Simpanan

ADAM50 Amanah Dana Anak Malaysia 2050

adam50Semasa pembentangan Bajet 2018 yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, ada mengumumkan tentang Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau lebih ringkas disebut sebagai ADAM50.

Mungkin ada yang tertanya-tanya atau kurang jelas tentang dana ini.

Jangan bimbang, perkongsian kali ini akan menyediakan serba-sedikit fakta tentang insentif ini.

Maklumat umum ADAM50

Secara ringkasnya, ADAM50 adalah insentif yang diberikan kepada semua bayi warganegara Malaysia yang lahir bermula 01 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Insentif ini adalah dalam bentuk dana berjumlah RM 200 yang diberi secara percuma sebagai dana permulaan tabungan sama ada di dalam dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau dana Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.

Objektif utama insentif ini adalah untuk menggalakkan ibubapa memulakan dana tabungan untuk anak-anak mereka.

Insentif yang diberikan ini, berserta agihan pendapatan dividen atau bonus ke atasnya, tidak boleh dikeluarkan atau ditebus sehingga tempoh matang bayi berumur 18 tahun.

Jadi, memang sesuailah sebagai tabungan untuk anak-anak.

Kriteria kelayakan ADAM50

ADAM50 hanya layak diberikan kepada yang memenuhi kriteria-kriteria yang berikut:

  • Bayi lahir pada 01 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022
  • Bayi merupakan warganegara Malaysia
  • Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas
  • Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar tidak diisytiharkan muflis semasa pendaftaran ADAM50 dibuat

adam50

Cara mohon ADAM50

Bagi yang memenuhi kriteria-kriteria di atas, maka boleh mulakan langkah untuk mohon ADAM50 bagi anak yang baru dilahirkan.

Tempoh permohonan adalah bermula daripada kelahiran abayi sehinggalah setahun daripada tarikh kelahiran bayi tersebut.

Sebagai contoh, jika bayi lahir pada 20 Januari 2018, maka tempoh kelayakan untuk mohon ADAM50 bagi bayi tersebut adalah sehingga 20 Januari 2019.

Selepas tempoh setahun tersebut, maka kelayakan untuk mendapatkan insentif percuma ADAM50 adalah terbatal.

Untuk mohon ADAM50, mudah sahaja.

Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar berwarganegara Malaysia hanya perlu datang ke mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara seperti Maybank, CIMB, Pos Malaysia, RHB, AmBank, Affin Bank dan Alliance Bank dan membawa dokumen-dokumen berkaitan.

Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah:

  • Dokumen pengenalan diri (MyKad) ibu atau bapa atau penjaga berdaftar
  • Dokumen pengenalan diri (MyKid) bayi atau Sijil Kelahiran (sekiranya MyKid masih belum diterima)
  • Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi

Isi borang pendaftaran dan serahkan dokumen-dokumen tersebut.

Jika semuanya memenuhi syarat, maka permohonan akan diluluskan.

Akaun untuk bayi akan diwujudkan dengan jumlah permulaan sebanyak RM 200 yang diberikan percuma.

 

Pelaburan tambahan

Selepas akaun tersebut diwujudkan, maka ibu atau bapa atau penjaga berdaftar boleh membuat pelaburan tambahan untuk bayi dari semasa ke semasa.

Contohnya, boleh buat pelaburan tambahan setiap bulan yang ditolak daripada gaji.

Setiap kali bayi mendapat hadiah wang seperti duit raya, bolehlah juga dimasukkan ke dalam akaun ini.

Dengan duit yang dimasukkan ini, berserta agihan pendapatan yang diberikan dalam bentuk dividen dan bonus, jumlah yang semakin bertambah ini boleh dijadikan dana untuk masa depan si anak, sama ada sebagai dana pendidikan atau modal memulakan bisnes kecil-kecilan nanti.

Bukankah ini sesuatu yang baik?

Jadi, kalau anda ada anak atau bayi di bawah jagaan yang dilahirkan pada tempoh 5 tahun bermula tahun 2018 ini, jangan lupa untuk dapatkan insentif ini ya.

Untuk lebih banyak maklumat berkaitan ADAM50, boleh rujuk di laman web ANSB dengan klik di sini.

Sampai di sini sahaja perkongsian ringkas kali ini.

Jumpa lagi!

p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN dengan yang lain, ya. Terima kasih.

..

adam50

Cara Pengiraan Dividen ASB 2017

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khasOleh kerana ada permintaan daripada pembaca blog ini untuk saya menulis tentang cara pengiraan dividen ASB 2017 termasuk bonus dan bonus khas, maka saya gagahkan juga untuk tulis berkenaan perkara ini.

Sebenarnya, dah ada penulis blog lain yang tulis tentang cara pengiraan ini.

Malah, saya rasa ketinggalan juga sebab agihan pendapatan ASB (Amanah Saham Bumiputera) telah diumumkan minggu lepas, jadi topik ini dah pun ‘sejuk’.

Boleh baca berita pengumuman tersebut di sini.

Tetapi, tidak mengapalah.

Tidak salah juga untuk saya turut masukkan topik ini dalam senarai artikel di blog ini.

Agihan pendapatan ASB 2017

Baiklah, sebelum pergi lebih lanjut, jom kita imbau balik agihan pendapatan ASB 2017 yang diumumkan baru-baru ini.

Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, agihan pendapatan ASB 2017 kali ini terdiri daripada 3 komponen, iaitu:

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

  • Dividen sebanyak 7.00 sen sunit
  • Bonus sebanyak 0.25 sen seunit
  • Bonus khas sebanyak 1.00 sen seunit terhad bagi pegangan 10,000 unit pertama sahaja

Agihan dividen dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pelabur pada 02 Januari 2018, manakala bonus khas pula pada 01 Mac 2018

Bonus khas ini pertama kali diberikan kepada pelabur, dan diberi sempena sambutan ulang tahun ke-40 Permodalan Nasional Berhad (PNB), syarikat induk kepada Amanah Saham Nasional berhad (ASNB) yang merupakan pengurus dana bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Formula & cara pengiraan dividen ASB 2017, bonus & bonus khas

Selain daripada pengumuman 3 komponen agihan pendapatan di atas, ada satu lagi perbezaan berkenaan agihan pendapatan ASB 2017 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Perbezaan tersebut adalah berkenaan formula dan cara pengiraan agihan pendapatan ASB 2017, terutama bagi pengiraan bonus.

Untuk tahun 2017, pengiraan agihan pendapatan bagi dividen, bonus dan bonus khas adalah berdasarkan Purata Baki Minimum Bulanan (BMB) 12-Bulan daripada Januari 2017 sehingga Disember 2017.

Formula pengiraan agihan pendapatan ASB 2017 adalah seperti berikut:

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Cara pengiraan agihan pendapatan ASB 2017 adalah mengikut langkah-langkah yang berikut:

  • Baki Minimum Bulanan (BMB) = Baki terendah di antara 1 hb sehingga hujung bulan bagi setiap bulan
  • BMB baki setiap bulan akan ditentukan dahulu bermula Januari 2017 sehingga Disember 2017 (12 bulan)
  • BMB bagi setiap bulan akan dicampurkan kesemuanya dan dibahagi dengan 12 bulan (jumlah bulan dalam setahun) bagi mendapatkan Purata Baki Minimum Bulanan 12-Bulan (juga dikenali sebagai Baki Minimum Tahunan)
  • Baki Minimum Tahunan yang diperoleh kemudiannya didarabkan dengan kadar dividen/bonus/bonus khas (terhad RM 10,000 pertama) untuk mendapatkan jumlah agihan pendapatan yang diperoleh

Ini bermaksud, bagi purata BMB 12-Bulan 10,000 unit pertama, maka pelabur layak menerima agihan pendapatan sebanyak 8.25 sen seunit bersamaan RM 825

Manakala bagi purata BMB 12-Bulan selepas 10,000 unit pertama, maka layak menerima agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit.

Ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, yang mana pengiraan agihan pendapatan bagi dividen adalah berdasarkan Purata Baki Minimum Bulanan 12-Bulan, manakala agihan pendapatan bonus adalah berdasarkan Purata Baki Minimum Bulanan 10-Tahun

Sebagai contoh, lihat formula pengiraan agihan pendapatan ASB 2016 yang lepas:

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Ada perbezaan, bukan?

Tak faham cara pengiraan dividen ASB 2017 termasuk bonus dan bonus khas?

Jom kita lihat contoh situasi-situasi pengiraan untuk memudahkan pemahaman.

Contoh-contoh cara pengiraan dividen ASB 2017, bonus & bonus khas

Situasi #1 – Jumlah pelaburan tetap sepanjang tahun, kurang RM 10,000

Faizal mempunyai baki pelaburan ASB sebanyak RM 7,000 pada awal tahun 2017 dan tidak melakukan apa-apa tambahan atau pengeluaran pun. Berapa agihan pendapatan ASB 2017 yang Faizal bakal dapat?

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Daripada pengiraan di atas, anggaran jumlah agihan pendapatan yang bakal diterima Faizal adalah RM 577.50

Situasi #2 – Jumlah pelaburan tetap sepanjang tahun, lebih RM 10,000

Pada awal tahun 2017, baki pelaburan ASB yang dipunyai Wani adalah RM 15,000. Wani tidak melakukan apa-apa pengeluaran dan tambahan pelaburan sepanjang tahun 2017. Berapakah anggaran agihan pendapatan ASB 2017 yang bakal diperoleh Wani?

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Anggaran jumlah agihan pendapatan ASB 2017 yang bakal diterima Wani adalah RM 1,187.50

Situasi #3 – Jumlah pelaburan tidak tetap sepanjang tahun, kurang RM 10,000

Pada awal tahun 2017, Farah mempunyai baki pelaburan ASB sebanyak RM 3,000. Farah membuat potongan gaji sebanyak RM 300 ke akaun ASB beliau setiap bulan, dan beberapa kali juga membuat pengeluaran seperti di dalam gambar. Berapa anggaran agihan pendapatan ASB yang Farah peroleh?

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Farah dianggarkan akan mendapat pulangan sebanyak RM 341.69 daripada pelaburan ASB beliau.

Situasi #4 – Jumlah pelaburan tidak tetap sepanjang tahun, lebih RM 10,000

Baki pelaburan ASB Syakir pada awal 2017 adalah sebanyak RM 13,000. Setiap bulan, beliau membuat tambahan pelaburan sebanyak RM 300 dan juga beberapa kali membuat pengeluaran. Berapa anggaran agihan pendapatan ASB yang akan diperoleh Syakir?

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

Dianggarkan Syakir akan memperoleh agihan pendapatan ASB 2017 sebanyak RM 1,107.75

Penutup

Itulah kaedah dan cara pengiraan dividen ASB 2017 termasuk bonus dan bonus khas sepertimana yang diumumkan sebelum ini.

Sebenarnya, tak perlu pun kita bersusah payah nak membuat semua pengiraan di atas.

Nanti, pihak ASNB akan kirakan untuk kita dan mengagihkan pendapatan tersebut ke akaun ASB masing-masing.

Hanya perlu semak sahaja.

Bagaimana nak semak?

Boleh pergi ke mana-mana cawangan ASNB untuk dapatkan penyata baki pelaburan.

Lebih mudah lagi, gunakan sahaja portal MyASNB untuk semak baki dan penyata ASB secara online.

Itu sahaja untuk kali ini, semoga bermanfaat untuk semua.

p/s: Jangan lupa untuk KONGSIKAN artikel ini, ya! Terima kasih.

cara pengiraan dividen asb 2017 bonus khas

..

Cara Daftar Portal MyASNB Untuk Semak Baki & Penyata Online

cara daftar portal myasnbAda yang masih belum daftar portal MyASNB?

Kalau anda salah seorang yang masih belum daftar portal ini, digalakkan untuk daftar secepat mungkin.

Seperti yang kita sedia maklum, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), yang mana merupakan pengurus dana amanah terbesar di Malaysia, telah pun melancarkan portal MyASNB pada akhir bulan Jun 2017 lalu.

Portal ini adalah untuk digunakan oleh semua pelabur ASNB bagi urusan-urusan tertentu berkaitan 12 dana amanah yang dikendalikan ASNB, seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2), Amanah Saham Wawasan 2020, Amanah Saham Malaysia dan lain-lain dana yang dikendalikan.

Untuk senarai semua dana amanah yang diuruskan oleh ASNB, boleh rujuk di sini: Dana Amanah ASNB

Jadi, jika anda merupakan pelabur kepada salah satu dana amanah yang dikendalikan oleh ASNB, maka digalakkan untuk daftar portal MyASNB.

Lagipun, segala urusan berkaitan dana amanah ASNB selepas ini tidak lagi akan menggunakan buku akaun pelaburan seperti sekarang, sebaliknya akan menggunakan Kad Pengenalan MyKad sahaja (baca notis di sini)

Maksudnya, jika anda ingin melakukan transaksi pembelian atau penjualan unit pelaburan anda, sama ada di kaunter ASNB atau ejen-ejennya, buku akaun pelaburan tidak lagi akan digunakan, hanya perlu bawa MyKad sahaja.

Malah, mulai 2018, penyata agihan pendapatan, laporan tahunan dan laporan interim bagi semua dana di bawah ASNB tidak lagi akan dihantar secara fizikal, tetapi akan dihantar secara elektronik menerusi emel atau portal MyASNB (baca notis di sini)

Atas sebab itulah, amat penting untuk daftar portal MyASNB supaya dapat melihat penyata akaun pelaburan anda seperti baki, transaksi jual beli, agihan pendapatan, bonus dan maklumat peribadi.

cara daftar portal myasnb

Persediaan sebelum daftar portal MyASNB

Sebelum daftar dalam portal ini, perlu lakukan satu perkara penting terlebih dahulu iaitu mengemaskini maklumat peribadi seperti nama, alamat, emel dan yang paling penting, nombor telefon.

cara daftar portal myasnb

Kemaskini maklumat peribadi ini boleh dilakukan di mana-mana 30 cawangan ASNB di seluruh negara atau lebih 2,100 ejen ASNB iaitu Maybank, Maybank Islamic, CIMB Bank, RHB Bank, Pos Malaysia, Affin Bank, Bank Simpanan Nasional, Alliance Bank, AmBank dan AmBank Islamic.

Anda boleh cari cawangan ASNB di sini: Cawangan & Ejen ASNB

Nombor telefon adalah yang paling penting perlu dikemaskini kerana akan digunakan untuk mendapatkan nombor Transaction Authorisation Code, TAC (Kod Pengesahan Transaksi) semasa daftar portal MyASNB nanti.

Apa yang perlu dilakukan, hanya kunjungi mana-mana cawangan atau ejen ASNB, dan beritahu petugas di situ yang anda datang untuk kemaskini maklumat peribadi.

Anda hanya perlu bawa MyKad sahaja; buku akaun pelaburan jika tidak dibawa pun tidak mengapa.

Petugas akan membantu anda untuk mengemaskini maklumat peribadi anda.

Selepas siap mengemaskini maklumat peribadi, maka bolehlah mula daftar portal MyASNB.

Kemaskini: Bagi yang sukar atau mempunyai masalah untuk berkunjung ke cawangan atau ejen ASNB untuk mengemaskini maklumat peribadi dan nombor telefon, boleh lakukan perkara ini secara online menerusi emel.

daftar mysasnb semak dividen asb online

Apa yang perlu dilakukan adalah emel sahaja maklumat peribad dan nombor telefon anda berserta salinan MyKad yang disahkan ke emel ASNB Care di asnbcare@pnb.com.my

Penting, pastikan anda hantar emel berserta salinan MyKad yang disahkan, sama ada oleh pegawai ASNB, pegawai dari ejen ASNB, ketua kampung, majikan dari bahagian sumber manusia atau pegawai kerajaan kumpulan pengurusan & professional dengan menurunkan cop rasmi, nama, jawatan dan tandatangan.

Maksudnya, anda perlu dapatkan tandatangan salah seorang daripada mereka terlebih dahulu di atas salinan MyKad anda, kemudian scan atau ambil gambar salinan MyKad tersebut untuk diemelkan ke ASNB Care.

Cara daftar portal MyASNB

cara daftar portal myasnb

Pendaftaran adalah percuma dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan ada talian Internet.

Boleh ikut langkah-langkah yang berikut:

Langkah #1 – Pergi ke laman portal MyASNB di https://www.myasnb.com.my/, klik pada “Daftar di sini”

cara daftar portal myasnb

Langkah #2 – Sila baca nota yang diberikan, klik “TERUSKAN”

cara daftar portal myasnb

Langkah #3 – Klik pada kotak yang disediakan, klik “SETUJU”

cara daftar portal myasnb

Langkah #4 – Klik maklumat asas yang diperlukan seperti jenis kad pengenalan, nombor kad pengenalan dan pilih satu produk ASNB yang dilanggani (walaupun langgan banyak produk ASNB, hanya perlu pilih salah satu sahaja di sini). Klik “SETERUSNYA”

cara daftar portal myasnb

Langkah #5 – Anda akan diminta untuk buat pengesahan TAC. Klik pada “PERMINTAAN TAC”. Nombor TAC (6 digit) akan dihantar ke nombor telefon yang didaftarkan. Isi nombor TAC yang diberi. Klik “SETERUSNYA”

cara daftar portal myasnb

cara daftar portal myasnb

cara daftar portal myasnb

Langkah #6 – Sekarang, masukkan maklumat pendaftaran. Isikan ID pengguna (ID untuk login nanti), alamat emel dan frasa rahsia. Pilih juga 3 soalan keselamatan berserta jawapan. Klik “TAMAT”

cara daftar portal myasnb

cara daftar portal myasnb

Langkah #7 – Sekarang anda dah berjaya daftar portal MyASNB. Password sementara akan diberikan. Sila salin (copy) terlebih dahulu password sementara yang diberikan. Klik “LOG MASUK”

cara daftar portal myasnb

Langkah #8 – Masukkan ID pengguna yang anda daftarkan tadi, klik “TERUSKAN”

cara daftar portal myasnb

Langkah #9 – Frasa rahsia yang anda daftarkan tadi akan dipaparkan. Pastikan sama. Masukkan password sementara yang diberikan. Klik “TERUSKAN”

cara daftar portal myasnb

Langkah #10 – Anda dikehendaki menukar password sementara yang diberi kepada password pilihan anda sendiri. Pastikan password tersebut memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan.

cara daftar portal myasnb

Selepas kemaskini password, anda dah siap daftar portal MyASNB.

Untuk mula guna portal MyASNB, bolehlah LOG MASUK menggunakan ID dan password yang telah didaftarkan.

Portal MyASNB

Jom kita lihat apa yang boleh dilihat dan dilakukan menerusi portal MyASNB ini.

#1 – Maklumat portfolio pelaburan

Berikut adalah paparan pertama dalam portal selepas log masuk:

cara daftar portal myasnb

Pengguna dapat melihat maklumat portfolio pelaburan seperti jumlah keseluruhan pelaburan, bilangan dana yang dilabur, jenis dana yang dilabur berserta baki semasa unit dan jumlah pelaburan bagi setiap dana tersebut.

Dapat juga dilihat harga semasa setiap dana ASNB.

cara daftar portal myasnb

#2 – Rekod urusniaga MyASNB

Di sini anda dapat melihat rekod urusniaga bagi tempoh 7, 14, 30, 60 dan 90 hari yang lepas.

cara daftar portal myasnb

#3 – Penyata akaun

Di ruangan ini, pengguna akan dapat melihat penyata tahunan bagi dana yang dilabur.

cara daftar portal myasnb

Di sinilah nanti pengguna akan dapat melihat jumlah agihan pendapatan (dividen dan bonus) yang diperoleh.

Jadi, tak perlulah lagi pergi dan beratur di kaunter untuk kemaskini buku pelaburan kalau sekadar nak tengok berapa dividen dan bonus yang diperoleh.

#4 – Pelaburan tambahan

Menerusi portal MyASNB, pengguna boleh membuat pelaburan tambahan kepada dana-dana sedia ada.

Untuk menggunakan fungsi ini, boleh klik pada butang “PELABURAN TAMBAHAN”, kemudian ikut sahaja langkah-langkah yang diperlukan.

cara daftar portal myasnb

Untuk makluman, pelaburan tambahan menerusi portal ini boleh dilakukan pada waktu urusniaga atau operasi sahaja, iaitu:

  • Unit amanah harga tetap: 7.00 pagi hingga 6.30 petang, Ahad hingga Jumaat kecuali cuti umum
  • Unit amanah harga berubah: 7.00 pagi hingga 4.00 petang, Ahad hingga Jumaat kecuali cuti umum

Mungkin saya akan tulis artikel lain untuk tunjukkan langkah-langkah membuat pelaburan tambahan menerusi portal MyASNB.

#5 – Profil peribadi

Di sini pengguna boleh mengemaskini maklumat-maklumat peribadi seperti alamat surat-menyurat, nombor akaun bank, nombor telefon, kata laluan (password), soalan keselamatan dan frasa keselamatan.

cara daftar portal myasnb

Untuk setiap kemaskini, perlu dapatkan pengesahan nombor TAC.

Itu sahaja fungsi-fungsi yang boleh dilakukan menerusi portal MyASNB setakat artikel ini ditulis.

Buat masa sekarang, penjualan unit dana pelaburan masih belum boleh dilakukan menerusi portal ini; pelabur masih perlu ke kaunter untuk melakukan penjualan unit.

Begitu juga dengan pendaftaran baru dana, tuntutan harta pusaka, pengisytiharan amanah dan hibah amanah; masih perlu dilakukan menerusi kaunter.

Itu sahaja berkenaan cara daftar portal MyASNB.

Diharapkan anda mendapat manfaat daripada artikel kali ini.

Jangan lupa kongsikan artikel ini ya!

..