Artikel Terkini

5 Salah Faham Urus Duit Yang Mesti Diperbetulkan

salah faham urus duitSetelah lama tak update blog ini, tiba-tiba rasa nak ‘membebel’ tentang topik salah faham urus duit yang masih berakar di kalangan minda masyarakat kita sekarang.

Akibat beberapa salah faham ini, menyebabkan masih ramai yang malas mengambil inisiatif untuk mula menguruskan duit dan kewangan mereka dengan baik.

Akibatnya, kedudukan kewangan mereka sendiri menjadi lemah, pelbagai masalah kewangan juga turut menimpa.

Apabila ini berlaku, mereka mula menyalahkan pihak lain; kerajaan, majikan, peniaga, pelabur, keluarga, rakan, serta mendakwa pihak-pihak inilah yang bertanggungjawab atas kegagalan mereka mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing.

Walhal, kalau mereka perbetulkan kefahaman, dan mula bertindak untuk mengurus kewangan sendiri dengan lebih baik, insyaAllah, mereka tidak akan mengalami masalah kewangan yang teruk.

Jom kita lihat satu per satu salah faham urus duit yang sering berlaku:

Salah faham urus duit #1 – “Gaji tinggi, hidup selesa”

Itulah yang ditanam dalam minda masyarakat kita, sejak daripada kecil lagi.

Kononnya jika dapat jumlah pendapatan yang tinggi, mesti dapat hidup dengan selesa.

Dapat beli apa sahaja, penuhi apa sahaja yang diingini.

Hakikatnya tidak begitu.

Jumlah gaji atau pendapatan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu bebas daripada sebarang masalah kewangan.

Mesti anda semua pernah dengar dengan pepatah “Semakin besar periuk, semakin besar keraknya”, bukan?

Dari konteks pengurusan kewangan peribadi, pepatah ini memberi gambaran tabiat kebanyakan orang yang suka menambah perbelanjaan apabila pendapatan bertambah.

Pantang gaji naik sedikit, terus mengidamkan kereta yang lebih mahal.

Dapat bonus, dihabiskan kepada shopping membeli pakaian-pakaian mahal dan barang-barang bukan keperluan.

Akibatnya, walau gaji bertambah besar, namun kehidupan masih tetap sama dibelenggu masalah kewangan.

Sebenarnya, apa yang penting bukanlah gaji yang tinggi, tetapi, ilmu pengurusan kewangan yang betul dan sikap sendiri terhadap wang yang dimiliki.

Apabila gaji bertambah, usahlah berasa terlalu teruja dan gelap mata.

Sepatutnya, sebahagian daripada gaji yang bertambah itu hendaklah ditambah kepada tabung simpanan, bukannya semua dihabiskan kepada perbelanjaan.

Setiap kali berbelanja, kena selalu bezakan antara keperluan dan kehendak.

Sentiasa buat perancangan dan bajet, dan patuh kepada bajet tersebut.

Berbelanja ikut kemampuan sendiri, dan sentiasa tanamkan rasa cukup dan syukur dengan rezeki yang diperoleh.

InsyaAllah, dengan sentiasa amalkan perkara-perkara ini, walau sebesar atau sekecil mana pun gaji yang diperoleh, kita akan sentiasa mendapat hidup yang selesa, tenang dan bebas daripada belenggu masalah kewangan.

Salah faham urus duit #2 – “Simpan duit apabila ada duit lebih sahaja”

salah faham urus duit“Dapat gaji, bolehlah beli itu-ini. Makan di sana-sini. Puaskan dulu kehendak diri. Kalau ada duit lebih, barulah simpan.”

“Penat-penat kerja, dapat gaji, mestilah nak belanja untuk kepuasan diri-sendiri dulu. Buat apa nak simpan duit.”

Masih ramai sebenarnya yang berpegang dengan kata-kata di atas.

Namun akibatnya, mereka masih gagal menyimpan.

Sudah tentulah, sebab nak harapkan ada duit lebih terlebih dahulu baru nak menyimpan, memang susah.

Duit, kalau dah mula dibelanjakan, memang susah nak berhenti.

Memang susah nak biarkan ada baki untuk disimpan.

Jadi, cara nak atasi masalah ini, kenalah tukar mindset.

Simpan dulu sebelum berbelanja.

Apabila dapat gaji, simpan dulu sebahagiannya, lupakan, dan yang selebihnya barulah dibelanjakan.

Kalau rasa susah nak mula menyimpan, boleh baca perkongsian ini: 5 Cara Simpan Duit

Prinsip penting dalam menyimpan; sanggup berkorban kesenangan hari ini untuk kesenangan hari esok.

Contohnya, yang bergaji RM 3,000 sebulan, disarankan untuk simpan terlebih dahulu dalam jumlah minimum RM 300.

Bayangkan, dengan RM 300, macam-macam perkara juga boleh dibeli untuk memenuhi kehendak yang membuak-buak.

Tetapi, demi membina tabung simpanan dan mengejar matlamat kewangan yang diingini, sanggup dikorbankan keseronokan membelanjakan duit tersebut demi disimpan ke dalam tabungan.

Jika konsisten, hasil tabungan nanti akan memberikan kesenangan pada masa hadapan.

Salah faham urus duit #3 – “Gaji sikit, susah nak menyimpan”

Ramai juga yang memberikan alasan pendapatan yang kecil menjadi penghalang untuk menyimpan secara konsisten.

Ya, tidak dinafikan, dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi sekarang, memang agak sukar bagi mereka yang berpendapatan kecil untuk menyimpan.

Tetapi, kalau boleh, janganlah sentiasa jadikan perkara ini sebagai alasan untuk tidak menyimpan.

Mulakan menyimpan dengan jumlah yang kecil dahulu, pastikan konsisten setiap bulan.

Ini penting untuk memupuk tabiat menabung terlebih dahulu.

Nanti apabila pendapatan semakin bertambah, akan lebih mudah dan seronok untuk menyimpan kerana telah terdidik pada ‘waktu susah’ dulu.

Pada masa sama, disarankan juga setiap kali mendapat duit tambahan seperti bonus, hadiah atau pun bantuan seperti bantuan BR1M, lebih baik duit tersebut disimpan jika tiada apa-apa keperluan mendesak pada waktu tersebut.

Ingatlah pepatah lama, “Sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit”

Salah faham urus duit #4 – “Jimat-cermat pada waktu gawat sahaja”

salah faham urus duit“Waktu senang, bolehlah berbelanja lebih. Waktu susah, pandai-pandailah berjimat-cermat”

Mesti anda pun pernah dengar orang luahkan kata-kata di atas, bukan?

Masa banyak duit, bukan main seronok lagi berbelanja.

Apabila duit dah tinggal sedikit, barulah mula nak berjimat-cermat.

Hakikatnya, bukan begini yang sepatutnya diamalkan.

Perbelanjaan hendaklah dikawal bukan sahaja pada setiap masa, tak kira pada waktu senang, dan lebih-lebih lagi pada waktu susah.

Utamakan perbelanjaan-perbelanjaan keperluan berbanding kehendak, sentiasa ikut bajet yang dibuat dan kemampuan kewangan sendiri.

Kunci utamanya adalah bersederhana; jangan terlalu boros, dan jangan pula terlalu kedekut sehingga menyusahkan diri.

Ambillah iktibar daripada pengajaran surah Yusuf.

Dalam surah ini, diajarkan supaya berjimat-cermat dan banyakkan menyimpan pada waktu senang, supaya nanti apabila tiba waktu gawat, hasil simpanan tersebut dapat digunakan untuk menempuh waktu sukar tersebut.

Begitulah yang sepatutnya kita amalkan dalam pengurusan kewangan peribadi sendiri.

Salah faham urus duit #5 – “Duit banyak-banyak, bukan boleh bawa masuk kubur”

Kata-kata di atas sering dilemparkan sebagai sindiran kepada golongan yang pandai urus duit.

Kononnya, sia-sia sahaja menguruskan duit dengan baik, simpan duit banyak-banyak, sebab tak boleh di bawa mati pun.

Ya, memang betul, duit yang banyak memang tidak boleh di bawa masuk kubur.

Tetapi, dengan duit yang banyaklah, dapat membantu untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di alam sana.

Bagaimana?

Bukankah dengan duit yang banyak, akan membantu kita untuk menunaikan zakat, sedekah dan wakaf dengan lebih mudah?

Apabila kita bijak menguruskan kewangan, sudah tentu kita tidak akan meminggirkan amalan mengeluarkan zakat.

Sebahagian duit juga boleh disedekahkan secara konsisten kepada mereka yang memerlukan.

Apabila meninggal dunia, bukan sahaja boleh diwasiatkan harta kepada waris, malah boleh diwakafkan juga.

Boleh ambil iktibar daripada kisah harta wakaf sahabat Nabi s.a.w. di sini: Kisah Harta Wakaf Saidina Uthman ibn Affan

Zakat, sedekah, wakaf; insyaAllah semua ini jika dilakukan dengan ikhlas, akan menjadi ‘pelaburan’ yang berterusan memberikan hasil.

Semua ini boleh dicapai dengan pengurusan kewangan yang baik.

Penutup

Itulah sahaja beberapa salah faham urus duit yang masih membelenggu minda kebanyakan orang.

Harap-harap, dapatlah diperbetulkan mindset yang salah tersebut.

Dan sama-samalah kita memperbetulkan pengurusan kewangan sendiri ke arah lebih baik.

Sampai di sini sahaja, harap mendapat manfaat daripada perkongsian kali ini.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya. Terima kasih.

salah faham urus duit

..

ADAM50 Amanah Dana Anak Malaysia 2050

adam50Semasa pembentangan Bajet 2018 yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, ada mengumumkan tentang Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau lebih ringkas disebut sebagai ADAM50.

Mungkin ada yang tertanya-tanya atau kurang jelas tentang dana ini.

Jangan bimbang, perkongsian kali ini akan menyediakan serba-sedikit fakta tentang insentif ini.

Maklumat umum ADAM50

Secara ringkasnya, ADAM50 adalah insentif yang diberikan kepada semua bayi warganegara Malaysia yang lahir bermula 01 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Insentif ini adalah dalam bentuk dana berjumlah RM 200 yang diberi secara percuma sebagai dana permulaan tabungan sama ada di dalam dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau dana Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.

Objektif utama insentif ini adalah untuk menggalakkan ibubapa memulakan dana tabungan untuk anak-anak mereka.

Insentif yang diberikan ini, berserta agihan pendapatan dividen atau bonus ke atasnya, tidak boleh dikeluarkan atau ditebus sehingga tempoh matang bayi berumur 18 tahun.

Jadi, memang sesuailah sebagai tabungan untuk anak-anak.

Kriteria kelayakan ADAM50

ADAM50 hanya layak diberikan kepada yang memenuhi kriteria-kriteria yang berikut:

  • Bayi lahir pada 01 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022
  • Bayi merupakan warganegara Malaysia
  • Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas
  • Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar tidak diisytiharkan muflis semasa pendaftaran ADAM50 dibuat

adam50

Cara mohon ADAM50

Bagi yang memenuhi kriteria-kriteria di atas, maka boleh mulakan langkah untuk mohon ADAM50 bagi anak yang baru dilahirkan.

Tempoh permohonan adalah bermula daripada kelahiran abayi sehinggalah setahun daripada tarikh kelahiran bayi tersebut.

Sebagai contoh, jika bayi lahir pada 20 Januari 2018, maka tempoh kelayakan untuk mohon ADAM50 bagi bayi tersebut adalah sehingga 20 Januari 2019.

Selepas tempoh setahun tersebut, maka kelayakan untuk mendapatkan insentif percuma ADAM50 adalah terbatal.

Untuk mohon ADAM50, mudah sahaja.

Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar berwarganegara Malaysia hanya perlu datang ke mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara seperti Maybank, CIMB, Pos Malaysia, RHB, AmBank, Affin Bank dan Alliance Bank dan membawa dokumen-dokumen berkaitan.

Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah:

  • Dokumen pengenalan diri (MyKad) ibu atau bapa atau penjaga berdaftar
  • Dokumen pengenalan diri (MyKid) bayi atau Sijil Kelahiran (sekiranya MyKid masih belum diterima)
  • Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi

Isi borang pendaftaran dan serahkan dokumen-dokumen tersebut.

Jika semuanya memenuhi syarat, maka permohonan akan diluluskan.

Akaun untuk bayi akan diwujudkan dengan jumlah permulaan sebanyak RM 200 yang diberikan percuma.

 

Pelaburan tambahan

Selepas akaun tersebut diwujudkan, maka ibu atau bapa atau penjaga berdaftar boleh membuat pelaburan tambahan untuk bayi dari semasa ke semasa.

Contohnya, boleh buat pelaburan tambahan setiap bulan yang ditolak daripada gaji.

Setiap kali bayi mendapat hadiah wang seperti duit raya, bolehlah juga dimasukkan ke dalam akaun ini.

Dengan duit yang dimasukkan ini, berserta agihan pendapatan yang diberikan dalam bentuk dividen dan bonus, jumlah yang semakin bertambah ini boleh dijadikan dana untuk masa depan si anak, sama ada sebagai dana pendidikan atau modal memulakan bisnes kecil-kecilan nanti.

Bukankah ini sesuatu yang baik?

Jadi, kalau anda ada anak atau bayi di bawah jagaan yang dilahirkan pada tempoh 5 tahun bermula tahun 2018 ini, jangan lupa untuk dapatkan insentif ini ya.

Untuk lebih banyak maklumat berkaitan ADAM50, boleh rujuk di laman web ANSB dengan klik di sini.

Sampai di sini sahaja perkongsian ringkas kali ini.

Jumpa lagi!

p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN dengan yang lain, ya. Terima kasih.

..

adam50

Dana Unit Amanah Terbaik 2017

dana unit amanah terbaik 2017Untuk artikel pertama tahun 2018, saya mulakan dengan perkongsian tentang dana unit amanah terbaik 2017.

Mungkin ramai dah sedia maklum, unit amanah, atau unit trust, merupakan salah satu peluang pelaburan yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia.

Maklumlah, modal permulaan yang rendah, kos yang mampu ditanggung, bilangan dana yang pelbagai, gerak kerja ejen dan syarikat yang tersusun, menarik minat orang ramai untuk memilih unit amanah sebagai salah satu peluang pelaburan yang perlu diceburi.

Salah satu dana unit amanah yang popular adalah Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)

Ya, ASB adalah dana unit amanah, namun lebih ramai yang menganggapnya sebagai simpanan berbanding pelaburan.

Ini kerana ASB boleh dikatakan berisiko rendah dan harganya tetap, malah pulangannya juga menarik.

Saya dah ulas tentang perkara ini di sini: Tempat Simpan Duit Terbaik

Tetapi, untuk perkongsian kali ini, saya nak membandingkan prestasi dana unit amanah patuh-syariah daripada syarikat-syarikat pengurus dana yang lain, seperti Public Mutual, CIMB-Principal, Affin Hwang, Kenangan Investors, Eastprint Investment, PMB Investment dan banyak lagi.

Data yang saya akan gunakan sebagai rujukan adalah daripada Morningstar Malaysia bertarikh 29 Disember 2017, iaitu hari terakhir urusniaga pada tahun 2017.

Selain Morningstar, kalau anda nak semak prestasi dana-dana unit amanah, boleh juga guna data daripada Novagni, Bloomberg, eUnittrust, Fundsupermart dan Lipper.

Kebiasaannya, data-data yang dikeluarkan adalah hampir sama sahaja.

Sebagai perbandingan prestasi pula, kita boleh guna pulangan ASB sebagai indikator.

Secara kiraan mudahnya (ambil kira dividen sahaja), pulangan terkompoun ASB adalah seperti yang berikut:

  • 1 tahun = 7.25%
  • 3 tahun = 7.08%
  • 5 tahun = 7.29%
  • 10 tahun = 7.36%

Kalau simpan RM 10,000 dalam ASB 1, 3, 5 dan 10 tahun dahulu, jumlah sekarang adalah:

  • 1 tahun = RM 10,725
  • 3 tahun = RM 12,279
  • 5 tahun = RM 14,127
  • 10 tahun = RM 20,352

Kiranya, kalau pulangan dana unit amanah tidak mengatasi pulangan ASB, lebih baik melabur dalam ASB sahaja.

Saya juga akan fokus kepada dana-dana unit amanah patuh-syariah sahaja, dan susun mengikut kategori dana.

Tanpa buang masa, jom kita lihat dana unit amanah terbaik 2017, kategori patuh-syariah.

dana unit amanah terbaik 2017

Kategori #1 – Dana ekuiti Malaysia large-cap

Dana-dana ini melabur di pasaran ekuiti Malaysia, melibatkan kaunter-kaunter saham bermodal besar.

Dana unit amanah terbaik 2017 bagi kategori ini adalah (dalam kurungan adalah jumlah pelaburan jika melabur RM 10,000 pada awal setiap tempoh tersebut)

dana unit amanah terbaik 2017

  • BIMB-i Growth = 31.16% (RM 13,116)
  • PMB Shariah Premier = 30.45% (RM 13,045)
  • KAF Tactical Fund = 28.19% (RM 12,819)
  • Affin Hwang Aiiman Equity = 25.45% (RM 12,545)
  • PMB Shariah Dividend = 24.82% (RM 12,482)

Bagi tempoh 3 tahun pula:

dana unit amanah terbaik 2017

  • PMB Shariah Premier = 9.22% (RM 13,029)
  • PMB Shariah Dividend = 7.62% (RM 12,465)
  • CIMB Islamic DALI Equity = 5.57% (RM 11,766)
  • KAF Tactical Fund = 5.38% (RM 11,702)
  • Affin Hwang Aiiman Equity = 4.77% (RM 11,500)

Bagi tempoh 5 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

  • Eastspring Investment Dana al-Ilham = 9.61% (RM 15,822)
  • CIMB Islamic Euity Aggressive = 8.18% (RM 14,816)
  • CIMB Islamic DALI Equity = 7.97% (RM 14,673)
  • Am Islamic Growth = 7.95% (RM 14,659)
  • PMB Shariah Dividend = 7.57% (RM 14,403)

Bagi tempoh 10 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

  • Eastspring Investment Dana al-Ilham = 8.31% (RM 22,217)
  • CIMB Islamic DALI Equity Growth = 6.44% (RM 18,666)
  • Am Islamic Growth = 5.94% (RM 17,807)
  • PMB Shariah Premier = 5.77% (RM 17,524)
  • CIMB Islamic DALI Equity = 5.18% (RM 16,570)

Kategori #2 – Dana ekuiti Malaysia small/medium-cap

Dana-dana ini juga melabur di pasaran ekuiti Malaysia, tetapi lebih fokus kepada syarikat-syarikat bermodal sederhana dan kecil.

Bagi kategori ini, dana unit amanah terbaik 2017 adalah:

dana unit amanah terbaik 2017

  • PMB Shariah Small-Cap MYR = 33.30% (RM 13,300)
  • PMB Shariah Growth = 32.81% (RM 13,281)
  • PMB Shariah Aggressive = 30.10% (RM 13,010)
  • Manulife Investment Shariah Progress = 25.33% (RM 12,533)
  • MIDF Amanah Islamic = 21.80% (RM 12,180)

Bagi tempoh 3 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

  • PMB Shariah Growth = 12.16% (RM 14,110)
  • PMB Shariah Aggressive = 12.07% (RM 14,076)
  • Public Islamic Opportunities = 8.93% (RM 12,925)
  • Hong Leong Dana Makmur = 8.19% (RM 12,664)
  • Manulife Shariah – Dana Ekuiti = 7.90% (RM 12,562)

Bagi tempoh 5 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

  • PMB Shariah Aggressive = 16.29% (RM 21,267)
  • Manulife Investment Shariah Progress = 14.63% (RM 19,792)
  • PMB Shariah Growth = 12.81% (RM 18,270)
  • Public Islamic Opportunities = 12.20% (RM 17,781)
  • CIMB Islamic Small Cap = 9.23% (RM 15,549)

Bagi tempoh 10 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

  • Kenanga Syariah Growth = 9.21% (RM 24,134)
  • Public Islamic Opportunities = 9.13% (RM 23,958)
  • Affin Hwang Aiiman Growth = 8.93% (RM 23,522)
  • PMB Shariah Growth = 7.60% (RM 20,803)
  • CIMB Islamic Small Cap = 7.51% (RM 20,630)

Ulasan: Dana-dana unit amanah ekuiti Malaysia, sama ada jenis large-cap atau small/meidum-cap, memang menjadi pilihan ramai pelabur unit amanah.

Dengan prestasi pasaran Malaysia yang memberangsangkan pada tahun 2017, maka banyak dana unit amanah dalam kategori ini memberikan pulangan yang baik jika dilihat kepada prestasi setahun 2017.

Namun begitu, jika dilihat prestasi pada tempoh lebih lama, dapat dilihat ada dana yang memberikan pulangan yang baik, dan ada yang kurang memberangsangkan.

Malah, ada dana yang menunjukkan prestasi kurang baik berbanding prestasi ASB.

Inilah risiko apabila melabur dalam dana unit amanah kategori ini; prestasinya banyak dipengaruhi oleh naik-turun prestasi pasaran Malaysia.

Sebab itulah amat penting untuk memilih dana yang stabil dan sering menyemak prestasi dana yang disertai.

Jangan hanya terikut-ikut dengan orang lain.

Kategori #3 – Dana seimbang patuh-syariah bercampur-campur

Dana-dana ini melabur di pasaran ekuiti dan pasaran tetap (sukuk, pasaran wang) mengikut peratus pembahagian yang hampir seimbang, sama ada di pasaran Malaysia dan juga pasaran lain.

Berbanding dana-dana ekuti, dana-dana ini kurang berisiko kerana pelaburan dipelbagaikan dalam pasaran ekuiti dan tetap.

Tetapi, bagaimana pula dengan prestasi mereka?

Jom kita lihat.

Dana unit amanah terbaik 2017 bagi kategori ini adalah:

dana unit amanah terbaik 2017

  • Dana Makmur Pheim = 20.25% (RM 12,025)
  • Public Islamic Growth Balanced = 18.96% (RM 11,896)
  • BIMB Dana al-Munsif = 17.92% (RM 11,792)

Bagi tempoh 3 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

  • TA Asia Pacific Islamic Balanced = 10.18% (RM 13,375)
  • RHB Regional Islamic Balanced = 9.78% (RM 13,230)
  • Public Ehsan Mixed Asset Growth = 9.61% (RM 13,169)

Bagi tempoh 5 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

  • Dana Makmur Pheim = 12.61% (RM 18,109)
  • Libra Syariah Extra Fund = 7.73% (RM 14,511)
  • CIMB Islamic Balanced = 7.01% (RM 14,032)

Bagi tempoh 10 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

  • Dana Makmur Pheim = 7.96% (RM 21,509)
  • Manulife Investment al-Umran = 5.77% (RM 17,524)
  • Apex Dana al-Faiz-i Inc = 5.31% (RM 16,776)

Kategori #4 – Dana bon/sukuk Malaysia

Dana-dana ini melabur dalam produk-produk bon/sukuk patuh-syariah di Malaysia.

Dana-dana ini berisiko rendah, dan kebiasaannya menjadi pilihan bagi mereka yang tidak mahu menanggung risiko tinggi.

Dana unit amanah terbaik 2017 bagi kategori ini adalah:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 3 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 5 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 10 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Kategori #5 – Dana pasaran wang Malaysia

Dana-dana ini fokus kepada pasaran wang patuh-syariah di Malaysia.

Dana-dana ini juga berisiko rendah dan lebih stabil pulangannya.

Bagi kategori ini, dana terbaik 2017 adalah seperti yang berikut:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 3 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 5 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 10 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Kategori #6 – Dana ekuiti Asia-Pasifik ex. Jepun

Dana-dana daripada kategori ini mula mendapat perhatian ramai kerana peluang untuk melabur ke pasaran Asia Pasifik meliputi pasaran negara-negara yang lebih luas berbanding Malaysia.

Disebabkan pasaran yang lebih luas, jadi dana-dana kategori ini tidak terlalu terpengaruh dengan prestasi pasaran di Malaysia.

Boleh jadi walaupun prestasi pasaran Malaysia tidak memberangsangkan, tetapi dana-dana ini boleh meberi pulangan yang baik kerana dana-dana dilaburkan dan dipelbagaikan ke pasaran luar yang lebih stabil.

Bagi kategori ini, dana unit amanah terbaik 2017 adalah:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 3 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 5 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Bagi tempoh 10 tahun:

dana unit amanah terbaik 2017

Penutup

Memang sukar nak mencari dana unit amanah yang memberikan pulangan terbaik yang konsisten sama ada bagi tempoh pendek mahupun tempoh panjang.

Ada dana yang cemerlang dalam tempoh pendek, tetapi tidak bagi tempoh panjang, dan juga sebaliknya.

Apa-apa pun, bagi yang melabur dalam unit amanah, pastikan anda sentiasa menyemak dan menilai prestasi pelaburan masing-masing, sama ada pulangan yang diperoleh menepati objektif yang dikehendaki atau tidak.

Bagi yang baru nak melabur, pilihlah dana yang terbaik yang memenuhi keperluan, objektif dan toleransi risiko sendiri.

Janganlah hanya terikut-ikut dengan saranan orang lain, tetapi didik diri-sendiri supaya berupaya membuat keputusan dan pilihan sendiri.

Sebelum mengakhiri perkongsian ini, suka saya ingatkan, past performance does not indicate future performance.

Dana yang berprestasi baik pada tahun lepas, belum tentu akan menunjukkan prestasi yang sama pada tahun ini.

Apa-apa pun, buatlah keputusan yang terbaik untuk diri-sendiri.

Semoga mendapat manfaat untuk perkongsian kali ini.

Jumpa lagi!

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini, ya! Terima kasih.

..