Uncategorized

Kadar Zakat Fitrah 2018 Bagi Setiap Negeri di Malaysia

kadar zakat fitrah 2018Berapa kadar zakat fitrah 2018 bagi negeri-negeri di Malaysia ya?

Haa, selepas lebih 2 minggu berpuasa, jangan dilupa tentang satu lagi kewajipan yang perlu ditunaikan dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Apa kewajipan tersebut?

Sudah tentulah zakat fitrah.

Kalau tak sempurna kewajipan membayar zakat fitrah ini bagi yang memenuhi syarat, pahala amalan berpuasa boleh ‘tergantung’.

Jadi, jangan lupa untuk keluarkan zakat fitrah.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, jom refresh balik tentang kewajipan zakat fitrah ini.

Definisi zakat fitrah

Zakat dari segi bahasa bermaksud menyucikan dan membersihkan diri, manakala dari segi istilah bermaksud mengeluarkan sebahagian harta pada kadar tertentu kepada golongan asnaf yang memerlukan mengikut ketetapan syariat Islam.

Zakat fitrah pula adalah zakat individu yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Hukum zakat fitrah

Hukum zakat fitrah adalah wajib ke atas umat Islam (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Syarat #1 Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya berbanding keperluan tanggungannya (berkemampuan) pada malam dan pagi Aidilfitri
  • Syarat #2 Hidup/lahir sebelum matahari jatuh dan kekal hidup selepas terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan (malam 1 Syawal)
  • Syarat #3 Kekal/memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  • Syarat #4 Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan (sempat bertemu akhir Ramadhan dan pertama Syawal)

Zakat fitrah dikeluarkan oleh ketua keluarga untuk dirinya dan juga tanggungannya (suami keluarkan zakat fitrah untuk dirinya, isteri, anak-anak, ibubapa dan sesiapa sahaja di bawah tanggungannya)

Rukun-rukun zakat fitrah

  • Rukun #1 Niat ikhlas semata-mata kerana Allah
  • Rukun #2 Pemberi zakat
  • Rukun #3 Penerima/wakil penerima zakat (amil)
  • Rukun #4 Barang/item yang dizakatkan (duit, makanan asasi)
  • Rukun #5 Kadar zakat yang dikeluarkan

Kadar zakat fitrah 2018 bagi negeri-negeri di Malaysia

Tahu tak berapa kadar zakat fitrah tahun ini?

Seperti biasa, kadar zakat fitrah adalah ditentukan oleh Majlis Agama Negeri masing-masing, kerana tanggungjawab mengutip dan mengagihkan zakat adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Dan seperti biasa, kadar zakat fitrah adalah bersamaan satu gantang Baghdad bersamaan 2.7kg makanan ruji (di Malaysia, beras) atau senilai dengannya.

Jom kita lihat kadar zakat fitrah bagi tahun ini:

  • Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya), Terengganu = RM 7.00
  • Melaka = RM 6.70
  • Negeri Sembilan = RM 6.50
kadar zakat fitrah 2018

sumber gambar: twitter.com/ZayanMy

Kadar yang dinyatakan di atas adalah kadar minimum berdasarkan kepada nilai dan gred beras yang banyak digunakan masyarakat negeri tersebut.

Sebagai contoh, jika kebanyakan rakyat negeri A makan beras gred tinggi manakala rakyat negeri B makan gred sederhana, maka kadar zakat fitrah negeri A akan lebih tinggi berbanding negeri B.

Atas sebab inilah kadar zakat fitrah 2018 bagi negeri-negeri di Malaysia, ada yang sama, ada yang berbeza, kerana mengikut nilai dan gred beras yang digunakan kebanyakan rakyat di setiap negeri.

Namun begitu, ada juga galakan supaya membayar zakat fitrah mengikut nilai dan gred beras yang biasa dimakan sendiri.

Boleh lihat kadar mengikut nilai dan gred beras berbeza di sini (sepertimana di keluarkan Lembaga Zakat Selangor):

kadar zakat fitrah 2018

Sebagai contoh, katakanlah Amin menetap di Selangor dan sentiasa menggunakan beras basmathi sebagai makanan ruji bagi diri dan tanggungannya.

Jadi, digalakkan untuk Amin keluarkan zakat fitrah mengikut kadar harga beras basmathi.

Cara bayar zakat fitrah

Sebaik-baiknya, bayaran zakat fitrah disalurkan kepada Majlis Agama Negeri melalui Pusat Pungutan Zakat atau amil-amil yang dilantik.

Boleh terus pergi ke mana-mana cawangan Pusat Pungutan Zakat atau berjumpa amil-amil yang dilantik sama ada di masjid-masjid, bazar-bazar Ramadan atau di mana-mana sahaja mereka berada.

Dengan membuat bayaran kepada Majlis Agama Negeri, bayaran zakat tadi dapat disampaikan dengan lebih sistematik dan menyeluruh kepada asnaf-asnaf yang memerlukan.

Tetapi, jika berniat untuk memberi terus kepada asnaf-asnaf, juga dibolehkan.

Namun, perlulah dipastikan orang yang diberi tersebut betul-betul merupakan golongan asnaf.

Jika orang yang menerima tersebut bukannya asnaf, dibimbangi amalan mengeluarkan zakat tadi tidak sah dan hanya menjadi sedekah/hadiah.

Sebab itulah lebih mudah membuat bayaran kepada Majlis Agama Negeri, kerana mereka mempunyai cara dan prosedur yang baik untuk mengenalpasti asnaf-asnaf yang betul-betul sah dan layak.

Waktu-waktu untuk membayar zakat fitrah

  • Waktu wajib – Bermula terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan sehingga terbit matahari pada hari pertama Syawal
  • Waktu paling afdhal – Sebelum solat sunat Aidilfitri
  • Waktu sunat – Sepanjang hari pada bulan Ramadhan
  • Waktu makruh – Selepas solat sunat Aidilfitri sehingga terbenam matahari pada 1 Syawal
  • Waktu haram – Selepas terbenam matahari pada 1 Syawal

Walaubagaimanapun, sebaik-baiknya dinasihatkan supaya menunaikan ibadat zakat fitrah seawal yang mungkin, iaitu sepanjang hari dalam bulan Ramadan.

Jika semua orang menunggu sehingga waktu wajib dan waktu paling afdhal untuk menunaikan zakat, dibimbangi berebut-rebut dan tidak sempat lalu menyebabkan ibadat zakat tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Oh ya, sebelum terlupa.

Selain daripada menunaikan kewajipan zakat fitrah, digalakkan juga untuk menyempurnakan kewajipan zakat harta dalam bulan Ramadan ini.

Maklumlah, zakat harta perlu dikeluarkan setiap tahun Hijrah, jadi mudahlah jika dikeluarkan dalam bulan Ramadan supaya senang untuk diingati.

Jadi, tunggu apa lagi, jom bayar zakat!