Tag Archive: cara simpan duit

Tempat Simpan Duit Terbaik: Tabung Haji VS ASB

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asbBaru-baru ini, semasa bersembang dengan seorang rakan, beliau bertanya kepada saya tentang tempat simpan duit terbaik untuk beliau menyimpan duit tabungan beliau.

Rakan saya itu hanya menyimpan duitnya di dalam akaun simpanan bank sahaja, jadi beliau bercadang untuk mencari tempat yang lebih baik untuk menyimpan duit beliau.

Di samping itu, saya juga dapati ramai yang bertandang ke blog ini dengan persoalan yang sama, “Di mana tempat simpan duit terbaik?”

Malah, ada juga yang sering membandingkan antara Tabung Haji vs ASB (Amanah Saham Bumiputera), mungkin kerana kedua-dua tempat ini merupakan tempat simpan duit yang menjadi pilihan kebanyakan orang.

Baiklah, dalam artikel kali ini, saya akan tulis berkenaan hal-hal di atas.

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Di mana tempat simpan duit terbaik?

Secara prinsipnya, tempat simpan duit yang baik haruslah mempunyai ciri-ciri yang berikut:

Ciri #1 – Selamat

Duit haruslah disimpan di tempat yang selamat daripada mudah dicuri orang.

Contohnya kalau simpan di rumah di bawah bantal atau di dalam almari sahaja, sudah tentu kurang selamat kerana sesiapa sahaja boleh terjumpa dan ambil duit tersebut.

Jadi, kenalah cari tempat simpan duit yang dijaga keselamatannya supaya kita dapat tidur lena tanpa perlu runsing memikirkan kemungkinan duit dicuri orang dengan mudah,

Ciri #2 – Modal terjamin

Tempat simpan duit terbaik haruslah memastikan modal yang disimpan adalah terjaga atau semakin bertambah, bukan semakin berkurangan.

Tiada risiko rugi.

Maksudnya, duit RM 10,000 yang disimpan hari ini, haruslah kekal dalam jumlah yang sama atau semakin bertambah walaupun selepas bertahun-tahun, dan bukan pula semakin berkurangan jumlahnya.

Ciri #3 – Mudah untuk transaksi

Sangat penting untuk memastikan tempat simpan duit yang dipilih mempunyai kemudahan transaksi yang baik; mudah untuk duit masuk, dan mudah juga untuk duit dikeluarkan.

Mudah untuk dikeluarkan bukanlah bermaksud mudah bocor dan digunakan untuk perbelanjaan yang tak perlu; ini bukan ciri tabung simpanan yang baik.

Tetapi, maksudnya adalah mudah dicairkan apabila diperlukan terutama apabila berdepan situasi-situasi kecemasan.

Ciri #4 – Kalis inflasi

Nilai duit RM 1 pada 10 tahun dulu tidak sama nilainya dengan RM 1 sekarang, dan nilai RM 1 sekarang tidak akan sama nilainya dengan RM 1 pada 10 tahun akan datang.

Ini adalah disebabkan oleh inflasi, yang mana akan menyebabkan penyusutan nilai duit.

Berapa kadar inflasi di Malaysia?

tempat simpan duit terbaik kadar inflasi

Mengikut carta di atas, kadar paling tinggi pernah dicatatkan adalah sekitar 8% pada sekitar tahun 2009 dulu, tetapi jika dilihat pada tahun-tahun terdekat, kadar inflasi Malaysia berlegar-legar sekitar 2% ke 5%

Oleh itu, adalah satu perkara yang baik jika sesuatu tempat simpan duit dapat mengurangkan penyusutan nilai duit akibat inflasi, dan ini dapat dicapai jika pulangan yang diberikan adalah melebihi kadar inflasi.

Ciri #5 – Kos rendah

Tempat simpan duit terbaik seharusnya berkos rendah atau pun lebih baik lagi jika tiada kos.

Maksudnya, tiada yuran pentadbiran, caj tersembunyi atau pun apa-apa sahaja kos yang akan dikenakan ke atas duit yang disimpan.

Jadi sekarang, selepas dah tahu ciri-ciri tempat simpan duit terbaik, timbul pula soalan lain, di manakah tempat simpan duit yang memenuhi ciri-ciri di atas.

Ada ke?

Jawapanya, mestilah ada.

Pilihan pertama, boleh sahaja simpan duit di dalam akaun simpanan atau semasa bank kerana sudah pun memenuhi hampir semua ciri di atas.

Kelemahannya, pulangan yang diberikan oleh akaun simpanan atau semasa mungkin tidak dapat mengatasi kadar inflasi, iaitu sekitar 1-2% sahaja setahun.

Akibatnya, duit yang disimpan walaupun masih kekal jumlahnya, tetapi nilainya susut akibat inflasi.

Pilihan kedua, boleh simpan duit dalam akaun simpanan tetap (fixed deposit).

Banyak bank yang menawarkan produk fixed deposit, ada yang konvensional, ada yang Islamik.

Kebiasaannya, pulangan yang ditawarkan adalah sekitar 3-4% setahun, lebih baik berbanding kadar pulangan yang diberikan kepada akaun simpanan dan semasa.

Malah, pulangan itu juga boleh mengatasi kadar inflasi, maka penyusutan nilai duit adalah kurang.

Tetapi, kelemahan fixed deposit adalah kena tunggu tempoh matang untuk dapatkan pulangan yang dijanjikan.

Jadi, dalam menunggu tempoh matang tersebut, duit yang disimpan tidak boleh dicairkan jika diperlukan.

Selain kedua-dua pilihan di atas, kita di Malaysia, terutamanya orang Islam dan bumiputera, sangat bertuah kerana ada dua instrumen yang memenuhi ciri-ciri tempat simpan duit terbaik, iaitu akaun simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Tabung Haji vs ASB: Yang mana lebih baik?

Seperti yang saya katakan di atas, Tabung Haji dan ASB merupakan dua instrumen terbaik untuk dijadikan tempat simpan duit.

Kedua-duanya memenuhi semua kriteria yang dinyatakan di atas.

Duit disimpan dengan selamat, modal adalah dijamin, tiada risiko rugi, transaksi masuk-keluar duit mudah dilakukan sama ada secara offline di banyak tempat dan online, dan tiada kos dikenakan apabila menyimpan di Tabung Haji atau ASB.

Malah, pulangan yang diberikan kedua-dua instrumen setakat ini adalah lebih baik berbanding kadar inflasi.

Sebab itulah apabila ada orang yang bertanyakan saya di mana tempat yang baik untuk simpan duit, saya akan cadangkan kedua-dua instrumen ini.

Tetapi, ada juga yang membandingkan antara kedua-duanya; Tabung Haji vs ASB, yang mana lebih baik?

Sebenarnya, agak tidak adil untuk membandingkan antara kedua-duanya, kerana masing-masing mempunyai asas dan objektif yang berlainan.

Objektif utama Tabung Haji dibina adalah sebagai tabung simpanan untuk memudahkan rakyat Malaysia beragama Islam mengumpul duit dan menunaikan ibadat Haji.

ASB pula sebenarnya adalah instrumen pelaburan; ASB adalah dana unit amanah yang mana objektif utamanya adalah meningkatkan pegangan ekonomi dan ekuiti golongan Bumiputera.

Tetapi, oleh kerana ASB memenuhi ciri-ciri tempat simpan duit terbaik, maka instrumen ini lebih dianggap sebagai instrumen simpanan berbanding pelaburan.

Kebiasaannya, orang ramai suka membandingkan Tabung Haji dan ASB dari segi hukumnya, bayaran zakat dan juga pulangan.

Tabung Haji vs ASB: Hukum

Hukum simpanan di Tabung Haji adalah harus dan patuh-syariah.

Tabung Haji mempunyai panel penasihat syariah dan pelaburannya juga dalam pelaburan patuh-syariah sahaja, jadi penyimpan tak perlu ragu-ragu tentang status patuh-syariah Tabung Haji.

Berbeza pula dengan ASB, hukum simpanan di ASB masih lagi menimbulkan polemik sehingga kini kerana umum memang mengetahui yang ASB masih melabur dalam pelaburan yang bercampur-campur patuh-syariah dan tidak patuh syariah.

Suruhanjaya Sekuriti (Security Commisioner, SC) masih melabelkan ASB sebagai instrumen tidak patuh-syariah kerana peratus pelaburan ASB dalam pelaburan tidak patuh-syariah melebihi had yang ditetapkan oleh SC

Majlis Fatwa Kebangsaan pula menyatakan simpanan, dividen dan bonus ASB adalah harus kerana mengambil kira kemaslahatan umum.

Ada juga Majlis-majlis Fatwa Negeri yang sependapat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan seperti Johor, Perak dan Sarawak.

Malah, Majlis Fatwa Negeri Selangor pun baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa hukum ASB adalah harus (sebelum ini meletakkan hukum ASB adalah haram)

Ada juga Majlis-majlis Fatwa Negeri menetapkan hukum ASB adalah haram seperti Pulau Pinang dengan hujah-hujah yang mereka nyatakan.

Sebagai orang awam, terpulang nak ikut pendapat yang mana.

Yang penting, teliti hujah setiap pihak berwajib yang mengeluarkan hukum ASB dan buat pilihan mengikut iman dan pengetahuan sendiri.

Kalau ada yang berbeza pendapat, hormatilah pandangan dan pilihan mereka.

Tabung Haji vs ASB: Bayaran zakat

Urusan pembayaran zakat bagi simpanan dalam Tabung Haji adalah diuruskan oleh pihak Tabung Haji sendiri, jadi penyimpan tidak perlulah mengeluarkan bayaran zakat lagi.

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Berbeza dengan ASB, bayaran zakat simpanan hendaklah dikeluarkan oleh penyimpan sendiri mengikut kadar yang ditetapkan setelah cukup haul (tempoh) dan nisab (jumlah minimum)

Tabung Haji vs ASB: Agihan pendapatan/pulangan

Haa, yang inilah yang orang ramai selalu pentingkan apabila membandingkan antara Tabung Haji dan ASB.

Sebenarnya, ada beza dari segi konsep agihan pendapatan bagi Tabung Haji dan ASB.

Simpanan di Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadia’ah Yad Dhamanah, di mana penyimpan memberikan duit kepada Tabung Haji untuk disimpan, dan Tabung Haji adalah bertanggungjawab untuk menjaga duit tersebut.

Penyimpan juga memberi kebenaran kepada Tabung Haji untuk menggunakan duit tersebut sama ada untuk pelaburan, perniagaan atau sebagainya, dan hasil keuntungan (jika ada) adalah hak milik Tabung Haji.

Maka, adalah menjadi hak Tabung Haji sama ada untuk mengagihkan keuntungan tersebut kepada penyimpan atau tidak.

Namun begitu, setiap tahun, Tabung Haji sentiasa mengagihkan keuntungan tersebut dalam bentuk hibah dan bonus.

Berikut merupakan agihan pendapatan (bonus) yang diberikan Tabung Haji bagi tahun 2011-2016:

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, ASB adalah instrumen pelaburan unit amanah, maka konsep simpanan dan agihan pendapatannya adalah berbeza dengan Tabung Haji.

Penyimpan di ASB adalah pelabur, ASNB adalah pengurus dana ASB manakala Amanah Raya adalah pemegang amanah.

Oleh kerana asas ASB adalah instumen pelaburan, maka ASNB sebagai pengurus dana adalah bertanggungjawab untuk menguruskan duit pelabur dengan baik mengikut objektif dana supaya dapat menjana keuntungan dan mengagihkan pendapatan kepada pelabur.

Berikut merupakan agihan pendapatan (dividen) ASB bagi tahun 2011-2016:

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Dapat dilihat bahawa agihan pendapatan yang diberikan oleh ASB adalah lebih tinggi berbanding Tabung Haji.

Tetapi, harus diingat, pulangan Tabung Haji adalah pulangan bersih manakala pulangan ASB masih belum ditolak zakat simpanan.

Baru-baru ini, Tuan Afyan Mat Rawi ada berkongsi simulasi perbandingan antara Tabung Haji dan ASB dengan mengambil kira agihan pendapatan dan zakat simpanan.

Berikut merupakan simulasi yang ditunjukkan oleh beliau:

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

tempat simpan duit terbaik tabung haji vs asb

Mengikut simulasi ini, dengan mengambil kira agihan pendapatan selama 5 tahun dari tahun 2012 hingga 2016, dengan jumlah simpanan awal yang sama, simpanan di Tabung Haji memberikan pulangan lebih tinggi berbanding ASB.

Kesimpulan

Kesimpulan akhir, jika ada yang tanya saya di mana mereka patut simpan duit, saya akan sarankan sama ada Tabung Haji atau ASB, atau kedua-duanya.

Rugi jika tidak memanfaatkan kedua-dua instrumen yang ada ini; kedua-duanya merupakan tempat simpan duit terbaik.

Walaupun dalam simulasi di atas ditunjukkan bahawa pulangan Tabung Haji adalah lebih baik berbanding ASB, tetapi kita tidak dapat meramal masa hadapan.

Mungkin pada masa hadapan pulangan ASB akan jauh mengatasi Tabung Haji, mungkin juga sebaliknya.

Jadi, janganlah mengambil kira aspek agihan pendapatan sahaja untuk menentukan mana yang lebih baik antara Tabung Haji vs ASB, sebaliknya lihat juga aspek-aspek lain.

Buatlah pilihan yang paling sesuai dengan objektif simpanan kita.

Itu sahaja untuk kali ini, semoga bermanfaat.

Jangan lupa kongsikan artikel ini, ya!

..

 

 

Boleh Tak Simpan Duit Dengan Teknik Main Kutu?

teknik main kutuSalah satu cara simpan duit yang saya tulis dalam artikel 5 Cara Menyimpan Duit Pasti Jadi adalah teknik main kutu, yang mana merupakan teknik yang old-school dan evergreen; diamalkan dari dulu dan masih di amalkan sehingga sekarang.

Main kutu melibatkan sekumpulan kecil orang yang berpakat untuk menyumbangkan satu jumlah duit yang dipersetujui setiap bulan kepada ketua yang digelar ibu atau mak kutu.

Duit yang dikumpul kemudiannya dibahagikan kepada setiap ahli kumpulan mengikut giliran.

Simpan duit dengan teknik main kutu sangat popular terutama di tempat-tempat kerja, malah sekarang ada yang menjalankannya secara online melibatkan orang dari serata tempat.

Persoalannya, bolehkah bermain kutu?

Bagaimana dengan ketetapan undang-undang?

Bagaimana pula dari segi hukum Islam?

Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971

Dalam Akta 28 Undang-undang Malaysia, iaitu Akta (Larangan ) Kumpulan Wang Kutu 1971, dinyatakan dengan jelas bahawa tidak ada individu mahupun syarikat di negara ini dibenarkan menganjurkan pelaburan wang kutu termasuk aktiviti mengutip wang orang lain bagi tujuan membina rangkaian perniagaan.

Maksudnya, main kutu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Malaysia, kerana aktiviti main kutu melibatkan pengumpulan deposit (duit) daripada orang awam.

Sedangkan, untuk mengumpul deposit daripada orang awam, hendaklah mempunyai lesen daripada Bank Negara Malaysia dan juga agensi-agensi yang lain.

Lagipun, main kutu memang cenderung kepada penipuan; bayangkan jika individu atau syarikat yang mengumpul duit tersebut lari atau menghilangkan diri.

Siapa yang terlopong?

Sudah semestinya ahli-ahli yang menyumbang duit.

Jadi, kalau nak main kutu, mainlah dengan senyap-senyap dalam kumpulan kecil dan tanggunglah risiko sendiri.

Jika terjadi apa-apa sama ada ditipu ibu kutu atau ada ahli kumpulan culas membayar, nak ambil tindakan undang-undang pun mungkin tidak boleh dilakukan.

Hukum Teknik Main Kutu Mengikut Pandangan Islam

Mengikut Dr. Zaharuddin, hukum bermain kutu adalah harus sekiranya:

  • Jumlah yang disumbangkan/disimpan oleh setiap ahli kumpulan adalah sama
  • Jumlah yang diterima adalah sama bagi setiap ahli kumpulan
  • Sistem sumbangan dan penerimaan wang adalah terkawal, dipersetujui dan adil sesama ahli kumpulan
  • Tidak wujud unsur-unsur riba, contohnya ada ahli perlu membayar lebih daripada orang lain
  • Tiada unsur gharar atau ketidakpastian; tarikh dan giliran bagi setiap ahli untuk menerima bahagian masing-masing ditetapkan dari awal dan dipersetujui bersama.

Baru-baru ini pun, saya ada menerima pesanan Whatsapp daripada rakan sekerja, yang menyatakan bahawa apabila mengamalkan teknik main kutu, setiap ahli kumpulan perlulah melafazkan akad hutang semasa memberi dan menerima wang supaya permainan tersebut menjadi harus.

Sebabnya, apabila bermain kutu, seolah-olah setiap ahli memberikan hutang kepada ahli yang menerima secara mengikut giliran.

Maka, akad hutang hendaklah dilafazkan.

teknik main kutu

Kesimpulan

Mengikut undang-undang Malaysia, main kutu adalah merupakan satu kesalahan jika dijalankan oleh individu atau syarikat perniagaan.

Walaubagaimanapun, jika nak main kutu, bolehlah dimainkan dalam kumpulan yang kecil bersama-sama ahli yang dikenali sahaja untuk mengurangkan risiko penipuan.

Di samping itu, beberapa perkara perlulah dijaga, terutamanya dari segi sistem kutipan, penyerahan dan giliran yang adil untuk menjaga keharusan bermain kutu dari segi hukum Islam.

Untuk maklumat lanjut berkenaan main kutu, boleh baca artikel-artikel khas yang disiarkan Sinar Harian baru-baru ini.

Boleh baca di sini: http://www.sinarharian.com.my/rencana/main-kutu-bolehkah-1.615697

Atau pun, lihat gambar-gamabar keratan di bawah:

teknik main kututeknik main kututeknik main kututeknik main kututeknik main kutu

Portal Tabung Haji Online eTHiJARI

portal tabung haji online ethijariMasih ramai yang belum tahu kewujudan portal Tabung Haji online eTHiJARI yang boleh digunakan untuk menjalankan urusan berkaitan akaun simpanan Tabung Haji masing-masing.

Portal eTHiJARI, yang sebelum ini dikenali sebagai MyTaha boleh diakses di pautan berikut: ethijari.com.my

Dalam artikel 10 Sebab Digalakkan Simpan Duit Dalam Tabung Haji, saya ada menyatakan kelebihan-kelebihan akaun simpanan Tabung Haji yang menyebabkan saya menganggapnya sebagai tempat simpan duit terbaik.

Dengan adanya portal Tabung Haji online eTHiJARI, menambah satu lagi kelebihan Tabung Haji sebagai tempat simpan duit yang patut menjadi pilihan orang ramai.

Cara daftar portal Tabung Haji online eTHiJARI

Untuk mendaftar dan mula menggunakan eTHiJARI, perlu lakukan langkah-langkah yang berikut:

Langkah daftar eTHiJARI #1 – Pergi ke mana-mana cawangan Tabung Haji terdekat untuk mendapatkan nombor PIN dan mendaftar nombor telefon untuk penghantaran nombor TAC.

Pastikan bawa buku akaun simpanan Tabung Haji, kad pengenalan dan diri-sendiri untuk pengesahan ibu jari nanti.

Langkah daftar eTHiJARI #2 – Masuk ke laman web eTHiJARI dan pergi ke halaman Pendaftaran Pengguna.

Masukkan segala maklumat yang diperlukan.

Pastikan kata kunci (password) yang dipilih mempunyai gabungan huruf kecil, huruf besar, nombor dan simbol.

Selepas siap daftar eTHiJARI, anda boleh mula gunakan portal tersebut dengan log masuk (login) menggunakan kata pengguna (username) dan katakunci (password) yang didaftarkan tadi.

Perkhidmatan Dalam Portal Tabung Haji Online eTHiJARI

portal tabung haji online ethijariSehingga artikel ini ditulis, perkhidmatan yang disediakan melalui eTHiJARI dibahagikan kepada 3 perkhidmatan asas yang berikut:

  1. Haji
  2. Deposit
  3. Kelab TaHa

Perkhidmatan Berkaitan Haji Dalam eTHiJARI

#1 Semakan pendaftaran haji – Pengguna eTHiJARI boleh menyemak status pendaftaran haji; antara maklumat yang boleh diperoleh adalah nombor daftar haji, tahun daftar haji dan tahun giliran haji

#2 Pendaftaran haji – Bagi pendeposit Tabung Haji yang masih belum mendaftar haji, boleh lakukan pendaftaran haji melalui portal Tabung Haji online eTHiJARI

#3 Cetakan slip pendaftaran haji – Untuk mencetak slip pendaftaran haji bagi memudahkan rujukan dan simpanan

#4 Cetakan surat jadual penerbangan – Bagi yang terpilih untuk menunaikan haji melalui Tabung Haji pada tahun semasa, boleh mencetak surat jadual penerbangan melalui eTHiJARI

Perkhidmatan Berkaitan Deposit Dalam eTHiJARI

#1 Pertanyaan baki akaun – Boleh semak baki semasa dalam akaun simpanan Tabung Haji

#2 Pindahan simpanan – Boleh memindahkan duit dari akaun sendiri ke akaun anak/jagaan, dari akaun anak/jagaan ke akaun sendiri dan dari akaun sendiri ke akaun pihak ketiga

#4 Penyata akaun – Boleh semak penyata akaun simpanan dari segi pergerakan masuk keluar duit dan agihan pendapatan dividen dan bonus Tabung Haji

#5 Penyata Debit i-Mastercard – Bagi pemilik kad debit i-Mastercard Tabung Haji, boleh semak penyata akaun melalui eTHiJARI

#6 Kemaskini akaun – Boleh digunakan untuk menambah akaun Tabung Haji anak/jagaan dan juga akaun pelaburan Tabung Haji IPD-KWSP; boleh gunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain untuk akaun-akaun yang ditambah

#7 Selenggara Favorite Account – Untuk menyelenggara akaun-akaun Tabung Haji yang sering digunakan untuk pindahan baki seperti akaun Tabung Haji suami/isteri, ibubapa dan anak-anak

#8 Selenggara Security Info – Untuk mengubah dan menyelenggara perkara-perkara berkaitan keselamatan akaun eTHiJARI seperti seperti imej dan frasa rahsia

Perkhidmatan Berkaitan Kelab TaHa Dalam eTHiJARI

Melalui portal Tabung Haji online eTHiJARI, pengguna boleh mendaftar dan menyemak status pendaftaran dalam kelab TaHa dan TaHa@U

Tabung Haji Online Melalui Maybank2u

portal tabung haji online ethijariKekurangan utama penggunaan eTHiJARI adalah tiadanya perkhidmatan pindahan duit daripada akaun simpanan Tabung Haji ke akaun simpanan bank biasa untuk tujuan pengeluaran.

Walaubagaimanapun, kekurangan ini dapat ditampung dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji online melalui Maybank2u.

Perkhidmatan ini hanya boleh digunakan oleh mereka yang mempunyai akaun Maybank2u.

Apa yang perlu dilakukan adalah dengan ‘menghubungkan’ akaun Tabung Haji dengan akaun Maybank2u sendiri.

Caranya, dengan membawa buku akaun Tabung Haji (maklumat penting adalah nombor akaun dan nombor buku) ke mesin ATM Maybank. masukkan kad ATM/Debit Maybank, pilih menu Tabung Haji dan masukkan maklumat-maklumat yang diminta.

*Langkah-langkah ini perlu sentiasa diulang setiap kali pertukaran kad ATM/Debit Maybank yang baru dilakukan

Selepas itu, dah boleh gunakan Tabung Haji online melalui Maybank2u.

Antara perkhidmatan berkaitan Tabung Haji yang boleh digunakan melalui Maybank2u adalah:

  • Semakan baki semasa
  • Pindahan dari akaun Maybank ke TH
  • Pindahan dari akaun TH ke Maybank
  • Pindahan dari akaun TH ke TH pihak ketiga
  • Pendaftaran haji

Dengan adanya perkhidmatan portal Tabung Haji online eTHiJARI dan melalui Maybank2u, urusan berkaitan akaun simpanan Tabung Haji kini menjadi lebih mudah kerana tidak perlu menunggu untuk berurusan di kaunter lagi.

Semuanya boleh dilakukan di hujung jari sahaja.

Masih belum mendaftar dengan eTHiJARI?

Cepat-cepat daftar eTHiJARI sekarang!