Tag Archive: urus duit

Tips Urus Wang Graduan Muda Supaya Cerah Masa Depan

tips urus wang graduan mudaSebelum ini saya ada tulis satu artikel berkenaan tips pengurusan kewangan untuk orang muda, dan hari ini saya nak kongsi pula satu artikel berkenaan tips urus wang graduan muda.

Artikel ini asalnya disediakan dan disiarkan oleh RinggitPlus, anda boleh baca artikel asal di sini

Ada bezakah tips pengurusan kewangan antara orang muda dan graduan muda?

Tiada beza pun, kedua-duanya ditujukan untuk golongan sasar yang sama.

Tips yang disediakan adalah secara umum, semuanya sesuai sebagai panduan untuk memantapkan lagi pengurusan kewangan peribadi orang muda.

Mana-mana tips yang dirasakan bermanfaat dan sesuai untuk diri-sendiri, bolehlah dilaksanakan.

Kalau rasa ada tips yang tidak mampu dilaksanakan, janganlah pula mencemuh, kerana mungkin sahaja tips itu tidak sesuai untuk anda tetapi sesuai untuk orang lain.

Eh, membebel pula saya kali ini.

Baiklah, tanpa membuang masa, jom kita lihat satu per satu tips urus wang graduan muda yang disediakan RinggitPlus.

tips urus wang graduan muda

Tips urus wang graduan muda – Cara-cara memperuntukkan bajet anda

Sejak daripada gaji pertama lagi, setiap graduan muda disarankan supaya urus wang gaji tersebut dengan menyediakan bajet yang baik.

Antara bajet yang dicadangkan adalah (andaikan purata gaji graduan muda adalah RM 2,000 setiap bulan)

  • rumah & utiliti (bil elektrik, air, telefon, internet) = 35% (RM 700)
  • makan & minum = 20% (RM 400)
  • simpanan = 10% (RM 200)
  • pembayaran pinjaman = 10% (RM 200)
  • pinjaman & perbelanjaan kereta = 10% (RM 200)
  • pakaian & hiburan = 10% (RM 200)
  • insurans kenderaan = 5% (RM 100)

Satu cadangan bajet yang baik diberikan kepada graduan muda supaya dapat menguruskan pendapatan yang diperoleh dengan baik.

Namun, secara peribadi, saya berpendapat lebih banyak penjimatan boleh dilakukan supaya simpanan dapat diperbanyakkan lagi.

Mungkin boleh dikurangkan lagi perbelanjaan untuk rumah & utiliti; boleh sahaja menyewa bilik yang murah atau tinggal bersama ibubapa, amalkan tips jimat elektrik dan pilih pakej perkhidmatan talian telefon dan internet prabayar yang lebih murah.

Boleh juga kurangkan perbelanjaan untuk pakaian & hiburan; tak perlu beli pakaian baru setiap bulan, hiburan pula boleh sahaja dapatkan yang percuma.

Graduan muda patut menyimpan dengan semaksimanya supaya perjalanan kewangan selepas ini akan berjalan dengan lebih baik.

Sebagai alternatif, boleh rujuk artikel Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja untuk lebih banyak idea berkenaan cara menguruskan gaji dengan lebih baik.

Tips urus wang graduan muda – Cara membina kewangan anda

Topik pengurusan kewangan peribadi adalah satu topik yang sangat penting, tetapi malangnya bukan merupakan topik yang diajar di peringkat sekolah.

Topik ini hanya diajar di peringkat pengajian tinggi, itu pun dalam silibus sesetengah kursus sahaja.

Akibatnya, kebanyakan graduan muda memang tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan kewangan mereka dengan baik.

Sebab itulah ramai graduan yang tersalah langkah dalam membina kewangan mereka menyebabkan mereka terjerumus ke lembah neraka wang.

Jadi, sebagai tips urus wang graduan muda, berikut merupakan tips yang perlu dilakukan untuk membina kewangan anda dengan baik:

Tips #1 – Baca artikel dan buku kewangan peribadi untuk meningkatkan ilmu kewangan anda

Antara buku yang dicadangkan adalah Bajet Power: Simpan & Labur Gaya Orang Muda (Tuan Harith Faisal), 100 #Tip Kewangan Praktikal (Tuan Alwi Adam) dan Bijak Mengurus Wang (Puan Hajah Rohani)

Selain daripada itu, boleh juga baca daripada blog-blog seperti Jom Urus Duit, Duit Kertas dan Halal Money.

Apabila ilmu dah mantap, senanglah nak rangka pelan pengurusan kewangan peribadi sendiri.

Tips #2 – Kawal perbelanjaan anda

Kunci kepada pengurusan kewangan yang efektif adalah disiplin diri; perlu keazaman yang tinggi untuk kawal nafsu daripada berbelanja kepada perkara kehendak yang bukan keperluan segera.

Buat kiraan bajet bulanan yang terperinci dan semak setiap perbelanjaan anda.

Gunakan aplikasi telefon pintar seperti FastBudget atau MoneyLover.

Untuk permulaan, catat setiap perbelanjaan setiap item, buat setiap hari untuk sekurang-kurangnya 2 hingga 3 bulan.

Daripada catatan yang dibuat, kenalpasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan supaya lebih banyak duit gaji dapat digunakan untuk perbelanjaan keperluan yang lebih penting atau disimpan.

Selepas itu, bolehlah rangka bajet perbelanjaan sendiri untuk digunakan pada bulan-bulan seterusnya.

Dari tahun ke tahun, semak dan ubahsuailah bajet yang dibuat supaya sesuai dengan pendapatan dan komitmen semasa.

tips urus wang graduan mudaTips #3 – Jangan abaikan pinjaman pendidikan anda

Walaupun kadar faedah pinjaman pendidikan kebiasaannya rendah, lama-kelamaan jumlahnya semakin besar jika tidak dibayar langsung dan ini akan membebankan anda pada kemudian hari.

Jadi, apabila sudah ada pendapatan, hubungi pihak berkenaan dan selesaikan pinjaman pendidikan anda secepat meungkin.

Tidak perlu pun bayar semua sekaligus, bincanglah dengan pemiutang supaya dapat merangka pelan bayaran yang sesuai dengan anda.

Lagipun, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk menyelesaikan pinjaman pendidikan supaya pelajar-pelajar baru berpeluang pula untuk mendapatkan pinjaman bagi membiayai pendidikan mereka.

Tips #4 – Lindungi diri anda dengan insurans atau takaful

Beli insurans atau langgan takaful sementara anda masih muda dan risiko kesihatan masih murah, kerana kadar premium akan menjadi lebih murah.

Mulakan dengan pelan insurans atau takaful yang berpatutan, seperti insurans hayat atau kad kesihatan.

Lindungi risiko yang perlu sahaja dahulu; risiko terbesar bagi orang muda yang sihat adalah kemalangan, jadi cukup sekadar ambil perlindungan insurans takaful kemalangan terlebih dahulu.

Dari semasa ke semasa, boleh tambah lagi manfaat dan risiko yang dilindungi supaya nanti dapat mencapai perlindungan yang optimum berdasarkan keperluan kewangan sendiri.

Sebagai panduan, boleh baca artikel-artikel yang berikut:

Tips #5 – Bina skor kredit yang sihat

Skor kredit yang sihat adalah penting bagi meningkatkan kadar kelulusan pinjaman kewangan dan pada kadar faedah yang munasabah.

Untuk bina skor kredit yang sihat, boleh ikuti langkah-langkah yang berikut:

  • Mohon kad kredit bagi memulakan rekod kredit
  • Kawal perbelanjaan kad kredit tersebut pada perkara-perkara yang perlu sahaja seperti mengisi minyak dan membayar bil utiliti, jangan gunakan kad kredit jika tidak mampu membayar balik.
  • Bayar bil-bil pada masa yang ditetapkan, rekod pembayaran akan tertera di dalam rekod kredit

Dengan membina skor kredit yang sihat, bank-bank akan lebih yakin dengan anda dan ini akan memudahkan anda untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan untuk perkara-perkara yang lebih penting seperti membeli rumah dan hartanah.

Selain menggunakan kad kredit untuk membina skor kredit, boleh juga mohon pembiayaan ASB dan buat teknik financing ASB

Dengan teknik financing ASB, bukan sahaja dapat bina skor kredit yang sihat malah gandakan simpanan dengan lebih cepat.

Tips urus wang graduan muda – Perkara yang perlu anda lakukan dalam usia 20-an

Bak kata orang, apa yang dilakukan pada usia muda akan menentukan kedudukan anda pada usia tua.

Begitu juga dalam pengurusan kewangan peribadi.

Untuk memastikan kedudukan kewangan yang selesa pada usia tua kelak, pastikan untuk lakukan perkara-perkara yang berikut:

#1 – Pilih kerjaya anda dengan bijak

Cari peluang kerjaya yang stabil dan luangkan masa untuk belajar bagi meningkatkan nilai diri kepada syarikat.

Mungkin ada yang kata, sebagai graduan muda, amat sukar untuk mendapatkan kerjaya impian dengan gaji yang besar serta-merta selepas habis belajar.

Itu memang betul, sebab itulah graduan muda disarankan untuk mencari kerja secepat mungkin dan tidak memilih kerja.

Pada peringkat awal, timba pengetahuan dan pengalaman terlebih dahulu walaupun kerjaya yang diceburi masih belum merupakan kerjaya impian.

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang semakin bertambah, nilai diri akan meningkat dan ini akan membantu anda untuk mendapatkan kerjaya impian dengan mudah.

Selain daripada itu, graduan muda juga perlu berfikiran lebih kreatif dan terbuka, jangan hanya mengejar kerjaya makan gaji sahaja.

Graduan muda seharusnya cuba cipta peluang kerja sendiri dengan menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan.

Kalau betul-betul fokus dan bersungguh-sungguh, pasti perniagaan boleh berjaya.

Boleh baca artikel 4 Kuadran Sumber Pendapatan untuk lebih info berkaitan topik ini.

#2 – Mulakan dana kecemasan

Simpan sekurang-kurangnya 3 bulan perbelanjaan untuk situasi yang tidak dijangka.

Sangat disarankan untuk baca artikel ini: 3 Jenis Dana Kecemasan

#3 – Mulakan pelaburan anda

Jangan tunggu sehingga anda sudah berusia untuk mula melabur.

Semakin awal mulakan pelaburan, semakin banyak hasil yang akan terkumpul nanti hasil daripada compounding power.

Di Malaysia, ada banyak peluang pelaburan yang boleh diceburi untuk menggandakan simpanan.

Sebagai permulaan, boleh mulakan dengan pelaburan berisiko rendah seperti unit manah, deposit tetap atau insurans pelaburan.

Pada masa yang sama, tambah ilmu berkaitan setiap peluang pelaburan yang ada dan pilih yang paling terbaik untuk diri-sendiri.

Sebagai panduan, boleh baca artikel-artikel yang berikut:

#4 – Langsaikan hutang anda

Rancang pembayaran semula hutang anda dengan teliti seperti hutang pendidikan, kad kredit dan pinjaman peribadi supaya anda tiada lagi hutang apabila mencecah umur 30 tahun.

Apabila masuk umur 30 tahun, anda mungkin merancang untuk mengambil pembiayaan pinjaman perumahan pula untuk membeli rumah, jadi amat baik jika pada masa tersebut anda tidak terbeban dengan hutang-hutang lain.

Nanti, rancang juga supaya semua hutang anda dapat diselesaikan sebelum usia persaraan supaya dapat bersara dengan selesa.

Itulah sahaja tips urus wang graduan muda yang dikongsikan oleh pihak RinggitPlus, dengan sedikit ulasan daripada kami di Jom Urus Duit.

Diharapkan artikel kali ini memberi manfaat kepada anda.

Kalau rasa bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya.

Berikut merupakan infografik yang disediakan RinggitPlus:

tips urus wang graduan muda

..

Tips Kawal Belanja Untuk Elak Duit Bocor

tips kawal belanjaTips kawal belanja untuk elak duit bocor

Pernah tak apabila anda pergi membeli-belah, anda terbeli barang-barang yang sebenarnya anda tak perlukan pun?

Sebelum ini, saya dan isteri turut sering mengalaminya, terutama apabila membeli-belah barang-barang keperluan rumah dan makanan.

Misalnya, ketika pergi membeli-belah di pasaraya, perancangan asal nak beli lima barang sahaja, tetapi apabila pulang, baru tersedar telah terbeli lebih daripada yang dirancangkan.

Lebih teruk lagi, ada terbeli barang yang sebenarnya langsung tidak diperlukan, atau masih belum diperlukan kerana masih ada stok di rumah.

Begitu juga apabila pergi membeli makanan seperti di pasar malam atau food court.

Perancangan asal nak beli sedikit sahaja biar cukup sekadar mengisi perut, tetapi akhirnya terbeli sehingga penuh di tangan.

Lebih malang lagi, apabila pulang, baru makan sedikit sahaja pun dah kenyang sehinggakan ada makanan yang dibeli tidak disentuh dan dibuang sahaja.

Berlaku pembaziran.

Sebenarnya, situasi-situasi sebeginilah yang menyumbang kepada perbelanjaan tidak terkawal yang menyebabkan duit bocor dan mengganggu aliran tunai untuk perbelanjaan bulan tersebut.

Jika bajet yang dirancang pada asalnya memperuntukkan jumlah tertentu untuk perbelanjaan bulanan, tetapi disebabkan situasi-situasi sebegini, jumlah yang diperuntukkan adalah tidak mencukupi.

Akibatnya, terpaksa korek tabung simpanan atau lebih teruk lagi, berhutang supaya dapat cukupkan peruntukan perbelanjaan bagi bulan tersebut.

Sebenarnya, ada tips mudah untuk kawal perbelanjaan ketika membeli-belah:

Tips kawal belanja #1 – Senaraikan barang-barang yang perlu dibeli

Tips nombor dua ini sebenarnya dah ramai berikan, tetapi masih sukar untuk diamalkan.

Sebelum pergi keluar membeli-belah, senaraikan dahulu barang-barang yang hendak dibeli.

Lihat semula barang-barang yang dah habis, yang dah capai minimum stok atau yang masih ada banyak stok.

Boleh tandakan barang-barang yang paling utama dahulu untuk dibeli, supaya tidak ada yang tertinggal.

Apabila keluar membeli-belah nanti, pastikan beli barang-barang yang disenaraikan sahaja.

Jika ada ternampak atau terjumpa barang-barang lain yang tidak ada dalam senarai, dan terasa ingin beli, tangguhkan dulu.

Sebaliknya, catat sahaja dipertimbangkan semula dalam senarai pembelian akan datang.

Mungkin selepas dipertimbangkan semula, barang tersebut bukannya satu keperluan.

Tips kawal belanja #2 – Bawa duit secukupnya sahaja

tips kawal belanjaDaripada senarai barang-barang yang ingin dibeli, cuba letakkan anggaran harga bagi setiap barang.

Kemudian, kira jumlah yang diperlukan.

Berdasarkan kepada jumlah yang dianggarkan, bawa duit secukupnya sahaja apabila keluar membeli-belah nanti.

Mungkin boleh bawa duit lebih sedikit, takut anggaran yang dibuat tidak sama dengan harga sebenar barang yang diingini.

Poin utamanya, jangan banyak terlalu banyak duit apabila keluar membeli-belah.

Apabila membawa duit yang secukupnya sahaja, kita akan lebih cenderung untuk beringat dan berhati-hati ketika mengambil barang yang akan dibeli.

Jadi, tidaklah berlakunya perbelanjaan berlebihan.

Tips kawal belanja #3 – Membeli belah ketika kenyang

Saya pernah terbaca satu kajian yang menyatakan bahawa kebanyakan orang membeli-belah secara berlebihan disebabkan gagal mengawal emosi.

Dan salah satu faktor yang boleh mempengaruhi emosi adalah perut; apabila lapar, emosi menjadi tidak terkawal, nafsu membuak-buak, fikiran menjadi kurang rasional dan kita cenderung untuk membeli-belah secara berlebihan.

Hinggakan barang yang tidak diperlukan pun dirasakan perlu.

Dah beli satu jenis makanan, tetapi masih dirasakan tidak mencukupi dan perlu beli makanan yang lain.

Ini semua disebabkan emosi tidak terkawal yang dipengaruhi perut yang lapar.

Maka, untuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan, satu cara yang mudah adalah membeli-belah ketika perut kenyang.

Sebelum bertolak ke pasaraya, pasar malam atau mana-mana tempat membeli-belah, seelok-eloknya makan dulu sedikit untuk mengelakkan rasa lapar yang keterlaluan.

Saya dah cuba banyak kali cara ini, dan memang berkesan.

Apabila pergi ketika perut kenyang, memang terasa kurang ‘bernafsu’ untuk membeli-belah, jadi kita boleh menumpukan kepada barang-barang yang hendak dibeli sahaja.

Saya dah amalkan banyak kali cara ini, dan memang berkesan!

Tips kawal belanja #4 – Fokus kepada barang yang hendak dibeli sahaja

tips kawal belanjaDengan berpandukan kepada senarai yang dibuat, apabila sampai ke tempat untuk membeli-belah, terus tuju ke tempat barang-barang yang diingini tersebut.

Fokus untuk beli barang-barang tersebut sahaja.

Kurangkan merayau-rayau atau window shopping ke tempat barang-barang lain.

Takut nanti terganggu emosi apabila melihat tawaran barang-barang lain yang masih belum diperlukan.

Tips kawal belanja #5 – Rancang pembelian sekaligus

Kalau keluar membeli-belah, rancangkan supaya pembelian barang-barang yang diperlukan dilakukan sekali sahaja dan sekaligus.

Contohnya, rancang beli-belah sekali sebulan, sekali setiap dua minggu atau sekali seminggu.

Jadi, stok yang dibeli perlulah bertahan mengikut interval masa yang ditetapkan.

Kalau boleh, kurangkan kekerapan pergi keluar membeli-belah, kerana kebiasaannya semakin kerap membeli-belah, semakin banyak duit yang bocor.

Lagipun, semakin kerap keluar, semakin tinggi juga kos pengangkutan.

Tips Pengurusan Kewangan Peribadi Untuk Orang Muda

pengurusan kewangan peribadiUntuk artikel kali ini, saya akan kongsikan tips-tips ‘simple’ pengurusan kewangan peribadi untuk orang-orang muda.

Orang-orang muda di sini bermaksud mereka yang baru nak memulakan kehidupan sendiri, iaitu mereka yang baru habis belajar atau sedang mencari kerja atau baru mula bekerja.

Kalau sebelum ini kehidupan masih di sekolah/kolej/universiti dan mungkin bergantung kepada ibubapa, sekarang sampai masanya mereka memulakan kehidupan mencari duit menanggung diri-sendiri.

Tips-tips ini juga sesuai untuk sesiapa juga, bukan sekadar orang-orang muda sahaja.

Tips-tips berkaitan pendapatan

1. Mulakan pencarian kerja (job hunting) secepat mungkin, kalau boleh mula sebelum habis belajar semasa semester terakhir. Zaman sekarang persaingan mendapatkan kerja sangat sengit, sedikit terlambat, anda akan jauh tertinggal.

2. Sediakan resume dan persiapkan diri untuk menghadiri temuduga kerja dengan sebaik-baiknya. Ada banyak tips dan pengalaman yang dikongsikan di internet, cuma perlu cari sahaja.

3. Jangan terlalu memilih kerja. Buat kerja-kerja biasa dahulu adalah lebih baik daripada membuang masa menganggur. Ini akan memberi markah tambahan jika anda memohon kerjaya impian nanti. Bakal majikan dapat melihat anda sedia dan sanggup melakukan kerja.

4. Peringkat awal bekerja, walau apa pun pekerjaan, utamakan untuk dapatkan ilmu dan pengalaman, bukan gaji. Baca kisah Robert Kiyosaki yang diajar oleh Rich Dadnya yang dipaksa bekerja bukan untuk gaji, sebaliknya untuk ilmu dan pengalaman. Dengan ilmu dan pengalaman yang ditimba, nilai diri anda akan meningkat. Jalan untuk anda mencapai kerjaya impian akan lebih mudah.

5. Orang muda ada banyak masa, boleh mulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan. Tak kisahlah samaada nak buat perniagaan runcit, borong, consignment, affiliate, dropship, arbitrage atau jadi ejen, yang penting luangkan masa untuk jana pendapatan tambahan. Zaman sekarang dah mudah, banyak peluang perniagaan dan info berkaitan bisnes tersedia.

6. Kalau dah bekerja, fokus dengan kerja hakiki dan rajin-rajinkan diri untuk buat kerja lebih masa jika berpeluang. Waktu muda adalah waktu menjana pendapatan semaksimumnya. Tapi, jangan pula sampai menyeksa diri. Kalau ada peluang, boleh jana pendapatan melalui Uber: Buat Duit Dengan Uber

7. Urus pendapatan atau duit gaji dengan baik. Boleh baca artikel ini untuk cadangan formula pengurusan gaji untuk orang muda: Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja

Tips-tips berkaitan simpanan

1. Bermula dari gaji pertama, sentiasa asingkan sebahagian untuk simpanan terlebih dahulu sebelum dibelanjakan. Kalau boleh, simpan 50% daripada gaji. Paling minimum, 20-30%. Orang muda masih tak banyak komitmen, simpanan harus diutamakan.

2. Simpanan pertama harus ditumpukan untuk membina dana kecemasan dan dana rizab. Baca artikel ini untuk lebih faham: 3 Jenis Dana Kecemasan Untuk Situasi Luar Dugaan

3. Buka akaun Tabung Haji dan cukupkan duit minimum untuk daftar giliran haji terlebih dahulu. Semakin lama ditangguh, semakin lambat giliran haji.

4. Rancang dana persaraan sejak hari pertama bekerja, bukan dekat-dekat apabila dah nak bersara. Kalau kerja kerajaan, jangan hanya bergantung kepada pencen. Kalau kerja swasta, jangan hanya bergantung kepada simpanan KWSP. 

5. Walaupun masih tak ada calon, jangan dilupa untuk bina tabung kahwin. Kos majlis perkahwinan boleh melibatkan jumlah yang besar. Nanti apabila dah ada calon, tak perlu tunggu lama-lama dan beri alasan tiada duit untuk kahwin. Singgah blog ini untuk lebih banyak tips dan panduan: Tips Persiapan Majlis Perkahwinan

6. Buat juga simpanan untuk pembelian rumah sendiri. Apabila dah berkeluarga dan punyai kerjaya yang stabil, akan tiba masanya untuk tinggal di rumah idaman. Tetapi, pembelian rumah boleh libatkan kos yang besar. Maka, simpanan diperlukan. Kalau nak tahu cara beli rumah tanpa modal besar, boleh baca artikel ini: 9 Cara Beli Rumah Tanpa Modal Besar

7. Kalau rasa susah nak buat simpanan, boleh baca artikel-artikel di sini: Simpanan

Tips-tips berkaitan perbelanjaan

1. Buat bajet perbelanjaan peribadi. Kenalpasti mana keperluan dan kehendak. Utamakan perbelanjaan keperluan dahulu sebelum berbelanja untuk kehendak. Baca artikel ini: 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus

2. Kawal perbelanjaan ikut kemampuan dan pendapatan. Terima hakikat memang ada barang-barang atau perkara-perkara yang anda tak mampu miliki. Jangan terikut-ikut gaya hidup orang lain yang boros dan mewah. Yang merana nanti adalah anda sendiri, bukan mereka.

3. Sediakan satu tabung khas perbelanjaan. Tabung ini untuk perbelanjaan-perbelanjaan mahal seperti pergi melancong atau beli barang-barang idaman. Selagi tabung tak capai sasaran, tangguhkan hasrat untuk perbelanjaan tersebut.

4. Orang muda suka beli kereta. Memiliki kereta akan meningkatkan kos belanja dengan mendadak. Kalau boleh, tangguhkan dulu niat beli kereta. Orang muda patut naik pengangkutan awam atau motorsikal sahaja, jauh lebih jimat. Best woo naik motorsikal redah hujan.

5. Kalau nak beli kereta juga, kumpul duit untuk deposit dalam jumlah yang besar terlebih dahulu. Pilih kereta yang mampu sahaja. Buat kira-kira dulu. Boleh belajar di sini: 2 Formula & Tips Beli Kereta Supaya Tak Terbeban

6. Kalau ada kereta dan peluang, boleh jana pendapatan tambahan sebagai pemandu Uber. Boleh baca panduan untuk menjadi pemandu Uber di sini: Buat Duit Dengan Uber

7. Berbanding membeli kereta, jauh lebih baik jika merancang untuk beli rumah terlebih dahulu. Boleh mulakan dengan rumah yang murah dahulu seperti rumah-rumah lelong dan second-hand. Apabila kedudukan kewangan dah mantap, boleh cari rumah idaman pula. Rumah-rumah yang lama boleh dijual atau disewakan.

Tips-tips berkaitan hutang

pengurusan kewangan peribadi1. Kalau ada pinjaman pelajaran, kena bertanggungjawab dan mula bayar seawal mungkin. Adik-adik yang baru nak belajar masih perlukan dana pinjaman tersebut sepertimana anda memerlukan pinjaman itu semasa belajar dulu.

2. Elakkan berhutang untuk perbelanjaan-perbelanjaan hangus. Sayang kalau gunakan kad kredit atau pinjaman peribadi untuk bina hutang-hutang jahat. Ini boleh menjejaskan kuota pinjaman (DSR) anda.

3. Kalau ada gunakan kad kredit, gunakan dengan berhati-hati dan pastikan bayaran dilakukan dengan baik, bukan sekadar bayaran minimum. Jika rekod bayaran tidak cantik, ini akan menjejaskan profil kredit anda.

4. Orang muda kena cipta  dan kekalkan rekod kredit yang baik dengan bank. Ini akan memudahkan permohonan untuk mendapatkan pinjaman/pembiayaan yang lebih penting seperti pinjaman/pembiayaan rumah dan hartanah. Cadangan yang baik, buat loan ASB dahulu dengan teknik yang betul sepertimana yang ditunjukkan di sini: 3 Teknik Pembiayaan/Pinjaman ASB (Loan ASB) Yang Paling Popular

5. Elakkan jadi penjamin, dan elakkan memberi nama untuk pinjaman orang lain. Kalau rekod bayaran tak cantik, nanti anda yang terjejas.

6. Kalau beri hutang kepada orang lain, pastikan hutang direkod secara bertulis dan disertakan saksi-saksi. Ini adalah ajaran Islam berkenaan hutang. Dengan adanya rekod dan saksi, sebarang penipuan boleh dielakkan.

Tips-tips berkaitan perlindungan

1. Walaupun masih muda, jangan lupakan perlindungan insurans/takaful. Boleh ambil perlindungan yang asas dahulu seperti perlindungan kemalangan diri dan kad perubatan. Nanti apabila dah jadi breadwinner (penanggung nafkah) boleh top-up jumlah perlindungan untuk manfaat sepenuhnya. Baca di sini: Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

2. Elakkan membayar terlalu tinggi untuk perlindungan. Anggaran 5-10% daripada pendapatan pun dah memadai. Kenalpasti perkara-perkara asas yang perlu dilindungi agar tidak terlebih perlindungan. Boleh baca di sini: 4 Perkara Utama Perlu Dilindungi Insurans/Takaful

3. Pastikan anda dilindungi dengan manfaat sepenuhnya seawal mungkin, kalau boleh sebelum umur 30 tahun. Kebiasaannya, sebelum umur 30 tahun, bayaran caruman adalah murah dan jumlah perlindungan adalah besar. Selepas umur tersebut, bayaran caruman akan meningkat walaupun untuk jumlah perlindungan yang sama.

4. Elakkan mengambil pelan perlindungan 3-in-1 contohnya yang ada perlindungan, simpanan/pelaburan dan kad perubatan. Lebih baik ambil manfaat-manfaat tadi secara berasingan supaya kos lebih rendah dan jumlah perlindungan lebih besar. Lagipun, insurans/takaful adalah untuk perlindungan, bukan simpanan/pelaburan.

Tips-tips berkaitan pelaburan

1. Mulakan pelaburan dengan melabur untuk ilmu. Jangan kedekut keluarkan kos untuk beli buku, ebook atau hadiri seminar. Ini akan menyelamatkan anda daripada kerugian besar dan membantu ketika pelaburan sebenar nanti.

2. Setelah cukupkan dana kecemasan dan dana rizab, teruskan menyimpan untuk bina tabung pelaburan. Mulakan pelaburan dengan duit simpanan, kalau boleh elakkan berhutang (kecuali jika tahu teknik yang betul)

3. Pilih pelaburan yang sesuai dengan kemampuan, toleransi risiko sendiri dan ilmu yang ada. Mulakan dengan modal kecil. Pelaburan awal untuk dapatkan imu dan pengalaman dulu. Jangan sekadar mengikut orang lain tanpa tahu teknik melabur yang jelas.

4. Letakkan sasaran pelaburan yang realistik. Jangan mudah rasa tamak dan terpengaruh dengan skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan terlalu tinggi.

5. Baca artikel-artikel berkaitan pelaburandi sini: Pelaburan

Tips-tips berkaitan penyucian

1. Kira jumlah zakat pendapatan yang perlu dikeluarkan, buat potongan gaji secara bulanan. Bukan sahaja dapat pahala, malah boleh dapat rebat cukai pendapatan.

2. Peruntukkan sebahagian duit untuk ibubapa, biar pun sedikit. Walaupun mereka mungkin tak memerlukannya, anggaplah sebagai hadiah membalas jasa mereka.

3. Sedekah yang paling utama adalah kepada mereka yang memerlukan daripada kalangan kaum keluarga, sahabat handai dan orang lain. Contohnya, kalau ada adik-beradik yang memerlukan seperti sedang belajar atau tidak berkemampuan, utamakan mereka.

4. Jangan lari daripada membayar cukai. Jika layak, daftar dan buka fail dengan LHDN. Cukai adalah untuk pembangunan masyarakat dan negara. Jadilah warganegara yang bertanggungjawab. Baca artikel ini: 10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan di Malaysia

Buku Hipster Hartanah & Bajet Power Harith Faisal

hipster hartanah bajet power harith faisalKalau anda rasa belum puas dengan tips-tips pengurusan kewangan peribadi di atas, boleh dapatkan lebih banyak tips power dan sentap yang terdapat dalam buku Hispter Hartanah dan Bajet Power yang ditulis oleh Tuan Harith Faisal (HF)

Harith Faisal merupakan seorang anak muda yang berpengalaman dalam pelaburan hartanah, dan beliau banyak berkongsi berkenaan topik pelaburan hartanah dan pengurusan kewangan peribadi khas untuk orang-orang muda.

Beberapa artikel yang ditulis oleh beliau dapat dilihat di sini:

Perkongsian beliau juga boleh didapati di laman Facebook beliau di sini: https://www.facebook.com/harithfaisal.hf

Sebagai buah tangan kepada followers beliau, Harith Faisal telah menulis 2 buah buku bertajuk Hipster Hartanah dan Bajet Power.

Kedua-dua buku ini sesuai dibaca oleh budak sekolah, budak matrikulasi, budak asasi, budak universiti, budak hipster, budak baru nak up, fresh graduate dan semua anak muda.

  • Dibuat sempoi dan santai ayatnya supaya anak muda teruja membaca.
  • Sesuai dibaca kalau nak beli rumah dan urus kewangan tahun ini.
  • Sesuai dibaca pagi-pagi sebagai motivasi. Muka suratnya berwarna warni.
  • Ditulis dalam bahasa yang mudah supaya senang faham dan hadam.
  • Sesuai dijadikan hadiah unduk adik, makwe, pakwe dan pasangan anda.
  • Buku ini berlambak ayat sentap berkisar realiti hidup anak muda.
  • Pastikan anda bukan berhati tisu. Kalau tak nak sentap, baca buku teks saja. Haha!

Apa yang terkandung dalam buku Hipster Hartanah?

  • Tips untuk beli rumah sebelum usia 25 tahun supaya jadi realiti.
  • Tips boleh beli beberapa buah rumah sebelum umur 30 tahun.
  • Teknik beli rumah banyak dengan gaji kurang daripada RM3000.
  • Persediaan sebelum graduate untuk beli rumah segera.
  • Cara nak jadi tuan rumah muda-muda walaupun masih student.
  • Rahsia beli rumah dengan modal kecil yang tak ramai anak muda tahu.
  • Ilmu perbankan yang perlu anak muda tahu sebelum berurusan dengan bank.
  • “Do” & “Don’t” untuk elak kerugian ribuan ringgit akibat tersilap beli rumah.
  • dan macam-macam lagi topik hartanah yang sangat dekat anak muda.

Bagi buku Bajet Power pula, anda wajib baca buku ini jika:

  • Baru mula bekerja.
  • Ingin mengurus kewangan yang lebih baik dan bebas hutang jahat.
  • Mahu kahwin tapi belum ada simpanan.
  • Belum sempat nak menabung, gaji sudah habis.
  • Nak belajar dengan detail tentang ASB Financing.
  • Mahu belajar cara melabur dan mengembangkan simpanan.
  • Risau terjebak dengan dosa kewangan.
  • dan macam-macam lagi topik berkaitan kewangan untuk anak muda.

Kedua-dua buku ini boleh didapati pada harga RM 30 setiap satu (tidak termasuk kos penghantaran)

Disarankan setiap orang muda beli, baca dan hadam sepenuhnya kandungan kedua-dua buku ini.

Jika anda berminat untuk dapatkan kedua-dua ebook ini dan belajar lebih banyak tips pengurusan kewangan dan panduan pelaburan hartanah gaya orang muda, boleh dapatkan dengan klik di sini:

hipster hartanah bajet power harith faisalBuku Hispter Hartanah & Bajet Power

Buku Hispter Hartanah & Bajet Power

Buku Hispter Hartanah & Bajet Power

..