Tag Archive: matlamat kewangan

Inspirasi Kisah Kejayaan Syafieqah Alya

kisah kejayaan syafieqah alyaKali ini saya ingin berkongsi tentang kisah seorang gadis muda yang diberi nama Syafieqah Alya yang boleh dikatakan berjaya menguruskan kewangan beliau dengan baik sehingga berjaya mencapai impian kewangan beliau.

Pada usia yang muda, beliau berjaya memiliki 2 buah kereta, 3 buah hartanah serta tabung simpanan dan pelaburan yang kukuh.

Semua ini dicapai bukan melalui skim cepat kaya, menipu orang lain atau menyertai perniagaan MLM, tetapi lebih kepada pengurusan kewangan beliau yang baik.

Kalau anda masih belum mengenali beliau, boleh follow Facebook Syafieqah Alya di sini: https://www.facebook.com/syafieqah.cyka

Beliau banyak berkongsi tips pengurusan kewangan di FB beliau, jadi rugi kalau tak follow beliau.

Malah, perkongsian beliau juga banyak dikongiskan di laman-laman web terkenal.

Boleh baca antara perkongsian-perkongsian beliau di sini:

Plan kewangan 2017

Cara capai simpanan minimum RM 10,000

Tertib dalam kewangan

Cara kumpul duit kahwin dan beli rumah

Nak tahu tak macam mana Syafieqah Alya berjaya mencapai impian kewangan beliau?

Jom kita lihat kisah beliau di dalam video ini, yang pernah disiarkan dalam rancangan Ringgit Sense di TV3 pada 18 September lalu:

Boleh juga baca kisah tentang kejayaan Syafieqah Alya menerusi perkongsian-perkongsian yang berikut:

Sinar Harian: Gadis miliki tiga hartanah di usia muda

The Malay Mail Online: Gadis muda kumpul aset jutaan ringgit

The Vocket: Gadis bergaji kecil bergelar jutawan hartanah

Antara perkara-perkara penting yang dapat dipelajari daripada kisah kejayaan Syafieqah Alya adalah:

  • Tetapkan impian kewangan sejak dari mula. Rangka pelan untuk capai impian yang dikehendaki.
  • Gaji rendah bukan penghalang mencapai impian kewangan yang diimpikan. Yang penting, rajin berusaha dan bijak mengurus kewangan.
  • Mula dapatkan pendapatan seawal mungkin, Masa tengah belajar pun boleh kalau tahu cara yang betul.
  • Kalau rasa gaji daripada satu sumber tidak mencukupi, tambah cabang sumber pendapatan. Boleh buat kerja lebih masa, cari kerja sampingan, buat perniagaan kecil-kecilan.
  • Manfaatkan masa dengan lakukan aktiviti-aktiviti berfaedah yang boleh menambah pendapatan.
  • Pada peringkat awal, simpan sebanyak mungkin pendapatan yang diperoleh. Nanti senang untuk langkah seterusnya.
  • Boleh gunakan teknik paksaan untuk tanamkan disiplin menyimpan. Antara caranya, guna teknik financing ASB untuk paksa diri menyimpan dengan tetap.
  • Simpan duit di tempat yang memberikan pulangan yang baik. Antara tempat simpan duit terbaik adalah Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB)
  • Ambil perlindungan insurans takaful dan pastikan dana kecemasan adalah mencukupi sebelum mulakan pelaburan.
  • Berjimat-cermat apabila berbelanja. Ikut kemampuan sendiri, jangan terikut-ikut dengan gaya hidup orang lain.

So, macam mana?

Rasa terinspirasi dengan kisah kejayaan gadis muda ini?

Semoga kisah gadis muda ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk mencapai impian kewangan masing-masing.

Itu sahaja untuk perkongsian kali ini.

Jumpa lagi!

p/s: Kalau rasa perkongsian kali ini bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan di laman sosial anda ya! Terima kasih.

kisah kejayaan syafieqah alya

kisah kejayaan syafieqah alya

..

6 Nasihat Kewangan Untuk Kejayaan

nasihat kewanganSelepas lebih seminggu saya tak update blog ini, hari ini saya terasa untuk berkongsi sedikit nasihat kewangan yang pernah saya pelajari untuk dijadikan panduan kita bersama.

Nasihat kewangan #1 – Semua orang kena ada impian yang besar

Apa impian kewangan anda?

Kalau masih belum ada, jom cipta impian sekarang.

Pastikan impian yang besar tapi realistik, contohnya nak capai tahap kebebasan kewangan yang mana dah berjaya jana pendapatan pasif yang banyak sehingga mampu menampung perbelanjaan-perbelanjaan sedia ada.

Pada masa sama, nak mendiami rumah yang besar dan selesa, memandu kereta yang elok, memiliki aset-aset pelaburan yang menjana keuntungan dan juga ada simpanan yang banyak.

Juga boleh berbelanja ke arah perkara-perkara yang disukai seperti melancong dan mengembara tanpa perlu fikirkan tentang masalah duit.

Boleh selalu pergi makan di restoran-restoran dengan makanan-makanan yang enak.

Dari segi kewangan keluarga pula, berimpian untuk memberikan nafkah secukupnya kepada isteri, menyumbang wang untuk membantu ibu bapa serta keluarga di kampung dan menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Bak kata orang, tak salah untuk memiliki impian.

Begitu juga dengan impian-impian kewangan seperti di atas.

Mempunyai impian yang besar dan realistik akan menjadi pendorong bagi kita mencapai kejayaan.

The big why factor.

Nasihat kewangan #2 – Tetapkan matlamat, buat sampai jadi

Selepas dah set impian kewangan, tulis impian tersebut dalam buku atau sehelai kertas, kemudian tampal di tempat-tempat yang selalu dilihat seperti pada cermin meja solek atau dekat pintu.

Apabila hari-hari tengok impian kewangan sendiri, mesti rasa terdorong untuk capai impian tersebut.

Jadi sekarang, kena tetapkan pula matlamat kewangan dan rancang pelan kewangan untuk merealisasikan impian.

Daripada impian kewangan yang diimpikan, sekarang pecahkan kepada matlamat-matlamat kewangan seperti bina dana kecemasan, tabung pelaburan, tabung  persaraan, dana pendidikan anak-anak dan dana infaq (sedekah dan wakaf).

Tetapkan jumlah dan masa yang spesifik.

Sebagai contoh, nak simpan dana kecemasan sebanyak RM 20,000 dalam masa dua tahun.

Atau nak miliki dua buah rumah yang disewakan sebagai aset pelaburan dalam masa tiga tahun.

Contoh lain, nak ada tabung persaraan sebanyak RM 2 juta dalam masa 25 tahun.

Selepas tetapkan matlamat, rancang pula pelan kewangan untuk capai matlamat tersebut.

Mungkin boleh mula dengan menstrukturkan bajet kewangan bulanan supaya aliran tunai positif

Boleh juga tambah sumber pendapatan untuk memperbanyakkan lagi simpanan.

Pada masa sama, buat pelaburan unit amanah, sasarkan pulangan pelaburan terkompoun 8% ke 10% setiap tahun.

Kalau ada modal lebih, boleh beli rumah dan hartanah komersial untuk disewakan dan dijual apabila harga sesuai.

Tambah ilmu supaya boleh mula melabur dalam pelaburan saham dengan membeli saham syarikat-syarikat berpotensi tinggi.

Semua ini adalah contoh pelan kewangan untuk mencapai matlamat dan impian kewangan yang dikehendaki.

Pastikan anda tulis setiap perancangan yang dibuat, dan laksanakan betul-betul sampai mencapai matlamatnya.

Kalau tak pandai nak rancang pelan kewangan, boleh dapatkan bantuan daripada perunding kewangan yang berpengalaman.

Nasihat kewangan #3 – Berdisiplin dalam membuat simpanan

nasihat kewanganTanpa simpanan, anda tak akan dapat mencapai apa-apa pun impian atau matlamat kewangan.

Kalau sekarang anda masih belum dapat menyimpan, mulakan sekarang.

Mula dulu sikit-sikit, konsisten dan berdisiplin dengan simpanan yang dibuat, lama-lama apabila dah terbiasa, tambahkan lagi.

Bagi yang dah biasa menyimpan, perbanyakkan lagi simpanan.

Lagi banyak menyimpan, lagi cepat dan mudah nak capai matlamat kewangan.

Mula-mula, simpanlah untuk bina dana kecemasan terlebih dahulu.

Simpanlah di tempat simpan duit terbaik, sama ada Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Apabila dana kecemasan dah cukup, mula menyimpan untuk tabung modal pelaburan.

Duit simpanan kalau dibiarkan sahaja boleh jadi rugi juga disebabkan oleh inflasi.

Jadi, kenalah buat pelaburan.

Nanti apabila modal simpanan dah cukup, boleh pilih peluang pelaburan terbaik yang memenuhi keperluan sendiri untuk percepatkan lagi pelan mencapai matlamat dan impian kewangan.

Nasihat kewangan #4 – Kawal emosi dan nafsu berbelanja

Salah satu sebab utama ramai orang gagal menyimpan duit dan mencapai matlamat kewangan yang diingini adalah disebabkan gagal mengawal nafsu berbelanja.

Nampak sahaja barang mewah yang diingini, terus keluarkan duit dan beli tanpa membuat kira-kira terlebih dahulu.

Pantang kawan ajak makan di restoran mahal, laju sahaja pergi tanpa mengambil kira baki duit yang masih ada.

Akibatnya, perbelanjaan melebihi pendapatan menyebabkan tiada simpanan dapat dilakukan.

Ini semua angkara tidak dapat mengawal emosi dan nafsu berbelanja.

Terlalu terikut-ikut gaya kehidupan mewah walaupun sebenarnya diri-sendiri tak berkemampuan pun.

Oleh itu, kenalah kawal emosi apabila berbelanja.

Bezakan mana satu keperluan, mana satu kehendak.

Buat kira-kira sebelum mendapatkan sesuatu barang yang diingini, nilaikan kemampuan kewangan sendiri.

Buat keputusan yang bijak semasa membuat perbelanjaan, ini akan membantu anda membina asas kewangan yang kukuh untuk mencapai matlamat dan impian kewangan yang diingini.

Nasihat kewangan #5 – Pelbagaikan sumber pendapatan

nasihat kewanganPendapatan yang diperolehi sekarang dirasakan tidak mencukupi?

Jangan mengeluh atau salahkan orang lain, sebaliknya cuba pelbagaikan lagi sumber pendapatan.

Ingat, terdapat empat kuadran sumber pendapatan yang boleh diteroka.

Kalau sekarang sumber pendapatan utama adalah daripada kerja makan gaji, cuba pelbagaikan dengan membuat perniagaan kecil-kecilan.

Paling mudah, boleh buat bisnes online.

Macam yang dikata dalam iklan televisyen, kita sekarang berada di era konvergens.

Dunia tanpa sempadan, teknologi di hujung jari.

Jadi, memang mudah nak buat bisnes online; boleh buat bisnes online di Facebook, buat duit dengan affiliate atau bisnes ebay.

Bagi mereka yang dah berniaga kecil-kecilan pula, usaha lebih lagi untuk kembangkan perniagaan sedia ada.

Bangunkan sistem yang sesuai untuk perniagaan anda supaya boleh menjana lebih keuntungan di samping membolehkan anda lebih relaks.

Tidaklah anda buat banyak kerja sepanjang masa, sebaliknya agih-agihkan kerja kepada staf-staf lain dan gunakan teknologi untuk automasikan perniagaan anda.

Jadi, anda tak perlu ada setiap masa bekerja untuk perniagaan anda.

Hasil daripada perniagaan, jangan pula dibelanjakan sesuka hati, sebaliknya utamakan untuk beli aset dan buat pelaburan.

Aset dan pelaburan juga boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kita.

Nasihat kewangan #6 – Jangan lupa zakat, sedekah dan cukai

Mesti selalu ingat kata-kata ini, “Sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh dan aset yang dimiliki, ada hak orang lain ke atasnya”

Bagaimana nak tunaikan hak orang lain tersebut?

Kenalah keluarkan zakat, banyakkan sedekah dan bayar cukai.

Barulah berkat pendapatan yang diperoleh dan aset yang dimiliki.

Jangan takut duit kita berkurang, sebaliknya yakinlah bahawa nanti akan dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda.

Itulah sahaja serba sedikit nasihat kewangan yang saya nak kongsikan kali ini.

Bukan nak tunjuk pandai, saya sendiri pun banyak yang tak terlaksana lagi.

Cuma sebagai peringatan dan pesanan untuk kejayaan masa depan.

Eh, macam beri tazkirah pula.

Baiklah, sampai di sini sahaja, jumpa lagi di artikel lain.

p/s: Kalau rasa nasihat-nasihat di atas menikam kalbu, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya!

nasihat kewangan

..

Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja

formula pengurusan kewanganDalam artikel 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus, saya ada menyarankan untuk membuat bajet sendiri supaya setiap pendapatan yang diperoleh dapat dikawal dan dibelanjakan dengan terurus.

Langkah-langkah yang diberikan sesuai untuk mereka yang telah lama mempunyai pendapatan dan berbelanja, kerana mereka telah ada pengalaman menguruskan pendapatan sendiri.

Apa yang perlu dibuat hanyalah sedikit adjustment kepada perbelanjaan mereka dengan merangka bajet sendiri supaya setiap sen pendapatan dapat disimpan dan dibelanjakan dengan lebih bijak.

Tapi, bagaimana dengan mereka yang baru mula bekerja?

Yang baru mula mendapat gaji pertama.

Apakah formula terbaik untuk mereka mula merancang pengurusan kewangan mereka?

Sebelum itu, jika anda adalah salah seorang daripada mereka yang baru mula bekerja dan sedang mencari panduan berkenaan pengurusan kewangan, saya ucapkan tahniah kerana punyai kesedaran awal untuk bertindak lebih bijak.

Mempunyai formula pengurusan kewangan yang bijak dari awal akan memudahkan perjalanan anda untuk mencapai matlamat-matlamat kewangan anda.

Untuk golongan yang baru mula bekerja ini, saya ada satu formula yang saya reka sendiri dan amalkan dari dulu hingga sekarang walaupun telah 6 tahun bekerja.

Formula pengurusan kewangan 30:10, iaitu membahagikan pendapatan kepada 4 bahagian; tiga bahagian 30% dan satu bahagian 10% (30:30:30:10)

Contohnya, seorang graduan baru yang berpendapatan RM 3,000/bulan, maka pembahagiannya adalah RM 900:900:900:100

Setiap bahagian adalah berdasarkan kepada 7 fasa pengurusan kewangan yang pernah saya tulis sebelum ini.

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

30% – Perbelanjaan

10% – Penyucian harta

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

Bahagian 30% pertama ini adalah untuk kesenangan masa depan; untuk simpanan, pelaburan dan perlindungan.

Orang yang bijak dalam pengurusan kewangan menyimpan dahulu pendapatan yang diperoleh sebelum dibelanjakan.

Semakin banyak bahagian yang boleh disimpan, semakin baik.

Tetapi, janganlah terlalu banyak menyimpan sehingga menyusahkan diri kerana tidak dapat berbelanja untuk keperluan-keperluan asas.

Ramai malas nak mula menyimpan, sebab takut gagal untuk beri komitmen.

Walhal, ada banyak cara simpan duit yang boleh dilakukan.

Bagi orang yang baru bekerja, misi pertama dalam menyimpan adalah untuk mewujudkan dana kecemasan.

Selepas mencukupkan dana kecemasan, lebihan simpanan seterusnya bolehlah disalurkan kepada pelaburan untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan.

Tak kisahlah nak mulakan pelaburan emas, pelaburan hartanah, pelaburan saham atau lain-lain jenis pelaburan, yang penting pastikan pelaburan yang sah dan mula dengan ilmu yang betul.

Pada masa yang sama, jangan lupa untuk mengambil perlindungan takaful/insurans secukupnya untuk menghadapi musibah kewangan yang tak terduga.

Mungkin pada permulaannya tak perlu ambil perlindungan yang mahal, cukup sekadar ambil perlindungan minima untuk manfaat-manfaat asas terlebih dahulu.

Nanti apabila pendapatan bertambah, bolehlah di’top-up’ jumlah perlindungan dan manfaat.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk simpanan, pelaburan dan perlindungan.

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

formula pengurusan kewanganKebanyakan graduan muda yang baru mula bekerja terbeban dengan satu hutang, iaitu hutang pinjaman/pembiayaan pelajaran.

Maklumlah, semasa belajar dulu, tawaran biasiswa terhad, ibu bapa pula tidak mampu menanggung kesemua kos pelajaran, maka pilihan yang ada hanyalah pinjaman/pembiayaan pelajaran.

Hutang tetap hutang, dan menjadi tanggungjawab untuk dibayar.

Jadi, peruntukkanlah sebahagian gaji yang diperoleh untuk membayar hutang yang ditanggung.

Semakin cepat diselesaikan hutang tersebut, semakin baik.

Lebihan yang ada, bolehlah disimpan sebagai simpanan perbelanjaan.

Simpanan perbelanjaan adalah duit yang disimpan untuk dibelanjakan, terutamanya untuk perbelanjaan-perbelanjaan besar.

Contohnya, kebanyakan graduan muda berkeinginan untuk berkahwin, maka bolehlah disimpan sebahagian daripada 30% pendapatan ini untuk mengumpul duit bagi persiapan majlis perkahwinan.

Lelaki yang bertanggungjawab bijak merancang untuk menjadikan kekasih hatinya sebagai yang halal secepat mungkin.

Ada juga yang merancang untuk membeli kereta, maklumlah sebagai hadiah kepada diri sendiri kerana telah habis belajar dan mula bekerja.

Nasihat saya, sebelum membeli kereta, mulakan dengan menyimpan sedikit demi sedikit duit untuk bayaran deposit nanti.

Selagi duit yang dikumpul tidak mencukupi 10% ke 20% harga kereta yang ingin dibeli, jangan beli kereta tersebut.

Harus diingat, membeli kereta yang mahal dan tidak perlu adalah satu tindakan kurang bijak kerana menambah beban hutang dan perbelanjaan baru.

Sedangkan ada perbelanjaan yang lebih utama dan lebih besar yang perlu dilakukan, iaitu membeli rumah.

Tetapi, jika terpaksa juga membeli kereta dan membuat hutang baru, pastikan jangan melebihi pembahagian 30% yang ditetapkan, dan pada masa sama sediakan sedikit bahagian untuk pembiayaan/pinjaman perumahan kelak.

Lebih baik lagi, mulakan dulu dengan membeli rumah dan jadikannya sebagai mesin wang.

Nanti apabila mesin wang semakin bertambah, hasilnya bolehlah digunakan untuk membeli kereta.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk perbelanjaan.

30% – Perbelanjaan

Bahagian ketiga ini adalah untuk perbelanjaan-perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan yang perlu dilakukan.

Ini termasuklah perbelanjaan makan-minum, sewa tempat tinggal, keperluan peribadi, bil-bil utiliti, tambang perjalanan, petrol, tol dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang difikirkan perlu.

Hadkan cuma 30% daripada pendapatan untuk perbelanjaan-perbelanjaan ini, yang biasanya orang sebut sebagai belanja hangus.

30% tidak mencukupi untuk semua perbelanjaan ini?

Kalau bijak merancang, pasti cukup.

Kunci utamanya, berjimat-cermat, tidak boros dan hidup bersederhana di bawah kemampuan.

Untuk kefahaman lebih lanjut, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk perbelanjaan.

10% – Penyucian harta

Dengan pendapatan yang diperoleh, janganlah dilupa ‘hak orang lain’.

Di sinilah perlunya diperuntukkan 10% daripada pendapatan untuk diberikan kepada orang lain sama ada menerusi zakat, cukai dan juga sedekah.

Secara umumnya, pengiraan zakat pendapatan adalah 2.5% daripada pendapatan yang diperoleh, tetapi untuk lebih tepat bolehlah dirujuk di sini.

Pengiraan cukai pendapatan pula perlu mengambil kira banyak perkara, seperti jenis pendapatan bercukai, pengecualian, pelepasan dan rebat cukai.

Kadarnya juga boleh berubah bergantung kepada keputusan kerajaan.

Sedekah pula adalah pemberian ikhlas secara sukarela.

Jangan dilupa juga untuk diberi hadiah kepada ibu bapa.

Walaupun mungkin mereka tidak memerlukan duit gaji anda, tetapi tidaklah salah untuk menghulurkan  sekadar kemampuan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Untuk kefahaman lebih lanjut berkenaan penyucian harta, boleh baca artikel-artikel di bawah tajuk penyucian harta.

Adjust accordingly

formula pengurusan kewanganFormula pengurusan kewangan 30:10 untuk adalah sebagai panduan asas sahaja, bukannya rigid.

Bukan semua orang mempunyai pendapatan yang sama.

Bukan semua orang mempunyai keperluan perbelanjaan yang sama.

Tambahan lagi, dari tahun ke tahun, jumlah pendapatan mungkin semakin bertambah, selari juga dengan jumlah perbelanjaan yang semakin bertambah.

Jadi, di sinilah perlunya kreativiti sendiri untuk mengubahsuai formula tadi untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Namun, saranan saya, kalau boleh, hadkan peruntukan simpanan dan pelaburan pada paras minima 20% manakala paras hutang kepada maksima 30% sahaja.

Jika tiada hutang, itulah yang terbaik.

Hutang yang terlalu tinggi adalah bahaya dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan jika tidak dihadkan.