Tag Archive: panduan pelaburan

8 Jenis Caj Pelaburan Unit Amanah

caj pelaburan unit amanahBerapa caj pelaburan unit amanah yang dikenakan ke atas pelabur?

Boleh dikatakan, setiap jenis pelaburan pasti akan ada kos yang tersendiri, begitu juga dengan pelaburan unit amanah.

Pelaburan unit amanah, yang lebih biasa dikenali sebagai unit trust, merupakan salah satu peluang pelaburan yang popular di Malaysia disebabkan promosi yang meluas, pilihan dana yang pelbagai dan penasihat pelaburan yang ramai.

Lihat sahaja bagaimana syarikat-syarikat pengurus dana seperti Public Mutual, CIMB Wealth Advisor (CWA) dan PMB Investment Berhad membuat promosi sehinggakan ramai yang tahu berkenaan pelaburan unit amanah.

Malah, pelaburan unit amanah boleh dimulakan dengan modal yang rendah, jadi hampir semua orang mampu melabur dalam peluang pelaburan ini.

Tambahan lagi, kebanyakan orang suka melabur dalam unit amanah kerana tidak perlu banyak berfikir, hanya perlu dengar saranan daripada penasihat pelaburan dan buat sedikit analisis sahaja.

Jadi, memang ramai yang terlibat dalam pelaburan unit amanah.

Jika anda juga merupakan salah seorang pelabur dalam unit amanah, anda perlu ambil tahu tentang caj pelaburan unit amanah yang anda bayar.

Sebabnya, caj yang dikenakan ini akan mempengaruhi juga pulangan pelaburan yang akan diperoleh nanti.

Dalam artikel kali ini, saya akan tulis berkenaan beberapa caj pelaburan unit amanah yang ada, sama ada dibayar secara terus oleh pelabur atau yang dikenakan secara tidak terus.

Saya juga akan menunjukkan contoh pengiraan bagi caj-caj yang dikenakan.

Nak tahu dengan lebih lanjut?

Teruskan baca artikel ini sampai habis.

8 jenis caj pelaburan unit amanah

caj pelaburan unit amanah

Berikut merupakan caj-caj yang dikenakan oleh satu dana unit amanah yang saya ambil daripada prospektus dana tersebut; boleh dikatakan semua dana unit amanah turut mengenakan caj-caj yang sama cuma nilainya sahaja berbeza.

caj pelaburan unit amanah

caj pelaburan unit amanah

Dapat dilihat bahawa terdapat caj-caj yang dikenakan secara terus ke atas pelabur dan ada juga yang dikenakan secara tidak terus.

Dan, jangan dilupa juga bahawa Cukai Barang & Perkhidmatan (Goods & Services Tax, GST) turut dikenakan.

Jom kita teliti secara terperinci setiap caj tersebut.

Caj #1 – Caj jualan/perkhidmatan

Caj jualan (sales charge), atau turut dikenali sebagai caj perkhidmatan (service charge), merupakan caj tertinggi yang dikenakan ke atas pelabur unit amanah, dan caj ini dikenakan setiap kali transaksi pembelian unit dilakukan.

Kadarnya adalah berbeza-beza antara setiap dana unit amanah; caj ini ditetapkan oleh syarikat pengurus dana.

Sebagai contoh, dalam gambar di atas, caj jualan yang dikenakan adalah 6%

Cara kira caj jualan

Andaikan Johan nak melabur dalam Dana A (harga semasa RM 1.20 seunit) yang mengenakan caj jualan 6% dengan modal sebanyak RM 10,000, berapakah jumlah caj jualan yang dibayar Johan?

Mungkin ada yang mengira jumlah caj jualan = 6% x RM 10,000 = RM 600, tetapi kiraan ini adalah salah.

Caj jualan adalah dikira mengikut formula yang berikut:

  • jumlah caj jualan (RM) = amaun bayaran – (amaun bayaran / 1 + kadar caj jualan)

Bagi contoh di atas, jumlah caj jualan yang akan dibayar oleh Johan adalah seperti berikut:

  • jumlah caj jualan (RM) = RM 10,000 – (RM 10,000 / 1 + 6%) = RM 10,000 – RM 4,716.98 = RM 566.04

Jadi, jumlah caj jualan yang perlu dibayar Johan bagi pelaburan ini adalah RM 566.04 yang mana caj ini akan ditolak daripada amaun yang dibayar.

Caj #2 – Caj jualan semula

Caj jualan semula (repurchase charge), ada juga dikenali sebagai caj penebusan (redeem charge), merupakan caj yang dikenakan apabila pelabur menjual semula unit yang dibeli.

Tetapi, kebanyakan dana mengenakan kadar caj jualan semula = 0% atau tiada.

Maksudnya, tiada sebarang caj dikenakan apabila pelabur menjual atau menebus unit yang dimiliki.

Caj #3 – Caj penukaran

Caj penukaran (switching fee) dikenakan apabila pelabur bertukar dana; contohnya daripada Dana A ke Dana B di bawah pengurus dana yang sama.

Kebiasaannya, penukaran dana dilakukan oleh pelabur yang mengamalkan strategi seimbang (balancing); lebihan daripada dana ekuiti yang berisiko tinggi dipindahkan ke dana bon yang berisiko rendah supaya portfolio pelaburan diseimbangkan semula, ataupun sebaliknya.

Penukaran dana juga biasa dilakukan ketika situasi ekonomi kurang baik; pelabur dana ekuiti yang bervolatiliti tinggi memindahkan pelaburan mereka ke dana bon atau pasaran wang yang lebih stabil supaya dapat preserve modal pelaburan mereka.

Jika dilakukan dengan betul, penukaran dana memang boleh membantu pelabur memaksimakan keuntungan dalam pelaburan unit amanah; malah teknik inilah yang diajar dalam ebook Rahsia Unit Trust.

Tetapi, perlu diketahui adalah ada pengurus dana yang mengenakan caj penukaran, contohnya seperti dana dalam gambar dia atas yang mengenakan caj sehingga RM 25 setiap kali transaksi penukaran disahkan.

Semakin kerap penukaran dana dilakukan, semakin tinggi caj dikenakan.

Namun, ada juga pengurus dana yang tidak mengenakan sebarang penukaran dana, atau dihadkan kepada beberapa transaksi (contohnya, percuma caj penukaran untuk 4 kali transaksi terawal)

Caj #4 – Caj pemindahan

Caj pemindahan (transfer charge) dikenakan apabila pelabur memindahkan unit yang dimiliki kepada orang lain, contohnya kepada isteri atau anak.

Kadar caj ini juga berbeza-beza antara dana dan pengurus dana.

Caj #5 – Caj/yuran pengurusan

Selain caj-caj yang dikenakan secara langsung ke atas pelabur (pelabur bayar secara terus), ada juga caj-caj yang dikenakan secara tidak langsung.

Salah satu daripadanya adalah caj pengurusan (management fee).

Caj ini telah dikira bersekali ke dalam harga unit dana tersebut dan dikenakan setiap tahun.

Caj #6 – Caj/yuran pemegang amanah

Sama seperti caj pengurusan, caj pemegang amanah (trustee charge) turut dibayar secara tidak langsung oleh pelabur, dikenakan setiap tahun dan dikira bersekali ke dalam harga unit dana.

Caj ini adalah dibayar kepada pemegang amanah dana tersebut.

Caj #7 – Cukai barang & perkhidmatan (GST)

Dalam pelaburan unit amanah, GST dikenakan ke atas caj jualan, penukaran dan penebusan, dan GST adalah dibayar oleh pelabur.

Kalau dilihat kepada contoh di atas, pelaburan yang dilakukan Johan sebanyak RM 10,000 ke atas Dana A dikenakan caj jualan sebanyak RM 566.04

Oleh itu, GST yang dikenakan adalah:

  • jumlah GST = 6% x RM 566.04 = RM 33.96

Caj #8 – Caj-caj lain

Dalam pelaburan unit amanah, ada juga caj-caj lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung seperti caj bank, caj pemindahan wang, caj audit dan caj penilaian.

Oleh kerana semua caj ini kadarnya kecil atau tidak signifikan, jadi tidak dibincangkan secara terperinci di sini.

Contoh pengiraan caj pelaburan unit amanah

caj pelaburan unit amanahSetelah memahami semua jenis caj yang terlibat dalam pelaburan unit amanah, sebagai pelabur, bolehlah mengira berapa kos pelaburan yang terlibat dan juga unit yang diperoleh.

Contoh pengiraan bagi pelaburan baru/tambahan

Khairul baru mula melabur dalam Dana XYZ (harga semasa RM 0.80 seunit) sebanyak RM 10,000. Caj jualan yang dikenakan adalah 5%.

Kos yang terlibat bagi pelaburan baru/tambahan adalah caj jualan dan GST; pengiraannya adalah seperti yang berikut:

  • jumlah caj jualan = RM 10,000 – (RM 10,000 / 1 + 5%) = RM 476.19
  • jumlah GST = 6% x RM 476.19 = RM 28.57
  • jumlah pelaburan sebenar = RM 10,000 – RM 476.10 – RM 28.57 = RM 9,495.33
  • jumlah unit yang diperoleh = RM 9,495.33 / RM 0.80 = 11,869 unit

Jadi, dengan pelaburan sebanyak RM 10,000, Khairul mengeluarkan kos sebanyak RM 504.67 (caj jualan + GST), jumlah pelaburan sebenar adalah RM 9,495.33 manakala jumlah unit yang diperoleh adalah 11,869 unit.

Daripada pengiraan di atas, ditunjukkan bahawa caj jualan menyebabkan pelabur mengalami kerugian pada peringkat awal membeli dana unit amanah.

Malah, untuk mendapatkan keuntungan, memerlukan jumlah pulangan yang mesti mengatasi caj jualan yang dikenakan terlebih dahulu.

Sebab itulah, ada yang kata, dalam pelaburan unit amanah, yang untung dahulu adalah ejen dan syarikat pengurus dana, pelabur untung kemudian (itu pun kalau prestasi dana baik)

Contoh pengiraan bagi penukaran dana unit amanah (di bawah pengurus dana sama)

Hamid mempunyai 10,000 unit Dana PQR (harga semasa RM 0.70 seunit) dan sekarang beliau bercadang untuk membuat penukaran dana (switching) ke Dana DEF (harga semasa RM 0.50 seunit)

Andaikan syarikat pengurus dana tersebut mengenakan caj penukaran sebanyak RM 25 setiap transaksi, maka pengiraan yang terlibat adalah:

  • jumlah penebusan = 10,000 unit x RM 0.70/unit = RM 7,000
  • caj penukaran = RM 25, GST = 6% x RM 25 = RM 1.50
  • jumlah penukaran sebenar = RM 7,000 – RM 25 – RM 1.50 = RM 6.973.50
  • jumlah unit diperoleh = RM 6.973.50 / RM 0.50 = 13,947 unit

Jadi, selepas penukaran dana, Hamid kini mempunyai 13,947 unit Dana DEF.

Dapat dilihat bahawa apabila penukaran dana dilakukan (di bawah pengurus dana yang sama), pelabur tidak dikenakan caj jualan, sebaliknya hanya dikenakan caj penukaran sahaja (jika ada)

Namun, tetap ada kos yang perlu dikeluarkan.

Contoh pengiraan bagi penukaran dana unit amanah (pengurus dana berbeza)

Kita ambil contoh Khairul di atas.

Setelah beberapa tahun, Khairul mendapati dana unit amanahnya tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan. Walaupun jumlah unit yang dipegang beliau bertambah ke 13,000 unit (hasil daripada dividen), tetapi harga dana tersebut jatuh ke harga RM 0.70 seunit.

Setelah disarankan rakannya, beliau bercadang untuk bertukar ke dana JKL daripada syarikat pengurus dana berbeza. Harga dana JKL adalah RM 1.20 seunit manakala caj jualan adalah 5%

Pengiraan yang terlibat adalah:

1. Penebusan unit dana XYZ

  • jumlah penebusan = 13,000 unit x RM 0.70/unit = RM 9,100

Daripada sini, kita dapat lihat bahawa Khairul telah mengalami kerugian sebanyak RM 900 (RM 10,000 – RM 9,100) bagi pelaburan beliau dalam dana XYZ.

2. Pembelian unit dana JKL

  • jumlah caj jualan = RM 9,100 – (RM 9,100 / 1 + 5%) = RM 433.33
  • jumlah GST = 6% x RM 433.33 = RM 26.00
  • jumlah pelaburan sebenar = RM 9,100 – RM 433.33 – RM 26.00 = RM 8,640.67
  • jumlah unit yang diperoleh = RM 8,640.67 / RM 1.20 = 7,200 unit

Dapat dilihat bahawa apabila Khairul bertukar dana daripada syarikat pengurus dana yang berbeza, beliau akan dikenakan sekali lagi caj jualan apabila membeli dana baru.

Ini merupakan satu kerugian.

Sebab itulah apabila melabur dalam pelaburan unit amanah, tidak digalakan untuk terlalu kerap membuat penukaran dana sama ada di bawah pengurus dana yang sama atau pengurus dana yang berbeza, kecuali atas sebab atau justifikasi yang kukuh.

Semakin kerap bertukar dana, semakin banyak kos dikeluarkan.

Penutup

Itulah sahaja penerangan ringkas berkenaan jenis-jenis caj pelaburan unit amanah yang mesti diketahui oleh pelabur dan juga bakal pelabur.

Adanya caj-caj ini tidaklah menjadikan pelaburan unit amanah sebagai peluang pelaburan yang tidak baik.

Cuma sebagai pelabur yang bijak, kita mestilah mengambil kira caj-caj ini supaya dapat memastikan pelaburan yang dibuat mendatangkan keuntungan, bukan kerugian.

Berita baik, artikel ini ada sambungannya!

Dalam artikel sambungan nanti, saya akan terangkan beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan caj pelaburan unit amanah, terutamanya caj jualan.

Apabila caj berkurang, maka kos pun berkurang, dan keuntungan makin mudah diperoleh.

Nantikan ya sambungan artikel ini.

Akhir kata, semoga artikel kali ini memberikan manfaat kepada anda.

Kalau rasa dapat pengetahuan baru daripada artikel kali ini, jangan segan silu untuk kongsikan artikel ini, boleh?

..

Kenali Skim Pelaburan Tipu Agar Tidak Mudah Terpedaya

skim pelaburan tipuPernah tak seseorang datang kepada anda dan menawarkan skim pelaburan tipu (scam)?

Kalau pernah dan anda menjauhinya, saya ucapkan syabas kerana mengambil langkah yang bijak!

Kalau pernah dan anda terpedaya lalu menyertai skim tersebut dan mengalami kerugian, saya tumpang bersimpati dan diharapkan anda dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut.

Anggaplah wang pelaburan yang hangus tersebut sebagai yuran pembelajaran dalam kehidupan agar selepas ini tidak diulangi lagi kesilapan yang sama.

Saya dan isteri juga pernah kerugian sedikit duit, gara-gara berasa segan dengan seorang rakan yang mempromosikan skim pelaburan yang disertainya.

Mujurlah saya dan isteri berkeras untuk kekal dengan pakej asas sahaja, dan tidak mengeluarkan lebih banyak modal untuk mengambil pakej advance skim pelaburan tipu tersebut.

Walaupun mengalami sedikit kerugian, namun saya dan isteri menjadikan pengalaman ini sebagai peringatan agar tidak mudah lagi terpedaya dengan skim-skim yang hampir sama.

Sekurang-kurangnya kini, saya dah tahu bagaimana golongan atau penganjur skim pelaburan tipu menjalankan operasi mereka untuk menipu duit orang ramai.

Jadi, saya akan lebih berhati-hati agar tidak terjerumus lagi dengan skim pelaburan tipu.

Baru-baru ini, saya ada terbaca satu laporan akhbar berkenaan skim pelaburan tipu yang semakin banyak muncul di Malaysia dengan pelbagai modus operasi untuk mencari mangsa-mangsanya.

Menurut laporan tersebut, pada tahun 2015, sebanyak 591 kes melibatkan skim pelaburan tipu dengan nilai kerugian RM 1.35 juta telah direkodkan.

Pada tahun 2016 pula, berlaku peningkatan sehingga 1006 kes dengan nilai kerugian RM 197.4 juta!

Boleh baca di sini http://www.sinarharian.com.my/penipuan-pelaburan-meningkat-setiap-tahun-1.626305

Fakta ini menunjukkan bahawa semakin banyak skim yang timbul di samping semakin ramai orang yang terpedaya dengan skim-skim tersebut.

Jadi, amatlah penting bagi kita untuk memahami dan mengenali tentang skim pelaburan tipu agar duit yang kita cari dan simpan dengan penat-lelah tidak ‘dileburkan’ kepada penipu-penipu skim-skim pelaburan tipu.

Ciri-ciri Asas Skim Pelaburan Tipu

Walau apa pun jenis skim pelaburan tipu, walau bagaimana pun modus operasi yang digunakan, skim pelaburan tipu mesti akan mempunyai ciri-ciri asas yang sama.

Ini adalah beberapa contoh modus operasi skim pelaburan tipu yang pernah wujud di Malaysia:

skim pelaburan tipu

skim pelaburan tipu

Untuk mudah ingat, kita gunakan akronim T.I.P.U untuk kenali ciri-ciri skim pelaburan tipu:

Ciri #1 – Tidak akan rugi, tanpa risiko

Biasanya, penganjur skim pelaburan tipu akan menawarkan skim pelaburan yang kononnya tanpa risiko.

Kiranya, memang tidak akan rugilah.

Sebenarnya, ini adalah satu taktik mudah untuk mengaburi mata dan memainkan emosi bakal mangsa.

Sebabnya, semua orang memang takut nak hadapi risiko kerugian dalam pelaburan, jadi dengan mendakwa bahawa skim yang ditawarkan adalah tanpa risiko kerugian, maka orang ramai akan mudah tertarik.

Hakikatnya, risiko dan pelaburan memang tidak boleh dipisahkan.

Semua pelaburan mesti ada risiko untuk rugi.

Malah, risiko dalam pelaburan adalah rezeki (boleh baca di sini: 5 Peraturan Melabur Yang Mesti Difahami)

Tiada pelaburan yang boleh menjamin keuntungan setiap masa.

Kalau wujud pun, mesti dah lama syarikat-syarikat dana besar seperti PNB, KWSP dan TH melabur dalam skim-skim tersebut.

Dah lama pelabur-pelabur profesional dan tersohor yang akan buat pelaburan terlebih dahulu.

Tetapi, mereka langsung tidak berminat dengan skim-skim pelaburan yang ditawarkan tersebut, sebab mereka dah tahu bahawa skim-skim tersebut adalah skim pelaburan tipu.

Jadi, kita sebagai pelabur kecil-kecilan dan amatur mestilah perlu menjauhkan diri juga daripada tawaran skim pelaburan yang menawarkan pulangan tanpa risiko rugi.

Konon tanpa risiko dan tidak akan rugi, walhal sekali penganjur lari, semua duit yang dilaburkan habis lesap hilang.

Ciri #2 – Indah khabar dari rupa

Saya dulu pernah menghadiri satu taklimat berkenaan satu skim pelaburan, kononnya duit yang dilaburkan  oleh peserta nanti akan digunakan sebagai modal untuk membeli dan menjual barang-barang keluaran syarikat tersebut.

Dipromosikan bahawa barang-barang tersebut sangat berkesan, mengandungi bahan-bahan terbaik yang sukar ditemui, telah menjalani kajian saintifik di banyak makmal luar negara dan macam-macam lagi dakwaan untuk menunjukkan kehebatan barang-barang tersebut.

Walhal, apabila diteliti, rupa-rupanya adalah barang-barang biasa sahaja seperti bedak, ubat gigi, serbuk kopi dan serbuk minuman perasa anggur.

Dan objektif syarikat bukannya nak menjual barang-barang sangat, tetapi lebih kepada mendapatkan lebih ramai ahli atau pelabur; kiranya macam sistem MLM.

Ada juga saya terbaca tentang satu skim pelaburan, yang mana pelabur-pelaburnya akan diberikan mata (points) khas untuk membeli dan menjual barang-barang di laman web yang dibina syarikat.

Ingatkan hebat dan gah sangat laman web tersebut, atau pun ada banyak barang seperti Lazada, rupa-rupanya laman web dibuat sekadar ada dengan design yang teruk dan susun atur yang berterabur.

Barang-barang yang ditawarkan pun tidaklah banyak dan bukanlah barang-barang yang mendapat permintaan tinggi pun.

Ada juga penganjur skim yang jenis menunjukkan simbol-simbol kemewahan seperti duit berkepul-kepul, kereta mewah, pergi melancong ke luar negara dan rumah yang besar.

Walhal semua itu diperoleh hasil daripada duit yang dikutip daripada mangsa, bukannya atas keuntungan perniagaan atau pelaburan.

Memang indah khabar dari rupa.

skim pelaburan tipuCiri #3 – Peluang hanya sekali

Kebanyakan skim pelaburan tipu mesti akan mendakwa bahawa pelaburan yang ditawarkan mempunyai tempoh terhad dan kuota yang sedikit

Kononnya, kalau tak sertai sekarang, tak akan ada lagi tawaran dibuka pada masa akan datang.

Atau pun, kuota dah penuh dan anda dah terlepas peluang untuk dapatkan pulangan besar daripada skim tersebut.

Sebenarnya, ini satu taktik untuk wujudkan sense of urgency atau rasa panik sahaja.

Dengan mewujudkan rasa panik sebegitu, ini akan mengganggu emosi bakal mangsa.

Bakal mangsa tidak akan sempat berfikir panjang dan ini akan memudahkan penganjur skim untuk melaksanakan tipu helah mereka.

Pelaburan yang sebenar sepatutnya tidak mempunyai tempoh terhad dan kuota yang sedikit.

Pelabur boleh melabur  dan berhenti pada bila-bila masa, dan kuota yang sangat besar membolehkan pelaburan dijalankan tanpa perlu rasa panik dan terdesak.

Dalam keadaan sebegini, pelabur punyai ruang masa yang banyak untuk meneliti dan memahami pelaburan tersebut dengan sebaik-baiknya sebelum melaburkan duit mereka.

Bagi skim pelaburan tipu, perkara sebegini tidak terjadi.

Ciri #4 – Untung yang besar

Ciri yang #4 ini sangat berkait rapat dengan ciri #1 di atas.

Untuk mewujudkan rasa tamak dalam hati bakal mangsa, penganjur skim biasanya akan menawarkan pulangan keuntungan yang besar, jauh lebih besar daripada pulangan pelaburan-pelaburan biasa seperti pelaburan ASB, pelaburan unit amanah dan pelaburan saham.

Ada juga yang menawarkan pulangan tetap setiap bulan, kononnya pulangan tersebut boleh menggantikan gaji bulanan yang diterima.

Untuk lebih mudah nak tarik bakal mangsa, kebiasaannya penganjur akan memberikan pulangan terlebih dahulu kepada pelabur-pelabur awal untuk menaruh rasa percaya terhadap skim yang ditawarkan.

Pelabur-pelabur awal ini akan memberitahu kepada orang lain, bahawa mereka memang mendapat keuntungan daripada skim yang disertai.

Maka, orang lain yang mendengarnya mesti akan mudah terpedaya.

Sebenarnya, skim pelaburan tipu sebegini mengambil duit yang dilaburkan peserta-peserta baru untuk diberikan kepada peserta-peserta awal sebagai keuntungan.

Tiada perniagaan, tiada aktiviti-aktiviti lain untuk jana keuntungan, kecuali mengharapkan duit daripada peserta-peserta baru.

Jika tiada peserta baru, maka tiada sumber pendapatan, dan akhirnya sistem akan runtuh.

Tiada lagi pulangan yang boleh diberikan kepada pelabur, dan penganjur akan mula angkat kaki bersama-sama baki duit yang masih ada.

Cara-cara Melindungi Diri

Sekarang, dah kenal ciri-ciri skim pelaburan tipu, tapi bagaimana cara nak lindungi atau elakkan diri daripada terperangkap dalam skim sebegini?

Mudah sahaja, guna C.E.L.I.K

skim pelaburan tipuCara #1 – Cepat curiga

Apabila ada seseorang datang kepada anda dan bercerita tentang skim pelaburan yang mempunyai ciri-ciri di atas, jangan mudah percaya.

Tanamkan dulu rasa curiga, dan ambil masa untuk semak semula semua maklumat berkenaan skim tersebut.

Cara #2 – Elak emosi

Seperti yang dinyatakan di atas, penganjur skim pelaburan tipu memang pandai memainkan emosi bakal mangsa supaya termakan umpan mereka.

Mereka mainkan emosi takut rugi, perasaan terdesak dan rasa tamak bakal mangsa supaya mereka tak boleh berfikir secara rasional dan akhirnya terperangkap.

Jadi, untuk elakkan ditipu dengan skim-skim sebegini, kena kawal dan elak emosi keterlaluan, sebaliknya gunakan common sense dan akal yang dikurniakan.

Cara #3 – Lesen

Sentiasa semak lesen penganjur; semak sama ada mereka punyai lesen yang sah, tulen dan daripada agensi yang betul.

Jika penganjur mendakwa mereka menjalankan jualan langsung, pastikan syarikat tersebut mempunyai lesen perniagaan jualan langsung di bawah Akta Jualan Langsung 1993 & Peraturan-peraturan Jualan Langsung 1993 yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK).

Boleh semak di sini: http://www.kpdnkk.gov.my/index.php/my/status-syarikat-jualan-langsung

Dengan lesen perniagaan jualan langsung, syarikat tersebut hanya layak menjalankan perniagaan jualan langsung, dan tidak layak menawarkan skim pelaburan.

Jika penganjur mendakwa mereka menjalankan skim pelaburan, mereka harus punyai lesen yang sah daripada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC)

Boleh semak di sini (http://www.bnm.gov.my/index.php?lang=bm&ch=bm_financialconsumeralert) atau di sini (https://www.sc.com.my/my/)

Cara #4 – Informasi

Apabila ditawarkan apa-apa skim pelaburan, sentiasa cuba dapatkan informasi yang lengkap.

Tanya pada orang lain, rujuk pada penasihat kewangan yang sah dan semak di laman-laman web seperti yang dinyatakan di atas.

Apabila dah dapat informasi daripada mereka yang berkelayakan dan agensi-agensi penguatkuasa kewangan, janganlah pula menuduh mereka sengaja nak menjatuhkan skim pelaburan yang sedang disertai.

Percaya bahawa mereka hanya dengki dengan skim tersebut, sebab itulah menentang.

Itu sebenarnya hanyalah dalih penganjur skim pelaburan tipu untuk menyembunyikan tentang penipuan mereka.

Jangan hanya dengar informasi daripada penganjur dan agennya sahaja.

Mereka dah tentu akan keluarkan informasi yang berat sebelah; semua nampak indah sahaja.

Cara #5 – Kuat semangat

Apabila berhadapan dengan golongan yang mempromosikan skim pelaburan tipu, kena kuat semangat.

Jangan mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan rentak mereka.

Kuatkan semangat, tegas dalam berkata tidak.

Kadang-kadang, ramai terjerat disebabkan susah, segan atau tak sampai hati nak berkata tidak.

Maklumlah, yang tukang promote itu ahli keluarga sendiri, atau pun kawan baik sendiri; kalau tidak sertai, dikatanya tidak sokong ahli keluarga atau kawan sendiri.

Jadi, apabila berhadapan situasi sebegini, kenalah kuat semangat.

Ingat, yang keluarkan duit adalah anda sendiri, nanti yang hangus pun, duit anda juga.

Apabila duit dah hangus nanti, tiada siapa pun yang akan tolong anda.

Kesimpulan

Kesimpulannya, skim pelaburan tipu adalah sesuatu yang boleh dielakkan dan perlu dijauhi.

Skim-skim sebegini akan sentiasa muncul dan berevolusi dengan modus operasi yang lebih canggih dan sofistikated untuk mengaburi mata bakal mangsa.

Siapa bakal mangsa tersebut?

Anda, saya dan kita semua.

Maka, sentiasalah beringat dan berhati-hati.

Oh ya, sebelum terlupa, boleh tonton video di bawah berkenaan satu skim pelaburan tipu yang digelar skim ponzi.

 

Panduan Memilih Peluang Pelaburan Terbaik

peluang pelaburan terbaikDalam memilih peluang pelaburan terbaik, perkara utama yang perlu dilihat bukanlah kepada instrumen atau peluang pelaburan tersebut, sebaliknya perlu dilihat kepada diri-sendiri.

Faktor dalaman, iaitu yang berkaitan diri-sendiri, lebih mempengaruhi pemilihan sesuatu peluang pelaburan berbanding ciri-ciri pelaburan tersebut.

Dalam erti kata lain, semua peluang pelaburan adalah baik, namun yang terbaik adalah yang memenuhi citarasa dan keperluan diri-sendiri.

Pelaburan yang kena dengan jiwa diri-sendiri.

Individualized.

Pelaburan terbaik adalah berbeza bagi setiap individu.

Sebagai panduan, boleh ambil kira beberapa faktor yang berikut dalam memilih pelaburan terbaik yang kena dengan jiwa masing-masing:

Faktor #1 – Tujuan pelaburan

Sebelum mula memilih peluang pelaburan terbaik, perlu kenal pasti apakah tujuan pelaburan yang dikehendaki.

Adakah ingin mengembangkan modal?

Atau mendapatkan aliran tunai setiap bulan?

Atau untuk melindungi nilai?

Peluang pelaburan terbaik yang ingin disertai perlulah boleh memenuhi tujuan pelaburan yang dikehendaki.

Boleh dikatakan, semua jenis pelaburan mampu memenuhi tujuan mengembangkan modal

Pelaburan hartanah melalui peningkatan harga hartanah, pelaburan saham melalui peningkatan harga saham, pelaburan unit amanah melalui peningkatan harga unit dan pelaburan emas melalui peningkatan harga emas.

Tetapi, untuk menjana aliran tunai, bukan semua jenis pelaburan adalah sesuai.

Contohnya, pelaburan emas, tidak boleh menghasilkan aliran tunai, kecuali jika terlibat dalam jual-beli emas, bukan pelaburan emas.

Untuk mendapatkan aliran tunai, mungkin boleh terlibat dalam pelaburan hartanah dengan menyewakan hartanah yang dibeli.

Melalui pelaburan saham dan unit amanah pula, aliran tunai boleh diperoleh jika memilih kaunter atau dana yang konsisten memberi agihan dividen.

Tetapi, janganlah pula mengharap aliran tunai daripada pelaburan sama seperti mendapat aliran tunai daripada pekerjaan atau perniagaan.

Pelaburan biasanya memberikan aliran tunai yang tidak tetap dan jumlahnya juga tidak menentu, bergantung kepada prestasi semasa.

Lagipun, aliran tunai daripada pelaburan lebih baik dilaburkan semula supaya lebih banyak keuntungan diperoleh.

Faktor #2 – Toleransi risiko

peluang pelaburan terbaikToleransi risiko merujuk kepada tahap kesanggupan setiap orang menghadapi risiko.

Setiap orang mempunyai toleransi risiko yang berbeza.

Dalam pelaburan, toleransi risiko kebiasaannya dinilai melalui dua aspek utama; berapa banyak modal asal pelaburan sanggup hilang, dan berapa lama sanggup tunggu untuk mendapatkan pulangan modal.

Kalau nak tahu toleransi risiko masing-masing, boleh cuba risk profile analysis tools seperti di sini: http://www.bankislam.com.my/eForm/RiskProfilingCalcBM.aspx atau di sini: http://www.oneinvest.com.my/risk-profile-analysis.html

Secara mudah, toleransi risiko seseorang dikelaskan kepada rendah, sederhana dan tinggi.

Orang yang mempunyai toleransi risiko yang rendah tidak sanggup menghadapi risiko yang tinggi dalam pelaburan; mereka takut kehilangan modal pelaburan dan tidak sanggup menunggu lama untuk mendapatkan pulangan modal.

Mereka tidak sanggup menghadapi turun naik pasaran.

Jadi, pilihan pelaburan terbaik untuk mereka adalah akaun deposit tetap (fixed deposit), bon dan sukuk.

Manakala bagi yang mempunyai toleransi risiko yang lebih tinggi pula (sederhana dan tinggi), mereka boleh melabur dalam pelaburan yang lebih bersifat jangka masa panjang dan mengabaikan turun naik pasaran dalam jangka masa pendek, seperti pelaburan unit amanah ekuiti dan saham.

Faktor #3 – Kefahaman & pengetahuan

Instrumen pelaburan yang hendak dipilih seharusnya adalah pelaburan yang kita sendiri faham dan mempunyai pengetahuan yang mendalam berkenaannya.

Contohnya pelaburan saham, seseorang itu perlu faham dan tahu tentang perkara-perkara asas seperti cara jual beli, kiraan unit, caj-caj terlibat, modal diperlukan, cara memilih kaunter terbaik, teknik menganalisa prestasi kaunter/syarikat (fundamental analysis) dan teknik membaca pergerakan carta saham (technical analysis)

Begitu juga dengan pelaburan hartanah, perlu tahu tentang kos-kos terlibat, undang-undang berkaitan, cara beli rumah, strategi pelaburan hartanah yang menguntungkan dan teknik mendapatkan penyewa dari syurga.

Dalam membuat pelaburan, jangan sekadar ikut-ikutan orang lain, sebaliknya biar kita membuat keputusan berdasarkan kefahaman dan pengetahuan sendiri.

Jika ditawarkan pelaburan yang mempunyai pelan yang berbelit-belit yang sukar difahami, contohnya kena cari downline atau beli produk tertentu baru boleh dapat pulangan, lebih baik larikan diri jauh-jauh.

Pilih sahaja pelaburan yang mudah difahami dan dipelajari.

Faktor #4 – Modal & kos

peluang pelaburan terbaikBoleh dikatakan semua jenis pelaburan memerlukan modal dan mempunyai kos-kos tertentu.

Pelaburan emas memerlukan modal awal untuk membeli minimum 1g emas, dan kos-kos yang terlibat seperti kos simpanan, spread harga dan kos pengangkutan (jika diperoleh melalui peniaga online)

Pelaburan unit amanah ada modal unit minimum (RM 500 atau RM 1,000), caj perkhidamatan/jualan, caj pengurusan tahunan dan caj pengurus amanah.

Pelaburan saham juga ada modal unit minimum (1 lot @ 100 unit), caj broker, clearing fee dan stamping fee.

Pelaburan hartanah pula memerlukan deposit awal pembelian rumah, yuran guaman, duti setem, caj penyediaan S&P dan kos renovasi (jika ada)

Walaupun ada cara beli rumah tanpa modal, namun dalam kebanyakan kes, modal tetap diperlukan.

Oleh itu, dalam memilih peluang pelaburan terbaik, pastikan sesuai dengan modal dan kos yang sanggup dikeluarkan.

Sebaik-baiknya, pastikan modal dan kos awal pelaburan yang dikeluarkan adalah daripada lebihan simpanan yang ada.

Boleh baca poin pertama dalam artikel ini untuk lebih lanjut: 5 Peraturan Melaburan Yang Mesti Difahami

Faktor #5 – Masa & tenaga

Tiada instrumen pelaburan yang memberikan keuntungan dengan hanya goyang kaki, sebaliknya semua perlukan masa dan tenaga.

Misalnya, dalam pelaburan hartanah, banyak perkara perlu dilakukan seperti membuat kajian lokasi panas, mencari rumah yang sesuai, melalui prosedur beli rumah yang panjang, menunggu rumah siap, melakukan renovasi rumah, mencari penyewa dan menyediakan perjanjian penyewaan.

Dalam pelaburan saham pula, perlu mula dengan membuka akaun CDS dan trading, memilih syarikat berpotensi, menganalisa laporan kewangan syarikat dan menilai prestasi syarikat sebelum membeli saham syarikat tersebut.

Begitu juga pelaburan unit amanah, walaupun nampak mudah, tetap perlu lakukan pemilihan dan kajian ke atas dana yang diminati.

Semua ini memerlukan tahap luang masa dan tenaga yang berbeza.

Oleh itu, dalam memilih peluang pelaburan terbaik untuk diri-sendiri, haruslah sesuaikan dengan kesanggupan diri untuk meluangkan masa dan tenaga bagi memastikan pelaburan tersebut berjaya memberikan pulangan pelaburan yang baik.

Kalau tidak sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk sesuatu pelaburan, lebih baik jangan melabur.

Kalau ditawarkan pelaburan jenis goyang kaki, tak buat apa-apa boleh dapat untung yang tinggi, lebih baik jauhkan diri.

Kesimpulan

Kesimpulannya, setiap peluang pelaburan adalah sesuai untuk semua orang, namun peluang pelaburan terbaik adalah mengikut citarasa dan minat masing-masing yang berbeza.

Setiap peluang pelaburan juga mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, maka pilihlah yang memenuhi citarasa masing-masing.

Boleh pilih dua atau tiga jenis pelaburan sebagai satu langkah diversifikasi untuk memanfaatkan kelebihan setiap peluang pelaburan dan memaksimakan keuntungan.

Namun, harus berhati-hati agar tidak berlebihan melakukan diversifikasi kerana ini boleh mengurangkan manfaat optima setiap peluang pelaburan.