Pengurusan Kewangan

10 Matlamat Kewangan Yang Ramai Ingin Capai

matlamat kewanganApabila memulakan langkah pengurusan kewangan, wajib untuk meletakkan matlamat, iaitu apa yang kita ingin capai.

Matlamat kewangan yang baik seharusnya mempunyai elemen S.M.A.R.T, iaitu specific (spesifik), measurable (boleh diukur), achievable/attainable (boleh dicapai), reasonable/relevant (munasabah) dan time-bound (ditetapkan tempoh).

Contohnya, ingin mengumpul duit perbelanjaan kahwin sebanyak RM 18,000 dalam masa 3 tahun.

Matlamat dinyatakan dengan jelas, boleh dicapai, munasabah dan ditetapkan masa untuk dicapai.

Apabila mempunyai matlamat yang jelas, senanglah untuk mengatur langkah-langkah seterusnya.

Sepertimana contoh di atas, jika ingin mencapainya, perlulah menyimpan duit sebanyak RM 500 setiap bulan selama 36 bulan (3 tahun)

Jom kita lihat apakah matlamat-matlamat kewangan yang kebanyakan orang ingin capai.

1. Tabung perkahwinan

Bagi orang muda yang masih bujang, matlamat untuk membina tabung perkahwinan perlu disemai sejak awal lagi, lebih-lebih lagi bagi pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta.

Kos perkahwinan zaman sekarang bukanlah murah, walaupun kita sehabis daya ingin berjimat dan membuat majlis secara kecil-kecilan.

Untuk sebuah majlis kahwin yang sederhana pun, anggaran kos terlibat adalah sekitar RM 10,000.

Ini belum termasuk wang hantaran yang pihak lelaki nak berikan kepada pihak perempuan.

Apabila membina tabung perkahwinan, usah dikira untuk kos majlis kahwin dan hantaran sahaja, tetapi keperluan selepas berkahwin juga perlu difikirkan.

Contohnya untuk tempat tinggal, keperluan rumah dan keperluan pasangan.

Yang penting apabila berkahwin, usahlah berbelanja berlebihan dan seboleh-bolehnya elakkan hutang.

Buatlah majlis dan sediakan hantaran sekadar kemampuan.

Bak kata Pakdi, jangan jadi raja sehari tapi hamba bank bertahun-tahun.

Untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan, boleh ke blog ini Tips Persiapan Majlis Perkahwinan

2. Dana kecemasan

Membina dana kecemasan juga adalah matlamat penting dalam pengurusan kewangan yang baik.

Dana kecemasan bertindak sebagai pelindung kewangan dalam situasi-situasi kecemasan.

Jumlah yang disarankan adalah sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan keperluan bulanan.

Boleh baca artikel di sini untuk lebih maklumat 3 Jenis Dana Kecemasan Untuk Situasi Luar Dugaan

3. Tabung pembelian kereta

Walaupun ramai penasihat kewangan mengatakan kereta adalah beban dan bukan aset, namun pembelian kereta tetap menjadi keperluan sesetengah orang.

Tak kiralah nak beli kereta murah atau mahal, baru atau terpakai, tetap disarankan untuk menyediakan duit pendahuluan atau deposit dalam jumlah yang munasabah.

Jika dapat beli secara tunai adalah lebih baik.

Walaupun ada pakej pembelian kereta secara ‘zero downpayment’ atau ‘mark-up loan’ yang mana tidak memerlukan jumlah deposit yang tinggi, namun sebaik-baiknya sediakanlah deposit sekurang-kurangnya 10% daripada harga kereta, lebih banyak lebih baik.

Jadikanlah kemampuan membayar deposit sebagai pra-syarat utama sebelum membeli kereta, jika tidak mampu mengumpul deposit, maksudnya anda masih belum ‘layak’ memiliki sebuah kereta.

Semakin banyak deposit yang disediakan, semakin kurang bayaran bulanan kereta.

Atau tempoh pembiayaan/pinjaman kereta dapat dikurangkan kepada tempoh yang minima sahaja supaya lebih cepat bebas dari hutang kereta.

4. Tabung pembelian rumah

matlamat kewanganMembeli rumah idaman yang besar, cantik dan selesa adalah impian kebanyakan orang.

Tetapi, harus diingat, kos yang terlibat bukannya sedikit.

Tiga kos utama yang perlu ditanggung dalam proses pembelian rumah adalah deposit pembelian, kos guaman dan perjanjian, dan kos keperluan rumah.

Ya, apabila rumah sudah siap nanti, mestilah perlu sediakan duit untuk membeli keperluan-keperluan rumah seperti perabot, lampu dan perkakas dapur.

Itu belum ditambah lagi dengan kos pengubahsuaian-pengubahsuaian yang hendak dilakukan.

Jadi, memang memerlukan kos yang agak tinggi.

Cadangannya, sediakan duit sekurang-kurangnya 15% daripada harga rumah.

Contohnya, jika rumah berharga RM 200,000, sebaik-baiknya usahakan untuk menyimpan sebanyak RM 30,000 terlebih dahulu.

Jika ingin mengurangkan kos, boleh cuba cari pemaju yang menawarkan deposit yang rendah dan kos guaman dan perjanjian percuma.

Ataupun cari strategi-strategi pembelian rumah dengan kos rendah atau tanpa modal.

Boleh baca buku-buku seperti Pelaburan Hartanah Tanpa Modal atau Panduan Membeli Rumah Pertama Anda

5.Tabung pelaburan

Duit yang disimpan di dalam akaun simpanan semata-mata tidak akan berkembang kerana kadar dividen yang diberikan adalah sangat kecil.

Bahkan, nilai duit boleh terhakis disebabkan inflasi.

Jadi, amat penting untuk memulakan pelaburan.

Oleh itu, disarankan supaya mewujudkan tabung pelaburan untuk dijadikan modal pelaburan nanti.

Di samping itu, duit dari tabung ini juga boleh dijadikan modal untuk kita menyertai seminar-seminar atau membeli buku-buku berkaitan pelaburan yang ingin diceburi.

Harus diingat, pelaburan terbaik adalah pelaburan kepada ilmu.

Bergantung kepada jenis dan strategi pelaburan, modal awal yang diperlukan adalah berbeza-beza.

Jika ingin memulakan pelaburan dengan cara sekaligus, mungkin modal yang besar diperlukan.

Jika ingin melakukan pelaburan secara berkala, modal awal yang kecil adalah memadai.

Apa-apa pun, timbalah ilmu pelaburan yang betul terlebih dahulu.

6. Tabung pendidikan anak-anak

Semakin menjengah dewasa, sudah pastinya kehidupan akan berubah dengan kehadiran anak-anak yang merupakan amanah dan harta yang tidak ternilai.

Salah satu tanggungjawab ibubapa kepada anak-anak adalah memberikan pendidikan terbaik.

Kalau dulu kita boleh berharap kepada biasiswa, bantuan kerajaan ataupun pinjaman pendidikan, tetapi pada masa depan kemudahan-kemudahan kewangan tersebut mungkin semakin terhad.

Lebih buruk lagi, kos pendidikan mungkin akan semakin mahal.

Jadi, tidak dapat tidak, perlulah menyediakan tabung pendidikan anak-anak.

Sebaik-baiknya, mulakan seawal mungkin; seawal bulan pertama kelahiran ataupun sebelum kelahiran lagi.

Sediakan satu akaun khas untuk anak-anak supaya tidak bercampur dengan duit-duit lain.

Bukan apa, takut nanti terbelanja ke arah lain.

7. Menunaikan haji

Sebagai orang Islam, menunaikan haji adalah fardhu rukun Islam kelima yang perlu dilaksanakan.

Kalau mengikut kadar sekarang pada tahun 2016, bagi pakej muassasah, jumlah yang diperlukan adalah sekitar RM 10,000.

Itupun perlu mengikut giliran yang mana boleh menjangkau satu tempoh yang sangat lama.

Jika ingin cepatkan giliran, mungkin perlu melalui pakej-pakej lain yang diikitraf.

Tetapi, sudah semestinya kosnya akan lebih tinggi.

Jadi, janganlah lupa untuk menetapkan matlamat menunaikan haji dalam pengurusan kewangan kita.

8. Tabung persaraan

Menurut kajian, purata jangka hayat penduduk Malaysia semakin bertambah iaitu 77 tahun bagi lelaki dan 79 tahun bagi wanita.

Jika bersara pada umur 60 tahun, warga Malaysia berada dalam tempoh persaraan untuk tempoh 17 ke 19 tahun.

Oleh itu, dana kewangan untuk tempoh persaraan perlu disediakan secukupnya.

Melihat kepada masa depan, keperluan kewangan individu mungkin akan meningkat bukan sahaja disebabkan kos sara hidup yang semakin tinggi, bahkan keperluan untuk penjagaan kesihatan turut akan meningkat.

Semasa usia muda, badan masih sihat jadi tidak memerlukan rawatan kesihatan yang rapi.

Tetapi menjengah usia tua, badan semakin lemah, penyakit semakin bertambah, akibatnya keperluan kewangan untuk penjagaan kesihatan turut bertambah.

Ini belum dikira lagi kadar inflasi yang meningkat setiap tahun yang mana menyebabkan nilai duit menyusut.

Kesimpulannya, untuk menghadapi tempoh persaraan yang selesa, satu dana kewangan yang besar memang diperlukan.

Jangan hanya bergantung harap kepada pencen bulanan atau simpanan KWSP sahaja, bahkan perlu disediakan dana tambahan untuk persaraan.

Tetapi, bila perlu mula membina tabung persaraan?

Jawapannya, seawal hari pertama memulakan kerja.

Tempoh persediaan yang lebih awal akan memudahkan perancangan simpanan/pelaburan dan jumlah terkumpul akan lebih besar.

9. Kebebasan kewangan

matlamat kewanganMatlamat idaman semua orang dalam pengurusan kewangan adalah mencapai kebebasan kewangan.

Maksudnya, pendapatan yang diperoleh daripada kerja yang dilakukan secara minimum adalah mencukupi atau melebihi keperluan hidup.

Contohnya, pendapatan-pendapatan pasif daripada pelaburan, sewaan, royalti dan juga perniagaan.

Hasil usaha yang tekun dahulu, sekarang pendapatan-pendapatan pasif yang dihasilkan menjana aliran tunai positif dalam jumlah yang banyak.

Yang mana mencukupi untuk memenuhi keperluan-keperluan asas hidup.

Apabila mencapai kebebasan kewangan, bolehlah menikmati kehidupan dengan sebaik-baiknya tanpa perlu terlalu memikirkan tentang duit.

Satu kehidupan yang indah, bukan?

10. Kebahagiaan di dunia dan akhirat

Ya, apabila menguruskan kewangan, matlamat paling utama adalah mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Walaupun matlamat yang ini tidak memenuhi kriteria S.M.A.R.T. yang dinyatakan awal-awal tadi, tetapi inilah yang sebenarnya diidami semua.

Apalah gunanya duit yang banyak jika kehidupan tidak tenang dan diberkati.

Apalah gunanya duit yang banyak jika kehidupan berakhir dengan kesudahan yang tidak baik.

Tetapi, dengan menguruskan kewangan dengan baik, kita akan mempunyai banyak ruang untuk mendekatkan diri dengan Pencipta.

Dengan kedudukan kewangan yang stabil, hati akan menjadi lebih tenang untuk beribadat kepada-Nya.

Dengan duit yang diuruskan dengan baik, kita akan mempunyai lebihan untuk dikongsikan dengan yang memerlukan.

Bahkan, hasil zakat akan bertambah untuk membangunkan ekonomi ummah.

Inilah matlamat yang ingin dikecapi semua.

Akhir kata, meletakkan matlamat yang jelas adalah langkah yang sangat penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Jika tiada matlamat yang ingin dicapai, langkah-langkah seterusnya mungkin sukar diteruskan.

Oleh itu, jom tetapkan matlamat kewangan anda sekarang!

7 Fasa Asas Pengurusan Kewangan Yang Wajib Anda Tahu

pengurusan kewanganNak uruskan duit dengan baik, mestilah dilakukan dengan sistematik.

Lakukan dengan teratur.

Bukan sekadar hentam ikut suka hati, takut nanti tak terkawal pula.

Baiklah, bagi yang ingin menguruskan kewangan peribadi dengan baik, semestinya perlu mengetahui tentang tujuh (7) fasa asas ini, iaitu:

1. Pendapatan (Income)

2. Simpanan (Saving)

3. Perbelanjaan (Expense)

4. Perlindungan (Protection)

5. Pelaburan (Investment)

6. Penyucian (Purification)

7. Pewarisan (Distribution)

Saya tidak tahu siapa yang memperkenalkan 7 fasa ini, tetapi saya pertama kali membaca berkenaan perkara ini di blog afyan.com dan rahsiatakaful.com.

Kedua-dua laman adalah dari pemilik yang sama, Tuan Afyan Mat Rawi.

1. Pendapatan (Income)

Pengurusan kewangan mestilah bermula dengan duit, jika tiada duit, kenapa perlu fikir nak urus dengan baik.

Jadi, dalam fasa pertama ini, perlulah kita menghasilkan pendapatan, tak kira samaada melalui gaji, upah, bisnes atau apa-apa sahaja yang mendatangkan wang.

Yang penting, pendapatan tersebut diperoleh melalui saluran yang betul mengikut undang-undang semasa dan bagi orang Islam, halal.

Nilai kecil atau besar tidak menjadi masalah.

Pendapatan yang kecil pun, jika diurus dengan baik, masih boleh hidup dengan tenang.

Pendapatan yang besar pula, jika tidak cerdik menguruskannya, hidup akan terasa sempit dan sesak.

Pernah dengar pepatah, “Semakin besar periuk, semakin banyak keraknya”?

2. Simpanan (Saving)

“Pay yourself first”

“Bayar kepada diri-sendiri terlebih dahulu.”

Dalam pengurusan kewangan, ianya bermaksud sebahagian pendapatan yang diperoleh haruslah disimpan terlebih dahulu sebelum dibelanjakan.

Bukannya sebaliknya.

Dalam fasa kedua ini, objektif utama adalah untuk membina dana kecemasan dan tabung untuk fasa pelaburan nanti.

Tambahan lagi, fasa ini bertujuan untuk mendidik diri kita supaya berdisiplin dengan wang yang ada.

Jika menyimpan pun gagal, usah bermimpi nak lulus ke fasa-fasa yang lain.

3. Perbelanjaan (Expense)

Baki wang selepas simpanan, itulah yang boleh dibelanjakan.

Dalam fasa ini, kita perlu tahu ke mana wang kita dibelanjakan setiap hari, minggu dan bulan.

Kita perlu mengenalpasti apakah perbelanjaan keperluan dan perbelanjaan kehendak.

Juga perlu mengenalpasti perbelanjaan tetap dan perbelanjaan boleh ubah.

Dari situ, kita boleh merangka bajet sendiri supaya perbelanjaan lebih terkawal.

Macam mana nak kenalpasti?

Kena rajin mencatatlah!

4. Perlindungan (Protection)

Ramai sebenarnya yang sering mengabaikan fasa perlindungan ini.

Kesedaran untuk mengambil perlindungan, iaitu takaful/insuran dalam kalangan masyarakat terutama golongan Bumiputera di Malaysia masih rendah.

Bagi perlindungan am seperti perlindungan kenderaan dan rumah, mungkin tiada masalah.

Itupun kerana undang-undang yang mewajibkan, jika tidak mesti ramai juga yang tidak mengambil berat.

Tetapi, bagi perlindungan diri dan kesihatan, peratusan yang menyertai masih rendah.

Walhal, pada pendapat saya, kedua-duanya adalah satu keperluan.

Insuran/takaful sebenarnya melindungi pendapatan dan simpanan kita daripada hangus kerana masalah atau kemalangan yang tidak dijangka.

Dan juga menyediakan perlindungan atau sumbangan kepada waris jika berlaku musibah ke atas diri pencarum.

5. Pelaburan (Investment)

pengurusan kewanganFasa pelaburan adalah fasa di mana kita menukarkan pendapatan dan simpanan kepada aset, tak kira samaada dalam bentuk aset kertas atau aset tetap.

Jika kita menyimpan sahaja tanpa melabur, lama-kelamaan wang simpanan akan terhakis oleh inflasi.

Bayangkan, nilai RM 50 atau RM 100 pada hari ini semestinya tidak akan sama pada masa 10 tahun akan datang.

Jadi, membuat pelaburan adalah sangat penting.

Dalam kita ghairah untuk melabur, perlulah berhati-hati agar tidak terjebak dengan skim cepat kaya yang menipu.

Pelaburan pada tempat yang betul dengan teknik yang betul dapat mempertingkatkan nilai aset kita.

Pelaburan juga dapat menghasilkan pendapatan tambahan jika kena caranya.

Bak kata orang, guna duit untuk buat duit.

Use money to make money.

Ya, risiko dalam pelaburan sentiasa ada, namun itulah cabarannya.

6. Penyucian (Purification)

Cukai, derma, sedekah dan zakat adalah jalan untuk ‘menyucikan’ harta kita.

Konsepnya, untuk harta yang kita peroleh, ada bahagian yang perlu diperuntukkan kepada orang lain.

Membayar cukai untuk membantu kerajaan membangunkan negara dan masyarakat (jika tidak diselewengkan)

Derma dan sedekah untuk membantu golongan atau pihak yang memerlukan.

Zakat pula untuk membangunkan ummah dan golongan asnaf.

Jadi, janganlah sayangkan duit dan culas untuk melakukan fasa penyucian ini.

7. Pewarisan (Distribution)

Harta yang ada kekal di dunia sahaja, tidak akan di bawa ke kubur.

Waris yang masih hiduplah yang akan menikmatinya.

Adakah nanti apabila kita telah pergi, kita mahu meninggalkan waris bergaduh berebut harta?

Atau waris mengalami kesulitan untuk mendapatkan harta yang dulunya kita bertungkus-lumus bina untuk mereka, disebabkan undang-undang dan prosedur yang leceh?

Atas sebab-sebab inilah pentingnya membuat pewarisan sebelum kita meninggal.

Wasiat, hibah dan faraid, di fasa inilah peranan mereka.

Kesimpulannya, jika ingin mengurus kewangan dengan baik, perlu dilakukan secara teratur dari fasa ke fasa.

Kukuhkan pendapatan, supaya lebih senang untuk merancang ke fasa seterusnya.

Perbanyakkan simpanan supaya kedudukan kewangan lebih stabil.

Kawal perbelanjaan supaya pendapatan yang diperoleh dimanfaatkan kepada perkara-perkara yang perlu sahaja dan seterusnya mengelakkan pembaziran.

Lindungi pendapatan dan simpanan dengan insurans/takaful sekadarnya supaya tidak terjejas pada waktu musibah.

Laburkan duit supaya aset berkembang dan pendapatan bertambah.

Dan akhir sekali bahagikan harta seadilnya untuk kesejahteraan waris-waris.