6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus

langkah kawal belanjaPendapatan – Simpanan = Perbelanjaan

Formula di atas sebaik-baiknya diamalkan jika ingin mencapai pengurusan kewangan yang baik.

Sebahagian daripada pendapatan terlebih dahulu diperuntukkan untuk simpanan dan yang selebihnya barulah dibelanjakan.

Bukannya sebaliknya, iaitu menyimpan duit lebihan yang tidak dibelanjakan.

Jika dulu tok nenek mak ayah kita menyebut, “Nah, ambil duit ini! Belanja, yang lebih simpan”

Mungkin sekarang kita perlu tukar kepada, “Nah, ambil duit ini! Simpan dulu sikit, yang lebih baru belanjakan”

Apabila kita berjaya mengubah tabiat ini, senanglah nanti untuk mencapai objektif kewangan peribadi kita.

Situasi kewangan yang biasa dialami

1. Pendapatan > Simpanan + Perbelanjaan

Ini adalah situasi kewangan yang terbaik.

Jumlah pendapatan, walaupun setelah ditolak simpanan dan perbelanjaan, masih berbaki.

Dan baki ini boleh disimpan atau dilabur untuk mengembangkan lagi pendapatan.

Perjalanan hidup golongan ini biasanya penuh tenang dan bahagia tanpa perlu memikirkan masalah tentang wang.

Sebenarnya, mempunyai pendapatan yang besar bukan syarat utama untuk mencapai situasi ini.

Asalkan saja berhemah dan pandai menguruskan kewangan peribadi, semua orang boleh berada dalam situasi terbaik ini.

2. Pendapatan – Simpanan = Perbelanjaan

Dalam situasi ini, pendapatan yang diperoleh cukup-cukup untuk simpanan dan perbelanjaan.

Andai kata tidak mampu mencapai situasi pertama tadi, berada dalam situasi kewangan kedua ini pun sudah dikira baik.

3. Pendapatan > Perbelanjaan > (Pendapatan – Simpanan)

Mungkin anda keliru melihat formula di atas.

Situasi ini merujuk kepada golongan yang berbelanja kurang daripada pendapatan, tetapi sentiasa perlu mengorek simpanan untuk mencukupkan duit belanja.

Tabiat sebegini adalah kurang baik kerana jika dibiarkan untuk jangka masa panjang boleh menjejaskan tabung simpanan.

Lagipun, sedikit sebanyak boleh merendahkan motivasi dan melunturkan disiplin kita untuk menyimpan.

Iyalah, sebab tabung selalu sahaja dikorek.

Lama-kelamaan, apabila tabung simpanan tidak bertambah, semangat untuk menyimpan semakin pudar dan akhirnya lebih cenderung untuk membelanjakan semua pendapatan tanpa menyimpan sedikit pun.

Baca juga:  Cara Jimat Belanja Supaya Boleh Simpan Duit Lebih

4. Pendapatan = Perbelanjaan

Pendapatan yang diperoleh dibelanjakan semuanya tanpa diperuntukkan untuk simpanan.

Majoriti sebenarnya berada dalam situasi ini.

Entah di mana silapnya, pendapatan yang diperoleh langsung tidak boleh sedikit pun disimpan.

Jika keadaan ini berterusan, situasi ini boleh meletakkan diri dalam keadaan bahaya terutama jika terjadi kemalangan atau bencana yang memerlukan komitmen kewangan yang tinggi.

Contohnya apabila rumah dinaiki air banjir, kemalangan kereta atau jatuh sakit penyakit kronik.

Oleh kerana tiada simpanan langsung, dalam keadaan luar jangka tadi (minta dijauhkan), di mana mahu mencari wang?

Solusi yang biasa orang lakukan adalah berhutang, dan ini bukan sesuatu yang digalakkan.

5. Pendapatan < Perbelanjaan

Berbelanja melebihi pendapatan.

Lebih teruk lagi, berbelanja melebihi pendapatan sehingga berhutang keliling-pinggang.

Situasi ini seharusnya dielakkan.

Jika terbiasa berbelanja melebihi pendapatan, lakukanlah sesuatu untuk keluar dari situasi ini.

Tambah pendapatan atau kurangkan perbelanjaan.

Jika dibiarkan, takut nanti terjerumus ke lembah keberhutangan serius yang mana nanti akan menjadi semakin parah.

Sehingga boleh menjejaskan kualiti hidup.

Mana ada orang yang berhutang keliling pinggang tenang hatinya, bukan?

Kawal belanja supaya hati tenang

langkah kawal belanjaJika kita berada di situasi pertama dan kedua, itu adalah baik.

Aliran tunai adalah positif, jadi mudah untuk kita mencapai matlamat kewangan yang telah ditetapkan.

Tetapi jika berada di situasi ketiga, keempat dan kelima, sesuatu perlu dilakukan.

Apabila berada dalam situasi aliran tunai negatif, samaada perlu menyerang (menambah pendapatan) atau bertahan (mengurangkan perbelanjaan) untuk memperbaiki aliran tunai tersebut.

Kalau mempunyai modal, masa dan tenaga serta sanggup berusaha, mungkin boleh memilih untuk menambah pendapatan.

Bekerja lebih waktu, melakukan lebih daripada satu kerja atau memulakan bisnes.

Jika tidak mampu, pilihan strategi bertahan dengan mengawal dan mengurangkan perbelanjaan adalah lebih mudah.

Bagaimana nak kawal belanja?

Jika anda sentiasa mengalami kesukaran untuk mengawal diri daripada tumpas kepada nafsu berbelanja berlebihan, mungkin boleh mengikuti langkah-langkah yang akan dikongsikan nanti.

Ada beberapa langkah yang saya sendiri telah laksanakan dulu, dan ternyata berkesan (sekurang-kurangnya kepada diri saya)

1. Catat segala perbelanjaan yang dibuat setiap hari

Mulakan dengan mencatat segala perbelanjaan yang dilakukan setiap hari.

Ya, setiap hari, setiap sen tanpa gagal.

Kalau dulu mungkin hanya ada pen, kertas dan buku untuk mencatat, sekarang kita punyai lebih banyak pilihan yang lebih mudah.

Boleh gunakan komputer, tablet atau telefon pintar.

Banyak perisian budget tracker/planner yang tersedia, hanya perlu search dan download yang sesuai.

2. Jejak perbelanjaan

Tujuan mencatat adalah untuk menjejak ke mana wang kita dibelanjakan.

Oleh itu, perlu mencatat perbelanjaan sekurang-kurangnya untuk tiga bulan.

Jika ini dilakukan, kita akan dapat melihat pattern perbelanjaan kita, samaada wang telah dibelanjakan dengan betul atau tidak.

Baca juga:  [REVIEW] Combo ASB Genius: Himpunan Teknik Loan ASB Terbaik

3. Kenalpasti setiap perbelanjaan

Hasil dari catatan yang dilakukan, kenalpasti dan kategorikan setiap perbelanjaan yang dibuat.

Kategorikan kepada perbelanjaan keperluan dan kemahuan.

Perbelanjaan keperluan adalah untuk memenuhi keperluan asas hidup contohnya seperti belanja dapur, makanan, bil air, bil elektrik, bayaran rumah, nafkah dan pakaian.

Manakala perbelanjaan kemahuan perbelanjaan sampingan sekadar untuk memenuhi tuntutan gaya hidup seperti hiburan, bayaran kereta, bil telefon, bil internet dan hobi.

Selepas itu, kenalpasti setiap perbelanjaan itu samaada perbelanjaan tetap atau boleh ubah.

Bagi perbelanjaan tetap, mungkin tidak dapat dilakukan apa-apa untuk mengurangkannya, kecuali langkah drastik diambil seperti bayaran kereta dan bayaran rumah.

Tetapi, untuk perbelanjaan boleh ubah, di sinilah ruang untuk diperbaiki supaya aliran tunai menjadi lebih baik.

4. Sediakan bajet sendiri

Selepas dikenalpasti setiap perbelanjaan dan ruang penambahbaikan, perlu sediakan bajet.

Senaraikan dan tetapkan berapa wang yang perlu diperuntukkan untuk setiap perbelanjaan.

Potong mana-mana perbelanjaan yang dirasakan tidak perlu dan membazir.

Kurangkan peruntukan untuk perbelanjaan-perbelanjaan kemahuan.

Pastikan jumlah perbelanjaan nanti adalah lebih kecil berbanding pendapatan, dan diperuntukkan sedikit untuk simpanan.

5. Ikut bajet yang dibuat

langkah kawal belanjaBajet yang dibuat perlu diikuti dan dipatuhi sepenuhnya.

Apabila gaji atau pendapatan diperoleh, keluarkan duit secukupnya untuk menampung perbelanjaan yang ditetapkan.

Asingkan terus dan bahagi-bahagikan mengikut setiap perbelanjaan yang diperuntukkan.

Boleh guna kaedah sampul surat, bekas tupperware atau lain-lain kaedah yang dirasakan sesuai.

Kaedah mengasingkan duit sebegini walaupun nampak old-school, namun sangat berkesan untuk mengawal belanja.

Jadi, untuk setiap sampul atau bekas tadi, belanjakan jumlah yang diperuntukkan sahaja.

Jika ada lebih, boleh tambah kepada simpanan.

Jika tidak mencukupi pula, janganlah dikorek dari simpanan atau sampul/bekas yang lain.

Disiplinkan diri untuk berbelanja mengikut jumlah yang diperuntukkan sahaja.

6. Review bajet dari semasa ke semasa

Bajet yang dibuat tidaklah rigid.

Boleh diubahsuai dan disesuaikan dengan pendapatan dan keperluan semasa.

Bajet hanya satu mekanisma untuk mengawal perbelanjaan kita dan mencapai matlamat kewangan kita.

Jadi, bajet perlulah disemak dari semasa ke semasa dan diubahsuai agar tidak menyusahkan diri dan pada masa sama, dapat membantu kita menuju destinasi matlamat kewangan yang diingini.

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

2 Comments

  1. postfishcracker
  2. Pingback: 5 Formula Urus Duit Gaji Yang Mudah Dilakukan - Loan bank centre

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini