaful persaraan), maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Dengan syarat, skim yang disertai adalah diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pelepasan #21 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan

Bagi caruman sebarang skim insurans/takaful pendidikan atau perubatan, maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Insurans/takaful kesihatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)

Pelepasan #22 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Ini adalah kategori baru bagi pelepasan cukai pendapatan 2016.

Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak mendapat pelepasan cukai sebanyak RM 250

Peringatan penting

Itulah sahaja 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016.

Salah satu cara untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar adalah dengan mengoptimasikan tuntutan atas pelepasan-pelepasan yang layak.

Maka, amatlah penting untuk mengetahui dan memahami setiap jenis pelepasan cukai pendapatan yang dibenarkan.

Namun ingat, pastikan tuntut bagi pelepasan yang betul-betul layak dan sah sahaja.

Pastikan juga anda menyimpan resit perbelanjaan dan dokumen yang betul bagi setiap pelepasan yang dituntut.

Pihak LHDN berhak untuk membuat audit ke atas setiap borang taksiran yang dihantar dan meminta resit atau dokumen sebagai bukti ke atas maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang taksiran tersebut.

Jika terdapat kesalahan atau dokumen tidak diterima, maka LHDN akan mengira semula jumlah cukai kena bayar dan menuntut bayaran selebehinya daripada anda.

Saya pernah diaudit oelh LHDN beberapa tahun lepas, syukur tiada apa-apa masalah.

Manalah tahu tahun ini giliran anda pula.

Akhir kata, selamat mengisi e-Filing!

Baca juga:  4 Jenis Riba & Contoh Situasi Yang Mesti Dijauhi

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

38 Comments

  1. cheah

    Jika ada derma kepada badan pertubuhan seperti MAKNA, di mana perlu kita isi?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Untuk derma, boleh diisi pada bahagian kedua, iaitu pada bahagian Pendapatan Berkanun, Jumalah Pendapatan etc, ada satu ruangan untuk Jumlah Derma dan Hadiah Yang Diluluskan. Boleh isi di situ.

      Reply
  2. Abdullah

    Pemberian kepada ibubapa… adakah memerlukan resit atau apa2 penyata… macam mana kalau kita hnya bagi by hand…

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Oleh kerana ini adalah pelepasan yang baru diwujudkan pada tahun ini, maka masih kabur lagi bagaimana pihak LHDN akan membuat semakan/audit untuk pelepasan ini. Pada pendapat saya, mungkin resit atau penyata tidak diperlukan, tetapi bukti untuk menyokong status ibubapa kandung (seperti surat beranak) dan jumlah pendapatan ibubapa (penyata pendapatan ibubapa) mungkin diperlukan jika pihak LHDN nak melakukan semakan.

      Reply
      1. mariss

        Kalau seorang ibu menerima pencen setelah peninggalan suaminya, adakah pencen itu dianggap sebagai pendapatan dan layak dikecualikan cukai?
        Pencen itu tidak melebihi $2000 sebulan.

        Boleh kah si anak memohon pengecualian?Katakan si ibu mempunyai 2 orang anak.

        Reply
        1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

          Setahu saya, bayaran pencen adalah pendapatan yang tidak dikecualikan cukai. Lagipun, jumlah yang diterima ibu saudari adalah tidak mencapai jumlah minimum dikenakan cukai, jadi ibu saudari tidak perlu membayar cukai.

          Reply
          1. mariss

            Terima kasih di atas feedback Encki Izzuddin.

            Jadi bolehkan saudara saya claim until pihaknya sahaja
            $1,500 amaun penuh jika saya tidak bercadang untuk claim?

            Tapi jikalau saya menukar fikiran dan bercadang untuk claim bersama, bolehkah saya bertanya apakah dia Helaian Kerja yang perlu diisikan? Di manakah saya boleh mendapatkannya?

          2. Izzuddin Jaaffar (Post author)

            Kalau seorang sahaja antara 2 beradik saudari yang nak claim, maka boleh claim penuh. Kalau dua-dua nak claim, kena bahagi 2. Tidak perlu isi apa-apa helaian kerja, dalam e-filing dah ada ruang khas untuk isi tuntutan pelepasan ibubapa.

  3. Last Minit E Filing 2017

    Jikalau bapa meninggal, manakala Ibu dalam keadaan sakit kanser yang telah disahkan oleh pengamal perubatan, adakah saya layak membuat tuntutan RM 5000? Tanpa resit?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Mengikut NotaBE yang dikeluarkan pihak LHDN:

      PERBELANJAAN RAWATAN PERUBATAN, KEPERLUAN KHAS DAN PENJAGA IBU BAPA

      Perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga ibu bapa dibenarkan sebagai potongan terhad kepada RM5,000. Perenggan 46(1)(c) ACP 1967. Perbelanjaan perubatan yang layak termasuk:
      (i) rawatan perubatan dan penjagaan yang diperuntukkan oleh rumah penjagaan; dan
      (ii) rawatan pergigian dihadkan kepada mencabut gigi, menampal gigi, membersihkan karang gigi tetapi tidak termasuk rawatan kosmetik.

      Tuntutan mestilah disokong oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia yang mengesahkan bahawa keadaan kesihatan ibu bapa memerlukan rawatan perubatan atau keperluan khas atau
      penjaga.

      Ibu bapa mestilah bermastautin di Malaysia.

      Rawatan perubatan dan perkhidmatan penjaga disediakan dalam Malaysia.

      Dalam kes penjaga, mestilah dibuktikan dengan perakuan bertulis, resit atau salinan permit kerja penjaga.

      “Penjaga” tidak termasuk individu, suami / isteri atau anak individu berkenaan.

      Berdasarkan kenyataan ini, jika memang ada mengeluarkan perbelanjaan untuk rawatan kesihatan ibu atau bapa atau kedua-duanya, maka layak menuntut pelepasan sehingga RM 5,000

      Perbelanjaan tersebut mestilah yang dilakukan pada tahun 2016.

      Resit diperlukan sebagai bukti jika diaudit oleh LHDN.

      Reply
  4. Lupa e filing

    Sekiranya, isteri saya tidak bekerja selama 6 bulan, boleh saya claim isteri tidak berpendapatan sebanyak RM2000?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih atas pertanyaan.

      Jika rujuk NotaBE, syarat bagi pelepasan suami/isteri adalah seperti berikut:
      Pelepasan suami diberi sebanyak RM4,000 bagi suami yang tiada punca pendapatan / tiada jumlah pendapatan atau suami memilih taksiran bersama, atau
      Pelepasan isteri diberi sebanyak RM4,000 bagi isteri yang tinggal bersama dalam tahun asas, isteri tiada punca pendapatan / tiada jumlah pendapatan atau isteri memilih taksiran bersama.

      Bagi soalan Tuan, sekiranya isteri Tuan semasa tahun 2016 bekerja 6 bulan sahaja dan pendapatannya tidak mencapai jumlah minimum RM 34,000/tahun (selepas potongan KWSP), maka Tuan boleh claim pelepasan ke atas isteri Tuan sebanyak RM 4,000 kerana isteri Tuan tidak perlu/layak memfailkan cukai pendapatan.

      Tetapi, jika pendapatan 6 bulan isteri Tuan adalah lebih RM 34,000 (selepas potongan KWSP), maka Tuan tidak layak menuntut pelepasan tersebut, kecuali jika dibuat taksiran bersama (joint assessment)

      Reply
  5. petrina lim

    adakah bayaran gst dianggap sebagai company expenses bila membuat pengiraan untuk Borang B

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Hi Petrina Lim!

      Terima kasih atas pertanyaan.

      Tetapi maaf, saya agak kurang tahu berkenaan cukai korporat atau perniagaan. Sebaik-baiknya bertanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Boleh hubungi LHDN di 1-800-88-5436 atau pergi ke mana-mana pejabat LHDN berdekatan.

      Reply
  6. Faizal

    semasa LHDN menyemak resit, adakah mereka menerima resit2 fotostat atau yang ditangkap gambar? Resit asal dah tak nampak/pudar.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi bertanya.

      Saya sendiri pernah diaudit oleh pihak LHDN. Mereka menghantar surat meminta saya menghantar penyata pendapatan dan resit-resit perbelanjaan bagi pelepasan dan rebat cukai yang saya tuntut. Semua dokumen perlu diposkan kembali kepada mereka atau dihantar ke kaunter LHDN berdekatan.

      Apa yang saya buat, saya hanya hantar salinan fotostat semua dokumen yang diminta melalui pos. Alhamdulillah, pihak LHDN terima dan tidak meminta dokumen asal. Walaubagaimanapun, dokumen asal tetap saya simpan sebagai persediaan jika pihak LHDN minta sekali lagi.

      Reply
  7. bertanya

    tuan nk tanya.. pembelian petrol kenderaan termasuk dlm pelepesan?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Setahu saya, untuk cukai pendapatan individu, tiada pelepasan cukai untuk pembelian petrol kenderaan.

      Reply
  8. Faisal hadi

    Salam… Sy tersalah isi borang taksiran 2016, sepatutnya sy isi borang B (sbb meniaga) jadi ape perlu sy buat, jika tersalah efiling..? Pencerahan

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Wa’alaikummussalam. Saranan saya, lebih baik Tuan ke mana-mana pejabat LHDN. Tuan boleh bertanya kepada pegawai di sana.

      Reply
  9. eddy

    adoi surat lhdn sampai suruh bayar yang 2014 punya padahal masa declare dulu siap dapat lebihan bayaran pcb lg ni nak kena bayar pula.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Ya, pihak LHDN memang melakukan audit dari semasa ke semasa, yang mana turut melibatkan pengisytiharan cukai pada tahun-tahun terdahulu.

      Apa-apa pun, kalau Tuan tak berpuas hati atau ada perkara meragukan, boleh berkunjung ke mana-mana cawangan LHDN.

      Reply
  10. Mazlan

    Jadi kalau isteri bekerja suami tak boleh dapat pelepasan 4,000?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Ini yang dinyatakan dalam NotaBE yang disediakan LHDN bagi pelepasan ini:

      Pelepasan suami diberi sebanyak RM4,000 bagi suami yang tiada punca pendapatan / tiada jumlah pendapatan atau suami memilih taksiran bersama. Seksyen 45A ACP 1967.

      Pelepasan isteri diberi sebanyak RM4,000 bagi isteri yang tinggal bersama dalam tahun asas, isteri tiada punca pendapatan / jumlah pendapatan atau isteri memilih taksiran bersama. Perenggan 47(1)(a) ACP 1967.

      Maksudnya, pelepasan ini hanya layak untuk suami/isteri yang membuat taksiran bersama, atau salah seorang daripadanya tidak mempunyai punca pendapatan.

      Reply
  11. Jess Den

    untuk pelepasan penjagaan ibu bapa, empat daripada tiga orang anak menuntut untuk pelepasan ini, jumlahnya adalah rm3000 bagi setiap anak yang membuat penuntutan atau perlu dibahagikan?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Perlu dibahagikan kepada bilangan anak. Jadi, RM 3000/3 orang = RM 1000 seorang.

      Reply
  12. Husni

    Hai, sy nk tanya.. Perlepasan untuk tangungan ibu bapa tu macam mana syaratnya.. Umur melebihi 60 tahun dan gaji bawah 2000…kedua duanya atau salah satu..

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Kalau kedua-dua ibubapa memenuhi kedua-dua syarat, maka boleh dituntut ke atas kedua-duanya.

      Kalau hanya salah seorang memenuhi syarat, contohnya bapa dan berusia 61 tahun, tetapi ibu baru berusia 58 tahun, maka hanya layak tuntut ke atas bapa sahaja.

      Reply
  13. mariss

    Dibawah Gaya Hidup No. 4 Langganan Internet

    Adakah di atas bermaksud home wifi macam TM Streamyx? Bolehkah saya claim untuk ini dibawah gaya hidup? Adakah gst perlu dimasukkan sekali bersama jumlah langganan bulanan?

    Contohnya Streamyx sebulan $110 +gst x 12 bulan?

    Atau tidak termasuk gst?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Ya, langganan internet TM Streamyx boleh dikira sebagai langganan internet untuk pelepasan gaya hidup. Hanya jumlah langganan internet, tidak termasuk GST dan servis tambahan lain, yang boleh dituntut pelepasan.

      Reply
  14. Fizan

    Adakah Langganan Internet termasuk dengan mobile phone bill? Kerana saya menggunakan line dari phone saya untuk melayari internet.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Ya

      Reply
  15. nurin

    Saya seorang isteri bekerja tetapi belum layak dikenakan cukai lg.. walaubagamanapun suami pendapatan telah lebih dan layak dikenakan cukai. Adakah perlu diisi pendapatan berasingan atau isteri tiada pendapatan?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Boleh pilih isteri tiada pendapatan.

      Reply
  16. naz

    saya ada beli peralatan sukan seperti basikal sukan.bolehkah dikira sebagai peralatan sukan dan disikan dalam borang ea

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Yang dinyatakan LHDN:

      Perbelanjaan untuk kegunaan diri sendiri, suami / isteri atau anak bagi:
      Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan yang disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997. Peralatan sukan termasuk alat-alat yang mempunyai jangka hayat yang singkat seperti bola golf dan bulu tangkis tetapi TIDAK TERMASUK basikal dua roda yang bermotor, pakaian sukan contohnya pakaian renang dan kasut sukan.

      Senarai sukan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997:
      Archery
      Athletics
      Aquatics
      Automobile Sports
      Badminton
      Basketball
      Billiards and Snooker
      Body Building
      Bowling
      Boxing
      Cricket
      Cycling
      Equestrian Sports
      Fencing
      Foolball
      Golf
      Gymnastics
      Handball
      Hockey
      Judo
      Karate Do
      Lawn Bowls
      Netball
      Rugby
      Sepak Takraw
      Shooting
      Silat Olahraga
      Soft Tennis
      Softball
      Squash
      Table Tennis
      Tae kwan do
      Tennis
      Volleyball
      Waterski
      Weightlifting
      Wrestling
      Wushu
      Yachting

      Reply
  17. Miszjaja

    Assalamualaikum…sy nk tanya…bagaimana pula perkiraan cukai jika sy bekerja gomen, tp dlm masa yg sama ada meniaga kecil2an..adakah pendapatan dr biz sy perlu diistihar?cth mniaga online?sy dh buat efiling utk 2017, dan pendapatan sy x dikenakan cukai, dan ade lebihan byran..slalunya proses mdapat balik duit lebihan byr brapa lama ye?trime kasih

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Jika berniaga, walaupun secara kecil-kecilan, kena daftar SSM dan pendapatannya perlu diisytihar apabila isi e-Filing.

      Duit lebihan cukai biasanya dikembalikan dalam masa 2 ke 3 minggu jika tiada apa-apa masalah.

      Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini