5 Peraturan Asas Berkaitan Perlindungan Insurans Takaful

perlindungan insurans takafulSeperti yang sering dinyatakan, perlindungan insurans takaful adalah salah satu elemen yang sangat penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Perlindungan insurans takaful akan bertindak sebagai sumber dana kecemasan utama apabila ditimpa musibah-musibah yang tidak diduga, seperti kematian, kelumpuhan dan penyakit kritikal.

Instrumen kewangan ini juga berperanan sebagai pelindung kepada aset dan kedudukan kewangan sedia ada supaya tidak terkesan dengan teruk jika musibah berlaku.

Perlindungan ini seterusnya akan memastikan matlamat kewangan yang diingini dapat dicapai sepertimana dirancang.

Jika dilihat kepada perkembangan sekarang, dengan usaha giat yang dimainkan oleh pemain industri insurans takaful (syarikat dan agen), boleh dikatakan kesedaran tentang kepentingan insurans takaful semakin meningkat.

Semakin ramai yang memiliki insurans takaful.

Namun begitu, masih wujud lagi kelompongan berhubung pemilikan perlindungan insurans takaful di kalangan rakyat Malaysia.

Contohnya, laporan daripada Pertubuhan Insurans Hayat Malaysia (Life Insurance Association of Malaysia, LIAM) menyatakan walaupun 50% daripada rakyat Malaysia (sekitar 12.5 juta orang) memiliki insurans hayat, namun 90% daripada mereka memiliki jumlah perlindungan yang tidak mencukupi (under-insured)

Boleh baca artikel tersebut di sini: http://insurance.org.my/90-per-cent-of-life-insured-malaysians-under-insured-says-liam/

Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku?

Punca utamanya adalah kerana ramai yang mengambil polisi insurans takaful tanpa tahu atau faham sepenuhnya tentang peraturan asas berkaitan instrumen perlindungan kewangan ini.

Apakah peraturan-peraturan asas tersebut?

Teruskan membaca untuk tahu lebih lanjut.

Peraturan #1 – Insurans takaful adalah instrumen kewangan untuk perlindungan

Ramai yang mengatakan adalah rugi untuk mempunyai perlindungan insurans takaful kerana jika tiada tuntutan dibuat, duit yang dibayar setiap bulan untuk polisi tersebut akan hangus begitu sahaja.

Ini adalah salah faham yang serius.

Harus diingat, perlindungan insurans takaful adalah salah satu produk atau instrumen kewangan.

Apabila membeli polisi insurans, anggaplah membeli satu produk kewangan (sepertimana dalam kontrak/polisi)

Apabila mengambil polisi takaful pula, anggaplah seperti menderma ke tabung yang diwujudkan untuk membantu orang lain (sepertimana dalam kontrak/polisi)

Dengan membuat anggapan sebegini, maka tidaklah timbul perasaan rugi mempunyai insurans takaful walaupun tiada tuntutan dibuat.

Lagipun, jika tiada tuntutan dibuat sepanjang tempoh perlindungan, ini bermaksud tiada musibah yang menimpa ke atas diri.

Bukankah ini sesuatu yang baik?

Tambahan lagi, fungsi utama insurans takaful adalah untuk perlindungan, dan perlindungan perlu disediakan sebelum sesuatu musibah berlaku.

Bukannya selepas musibah terjadi.

Jadi, mengapa perlu berasa rugi mengeluarkan sedikit wang untuk memiliki perlindungan insurans takaful.

Baca juga:  Cara Renew Road Tax & Insurans Kereta Online Melalui MyEG

Peraturan #2 – Jumlah perlindungan perlu mengikut keperluan individu

perlindungan insurans takafulSepertimana yang dinyatakan oleh LIAM, 90% daripada pemegang polisi insurans hayat mempunyai jumlah perlindungan yang lebih rendah berbanding keperluan yang sepatutnya (under-insured)

Kenapa perkara ini boleh berlaku?

Pada pendapat saya, puncanya kerana ramai mengambil perlindungan insurans takaful tanpa mengambil kira keperluan diri-sendiri yang sepatutnya.

Ejen-ejen pula gagal memberikan penerangan tentang jumlah perlindungan yang sepatutnya diambil klien mereka.

Mereka beranggapan, cukup sekadar ada polisi insurans takaful tanpa memberi penekanan kepada jumlah perlindungan yang diambil.

Sesetengahnya pula, hanya mengikut saranan yang diberikan ejen-ejen walaupun saranan tersebut tidak bertepatan dengan keperluan sebenar yang diperlukan pelanggan tersebut.

Ada juga sebaliknya, ejen telah menyarankan jumlah perlindungan yang secukupnya, tetapi pelanggan tetap berdegil untuk mengambil jumlah perlindungan yang kecil kerana tidak cukup peruntukan atau tidak mahu membayar lebih untuk perlindungan insurans takaful.

Mengikut rule-of-thumb, jumlah manfaat pelindungan insurans takaful yang harus dimiliki adalah 10 kali ganda keperluan perbelanjaan tahunan, terutamanya untuk penanggung nafkah.

Contohnya, jika keperluan adalah RM 50,000 setahun, maka jumlah perlindungan minimum seharusnya RM 500,000 supaya nanti dapat bertahan sehingga 10 tahun.

Jangka masa 10 tahun adalah tempoh yang sesuai untuk ‘pulih’ daripada musibah yang menimpa.

Peraturan #3 – Lindungi risiko yang penting dan mahal sahaja

Dalam artikel 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful, saya menekankan empat perkara asas yang perlu dilindungi iaitu 3D 1A; death (kematian), diasbility (kecacatan/kelumpuhan), disease (penyakit kritikal) dan asset (aset/harta)

Maka, jika mengambil perlindungan insurans takaful, utamakan manfaat-manfaat asas ini dan optimumkan supaya jumlah perlindungan adalah mengikut keperluan yang sepatutnya.

Abaikan perlindungan-perlindungan atau manfaat-manfaat kecil yang tidak penting.

Contohnya, untuk insurans hayat dan takaful keluarga, boleh abaikan manfaat khairat kematian, badal haji dan simpanan/pelaburan.

Lagipun, dengan mengambil manfaat untuk perkara-perkara kecil yang tidak penting, akan hanya mengurangkan jumlah perlindungan untuk perkara-perkara utama di samping boleh menyebabkan harga bayaran bertambah mahal.

Janganlah pula merungut jumlah bayaran yang mahal, walhal ada terambil perlindungan untuk perkara-perkara tidak penting.

Jadi, amatlah penting untuk merancang perlindungan yang ingin diambil dan berbincang dengan secukupnya bersama-sama ejen.

Baca juga:  Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

Peraturan #4 – Insurans takaful bukan instrumen pelaburan/simpanan

perlindungan insurans takafulSaya pernah menghadiri satu penerangan oleh sebuah penyedia insurans takaful.

Dalam penerangan tersebut, penceramah memberitahu sikap rakyat Malaysia terhadap perlindungan insurans takaful adalah amat berlainan dengan sikap rakyat negara lain.

Salah satu contoh yang diberikan, bagi rakyat negara lain apabila diperkenalkan dengan insurans takaful, mereka akan lebih mengutamakan jumlah pampasan/perlindungan yang akan diperoleh apabila ditimpa musibah.

Sebaliknya, rakyat Malaysia lebih gemar bertanya berapa jumlah yang akan dipulangkan semula jika tiada musibah berlaku.

Kurang kesedaran untuk bertanya atau mengetahui lebih lanjut berkenaan jumlah perlindungan.

Situasi ini sama seperti yang saya terangkan dalam peraturan #1 di atas.

Oleh kerana sikap sebegini, terdapat penyedia insurans takaful menyediakan pelan yang menggabungkan elemen perlindungan, simpanan dan pelaburan.

3 in 1.

Dan ramai yang memilih pelan sebegini kerana mereka lebih mementingkan jumlah yang akan diperoleh semula jika tiada tuntutan berlaku, berbanding memilih pelan yang menawarkan jumlah perlindungan yang besar.

Bukannya saya mengatakan salah untuk mengambil pelan sebegini, tetapi haruslah diingat, insurans takaful adalah instrumen perlindungan, bukannya simpanan atau pelaburan.

Apabila memilih pelan insurans takaful yang mempunyai elemen simpanan atau pelaburan, jumlah perlindungan akan menjadi kecil malah bayaran bulanan atau tahunan pula boleh menjadi mahal.

Tambahan lagi, keuntungan daripada simpanan atau pelaburan melalui pelan insurans takaful tidaklah sebesar mana, lebih baik menyimpan atau melabur sendiri.

Lagipun, jika memilih pelan 3 ini 1 sebegini, satu perkara yang perlu diketahui adalah bukan semua jumlah yang dibayar akan disimpan atau dilaburkan, sebaliknya sebahagian daripada bayaran tersebut akan digunakan untuk membayar caj-caj lain dalam pelan tersebut.

Sebagai contoh, anda membayar RM 200 sebulan untuk pelan sebegini, selepas 20 tahun, jumlah ‘simpanan’ anda tidak akan menjadi RM 48,000 (RM 200 x 12bulan x 20 tahun), sebaliknya kemungkinan besar akan jadi kurang daripada itu.

Peraturan #5 – Elakkan terlebih bayar untuk perlindungan insurans takaful

Berapa yang perlu dibayar untuk dapatkan perlindungan optimum daripada insurans takaful?

Cadangan yang baik adalah sekitar 5% ke 10% daripada pendapatan bulanan anda.

Maksudnya, jika gaji anda RM 2,000 sebulan, maka peruntukkan antara RM 100 ke RM 200 untuk perlindungan insurans takaful.

Jika lebih daripada itu, boleh dikatakan anda telah terlebih bayar untuk insurans takaful.

Dalam memilih polisi insurans takaful yang sesuai dan menentukan jumlah yang akan diperuntukkan, kena ambil kira beberapa perkara seperti pendedahan risiko, tanggungan nafkah, jumlah keperluan perlindungan, kemampuan kewangan dan jumlah aset-hutang yang dimiliki.

Saya ada tulis tentang perkara ini dalam artikel ini: Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

Oleh itu, pada peringkat permulaan semasa pendapatan masih kecil, pilih sahaja pelan insurans takaful yang murah dan sesuai dengan keperluan semasa.

Dari semasa ke semasa, seiring dengan pertambahan pendapatan, boleh tambah jumlah perlindungan agar memenuhi jumlah yang disarankan, iaitu 10 kali ganda keperluan perbelanjaan tahunan.

Di samping itu, keseimbangan antara jenis manfaat, jumlah perlindungan dan jumlah bayaran perlu juga diambil kira dalam memilih sesuatu pelan insurans takaful.

Sebab itulah digalakkan untuk melindungi risiko-risiko yang penting sahaja dan abaikan manfaat-manfaat kecil yang tidak penting, agar bayaran yang dikenakan nanti tidak membebankan.

Yang paling penting, pastikan bayaran untuk pelan perlindungan tersebut mampu dibayar.

Pelan insurans takaful sepatutnya membantu pengurusan kewangan anda, bukannya menjerat hingga menjejaskan peruntukan untuk perbelanjaan keperluan yang lain.

Penutup

Memiliki perlindungan takaful adalah asas penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Namun, haruslah dipastikan bahawa pelan insurans takaful yang dipilih mampu memenuhi keperluan peribadi dan menyediakan dana yang secukupnya apabila ditimpa musibah.

Oleh itu, perlulah memahami dan memenuhi semua peraturan asas berkaitan insurans takaful agar perlindungan yang diambil dapat berfungsi dengan baik tika saat memerlukan.

Baca juga:  4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini