Pengurusan Kewangan

Ebook Pengurusan Kewangan Peribadi Percuma

ebook pengurusan kewangan peribadi percumaDalam entri kali ini, saya ingin menyarankan beberapa buah ebook pengurusan kewangan peribadi percuma yang perlu dibaca bagi memudahkan anda belajar berkenaan topik pengurusan kewangan peribadi.

Ebook-ebook ini bukan ditulis oleh saya, maklumlah saya ini penulis blog sahaja, sebaliknya ditulis oleh mereka yang profesional dan berkelayakan dalam bidang kewangan.

Malah, ebook-ebook ini adalah diterbitkan oleh agensi-agensi kewangan yang berkaliber.

Nak tahu apakah ebook-ebook tersebut?

Teruskan bacaan anda.

Ebook pengurusan kewangan peribadi #1 – Celik Wang

ebook pengurusan kewangan peribadi percumaEbook Celik Wang diterbitkan oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dan merupakan terjemahan kepada ebook Money Sense, juga diterbitkan oleh AKPK.

Ebook ini sesuai untuk semua golongan umur dan boleh dikatakan ebook WAJIB BACA bagi mereka yang ingin mula belajar bagaimana caranya untuk menguruskan kewangan peribadi dengan lebih bijak.

Matlamat utama ebook Celik Wang adalah untuk mengajar para pembaca berkenaan cara mengurus wang secara bijaksana dengan menekankan kepada kepentingan mengawal perbelanjaan mengikut kemampuan dan seterusnya mencapai matlamat kewangan dengan mudah.

Ebook ini juga mengajar pembaca agar dapat mengawal prestasi kewangan sendiri semasa berhadapan situasi dan cabaran yang mendatang.

Untuk kandungan ebook Celik Wang, boleh lihat gambar di bawah:

ebook pengurusan kewangan peribadi

Boleh juga tonton video di bawah untuk lebih info berkenaan kandungan ebook Celik Wang ini:

Jika dilihat kepada isi kandungannya, ebook ini boleh dikatakan sebuah panduan yang lengkap untuk belajar tentang pengurusan kewangan peribadi.

Memang rugi kalau tak baca!

Ebook pengurusan kewangan peribadi #2 – P.O.W.E.R!

ebook pengurusan kewangan peribadi percumaEbook pengurusan kewangan peribadi kedua yang juga WAJIB DIBACA adalah ebook POWER!

Ebook POWER!, atau nama panjangnya, Pengurusan Wang Ringgit Anda, juga diterbitkan oleh pihak AKPK.

Ebook ini mengandungi modul yang digunakan dalam program pendidikan kewangan yang dianjurkan oleh AKPK untuk orang awam, juga dengan tajuk yang sama iaitu Program POWER!: Pengurusan Wang Ringgit Anda.

Terdapat 6 modul utama dalam ebook POWER!, iaitu:

  1. Pengurusan aliran tunai
  2. Asas meminjam
  3. Penggunaan kad kredit secara bijak
  4. Membeli kereta
  5. Membeli rumah
  6. Mengurus hutang anda

Berbeza dengan ebook Celik Wang, kandungan ebook POWER! adalah lebih ringkas, spesifik kepada topik yang dibincangkan dan yang lebih menarik, mempunyai soalan-soalan untuk menilai kefahaman pembaca.

Modul ebook POWER! dirangka dengan tujuan melengkapkan pembacanya dengan ilmu pengurusan kewangan asas yang kukuh supaya dapat membuat keputusan berkaitan kewangan sendiri dengan penuh yakin.

Ebook ini juga mengandungi latihan praktikal supaya dapat membantu pembacanya belajar cara menguruskan pendapatan, perbelanjaan dan hutang dengan lebih baik.

Kiranya, ebook POWER! melengkapkan lagi ebook Celik Wang.

Baca kedua-dua ebook ini, dan anda akan mempunyai lebih pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan kewangan anda dengan lebih baik.

Ebook pengurusan kewangan #3 – Buku Wang Saya

ebook pengurusan kewangan peribadi percumaEbook Buku Wang Saya adalah terjemahan daripada ebook My Money yang diterbitkan di bawah program MoneySENSE, sebuah program pendidikan kewangan nasional di Singapura.

Ya, Singapura.

Tetapi, oleh kerana topik pengurusan kewangan peribadi adalah topik yang universal, maka tidak ada masalah jika mengambil bahan pendidikan daripada negara lain, asalkan bahan tersebut adalah bermanfaat.

Lagipun, ebook ini adalah dalam bahasa Melayu, jadi memang mudah difahami.

Untuk kandungan ebook ini, boleh lihat gambar yang berikut:

ebook pengurusan kewangan peribadi percuma

Kandungan ebook ini ringkas sahaja, disusun dengan susunan yang teratur dan disertakan gambar-gambar yang menarik.

Ada juga tips-tips ringkas daripada pakar kewangan berkenaan setiap topik yang dibincangkan.

Memang best baca ebook ini.

Bagaimana nak dapatkan semua ebook hebat ini?

Semua ebook pengurusan kewangan peribadi ini diberikan secara PERCUMA sahaja.

Ya, PERCUMA!

Kalau anda berminat nak dapatkan semua ebook ini, cuma perlu masukkan nama dan alamat emel dalam ruangan di bawah:

Nama Anda
Alamat Emel

 


Nanti, saya akan hantar link untuk download setiap ebook dalam emel nanti.

Jangan lepaskan peluang ini, ya!

Cepat-cepat masukkan nama dan alamat emel ke dalam ruangan di atas.

Rugi kalau tak baca ebook-ebook di atas.

Bukan kena bayar pun, haa.

Jangan lupa share atau beritahu orang lain untuk turut dapatkan ebook-ebook ini.

5 Tahap Kewangan Peribadi: Anda Di Mana?

tahap kewangan peribadiSetiap kemunculan awal tahun merupakan waktu yang sesuai untuk menilai semula di manakah tahap kewangan peribadi masing-masing.

Adakah bertambah baik dari tahun sebelumnya, masih di tahap lama atau semakin teruk?

Adakah pelan kewangan yang dirancang berjalan dengan baik?

Adakah matlamat kewangan yang diingini masih dalam jangkauan?

Semua soalan-soalan ini perlu dijawab dalam menilai pengurusan kewangan peribadi masing-masing.

Daripada jawapan yang diperoleh, bolehlah dibuat adjustment kepada pelan kewangan masing-masing agar tahap kewangan peribadi bertambah baik dan matlamat kewangan dapat dicapai.

Untuk menilai tahap kewangan peribadi masing-masing, boleh fokus kepada dua perkara utama, iaitu aliran tunai (pendapatan vs perbelanjaan) dan kedudukan kewangan (aset vs liabiliti)

Tahap kewangan peribadi seseorang boleh dikelaskan kepada lima tahap yang berikut:

Tahap kewangan peribadi #1 – Financial instability

Tahap pertama ini menggambarkan golongan yang mempunyai aliran tunai negatif, iaitu perbelanjaan lebih banyak berbanding pendapatan.

Tak kisah sebesar mana pun pendapatan yang diperoleh, jika jumlah perbelanjaan lebih besar, golongan ini sedang menghadapi masalah aliran tunai.

Bak kata orang, besar periuk, besarlah keraknya.

Golongan ini kebiasaannya lebih mengutamakan gaya dan kemewahan, walaupun sebenarnya mereka tidak mampu pun untuk bergaya dan hidup dalam kemewahan tersebut.

Lebih teruk lagi, akibat perbelanjaan yang sentiasa melebihi pendapatan, golongan yang berada pada tahap ini terpaksa membuat hutang-hutang jahat atau tidak produktif yang berlebihan, seperti kad kredit dan pembiayaan peribadi.

Sudahlah pendapatan tidak mencukupi, aset tidak dapat dibina, hutang pula keliling-pinggang.

Akibatnya, golongan ini mempunyai tahap kewangan peribadi yang tidak stabil.

Tahap kewangan peribadi #2 – Financial stability/sufficiency

tahap kewangan peribadiGolongan yang berada pada tahap kedua ini boleh dikatakan menghabiskan semua pendapatan yang diperoleh untuk menampung semua perbelanjaan mereka.

Tiada simpanan dibuat, tiada aset dibina; jika ada pun, jumlahnya adalah sedikit.

Hampir semua pendapatan dibelanjakan, pendapatan hanya cukup-cukup untuk dibelanjakan.

Jika ada hutang pun, hutang-hutang tersebut masih mencukupi ditampung dengan pendapatan yang diperoleh.

Mereka tidak terbeban dengan hutang, tetapi pada masa yang sama mereka tidak mempunyai banyak simpanan dan aset.

Tahap kewangan peribadi #3 – Financial security

Apabila berada pada tahap ketiga ini, golongan ini kebiasaannya mempunyai pengurusan kewangan yang baik.

Pendapatan diagihkan sebaik-baiknya untuk simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan.

Simpanan asas mencecah 3 ke 6 bulan pendapatan sebagai dana rizab, lebihan simpanan dilaburkan sebaik-baiknya ke dalam peluang pelaburan terbaik yang mereka pilih untuk memantapkan kedudukan kewangan mereka.

Dari semasa ke semasa, simpanan dan aset tersebut sentiasa ditambah.

Mereka mengawal perbelanjaan sebaik-baiknya, mereka hidup di bawah kemampuan dan sentiasa mengikut bajet yang dibuat supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.

Hutang-hutang pula diambil untuk perkara-perkara penting sahaja dan dikawal pada paras minimum, antara 30% ke 50% sahaja daripada pendapatan.

Jika berada pada tahap ini pun, sudah satu pencapaian yang membanggakan.

Tahap kewangan peribadi #4 – Financial freedom

Mencapai tahap financial freedom adalah impian ramai orang, termasuklah saya sendiri.

Sama seperti golongan pada tahap ketiga (financial security), mereka yang berada pada tahap financial freedom turut mengawal pendapatan yang diperoleh supaya simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan dilakukan dengan baik.

Mereka juga mempunyai simpanan asas sebagai dana rizab, dan menambah aset dari semasa ke semasa.

Mereka juga mungkin turut mempunyai hutang, tetapi masih pada perkara-perkara penting dan dikawal pada paras minimum juga.

Bezanya, pendapatan yang mereka peroleh adalah daripada pendapatan pasif, sama ada daripada sistem bisnes atau pelaburan yang mereka lakukan.

Manakala golongan pada tahap ketiga bergantung kepada pendapatan aktif, sama ada daripada kerjaya atau perniagaan mereka.

Kiranya, mereka yang mencapai financial freedom mampu menampung keperluan hidup mereka walaupun tidak bekerja kerana pendapatan pasif mereka adalah mencukupi.

Tahap kewangan peribadi #5 – Financial wealth

tahap kewangan peribadiGolongan yang berada pada tahap teratas ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan duit, kecuali satu sahaja.

Apakah masalah tersebut?

Masalah mereka adalah duit yang terlalu banyak.

Golongan ini mempunyai duit yang banyak hasil daripada pendapatan aktif dan pasif, yang mana mereka gunakan untuk berbelanja ke mana sahaja yang mereka kehendaki.

Mereka mempunyai simpanan yang banyak, dan jumlah aset yang menjana pendapatan yang stabil untuk mereka.

Mereka boleh hidup mewah dengan pendapatan yang diperoleh, bukan setakat menampung keperluan asas sahaja.

Senang kata, mereka adalah orang kaya!

Di Mana Tahap Kewangan Peribadi Anda?

Setelah meneliti kelima-lima tahap kewangan di atas, adakah sekarang anda dapat mengenalpasti di mana tahap anda sekarang?

Adakah masih terkial-kial di tahap pertama?

Stabil di tahap kedua?

Selesa di tahap ketiga?

Bebas di tahap keempat?

Atau mewah di tahap kelima?

Dari semasa ke semasa, perbaikilah tahap kewangan masing-masing.

Bagaimana nak baiki tahap kewangan sendiri?

Pertama, banyakkan tambah ilmu tentang pengurusan kewangan peribadi.

Kedua, tetapkan matlamat dan tahap kewangan yang dikehendaki.

Kemudian, rangka pelan (roadmap) untuk mencapai matlamat yang ditetapkan tersebut.

Akhir sekali, laksanakan pelan tersebut dan buat analisa dari semasa ke semasa.

Seperti yang ditulis pada awal artikel tadi, tahap kewangan seseorang dinilai berdasarkan dua perkara utama iaitu aliran tunai dan kedudukan kewangan.

Jadi, jika nak tambah baik tahap kewangan, fokus kepada dua perkara tersebut.

Tambah pendapatan dan kurangkan perbelanjaan supaya aliran tunai menjadi positif.

Tambah aset dan kurangkan hutang supaya kedudukan kewangan kukuh.

Jika ini dilakukan secara berterusan, percayalah, tahap kewangan anda akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Penyelesaian yang klise, bukan?

Ya, memang klise.

Tetapi, yang klise inilah yang ramai abaikan.

Sudahnya, tahap kewangan kekal seperti dulu, langsung tiada perubahan.

Sebenarnya, yang klise inilah penyelesaian asas dan umum yang perlu dilakukan.

Apabila dah nampak jalan, bolehlah spesifikkan penyelesaian tersebut khas untuk diri anda.

5 Formula Urus Duit Gaji Yang Mudah Dilakukan

formula urus duit gajiAdakah anda tergolong dalam golongan yang mempunyai masalah untuk urus duit gaji dengan baik?

Masih tak tahu cara-cara nak buat pembahagian duit gaji anda?

Jika anda sering kehabisan duit gaji sebelum dapat duit gaji seterusnya, ya, memang sah anda punyai masalah untuk uruskan duit gaji dengan baik.

Sebenarnya, matlamat utama untuk urus duit gaji adalah supaya perbelanjaan yang dilakukan tidak melebihi pendapatan yang diperoleh.

Kenapa penting untuk pastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan?

Sebab yang pertama kerana ingin mengelakkan daripada membuat hutang-hutang jahat semata-mata kerana ingin menampung keinginan perbelanjaan yang tinggi.

Hutang-hutang jahat seperti kad kredit dan pembiayaan peribadi, kesan jangka masa pendek memanglah menyeronokkan kerana dapat berbelanja kepada perkara-perkara yang diingini walaupun pendapatan tidak mencukupi.

Tetapi, untuk jangka masa panjang, hutang-hutang jahat ini boleh memberi kesan yang memudaratkan kepada kedudukan kewangan seseorang.

Boleh juga menjadi punca bermasam muka dengan orang lain sekiranya hutang-hutang tadi dibuat dengan rakan atau ahli keluarga, tetapi tidak membayarnya sepertimana dijanjikan.

Sebab yang kedua pula adalah supaya dapat mencipta aliran tunai positif, iaitu pendapatan > simpanan + perbelanjaan.

Apabila aliran tunai adalah positif, maka ada sejumlah duit gaji dapat disimpan untuk membina dana rizab dan dana kecemasan.

Selepas dibina kedua-dua dana tesebut, lebihan simpanan boleh digunakan untuk pelaburan supaya dapat mengukuhkan lagi kedudukan kewangan diri-sendiri.

Jadi, bagaimana caranya untuk urus duit gaji dengan baik?

Nak uruskan duit gaji tidaklah sesukar mana, yang penting kita kenal pasti terlebih dahulu apakah perbelanjaan-perbelanjaan yang akan dilakukan dengan duit gaji tersebut.

Contohnya, nak gunakan duit gaji untuk pembayaran hutang, makan minum, barang dapur, bil-bil utiliti dan lain-lain.

Kemudian, untuk setiap perkara tersebut, kita peruntukkan jumlah yang secukupnya dan kawal supaya tidak melebihi jumlah tersebut.

Kalau tak tahu berapa banyak nak peruntukkan untuk setiap perkara, boleh guna formula urus duit gaji seperti yang berikut:

Formula urus duit gaji #1 – Formula 30/10

formula urus duit gajiFormula 30/10 melibatkan pembahagian duit gaji kepada 4 bahagian, iaitu 30%, 30%, 30% dan 10%

Contohnya, mereka yang bergaji bersih RM 2,000, maka duit tersebut dibahagikan kepada RM 600, RM 600, RM 600 dan RM 200

Untuk 30% pertama, peruntukkan bahagian tersebut untuk kesenangan masa depan iaitu untuk simpanan, perlindungan insurans takaful dan pelaburan.

30% kedua pula adalah untuk hutang dan simpanan perbelanjaan.

Jadi, jika ingin membuat hutang contohnya pembiayaan rumah atau kereta, pastikan jumlah hutang tersebut dihadkan kepada 30% sahaja daripada jumlah gaji.

30% yang ketiga pula adalah untuk semua jenis perbelanjaan lain; makan-minum, nafkah, barang dapur, keperluan peribadi, sewa, bil-bil utiliti, tol, minyak kereta dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang dibuat setiap bulan.

Bahagian 10% yang terakhir pula adalah untuk penyucian, iaitu untuk zakat pendapatan (jika cukup nisab), sedekah dan hadiah kepada ibu bapa.

Formula 30/10 boleh dianggap formula urus duit gaji terbaik kerana menyeimbangkan semua elemen utama pengurusan kewangan peribadi, iaitu simpanan, perbelanjaan, perlindungan, pelaburan dan penyucian.

Bagi yang baru mula kerja atau kurang komitmen, disarankan untuk mengaplikasikan terus formula ini.

Saya ada menulis satu artikel tentang formula 30/10 di sini: Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja

Formula urus duit gaji#2 – Formula 50/30/20

formula urus duit gajiSama seperti formula 30/10 di atas, formula 50/30/20 juga membahagikan duit gaji kepada beberapa bahagian mengikut peratusan tertentu, iaitu 50%, 30% dan 20%

Bahagian 50% adalah untuk membayar komitmen tetap bulanan seperti pinjaman pembiayaan rumah, kereta, sewaan dan bil-bil utiliti.

Bahagian ini juga untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan asas seperti makan-minum, barang dapur, minyak kereta dan tol.

Bahagian 30% pula dikhususkan untuk komitmen tidak tetap atau perbelanjaan yang berubah-ubah dan kurang penting seperti keperluan diri, pakaian, hiburan, melancong, bayaran internet, membeli barang-barang idaman dan sebagainya.

Bahagian 20% terakhir pula adalah untuk simpanan, pelaburan dan perlindungan insurans takaful.

Kunci utama dalam menggunakan formula ini adalah kebolehan membezakan antara perbelanjaan asas atau keperluan dan perbelanjaan kehendak; perbelanjaan asas hendaklah diutamakan manakala perbelanjaan kehendak perlulah dikawal.

Formula 50/30/20 adalah sesuai untuk golongan yang mempunyai pendapatan sederhana dan sebagai permulaan bagi yang baru mula berjinak-jinak untuk urus duit gaji dengan baik.

Selepas dapat urus dengan baik menggunakan formula 50/30/20, seterusnya boleh cuba mengaplikasikan formula 30/10

Formula urus duit gaji #3 – Formula 90/10

formula urus duit gajiFormula 90/10 adalah untuk golongan yang tidak mahu membahagikan dan menghadkan duit gaji mereka kepada banyak bahagian atau perkara.

Dalam formula ini, duit gaji dibahagikan kepada dua bahagian sahaja iaitu 90% dan 10%.

10% daripada duit gaji dikhaskan untuk simpanan atau pelaburan.

Baki 90% digunakan untuk menampung semua perbelanjaan lain, sama ada perbelanjaan tetap atau berubah-ubah, dan perbelanjaan keperluan atau kehendak.

Duit daripada bahagian inilah digunakan untuk membayar hutang, bil-bil, makan-minum, keperluan diri, hiburan, membeli barang idaman dan sebagainya.

Senang kata, daripada 90% duit gaji tadi, berbelanjalah sesuka hati asalkan segala komitmen tetap dibayar (hutang, sewaan, bil) dan tidak melebihi jumlah yang diperuntukkan.

Formula urus duit gaji #4 – Formula 30/20/10

formula urus duit gajiFormula ini adalah untuk mereka yang nak urus duit gaji atau kawal belanja ikut minggu.

Apabila dapat duit gaji, asingkan dahulu 10% untuk simpanan dan pelaburan.

Baki 90% lagi akan dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu 30%, 20%, 20% dan 20%

Untuk minggu pertama, akan gunakan bahagian 30% kerana kebiasaannya pada minggu ini banyak duit diperlukan untuk membayar komitmen tetap seperti hutang, sewa dan bil.

Untuk minggu-minggu seterusnya, gunakan setiap bahagian 20% tadi.

Kawal perbelanjaan setiap minggu agar tidak melebihi daripada apa yang diperuntukkan untuk minggu tersebut.

Jika ada lebihan, digalakkan untuk dimasukkan ke dalam tabung simpanan.

Boleh juga kalau nak gunakan lebihan daripada munggu-minggu lain untuk reward diri-sendiri dengan berbelanja lebih sedikit pada minggu terakhir.

Formula urus duit gaji #5 – Formula 90/10 asas

formula urus duit gajiFormula ini sesuai untuk golongan yang berpendapatan tidak tetap atau yang berpendapatan kecil sahaja.

Bak kata orang, duit gaji hanya cukup untuk cukup-cukup makan.

Formula terakhir ini adalah sama seperti formula #3 di atas, yang mana duit gaji dibahagikan kepada 10% untuk simpanan dan 90% untuk perbelanjaan.

Bezanya, bahagian 90% untuk perbelanjaan jangan dibelanjakan sesuka hati, sebaliknya utamakan untuk bayar komitmen tetap dahulu.

Selepas bayar komitmen tetap, bakinya, jika ada barulah dibelanjakan untuk perkara-perkara lain.

Kesimpulan

Setiap formula urus duit gaji yang diberikan di atas adalah sebagai panduan asas sahaja.

Boleh pilih formula mana yang nak diikuti, dan ubahsuai ikut kesesuaian sendiri.

Boleh juga gabungkan beberapa formula dan buat ikut formula sendiri.

Macam saya, saya gunakan formula 30/10 untuk urus duit keseluruhan gaji.

Untuk 30% bahagian perbelanjaan, saya gunakan pula formula 30/20/10 supaya bahagian perbelanjaan tersebut dibahagikan mengikut minggu.

Yang penting, dalam mengurus duit gaji, ingat kepada beberapa perkara yang berikut:

#1 – Simpan sebahagian duit gaji sebelum dibelanjakan, minimum adalah 10%, lebih banyak lebih baik

#2 – Hidup di bawah kemampuan gaji, maksudnya jika mampu beli barang berharga RM 100, cuba cari dan dapatkan barang lain yang setara yang berharga lebih rendah daripada itu

#3 – Kawal nafsu supaya dapat kawal belanja tidak melebihi pendapatan; gaya hidup mestilah ikut kemampuan sendiri, bukan ikut pandangan orang lain

#4 – Setiap orang wajib buat bajet sendiri untuk pastikan formula urus duit gaji yang digunakan berjaya, kalau nak belajar boleh baca artikel ini: 6 Langkah Kawal Belanja Supaya Lebih Terurus

Jom urus duit gaji!