9 Tips Kurangkan Bajet Majlis Perkahwinan

kurangkan bajet majlis perkahwinanSempena musim majlis perkahwinan yang memang menjadi kelaziman pada setiap kali cuti sekolah, jadi untuk perkongsian kali ini, saya nak berbicara tentang tips kurangkan bajet majlis perkahwinan.

Biasalah, bagi golongan muda, selain mempunyai kerjaya yang stabil, mereka turut berimpian untuk memateri cinta dengan insan dicintai secepat mungkin dalam majlis perkahwinan yang gilang-gemilang.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang dah lama bersulam cinta dengan pasangan masing-masing.

Memang dah tak sabar nak jadikan kekasih hati sebagai pasangan yang sah.

Malangnya, hasrat ini sering tersekat dek kekangan yang ada.

Dalam Kajian Keluarga & Penduduk Malaysia Ke-5 2014 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mendapati punca utama bagi lelaki yang lambat kahwin adalah disebabkan oleh masalah kewangan (56%), tiada calon sesuai (18.4%) dan ingin fokus kepada kerjaya (9.4%)

Bagi wanita yang lambat kahwin pula, punca utama adalah disebabkan kesukaran mencari calon yang sesuai (35.7%) diikuti masalah kewangan (26%) dan kemajuan kerjaya (18.1%)

Boleh baca hasil kajian ini di sini (Berita Harian) atau di sini (Astro Awani).

Daripada kajian ini, jelas bahawa masalah kewangan menjadi antara punca utama yang menyebabkan ramai orang muda gagal mendirikan perkahwinan.

Apakah masalah kewangan yang dimaksudkan?

Senang cerita, kalau tanya kepada semua orang yang nak berkahwin, mesti akan kata mereka mengalami masalah kewangan menampung bajet majlis perkahwinan yang semakin menggila sekarang ini.

Bajet majlis perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan bajet atau kos kenduri makan minum, tetapi turut melibatkan kos wang hantaran, barang hantaran, pakaian pengantin, pelamin dan juga perkara-perkara lain berkaitan persiapan majlis perkahwinan.

Semua serba-serbi kelengkapan dan perkara berkaitan majlis perkahwinan melibatkan kos yang boleh memeningkan kepala bakal pengantin.

Berapa bajet yang diperlukan bagi sebuah majlis perkahwinan?

Bajet sebuah majlis perkahwinan boleh jadi berbeza-beza bergantung kepada banyak faktor.

Namun, mengikut kajian yang dilakukan Association of Wedding Professionals (AWP) Malaysia yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada tahun 2013, purata bajet majlis perkahwinan adalah sekitar RM 50,000

Boleh baca artikel tentang kajian ini di sini: Till debt do us part

Pecahan bajet tersebut adalah seperti di dalam gambar berikut:

kurangkan bajet majlis perkahwinan

Ini adalah bajet purata pada tahun 2013, iaitu sekitar 4 tahun dahulu.

Sebelum GST.

Jika dinilaikan pada tahun sekarang, purata bajet majlis perkahwinan sudah tentu lebih tinggi.

Memang logiklah ramai yang terpaksa menangguhkan hasrat berkahwin sebab nak kumpul modal terlebih dahulu.

Ada juga yang terpaksa meminjam duit dan membuat pinjaman peribadi semata-mata nak melangsungkan perkahwinan dengan segera.

Satu situasi yang tidak sihat untuk kewangan sendiri, sebenarnya.

Jadi raja sehari, tetapi hamba bank bertahun-tahun.

Jadi, bagaimana cara nak kurangkan bajet persediaan majlis perkahwinan agar tidak terbeban dengannya?

Jom kita lihat tips yang boleh dilakukan.

Sebelum itu, suka diingatkan, tips yang dikongsikan nanti bukan sesuai untuk semua orang dan semua situasi, tetapi sama-samalah jadikan panduan dan ubahsuai mengikut kesesuaian sendiri.

Baca juga:  Cara Jimatkan Elektrik Di Rumah

Tips #1 – Tetapkan perbelanjaan yang penting dahulu

Cuba lihat balik gambar peratus pecahan purata bajet majlis perkahwinan yang dikongsikan di atas.

Daripada bajet purata RM 50,000 yang dinyatakan, jom kita lihat nilai bagi setiap pecahan:

  • Resepsi (majlis kenduri, lokasi majlis, kek) = 42% (RM 21,000)
  • Fotografi & videografi = 13% (RM 6,500)
  • Pelamin, bunga & dekorasi = 10% (RM 5,000)
  • Baju pengantin, aksesori, solekan = 10% (RM 5,000)
  • Hiburan (DJ, lagu, PA sistem) = 6% (RM 3,000)
  • Majlis akad nikah  = 6% (RM 3,000)
  • Jemputan (kad jemputan kahwin, setem, bunting, banner) = 3% (RM 1,500)
  • Perbelanjaan-perbelanjaan lain (goodies, door gift, barang hantaran) = 10% (RM 5,000)

Kalau berkemampuan, memang tidak menjadi masalah untuk menampung semua perbelanjaan kahwin di atas.

Tetapi, jika tak mampu, sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan untuk memotong dan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan di atas.

Sebagai contoh:

  • Pilih lokasi majlis yang tidak memerlukan kos tinggi. Dewan serbaguna dan rumah sendiri (jika ada ruang luas) adalah pilihan lebih murah berbanding hotel dan restoran mewah.
  • Hadkan bilangan menu makanan kenduri. Yang penting adalah menu utama iaitu nasi, lauk pauk dan air minuman. Menu-menu tambahan lain seperti burger, murtabak, cendol, roti john, kambing bakar; pilih jika berkemampuan sahaja.
  • Pilih pakej fotografi dan videografi yang asas pun sudah memadai. Tak perlu nak pilih pakej advance yang complete 3 hari 3 malam, nanti macam nak buat filem pula.
  • Pelamin juga boleh pilih pakej yang simple. Saya dulu pun pilih pakej mini pelamin bertunang untuk majlis perkahwinan, memang lebih jimat. Untuk hiasan bunga dan dekorasi pula, sewa sekali dengan pakej pelamin. Lebih jimat berbanding beli.
  • Untuk baju pengantin, menyewa dengan butik pengantin adalah lebih murah berbanding menempah khas. Kalau nak tempah juga, pastikan baju pengantin tersebut boleh digunakan juga pada waktu dan majlis lain, bukan sekadar pada hari majlis perkahwinan sahaja.
  • DJ dan PA sistem jika tidak ada pun tidak mengapa. Boleh sahaja pasang lagu dan muzik daripada komputer atau pun laptop. Bukan semua tetamu suka muzik yang kuat dan bingit.
  • Pilih barang hantaran kahwin yang berpatutan dan praktikal. Menghadiahkan set perfume mahal kepada orang yang memang tak suka pakai perfume adalah satu pembaziran. Last-last, dibiarkan sahaja nanti sampai hilang wanginya.
  • Kad jemputan kahwin, kalau boleh buat satu untuk kedua-dua belah majlis pihak lelaki dan perempuan. Lebih jimat berbanding buat berasingan sebab kuantiti lebih banyak.

Dan banyak lagi yang boleh dilakukan untuk kurangkan bajet, cuma perlu ikut kemampuan, kehendak dan kreativiti sendiri.

Jadi, sekarang sepatutnya anda dah senarai pendekkan perbelanjaan-perbelanjaan penting untuk majlis perkahwinan nanti.

Kalau boleh, letakkan sekali anggaran kos yang mampu bagi setiap perkara tersebut, kemudian kira jumlah keseluruhan kos.

Kalau rasa mampu dengan jumlah kos tersebut, boleh teruskan.

Kalau rasa tak mampu, cuba ubah lagi sehingga dalam lingkungan kemampuan.

Tips #2 – Berbincang dengan bakal pasangan

Kalau ada ruang dan peluang, berbincanglah dengan bakal pasangan tentang bajet majlis perkahwinan.

Penting untuk kedua-dua bakal pasangan faham tentang tahap kewangan sendiri dan buat perbelanjaan persiapan majlis perkahwinan mengikut kemampuan.

Perlu bersama-sama fikir dan pikul beban untuk majlis perkahwinan sendiri.

Jangan diharapkan kepada sebelah pihak sahaja.

Apa-apa yang boleh dikongsi kosnya, berkongsilah.

Bincangkan juga tentang jumlah wang hantaran kahwin dan juga barang-barang hantaran,yang penting jangan sampai membazir dan membebankan.

Jangan demand yang bukan-bukan, kasihan nanti bakal pasangan nak sediakan semuanya.

Kata nak sehidup semati till jannah, jadi perlulah lepasi cabaran persiapan majlis perkahwinan ini terlebih dahulu.

Pesan pada bakal pasangan, majlis kahwin sehari dua sahaja, tak perlu nak habiskan banyak duit.

Nanti, lagi banyak duit diperlukan untuk teruskan kehidupan selepas berkahwin.

Tips #3 – Berterus-terang dengan ahli keluarga

Bakal pasangan dah bersepakat untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing, tetapi apabila dikhabarkan kepada ahli keluarga terdekat, mereka meminta lebih lagi.

Alasan biasa, takut malu dengan jiran tetangga, rakan taulan dan saudara mara lain sebab majlis ringkas dan sederhana.

Inilah dilema ramai bakal pasangan pengantin sekarang.

Nak diikut kehendak sendiri, tak memenuhi kehendak keluarga.

Nak diikut kehendak keluarga, tak sepadan pula dengan kemampuan sendiri.

Antara penyelesaiannya, berterus-teranglah dengan ahli keluarga tentang kemampuan kewangan sendiri.

Tunjukkan jumlah duit simpanan yang mampu diperuntukkan untuk majlis kahwin.

Berbincang baik-baik dengan ahli keluarga tentang persiapan majlis perkahwinan supaya sesuai dengan kemampuan.

Di sinilah pentingnya sikap toleransi dengan kehendak ahli keluarga, dan pada masa sama tegas dengan had kemampuan sendiri.

Kalau tak berjaya juga, boleh dapatkan bantuan orang berpengaruh ke atas keluarga anda, contohnya tok imam, tuan guru, pakcik, makcik atau sesiapa sahaja.

InsyaAllah, ahli keluarga akan dapat memahami.

Untung-untung, mereka turut sama-sama menghulurkan duit untuk menanggung kos majlis kahwin nanti.

Tips #4 – Tanya orang berpengalaman

Apabila merancang persiapan majlis perkahwinan, kalau boleh jangan syok sendiri.

Takut nanti banyak perancangan yang dibuat tidak menjadi atau menyebabkan pembaziran.

Dapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli keluarga dan saudara mara, tapi jangan sampai terikut-ikut kehendak mereka sehingga membebankan diri.

Ahli keluarga boleh memberi nasihat tentang jumlah tetamu yang patut dijemput, lokasi majlis, menu makanan kenduri yang sesuai dan juga jumlah barang-barang hantaran.

Tanya juga rakan-rakan yang baru melangsungkan perkahwinan, dapatkan pengalaman mereka menguruskan majlis mereka.

Tanya mereka perkara-perkara yang perlu dibuat dan dielakkan dalam persediaan majlis perkahwinan.

Dapatkan juga contoh bajet dan kos yang mereka keluarkan sebagai panduan untuk bajet anda pula.

Boleh juga dapatkan maklumat daripada laman-laman web dan blog-blog yang banyak memberi panduan berkenaan persiapan majlis perkahwinan.

Antaranya Pesona Pengantin, iKahwin dan Kahwin Mall.

Baca juga:  Tips Kawal Belanja Untuk Elak Duit Bocor

Tips #5 – Buat bajet dan cuba patuhinya

Selepas puas berfikir, berbincang dan mendapatkan maklumat, sekarang boleh sediakan bajet majlis perkahwinan sendiri.

Senaraikan semua perkara yang diperlukan berserta anggaran kos.

Buat column kos anggaran dan sebenar untuk memudahkan pemantauan, contohnya seperti ini:

kurangkan bajet majlis perkahwinan

Patuhi bajet yang dibuat ini, dan pastikan kos sebenar tidak jauh beza dengan kos anggaran.

Setiap kali keluarkan duit untuk perbelanjaan perkara-perkara yang disenaraikan, catat dan lihat perbezaan dengan anggaran yang ditetapkan.

Dengan cara sebegini, keseluruhan bajet majlis perkahwinan anda nanti tidak akan jauh berbeza dengan kemampuan yang ditetapkan.

Tips #6 – Rajinkan diri ke ekspo perkahwinan

Kalau ada ekspo perkahwinan yang dianjurkan berdekatan dengan tempat anda, rajin-rajinkan diri untuk hadir.

Senang, ramai perancang perkahwinan, penjual dan vendor berkumpul di bawah satu bumbung, jadi mudah untuk merancang persiapan majlis perkahwinan.

Boleh survey harga, boleh survey pakej-pakej yang sesuai.

Mana tahu, boleh dapat tawaran menarik pada harga berpatutan, jadi boleh jimat banyak.

Cuma, apabila berurusan di ekspo, pastikan berurusan dengan penjual atau vendor yang betul-betul wujud dan ada kedai atau butik sendiri.

Kalau buat apa-apa bayaran, pastikan ada resit bayaran yang sah dan lebih baik lagi jika ada perjanjian bertulis.

Bukan apa, sebab ada juga terdengar ramai bakal pengantin tertipu apabila berurusan di ekspo perkahwinan.

Tawaran yang diberikan memang menarik, tetapi rupa-rupanya penjual menipu.

Jadi, hati-hati apabila berurusan di ekspo perkahwinan.

Tips #7 – Perbanyakkan D.I.Y.

Kalau nak kawal dan jimat kos majlis perkahwinan, perbanyakkan Do-It-Yourself (D.I.Y.)

Contohnya, boleh gubah barang hantaran kahwin sendiri, jadi tak perlu upah orang lain untuk gubah.

Kalau pandai menjahit, boleh jahit sendiri baju pengantin.

Kalau pandai graphic design, boleh buat sendiri kad jemputan kahwin.

Boleh buat kek sendiri sebagai kek pengantin, atau pun buat tart atau kuih-muih untuk dijadikan goodies kepada tetamu.

Boleh juga buat aiskrim Malaysia untuk diberikan kepada tetamu kanak-kanak nanti.

Gunakan kreativiti untuk buat dekorasi pada majlis perkahwinan nanti, contohnya gunakan belon, kain renda atau pun barang-barang terpakai.

Ini contoh majlis perkahwinan yang banyak gunakan elemen D.I.Y., memang boleh jimat banyak:

Majlis perkahwinan paling Rare, siap main tuju tin, semua dari hiasan ke pelamin adalah D.I.Y dan memang menggamit kenangan.. bersederhana itu indah..Barakah itu yang penting dan dicari..
kredit: ‎Yann Yanti‎

Posted by Siakap Keli on Wednesday, 13 December 2017

Tetapi, harus diingat, jangan pula nanti nak buat semua sendiri sahaja.

Nanti, penat pula, dah tak berseri muka nanti pada hari perkahwinan.

Dapatkan juga bantuan daripada hali keluaga dan juga kawan-kawan yang sudi membantu.

Hari majlis anda, orang lain yang tolong, nanti apabila majlis orang lain pula, jangan lupa untuk balas budi ya.

Tips #8 – Gabungkan majlis

Kalau pengantin lelaki dan perempuan tinggal berdekatan, boleh bincang dengan ahli keluarga untuk gabungkan majlis dan buat satu sahaja.

Bukan itu sahaja, kalau ada adik-beradik yang turut sama nak berkahwin dalam masa terdekat, boleh turut bergabung sekali.

Memang banyak boleh jimat, malah boleh buat lebih meriah dengan bajet lebih rendah.

Tips #9 – Sertai kahwin ramai-ramai

Di sesetengah negeri, terdapat agensi yang menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai.

Jadi, tidak salah untuk turut sama menyertainya.

Boleh jimat belanja kos majlis perkahwinan, malah berpeluang untuk mendapat bantuan atau hadiah daripada penganjur lagi.

Lepas dah selesai majlis perkahwinan beramai-ramai, boleh sahaja buat majlis yang sederhana untuk meraikanmereka yang tidak dapat hadir pada majlis sebelumnya.

Penutup

Dalam Islam, adalah digalakkan untuk mengadakan kenduri atau majlis perkahwinan untuk menghebahkan perkahwinan yang dilangsungkan.

Malah, majlis perkahwinan juga merupakan peluang untuk mengzahirkan rasa kesyukuran dan berkongsi rezeki dengan menjamu tetamu yang hadir.

Jadi, amat rugilah jika majlis yang baik ini dicemari dengan pembaziran serta perasaan riak dan menunjuk-nunjuk.

Oleh itu, amat baiklah untuk memastikan majlis perkahwinan yang dibuat nanti tidak membebankan bakal pengantin dan juga ahli keluarga.

Semoga anda semua mendapat manfaat daripada perkongsian kali ini.

p/s: Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya! Terima kasih.

kurangkan bajet majlis perkahwinan

..

Baca juga:  35 Tips Kurangkan Perbelanjaan 2017

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini