Pewarisan

Sedikit Coretan Tentang Penamaan KWSP

penamaan kwspBaru-baru ini saya ada terbaca satu ruangan soal-jawab di dalam akhbar Harian Metro berkenaan penamaan KWSP.

Dalam ruangan tersebut, ada beberapa perkara yang boleh dipelajari berkenaan topik ini.

Mungkin ramai dah sedia maklum, yang KWSP menggalakkan setiap pencarum untuk membuat penamaan bagi memudahkan proses tuntutan wang KWSP jika pencarum meninggal dunia nanti.

Jika tidak dibuat penamaan, maka proses tuntutan akan menjadi lebih rumit dan memakan masa yang panjang kerana perlu mendapat surat kuasa daripada pihak berkuasa dahulu.

Tetapi malangnya, masih ramai yang belum membuat penamaan KWSP untuk akaun mereka.

Mengikut data, sehingga akhir tahun 2016, masih terdapat 10.6 juta atau 73 peratus pencarum KWSP yang masih belum membuat penamaan ke atas akaun mereka (boleh rujuk laporan di sini)

Jadi, apabila berlaku kematian nanti, waris bagi pemilik akaun KWSP yang tidak membuat penamaan ini akan menghadapi masalah untuk mendapatkan baki duit yang tinggal dan menguruskan harta pusaka tersebut.

Punca utama, mungkin kerana kurang kesedaran dan pengetahuan tentang kepentingan membuat penamaan KWSp.

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang penamaan KWSP, boleh rujuk di laman web info dari laman web KWSP di sini.

Selain masalah kurangnya pencarum yang membuat penamaan KWSP, satu lagi masalah berkaitan perkara ini adalah salah faham tentang maksud sebenar penamaan ini.

Bagi orang bukan Islam, penama yang dinamakan dalam penamaan KWSP adalah benefisiari, atau penerima mutlak; orang yang dinamakan berhak mendapat jumlah wang yang ditetapkan.

Sebagai contoh, Muthu menamakan isteri  (60%) dan anak tunggal (40%) beliau sebagai penama akaun KWSP beliau.

Maka, apabila Muthu meninggal dunia nanti, isteri beliau berhak mendapat 60% manakala si anak berhak mendapat 40% daripada baki duit yang ada dalam akaun KWSP Muthu.

Berbeza pula bagi orang Islam, penama yang dinyatakan dalam penamaan KWSP bukan benefisiari atau penerima, sebaliknya adalah wasi atau pentadbir yang bertanggunjawab membahagikan duit tersebut mengikut faraid.

Contohnya, Ali membuat penamaan KWSP dengan meletakkan nama isteri (60%) dan ibu (40%) beliau sebagai penama.

Jadi, apabila Ali meninggal dunia, si isteri boleh menuntut 60% manakala si ibu boleh menuntut 40% daripada baki duit yang ada dalam akaun KWSP Ali.

Tetapi, kedua-dua isteri dan ibu Ali tidak boleh menggunakan duit tersebut untuk kegunaan sendiri, sebaliknya wajib membahagikan duit tersebut kepada waris-waris Ali mengikut pembahagian faraid.

Malangnya, masih ramai yang tidak faham atau buat-buat tidak faham tentang perkara ini,

Maklumlah, apabila duit di tangan, mudah untuk gelap mata.

Panjang lebar pula introduction saya kali ini.

Sebenarnya, saya cuma ingin berkongsi tentang soal-jawab yang saya baca daripada akhbar yang saya nyatakan di awal artikel tadi.

Ini adalah keratan soal-jawab tersebut yang disiarkan dalam Harian Metro pada 12 Oktober 2017:

penamaan kwsp

Pak cik penama KWSP ayah

Adakah penama bagi akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu pemilik sah sekiranya pencarum meninggal dunia?

Arwah bapa saya ketika masih hidup meletakkan adik kandungnya (pak cik saya) sebagai penama. Sehingga arwah kahwin dan meninggal dunia, penama itu belum ditukar.

Adakah pak cik saya berhak ke atas wang berkenaan? Bagaimana sekiranya anak-anak serta isteri ingin menuntut wang berkenaan?

Untuk makluman Puan, arwah mempunyai tujuh orang anai iaitu lima lelaki dan dua perempuan.

Ingin Tahu, Kuala Lumpur

Pencarum KWSP boleh mendaftarkan penama untuk wang caruman sebagai wasi atau pentadbir selepas kematiannya.

Penamaan KWSP adalah satu pengisytiharan secara bertulis yang dibuat pencarum dalam Borang KWSP 4 bagi melantik seseorang sebagai ‘benefisiari’ (bagi bukan Islam) atau wasi/pentadbir (bagi orang Islam) ke atas simpanan KWSP apabila ahli meninggal dunia.

Tujuan penamaan dibuat adalah bagi membolehkan KWSP melepaskan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada pentadbir dengan segera tanpa perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

Jika tidak dibuat penamaan KWSP, pihak waris perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir terlebih dahulu untuk menguruskannya.

Proses mendapatkan surat kuasa ini kebiasaannya boleh mengambil masa yang lama dan membabitkan kos yang tinggi.

Penama Islam hanya berperanan sebagai wasi sahaja dan bukan benefisiari. Ini sejajar dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tetapi, tiada peruntukan yang mewajibkan penama membahagikan harta itu kepada pewaris. Yang ada, hanya ‘peringatan’ daripada institusi kepada penama.

Bagi ahli beragama Islam, individu (atau individu-individu) yang dinamakan sebagai penama adalah pentadbir yang bertanggungjawab menguruskan pengagihan simpanan pencarum kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebagai penama, mereka berhak dan layak mengeluarkan wang itu.

Namun begitu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penama adalah wasi dan pemegang amanah yang bertanggungjawab membahagikan wang simpanan yang dinamakan kepadanya kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Walaubagaimanapun, fatwa yang dikeluarkan ini tidak mengikat mana-mana negeri sehingga diwartakan dalam Warta Kerajaan bagi negeri itu.

Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dalam satu kertas kerja  Hukum Wang Simpanan KWSP, SOCSO dan seumpamanya bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia  telah bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa bertarikh 19 September 2000 seperti berikut:

  • Wang KWSP dan yang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan kepada faraid.
  • Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.
  • Bahagian Undang-undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihati KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Begitu juga dengan kedudukan pak cik yang dinamakan sebagai penama dalam caruman KWSP bapa yang bertanya soalan di atas.

Selaku penama, pak cik penanya hanya tertakluk sebagai pentadbir dan perlu mengagihkan wang caruman bapa kepada waris yang layak iaitu isteri dan anak-anak arwah.

Jika pak cik mengambil dan menggunakan wang caruman itu dengan menganggap dia berhak ke atasnya, tindakan itu adalah berdosa dan melanggar hukum syarak.

Jika wang itu digunakan untuk dirinya atau orang lain selain waris yang layak, maka dia telah memakan harta itu secara batil.

Sekiranya penanya ingin menuntut kembali wang tersebut, satu prosiding atau tuntutan bolehlah dibuat ke atas pak cik melalui tindakan di Mahkamah Sivil.

Mudah-mudahan, belum terlambat sementara wang itu masih ada untuk membuat tuntutan kerana dibimbangi jika tempoh terlalu lama selepas berlaku kematian bapa, kemungkinan besar wang itu sukar untuk diperoleh semula.

Jawapan disediakan oleh Puan Suriany Awaludin. Beliau merupakan seorang peguam syariah.

p/s: Kalau rasa artikel yang dikongsikan kali ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN ya. Terima kasih.

penamaan kwsp

..

Dilema Seorang Isteri Urus Harta Pusaka Tinggalan Suami

urus harta pusakaSebagai seorang suami, pernahkah anda terfikir, apa yang akan dialami isteri untuk urus harta pusaka yang anda tinggalkan sekiranya anda mati?

Adakah isteri anda akan dapat gunakan harta pusaka yang anda tinggalkan untuk menyara kehidupannya dan anak-anak anda?

Atau ada waris lain yang akan membolot harta tersebut dan meninggalkan isteri dan anak-anak anda dalam penderitaan?

Pernah terfikir?

Mungkin ada yang menganggap, segala harta yang ditinggalkan nanti, akan diberikan semuanya kepada isteri agar dapat digunakan untuk meneruskan kehidupan dengan anak-anak.

Ada yang beranggapan, takkanlah waris-waris yang lain nak aniaya dan abaikan si isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Lagipun, faraid kan ada, mesti ada bahagian harta pusaka yang akan diberikan kepada isteri dan anak-anak.

Malangnya, realiti kadang-kadang tidak seindah mimpi.

Nak urus harta pusaka, bukan proses yang mudah lebih-lebih lagi jika tanpa wasiat yang menamakan pentadbir.

Banyak prosedur yang perlu dilalui, banyak dokumen yang perlu dilengkapkan sebelum harta pusaka dapat dicairkan dan diagihkan kepada waris-waris.

Itu baru bab prosedur dan dokumen, belum bincang lagi berkenaan masalah dengan waris-waris lain.

Apabila bersangkut paut dengan harta, ramai yang boleh jadi gelap mata dan buta hati; sanggup mengenepikan hukum-hakam dan kebajikan orang lain demi mendapatkan apa yang diingini.

Begitu juga dalam hal urus harta pusaka.

Banyak sudah didengari cerita yang mana si isteri dibiarkan kebingungan seorang diri menguruskan segala prosedur berkaitan pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan si suami.

Ada juga kes si isteri dan anak-anak diabaikan oleh waris-waris lain setelah harta pusaka diperoleh.

Ada juga yang sanggup merebut harta pusaka yang sedikit, yang mana sepatutnya diberikan sahaja kepada si isteri dan anak-anak.

Untuk dapatkan lebih gambaran berkenaan dilema urus harta pusaka ini, saya nak kongsikan satu ‘kisah’ yang dinukilkan rakan saya, Tuan Hanaffi.

Beliau emelkan ‘kisah’ ini kepada saya dan meminta saya untuk menyiarkannya sebagai pengajaran kepada kita semua.

Jom ikuti catatan beliau.

ISTERI SAKIT HATI URUS HARTA PUSAKA SUAMI, AKHIRNYA TAK DAPAT SATU SEN PUN!

urus harta pusaka1. Apabila berlaku sesuatu kematian, menjadi kebiasaan adat orang kita untuk mengadakan kenduri arwah sekurang-kurangnya 2 hari berturut-turut. Bayangkan, seorang isteri yang baru kematian suami, demi memenuhi adat ini, terpaksa bersusah-payah mengadakan kenduri dan menjemput kariah masjid dan sanak-saudara yang mengenali si suami. Awal-awal pun dah tak betul.

2. Mujurlah ramai yang datang melawat turut sama menguruskan kenduri tersebut. Terasa ringan beban si isteri. Syukur Alhamdulillah. Betullah orang kata, musibah boleh merapatkan silatulrahim.

3. Selepas 2-3 hari berlalu, adik-beradik si suami datang berjumpa si isteri. Si isteri berasa syukur kerana ipar-duai masih mengambil berat tentang dirinya dan anak-anaknya. Malangnya, kunjungan mereka mereka bukan untuk menziarahi keluarga tersebut, apatah lagi nak mengambil berat tentang mereka. Tetapi, mereka datang dengan niat untuk menuntut harta pusaka peninggalan arwah!

4. Tersentap rasa hati si isteri. Sakit jiwa! Tanah kubur arwah suami masih merah, rasa sedih pun belum hilang lagi. Terasa nak panggil sahaja si suami yang dah mati untuk bincang dengan mereka.

5. Ipar-duai mula bercerita bab faraid. Kata mereka, bahagian isteri hanya 1/8. Mereka terangkan secara panjang lebar. Biasalah, apabila bab harta pusaka, tiba-tiba ramai yang jadi pakar. Maklumlah, nak rebut bahagian masing-masing walaupun dalam banyak situasi, mereka tiada hak pun. Lebih teruk lagi, asyik bercerita tentang hak mereka, tapi kalau suruh jalankan tanggungjawab yang Allah berikan, tak mahu ikut pula.

6. Maka, bermulah drama perebutan harta pusaka si suami yang tiada kesudahan.

7. Si isteri mestilah tidak mahu mengalah. Iyalah, harta pusaka yang ditinggalkan si suami hendak digunakan untuk menyara hidup sendiri dan anak-anak. Nak harapkan waris-waris lain, memang tak boleh nak diharap. Asyik nak rebut bahagian sendiri. Jadi, ditinggalkanlah si isteri yang dipaksa menguruskan harta pusaka sendiri. Akhirnya, walaupun ada masalah kekangan masa, tenaga dan wang, si isteri terpaksa juga urus harta pusaka si suami seorang diri. Nak buat macam mana, fikir nasib anak-anak.

8. Si isteri teringat pesan si suami, duit yang ditinggalkan dalam bank boleh digunakan untuk belanja keperluan. Jadi, si isteri pergilah ke bank, jumpa dengan pegawai bank, minta nak keluarkan duit daripada akaun si suami. Malangnya, akaun si suami dah kena block. Bank minta surat kuasa terlebih dahulu sebelum duit boleh dikeluarkan. Terpinga-pinga si isteri sebab tak tahu prosedur urus harta pusaka. Jadi, terpaksalah tanya tentang prosedur yang perlu dibuat. Mujur ada yang membantu.

9. Dengan perasaan pilu, si isteri terpaksa ke Pejabat Pusaka Kecil di Pejabat Tanah bagi mendapatkan surat kuasa tadbir. Kena isi borang Bicara Kuasa atau Borang A. Maklumat si mati, harta si mati serta maklumat waris-waris si mati; semua maklumat ini perlu dilengkapkan. Salinan IC setiap waris, salinan maklumat harta dan surat pengesahan kematian juga turut diperlukan.

10. Maka, bermulalah satu lagi drama untuk memenuhi semua keperluan ini. Setelah setiap salinan disediakan, si isteri perlu mendapatkan tandatangan setiap ahli waris. Aduh, memang satu masalah. Selagi semua ahli waris tidak turunkan tandatangan, proses perbicaraan harta pusaka tidak boleh dimulakan. Tambah pening, ada ahli waris yang sengaja tidak hadir ke mahkamah untuk melambatkan proses perbicaraan harta pusaka. Sebabnya, tak puas hati dengan si isteri.

11. Tambah parah lagi, si isteri dapat tahu yang adik-beradik suami juga mempunyai hak dalam harta pusaka si suami. Jadi, banyak benda perlu diambil kira. Fuhhh, bukan senang nak urus harta pusaka kalau si mati tidak membuat perancangan harta lebih awal.

12. Tiba-tiba, ayah/ibu si mati pula tidak mahu beri kerjasama akibat termakan hasutan ipar. Bayangkanlah, si isteri terpaksa menghadapi semua masalah ini serentak. Rasa sedih kehilangan suami pun masih belum hilang, nak fikir uruskan anak-anak lagi. Memang cukup stress bagi si isteri untuk uruskan semua perkara ini.

13. Tambah satu lagi masalah. Tiba-tiba, ahli waris yang lain desak si isteri dan anak-anak untuk melepaskan bahagian faraid. Alasan mereka, harta pusaka si suami adalah harta warisan keluarga mereka sahaja.

14. Si isteri juga didesak membayar bahagian faraid bagi rumah jika mahu terus tinggal dirumah pusaka suami. Masalah, mana nak cari RM200K tunai?

15. Akhirnya, akibat tidak tahan lagi, si isteri dan dan anak-anak terpaksa keluar sehelai sepinggang. Biarlah tidak dapat harta pusaka, janji hidup tenang dengan anak-anak.

16. Ingatkan masalah dah selesai, rupanya belum lagi. Baru saja nak mulakan kehidupan baru, tiba-tiba datang seorang hamba Allah mendakwa yang si suami ada berhutang dengannya puluhan ribu ringgit atas urusan bisnes. Masalah lagi, siapa yang kena tanggung hutang si mati? Nak guna harta pusaka si suami untuk bayar hutang, dah dibolot ahli waris lain. Nak suruh mereka bayarkan, jangan harap.

17. Dalam tengah fikir cara nak selesaikan hutang si suami, tiba-tiba teringat pesan suami dulu supaya gunakan duit dalam Tabung Haji / KWSP / ASB / Takaful untuk bayar hutang. Apabila pergi semak, penama atas nama ibu mertua pula. Masalah, sebab dah dihasut ahli waris lain, si ibu mertua tak nak lepaskan duit tersebut. Katanya, sebab dia adalah penama, duit tersebut adalah miliknya. Ini memang kefahaman biasa dalam masyarakat kita. Penama adalah pemilik, walhal ini adalah salah. Sebab malas nak gaduh lagi, akhirnya, si isteri jugalah yang terpaksa bekerja siang malam untuk bayar hutang yang ditinggalkan si suami.

Haa, macam mana?

Nampak bagaimana kesulitan yang boleh dialami untuk urus harta pusaka?

Bayangkan kalau diri anda sendiri yang alami, atau pasangan anda.

Kalau tak buat perancangan pengurusan harta pusaka lebih awal, memang akan menyusahkan waris kita nanti.

Jadi, bagaimana nak mudahkan urusan ini?

Tak mahulah nanti waris yang ditinggalkan menderita nak dapatkan harta pusaka untuk meneruskan kehidupan.

Ada cara penyelesaiannya.

urus harta pusakaAntara yang boleh dilakukan:

1. Si suami boleh mengisytiharkan sebahagian harta miliknya kepada isteri sebagai harta sepencarian di dalam wasiat. Tak kisah sama ada dalam bentuk rumah, kereta atau wang ringgit. Bukan masalah sikit atau banyak, yang penting isytiharkan sahaja bahagian harta sepencarian tersebut. Senang, terus jadi milik is isteri selepas si suami mati. Kalau dah mati dan si isteri baru nak tuntut harta sepencarian, memang rumit dan panjang cerita. Jadi, lebih baik buat ketika masih hidup.

2. Si suami melantik wasi atau pentadbir yang mahir, adil dan amanah bagi menguruskan kesemua harta miliknya. Tanpa wasi, si isteri akan terpaksa uruskan sendiri harta pusaka yang ditinggalkan. Ini sudah tentu akan menyusahkan pasangan kerana baru kematian suami, nak fikir pasal anak lagi. Jika ada bisnes, nak uruskan bisnes lagi. Tolong jangan rumitkan lagi masalah kepada orang tersayang. Melantik wasi dalam wasiat akan memudahkan pengurusan harta pusaka.

3. Menyerahkan sebahagian harta miliknya melalui hibah sama ada hibah biasa atau hibah bersyarat. Tidak salah untuk buat hibah, jika harta masih berhutang buat hibah bersyarat. Jika hanya ada satu rumah, tidak salah hibahkan kepada orang tersayang (isteri), sekurang-kurangnya ada tempat tinggal untuk pasangan. Harta yang dihibah tidak perlu dibahagikan mengikut faraid, jadi ahli waris lain tidak dapat rebut.

4. Si suami menyediakan hibah tunai sebanyak setahun pendapatan atau lebih bagi menampung kos sara hidup. Maklumlah, dulu gaji 2 orang, tiba-tiba jadi seorang. Bukan mudah untuk lalui pada peringkat awal. Oleh itu, sediakan hibah tunai bagi mengurangkan beban orang yang ditinggalkan.

Lihat, bagaimana perancangan pengurusan harta pusaka yang dilakukan dengan baik akan memudahkan waris yang ditinggalkan nanti.

Si isteri tidak perlu bersusah-payah urus harta pusaka bersendirian. harta dapat ditinggalkan kepada isteri dan anak-anak untuk meneruskan kehidupan, tidak perlu berebut-rebut dengan ahli waris yang lain kerana mereka pun akan dapat bahagian yang akan kita tetapkan nanti.

Jadi, beringat-ingatlah untuk merancang pembahagian harta pusaka semasa masih hidup, ya.

Oh ya, sebelum mengakhiri artikel kali ini, saya nak kongsikan satu ebook percuma untuk anda semua.

Jika berminat, boleh klik pada pautan di bawah untuk muat turun.

Ebook Case Study Sebenar Dilema Pengurusan Hibah & Wasiat.

http://hanaffi.com/ebook-dvd-percuma/

Artikel ini dikongsikan oleh Tuan Hanaffi Idris; boleh ikuti beliau di https://www.facebook.com/hanaffi2017

..

 

Pengiraan Asas Pembahagian Faraid Dalam Al-Quran

Sayapengiraan asas pembahagian faraid rasa dah lama tidak menulis tentang topik berkaitan pewarisan harta (wealth distribution), jadi untuk artikel kali ini saya nak tulis sedikit berkenaan topik tersebut, dan saya pilih tajuk pengiraan asas pembahagian faraid dalam al-Quran.

Seperti yang pernah saya tulis, dan saya yakin ramai yang dah tahu, faraid merupakan salah satu instrumen yang digunakan dalam pengurusan dan pembahagian harta pusaka orang Islam.

Dalam pengurusan harta pusaka orang Islam, selepas digunakan untuk bayaran pengurusan jenazah, penyelesaian hutang, pembahagian harta sepencarian, menunaikan hibah, amanah dan wasiat, maka faraid akan digunakan untuk membahagikan harta pusaka tersebut kepada semua waris yang berhak.

Ramai yang tahu bahawa faraid sangat penting dalam pengurusan harta pusaka, tetapi ramai yang tidak berminat untuk belajar tentang faraid.

Hal ini menyebabkan banyak kekeliruan timbul berkaitan faraid yang mana menyebabkan banyak masalah timbul dalam pengurusan harta pusaka orang Islam.

Faraid adalah yang terbaik untuk pengurusan harta pusaka kerana mengambil kira semua aspek terutama keadilan kepada semua waris yang berhak, tetapi dek kerana kurangnya ilmu di kalangan masyarakat, banyak salah faham timbul berkaitan faraid.

Contohnya, apabila berbicara tentang faraid, ramai yang hanya tahu tentang hak, tetapi tidak ambil kisah tentang tanggungjawab.

Sebenarnya, faraid melibatkan kedua-dua aspek hak dan tanggungjawab.

Memang betul dalam pembahagian faraid ada dinyatakan hak setiap waris, tetapi perlulah ingat bahawa harta yang dibahagikan tersebut datang bersama-sama tanggungjawab.

Sebagai contoh, apabila si mati ada meninggalkan isteri dan anak-anak bawah umur yang masih kecil, waris-waris lain yang turut menerima bahagian faraid harta pusaka si mati haruslah ingat bahawa mereka turut bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan isteri (balu) dan anak-anak yang ditinggalkan si mati.

Sebab itulah, amat penting untuk kita belajar berkenaan pengurusan harta pusaka khususnya berkaitan pembahagian faraid supaya tidak lagi timbul salah faham dan kekeliruan berkenaan perkara tersebut.

Baiklah, sebagai permulaan, marilah kita belajar berkenaan pengiraan asas pembahagian faraid yang dinyatakan dalam al-Quran.

Ya, pengiraan asas pembahagian faraid ada dinyatakan dalam al-Quran, iaitu ayat 11 dan 12 surah an-Nisa’

Mari kita renungi dahulu firman Allah S.W.T dalam ayat 11, surah an-Nisa’:

pengiraan asas pembahagian faraid

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.

Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu.

(Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Daripada ayat ini, beberapa perkara tentang pengiraan asas pembahagian faraid dapat dipelajari, iaitu:

  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, maka bahagian anak lelaki adalah 2 kali bahagian anak perempuan
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan dua atau lebih anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagian mereka adalah dua pertiga (2/3) daripada nilai harta pusaka, yang mana perlu dibahagikan sama rata kepada semua anak perempuan yang terlibat
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagiannya adalah satu perdua (1/2) atau separuh
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa serta anak (tanpa mengira bilangan dan jantina anak), maka bahagian untuk setiap seorang ibu dan bapa adalah satu perenam (1/6); untuk ibu 1/6 dan untuk bapa 1/6
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa sahaja (tidak mempunyai anak), maka bahagian ibu adalah satu pertiga (1/3) manakala bapa pula mendapat bahagian dua pertiga (2/3)
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa serta adir-beradik (tidak mempunyai anak), maka bahagian ibu adalah satu per enam (1/6) dan selebihnya adalah bahagian adik-beradik lelaki

Sekarang, mari kita lihat pula ayat 12 surah an-Nisa’:

pengiraan asas pembahagian faraid

“Dan bagi kamu satu perdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat daripada harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.

Dan jika si mati itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya adalah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka berkongsi pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.”

Beberapa intipati berkenaan pengiraan asas pembahagian faraid dalam ayat ini adalah:

  • Sekiranya isteri meninggal dunia dan meninggalkan suami sahaja (tidak mempunyai anak), maka bahagian suami adalah satu perdua (1/2). Tetapi, sekiranya isteri tersebut mempunyai anak, maka bahagian suami adalah satu perempat (1/4)
  • Sekiranya suami meninggal dunia dan meninggalkan isteri sahaja (tidak mempunyai anak), maka bahagian isteri adalah satu perenam (1/6) (dibahagikan sama rata daripada 1/6 tersebut jika isteri lebih daripada seorang). Tetapi, sekiranya suami tersebut mempunyai anak, maka bahagian isteri adalah satu perlapan (1/8) (dibahagikan sama rata daripada 1/8 tersebut jika isteri lebih daripada seorang)
  • Sekiranya meninggal dunia dan tidak mempunyai waris usul (ibu dan bapa, datuk dan nenek) dan waris furu’ (anak, isteri atau suami), tetapi mempunyai saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu sahaja, maka bahagian mereka adalah satu perenam (1/6) manakala selebihnya diserahkan kepada baitulmal. Tetapi, sekiranya saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu lebih daripada 2 orang, maka bahagian mereka adalah satu pertiga (1/3) yang perlu dikongsi sama rata antara mereka, manakala selebihnya dua pertiga (2/3) diserahkan kepada baitulmal
  • Sekiranya meninggal dunia dan tidak mempunyai waris usul dan furu’, tetapi mempunyai saudara lelaki dan saudara perempuan seibu dan sebapa, maka bahagian mereka adalah seluruh harta yang ditinggalkan (lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian)

Itulah panduan pengiraan asas pembahagian faraid yang dinyatakan dalam al-Quran, panduan atau manual kehidupan kita semua yang sebenarnya.

Pengiraan pembahagian faraid boleh jadi berbeza berdasarkan situasi yang berlalu dan waris-waris yang ditinggalkan.

Maka, ilmu pengiraan matematik yang mantap amat diperlukan dalam menentukan pembahagian harta pusaka mengikut faraid.

Sebagai rujukan mudah, boleh rujuk carta yang berikut untuk penentuan pengiraan asas pembahagian faraid:

pengiraan asas pembahagian faraid

Itu sahaja untuk kali ini, mungkin di lain artikel saya akan tunjukkan pula contoh pengiraan pembahagian faraid mengikut situasi tertentu.

Semoga anda mendapat manfaat daripada artikel kali ini.