Sedikit Coretan Tentang Penamaan KWSP

penamaan kwspBaru-baru ini saya ada terbaca satu ruangan soal-jawab di dalam akhbar Harian Metro berkenaan penamaan KWSP.

Dalam ruangan tersebut, ada beberapa perkara yang boleh dipelajari berkenaan topik ini.

Mungkin ramai dah sedia maklum, yang KWSP menggalakkan setiap pencarum untuk membuat penamaan bagi memudahkan proses tuntutan wang KWSP jika pencarum meninggal dunia nanti.

Jika tidak dibuat penamaan, maka proses tuntutan akan menjadi lebih rumit dan memakan masa yang panjang kerana perlu mendapat surat kuasa daripada pihak berkuasa dahulu.

Tetapi malangnya, masih ramai yang belum membuat penamaan KWSP untuk akaun mereka.

Mengikut data, sehingga akhir tahun 2016, masih terdapat 10.6 juta atau 73 peratus pencarum KWSP yang masih belum membuat penamaan ke atas akaun mereka (boleh rujuk laporan di sini)

Jadi, apabila berlaku kematian nanti, waris bagi pemilik akaun KWSP yang tidak membuat penamaan ini akan menghadapi masalah untuk mendapatkan baki duit yang tinggal dan menguruskan harta pusaka tersebut.

Punca utama, mungkin kerana kurang kesedaran dan pengetahuan tentang kepentingan membuat penamaan KWSp.

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang penamaan KWSP, boleh rujuk di laman web info dari laman web KWSP di sini.

Selain masalah kurangnya pencarum yang membuat penamaan KWSP, satu lagi masalah berkaitan perkara ini adalah salah faham tentang maksud sebenar penamaan ini.

Bagi orang bukan Islam, penama yang dinamakan dalam penamaan KWSP adalah benefisiari, atau penerima mutlak; orang yang dinamakan berhak mendapat jumlah wang yang ditetapkan.

Sebagai contoh, Muthu menamakan isteri  (60%) dan anak tunggal (40%) beliau sebagai penama akaun KWSP beliau.

Maka, apabila Muthu meninggal dunia nanti, isteri beliau berhak mendapat 60% manakala si anak berhak mendapat 40% daripada baki duit yang ada dalam akaun KWSP Muthu.

Berbeza pula bagi orang Islam, penama yang dinyatakan dalam penamaan KWSP bukan benefisiari atau penerima, sebaliknya adalah wasi atau pentadbir yang bertanggunjawab membahagikan duit tersebut mengikut faraid.

Contohnya, Ali membuat penamaan KWSP dengan meletakkan nama isteri (60%) dan ibu (40%) beliau sebagai penama.

Jadi, apabila Ali meninggal dunia, si isteri boleh menuntut 60% manakala si ibu boleh menuntut 40% daripada baki duit yang ada dalam akaun KWSP Ali.

Tetapi, kedua-dua isteri dan ibu Ali tidak boleh menggunakan duit tersebut untuk kegunaan sendiri, sebaliknya wajib membahagikan duit tersebut kepada waris-waris Ali mengikut pembahagian faraid.

Malangnya, masih ramai yang tidak faham atau buat-buat tidak faham tentang perkara ini,

Maklumlah, apabila duit di tangan, mudah untuk gelap mata.

Panjang lebar pula introduction saya kali ini.

Sebenarnya, saya cuma ingin berkongsi tentang soal-jawab yang saya baca daripada akhbar yang saya nyatakan di awal artikel tadi.

Ini adalah keratan soal-jawab tersebut yang disiarkan dalam Harian Metro pada 12 Oktober 2017:

penamaan kwsp

Baca juga:  Dilema Seorang Isteri Urus Harta Pusaka Tinggalan Suami

Pak cik penama KWSP ayah

Adakah penama bagi akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu pemilik sah sekiranya pencarum meninggal dunia?

Arwah bapa saya ketika masih hidup meletakkan adik kandungnya (pak cik saya) sebagai penama. Sehingga arwah kahwin dan meninggal dunia, penama itu belum ditukar.

Adakah pak cik saya berhak ke atas wang berkenaan? Bagaimana sekiranya anak-anak serta isteri ingin menuntut wang berkenaan?

Untuk makluman Puan, arwah mempunyai tujuh orang anai iaitu lima lelaki dan dua perempuan.

Ingin Tahu, Kuala Lumpur

Pencarum KWSP boleh mendaftarkan penama untuk wang caruman sebagai wasi atau pentadbir selepas kematiannya.

Penamaan KWSP adalah satu pengisytiharan secara bertulis yang dibuat pencarum dalam Borang KWSP 4 bagi melantik seseorang sebagai ‘benefisiari’ (bagi bukan Islam) atau wasi/pentadbir (bagi orang Islam) ke atas simpanan KWSP apabila ahli meninggal dunia.

Tujuan penamaan dibuat adalah bagi membolehkan KWSP melepaskan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada pentadbir dengan segera tanpa perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

Jika tidak dibuat penamaan KWSP, pihak waris perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir terlebih dahulu untuk menguruskannya.

Proses mendapatkan surat kuasa ini kebiasaannya boleh mengambil masa yang lama dan membabitkan kos yang tinggi.

Penama Islam hanya berperanan sebagai wasi sahaja dan bukan benefisiari. Ini sejajar dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tetapi, tiada peruntukan yang mewajibkan penama membahagikan harta itu kepada pewaris. Yang ada, hanya ‘peringatan’ daripada institusi kepada penama.

Bagi ahli beragama Islam, individu (atau individu-individu) yang dinamakan sebagai penama adalah pentadbir yang bertanggungjawab menguruskan pengagihan simpanan pencarum kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebagai penama, mereka berhak dan layak mengeluarkan wang itu.

Namun begitu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penama adalah wasi dan pemegang amanah yang bertanggungjawab membahagikan wang simpanan yang dinamakan kepadanya kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Walaubagaimanapun, fatwa yang dikeluarkan ini tidak mengikat mana-mana negeri sehingga diwartakan dalam Warta Kerajaan bagi negeri itu.

Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dalam satu kertas kerja  Hukum Wang Simpanan KWSP, SOCSO dan seumpamanya bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia  telah bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa bertarikh 19 September 2000 seperti berikut:

  • Wang KWSP dan yang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan kepada faraid.
  • Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.
  • Bahagian Undang-undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihati KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Begitu juga dengan kedudukan pak cik yang dinamakan sebagai penama dalam caruman KWSP bapa yang bertanya soalan di atas.

Selaku penama, pak cik penanya hanya tertakluk sebagai pentadbir dan perlu mengagihkan wang caruman bapa kepada waris yang layak iaitu isteri dan anak-anak arwah.

Jika pak cik mengambil dan menggunakan wang caruman itu dengan menganggap dia berhak ke atasnya, tindakan itu adalah berdosa dan melanggar hukum syarak.

Jika wang itu digunakan untuk dirinya atau orang lain selain waris yang layak, maka dia telah memakan harta itu secara batil.

Sekiranya penanya ingin menuntut kembali wang tersebut, satu prosiding atau tuntutan bolehlah dibuat ke atas pak cik melalui tindakan di Mahkamah Sivil.

Mudah-mudahan, belum terlambat sementara wang itu masih ada untuk membuat tuntutan kerana dibimbangi jika tempoh terlalu lama selepas berlaku kematian bapa, kemungkinan besar wang itu sukar untuk diperoleh semula.

Jawapan disediakan oleh Puan Suriany Awaludin. Beliau merupakan seorang peguam syariah.

p/s: Kalau rasa artikel yang dikongsikan kali ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN ya. Terima kasih.

penamaan kwsp

..

Baca juga:  Skim KWSP vs Skim Pencen: Yang Mana Lebih Baik?

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini